NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Saturday, October 25, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 11


                                   BAB 11

        PAGI yang indah, bunga-bungaan di taman Puan Zaida berkembang mekar dan mewangi, burung-burung juga sudah riang berkicau di dahan tinggi. Sudah bersedia untuk keluar mencari makanan untuk seharinya, walau tidak dibekalkan akal tapi tinggi tawakalnya. Itulah sunnatullah kejadian alam, indah dan teratur. Sonia juga telah siap sedia untuk keluar, tapi hari ini bukan keluar untuk mencari rezeki, kerana hari ini adalah hari Ahad. Hari minggu begini syok saja-saja keluar untuk beberapa jam, relaks dan ambil angin. Just ronda-ronda Pasar Seni atau KL Sentral sementelah dah tak buat apa.
        “Hei, Nia nak ke mana ni?” tegur Puan Zaida yang sibuk melayan Bourgeonvilla berbagai warna kesayangannya.
        “Mama,Nia nak keluar sekejap.” Sonia meminta izin.
        “Nak pergi mana. Duduk ajelah kat rumah, temankan mama.”
        “Alah, sekejap aje ma. Nak ambil angin dan relakskan minda. Bila balik nanti, Nia temankanlah mama, okey!” Janji Sonia sambil menyarung kasut Adidas high-cutnya. Hari ini Sonia mengenakan dressing yang agak simple saja. Jeans dengan t-shirt putih di dalam serta cardigan biru di luar, dan tudung lilit bercorak ala Yuna.
        Sonia menekan punat alarm kereta Myvinya yang sudah seminggu tidak dibawa berjalan. Biasalah… kalau dah pergi kerja naik teksi balik naik teksi, maka alamatnya tak berusiklah cik Myvi tu. Belum pun sempat Sonia melangkah masuk ke dalam keretanya, sebuah motor racing berkuasa tinggi jenama Ducati memasuki perkarangan rumahnya. Tidak syak lagi, dah sahlah tu, tak adanya orang lain melainkan minah yang perasan jantan tulah yang datang.
        Topi keledar SHOEI ribuan ringgitnya ditanggalkan dan diletakkannya di atas tangki Ducatinya yang nampak lekuk. Aman turun tangkas bertenaga dari motor besarnya, sambil kakinya menguis untuk menongkat.
        “Hai ahkak, nak ke mana pagi-pagi buta ni?” meriah pertanyaan Aman.
        “Saja jalan-jalan jumpa kawan, cuci-cuci mata sikit dan ambil fresh air. Yang kau pagi-pagi lagi ni dah mendarat kat rumah kami ni kenapa?” tanya Sonia. Aman ketawa senang.
        “Akak ni kelakorlah, terasa pilot ler pulak,” ketawa Aman lagi.
        “Hurm… yalah tu, mulalah kau nak melalut.”
        “Ate… kalau dah mendarat tu keroje sapa? Saya sebenarnya dah janji dengan Daniel nak keluar main go-cart kat Taman Tasik Titiwangsa pagi ni. Saja nak release tension,” jawab Aman jujur.
        “Banyaklah kau punya melepas tension! Kerja tak seberapa, tension lebih, apa kes! Tapi for your information, yang nyata tension ahkak kau ni yang lebih. Jenuh mengejutkan kawan baik kau tu, haram tak bangun-bangun, tidur mati ke apa?” bising mulut Sonia.
        “Hah, Daniel tak bangun lagi ke? Aduhh… ini yang gua tak suka ni. Tak habis dengan janji melayunya. Kalau tahu tak bangun tadi lebih baik gua pergi jogging dulu,” rungut Aman.
        “Yalah, cuba kau nasihatkan sikit boyfriend kau tu, manalah tahu nasihat kau dia nak dengar. Asal pagi aje mesti liat nak bangun. Asal bangun jer mesti liat berpagi-pagi. Akak dengan mama ni dah letih kau tau,” adu Sonia pada Aman yang tergaru-garu malu di usik sebagai teman jantan adiknya Daniel.
        “Kau dah breakfast ke Aman?” tanya Zaida yang sibuk mendandan pokok Ros yang berbunga lebat, segar, cantik dan merah menyala.
        “Dah mak cik, breakfast in bed lagi, kenapa?”
        “Hari ini mak cik ada masak nasi lemak sambal sotong kegemaran kau. Kalau kau rasa nak makan pergilah ke dapur, ambil sendiri atau suruh bibik sendukkan. Sementara kau menunggu si Daniel bangun tak tau pukul berapa tu, elok sangatlah kau isi perut kau sendat-sendat,” suruh Puan Zaida, yang sememangnya telah menganggap Amanda seperti anaknya juga.
        “Mama mama, jangan panggil dia Aman lagi. Panggil aje nama penuhnya, Amanda atau Anaconda sebab itu hari dia kata dia nak berubah,” celah Sonia dengan ketawa mengejek.
        “Betul ke Amanda?” teruja pula Puan Zaida.
        “Insya-ALLAH mak cik kalau tak ada aral, tapi slow-slowlah.” Amanda mengiakan.
        “Alhamdulillah… baguslah tu, mak cik sokong kamu 100%, slowly but surely,” support Puan Zaida dengan wajah yang penuh kegembiraan.
        “Biasalah mama, orang dah ada buah hati, kenalah buat perubahan. Anak sungai lagikan berubah, ini kan pula Sungai Amazon tempat asal-usul Anaconda. Mestilah kena berubah untuk masa depan,” sindir Sonia dengan ketawa ringan nyakitkan hati. Amanda tersenyum bengkek.
        “Betul ke Amanda dah ada buah hati?”
        “Alah, mak cik dengarlah sangat temberang kak Nia tu, bukannya betul pun,” tipu Amanda.
        “Mak cik rasa, kalau Aman ubah penampilan, pasti ramai yang jatuh hati pada Amanda. Cuba trylah!” saran Puan Zaida sambil senyum mengerti.
        “Ya ke mak cik,” excited si Aman.
        “Elok sangatlah tu… mertua sedang menyembang dengan bakal menantu,” laju jer mulut Sonia meluahkan kata sebelum dia menghidupkan enjin Myvinya. Amanda yang berdiri di tepi kereta ternganga malu dan tak sangka Sonia mengusiknya sampai begitu rupa. Tanpa banyak bual dia terus membuka pintu kereta Sonia, lalu masuk dengan muka tak malu.
        “Eh keluar keluar, akak dah nak jalan ni,” suruh Sonia.
        “Tak nak tak nak… akak dah malukan saya, akak kena bawa saya jalan-jalan,” desak Amanda dengan senyum untuk membasuh malunya pada Puan Zaida. Hai… kalau dah perempuan tu, perempuan juga ler, maintained mengada-mengada… Sonia tersenyum kosong.
        “Tahu malu pada manusia ya? Pada ALLAH tak pula terasa. Sepatutnya sebelum kita malu pada manusia, kita kena malu pada ALLAH dulu, barulah kita tak berani melakukan kejahatan,” ceramah awal Sonia sebaik saja dia mengambil keputusan untuk membiarkan saja Amanda mengikutnya. Mungkin ini peluang terbaik untuknya mendekati dan lebih mengenali Amanda. Kereta yang dipandu oleh Sonia mula bergerak perlahan meninggalkan perkarangan banglo mewah yang tersergam indah di Taman Ukay Perdana, UK itu.
        “Alah kak, belum sampai pun lima minit saya menikmati cruising Myvi bersama dengan ahkak, saya dah kena bedil. Kot ya pun peluru machine gun akak tu penuh, sabor-sabor ler sikit. Bagi can ler saya steady sikit dulu,” protes Amanda. Sonia ketawa geli hati.
        “Setahu akak, kau tu kebal. Lantaklah orang serang macam mana pun, kau buat derk aje. Akak kalau nak tembak kau pakai kereta kebal terus, baru hancur.” Sonia melawak lagi, penyudahnya kedua-dua pun ketawa.
        “Kak tak kesian ke kat adik akak yang macho ni?” tanya Amanda dengan sengih-sengih.
        “Mestilah, kesian sangat dengan kau dik, sebab kau ni jenis remaja yang menghadapi krisis identiti. Yang tak ada matlamat hidup dan hala tuju,” sebijik lagi Amanda kena.
        “Saya tahulah, tapi nak buat macam mana, dah lama berkeadaan begini dan rasa selesa pula begini. Lagipun saya tak kacau orang dengan pakaian yang begini.” Bukan main lagi ya kau nak berhujah, macamlah pandai sangat.
        “Itu yang salah tu, kau rasa, asal tak kacau orang, dah kira okey, dah tak bersalah. Bersalah dengan yang cipta kau, kau ambil kira. Kita ni dilahirkan sebagai perempuan, jadi kenalah meneruskan kehidupan kita dengan ciri-ciri sebagai perempuan sejati tu, seperti cara berpakaian, pergaulan dan percakapan. Jangan sekali-kali kita cuba menentang undang-undang peraturan ALLAH,” bantai Sonia.
        “Dulu, masa saya kecil-kecil kenapa akak tak ajak saya bermain? Alih-alih bila datang rumah akak asyik main dengan Daniel aje… dahlah kat rumah saya hanya ada abang-abang. Ha, sebab tulah saya jadi lagu ni.” Amanda beralasan.
        “Banyak cekadak betul kau ni ya! Ada ke pula akak yang kau nak salahkan. Sendiri mau ingat ler yang awak tu still perempuan walaupun berkawan dengan beratus orang lelaki sekalipun. Erm… kau kenal sotong tak?” tanya Sonia sambil menoleh melihat Amanda.
        “Ahkak oii… walaupun saya ni tak masuk universiti, tapi kalau setakat sotong tu, apa pulak tak kenalnya. Apa pula kena-mengena cerita saya dengan si squid tu? Auww! Tolong sikit… saya ni bukanlah jenis spesies lembik melekat tu,” jawab Amanda bersama ketawa lucunya.
“Ha, itulah yang kau tak faham! Sepatutnya kau ni kena ikut fitrah cik sotong kita tu, walaupun lama dia hidup dalam laut yang bergaram, sampai berjanggut, tapi tak ada pulak dia masin. Ini kejap aje main pondok-pondok dengan budak jantan, dah nak jadi jantan. Jantina tetap tak akan berubah walaupun kau cenderung untuk menjadi lelaki. Jadi kau kena sedar diri,” belasah Sonia tanpa simpati.
        “Aduih, kak. Asyik kena saja saya ni, tak tahan dah lubang telinga ni dah berasap dah ni,” jawab Amanda.
        “Itulah kau, asal orang nasihat kau tak nak dengar, sampai cakap mama kau pun kau tak heran ya. Bila nak berubah ni? Umur kamu pun dah lanjut, dah 23 tahun. Belajar malas, nasib baiklah mama papa kau kaya. Kalau tak tak tahulah nak jadi apa,” macam bertih goreng Sonia membebel.
        “Kak stop dulu pasal ni boleh tak? Gegendang telinga saya dah pecah sangat dah ni. Nantilah saya akan fikirkan balik segala nasihat akak yang bernas tu.” Amanda mengangkat tangannya tanda berjanji. Sonia ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala. Hish… budak ni memang tak makan saman betul, agaknya selipar jepun taruh ketchup dia makan kot!




Thursday, October 2, 2014

CNTA KITA SEMPOI BAB 10




BAB 10









SEDANG asyik Sonia menyiram pokok-pokok bunga milik mamanya, tiba-tiba sebuah motosikal berkuasa tinggi jenama Harley Davidson masuk dan diparkir di laman rumah. Penunggang dan pembocengnya cool turun dari motor, dan membuka topi keledar bercermin masing-masing. Sonia mula memberhentikan kerja-kerja penyiramannya.
“Kau orang ni dari mana? Petang baru nak nampak muka,” tegur Sonia pada adiknya yang bernama Daniel. Sementara kawannya di sisi yang bernama Aman tersengih-sengih malu.
“Kita orang pergi exhibition kat Shah Alam,” jawab Daniel.
Exhibition apa?” tanya Sonia tak puas hati.
“Apalagi, exhibition motor ler,” jawab Daniel dengan senyum bangga.
“Kau nak tukar motor lagi ke?” tanya Sonia yang mula nak naik angin.
“Bukan akulah! Ni hah, Aman yang nak sangatkan motor edisi baru tu! Aku temankan aje,” jawab Daniel bersahaja.
“Heh Aman! Motor yang kau ada tu tak cukup besar lagi ke? Kau ni bila nak bertaubat? Sudah-sudahlah tu…” marah Sonia.
“Kak, biar betul… takkan berdosa beli motor. Aku beli dengan duit halal, bukannya dengan duit haram,” dalam ketawa Aman bertanya.
“Tau ler… memang beli motor tu tak berdosa, yang selalu dok menanggung dosanya ialah kau. Sendiri mau ingatlah, apa yang korang buat berdroom ke sana ke mari tu,” belasah Sonia. Geram sangat aku dengan kawan si Daniel yang seorang ni. Berani pulak dia nak bersoal jawab dengan aku. Hingus pun belum kering lagi, dah nak tunjuk eksen.
“Alah kak, bagilah peluang kami nak merasai nikmat muda. Muda hanya sekali, kan! Kan, kan, kan…” Pandai pula si Aman ni mengomel, rasa nak saja Sonia tenyeh mulut tu dengan cili api.
“Elok sangatlah tu, seandainya kau orang ditakdirkan mati muda, apa kau nak cakap dengan malaikat dalam kubur tu nanti? Oh, sorrylah kami masih muda, gitu?” perli Sonia.
“Alah kak ni tak bestlah, tak chilled langsung,” rungut Aman.
Chill tak chill, tapi cili banyak kat dapur tu, kau nak ke?”
“Kak ni ke situ pula dia. Kak bila kita nak berdating berdua?” tanya Aman dengan selamba sengih.
“Dengan kau, naik motor besar kau tu?”
“Yalah, takkan naik kuda kot?” Aman ketawa, suka sangat dia mengusik Sonia.
“Baik tak payah. Kalau kau nak ajak akak keluar dengan kau lebih baik kau tukar imej. Akak tak sudi.” Giliran Sonia pula yang ketawa dan menyengih. Padan muka. Ada hati nak ajak aku dating dengan dia.
“Tapi, saya nak sangat berdua-duaan dengan akak, bersembang, bercerita dari hati ke hati, makan sama-sama dan beraktiviti sama-sama,” pinta Aman dengan wajah serius.
“Hah! mimpilah kau. Selagi kau tak berubah, akak tak akan layan kau, sebab kau ni menyeramkan akak tau tak?”
“Hahaha… akak ni teruklah, saya bukannya orang jahat dan bukan juga makhluk berbulu. Kenapa perlu rasa seram? Daniel okey aje berkawan dengan saya. Saya bukannya nak buat apa pun dengan akak, saya nak kasih sayang saja. Macam akak sayangkan Daniel,” jawab Aman sambil ketawa.
“Aman, lebih baik kau berubah, kau tak kasihankan mak kau ke? Dahlah anak perempuannya seorang aje, tapi yang seorang itulah perangainya macam jantan yang terlebih jantan dari orang lain,” nasihat Sonia yang cukup segala manis dan pedasnya. Tapi Aman macam biasalah, buat derk… menyengih jer. Tak terguris walau sedikit pun. Memang dasar hati konkrit.
“Relakslah akak wei… bila dah sampai serunya nanti, saya berubahlah. Akak tengoklah nanti.” 
“Yalah, dah lama akak tunggu saat itu, dan akak selalu berdoa agar kau cepat-cepat dapat seru dan dapat jodoh. Waktu itu mahu agaknya kau berubah,” kata Sonia.
“Pasal jodoh, saya tak risau, sebab dah ada calonnya,” tersengih-sengih Aman menjawab.
“Siapalah yang malang nakkan kau yang tak cukup keperempuanan ni,” belasah Sonia.
“Siapa lagi kalau bukan adik akak.” Dengan muka tak malu Aman mengaku.
“Hahaha… kau cintakan Daniel?” tanya Sonia kuat, separuh terkejut. Tak sangka budak yang terlebih jantan ini sukakan adiknya. Sejak bila pula ni ada perasaan cintan-cintun? Sepantas kilat Aman menutup mulut Sonia. Tak mahu rahsia hatinya yang tersimpan selama ini terbongkar.
“Jangan bisinglah, nanti dia tahu. Malulah saya,” pinta Aman sambil matanya melilau-lilau mencari kelibat Daniel yang berada di dalam rumah.
        “Cik Amanda, kalau kau dah suka dan dah jatuh cinta pada si Daniel tu, kau cakap ajelah. Apa kau nak malukan. Kau pun dah bertahun-tahun kenal Daniel, kan?”
        “Akak tak kisah ke kalau saya couple dengan Daniel?”  Gadis yang bernama Amanda itu mula teruja. Kedua bibirnya tersenyum lebar.
        “Akak tak kisah… tapi papa dan mama mungkin kisah, sebab dia orang pasti tak nak menantu yang macam jantan yang tak sudah ni. Yang pasti mama nak menantunya yang pandai masak, pandai menguruskan rumah tangga dan yang paling tinggi kriterianya ialah perempuan yang faham agamanya, atau yang lebih tepat beragama. Sebab agamalah yang boleh memandu seseorang wanita itu menjadi isteri yang solehah. Manakala isteri yang solehah itu bakal menjadi penghuni syurga. Kau boleh buat?” ternganga Aman@Amanda dengan pertanyaan ‘bakal belum tentu’ kakak iparnya. Bulat, terbelalak biji matanya macam sedang tercekik kangkung celur yang tak potong.
        “Hiss… sekarang ni akak yang telah menyeramkan saya tau tak. Macam mana saya nak berubah keseluruhan seperti apa yang akak cakapkan tadi. Matilah saya.” Wajah Amanda menjadi kecut.
        “Hah, kalau kau mati, lagilah bagus. Sebab mati dalam berhijrah, dapat pahala jihad tu tau. So, orang yang berjihad tempatnya di syurga juga tau,” terang Sonia dalam senyum. Sedang Amanda tak habis-habis lagi kerut di dahinya. Apalah yang susah sangat nak faham ni?
        “Akak ni ke situ pula, saya tak nak mati lagi, dosa saya bertimbun. Saya nak bertaubat dulu.”
        “Baguslah kalau ada perasaan macam tu. Perkara yang baik ni janganlah ditangguh-tangguh, takut kita tak berkesempatan untuk menunaikannya. Takut terlambat.” Sengaja Sonia buat psikologi gostan--reverse phsycology. Biar minah perasan jantan ini terkesan sampai ke ulu hati.
        “Insya-ALLAH akak, saya akan berubah. Tapi satu saja saya nak minta, bila saya dah berubah nanti, saya nak akak ajar dan didik saya, boleh!”
        “No problem, itu juga tara hal, tara masalah punya. Don’t worri, akak akan bantu Amanda sampai jadi wanita sejati,” janji Sonia sambil memeluk Amanda mesra. Amanda tersenyum lucu dengan pelat East India Company Sonia.
        Syukurlah… Amanda masih menyimpan niat untuk berubah dan kembali kepada asal kejadiannya, walaupun perubahan itu entah bila. Namun sekurang-kurangnya dalam hati itu sudah tertanam niatnya mahu berhijrah. Semoga ALLAH mempermudahkan niat gadis tomboy ini.
        Siap kau Amanda. Aku akan kerjakan kau sehingga kau menjadi muslimah sejati. Kerana kaulah aku bercerai kasih, dan kerana kau juga aku kehilangan anak. Apakah hikmahnya, aku tidak tahu. Tapi aku yakin pada ketentuan yang kuasa. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi, dan ALLAH sekali-kali tidak akan berlaku zalim terhadap hambanya.















CINTA KITA SEMPOI BAB 9



BAB 9
               







        PERJALANAN dari Ulu Kelang ke Kajang mengambil masa begitu lama untuk sampai. Bosan rasanya memandu keseorangan sampai diri dikuasai oleh perasaan mengantuk. KL-Kajang bukanlah jauh mana. Pada kebiasaannya, walaupun time orang balik pejabat, paling-paling lama pun kurang daripada sejam. Tapi ketika ini disebabkan kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat sedikit sebanyak telah melambat dan membantutkan perjalanannya. Pergerakan teramatlah slow. Seperti selalu orang ramai yang curious, menjadi penonton penuh bersidai di bahu jalan, dan lalu lintas menjadi begitu congested. Kenderaan terpaksa bergerak seperti siput, walaupun ada polis trafik yang mengawal pergerakan trafik di situ.
Semasa Sonia melintasi tempat kejadian kemalangan yang melibatkan kereta berkuasa tinggi, lori kontena dan beberapa kenderaan yang lain itu, sempat juga dia menjeling ke arah kereta yang hancur dan yang remuk teruk. Manakala pemandu dan beberapa orang penumpang kereta kelihatan bergelimpangan di atas jalan raya. Barangkali ada yang sudah meninggal dunia atau mungkin juga ada yang tenat, dibantu segelintir individu prihatin, sambil menunggu kemunculan ambulan. Ada juga yang tersepit. Masya-ALLAH teruknya, ngeri Sonia melihatnya. Ada badan yang tercabut dari kepala, dan bercerai dari kaki dan tangan. First time dia melihat tragedi kecelakaan seperti ini dari dekat. ‘Ya ALLAH, teruknya kemalangan ini,’ detik hatinya.
Sonia terus insaf. Betapa mudahnya ALLAH menghentikan hayat yang dikandung badan. Seperti dalam mafhum firman-Nya, “Bila tibanya saat kematian, tidak akan dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat”. Daripada segar- bugar, hidup yang sihat tiba-tiba saja mati dalam sekelip mata dengan disertakan asbab. Ah… betapa lemah dan fragilenya makhluk dan betapa hebat dan perkasanya sang Pencipta, bisa menghidup dan mematikan mengikut ketentuan aturan sunah-Nya. Tiada seorang pun yang tidak beriman dengan kematian, hatta yang mengaku tiada tuhan. Subhanallah… Bila dah mati, pastinya ada kehidupan lain yang baru bermula, dan bermulalah episod suka-duka yang akan kekal selama-lamanya. Di alam sana, tidak ada lain yang boleh menjamin kebahagiaan hidup seseorang, melainkan amal soleh yang dilakukan semasa hayatnya di dunia. Kiranya tiada bekal yang dibawa bersama, maka celakalah ia selama-lamanya. Barzakh destinasi seterusnya yang menjanjikan samada sekeping taman syurga atau sebuah lubang neraka. Ya ALLAH peliharalah kami semua dari azab neraka. Lamunan keinsafannya terhenti dengan bunyi siren ambulan yang mula memecah keheningan.
Perlahan-lahan Sonia keluar dari keretanya sebaik saja dia selamat sampai ke destinasi yang di tujunya. Debaran di dada yang sedia berdenyut tadi bertambah laju dan keras. Bagaimana nasibnya kali ini dia tidak tahu, samada sama seperti sebelumnya atau sebaliknya. Dalam hati sudah beribu-ribu kali dia berdoa, agar ALLAH membantu dan mempermudahkan segala usahanya.
Dengan rasa takut-takut Sonia menghampiri pagar rumah banglo setingkat yang terletak di Jalan Mawar 1, Taman Seri Kajang. Jari telunjuknya terketar-ketar untuk menekan butang loceng elektrik yang terletak di tiang batu itu. Tapi dengan semangat ingin tahu yang semakin tinggi, Sonia gagahi juga untuk bertemu dengan bekas mak mertuanya. Sonia berdiri betul di hadapan pagar setelah menekan loceng beberapa kali. Nampak sangat tuan rumah tidak mahu keluar, walaupun sudah beberapa kali dia menekan punat loceng itu.
“Assalamualaikum, mak… mak… mak…” Sonia melaung beberapa kali. Saja buat muka tak malu. Dia tahu sangat bekas mak mertuanya memang tak nak bersua muka dengannya. Beberapa kali datang pun, pintu pagar ini tak pernah dibuka. Agaknya memang benci sungguh bekas mak mertua padanya.
“Mak… mak… mak…” Sonia melaung lagi. Diam, tak bersambut. Padahal dalam rumah tu, ada manusia yang menghuninya. Sombong sungguh ya? Dia tahu bekas mak mertuanya ada di dalam rumah, walaupun kereta bekas ayah mertuanya tidak kelihatan di halaman rumah, mungkin Encik Yunus sudah ke rumah isteri nombor duanya.
Tak mengapa, kita tunggu dan lihat. Apa yang bakal terjadi. Hari ini, tak akan sama dengan hari-hari yang lepas. Sekarang ni Sonia sudah kuat, aku sudah boleh berdiri, malah berlari juga. Kau tak akan mampu melemahkan aku lagi. Tunggulah Puan Zahrah, kalau kau mahu berperang, kita isytiharkan perang, hari ini juga. Tapi sekarang aku datang dengan cara baik, aku datang hanya untuk dapatkan penjelasan. Kenapa aku diceraikan oleh anaknya dan kenapa anak aku dilarikan, serta di mana anak aku disembunyikan. Itu saja!
“Mak… bukalah pintu ni, saya hanya nak berbual dengan mak,” pinta Sonia dengan suara sedihnya, tapi masih di bawah kawalan. Dia tidak mahu lemah seperti dahulu lagi. Sebelum ni pun Puan Zahrah tak pernah membuka pintu pagar kalau dia datang untuk bertanya ke mana perginya anak dan suaminya. Penyudahnya dia teresak-esak di hadapan pagar, mengharap belas ihsan bekas mak mertua. Namun mak mertua yang keras hati seperti batu itu sedikit pun tidak pernah ada nilai kemanusiaan. Jahatnya Puan Zahrah ni mengalahkan mak mertua Kassim Selamat dalam “Ibu Mertuaku” yang evergreen tu.
“Okey Puan Zahrah, masa yang aku bagi dah cukup, times up!” Sonia berkata sendirian. Lalu dia beredar ke keretanya dan mengambil Loud Hailer yang sememangnya dia beli khusus untuk acara ini. The game is on! Are you game madam Zahrah—ada bran!
Sonia memulas volume Loud Hailer agar sedap didengar dan jelas bagi orang yang mendengarnya.
“Mak, saya datang dengan baik, saya hanya nak tahu dan bertanya khabar tentang anak saya. Di mana anak saya  sekarang,” kuat bergema suara yang keluar dari Loud Hailer yang sedang dipegang oleh Sonia. Hahaha… aku rasa jiran-jiran Puan Zahrah pasti mendengarnya. Sonia senyum sendiri.  Dah jadi macam kepala demonstrator pula rasanya. Kalah Adam Adli atau Hishamuddin Rais ni. Rasakan! Kalau dia ada rasa malu dengan kejiranannya, lebih baik dia keluar cepat. Banyak lagi yang akan terkeluar dari mulut ni. Sekali buat gila, lebih baik gilos terus. Dah alang-alang, masuk lokap masuk lokap ler!
“Mak… saya tahu mak yang merancang ini semua, sebab mak memang tak pernah sukakan saya. Saya tak kisah pun, saya cuma nak tahu di mana anak saya. Di mana mak sembunyikan anak saya?” kuat sekali Sonia melaung. Memang dah rancang pun nak buat macam ni kalau Puan Zahrah tak nak bertolak ansur. Macam mana kalau Puan Zahrah call polis mengatakan kau ganggu ketenteraman awam? Dan polis datang gari kau? Perasaan dan minda Sonia bermonolog sendiri. Tak kisah, aku boleh minta tolong pihak polis untuk memanggil bekas ibu mertuaku keluar menemui aku. Kalau aku dibawa ke balai polis, aku juga tak kisah, papa boleh menjaminnya dan aku juga ada lesen besar. Lesen dan pemegang kad rawatan psikiatri. Lagi mau lawan ka?
Sonia menggoncang pagar dengan kuat. Walaupun tak adalah sampai tahap boleh meruntuhkan pagar yang setinggi enam kaki itu, tapi sekadar bikin kecoh dan buat bising tu bolehlah. Tiba-tiba pintu pagar elektrik itu bergerak sendiri. Hah… tahu takut. Hati Sonia gelak sakan, tapi mulutnya tak pula nampak terbuka, malah terkunci rapat dengan penuh rasa geram dan amarah. Sonia melangkah masuk tanpa dipelawa. Alang-alang dah jadi samseng, biar sampai sudah walaupun hanya samseng taik minyak.
Sonia mendekati pintu rumah yang terbuka, tapi masih dikunci grillnya. Puan Zahrah memang ada di dalam bersama bibik Indonnya. Anak-anak perempuannya yang dua orang tu, tak pula kelihatan. Mungkin dia orang menetap di kampus atau kolej.
“Apa hal kau menyalak macam anjing pagi-pagi buta depan rumah aku neyh?” peluruh torpedo telah menghujani muka Sonia. Bagus bunya bahasa ex-mak mertua aku.
“Mak, saya hanya nak tanya, mana anak saya, masih hidup atau dah mati?” jawab Sonia dengan beraninya walaupun tak keras.
“Jangan panggil aku mak, aku bukan mak mertua kau lagi.” Eheh… ayat klise ‘jaman-berjaman’ dalam drama TV, tak usah pakailah!
“Okeylah, saya panggil Puan Zahrah. Mana anak saya?”
“Mana aku tahu anak kau. Kau yang tak reti jaga, kau datang tanya kat sini buat apa. Kau ingat ini kaunter cari budak hilang ke apa?”
“Puan Zahrah ni memang jahat tau, spesies mak tiri Bawang Putih Bawang Merah yang bangla suka makan tu tau! Jahat… Heh Puan Bunga, aku nak tanya sekali lagi, mana kau sorok anak aku?” keras suara Sonia yang dah mula bertukar bahasanya.
“Kenapa kau panggil aku Puan Bunga?” marah ex-mak mertua. Somehow, at least nak juga dia tahu apa muslihat musuhnya ini.
“Aku panggil kau bunga sebab Zahrah tu dalam bahasa Arab bermaksud bunga mawar. Kau memang bunga, tapi bunga ros hitam yang busuk dan beracun kepunyaan ahli sihir,” jawab Sonia diiringi dengan ketawa geli hati bila dia menyedari yang dia telah melalut ke zaman 60-an, apatah lagi bila melihat muka Puan Zahrah yang sudah kelat dan hitam. Marah sangatlah tu… tau sakit ‘ati’.
“Kurang ajar kau!!!” jerit Puan Zahrah lagi.
“Kau yang menyebabkan aku kurang ajar. Aku tanya lagi, mana anak aku? Lebih baik kau jawab kalau tidak aku bakar rumah ni. Cepat!!!” jerit Sonia kuat, seolah-olah dia tu hebat sangat.
“Mana aku tahu.” Masih nak berdalih lagi Puan Bunga ni. Lalu Sonia membuka penutup botol molotov cocktail yang berisi petrol di dalamnya. Kemudian dia mengeluarkan lighter yang berada dalam poket jeansnya. Sonia mencurah sedikit minyak petrol ke lantai. Bau minyak petrol yang mula menusuk hidung membuatkan Puan Bunga menggeletar kepala lutut.
“Okey okey okey… aku bagi tahu, tapi jangan apa-apakan rumah aku ni,” terketar-ketar Puan Bunga meminta ihsan. Tau takut!
“Tulis cepat alamatnya, jangan salah. Kalau salah, kau akan terima akibatnya nanti,” tengking Sonia. Terketar-ketar Puan Bunga yang sombong selama ini menulis alamat seperti yang dikehendaki oleh Sonia.
“Nah!” sehelai kertas dihulur dan Sonia menyambutnya.
“Oh, dia orang lari ke Australia. Tak adalah jauh mana. Naik bot laju pun sampai. Kenapa anak kau tak lari ke Antartika aje, kawan dengan penguin? Biar adventureous sikit aku nak cari,” perli Sonia dalam senyuman yang membuatkan hati Puan Bunga berapi terbakar.
“Kau boleh berambus sekarang,” jerit Puan Bunga dengan segala sakit hatinya.
“Okey, aku akan pergi, tapi sebelum itu aku nak tanya, kenapa kau hasut anak kau ceraikan aku?” Memang itu yang Sonia nak tahu dan nak dengar dari mulut jahat bekas mak mertuanya. Apa salahnya selama ini sehingga dikirimkan saja surat cerai melalui pos berdaftar. Kenapa tak boleh bertemu muka dan bersemuka? Kenapa tak boleh berbincang dan maafkan kalau dia telah melakukan kesilapan. Kenapa dia tidak diberi penjelasan di sebalik penceraian yang tidak diingini.
“Sebab kau bukanlah perempuan yang baik. Anak aku menyesal berkahwin dengan kau. Kau telah berlaku curang dengannya,” terjunkit-jungkit mulut Puan Bunga bila melemparkan tuduhan yang tak berasas itu.
“Apa buktinya yang aku telah berlaku curang?” jerit Sonia. Sakit hati sungguh bila dituduh dengan perkara yang sekeji  itu.
“Ini buktinya, kau tengoklah sendiri, samada aku benar atau tidak.” Sekeping gambar dihulurkan kepada Sonia dan Sonia merampasnya dengan rakus.
“Masya-ALLAH… Aman?” Sonia menepuk kepalanya. Entah bila dan di mana gambar Aman sedang memeluknya mesra dirakam. Lupa situasi dan lokasinya di mana, sama ada sebelum kahwin atau selepas perkahwinannya dengan Azroy. Entah…
“Kenapa, dah kantoi?” perli Puan Bunga pedas.
“Bukan aku yang kantoi, tapi seluruh keluarga kau yang dah kantoi dengan dosa kering kerana telah meruntuhkan masjid. Untuk pengetahuan kau, budak dalam gambar ni, namanya Aman. Aku dah anggap dia macam adik aku sendiri. Kalau kau nak jumpa dia sekarang pun boleh. Semoga ALLAH membalas segala perbuatan kau selama ini.” Tanpa salam dan tanpa menunggu jawapan balas dari Puan Bunga, Sonia berlalu meninggalkan perkarangan rumah yang banyak meninggalkan kesan sejarah itu. Jelaslah sekarang, dia ditinggalkan oleh bekas suami hanya kerana sebuah fitnah. Sungguh bacul dan memualkan… Betapa sempitnya akal dan fikiran bekas suaminya sehingga bertindak tanpa usul periksa. Dasar anak jantan yang membesar di bawah ketiak mak. Puiihh… pora cit!
Tak sangka, Amanlah punca keruntuhan rumah tangganya. Tapi Aman tak bersalah, merekalah yang bersalah, menuduh dan menghukum tanpa tahu hujung pangkal.

















CINTA KITA SEMPOI BAB 8


                                            BAB 8









       
DARI tingkat lapan bangunan Kencana Holding, Rohana merenung ke bawah, ke arah jalan raya yang tak pernah putus kenderaannya. Ralit Rohana memerhati kenderaan yang bersimpang-siur dan manusia yang mundar-mandir walaupun nampak kenit di pandangan mata. Tangan yang memegang kain pengelap cermin diam tidak bergerak, terlekap di situ, kerana minda tuan punya badan bukannya berada di hadapan cermin yang hendak dicuci.
        Jauh kenangan berlari lewat 18 tahun berlalu, peristiwa ngeri yang telah meragut keseluruh kehidupannya, sehingga dia hidup keseorangan, sebatang kara dan terasing di bumi nan bertuah ini. Segala-galanya hilang bila dia telah dilanggar oleh sebuah kereta. Kenangan pahit itu menerjah keras kotak ingatannya lalu peristiwa itu terlayar kembali. Saat dia dilanggar oleh sebuah kereta di Jalan Tunku Abdul Rahman, di tangannya memegang bungkusan makanan dan minuman untuk anak-anak yang sedang menanti kelaparan. Waktu dia melambung tinggi sampai ke cermin kereta, mulut dan hatinya hanya menyebut nama ALLAH dan anak-anaknya, selepas itu dia tidak tahu apa-apa lagi.
        “Mak Cik Hana kat sini rupanya, jenuh Nia cari,” sapaan Sonia menyebabkan lamunan Rohana terputus. Sebelum dia menoleh ke arah teman sekerjanya ini, Rohana menyapu dahulu kesan lelehan air mata yang mengalir tadi.
        “Kenapa Nia cari mak cik?” Rohana cuba bertanya seperti biasa, tadi nada suaranya tetap kendur dan lemah.
        “Sajalah nak ajak rehat, nak ajak makan sama-sama,” jawab Sonia.
        “Mak cik belum lapar. Nia makanlah dulu,” suruh Rohana dengan tidak melihat ke arah Sonia seperti biasa.
        “Mak cik ni kenapa, demam ke?” Sonia mula mengesan sesuatu yang tak kena pada rakan sekerjanya.
        “Tak, tak ada apa-apa! Nia makanlah dulu. Nia ambil tupperware nasi goreng yang mak cik sediakan untuk Nia,” arah Rohana sambil beria-ria mencuci cermin yang dah berkilat.
        “Kalau macam tu, kita makan kemudianlah! Nia nak tanya ni, mak cik ada masalah ke? Nia tengok lain macam aje! Apa halnya. Ceritalah pada Nia, kot-kot Nia boleh tolong,” desak Sonia.
        “Tak ada apalah, mak cik penat sikit. Orang dah tua, faham ajelah!”
        “Hish… tak masuk akal langsung jawapan mak cik ni. Penat sampai melelehkan air mata dan sedih bagai tu apa bendanya?” Sonia ketawa kecil, buat memujuk Mak Cik Hana membuka mulut.
         “Mak cik okey, mata ni aje tadi masuk habuk.” Rohana buat-buat menggosok matanya.
        “Mak cik, Nia kenal mak cik bukan hari ini tau! Lebih baik mak cik cakap apa yang mengganggu emosi mak cik sampai jadi lagu ni,” desak Sonia.
        “Tak ada apa-apa. Nia janganlah risau, mak cik okey aje.” Rohana berdegil untuk tidak berkongsi rahsia.
        “Lupa pula nak tanya, semalam mak cik cuti kenapa ya?” Sonia mengalah dan mengubah tajuk bila dia tahu Mak Cik Hana liat sangat tidak mahu berkongsi kesedihannya. Tak mengapalah, mungkin dia belum bersedia.
        “Oh, semalam tu mak cik pergi ke Pejabat Pendaftaran.”
        “Kenapa IC mak cik hilang ke?”
        “Bukan IC yang hilang, tapi anak yang hilang,” laju saja Rohana menjawab tanpa sedar.
        “Hah, anak hilang! Mak cik ada anak ke! Bila hilangnya?” terkejut Sonia mendengar jawapan spontan dari Rohana.
        “Aaa…” tergagap-gagap Rohana hendak menjawab bila dia menyedari yang dia sudah tersasul.
        “Cakaplah mak cik, sekurang-kurangnya Nia tahu bukan Nia sorang saja yang menderita kehilangan anak. Hidup ini terasa kosong dan tidak bermakna bila separuh nyawa kita telah dibawa pergi,” tiba-tiba saja Sonia beremosi, air matanya cepat saja keluar.
        “Ya Nia, sebenarnya mak cik ada dua orang anak, yang sulung lelaki dan yang bongsu perempuan. Peristiwa ini terjadi 18 tahun yang lalu. Selepas kematian suami mak cik, kami anak-beranak mula berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru. Hari pertama kami sampai di KL, hari itulah juga yang telah memisahkan kami semua hingga ke hari ini.” Rohana terhenti bicaranya. Kesedihannya tidak dapat dibendung lagi. Dia menangis pilu, mengenangkan anak-anaknya yang entah di mana.
        “Sabar mak cik, sesungguhnya kita mempunyai nasib yang sama walaupun garapan ceritanya berbeza,” pujuk Sonia yang mengerti erti sebuah kehilangan.
        “Macam mana boleh terpisah?” Tak sabar rasanya nak tahu keseluruhan cerita kisah hidup Mak Cik Hana.
        “Waktu mula-mula mak cik sampai kat KL dulu, mak cik tak tahu nak ke mana, sebab kawan yang janji nak datang ambil mak cik, tak muncul-muncul, jadi terpaksalah kami merempat di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman buat beberapa hari. Pada suatu hari mak cik dilanggar kereta sewaktu pergi membeli makanan untuk anak-anak. Kemalangan yang agak teruk. Kata doktor yang merawat, mak cik koma selama enam bulan. Bila keluar dari hospital mak cik tak tahu ke mana nak dituju dan di mana nak cari anak-anak mak cik.” Rohana menghabiskan cerita dukanya dengan tangisan yang sangat pilu, tangisan rindu seorang ibu yang bernasib malang.
Rohana membiarkan saja air matanya berlari turun dengan deras, tanpa diseka. Biarkan! Dia ingin lepaskan keseksaan ini. Selama ini duka yang menjeruk perasaan ini tidak pernah dia kongsikan dengan sesiapa pun. Dia kunyah dan telan segala perit, duka dan sengsara berulamkan kesabaran dan berzikir pada ALLAH, kemudian dia hadamkan penderitaan itu bersama doa pada ALLAH, semoga anak-anaknya terpelihara dengan baik walau di mana  mereka berada.
Mata Sonia juga basah dek air mata yang mengalir, terasa sedih dan hiba dengan nasib yang menimpa Mak Cik Hana. Sesungguhnya penderitaannya jauh lebih ringan kalau nak dibandingkan dengan kesengsaraan yang dihadapi oleh Mak Cik Hana, keseorangan mengharungi hidup yang perit dan getir ini. Sonia insaf kini. Kalau kita merasakan hidup ini susah, pasti ada orang lain yang lebih susah dari kita. Jadi janganlah terlalu mengikut perasaan. Bertafakurlah, dan teruskanlah kehidupan ini seperti biasa.
“Sonia, bos panggil.” Sonia terkejut bila namanya dipanggil oleh Kak Elin, setiausaha Encik Johari. Perbualan antara Sonia dan Mak Cik Hana terhenti bila Mak Cik Hana berpura-pura mencuci cermin tingkap pejabat yang tak pernah terbuka itu.
“Kenapa bos panggil saya kak?” tanya Sonia perlahan.
“Katanya nak suruh lap kopi yang tumpah atas meja,” jawab Elin.
“Baik kak, saya pergi sekarang.” Dia beredar ke bilik utiliti dahulu sebelum memasuki pejabat bos. Dia perlu menanggal Wellington boots kuningnya dahulu, kemudian buka uniform putih barulah boleh mengadap bos. Jawatan yang Cik Sonia pegang ini agak spesial sedikit dari Mak Cik Hana, sebab dia adalah SpongeBabe merangkap kopi lady di pejabat ini.
        “Masuk…” arahan masuk dari dalam berbunyi sebaik saja Sonia selesai mengetuk pintu bilik bos beberapa kali. Sonia menjengahkan mukanya.
        “Hah, lambat benar awak sampai, awak pergi mana?” tanya Johari pada Sonia yang sudah bersedia dengan kain pengelap meja.
        “Maaf bos, tadi saya salin uniform dulu, lepas tu terus datang sini. Mana meja yang nak dibersihkan itu?” tanya Sonia sebaik saja dia melihat tak ada benda pun yang kotor di atas meja bos.
        “Ini hah!” Johari menunjukkan satu titik besar kesan air kopi yang tumpah di atas meja. Tak adalah besar mana pun. Rasanya sama besar dengan duit 5 sen jer.
        “Hah, ni aje! Mak aii… pemalas betul ya? Benda kotor sekecil ini pun nak suruh saya buat?” serang Sonia geram. Dah lupa dia sedang bercakap dengan siapa. Biasalah tu, kalau dah geram, boleh hilang ingatan sekejap dibuatnya.
        “Hai, dah itu kerja awak, buat ajelah,” selamba saja Johari berkata tanpa melihat wajah Sonia.
        “Yalah, saya tahu ini kerja saya, tapi kasihanlah kat tangan bos.” Sonia sengaja bagi klu yang tak terfikir oleh bosnya.
        “Kenapa pula dengan tangan saya?” berkerut berlipat dahi Johari, cuba untuk faham.
        “Tangan bos tu, tergedik-gedik nak dapatkan pahala lebih untuk menjadi kesaksian di akhirat esok, dia nak bersihkan kekotoron itu, tapi bos tak nak bagi dia dapat pahala,” sindir Sonia pedas. Geram sangat-sangat, benda sebesar itu pun nak panggil aku? Lap ajelah dengan tissue yang tersedia kat atas meja tu. Dasar pemalas, kutuk Sonia dalam hati. Potong stim betul, aku yang tengah asyik bertangis hiba dengan Mak Cik Hana terpaksa pula commercial break iklan tissue, apa cerita!
        “Kenapa berdiri aje kat situ, buatlah kerja!” arahan Johari mengembalikan perasaan dan minda Sonia ke dunia asal.
        “Baik bos.” Sonia melakukan kerjanya, sekelip mata saja kekotoran itu hilang. Sonia berdiam diri dan tegak di hadapan Johari.
        “Dah siap?” tanya Johari tak puas hati.
        “Ya bos,” jawab Sonia.
        “Awak ni pemalas dan bendul ya? Janganlah buat apa yang disuruh saja, banyak lagi benda yang boleh awak bersihkan,” kutuk Johari dengan wajah tanpa perasaan.
        “Semuanya saya dah buat pagi tadi bos, sebelum bos masuk pejabat,” beritahu Sonia dengan bahasa robotnya.
        “Ya ke awak dah bersihkan?”
        “Bos tak caya, cubalah check tengok ada habuk ke tidak,” petah saja Sonia menjawab.
        “Kalau dah tak ada habuk, kenapa awak masih pakai mask. Kenapa tak buka saja mask awak tu?” saja Johari nak kenakan Sonia balik, pandai sangat berkata-kata.
        “Oh, saya ni ada special kes, selsema saya kuat, tak boleh buka, nanti menjangkiti orang lain. Bos, ada apa-apa lagi ke?” Sonia cuba nak melarikan diri.
        “Sebenarnya saya nak tanya. Awak ada bawak bekal nasi goreng ikan bilis lagi tak?” tanpa segan Johari bertanya. Ceh, itu aje ke halnya. Kenapa tak tanya aje terus terang  dari awal? Kan senang… nampak sangat nak guna trick lama.
        “Bos, nak ke? Tak sangka pula bos suka makanan pekerja marhaen macam kami ni.” Sonia keliru, kemudian tergaru-garu. Biar betul bos ni!
        “Ya, saya teringin nak makan, saya rindu sangat nasi goreng tu,” ucap Johari tanpa mempedulikan kerutan di dahi Sonia yang mula berkedut. Sonia tak perlu faham apa-apa, yang penting nasi goreng yang sedap itu ada tersedia untuknya.
        “Hai, bos macam orang mengidam aje, isteri bos tengah mengandung ke?” terjah Sonia. Berani pula dia menyakat bos.
        “Tak kisahlah apa pun, yang penting ada tak nasi goreng hari ini?”
        “Ada tu adalah, tapi saya punya. Tak acilah kalau saya bagi pada bos, saya nak makan apa?” jawab Sonia.
        “Awak makanlah apa pun. Nah, ambil roti Gardenia ni, sungguh enak dimakan begitu saja… sakat Johari. Saya dah tak sabar rasanya nak makan ni. Okey saya bayar, berapa harga nasi goreng tu?”
        “Wah, ini boleh berniaga ni. Bagus juga tu. Macam nilah… Apa kata bos bayar duit pada mak cik cleaner tu untuk masak nasi goreng ikan bilis untuk bos tiap-tiap hari, dapat juga dia duit belanja. Lagipun saya kasihan dengan mak cik tu, hidup dia sebatang kara kat KL ni. Sekurang-kurangnya kita dah tolong ringankan beban dia.” Cadangan Sonia membuatkan Johari terbuka mindanya. Tak terfikir pun selama ini.
        “Betul juga pendapat awak tu,” akui Johari.
        “Lagi satu cadangan saya, kita suruh dia buat nasi lemak dan kuih-muih untuk dijual kepada staf pejabat ni, nanti kita juga yang senang. Tak payah berhabis masa turun ke kafetaria untuk minum pagi. Bahagian minuman bos jangan risau. Saya akan bancuh kopi satu jug penuh, baeek dan kaw-kaw punya. Cakap aje nak kopi apa… Habbatussauda’, tongkat ali, kopi jantan, kopi janda, yang ada ramuan power extra turbo, semua saya boleh pergi cari. Tapi, kalau boleh huloq la sikit. Amacam?” penuh bersemangat Sonia bercakap. Manakala Johari bulat mata merenung gadis di hadapannya, hingga tak berkedip.
        “Hmm… boleh tahan juga idea awak ni ea! Bijak, saya suka,” puji Johari ikhlas, sementara Sonia mengangguk tanda respons bangga. Kalau dia senyum lebih-lebih pun, bos bukannya nampak. Ada ‘tabior’.
        “Bos setuju tak?”
        “Ya! Awak bagi tahu saja mak cik cleaner tu, dia boleh jual kuih kat ofis ni,” kata Johari.
        “Yes, baiknya bos. Sayang bos!” terlepas kata yang tak disedari oleh Sonia sendiri akibat terlalu teruja. Johari yang mendengarnya agak terkejut. Alangkah beraninya gadis ini. Anak sapa ler agaknya. Bila Sonia keluar dan pintu bilik mula tertutup, Johari mula tersenyum sendiri. Hati terasa terhibur dan dada yang ketat terasa longgar. Jiwa yang kering terasa basah. Aneh sungguh, setiap kali bersembang dengan Sonia the SpongeBabe tu, perasaannya akan jadi seperti ini. Siapakah perempuan yang hadir bagai membawa kuasa magis ini?