NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Saturday, October 8, 2011

Persis Bidadari Syurga bab 7




                                                           BAB 7


                Sebaik saja Nur keluar dari perut teksi, Nur dapati ibu mertuanya sudah tercegat didepan pagar. Perut Nur mula mengecut. Kalau boleh dia ingin jadi semut. Puan Jamaliah mencerlun ke arah menantunya.
                “Assalamualaikum ibu, dah lama ke ibu sampai?”
                “Waalaikumusalam, kau ni pergi mana? Dari semalam aku datang,kau tak ada juga.” Nur Asiah diam sambil membuka pintu pagar.                                                                                                                                                                                                                                                                              
                “Masuk  ibu .”  Puan Jamaliah  meloloskan diri ke dalam rumah, hatinya panas dengan tingkah Nur Asiah. Prasangka bermain di birai hati.
                “Eh! Nur…aku tanya ni,semalam dan hari ini kau pergi mana? Jenuh aku menunggu. Dahlah handfon tak ada, menyusahkan aku saja ,kena datang berkali-kali .” Nur Asiah berbelah bagi,nak cerita ke tak? Kalau beritahu pasti kena marah ,dia tahu sangat perangai mak mertuanya. Kalau tak jelaskan nanti berangkai-rangkai tuduhan dan tohmahannya.
                “Jawablah Nur,kau pergi menggatal ke? Suami kau pergi kerja,kau buat curang dibelakang.” Dah kata dah…perempuan tua ni kalau tak berprasangka dengan orang tak sah, mana tidaknya perangai mak  menurun ke anak, bak kata orang tua-tua, emak borek anak rintik,lebih kuranglah tu.
                “Ibu, takkanlah Nur nak buat macam tu, sebenarnya Nur pergi kolej, Nur dah sambung belajar.”  Bulat mata Puan Jamaliah bila mendengar alasan Nur Asiah.
                “Kau belajar lagi Nur, buat apa? Kau tu dah jadi bini orang,buatlah macam bini orang. Buat apa pergi tergedik-gedik macam budak sekolah!!!” Marah betul mak mertua aku ni, kenapa? Bila dah jadi bini orang,dah tak boleh belajar ke? Hei! Orang sekarang dah maju siapa-siapapun boleh belajar,asalkan mahu ,usia bukan lagi penghalang.Ibu pun boleh belajar kalau mahu,terutamanya belajar agama. Ibu tu dah tua, adat katanya kalau tua ,cepatlah gol! Opps! Nur  Asiah berceramah panjang,tapi sayang cuma di dalam hati.
                “Ibu, minum dulu,”  Nur mempelawa ibu mertuanya minum, kasihan dia, pasti kering tekak sebab dah berceramah panjang. Puan Jamaliah pun duduk dan minum. Dahaga ke ?
                “Eh…Nur, kau ni patutlah tak beranak,kau yang tak nak anak ya?  Sebab nak belajar  lagi?”
                “Tak, bukan macam tu, Nur belajar ni sebab Nur boring dok rumah. Siapa yang tak nak anak mak,cuma ALLAH belum izinkan.”
                “Ah…pandailah kau beri alasan. Aku ni dah lama kempunan cucu,ingatkan kau dapat beri aku cucu. Eh, Nur…kalau kau dah tak boleh nak mengandung,biar saja Aiman kahwin lain.” Bulat mata Nur menoleh ke arah ibu mertuanya. Ugutan atau arahan?  Mak oii…ibu mertua aku ni samalah dengan ibu mertua Kasim Selamat. Kejam dan tak bertimbang rasa.
                “Hah…kau pandang aku kenapa? Kalau kau nak tahu ,aku dari dulu lagi tak sukakan kau,entah apa yang Aiman nampak pada kau pun aku tak tahu.”  Perkataan itu umpama belati yang menghiris hati. Nur Asiah tunduk merenung lantai. Tiada apa yang perlu dipertikaikan, kenapa ibu mertuanya selalu dingin dengannya sudah ada jawapannya. Patutlah apa yang aku buat semuanya tak kena.
                “Aku datang ni, nak suruh kau datang rumah aku, sebab malam esok aku ada kenduri. Kau Nur, datang awal ,tolong aku apa yang patut.”  Esok! Alamak…aku periksa,macam mana ni?
                “Ya  ibu…”  perlahan saja suara Nur, tak berani untuknya berjanji .Tuhanku...permudahkanlah urusanku!
               
                Sebaik saja ibu mertuanya pulang, hati Nur Asiah merasa lapang dan lega , tapi seketika saja,selepas itu hatinya kembali resah dan ketat balik bila mengenangkan esok. Kalau hari lain tak akan ada masalah, tapi esok,dia akan menghadapi peperiksaan untuk semesta dua.
                Tiba-tiba dia mengorak senyum, ada telinga dengar, ada mulut cakap, ada mata pandang, ada mulut senyum dan ada akal guna. Dia akan mempergunakan suaminya untuk melepaskan diri. Nur Asiah melompat seperti beruk  yang terkejut bila melihat jarum jam yang sudah menunjukkan angka lima,  apa tidaknya, sekejap lagi suaminya sampai. Satu benda pun tak siap lagi. Nur Asiah meluru masuk ke bilik air untuk mandi.
                Bila Aiman tiba, Nur Asiah sudah pun berdiri di muka pintu bersama seberkas senyuman. Ah….hipokrit, tak apalah, senyuman,kan satu sedekah. Apa salahnya cuba menawan hati suami.Menggoda ke? Rasanya belum tahu lagi, sebab takut ada angin lintang yang menghalang. Apa pun harap-harap menjadi.
                Aiman jadi pelik, Nur Asiah tak pernah berdandan secantik ini. Hatinya menjadi bergetar bila melihat senyuman Nur Asiah. Cantik dan menawan sekali.  Kalaulah Nur Asiah selalu bermanis muka seperti ini ,dia akan rasa cukup bahagia.
                Aiman merehatkan badan dan tengkuknya ke sofa selepas   membuka stoking dan tienya. Nur Asiah yang semerbak mewangi datang berlenggang bersama segelas jus oren dan sepinggan karipap ayam yang masih panas.  Nur Asiah melihat suaminya mengurut-mengurut tengkuknya. Penatlah tu. Lalu sebaik saja dia menyerahkan air kepada suaminya ,dia terus  mengurut tengkuk Aiman.
                “Kenapa rajin sangat ni.”
                “Saja,kasihan tengok abang penat.”
                “Ya ke, mesti ada sesuatu. Nur nak abang ke?”  Aiman bercanda sambil menggoda.
                “Eiesh…tak ada maknanya ,”  Nur Asiah menjeling. Ya …aku memang berhajat,tapi macam mana ya, nak sampaikan, laki aku ni baran,salah cakap, boleh angin satu badan.
                “Alah cakap aje, Nur rindukan abang ya?”  Aiman menggoda lagi, dia sememangnya tidak tahan melihat Nur yang cantik. Nur Asiah hanya tersenyum.
                “Abang, kalau Nur cakap, abang jangan marah ya?”
                “Yalah.”  Tak puas Aiman merenung wajah Nur yang cantik, tapi selalunya dia menyorok kecantikannya dibalik wajah yang masam.
                “Abang ,tadi ibu datang.”  Aiman terkejut, pasti ada yang tak kena. Ibu selalu begitu.
                “Ibu cakap apa?”
                “Ibu marah Nur belajar.”  Bukan niat nak mengadu, tapi nak cerita  saja.
                “Ibu memang macam tu, apa yang Nur buat semua dia tak suka, biarkanlah dia tu,”  senangnya Aiman cakap.
                “Tapi abang, malam esok  ibu ada kenduri, dia suruh Nur pergi awal,tolong apa yang patut, masalahnya esok Nur ada final exam untuk sem dua ni, macam mana ni bang?”
                “Alah, itu aja masalahnya,ingatkan besar manalah tadi,” Aiman menarik hidung Nur Asiah yang mancung.
                “Ada lagi.”
                “Ada lagi, apa dia?” 
                “Ibu marah Nur tak ada anak lagi, ibu suruh abang kahwin lain.”  Mak oii! Bendulnya Nur, itupun  nak cakap pada suami.  Besar gelak Aiman, sukalah tu.
                “Aaa…betul juga tu,kahwin dua ,best juga,mesti gempak,” Aiman mengusik, Nur Asiah membasuh mukanya dengan cuka, kita tak sukalah macam ni…
                “Alah sayang, abang gurau saja,abang tak akan buat macam tu,abang cintakan Nur seorang saja.”
                “Betul?”
                “Kalau tak betul Nur nak buat apa?” 
                “Kalau tipu,ini hah…padahnya,” Nur Asiah mencubit-cubit badan Aiman, kemudian dia lari sambil ketawa. Aiman tak puas hati, dia mengejar Nur Asiah sehingga dapat dan Nur Asiah kini berada dalam pelukannya. Desahan nafas suami dimuka dan haruman minyak wangi white musk  membuatkan hati Nur Asiah bergelora.
                “Nur, tolong abang boleh tak?”
                “Apa?”  Nur Asiah bertanya lembut.
                “Letakkan cinta abang dalam hati Nur,” Nur Asiah mengganguk bersama senyuman manisnya. Aiman bahagia , berjaya juga dia memiliki cinta Nur. Aiman memeluk Nur Asiah erat, rasa kasihnya amat mendalam. Cinta jangan kau pergi!


                Nur Asiah dan Aiman tiba di rumah banglow dua tingkat itu sebaik saja lepas maghrib, tetamu belum ramai yang tiba,sebab jadual makannya pukul 8.30 malam,tapi, kawan-kawan Puan Jamaliah ramai yang sudah tiba, dengan membawa bermacam-macam juadah sebagai buah tangan. Tapi Nur Asiah melenggang saja.
                “Hah…baru datang, menantu tak guna ni,” itulah balasan salam yang diberikan oleh mertuanya sebaik saja Nur Asiah mencium tangan Puan Jamaliah. Runtun hati Nur Asiah mendengarnya, apa lagi diucapkan di hadapan kawan-kawannya. Pilu tak terkata, tapi Nur Asiah masih mampu mengawal riak wajah. Dia mencubit tangan Aiman.
                “Maaflah ibu, sebenarnya Aiman yang tak benarkan dia datang awal. Sebenarnya petang tadi Nur ada exam, balik pun dah petang. Tak sempat nak datang awal.”
                “Hah…baik sangatlah tu, dah berlaki ,gatal nak belajar, ha…esok-esok dia menyundal kat kolej ,baru padan muka kamu,beri muka sangat isteri tu.” Ya ALLAH…bahasa apa ni, kenapa benci sangat ibu pada aku? Nur Asiah rasa  air matanya ingin gugur, kolam matanya tak mampu menanggung lagi. Malunya tak tahu nak cakap ,kenapalah dia tak jadi ulat ke,semut ke, saat ini, biar semua orang tak tahu kewujudannya. Apa lagi kawan-kawan ibu mertuanya yang tersenyum sinis.
                “Ibu, kenapa ibu cakap macam tu. Nur tu isteri Aim, Aim yang izinkan dia belajar, biarlah ,diapun masih muda.”   Terima kasih abang.
                “Itulah gatal sangat nak kahwin dengan budak sekolah.”
                “Ibu dahlah ibu, Aim tak nak gaduh dengan ibu.”  Aiman menarik tangan Nur Asiah untuk berjumpa dengan papanya.
                “Assalamualaikum papa,” mereka memberi salam serentak.
                “Waalaikumussalam.”  Tuan Hasan menyambut mesra.
                “Kenapa dengan  ibu kamu tu?”
                “Alah ibu marahkan Nur,lambat datang untuk tolong dia.”
                “Nak tolong apa? Kenduri katering yang buat, dahlah tu ,dia memang saja suka cari hal dengan kamu. Sudahlah Nur ,tak payah pedulikan dia. Papa dengar Nur belajar balik?”
                “Ya papa, dah masuk semester dua.”
                Course apa?”
                “Diploma Pengurusan Sumber Manusia.”
                “Bagus tu, lepas ni bolehlah kerja kat pejabat,”   Tuan Hasan memberi sokongan.
                “Yalah papa, itupun kalau dibenarkan,”  Nur Asiah menjeling, Aiman menyengih,faham dengan maksud Nur. Begitu juga Tuan Hasan yang tersenyum ,dia tahu anak lelakinya itu kuat cemburu.


                Tiba-tiba seorang gadis cantik datang meluru ke  arah Nur Asiah.
                “Eh…Kak Nur, dah lama ke sampai?”  Luna Liana datang memeluknya. Adik perempuan Aiman yang akan mengambil peperiksaan SPM tahun ini.
                “Baru aje,Luna buat apa tadi?”
                “Tengah susun kuih,kawan ibu bawakan. Jom kita ke dapur.”
                “Jom, boleh Kak Nur tolong,”  Nur menawarkan khidmatnya. Memang dia tak tahu nak buat apa, tercegat macam orang bodoh, takkan nak berkepit dengan laki saja,nanti apa pula kata orang, apa lagi mak mertuanya,yang asyik mengintai aje salahnya.
                Sebaik saja doa tahlil  habis dibaca. Tuan Hasan dan Puan Jamaliah mempersilakan tetamu makan,Nur Asiah tidak meluru mengambil makanan, dia akan makan kemudian. Tiba-tiba dia melihat ibu mertuanya memanggil Aiman datang menghampiri sekumpulan perempuan. Mungkin itu semua kawan ibu, tapi yang peliknya Aiman diperkenalkan dengan seorang perempuan yang  muda. Siapakah perempuan itu? Saudarakah atau kenalan lama? Yang sakit hatinya, lama pula Aiman bersembang, rancak pula tu, siap ketawa-ketawa lagi. Ah… bencinya, Nur tak suka. Nur Asiah melihat dari jauh,tiba-tiba Aiman menoleh ke arah Nur,baru dia sedar Nur Asiah sedang memerhatikannya. Bila dia menoleh sekali lagi, Nur Asiah telah menghilang. Cemburukah Nur Asiah!
                “Kenapa Nur kat sini?”  Aiman yang datang dari belakang menyapa Nur Asiah yang sedang membasuh pinggan.
                “Saja, nak basuh mana yang patut.”
                “Biarkanlah ,ini kerja bibik.”        
                “Apa  salah tolong ,bibik pun banyak kerja.”
                “Jomlah kedepan, abang ambilkan makanan.”
                “Tak  apalah, Nur tak nak makan lagi,” Nur Asiah berdalih.
                ‘”Abang tahu, Nur cemburukan?”  Nur Asiah tidak menjawab.
                “Siapa perempuan tu?”  
                “Anak kawan ibu, calon yang ibu carikan kut!”      Berderau darah Nur Asiah naik ke muka, walaupun dia tahu Aiman hanya bergurau,  tapi ibu mertuanya tak mungkin bergurau.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     
                “Huh…abang sukalah yang mantap meletup-letup macam tu.” Aiman ketawa kuat,memanglah,perempuan tadi tak pakai tudung,nampaklah nak meletupnya.
                “Tak, abang hanya suka Nur ,walaupun Nur tak meletup,walaupun macam papan sekeping,” Aiman masih ketawa sambil memeluk Nur dari belakang dan dagunya diletakkan diatas bahu Nur. Dia cintakan Nur, biarlah sampai bila-bila.
                “Hah…kat sini rupanya kamu Aim, tak habis-habis nak berkepit, macam belangkas, meluat aku tengok.” Mereka berdua ditembak bertubi-tubi oleh Puan Jamaliah yang datang kedapur mencari Aiman. 
                “Kan dah kena…” Nur Asiah membisik kepada suaminya. Aiman hanya menyengih.
                “Jom Aim, ada tetamu yang nak kenal dengan Aim,” Puan Jamaliah mengajak Aiman,tapi tidak Nur Asiah. Aiman terpaksa mengikut setelah tangannya ditarik oleh Puan Jamaliah.  Ah…sampai bila-bilapun aku tak akan diterima oleh ibu. Sabarlah wahai hati,kerana sabar itu melegakan.
                Nampaknya Puan Jamaliah berusaha keras untuk menghancurkan rumahtangganya. Sejak mereka berkahwin Puan Jamaliah tak pernah berkenan dengannya ,ada saja  yang tak  kena di matanya. Sesuatu yang Nur Asiah  tak faham ialah , walaupun Aiman seorang yang panas baran dan cepat menangankan Nur, dia tidak suka kalau ibunya mencerca dan memaki hamun Nur, dan dia sanggup berperang mulut dengan ibunya  demi membela Nur. Ah…kenapalah dari dulu ibu tak halang perkahwinan ini? Kenapa biarkan ianya terjadi? Kenapa Nur yang menjadi mangsa dalam perkahwinan ini? Oh Tuhan! Takdir-Mu yang telah terlukis tidak mampu aku memadamnya.









Persis Bidadari Syurga bab 6






                Selesai makan malam Aiman mula merenung ke arah Nur Asiah dan membuat isyarat mata padanya. Nur Asiah faham sebab tadi Aiman telah memberi tahunya,masalahnya dia tak sampai hati untuk memberitahu mak dan ayah,pasti hati orang tuanya terguris dan terkoyak. Hati mana tak terguris kalau anak menantu yang balik sekali sekala tak nak tidur di rumahnya, malah sanggup pula menempah chalet yang terletak di hujung kampungnya.
                Nur Asiah sedih, sedih sangat,terkilan sangat . Kalau ikut perancangan Nur ,dia ingin tidur  bersama maknya,ingin memeluk maknya dan bersembang-sembang sampai pagi. Itupun setelah dia tidurkan suaminya.            
                “Abang, kita tidurlah kat sini,”  Nur Asiah memujuk. Aiman mencerlun.
                “Tak nak,abang tak selesa, banyak nyamuk,” alasan. Nur menjeling marah.
                “Nanti apa pula kata mak dan ayah.”  Nur seakan nak menangis.
                “Awak tak faham ke, abang kata tak selesa! Tak selesalah!”  Aiman mula marah, tapi marahnya masih dapat diperlahankan supaya mertuanya tidak dengar.
                “Sampai hati abang!” Nur Asiah terkilan sangat. Memanglah dia tahu bilik ini tak secantik bilik tidur mereka di KL, tak sebesar bilik di sana,tak sewangi bilik di sana,maklumlah rumah kampung , bilik air pun ala kadar saja ,tapi tolonglah,untuk dua malam saja. Janganlah rosakkan hormat ayah pada abang,jangan abang hina ayah dengan ketidaksudian abang bermalam di rumahnya. Nur Asiah hanya berbicara dalam hati ,dia tahu kalau dia cakap pun tak guna. Aiman tu,ego dan baran,kalau putih katanya ,tak akan jadi hitam lagi.
                “Ayah,mak,” Nur Asiah tak  mampu mengeluarkan perkataan sebaik saja menghadap mak dan ayahnya yang sedang bersantai di anjung rumah.
                “Kenapa Nur,”  cuak hati Mak Esah melihat wajah Nur Asiah yang keruh.
                “Ayah, maafkan Nur.” Tak sampai hati Nur Asiah, pasti hati ayahnya terguris.
                “Cakaplah Nur,” Mak Esah mendesak.
                “Kami tak tidur kat sini,”  Nur Asiah memejamkan matanya, tak sanggup menatap bening mata ibu yang kehampaan. Sengaja dia menggunakan perkataan kami,agar tak nampak kesalahan pada suaminya seorang, dia tak mahu maruah suaminya tercalar dan rasa hormat keluarga pada suaminya terhakis, sebab Nur tahu,ayahnya terlalu sayangkan menantunya, tapi belum tentu menantunya suka pada bapa mertuanya. Nur Asiah benar-benar tersepit di tengah-tengah. Inilah yang dikatakan diluah mati emak, ditelan mati laki. Oh…peribahasa baru ke? Tak apalah ,lebih kurang samalah tu.
                “Habis ,tidur kat mana?”  Pak Khalid menyoal dengan suara yang kendur.             
                “Kat chalet, hujung sana tu.” Bila Nur membuka mata,ada manik yang jatuh, Pak Khalid merenung faham.
                “Pergilah Nur,tapi pagi esok, balik sarapan kat sini,” Mak Esah mengizinkan, dia lebih mengenali hati anaknya dan Pak Khalid mengangguk,dia juga tahu seorang isteri wajib mengikut cakap suaminya.
                “Mak ,maafkan Nur,”  Nur Asiah memeluk Mak Esah sebaik saja menuruni tangga.
               
                Mak Esah menghantar pandangan ke  arah kereta yang sedang bergerak, hatinya diragut  sayu sekali,ingatkan dia dapat bermanja-manja dengan Nur,minta Nur urutkan badannya ataupun berdua-duaan sekadar berbual kosong.
                “Kasihan Nur!”  Mak Esah meluahkan rasa. Pak Khalid merenung ke arahnya. Dalam hati ada kata yang tak terucap.
                “Kenapa awak cakap macam tu?”
                “Itulah menantu kesayangan awak,awak lebih mengenalinya, kan?”  Terpukul Pak Khalid dengan sindiran isterinya, memang benar  kata Mak Esah, menilai seseorang bukan dari kulitnya tapi isinya, seperti kata orang putih    don’t  judge the book by it’s cover. Ceh ,wah…pandai pula Mak Esah berbahasa orang putih.

                Bila Nur masuk saja ke dalam rumah, terdengar bunyi bising dan huru-hara, macam orang tengah bergaduh. Nur Asiah terus ke dapur.
                “Apa hal mak,bising sampai ke luar rumah?”
                “Hah... apa lagi, kalau tak berebut tandas,” selamba saja Mak Esah menjawab. Nur Asiah ketawa.
                “Dah tak ada benda lain ke budak dua orang nak berebut?”
                “Entahlah…mak pun tak faham, macam anjing dengan kucing, asyik nak bercakar saja.”
                Dumm!!! Dumm!!! Dumm!!! Ketukan berbunyi kuat.
                “Hoi! Liki, bila lagi kau nak keluar? Aku dah tak tahan ni,” Naim menekan perutnya,sekejap-sekejap dia memegang punggungnya.
                “Sabar boleh tak? Aku tengah  on the way ni ,kacau daun betullah kau ni.”
                “Banyaklah kau punya on the way  , dari tadi tak selesai juga. Kau ni berak batu ke kayu?”
                “Besi.”
                “Besar mana?”
                “Besar penumbuk, kau nak ke?” Liki bertanya dari dalam, Nur Asiah ketawa mendengarnya. Gila betul dia orang ni.
                “Weh...kamu ni ,tengah berak pun  boleh bertengkar ke?  Tak senonoh langsung!” Mak Esah menjerkah anak-anaknya. Liki ketawa dan Naim terkepit-kepit menahan.
                “Mak tengok Liki ni ,saja tak mahu keluar dari tandas,agaknya dia ni hantu tandas, patutlah kerja pun jaga tandas ,” Naim sudah geram, dia makin tak tahan.
                “Liki, keluarlah aku dah tak tahan ni, karang berterabur kat sini siapa nak tanggung?”
                “Kaulah tanggung,itu barang kau! Lebih baik kau sabar ,aku tengah khusyuk ni, karang kalau aku letupkan lubang tandas ni, siapa yang susah? Kau….juga susah,” Liki menjawab dari dalam. Nur Asiah dari tadi ketawa mendengar dia orang bergaduh.
                “Liki, lebih baik kau keluar!  Karang ,aku cabut pintu ni ,biar ternganga!” Mak Esah mula marah. Pintu tandas pun terbuka,Liki tersengih-sengih. Naim terus menerpa masuk,hajatnya perlu diselesaikan.
                “Wah, mak, makin brutal nampak sejak anak menantu balik,saja nak tunjuk  hebatlah tu,tapikan kalau mak cabut pintu tandas tu,macam mana giliran mak nak melepas?”  Nur Asiah gelak sampai nak tergolek, Mak Esah pula mencari telinga Liki, dapat saja telinga Liki,dia memulas sekuat hati macam orang sedang memerah kain untuk di jemur. Terjengkit-jengkit Liki dibuatnya.
                “Kau ni kan kalau tak mengenakan orang tak sah, hah…rasakan,”geram betul Mak Esah pada Liki.
                “Adoi...! Sakitnya mak,putus karang telinga orang ,siapa yang susah? Mak…jugakan yang susah.”
                “Nak menjawab lagi tu, nah…nah…” baru puas hati Mak Esah. Kadang-kadang sakit hati betul dia dengan perangai Liki,tak pernah ambil serius dengan semua perkara, asyik nak main saja. Cukup dengan loyar buruk dan tak makan saman.
                “Pulas lagi mak,” Naim yang baru keluar tanda tersenyum senang. Padan muka!
                “Kau pun satu ,tiap kali aku masuk tandas,kau pun nak masuk tandas, asal aku masuk saja,kau nak masuk. Apa masalah dengan punggung kau? Dengki? Cemburu?  Dasar buntut tak sekolah,” marah Liki pada Naim, kali ni tak ada sengih-sengih lagi,mungkin sakit hati sangatlah tu.
                “Bodoh, punggung mana ada sekolah,”  Naim membalas sambil ketawa mengejek.
                “Habis kalau kau pergi sekolah,mana kau letak punggung kau? Ataupun kau cabut punggung kau tu ,sidai depan pintu?” Nur Asiah ketawa mengekek sampai mengalir air mata , memang budak dua orang ni gila betul, kalau bergaduh mesti keluar bahasa yang tersimpan dalam kamus dewan, mesti pelik punya. Nasib baik Aiman  lepak kat pangkin depan rumah,taklah dengar sangat suara dia orang bergaduh,kalau tak malu juga Nur dengan perangai adik-adiknya.
                “Hah…apa punggung-punggung ni?  Tak habis lagi ke kamu bergaduh? Baik ,nanti aku adukan pada ayah kamu, biar kamu tahu macam mana sedapnya roti panjang tu, dahlah Nur ,jom pelawa Aiman makan ,usah dilayan budak dua orang ni, kalau kau layan ,dengan kau-kau pun jadi sewel.” Sepet mata Naim dan Liki,agaknya sedang mengingati nostalgia roti panjang Pak Khalid,mungkin sedapnya sampai terangkat. Nur Asiah mengangkat kening dan budak berdua itu menggelengkan kepala. Ha…tau takut.
                “Ayah mana mak?” Nur Asiah bertanya, saja nak tambahkan kengerian Naim dan Liki.
                “Tadi katanya nak ke jeti, nak cari ikan sembilang,dia suruh mak masak kari ikan sembilang untuk Nur.”
                “Ya ke mak? Tak sangka ayah ingat lagi apa yang Nur suka,” terharu Nur Asiah.
                “Yalah Nur,kan anak ayah,pastilah ayah tahu apa yang Nur suka ,jomlah kita makan,tak payahlah tunggu  ayah,dia tu,mesti lambat sikit sebab tunggu nelayan balik dari laut.”

                Nur Asiah turun ke tanah, menuju ke pangkin tempat suaminya berehat sambil menghadap laut.
                “Abang ,mak panggil makan.” 
                “Tak hendaklah,abang dah kenyang,kan tadi abang dah makan.”
                “Alah jamahlah sikit,kasihan mak,dia masak banyak tu.”
                “Eh…awak ni tak faham ke? Abang dah kata kenyang tu,maknanya kenyanglah,” suara  Aiman mula tinggi.
                “Kalau abang tak nak makan,abang minum saja.”  Nur Asiah masih belum berputus asa.
                “Kalau kau tak faham, biar aku cakap dengan kau,sebenarnya kembang tekak aku bila makan dengan kau orang,bau hanyir,masak pun bukannya sedap.” Terpempan Nur Asiah mendengar kenyataan dari mulut suaminya, sungguh kurang ajar! Sungguh biadap! Nur Asiah melihat suaminya halus macam semut, nasib baik dia masih sedar ,lelaki   itu  adalah suaminya ,kalau tak dah lunyai lelaki itu dikerjakan, siap tenyeh muka pada tanah lagi.Marah Nur Asiah menyala dalam hati. Alangkah sombongnya lelaki yang bernama Aiman.
                “Dahlah ,abang nak ke rumah pak cik,lemaslah!” Siapa lagi pak ciknya, kalau bukan Wak Seman kedai runcit tu. Aiman menghidupkan kereta lalu meluncur laju. Nur Asiah diam tak berkutik, kalaulah mak dan ayah mendengar apa yang Aiman cakapkan tadi,alangkah sedih dan pilunya hati mereka.
                “Mana Aiman?”  Mak Esah mengintai  di belakang Nur Asiah.
                “Dia tak nak makan,sebenarnya dia tu tak biasa sarapan pagi.” Berdosa menipu mak,tapi kalau dia cakap perkara yang sebenar,pasti hati maknya akan terluka dan keburukan suaminya juga terserlah.
                “Oh ya  ke, tapi mak masak banyak nasi lemak ni.”
                “Tak apa Nur boleh makan,”sengih Nur Asiah mengubat hatinya sendiri.

                Selepas makan pagi mereka berdua beranak bersantai di anjung rumah,Naim dan Liki lesap entah ke mana. Kata Mak Esah budak berdua tu tak kerja hari ini,saja ambil cuti sebab nak meraikan kakaknya. Tapi tak ada makna dia orang cuti,batang hidung tak juga nampak, nak baca buku? Jauh sekali. Entahlah apa nak jadi dengan budak dua orang tu, tak tahulah. Tak macam Abang Zahidnya, belajar pandai sampai ke luar negara,semua perbelanjaan bawah JPA.
                “Mak bila abang habis belajar?”
                “Katanya dua tahun lagi,tapi abang bagi tahu mak habis belajar nanti dia nak kerja dulu,tak terus balik, kenapa Nur tanya?”               
                “Nur rindu abanglah mak.”
                “Telefonlah.”
                “Mahal.”
                “Tulis saja surat,” Mak Esah memberi cadangan.
                “Betul juga tu, boleh  cerita macam-macam.” Nur Asiah termenung seketika.
                “Daripada Nur dok melangut, lebih baik Nur urutkan sikit badan mak,sejak akhir-akhir ni mak rasa sengal-sengal badan aje.”
                “Baru saja Nur nak minta mak urutkan Nur,pinggang dan belakang Nur sakitlah.Kat KL susah nak cari tukang urut, elok sangatlah tu kita main urut-urut.” 
                Selesai saja Nur mengurut maknya,Mak Esah menyuruh Nur Asiah meniarap.
                “Apa hal awak ni,muda-muda lagi dah sakit pinggang?”  Mak Esah mula menyelak baju Nur Asiah.
                “Ya ALLAH! Kenapa badan kau ni Nur? Kesan apa ni?” separuh menjerit Mak Esah,hatinya diragut tanda tanya. Nur Asiah terperanjat,dia sendiri tidak tahu,belakangnya ada tanda kesan, kalau dia tahu,sumpah dia tak suruh maknya mengurut.
                “Oh…itu agaknya kesan Nur jatuh tangga hari tu, ini yang Nur rasa sakit pinggang.”
                “Nur, awak jangan nak menipu mak, sebab awak tu bukannya tahu menipu ,ini bukan jatuh tangga,tapi tanda bekas kena sebat!” Marah Mak Esah, hatinya sedih bukan kepalang,anak perempuan yang dijaga dari kecil sampai besar,sebiji parut nyamuk pun tak ada.Kini senang-senang saja orang nak pukul, nak palu. Dia dah agak dah, pasti ada yang tak kena dengan rumahtangga mereka, patutlah tidurnya sering terganggu,termimpi-mimpikan Nur.       
                “Mak, Nur tak apa-apa pun.”
                “Ini semua ayah awak punya pasal. Kalau dia tak paksa awak kahwin dulu,semua ni tak terjadi,” marah Mak Esah dan air matanya menitik di atas belakang Nur. Patutlah Nur mengadu sakit belakang. Mak Esah menggelengkan kepalanya, bagaikan tak percaya menantunya sejahat itu.
                “Mak, jangan cerita pada ayah ya?”  Mak Esah mengangguk tapi air matanya masih turun dengan lebat, dia tahu Nur kini tersepit antara ayah dan suami, sejahat mana pun Aiman ,lelaki itu masih suami anak perempuannya.

                Tiba-tiba Nur terdengar bunyi enjin kereta di laman rumah,pasti Aiman dah balik. Nur cepat-cepat bangun dan membetulkan pakaiannya. Mak Esah pula beredar ke dapur,kalau boleh dia tak mahu tengok lagi muka Aiman, muka saja lawa, tapi perangai macam setan.Dengan muka lawa dan kereta besar itu lah dia telah memikat hati Pak Khalid,sehingga bila Wak Seman datang merisik saja terus dia setuju. Hati Mak Esah betul-batul marah.
                “Nur, jom balik!” Arahan dari Tuan General sudah sampai. Nur terkulat-kulat merenung Aiman, macam tak percaya saja dengar Aiman ajak dia balik.
                “Abang kata nak balik esok,kenapa tiba-tiba ubah fikiran?” Nur Asiah tak puas hati.
                “Aku ada hal,” berlagaknya Aiman, tak boleh bertolak ansur langsung.
                “Tapi Nur tak puas lagi bermalam kat sini.”
                “Aku, kata balik, baliklah,” tinggi suara Aiman. Pak Khalid yang terjengol di muka pintu bersama ikan sembilangnya pun terkejut.
                “Kenapa  nak balik cepat sangat?  Ni, ayah baru bawa balik ikan sembilang untuk Nur, kalau ya pun biar sempat makan tengah hari dulu,” Pak Khalid menghulurkan plastik ikan sembilang kepada Nur Asiah. Nur Asiah menyambut lalu beredar ke dapur. Air jernih mula bergenang di tubir mata. Sesungguhnya lelaki itu telah melondehkan maruah dirinya sendiri, membuka keburukan yang sekian lama Nur simpan dari pengetahuan mak dan ayahnya.
                “Saya ada hal ayah.”
                “Ya  ke?  Pak Khalid masih berbaik sangka,tapi hatinya terasa sedih,baru semalam Nur balik, hari ini Nur dah nak pergi,belum pun sempat rindu terlerai, perpisahan sudah menanti.

                Saat perpisahan pun bermula, sedih hati Nur tidak terkata, melihat duka di wajah bonda,sedang Aiman macam biasa saja.
                “Okeylah ayah, kami balik dulu,” Aiman bersalaman dengan Pak Khalid.
                “Yalah bawa kereta tu baik-baik.”
                “Man, kalau suatu hari Man dah tak nakkan Nur,lepaskanlah dia. Man hantarlah Nur ke rumah mak, mak akan jaga Nur,tapi janganlah Man sia-siakan Nur. Berilah kebahagiaan pada dia,kalau dia bersalah ajarlah dia dengan baik.” Terkejut Aiman dengan kata-kata mak  mertuanya,adakah Nur telah mengadu? Celaka kau! Nanti…kau, memang nak kena ni. Lepaskan Nur? Oh…tidak. Aku cintakan Nur. Terpusing kepala Pak Khalid mendengar isterinya berkata demikian . Kenapa? Ada cerita yang dia tak tahu ke?
                “Man fahamkan maksud mak?”  Mak Esah mula meluat dengan muka tak bersalah Aiman.  Pak Khalid tegak berdiri, fikirannya berkecamuk, apa maksud si Esah ni?
                “Ya mak,” Aiman mengangguk sambil menjeling ke arah Nur yang masih berpelukan dengan maknya. Tak habis-habis berpelukan, macamlah nak balik ke luar negara.
                “Nur…sabar ya nak, berdoa pada ALLAH banyak-banyak,minta pertolongan dari-Nya. Mak tahu Nur kuat, sekuatnya Asiah isteri kepada Firaun laknatullah, dan Asiah adalah diantara wanita pertama yang masuk kedalam syurga ALLAH bersama Siti Khadijah,isteri Rasulullah ,” Mak Esah memberi samangat. Nur Asiah hanya mengangguk, tiada kata yang mampu dia luahkan saat ini. Kolam air matanya penuh lagi bersama hatinya yang luluh.
                “Ayah,Nur balik dulu,” Pak Khalid menarik Nur ke dalam pelukannya, memang anaknya terlampau kurus, dia lagi diterpa rasa bersalah dan berdosa,dulu tubuh Nur tidak begini,benarlah telahan isterinya selama ini. Nur maafkan ayah! Tapi sayang tak terluah di bibir, yang keluar hanya manik-manik jernih. Nur Asiah merenung bening mata tua ayahnya, walaupun tiada kata di antara mereka,tapi Nur faham bahasa hati dan Nur Asiah pun tidak pernah menyalahkan ayah kerana Nur tahu, ini adalah takdir-Nya yang telah terukir untuknya ,manakala ayah hanyalah penyebab berlakunya takdir itu.

                Desahan tayar kereta benar-benar menakok hati orang yang pergi dan ditinggalkan,jauh dan jauh. Hati Nur walang sekali, dia tak sempat pun bertemu dengan Naim dan Liki. Kenapa Aiman tak boleh sabar sedikit, apa yang penting sangat nak balik KL, dan-dan tu juga?
                Tiba-tiba Aiman memusing keretanya menuju ke simpang belah kanan. Nak kemana? Ah…dah sah nak singgah kat kedai Wak Seman lagilah tu,tak habis-habis dengan Wak Seman dia, menyampah aku! Bila kereta berhenti Nur terpaksa turun juga ,kalau tak ,apa pula kata Mak Besah dan Wak Seman, dan mereka pun dah jadi keluarganya. Tapi sekali fikir, geram juga dengan Wak Seman ni, dialah yang menjadi tali barut Aiman dengan ayahnya Pak Khalid.
                “Masuk Nur,” Mak Besah menjemput Nur masuk.
                “Haa… Nur , masuklah…Ya ALLAH, kenapa kau kurus sangat ni,sudah serupa papan sekeping.” Lagi-lagi papan sekeping, tak ada benda lain ke nak buat perbandingan. Nur Asiah tak sukalah .
                “Wak ni,kan kalau jumpa Nur, tak  ada benda yang wak tak kata,rupa papanlah,rupa itulah,” Nur Asiah buat-buat marah,pada hal dia tahu hati wak.
                “Mana tak kurus pak cik, asyik rindu orang kat Russia saja,” Nur Asiah tersentak dengan sindiran Aiman. Langkahnya terhenti , wajahnya pucat tiba-tiba ,mana dia tahu? Sepantas kilat Nur merenung wak, wak ni memang tak boleh dipercayai, tak amanah langsung! Dulu kata tak nak buka rahsia ,tengok sekarang, apa yang wak telah buat? Tapi…macam mana dia nak amanah, Aiman,kan anak saudara dia.
                “Ni ha…Nur, surat kau,ada tiga pucuk semuanya,wak suruh Aiman bawa balik, tapi dia tak nak .Dia kata biar Nur yang ambil sendiri.” Ya ALLAH…surat dari Zarif rupanya. Zarif yang telah lama dia tidak hubungi, sejak dia menjadi isteri kepada Aiman. Tapi Zarif tak pernah berputus asa, Zarif tetap menghubunginya. Patutlah  pak cik  tu dah angin satu badan, temperaturenya  mengalahkan orang darah tinggi. Tak sabar-sabar nak balik, ini bermakna cemburu yang tak ada mata tu datang lagi dan Nur Asiah tak akan tahu nasibnya selepas ini.Suaminya kalau cemburu memang teruk, kadang-kala kalau ada orang pandang Nur, Nur juga yang kena marah. Orang macam ni pun ada ke? Hai dah nasib badan . Kenapa bahagia yang datang hanya sekejap saja , dan menghilang dalam sekelip mata.




Tuesday, September 13, 2011

Persis Bidadari Syurga bab 5


BAB 5
Dah berbulan memohon ,baru sekarang dapat ditunaikan ,tak apalah asalkan dapat juga jenguk mak dan ayah serta adik-adik. Tapi dalam hati bagai digeletek ingin tahu,apakah mimpi Aiman mengajak Nur Asiah pulang ke kampung. Sebenarnya apalah jauhnya sangat Kampung Kuala Sungai Baru yang terletak di Melaka tu dengan Kuala Lumpur? Kalau nak balik tiap-tiap minggu pun boleh,tapi apakan daya, Nur Asiah tak berupaya melakukannya. Dapat macam ni pun dah beribu syukur,dapatlah dia melempiaskan rasa rindunya yang menggunung.
Kereta yang dipandu oleh Aiman selaju 120km sejam pun masih terasa perlahan,kalau boleh biar laju lagi,tak sabar rasanya nak menatap dan membelek wajah tua mak,rindu yang sekian lama bersarang ingin dileraikan.
Nur Asiah memandang ke arah suaminya yang sedang tenang memandu,entah kenapa Aiman tiba-tiba saja mengajak dia pulang, rasa macam tak percayalah pula.Agaknya doa dia semasa solat hajat selama ini telah dimakbulkan oleh Allah. Tuhanku! Terima kasih,sesungguhnya hati-hati kami ini adalah milikmu. Nur Asiah meraut muka,segaris senyum menghias bibir.
“Kenapa senyum?” Aiman bertanya, rupa-rupanya tingkah Nur diperhatikan. Nur Asiah senyum lagi.
“Tak ada apa,saja terasa nak senyum.”
“Yalah tu…suka sangatlah tu ,balik negeri dia.” Senyuman Nur Asiah masih berbunga.
“Mestilah, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain,” Nur Asiah mengiakan.
“Abang, terima kasih.”
“Kenapa?”
“Sebab bawa Nur balik kampung, jumpa mak.”
“Hmm…” tanpa apa-apa ulasan, Nur Asiah menunggu ,tapi tiada kata yang keluar dari mulut suaminya,ah…biarlah lelaki memang begitu. Komunikasinya selalu tergantung, bicaranya tak jelas dan maksudnya susah nak sampai.
Sebaik saja kereta menjalar memasuki Kampung Kuala Sungai Baru, hati Nur mula kembang kuncup, detak-degup jantungnya seakan kedengaran di telinga. Wajah Nur mula berubah, kemerahan penuh ceria, dia rasa bahagia saat ini. Pandangan mata Nur tak pernah sehala, dia menoleh ke kiri dan kanan ,melihat jalan-jalan yang penuh kenangan, penuh nostalgia dan penuh kebahagian. Oh…kampungku! Seakan berbisik dia menuturnya.
Dedaun kepala melenggang-lenggok ditiup angin, angin pantai yang menderu bagai menyambut ketibaan Nur Asiah dan suaminya. Semua panorama indah yang berada disekeliling kampungnya belum berubah, masih seperti dulu. Masih ada orang yang sedang memancing di atas batu pemecah pantai,masih ada anak-anak kecil yang bermain di tepi jalan atau pun tepi pantai, masih ada jiran-jirannya yang suka bertenggek di pangkin tatkala hari siang yang terlalu panas. Mereka akan duduk beramai -ramai sambil makan cucur atau cicah mempelam muda atau paling tidak pun bergosip.
Mak Esah dan Pak Khalid berlari dari dapur dan menjenguk keluar jendela sebaik saja mendengar bunyi enjin kereta yang memasuki perkarangan rumah.Senyum Mak Esah sudah sebesar dulang .Pak Khalid mempamerkan wajah gembira untuk anak dan menantu kesayangannya.Menantu yang dicanangnya ke sana sini. Menantu yang amat dibanggakan, maklumlah orang bandar,orang Kuala Lumpur lagi.
Mak Esah berlari turun sampai ke laman, membuka pintu untuk Nur Asiah. Dengan wajah yang gembira, senyuman tidak pernah lekang dari bibir Mak Esah.Gembira kerana anak perempuan seorang yang dirindui sudah berada di depan mata. Nur Asiah menyalami dan mencium tangan Mak Esah,kemudian mencium kedua pipinya lalu tangan Mak Esah merangkul tubuh Nur Asiah. Alangkah kurusnya tubuh Nur! Detik hati Mak Esah, terkejut dia seketika.
“Mengapa kau kurus sangat nak?” Mak Esah bertanya perlahan tatkala Nur Asiah membalas rangkulannya. Nur Asiah tidak menjawab,tapi pelukannya semakin erat dan air matanya deras menuruni pipi. Nur Asiah tidak perlu bercerita, naluri seorang ibu sudah dapat membaca apa yang tersirat di bening mata anaknya dan pelukan kemas Nur telah memberitahu bahawa anak itu sedang menderita. Tuhanku...! Sabarkanlah anakku! Doa Mak Esah dalam hati.
“Hai Nur, takkanlah jumpa kami pun nak nangis?” Pak Khalid menyakat Nur sebaik saja menyalami tangan Nur Asiah.
“Ayah ni, orang gembira sangat mestilah nangis.” Nur Asiah membalas dan senyum diukir biar sedih itu berlari pergi.Nur Asia sedih sebab sudah berbulan-bulan lamanya dia tidak bertemu dengan ibu dan ayahnya, dari ayahnya sakit sampai ayahnya sembuh barulah dia menjenguk muka, anak apakah aku ni? Maafkan aku ayah, aku tak berdaya ! Air mata Nur Asiah kian lebat.
“Sudahlah tu Nur, karang tak pasal-pasal air laut tu jadi pasang bila bercampur dengan airmata kau,” Pak Khalid menyakat, Nur Asiah ketawa kecil,ayah memang begitu suka menyakat. Nur Asiah mencubit lengan ayahnya.
“Bila masa pula ketam ni naik ke darat ya?” Pak Khalid menggosok lengannya,Nur Asiah ketawa lagi,air matanya sudah kering. Mak Esah juga ketawa.
“Ayah ni ,suka,usik Nur.” Nur Asiah bersuara manja,terasa bahagia bila bersama mak dan ayah. Ayah memang garang , tapi dia juga penyayang dan lemah lembut.
“Nur ni manja orangnya, tapi jangan kau manjakan dia sangat,nanti naik lemak.”
“Memang Nur manja,sikit-sikit menangis,” Nur Asiah terkejut dengan ulasan suaminya, dia menoleh ke arah Aiman yang sedang merenungnya. Nur menjadi takut dengan renungan itu, ada ugutan dalam renungan. Puihh!!! Pora chit! Manja konon,dah kau balun aku selalu, mana aku tak menangis,kerbau yang badan besar pun menguak bila kena palu,inikan pula aku yang kurus cekeding, akai ada ke? Amboi! Beraninya menyumpah suami? Memanglah berani kalau dalam hati saja. Tak baik menyumpah suami, apa-apa pun sabar ajelah.
Mak Esah sudah pun menyiapkan makan tengah hari untuk Nur Asiah dan suami,tunggu duduk dan makan saja. Nur melilau-lilau mencari kelibat adik-adiknya, seorang pun tak ada.
“Mak mana dia orang semua? Hari tak sekolahpun takkan tak ada kat rumah?”
“Hmm…bukannya Nur tak tahu Naim dan Liki tu,asal cuti aje lesap.”
“Mereka pergi mana?” Tak sabar Nur nak jumpa adik-adiknya, rindu sangat.
“Dia orang tu kerja, kat chalet tu, Naim ambil upah basuh pinggan, Liki pula jaga tandas awam kat pantai tu,” jawab Mak Esah sambil menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Sedih hati Nur mendengarnya. Kalaulah aku dapat membantu ayah ,pasti adik-adikku yang masih kecil itu tidak perlu bekerja seperti itu,tugas mereka hanyalah belajar,bukannya mencari rezeki ,lagi pun Naim akan mengambil peperiksaan PMR tahun ini dan Liki pula UPSR. Alangkah ruginya kalau mereka tidak berjaya dalam pelajaran. Tuhanku...! Bantulah keluargaku. Nur Asiah menyeka air mata agar tidak tumpah.
“Kenapa Nur?” Mak Esah kehairanan.
“Ah…tak ada apa-apalah mak, jom makan, Nur dah tak sabar ni. Banyaknya lauk mak masak,” Nur Asiah buat-buat teruja,tapi memang dia lapar, apalagi bila nampak lauk asam pedas ikan pari.
“Hmmm…pasti sedap, dah lama Nur teringin nak makan asam pedas ikan pari.”
“Takkan Nur tak tahu masak asam pedas?”
“Tahu, tapi ikan dia tak sedap,tak segar macam kat sini. Mana mak dapat ikan ni?”
“Ayah kau pergi cari kat jeti,bila dapat tahu Nur nak balik, pergilah panggil Aiman dengan ayah tu makan.” Nur Asiah mengia dan terus berlalu keluar.
Sebaik saja mereka berada di hadapan hidangan, Nur Asiah menyudukan lauk untuk Aiman dan mempelawa Aiman makan, kemudian selepas itu barulah dia makan.Mak Esah memerhati gelagat mereka berdua.
“Nur, kenapa awak makan gelojoh sangat? Macam orang tak makan berbulan-bulan?” Mak Esah menegur,Nur Asiah mengangkat muka dan tersedar dirinya diperhati. Aiman merenung ke arah Nur, memang dia perasan Nur makan macam orang mengamuk,ini ambil,itu ambil dan semuanya Nur telan,terutama pokok yang berdaun hijau dicicah benda busuk tu,geli tekak Aiman melihatnya, dan Nur pula macam kambing yang sedang meragut rumput.
“Sedap sangat mak,dah lama tak makan macam ni,ulam raja dan ikan bakar,cicah cincaluk yang diperah asam ,bubuh cili padi serta hirisan bawang merah. Wah…terangkat mak,” Nur tak peduli ,makannya tetap berselera walaupun ditegur.
“Selama ini kat rumah kamu tak ada cincaluk ke?” Mak Esah hairan.
“Tak ada, abang tak suka,busuk katanya,” Aiman berhenti menyuap,lalu menjeling Nur. Hah…jeling-jeling tu,nak marahlah tu, benda macam tu pun nak marah,baran tak bertempat. Dah memang betul awak tak bagi orang makan benda tu.
“Oh…ya ke,” perlahan saja suara Mak Esah,dia mengerti perasaan Nur, patutlah Nur makan macam orang mengamuk. Tapi…kut Nur tengah mengidam kut?
“Nur, jangan-jangan awak tu mengandung tak? Makan berselera semacam aje,” pandai saja Mak Esah nak buat cerita.
“Taklah, ke situ pula mak ni.”
“Tak ada maknanya mak, kalau Nur mengandung, sayalah orang yang paling gembira sekali,” celah Aiman.
Aiman memandang Nur dan Nur mengangkat kepala lalu buat bodoh. Ah…potong stim betul,orang tengah khusyuk makan, dia cakap benda yang merepek-repek pula.
“Yalah,kau orang kan dah dua tahun kahwin,takkan tak ada apa-apa lagi?”
“Allah belum bagi rezeki mak,sabar ajelah,” mudahnya Nur Asiah menjawab,seolah-olah tak kisah walaupun tiada anak. Mak Esah menggelengkan kepala. Eish!!! Tak fahamlah aku dengan budak-budak ni!
Sebelah petang baru adik-adiknya balik dari chalet tempat mereka bekerja,kata Naim ,dia diberi gaji RM 15 sehari dan Liki gajinya RM 10 sehari, memang tak banyak ,tapi bolehlah bagi menampung duit poket sekolah seminggu, kerja pun sabtu dan ahad saja.
“Abang,Nur nak ke pantai sekejap,” Nur meminta izin dari suaminya yang sedang bersantai di atas pangkin dibawah pokok mempelam.Nur bercadang nak bermain-main dengan adik-adiknya,tapi Aiman lambat benar memberi izin ,matanya melihat ke pantai. Naim dan Liki sedang menunggu kakaknya di pantai. Hai...! Lamanya nak beri jawapan,takkanlah dengan adik-adik aku pun nak cemburu? Sewel ke apa? Hoi...! Tak baik ngata laki awak! Nur Asiah buat muka kasihan.
“Yalah, tapi jangan lama ,takkan abang nak duduk sorang-sorang kat sini.”
“Baik abang,terima kasih.” Nur Asiah gembira sangat ,senyumnya lebar di bibir. Sebuah ciuman singgah di pipi Aiman sehingga Aiman terkesima,Nur Asiah tak pernah berbuat demikian selama ini. Tetapi kerana terlalu gembira ,aksi spontan pun terlepas. Sepantas kilat Nur Asiah berlari ke arah Naim dan Liki yang sedang menunggunya. Aiman melihat dari jauh. Nur! Nur! Perangai macam budak-budak,memang betullah Nur ni manja ,tapi Aiman suka dengan kejutan yang NurAsiah berikan. Nur…abang berjanji akan tawan hati dan cintamu!
“Liki,macamana pelajaran kau?” Nur Asiah bertanya.
“Okay ,tak ada masalah, kenapa kak tanya?”
“Kak risaulah dengan pelajaran kamu,sebab masa kamu habis di tempat kerja,” gusar hati Nur.
“Alah kak, kerja hujung minggu saja, dah dekat nak periksa nanti kami berhentilah.”
“Kamu berdua kena belajar sungguh-sungguh,biar berjaya macam Abang Zahid dan jangan jadi orang yang kecundang macam kak ni. Kak rasa macam orang bodoh dan tak berguna saja,bila tak ada pelajaran dan tak dapat bantu keluarga.”
“Kak jangan berfikiran macam tu, kak bukan tak pandai, tapi takdir yang mencorakkan begini. Kami pun tak faham dengan ayah,kenapa dia kahwinkan kak,padahal kak masih muda,” Naim melahirkan simpati.
“Dah nasib kak agaknya,” Nur Asiah meluah bersama keluhan.
“Kak tahu, mak tu bila dia ingat kak, dia pasti menangis.Kata mak dia dapat rasakan kak menderita tinggal kat Kuala Lumpur tu.”
“Hah…mak kata macam tu?” Naim dan Liki mengangguk serentak. MukaNur Asiah jadi kelat.
“Eish...! Mana ada,mak ni pandai aje nak reka cerita,” Nur Asiah meningkah.
“Kalau tak, kenapa badan tu kurus macam lidi saja?” Amboi! Pandainya Naim…Nur Asiah menyengih.
“Kak Nur ni nak jaga badan,biar slim selalu,” Nur memulas telinga Naim. Liki ketawa.
“Kak ingat orang laki ni suka sangat ke dengan perempuan yang kurus macam papan sekeping,tak ada apapun yang nak ditengok,kosong aje, macam landasan kapal terbang, ” bukan main lagi Naim mengata, jaga kau. Sekali lagi Nur nak pulas telinga Naim,tapi cepat-cepat dia lari. Sesuka hati saja mengutuk orang.
“Eh, Naim, kau tu umur baru setahun jagung,dah pandai nak menilai perempuan,” marah Nur bila diejek oleh Naim.Naim ketawa kuat,akhirnya Nur tersenyum juga.
“Betul kak,orang laki suka yang berisi, macam Naim tu, dia sukakan anak Kak Senah janda yang gemuk kembung ,putih gebu tu,” Liki membuka cerita selamba badak saja mengejek Naim.
“Hah… Kak Senah janda?” Terkejut Nur Asiah.
“Kak Senah janda buat apa? Anak dialah,si Ayang tu,” Liki ketawa ,Naim marah lalu dikejarnya Liki, kedua-duanya berkejar-kejaran.
“Kenapa tak ambil saja Kak Senah janda tu, lagi gebu,lagi cantik dari anaknya,” ha...ha...ha...Nur Asiah ketawa kuat.
“Yalah kak, kita tengok Naim bertarung dengan Wak Seman,siapa yang menang,dialah yang dapat memiliki Kak Senah janda,” Liki tak puas lagi mengenakan Naim. Naim cukup marah.
“Woi! Mangkuk,nanti kau!!!” Naim memberi amaran pada Liki.
“Kejarlah kami kalau dapat!!! Kak Senah janda…! Kak Senah janda!” Nur Asiah mengejek sambil ketawa yang mengekek-ngekek sampai senak perut dan air matapun meleleh kerana terlalu kuat ketawa. Sudah lama benar dia tidak merasai ketawa seperti ini,ada kelegaan pada hati yang selalu ketat,secubit derita pun berlalu setelah bahagia mengambil tempatnya.
Naim berlari laju mengejar Nur Asiah,akhirnya dia dapat menangkap ,lalu dicempongnya untuk dihumbankan ke dalam laut,dia tahu kakaknya tak akan lemas,anak laut mana boleh lemas sebab dari kecil lagi dah pandai berenang.
“Woi Naim! Kak tak nak mandilah!!!” Nur Asiah menjerit sambil ketawa.Naim juga ketawa.
“Nah!!! Rasakan!” Nur dihumban dan Naim ketawa puas.
“Kak,agaknya kalau Naim dah tak suka kat si Ayang tu, dia humban Ayang kelaut,” Liki masih menyakat, Naim tak boleh buat apa lagi, dia hanya menyimbah air pada muka Liki.Mereka kini semuanya berada didalam air.
“Mana boleh humban, Ayangkan berat, macam dugong! Ha…ha…ha…” Nur Asiah menjerit sambil ketawa,saja nak sakitkan hati Naim.
“Kalau macam tu,dia heret si Ayang tu, pakai kereta lembu , ha..ha…ha…” Liki tak habis-habis menyakat Naim. Akhirnya Naim juga ketawa sendiri,agaknya terbayang bagaimana dia mengheret si Ayang yang berat tu.
Mereka ketawa lagi dan lagi sambil bermain dalam air.Kenangan indah kembali terpatri.
“Seronok nampak, boleh abang joint? Nur Asiah terhenti ketawa bila terdengar suara di belakang.Bulat matanya merenung Aiman,mungkin baru dia sedar, dia telah lama meninggalkan Aiman sendirian, janji tadi sekejap saja,tentu suaminya marah.
“Abang sorrylah, Nur lupa,” Nur Asiah mempamer muka bersalah sambil membetulkan tudungnya yang mula senget.
“Yalah, abangkan,mana pernah ada dalam ingatan Nur,” macam jauh hati aje? Aiman merenung Nur yang sudah basah semuanya. Dalam hatinya Nur Asiah tetap cantik walau dalam apa keadaan sekalipun. Aiman cemburu melihat Nur boleh bermesra dan bergelak ketawa dengan adik-adiknya begitu sekali, sedangkan dengan dia, Nur selalu tidak menatap matanya bila bercakap, apa lagi untuk bergurau senda seperti ini,susah sangatkah Nur Asiah nak menerimanya dan meletakkan cintanya dalam hati?
“Eh abang, nak joint kita orang jomlah!” Liki dan Naim menarik tangan Aiman masuk kedalam laut.Mula-mula Nur Asiah merasa kekok bermain bersama suaminya,tapi sejurus kemudian dia berasa seronok dan bahagia bila Aiman mengusik,memegang dan memeluknya.
Kalau boleh dia ingin beritahu laut,bahawa hari ini dia bahagia, dan ingin dia tulis dalam dairi hidupnya seperti hari ini dalam sejarah.