NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Thursday, September 12, 2013

AWEK ABANG POYO BAB 3




BAB 3

        “BERCINTA dengan orang tua, dah tak ada ke lelaki muda kat dunia ni?” sindir Anas Irfan yang duduk melengu di kaunter cashier sebaik saja Abang Rahim keluar. Saja dari tadi duduk kat situ, sebab nak menadah telinga. Kata orang seberang, nak menguping.
        “Heh mamat poyo, suka hati akulah nak bercinta dengan siapa? Kalau aku bercinta dengan datuk kepada datuk kau, itu pun kau tak perlu ambil kisah. Hal engkau ada aku kisah. Kau ada? Diri aku, suka hati akulah!” melengking suara Kasdina Alya. Nasib baik café dah tak ada pelanggan.
        “Nampak sangat kau tu dah desperate. Desperado!” Anas mencebik bibir, mengejek.
        “Lantak akulah, desperate ke, desperado ke, ‘despairbodo’ ke. Lu apa hal, Lu apa kes, aku bukannya minta tolong kau pun. Apa kau peduli?” Tajam mata Kasdina Alya merenung mamat poyo yang berada di hadapannya. Kalau boleh nak saja dia rebus mamat ni buat sup. Eiee… geramnya!
        “Memang taklah tak ada kena-mengena dengan aku, tapi gelagat kau orang tadi telah membuatkan mata aku sakit. Lebih kurang macam pencemaran penglihatan gitu. Polluted tau tak?”
        “Polluted kepala hangguk dan kepala hotak kau. Kalau dah kau kata pencemaran, tapi kenapa kau pandang aku juga?” Sakit hati betullah dengan mamat tiga suku ni.
        “Sebab kau dah tertonggo kat dalam café ni, terpaksalah aku tengok. Takkan aku kena pejam mata, macam mana nak kerja? Akai ada ke?” Anas Irfan masih belum puas berhujah.
        “Aku rasa kau ni ada masalah psiko, something wrong  somewhere, kalau tak, kau tak akan jadi macam ni. Lelaki yang normal selalu bersikap matang dalam setiap tindak-tanduk dan perkataan.” Nah ambil kau, dapat sebijik. Puas hati? Nak sangat.
        “Aleh, macamlah kau tu normal sangat, sikit-sikit jerit, mengalahkan bini Tarzan yang kehilangan anak,” ketawa Anas Irfan melihat Kasdina Alya yang sudah kehilangan kata-kata dan terus melarikan dirinya ke dapur. Mak Cik Singa tu memang macam tu, bila dah nak kalah mula nak lari. Lemah jiwa betul. Tapi yang hebatnya Mak Cik Singa tu tak pula nak gugurkan air matanya bila kena kutuk dan kena ejek.Tahan pula dia. Agaknya dia tak ada perasaan kut, sebab tu tak macam perempuan lain. Ah… buat apa dok fikir pasal dia, kerja dah habis, balik rumah, tidur lagi bagus.

        KASDINA Alya memasuki ruang dapur untuk memulakan tugasnya sebagai tukang masak yang dibayar khas di rumah Datuk Zakaria Sulung dan Datin Azizah yang terletak di kawasan posh, St John’s Wood, Swiss Cottage, kira-kira 10 minit perjalanan dari pusat bandar itu. Bukan tak ada tukang masak di rumah besar ini, tapi untuk malam ini Datuk Zakaria nak hidangan yang berjenis-jenis. Ala-ala gaya hotel gitu. No problem… beres dol!
        Terpegun Kasdina Alya melihat suasana dapur kontemporari yang moden dan cantik. Segala kelengkapan memasak ada, ruang dapur yang luas dan bersih. Peti ais yang besar dan meja dapur yang cantik. Di ruang dapur juga ada diletakkan pokok-pokok berdaun hijau, tidak ketinggalan pokok Aloe vera, suatu kombinasi yang berpadanan dengan dinding yang berwarna putih cerah. Wah… cantiknya, pasti Kasdina Alya dapat memasak dengan penuh ceria dan bahagia.
        “Kenapa Kas?” tegur Datin Azizah, sebaik saja melihat Kasdina Alya seperti sedang tenggelam dalam dunianya.
        “Sorry datin, saya teruja sangat dengan dapur datin ni, cantik sangat. Pandai datin decorate. Rasa bahagia bila berada di dapur datin,” puji Kasdina ikhlas.
        “Alah, saya ni buka pandai mana pun, try and error kata orang, kalau tak suka, ubah balik.”  Datin Azizah merendah diri.
        “Tapi saya suka cara datin hias, nampak seni dan mendamaikan, bukan hanya sekadar dapur. Konsep, juga design, kira-kira ada designer touched dan signature gitu. Kalaulah saya dapat dapur seperti ini, saya tak akan keluar ke mana-mana.” Kasdina Alya ketawa sendiri.
        “Kas memang suka memasak?” tanya Datin Azizah.
        “Ya suka. Saya bercita-cita untuk memiliki sebuah café yang cantik dan moden satu hari nanti, kalau ALLAH izin. Sebagai tempat orang bersantai dan membuat pertemuan serta tempat orang merasai hidangan lazat yang menjadi trademark saya.” Kasdina Alya ketawa lagi dengan angan-angannya sendiri. Tak malu, angan-angan Minah Jenin pun nak beritahu orang.
        “Saya doakan suatu hari Kas akan dapat apa yang Kas
impikan.” Kasdina Alya mengangguk dengan kata-kata datin. Biarlah ianya jadi kenyataan.
        “Untuk malam ini apa yang datin nak saya sediakan?”
        “Saya nak Kas masak, masakan ala Siam, Tom Yam, Ikan Tiga Rasa, Sotong Goreng Butter, Ketam Sweet Sour, Kerabu Mangga, dan untuk starter Kas buat Popia berinti daging atau Bergedil. Manakala untuk dessert Kas buat Sagu Gula Melaka bersama krim, boleh! Semua bahan-bahan sudah saya beli dari Chinatown Soho dan sebahagiannya di mini market Thai kat Queensway petang tadi. Sea bass, squids dan crabs yang nampak segar tu datuk beli kat fishmonger Kilburn High Road, minced meat dan lain tu kat kedai Halal Meat & Poultry Pakistan, juga kat sana, tapi kalau ada apa-apa yang tak cukup beritahu saja saya,” arah Datin Azizah.
        “Datin, boleh saya tanya?”
        “Kenapa datin tak buat western food?”
        “Alah, western food tu bukan sedap mana pun kalau nak dibandingkan dengan makanan dan taste kita orang Melayu yang cukup rasa pedas, manis dan masamnya. Dengan lebih tepat selera kita orang Nusantara. Saya pun dah lama tak merasa masakan Tom Yam yang kaw-kaw ni. Bila buat sendiri tak ada pula rasa sedap mana pun, semua yang ada dalam resipi dan segala arahannya patuh belaka, tapi rasa out, apa yang tak kena tak tau le,” cerita Datin Azizah sambil ketawa yang bersambut dengan ketawa Kasdina Alya.
        “Okey, malam saya akan masak special punya untuk datin sekeluarga dan tetamu. Datin jangan risau, saya janji akan masak hidangan dengan sempurna seperti apa yang datin kehendaki,” janji Kasdina Alya sungguh-sungguh.
        “Terima kasih Kas, kalau Kas nak minta tolong apa-apa, panggil saja Kak Jah.” 
        “Ya datin. Okey. Satu lagi datin, saya nak tahu berapa orang tetamu yang akan hadir, ramai ke datuk jemput?”
        “Sekitar lapan orang. Kenapa tak cukup bahan ke?” Risau nampaknya datin Azizah.
        “Eh, tak… cuma saja nak tahu supaya senang nak agak untuk masak, plus keluarga datin yang beberapa orang lagi tu. Perlu juga estimate dan buat sukatan yang betul agar tidak membazir,” jelas Kasdina jujur.
        “Bagus, ada gaya seorang tukang masak yang mahir,” puji Datin Azizah. Belum apa-apa lagi dah kembang hidung Kasidna Alya dengan pujian mak datin.
        Di dapur yang cantik dan mewah itu, seorang gadis sedang rancak ‘bersilat bawang’ dengan resipi masakan ciptaannya seperti yang dihajati. Pantasnya dia bekerja mengalahkan lipas kurang upaya. Zap zip zup, sampai Kak Jah yang sedang membantu memotong sayur pun terpusing-pusing  bola matanya melihat kelincahan Kasdina Alya beraksi. Agaknya kalau masuk pertandingan Master Chef, pasti dia menang.
        Dalam keadaan sibuk dan rancak itu, tiba-tiba Kasdina Alya berhenti dari meneruskan tugasannya. Kemudian dia menghampiri Kak Jah yang sedang memotong sayur.
        “Kak Jah, Kas nak tanya sikit boleh?”
        “Nak tanya apa?” Kak Jah bertanya balik.
“Kak Jah, rumah ni ada hantu tak?” 
“Eh… mana hantu?” Muka Kak Jah dah jadi macam asam kecut. Penakut!
“Eh, Kak Jah ni, belum apa-apa pun dah takut. Maksud saya tadi, Kak Jah pernah nampak hantu ke kat rumah ni?” ketawa Kasdina melihat muka Kak Jah yang ketakutan. Baru dengar perkataan hantu, dah jadi macam tu, kalau terserempak, agaknya pengsan terus, hihihi…
“Oh, Kak Jah ingat Kas ada nampak hantu tadi.”
“Laa… tulah sebabnya saya tanya. Saya nampak kelibat orang yang saya kenali kat sini. Entah-entah saka belaannya mengikuti saya sampai kat sini. Bila tuan dia tak dapat mengacau saya, dia suruh saka dia yang ikut saya,” tuduh Kasdina Alya tanpa asas.
“Kau ni Kas, percaya yang karut-marut tu, tak baik tau. Janganlah kau sebut pasal saka-maka ni, takut Kak Jah, meremang bulu tengkuk dibuatnya.”
“Habis yang saya nampak tadi siapa?”
“Dahlah tu, kau salah orang tu.”
“Kak Jah, tetamu dah sampai ke belum?”
“Belum, lambat lagi, kita masih ada tiga jam sebelum tetamu sampai. Kenapa Kas dah siap semua sekali ke?”  Pelik Kak Jah melihat Kasdina Alya ni.
“Kalau tetamu belum sampai, bermakna orang yang saya lihat tadi ialah hantu!” Kasdina Alya menyakat Kak Jah.
“Hiss… kau ni, dah, sambung aje kerja yang belum siap tu,” arah Kak Jah. Kasdina Alya ketawa mengekek melihat rupa Kak Jah yang nampak pucat. Ketawa, ketawa juga, tapi dalam kepalanya soalan yang bercambah tadi belum lagi terjawab. Siapa yang dia nampak tadi? Mungkin juga hantu si mamat tu yang mengekorinya sampai ke mari.
Tangan Kasdina Alya ralit membasuh sayur-sayuran, kemudian sayur-sayuran tersebut dimasukkan ke dalam bekas. Kelihatan tangannya bukan main ligat bekerja, tapi kepala otaknya merewang-rewang entah ke mana, sampai balik ke Malaysia dalam sekelip mata. Itu untungnya kalau berkhayal, mana-mana pun boleh pergi, percuma aje, senyum Kasdina Alya sendiri. Dah macam minah senteng nampak?
Kasdina Alya mengangkat semua sayuran yang dibasuh tadi untuk diletak di atas meja sebelum dipotong. Dengan sekali pusing saja dia telah mengadap ke arah Kak Jah yang sedang tercatuk di atas kerusi.
“Mak… hantu!!!” kuat jeritan Kasdina Alya  kerana terkejut dan terlambung segala benda yang dipegangnya. Mana tak terkejut beruk, pusing je badan, ada orang kat belakang. Sape suruh datang diam-diam. Salam tidak, bersuara pun tidak. Tiba-tiba aje berdiri di belakang orang. Tapi yang buat lagi rasa terkejutnya ialah macam mana mamat poyo tu boleh berada di hadapannya. Ingatkan tadi jelmaan atau sakanya saja.Tapi sekarang real punya, tuan punya badan yang tercegat memerhatikannya tanpa sebarang audio.
Kak Jah ketawa mengekek bila melihat Kasdina Alya yang terkejut jiddan itu. Baru padan muka, ada hati nak menyakat orang. Sendiri penakut mesti mau ingat. Ketawa Kak Jah masih bersisa dan masih lagi bergema di ruang dapur, mengenangkan gelagat Kasdina Alya yang terkejut sungguh dan mengalami kejutan yang mengalahkan beruk. Hahaha… lawak juga si Kas ni, ingatkan dia ni seorang yang pemberani, siap usik kita segala, tapi tengoklah terkejut sikit saja dah macam nak koma, nasib tak tergolek dog.
“Kenapa Kas, terdiam terus tanpa suara? Dah terpikat dengan abang handsome ke?” usik Kak Jah yang masih lagi tak habis ketawa. Macamlah lawak sangat, tapi muka Kasdina Alya sudah merona merah. Malu kerana terkejut sangat sampai terpelanting habis segala jenis aneka sayuran. Tapi ada satu yang tak betul dan yang tak kena seperti always. Kenapa mamat ni diam saja tanpa berkata apa-apa? Mana perginya mulut busuk yang berbisa tu? Yang selalu diguna untuk menembak orang? Yang terlalu menyakiti hati orang? Kenapa diam? Nak kontrol macho kat depan Kak Jah ke? Ceh… hipokrit, pandai pula dia berlakon. Kalau tak, mulut tu macam bertih, ada saja yang nak dikata dan disakatnya, sampai kan hati ini selalu saja terbakar. Pelik sungguh… mamat ni ada dua watak yang berbeza ke, atau memang jenis spesies dua alam?
Tanpa mengucapkan apa-apa Anas Irfan berlalu dari ruang dapur. Betul ke itu mamat poyo? Lain macam saja nampak, sikit pun tak nampak poyo. Salah orang kut? Atau pelanduk dua serupa.
“Kak Jah, tadi tu siapa?”
“Kenapa dah terpikat ke?”
“Hiss… Kak Jah ni, orang tanya sajalah, bukannya berminat pun!”
“Itu Anas, anak buah datin. Dia selalu datang ke mari.  Kenapa Kas kenal ke?”
“Tak kenal sangat, gitu-gitu aje,” ha… menipulah tu.
“Anas tu baik budaknya, sopan dan ringan tulang.” Pujian Kak Jah tu membuatkan Kasdina Alya ternganga. Sungguh tak diduga mamat poyo tu pandai sungguh berlakon dan menyembunyikan watak sebenarnya. Kasihan Kak Jah dan datin. Hidup-hidup dah kena kelentong dek mamat poyo tu. Alahai poyo…








AWEK ABANG POYO BAB 2


                                             BAB  2

        DENGAN lafaz Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, Kasdina Alya mula menyusun langkah dengan penuh hati-hati menyusuri jalan yang licin. Semilir angin dingin menyapa wajahnya yang tidak bertutup sebaik saja dia melepasi pagar kayu rumahnya. Sejuk dan pesi.
        Tak ramai manusia yang mundir-mandir pada waktu winter begini ni, kerana kebanyakan aktiviti outdoor dikurangkan ataupun dihentikan buat sementara waktu. Suasana alam menjadi berubah dan landskap bumi juga menjadi amat berbeza. Tidak ada warna lain yang kelihatan melainkan warna putih yang telah menutup muka bumi dan apa yang ada di hamparannya. Seumpama berada di lautan kapas. Kalau waktu autumn dulu di hadapan rumah sewanya ada pokok Maple yang berdaun keemasan, lebat dan cantik, tapi sekarang pokok tersebut hanya tinggal batang dan ranting yang telah dibaluti salji.
        Kasdina Alya mempercepatkan langkahnya menuju ke tube station. Walaupun pada kebiasaannya tidaklah jauh sangat rumah mereka dengan Queen’s Park Underground ni, tapi dalam musim sejuk begini terasa lambat dan jauh pula rasanya. Ditambah pula dengan boot Dr. Martens yang dipakainya sedikit berat. Salji yang turun bagai gerimis pagi seperti shaved ice menjadi bertambah lebat, berubah menjadi snowflakes. Payung merah AirAsia yang diguna oleh Kasdina Alya menjadi senget bila salji tak henti-henti menimpa. Agaknya kalau dia berdiam diri di tepi jalan ini buat beberapa minit saja tanpa payung, dia akan menjadi orang salji. Salji yang turun pagi ini lebih tebal dari semalam. Harap-harap tahun ini tidak seteruk tahun lepas yang hingga mengakibatkan terputus perhubungan udara dan darat kerana salji turun dengan lebat sekali.
        Sebaik saja sampai di hadapan sebuah restoran kat Notting Hill Gate, Kasdina  Alya berhenti seketika, mendongak ke arah papan tanda yang tertulis Bunga Tanjung Restaurant. Wah... best juga nama Bunga Tanjung ni, sebab ianya selalu mewangi walaupun sudah kekeringan. Di sebelah papan tanda, ada bendera Malaysia yang kaku bermandikan salji. Ingatkan Sang Saka Malaya! Alahai… kesiannya Jalur Gemilangku yang kedinginan. Kalau kat tanah tumpah darahku, pasti Jalur Gemilang ini akan megah berkibar bila ditiup angin.Tapi yang bagusnya kat sini, bila nampak Jalur Gemilang terpacak di mana-mana, bermakna anak bangsa kita sudah di persada, menapak di arena antarabangsa. Glokal buat kata tuk ketua. Anak Melayu khususnya sudah berani melebarkan sayap di atas tanah bekas penjajahnya. Bangga tak? Mestilah bangga. Kalau dulu si penjajah Inggeris mengaut segala isi perut harta negara kita dan diangkutnya balik ke tanah tumpah temboloknya, maka sekarang sesuai sangatlah kita semua punggah pula pound sterling bawa balik ke negara kita pula. Adilkan? Kalau dulu JWW Birch bersama macainya hangkut bijih timah buat Tower Bridge, sekarang turn kita pula hangkut, erm.. ermm… angkut apa ya, hah! Hangkut taik bijih budaya Punk buat jambatan biol, itu kata generasi X yang mengkagumi budaya itu, not me. Tak nak, tak nak, tak naak…
        “Kalau rasa nak pergi minta kerja, masuk sajalah,” satu suara ghaib menyuruhnya dari belakang. Hiss… siapa ni? Tegur tidak, salam pun tidak, tiba-tiba saja menyindir dari belakang. Cakap Melayu pula tu. Kasdina Alya menoleh ke arah datangnya suara. Dah sah seperti yang aku syak, Mr. Poyo sudah mali.
        “Yang kau sibuk kenapa, suka hati akulah, nak kerja kat mana!” jerit Kasdina Alya terhadap lelaki yang sudah pun berlalu meninggalkannya. Hiss… si poyo ni tak habis-habis nak menyakiti hati aku. Mana dia tahu dalam kepala aku ni ada angan-angan nak tanya kerja kosong kat sini?
        “Huh… si poyo penyibuk betul, memang pun tadi aku sedang berkira-kira nak berkerja kat sini. Kau tahu kenapa? Sebab aku dah tak nak tengok muka si poyo tulah. Buat sakit hati saja bila kena mengadap muka kau! Walaupun sebulan lapan kali.” Kasdina Alya marah dan merungut sendiri. Dah macam orang meroyan.
        “Aku tak suka kau poyo, aku benci sangat dengan kau!” jerit Kasdina Alya sambil menyepak-nyepak salji di kakinya. Muka yang tadi ceria, dah jadi masam kelat macam masam Buah Nam-Nam muda.
        Pintu café dibuka dan Kasdina Alya memboloskan diri.
        “Kenapa tak kerja kat restoran baru tu? Orang tak terima kau ke?” Bukan ucapan salam atau ucapan selamat pagi yang dia terima dari Anas Irfan, tapi kata-kata berperisa cili api yang hadiahkan padanya. Dahlah kata-kata di jalanan tadi telah menggoncang kesabarannya. Ini nak menambah lagi tahap kepanasannya, walaupun di luar tu below zero. Karang terbakar café ni, siapa nak jawab?
        “Kau bukannya layak kerja kat situ, sebab kau masak bukannya pandai sangat. Tak sedap manapun masakan kau tu, sebab tu kau tak diterima.” Anas Irfan menuang minyak ke atas unggun api.
        “Heh… Encik Poyo bin Mangkuk Ayun, kau peduli apa kalau aku masak tak sedap, aku bukan masak untuk kau pun, janji customer suka sudah! Tak ada kena-mengena dengan kau, samada waktu kau hidup, mahupun bila kau dah mati, faham?” menyinga Kasdina Alya. Sakit hati yang teramat sangat. Beginilah setiap hujung minggu.Terpaksa memasak dalam mood yang dirobek-robek. Hantu punya mamat.
`       “Amboi… garangnya. Itulah sebabnya masakan kau tak sedap, kau selalu memasak dalam keadaan marah, bengis dan tak ikhlas. Kalau kau nak makanan kau jadi sedap, kau kena memasak dalam keadaan tenang, sabar dan senyum sokmo,” tegur Anas Irfan sambil nyengih.
        “Heh… poyo, tak payah kau nak berlagak baik dengan aku. Aku hangin satu badan pun disebabkan kau! Kau yang selalu buat aku hilang mood dan jadi pemarah.”
        “Aik, salah aku pula. Sendiri punya habit buruk, orang lain pula yang kena tanggung. Banyak cantik! Akai ada ke?” jawab Anas Irfan sambil ketawa. Terbakar isi nurani Kasdina Alya dibuatnya, walaupun di luar sana, cuaca terus mendingin. Dengan rasa hati yang terlalu panas, Kasdina Alya membawa diri ke ruang dapur.
        “Hai dah nak pergi dah?” usik Anas Irfan.
        “Tengok tungku dapur lagi bahagia dari tengok muka kau yang tak proportionate tu.” Kasdina Alya bangun lalu menyepak kaki kerusi yang tak berdosa. Dua tiga orang pekerja yang sedang mengemas meja dan mengelap lantai ketawa dan senyum-senyum melihat akan keadaannya. Dah faham sangat dengan situasi hujung minggu begini. Macam hiburan teater pun ada. Mat saleh punya le hantu dan gila teater. Kalau yang ini boleh le letak tajuk “Kucing Parsi dan Anjing Rom.” Untuk mudah faham orang sini, memadai disebut ‘CatDog’ saja sudahlah. Pasti gempak! Amacam… boleh! Kalau boleh, maknanya Malaysia boleh!
        Bila di dapur, Kasdina Alya cukup sibuk dan ligat. Ke hulu ke hilir macam orang yang sedang bersilat. Pantas dan cekap. Tiba-tiba saja dah siap satu masakan, kemudian siap satu lagi masakan, kemudian, kemudian, kemudian... Dalam masa tak sampai dua jam dia boleh siapkan menu makan tengahari. Siap dengan sambal belacan lagi. Cayalah… mana bos tak sayang, mana kawan-kawan tak suka, sebut saja nak makan apa, semua dia boleh masakkan. Agaknya kelebihan inilah yang buatkan mamat poyo tu dengki sangat dengannya.
        “Kas, ada orang nak jumpa,” laung Tini yang berada di muka pintu dapur.
        “Siapa?” Kasdina Alya membasuh tangannya dengan washing liquid sebaik saja habis membersihkan perkakas dapur yang berminyak.
        “Keluarlah cepat, penting katanya.” Tini memanggil lagi. Terkocoh-kocoh Kasdina Alya keluar dari dapur. Siapalah agaknya yang nak jumpa aku? Entah-entah member dari rumah sewa aku, tak pun pegawai-pegawai dari Home Office buat spot check kut!  
        “Hello darling, my dear Kasdina Alya. You alright mate, hows is going gal?” Abang Rahim menyambut kedatangan Kasdina Alya penuh meriah dengan accent cockney yang tak berapa nak jadi, sampai pelanggan yang sedang makan pun tertoleh-toleh. Kas pun tak nak kalah, berhempas pulas dia menjawab, “Yeah I’m fine mate, just doing a bit of creating new recipes.”
        “Apalah Abang Rahim ni, buat malu Kas aje, dah tu buat  suspen orang, ingat mat saleh mabuk mana yang datang.”
        “Habis, Kas tak sukalah jumpa abang?”
        “Taklah pula maksud begitu. Kenapa abang Rahim cari Kas?” soalan dijawab dengan soalan.
        “Abang datang ni nak tanya Kas, nak ke tidak…” 
        “Tengok wayang?” Belum pun sempat Rahim menghabiskan ayatnya, Kasdina Alya dah teruja.
        “Hiss… tak menyempat. Banyaklah kau punya wayang. Kau nak suruh Kak Midah kau pelangkong kepala abang ni dengan kayu baseball?” 
        “Alah, tengok wayang dengan Kas pun nak cemburu?” ketawa Kasdina Alya. Seronok dia menyakat Abang Rahim.
        “Kas bukan tak tahu dengan Kak Midah kau tu, kalau tiang lampu tepi jalan tu dipakaikan maxi dan make-up pun, dia boleh cemburu. Inikan pula dengan kau yang muda belia dan cantik molek bergetah ni. Tak ke tanggal rambut abang dikerjakanya nanti,” ketawa Rahim bersambung dengan ketawa Kasdina Alya. Memang betul kata Abang Rahim, Kak Midah tu kuat cemburu. Padahal Abang Rahim dia tu bukannya kacak mana pun, elok sikit dari Mr. Bean @ Kacang Parpu tu aje. Tak lebih, tak kurang. Itu pun nak kecoh.
        “Dah tu, abang datang ni kenapa?”
        “Yang pertama abang nak ziarah kau, tengok kau sihat ke tidak? Secondly, abang nak bagi kau peluang cari duit lebih.”
        “Nak… nak… nak…” 
        “Kau ni kan, kalau pasal duit tak menyempat-nyempat. Abang belum habis cerita lagi dah setuju. Karang abang bagi kau jalan cari duit haram, jadi keldai dadah, kau nak?” ugut Rahim.
        “Tak nak… tak nak…” Kasdina Alya menyengih. “Tau pun,” sindir Rahim. Memang padan muka si gelojoh ni, tau kau malu ya?
        “Ha… lain kali dengar dulu, apa abang nak cakap.”
        “Hiss… lambat betul abang ni, cakap ajelah, tak payah nak bagi mukadimah segala. Berjela pulak tu, Kas dah teruja sangat ni. Tangan kanan Kas ni tiba-tiba saja gatal, ha… itu tandanya Kas nak dapat duit,” tak sabar rasanya dengan pengumuman Abang Rahim ni. Terhegeh-hegeh, patutlah selalu kena sekeh dan belasah dengan Kak Midah.
        “Kau ni tak sabarlah. Belajarlah bersabar sikit. Orang lelaki suka perempuan yang banyak bersabar, tau tak? Kalau kau tak banyak bersabar, nanti boyfriend kau pula yang tak sabar dengan kerenah kau. Baik kau dengar nasihat abang ni.” Kasdina Alya ketawa gelihati sendiri. Terbayang di benaknya, macamlah bini dia tu sabar sangat. Pantang Abang Rahim buat salah sikit, pasti laki dia kena dengar celoteh sepertimana mamat-mamat saleh Speaker’s Corner berceloteh di penjuru Hyde Park di setiap hujung minggu itu. Ataupun yang paling minimal, kena makan kat luar, dapur tak berasap kerana Kak Midah mogok. Siapa yang penyabar sebenarnya?
        “Kenapa kau ketawa?”  tanya Rahim geram bila Kasdina Alya ketawa tak sudah-sudah.
        “Abang Rahim ni macam ketam tahu tak?”
        “Eh, bila masa pula abang sepit kau?” Hai… masih tak faham lagi?
        “Sendiri mau ingatlah…” Kasdina Alya masih ketawa. Abang Rahim memang macam tu, jenis lelaki yang tak tahu nak marah. Penyabo kata Perakman. Macam mana dia boleh tahan dengan Kak Midah yang bermulut cili api itu pun dia tak tahu. Dah jodoh mereka agaknya, nak buat macam mana.
        “Yalah, abang tahu, abang sedar kelemahan abang,”  perlahan saja suara Abang Rahim bila menyedari kesilapannya. Macam sedih aje bunyi suaranya. Itulah tadi ingke sangat.
        “Dahlah, jangan nak buat-buat sedih kat sini, orang nak berniaga! Cakap saja apa benda yang nak abang sampaikan tadi,” desak Kasdina Alya.
        “Sebenarnya abang ada job nak bagi kat Kas. Datuk Zakaria Wisma Putra nak adakan makan malam untuk menyambut rakan menterinya yang datang bercuti kat London ni. Dia suruh abang carikan tukang masak yang handal seantero dunia. Jadi abang teringatkan Kas. Kalau Kas nak, nanti abang bagi tahulah Datuk Zakaria.”
        “Oh… itu ceritanya, kenapa payah sangat, nak ngelewo sana nak ngelewo sini, halnya tiga patah huruf aje, J.O.B. Payah beno! Ate… Mestilah Kas nak, peluang yang datang tu bukannya selalu, tak gitu abang Rahim.”
        “Yalah, kau tu kalau pasal duit tak pernah menolak, Bank Negara pun tahu!” Kasdina Alya buat-buat ketawa bila kena tempelak. Dah memang ya, nak buat lagu mana?
        “Abang Rahim, yang pentingnya duit tu halal. Kalau dapat duit haram nak buat apa? Hidup kita nanti tak berkat, mati kena seksa, masuk neraka.”
        “Betul tu Kas, jangan asal kata duit, semuanya nak dirembat, tak kira halal haram. Okeylah Kas abang chau dulu, take care dan ingat tarikh temujanji tu, jangan lupa pula. Nanti orang Datuk Zakaria akan hubungi Kas,” pesan Abang Rahim sebaik saja dia mahu melangkah keluar. “Okey bang, thanks a lot. Elok-elok jalan, insya-ALLAH, Kas ingat. Kirim salam pada Kak Midah.”
        “Yalah, dia pun dah lama sangat nak jumpa Kas. Sekali- sekala tu bila free, datanglah rumah abang. Kita makan-makan dan sembang-sembang.”  Alahai… rasa tersentuhlah pula, rasa seperti seorang abang kandung sedang berpesan pada adik  perempuannya. Ini yang aku rasa nak emo…
                              






AWEK ABANG POYO BAB 1


BAB  1

DARI cermin tingkap double glazing rumah teres sewanya, Kasdina Alya memerhatikan salji turun lebat menutupi bumi. Sejuknya tidak terkata. Dengan suhu yang turun ke paras -7 darjah celcius itu, jangan ada yang bermimpi untuk bertemu sang suria. Di luar sana semuanya membeku dilitupi ais, sejuknya menusuk hingga terasa sampai ke tulang hitam. Waktu-waktu begini space heater atau pendiang portable menjadi teman sejati. Bila mengenangkan kesejukan melampau seperti ini, kerinduan pada tanah air mula hadir dan terus menggebu. Sedia maklum negaraku yang dicintai, tidak ada hamparan putih yang mengebaskan kaki dan menyengalkan tulang ini. Negaraku tropikal, cuacanya panas, nyaman dan terang-benderang. Mudah ke sana ke mari, berselipar dan berpakaian kain kapas longgar menutup aurat sudah memadai. Adapun, kalau rasa teringin sangat nak main snowball, mintak ajelah sekepal dua dari nyonya ais kacang atau mamak cendul, habis cerita.
“Woi, buat apa kau renung salji yang memutih tu? Lebih baik kau tarik selimut balik.” Saly mengejutkan Kasdina Alya yang ralit termenung. Bola matanya tampak fokus, seolah-olah membilang emping salji yang berguguran.
“Aku bukan macam kau, asyik buat tahi mata saja, sekali-sekala apa salahnya buat aktiviti fikir sikit...” Respons spontan Kasdina Alya membuatkan Saly ketawa mengekek sendirian.
“Alah, kau ni asyik kerja saja, bila masa nak rehat, duduklah rumah, temankan kita orang sembang-sembang,” pujuk Saly. Kasdina Alya menyengih, macamlah pujukannya tu laku sangat.
“Yalah sangat tu, macamlah aku tak tahu, mula-mula sembang, last sekali aku juga yang kena ke dapur, sediakan makan untuk kau orang. Hampeh… daripada aku masak tanpa gaji, lebih baik aku pergi kerja, setidak-tidaknya aku masak ada gaji,” cebik Kasdina Alya pada Saly yang sudah ketawa.
“Bukan selalu kami makan masakan kau. Kau pandai masak, sedap pula tu, macam masakan mak aku,” puji Saly ikhlas.
“Kalau kau nak makan masakan aku, kau singgah saja kat café Caravanserai, Westfield Shopping Centre kat Shepherds Bush, sana macam-macam aku masak,” pelawa  Kasdina Alya sambil tersenyum.
“Tak nak, sana kena bayar, mahal, jauh pulak tu!” jawab Saly jujur. Kasdina Alya ketawa, dah agak dah!
“Kedekut, nak makan pun berkira,” tempelak Kasdina Alya. Saly hanya ketawa.
Pintu bilik dibuka, terjengul kepala Sarah dengan rambut yang kusut-masai. Mengalahkan orang kalah judi. Menonong saja dia masuk dan duduk di tepi katil Kasdina Alya.
“Kas, kau ada ubat selsema tak?” tanya Sarah. Sekejap-sekejap dia mengelap hidungnya yang meleleh.
“Eiee… teruknya kau ni Sarah, sejak bila kena selsema ni?” Kasdina Alya bertanya.
“Sejak semalam,” jawab Sarah sebaik saja lepas haachum, bersin.
“Woi, kalau bersin tu, tutuplah mulut sikit, habis dah kena tempias,” marah Saly. Kasdina dan Sarah ketawa.
“Saja Sarah nak bagi kau jangkit.” Kasdina Alya menyampuk, kemudian dia melenggang ke dapur.
“Kau tu, saja dengki dengan aku yang sihat dan segar-bugar ni kan?” marah Saly yang nampak dibuat-buat.
“Yalah aku tengok, kau tu, sihat memanjang, tak pernah demam macam aku ni.” Sarah menjawab sambil mengelap hidungnya yang tak henti-henti mengeluarkan cecair. Kalau kena macam ni dua tiga hari macam mana nak pergi kuliah? Satu lagi, kalau dah meleleh selalu habislah kering-kontang air dalam badan ni.
“Ada kau ambil supplement?” tanya Saly. Sarah menggelengkan kepalanya.
“Aku tak suka ubat.”
“Ha… inilah jadinya, kalau anti-bodi tak kuat dan supplement tak nak ambil. Pantang sejuk sikit, demam, selsema. Lain kali ambillah supplement supaya badan kau tahan dengan cuaca begini. Kalau dah kena macam ni nak pula kau cari ubat,” nasihat percuma dari Saly. Itu pun kalau Sarah nak dengar, kalau tak, dia akan buat bodoh saja. Buat ‘dono’ kata orang Semenanjung.
“Nah, minum air ni...” Kasdina Alya menghulurkan satu mug air yang masih panas.
        “Apa ni?” Reaksinya menampakkan penakut betul Sarah dengan ubat.
        “Air suam campur madu dan lemon, baik untuk selsema kau. Janganlah takut, tak ada rasa ubatnya. Minum sekarang!” arah Kasdina Alya. Akhirnya Sarah meletakkan bibir mug itu di bibirnya dan menghirupnya perlahan-lahan dengan penuh berhati-hati.
        “Boleh baik ke?” tanya Saly macam tak percaya.
        “Insya-ALLAH jika ALLAH kehendaki, aku dan keluarga aku selalu mengamalkan petua ni bila kami diserang selsema atau batuk. Madu, kan minuman sunah, jadi berkat mengamalkan sunah itu membuatkan kita sihat,” terang Kasdina Alya.
        “Terima kasih Kas. Kaulah sahabat aku yang terbaik,” ujar Sarah sambil mengelap hingusnya yang slow sikit meleleh.
        “Habis aku ni apa?” tanya Saly cemburu.
        “Kau ni sahabat aku yang terbanyak sangat membebel, macam mak nenek!”
        “Amboi, tak padan dengan hidung dah jadi macam badut, ada hati nak mengata aku ya, nanti kau.” Saly mencucuk-cucuk pinggang Sarah, dan mek Kelantan yang tak tahan geli itu pun menjerit kuat minta Saly menghentikan perbuatannya.
        “Okeylah, aku pergi dulu.” Kasdina bangun dan mencapai jaket kulit yang berbulu di tengkuk, dan tudungnya dimasukkan ke dalam jaket  kulit berwarna coklat itu. Cantik juga bila tengok Kasdina Alya dressing macam ni, nampak ranggi dan trendy, maklumlah orang dah lama bermastautin kat kota London, sedikit sebanyak terpengaruh juga dengan fesyen minah-minah blonde di sini.
        “Kau nak ke mana?” tanya Sarah kehairanan. Hujung minggu macam ni, orang selalu berada di rumah, sebab cuaca sejuknya giler-giler. Yang ngamnya waktu-waktu begini berdiang, layan junk food sambil tengok MTV.
        “Alah, kau bukannya tak tahu si Kasdina ni, tak boleh hidup kalau duit tak masyuk dalam sehari. Dia bukannya jenis tahu bercuti, asyik nak cari duit saja, biji mata dia pun dah ada nampak lambang $,” marah Saly.
        “Betullah tu, aku datang ke London ni nak cari duit, so aku carilah duit sungguh-sungguh, berbeza dengan kau orang, datang London ni nak cari ilmu, jadinya kau orang tak boleh main-main waktu kat sini, kena belajar betul-betul, barulah berbaloi tinggalkan keluarga beribu batu, faham?” tanya Kasdina Alya sambil melilit mafla di tengkuknya, kemudian dia memakai sarung tangan. Untuk berada di jalanan dia perlu membungkus dirinya serapi mungkin biar tiada hawa dingin yang bisa menembusi kulitnya. Namun makhluk dingin tetap juga menyelinap.
        “Faham Cik Kasdina. Kalau kerja hujung minggu dapatlah jumpa abang handsome tu. Maklumlah abang handsome tu hanya kerja hari minggu saja. Tak gitu Sarah?” ejek Saly sambil tersengih-sengih. Sarah yang hingus meleleh pun mengangguk setuju.
        “Siapa?” tanya Kasdina Alya, buat-buat tak faham.
        “Buat-buat tak kenal nampak?” sahut Saly.
        “Mamat poyo tu? Eiee... pleaselah, tak ada orang lain ke nak gandingkan dengan aku?” marah Kasdina Alya.
“Habis sapa, Prince Harry? Dia pun poyo jugak,” tambah Sarah. Kuat Saly ketawa dengan lawak Sarah yang spontan. Tak padan dengan exhaust meleleh, nak juga menyampuk. Kasdina Alya menjungkitkan bibirnya, kemudian dia juga ketawa geli hati.
        “Prince Harry tu poyo pun tak apa, dia kaya dan ternama.” Kasdina Alya tak nak mengaku kalah.
        “Kau ni tak habis-habis dengan duit. Kau ingat duit tu segala-galanya ke? Sampai nak mencari cinta pun kena ukur dengan duit?” tempelak Saly.
        “Memanglah duit bukan segala-galanya, tapi segala-galanya dalam dunia ni memerlukan duit. Kalau kau nak merebas pun memerlukan duit, tahu tak?” tambah Kasdina Alya.
        “Ada ke nak berak pun kena pakai duit. Sendiri punya, sendiri buanglah,” bantah Sarah. Perbincangan menjadi hebat bercampur busuk.
        “Cuba rumah kau kena potong airnya sebab tak bayar bil, kau nak istinjak dengan apa? Memanglah boleh istinjak dengan batu atau tisu, janji kesat, tapi itu untuk kes-kes terpencil, tempat yang tak ada air. Masalahnya sekarang kau tak ada duit nak sambungkan semula pengaliran air ke rumah. Amacam? Kau nampak tak duit  tu memainkan peranan yang besar dalam kehidupan?” Amboi… bukan main lagi Kasdina Alya kalau bercerita pasal duit. Duit juga disabitnya.
        “Eh... Kas, kalau kau nak pergi kerja, pergi ajelah. Tak payah nak berceramah macam orang MLM,” suruh Saly geram. Kasdina Alya ketawa kemenangan sambil mendepang tangan dan bersedia untuk keluar.
        “Adios Amigos,” ucap Kasdina Alya tatkala melangkah bersama kuntuman pound di bibir.
        “Semoga bertemu dengan abang handsome dan terpikat dengan adik putih,” doa Sarah.
        “Tolonglah Sarah, jangan cakap macam tu. Kalaulah dibuatnya masin mulut kau tu, alangkah malangnya aku kerana terpaksa berpacaran dengan mamat yang paling poyo di dunia.” Kasdina Alya menghentikan langkahnya dan berpaling semula ke arah Sarah dan Saly yang sudah pun ketawa mengekek.
        “Poyo pun tak apa, handsome,” sakat Sarah.
        “Ingat handsome boleh kenyang ke?” balas Kasdina Alya.
        “Eh, dah… pergi ajelah,” arah Saly. Kasdina Alya pun meninggalkan mereka berdua di dalam bilik. Dah sah lepas ni mereka berdua tu buat tahi mata lagilah tu.
       












NOVEL BARU UMMU WAFA : AWEK ABANG POYO akan keluar pada November 2013. Terbitan Alaf 21.

                                                     


Sinopsis
KASDINA ALYA seorang gadis yang tidak pernah kenal erti kalah. Dia sentiasa berjuang untuk diri dan keluarganya. Semangat kental yang ada pada Kasdina Alya jarang sekali dimiliki oleh gadis yang sebaya dengannya. Kukuh prinsip pendirian, robust dan tahan lasak fizikal mental bak srikandi pejuang kebebasan.
Beribu kilometer dia berkelana di tengah-tengah kota London, mencari pengalaman dan rezeki. Berbekalkan kemahiran semulajadi yang dimilikinya, dia bekerja di sebuah restoran Melayu sebagai tukang masak yang serba boleh. Versatile dengan citarasa 1Malaysia. Tempat kerja yang seronok, kondusif, majikan yang baik dan rakan-rakan yang memahami, membuatkan dia rasa selesa bekerja di tempat itu. Cuma satu saja yang membuatkan dia selalu sesak dada dan sakit jiwa ialah apabila mamat poyo yang bernama Anas Irfan, yang letih kontrol macho itu datang berkerja. Walaupun mamat poyo tu hanya buat part-time, sabtu dan ahad saja, namun ia sudah cukup menyeksakan jiwanya.
Lima tahun berkelana di kota metropolitan London yang pernah menjadi kota fesyen flower power, peace and love di era 60-an itu, menyebabkan Kasdina Alya menjadi seorang yang gigih, cekal dan bersemangat waja. Jati diri unggul, model tangan yang menghayun buaian yang menggegar mayapada, tabah mengharungi hidup seawal usia 20-an, di kala rakan sebaya sibuk dengan pelajaran. Bagaimana boleh dia tercampak di tengah kota London seorang diri adalah suatu pengalaman suka-duka yang sukar dilupakan. Dia bukan gadis sponsored yang datang untuk menyambung pelajaran ke peringkat degree atau peringkat masters, jauh sekali ke peringkat PhD. Dia adalah gadis biasa yang sekadar lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari KPTM. Tak lebih dan tak kurang. Sijilnya pun tak berapa nak laku, hatta di tanah tumpah darahnya sendiri. Apalagi di tanah Inggeris yang gharib.
Saat Kasdina Alya tengah bersemangat dan seronok mengumpul Pound Sterling untuk diconvertkan ke Ringgit Malaysia, dia dipanggil balik ke Malaysia oleh ibunya Hajah Aminah. Hajah Aminah terpaksa berbuat demikian kerana dia sudah tidak larat lagi menanggung beban masalah keluarga yang tidak putus-putus dilanda badai. Dengan berat hati, Kasdina Alya pulang juga ke tanah air demi kasihnya pada ibu dan keluarga. Duit di mana-mana pun boleh cari, walaupun ketika itu Sterling mengungguli carta Forex, tapi keluarga, itulah yang dia ada.
Sakit Haji Amran semakin menjadi-jadi. Tidak ketentuan, kadangkala dia akan meracau-racau seperti orang kerasukan. Ada ketikanya Haji Amran batuk sampai keluar darah hitam pekat berketul-ketul. Di ketika lain, badannya terasa penat dan seluruh sendinya dikuasai lenguh. Yang anehnya bila dibawa berjumpa doktor, doktor kata Haji Amran tak ada penyakit. Hampir semua kaedah telah dicuba, dah masukkan kamera dalam badan, dah buat CT Scan dan MRI bagai, tapi semua keputusan clear. Haji Amran bebas dari sebarang penyakit. Pelik sungguh Kasdina Alya memikirkannya, kerana kalau tiba waktu sakitnya menyerang, ayahnya akan berguling-guling tidak tahan menahan sakit yang teramat sangat. Hinggakan Kasdina dan emaknya tidak tahu nak berbuat apa, yang mereka tahu hanya menangis melihat penderitaan ayah.
Suatu hari sewaktu membeli-belah di hypermarket Mydin Manjoi, Kasdina Alya terserempak dengan Mak Cik Ana, emak kepada kawan baiknya Rozita, yang juga sedang sibuk membeli-belah. Dalam pertemuan itu Mak Cik Ana menyuruh Kasdina Alya membawa abahnya berubat dengan seorang ustaz kampung yang mahir dalam mengubati penyakit misteri. Mak Cik Ana tahu akan kehandalan ustaz itu melalui jirannya, seorang wanita tua yang pernah menerima rawatan dari ustaz tersebut. Alhamdulillah sehingga sekarang, warga emas yang menggelarkan dirinya Opah Wan tu sihat wal‘afiat. Atas beberapa sebab, hajat untuk membawa Haji Amran ke lokasi perubatan itu tidak kesampaian. Sementelah Haji Amran sendiri pun sudah berkerusi roda, lagilah merumitkan keadaan. Hasrat itu pun terpendam dengan sendirinya.              
Kedatangan sahabat karibnya Rozita, yang sekian lama tidak ditemui bukan saja menghadirkan keceriaan, tetapi membawa pengharapan baru buat ayahanda Kasdina. Datangnya bersama seorang ustaz dari Pusat Rawatan Islam Kuala Lumpur yang juga rakan kepada suaminya. Kebetulan al-fadhil ustaz masih dalam percutian, mungkin ditakdirkan rezeki Haji Amran, ustaz sedia bertandang dan menghulurkan bantuan agar penyakitnya itu dapat dikenal pasti dan seterusnya dirawat mengikut kaedah rawatan Islam. Melihatkan akan keadaannya, Ustaz Habibullah merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Haji Amran. Mengikut firasat dan pengamatannya, apa yang dideritai oleh Haji Amran ini bukanlah penyakit biasa, tapi lebih kepada gangguan mistik atau lebih tepat perbuatan sihir yang dihantar untuk menghancurkan hidup Haji Amran. Setelah dibuat rawatan, dan kemudiannya beberapa susulan lagi selepas itu, barulah keadaan Haji Amran ada menampakkan sedikit perubahan. Walau bagaimanapun, memandangkan sihir yang dihantar itu sudah di tahap kritikal, usaha yang dibuat itu akhirnya menemui kegagalan. Sayang semuanya telah terlambat. Kata Ustaz Habibullah, orang yang menghantar sihir kepada ayahanda Kasdina itu adalah orang yang mereka kenali. Tujuannya adalah untuk membalas dendam. Akhirnya Haji Amran meninggal dunia dengan derita sihirnya.
Hidup Kasdina Alya tidak pernah berhenti dari menanggung masalah keluarga yang datang. Hilang satu berganti yang lain, silih berganti, tiada sunyi dan diam. Negatively, patah tumbuh hilang berganti. Adik bongsu Kasdina Alya yang menjadi penagih dadah sintetik so-called designer drugs, selalu saja memberi masalah kepada keluarga mereka. Begitu juga dengan adik perempuannya yang berkahwin di usia muda, mengalami masalah ketidakstabilan rumahtangga dan telah pun menjadi ibu tunggal. Terasa nak tercabut tengkuk dan kepalanya memikirkan apa yang dialami, hingga dia sendiri tidak sempat berfikir untuk kelangsungan dan kesempurnaan hidup untuk dirinya sendiri. Semoga ada sinar di penghujung khatimah deritanya.                      
Kemuncak kesedihan Kasdina Alya ialah apabila ayah yang dicintai menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan penyakit yang dideritai sejak sekian lama. Satu-satunya adik lelakinya pula, ditangkap oleh pihak berkuasa pada hari yang sama permergian ayahnya mengadap ILAHI kerana kesalahan mencuri motosikal. Kemudian Kasdina sekeluarga dihalau dari rumah mereka sendiri oleh mak longnya selang beberapa hari selepas ayah meninggal dunia. Alasan tak berhati perut mak long, rumah tersebut adalah milik mutlaknya mengikut pengagihan faraid dia sendiri yang kabur. Menurut kata tak rasmi mak saudaranya itu, sebenarnya ayah sekeluarga tidak layak duduk di rumah pusaka tersebut kerana ayah hanyalah anak angkat kepada arwah Haji Dol Mat.
        Dengan berat hati Kasdina Alya sekeluarga berhijrah ke Kuala Lumpur dan mencuba nasib dengan berniaga nasi lemak di tepi jalan sebagai sumber pendapatan. Suatu hari yang hening, tidak disangka-sangka gerai nasi lemaknya dirompak oleh sekumpulan lelaki sewel yang berlagak gangster. Aksi yang mencemaskan, adegan yang tragis serta menyayat hati, dan drama yang cukup menggelikan hati pun terjadi. Rupa-rupanya brader poyo, teman merangkap musuh ketatnya sewaktu di UK dahulu yang menjadi dalang di sebalik kegiatan ‘rompak dan bayar’ tersebut. Hantu punya mamat, selalu saja nak susahkan orang. Kalau tak buat Kasdina Alya sakit hati, macam tak sah hidup Anas Irfan yang sememangnya suka melihat Kasdina Alya tension dan marah-marah.
        Sebenarnya itulah pendekatan dan stail bermain cintanya yang diluahkan dalam karakter ‘gedunggu’ dan perangai pelik yang jarang orang tahan, termasuklah Kasdina sendiri. Anas Irfan sudah lama jatuh hati, jatuh cinta, jatuh meroyan pada Kasdina Alya ini. Tapi disebabkan ego, cemburu, dan salah sangka ‘bodo’nya, dia terlepas peluang untuk mencurahkan rasa cintanya pada Kasdina Alya yang terpaksa pulang ke tanahair secara tergesa atas sebab-sebab tertentu.
        Sesungguhnya jodoh itu adalah rahsia ALLAH yang telah tertulis sejak azali lagi. Kasdina Alya bersetuju menerima Anas Irfan sebagai tunangan bilamana keluarga Anas datang merisik dan terus meminang tanpa memberinya banyak ruang untuk berfikir. Faktor perbincangan secara ad hoc kedua belah keluarga sangat mempengaruhi keputusan, ditambah pula kisah silam Kasdina semasa di England yang tidak diketahui oleh emaknya, turut menyumbang. Mungkin itu sudah jodohnya, walaupun hatinya kadangkala sakit dengan perangai dan perbuatan Anas Irfan yang sememangnya cukup melampau. Dalam diam dan dalam kurang senang, sebenarnya sudah lama nama Anas Irfan tertulis di dinding hatinya, tapi dibiarkan gersang, tidak berjirus dan tidak berbaja, atas alasan soal jodoh biar ALLAH saja yang tentukan, sebab ALLAH lebih mengetahui mana yang terbaik buat hambanya. Episod suka dukanya menuju kegarisan apabila dua tuntutan cinta yang ditagih oleh dua jejaka yang mewarnai hidupnya datang menyerbu serentak, dan akhirnya Kasdina Alya hanya mampu berserah dan beristikharah. Kasdina Alya nekad memilih Anas Irfan untuk menjadi teman hidup sematinya walaupun Zafran adalah lelaki kacak yang tidak kurang hebatnya. Jauh di sudut hati, Kasdina Alya juga sedih bila tidak dapat memenuhi tuntutan cinta rakan kongsinya yang banyak menolong dalam merealisasikan kafe impiannya. Tapi apa boleh buat, tiada istilah paksaan dalam kamus percintaan, kerana hadirnya adalah suatu anugerah yang terindah dari Pemilik cinta yang hakiki.