NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, September 21, 2012

Amir Minah Macho Bab 10


            

BAB 10

            “MAK, Mira tak nak kahwin, lebih-lebih lagi dengan Mail tu. Tolonglah!” Amira menarik muka masam mengilu mengalahkan masamnya belimbing buluh.
            “Kenapa tak nak, Mail, kan kawan Mira sejak kecil lagi dan Mail dah angau sangat dengan Mira.”
            “Eh, Cik Yat Yit Yok, lebih baik kau diam, kalau tak aku sental mulut tu dengan berus tembaga, baru kau tahu!” Amira menjerit ke    arah kakaknya yang bernama Norhayati. Dia tahu, gelaran Yat Yit Yok akan membakar kemarahan kakaknya. Biarkan, biar dia tahu bagaimana rasanya marah terbakar.
            “Mira, kenapa cakap macam tu dengan kakak, dahlah jarang-jarang jumpa, balik sekali-sekala pun nak marah-marah.”
            “Mana tak marah, kenapa dia menipu, kata mak sakit teruk dan suruh Mira balik dengan segera.” 
            “Takkanlah suruh balik tengok mak pun marah-marah. Bila dok kat Kuala Lumpur tu dah tak ingat mak yang tua kat kampung ni?” Mak Milah menegur sikap Amira yang cepat sangat marah.
            “Bukan itu maksud Mira, tapi cara dia bercerita dalam telefon tu, macamlah mak dah kritikal sangat.”
            “Alah, mak yang suruh dia buat macam tu,” selamba saja Mak Milah memberi jawapan.
            “Mak!!!” Terbakar seluruh dada Amira, dan dia tak mampu bercakap lagi.
            “Kenapa, salah?” Mak Milah bertanya balik.
            “Memanglah salah, mak buat Mira gundah, susah hati dan macam-macam perkara yang menakutkan terfikir kat kepala Mira ni bila Cik Yat Yit Yok called, dan cakap macam tu. Tak boleh ke mak buat alasan lain?” Nak saja Amira meninggikan suara, tapi takut dosa pula.
            “Kau rasa, bila mak cakap elok-elok yang kau nak ditunangkan dengan Mail tu, nak ke kau balik?” Terkedu Amira tanpa jawapan. Memang sumpah dia tak akan balik. Dia tak nak bertunang dengan Mail anak Tuk Ketua kampung tu, bukannya handsome mana pun, serabai  dan selekeh saja. Duit banyak tapi tak reti nak berhias.
            “Mak, batalkan saja niat mak tu!” Amira meminta sungguh-sungguh.
            “Kenapa?”  Mak Milah buat bodoh.
            “Mira tak sukakan Mail tu, takkanlah mak nak suruh Mira kahwin dengan Mail bendul tu.” Terbayang di ruang mata Amira gelagat Mail yang bendul sewaktu berada di Tingkatan 5 dahulu. Ikut saja apa orang cakap, selalu saja senyum dan tersengih. Nampak poyo. Getik nengok, kadang-kadang pakai seluar sampai ke dada. Skema giler. Mana dia pergi situlah Mail mengikutnya. Mak, aku tak nak kahwin! Idak…!
            “Alah, mula-mula kahwin, memanglah tak suka, dah lama-lama nanti suka dan cintalah.” Mak Milah masih mempertahankan pendapatnya.
            “Mira tak boleh kahwin dengan Mail, tak boleh, tak boleh, tak boleh, mak tahu tak?”
            “Bagi alasan kat mak kenapa, atau kau dah ada teman lelaki? Kalau kau dah ada boyfriend, hah… tunjukkan kat mak ni, sebelum rombongan peminangan Tuk Ketua tiba,” lagi serabut kepala Amira dengan pertanyaan Mak Milah. Boyfriend? Selama hidup aku, mana aku ada boyfriend, kawan-kawan  biasa adalah. Tambah-tambah kat KL, bukan senang nak cari boyfriend yang boleh dipercayai, ‘boya pren’ ramai le! Ha… aku ada idea, aku nak suruh Pian menyamar jadi teman istimewa aku, biar Pian datang sini berjumpa dengan mak. Tapi boleh harap ke, si Pian tu? Ish… tak boleh jadi ni. Aku rasa kalau Pian datang sini, belum pun sempat Pian naik ke rumah, dah kena halau dengan mak, mak bukannya berkenan dengan orang seni macam Pian tu, harapkan rambut saja besar macam sarang tebuan. Tak boleh, tak boleh. Habis nak minta tolong siapa? Kalau Ariel boleh? Heh… tak malu ke nak minta tolong Ariel? Dahlah penipu, pembohong, ada hati nak minta tolong orang. Marah Ariel pasal kes dulu pun belum selesai hingga sampai sekarang. Ariel tak pernah lagi call atau hantar SMS, itu pun tak faham ke? Arghh… buntunya.
            “Hah… kenapa diam? Tak ada teman lelakilah tu,” bukan main lagi Mak Milah mencantas hati dan perasaan Amira.
            “Kalau mak nak suruh Mira kahwin, tolonglah cari orang lain, tapi jangan Mail.”
            “Eh Mira, dengar sini. Kau sepatutnya rasa bersyukur dan berterima kasih, sebab ada juga orang yang nakkan kau. Lagi satu, di antara ramai-ramai anak gadis kat kampung ni, Mail pilih kau untuk jadi teman hidupnya. Kalau kau nak tahu, ramai anak gadis kat kampung ni tersua-sua muka mereka supaya dilamar oleh Tuk Ketua,” lantang suara Mak Milah. Kecut hati, kecut perut dan kecut perasaan Amira.
            “Untung kau Mira, dapat anak Tuk Ketua Kampung Pinang Sebatang yang kaya-raya.” Norhayati menyampuk.
            “Kalau macam tu kau saja yang menjadi menantu Tuk Ketua Leman tu, aku tak ingin pun nak jadi menantu orang kaya,” marah Amira menyinga ke arah Norhayati. Mak Milah menjeling tajam ke   arah Amira, anak ni memang kuat menjawab.
            “Masalahnya Mail tu tak hendakkan aku, dan aku pun dah ada boyfriend,” ketawa Yati membuatkan Amira lagi sakit hati.
            “Hah… kalau dah ada boyfriend tu kahwin sajalah, kenapa dok suruh aku yang kahwin?”
            “Tentang aku, kau tak payah risau, petik saja jari, adalah yang datang. Masalah yang kita nak bincang sekarang ialah kau, sementara Mail tengah dok tergila-gilakan kau ni, elok sangatlah kau terima dia, kalau tidak kempunan nanti nak berlaki.”
            “Eh… Cik Yat Yit Yok, jaga mulut kamu, ALLAH itu Maha Mendengar, jangan sombong dengan kecantikan yang ALLAH pinjamkan untuk kau. Sekali kau berperasaan sombong dan riak, habis segala pahala dan kebaikan kau ditelannya, reti… umpama api yang memakan sekam.” Amira menyudahkan kata, dengan kata sufinya.
            “Amboi, amboi… sedapnya bercakap tentang pahala dan dosa, sedarlah diri tu sikit, yang kau dok melawan cakap mak tu tak berdosa? Dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.” Norhayati tetap berlawan cakap dengan Amira, walau belum tentu menang.
            “Sudah, sudah, jangan nak bertekak. Hasil perbincangan ialah, esok rombongan peminangan dari Tuk Ketua Leman akan datang, dan mak akan terima peminangan tersebut,” tegas arahan Mak Milah, macam arahan Tuan General.
            “Ini tak adil!” Amira memberontak lagi.
            “Apa yang tak adilnya?” Pening kepala Mak Milah.
            “Dengan Cik Yat Yit Yok yang merapu ni, mak beri dia peluang untuk tentukan pilihannya, tapi dengan Mira, bukan main mak main paksa-paksa pula, ha… mana keadilannya? Jangan pandangku sebelah mata.”
            “Sebab tulah mak tanya, kau ada teman lelaki ke, tak?” Norhayati menyampuk. Mak Milah mengangguk tanda betullah tu. Amira terbonyok macam tempoyak busuk. Sakit hatinya tak tahu nak digambarkan lagi.
            “Sampai hati mak buat anak mak macam ni,” nada suara Amira bertukar sedih.
            “Mira, sebenarnya mak ni bukanlah nak paksa sangat kau kahwin, tapi si Mail tu nak sangat kat kau. Bila Tuk Ketua datang merisik untuk si Mail tu, mak jadi serba salah. Mak tak mampu nak  menolak sebab mengenangkan budi mereka sekeluarga pada kita selama ini memang tak terbalas.”
            “Oh… jadi untuk membalas budi mereka, Mira pula yang terpaksa gadai body, macam tu?”
            “Bukan macam tu Mira, mak mana yang nak lihat anaknya menderita. Mak buat macam tu sebab mereka semua adalah dari keluarga yag baik-baik, beragama, berketurunan, berharta dan lain-lain lagi. Jadi mak rasa kalau kau menolak peminangan mereka, samalah seperti menolak segala rezeki yang ada di hadapan mata kau.”
            “Tapi mak, Mira tak cintakan Mail.”
            “Cinta yang lahir selepas perkahwinan adalah lebih berkat,” pujuk Mak Milah.
            “Tidak mak, Mira tak akan bertunang dengan Mail, mak tengoklah nanti.” Ugutan Amira membuatkan Mak Milah cemas, budak tu bukannya betul sangat, kalau dia marah, macam-macam benda boleh dia buat.
            Putih mata Mak Milah melihat Amira yang berlari turun ke bawah bersama kunci motosikal. Seketika kemudian bising bunyi enjin motosikal dipressed kuat macam orang nak masuk lumba haram. Tanpa memakai topi keledar Amir mendecit laju motosikal tua milik Mak Milah itu, dan Mak Milah pula diam hingga tak terkata, hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya, tanda ‘aje yang betoi’, sebaik saja melihat Amira dari jendela.
            Ya ALLAH… ya TUHANku, harap-harap janganlah si Amira buat kerja gila dan bodoh.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                               










Amir Minah MachoBab 9





BAB 9

            SE AWAL pagi Ariel sudah bersiap-siap untuk ke pejabat.  Dia perlu awal ke pejabat kerana semalam banyak kerja-kerja yang tak sempat dia habiskan. Semasa di meja makan Ariel hanya mencicip kopi, kemudian dia bangun tanpa menegur atau bersembang dengan sesiapa seperti biasa.
         Belum pun dia menghidupkan enjin kereta, Nilna kelihatan berlari-lari ke arahnya.
         “Abang, nak tumpang,” pinta Nilna sebaik saja membuka pintu kereta. Ariel terkesima seketika.
“Hei… apa mimpi ni?” Ariel bertanya hairan.
“Kenapa tak boleh ke? Kena mimpi dulu baru boleh naik?”
“Bukan tak boleh, tapi rasa pelik sikit bila Nil sudi naik kereta abang.”
“Saja Nil nak rebut peluang bersembang-sembang dengan abang. Maklumlah semenjak dua menjak ni semua orang dalam rumah tu nampak sibuk saja, termasuklah abang.”
“Sorrylah, kalau itu yang Nil rasa. Memang lately  abang sibuk sikit sebab sedang menyiapkan proposal untuk tender yang jutaan ringgit.” Ariel bercerita sambil menggerakkan kereta kataknya.
“Boleh tahan juga kerjaya abang, tapi kenapa abang tak nak bekerja dengan ayah?” Ariel menoleh ke arah Nilna sambil tersengih.
“Macamlah Nil tak tahu siapa ayah. Sebenarnya abang nak kerja di syarikat tu, tapi buat masa sekarang biarlah abang cari pengalaman dulu kat tempat lain. Nil tahulah ayah tu, kalau silap atau tak tahu  buat kerja, dia main marah sesuka hati saja. Cerewetnya pula mengalahkan perempuan, semuanya nak kelihatan sempurna. Kadang-kadang abang terfikir, macam manalah staf-stafnya boleh tahan dengan sikap ayah? ”
“Dah sikap ayah macam tu, sabar sajalah.”
“Memanglah boleh sabar, tapi abang tak suka dengan sikap ayah dan ibu terhadap Sofia. Sebagai ibu bapa, mereka perlu lebih bertegas dan keras terhadap Sofia, bukannya bagi muka pada budak tu. Alamatnya akan hancurlah Sofia nanti.”
“Abang jangan doa begitu.”
“Itu bukan doalah Nil, itu peringatan supaya semua orang jangan buat perkara yang sedemikian, nanti dimurkai ALLAH di dunia dan di akhirat.”
“Yalah, Nil dengar nasihat abang, sebab Nil tahu abang sayangkan kita orang semua.” Ingatan Ariel tiba-tiba saja singgah pada Amir.
“Alangkah bagusnya Sofia tu seperti Nil dan Amir, tahu menjaga diri dan maruah.” Ariel meluah kata sendirian.
“Siapa Amir?”  Ariel terpinga bila diajukan pertanyaan.
“Hah, apa Nil tanya?”
“La… abang ni, buat-buat mamai  pula. Nil tanya siapa Amir yang abang sebut tadi?”
“Oh, itu budak bengkel, petang nanti abang bercadang nak ke bengkelnya, nak repair kereta ni,” sempat juga Ariel cover line. Entah kenapa nama Amir tiba-tiba tersasul keluar dari mulutnya. Mungkin juga betul kata orang, bila ingatan mengasak minda, mulut menyebut tanpa sedar.
“Nil dah ada boyfriend?” Ariel bertanya selamba, Nilna menyengih segan. Kemudian dia mengangguk perlahan.
“Abang bukannya melarang kalau Nil ada teman lelaki, sebab sedikit masa lagi Nil akan berkahwin juga, kalau tak cari sekarang bila lagi, kan? Maklumlah kaum perempuan lebih ramai dari lelaki, jadi kenalah pat pat siku lipat, siapa cepat dia dapat. Tak gitu Nil.” Ariel menyambung sembangnya.
“Betul tu abang, bayangkan dalam kelas Nil ada 26 orang pelajar semua, tapi pelajar lelaki cuma 2 orang saja, kasihan kan?” Nilna ketawa dan Ariel juga ketawa.
“Dah pupuskah kaum lelaki yang bijak pandai kat Malaysia ni?” Ariel bertanya sambil menyambung sisa ketawanya.
“Nampaknya gitulah abang.”
“Abang nasihatkan Nil, jagalah adab-adab dalam perhubungan, jangan buat perkara yang melanggar hukum, sebab seronoknya hanya sekejap tapi dosanya berpanjangan. Lagi satu, biarlah teman lelaki Nil tu seorang yang bertanggungjawab, beriman dan boleh membimbing Nil ke arah jalan yang diredhai ALLAH.”
“Terima kasih abang, sebenarnya Nil juga tak suka perangai Sofia. Dah banyak kali Nil tegur, tapi dia marah Nil balik. Bila cakap pada ibu, ibu buat diam saja.”
“Tak mengapalah Nil, walaupun Sofia tak dengar atau marah-marahkan kita, kita semua tetap kena tegur dia, sebab dia tu adik kita. Lagipun ALLAH menyuruh kita berpesan-pesan dengan kebenaran tak kira dengan siapa pun,” bersungguh Ariel memberi penerangan pada Nilna, mudah-mudahan Nilna tahu tentang tanggungjawab sebagai seorang muslimah, apalagi sebagai seorang kakak.”
“Insya-ALLAH, Nil akan cuba. Tapi satu Nil nak tanya abang.”
“Tanya apa?”
“Abang dok sibuk pasal Nil, abang sendiri dah ada teman wanita ke?” Ariel ketawa dengan pertanyaan Nilna, ingat nak tanya apa tadi.
“Entahlah, abang sendiri pun tak tahu, abang ada teman wanita ke tidak. Nak kata tak ada, abang ada suka kat seseorang, dan kalau nak kata ada, orang tu pun tak tahu abang suka kat dia. Itu yang payah tu.”
“Ah… senang saja tu, luahkan saja hasrat hati abang tu, biar dia tahu.”
“Cakap senanglah, masalahnya orang yang abang suka tu lain macam sikit.”
“Kenapa abang cari yang lain macam?” besar ketawa Nilna, dan Ariel juga ketawa.
“Nil dan Sofia, kan selalu kata abang ni pelik, so abang cari girlfriend pun yang peliklah.” Ariel menyambung ketawanya mengenangkan cinta butanya yang pelik tu.
“Habis, abang suka dia?”
“Yup, abang suka dia, sebab dia lain dari yang lain dan tak serupa orang.” Nilna menggelengkan kepalanya, memang abang aku mamat pelik. Lantak dialah, janji dia bahagia. Bila sampai di hadapan kolej, Nilna turun dari kereta Ariel tanpa ada rasa malu dan segan pada kawan-kawannya kerana dihantar dengan kereta katak. Malah dia merasa senang dan bahagia bila dapat berbual-bual dengan abangnya. Betullah kata pepatah, kebahagiaan itu bukan datang dari harta dan kemewahan, tapi dari hati yang sejahtera. Patutlah  abang tak berapa hairan sangat dengan kemewahan yang kami ada, kerana abang telah bahagia dengan apa yang dia ada.

Alangkah kecewanya Ariel bila dia sampai di Bengkel Halim, Amir pula tiada. Yang ada hanya kawan-kawan dia dan motosikalnya saja. Ah… tengok sajalah motosikalnya mudah-mudahan hilang rindu ini.
“Pian, kenapa Amir balik tiba-tiba saja?” Ariel bertanya.
“Entah balik kahwin kut,”  senang saja Pian menjawab.
“Janganlah main-main, abang tanya betul-betul ni,” hati Ariel tiba-tiba menjadi gundah.
“La… betullah kut, abang ingat si Amir tu tak ada orang nak ke? Dia tu, nampak saja macam lelaki, tapi kecantikan sebagai wanita tetap terserlah. Zaki ni dah lama angau kat Amir, tapi Amir saja yang tak layan.”
“Woi, kenapa kau babitkan aku pula? Kau pun sama, suka kat Amir, tapi takut nak mengaku. Takut kena belasah dek Amir hi…hi… hi…”  ketawa Zaki yang kuat membuatkan semua orang geli hati.
“Dahlah, tak payah bertekak pasal orang yang tak ada kat sini. Sekarang ni kau orang dah habis kerja ke?”
“Dah, kenapa bang?” Pian bertanya pantas.
“Kalau kau orang berdua sudi, abang nak belanja minum.”
“Rezeki, rezeki… walaupun Amir tak ada, dapat juga kita minum free.” Zaki berkata girang, mana tidaknya, kalau Amir ada tiap-tiap petang dia belanja goreng pisang panas Kak Timah seberang jalan tu. Bila Amir tak ada semuanya rasa tak kena, tak boleh dengar Amir berleter, tak boleh tengok Amir sepak tong sampah bila dia marah, pendek kata Amir tetap bunga pujaan di kalangan mereka walaupun versi jantan. Amir dengan caranya yang tersendiri dapat menarik perhatian orang lain walaupun dia hanya bersahaja dan sederhana.
“Hoi Zaki, sempat kau mengelamun. Ini pasti tengah ingat Amir.” Pian menyergah Zaki. Zaki hanya menyengih.
“Habis, kau sendiri tak ingat? Aku tengok kau tu macam ayam berak kapur saja bila Amir tak ada.”
“Dahlah jangan sebut-sebut nama dia lagi, nanti tak pasal-pasal si Amir tu tersedak memanjang.” Ariel menenangkan dua sahabat yang kerinduan itu. Sebenarnya tiga orang yang dalam kerinduan, tapi malu nak mengaku. Karang diketawakan oleh Pian dan Zaki, baru padan muka. Tak mengapalah simpan saja dalam hati.
“Abang datang cari Amir, kenapa?” Pian bertanya.
“Saja nak sembang-sembang dan borak-borak macam dengan kau orang.”  Cakaplah apa alasan apa pun tiada yang tahu.
“Ya ke bang? Bukan kerana rindu?” Bukan main celupar lagi mulut Pian. Ariel ketawa lepas tapi wajahnya berubah merah seketika.
“Kenapa pula nak rindu kat Amir? Amir, kan…” bicara Ariel tersekat, tak tahu nak cakap apa.
“Cakap sajalah abang, apa nak disegankan dengan kami ni. Sebenarnya Amir ada cerita yang dia malu sangat nak jumpa abang setelah pembohongannya terbongkar, dan sekarang abang dah tahu Amir seorang perempuan, adakah abang akan berkawan dengannya lagi?” Pian dan Zaki terbedik-bedik matanya menanti buah kata dari Ariel.
“Mula-mula tu abang rasa nak marah juga, tapi setelah difikirkan, pasti Amir ada alasan sendiri bila dia melakukan sesuatu. Dalam persahabatan, kita tak perlu memandang perkara buruk yang ada padanya, tapi pandanglah segala kebaikannya, barulah persahabatan itu boleh berkekalan.”
“Tak sangka ya, pandangan abang sama dengan pandangan Amir. Amir selalu menasihati kami, kalau kami bermasam muka dan bertelagah,” Zaki menyampuk, Ariel tersenyum puas.
 Mereka bertiga pun melangkah laju menuju ke Restoran Basyir untuk membasahkan tekak. Kosong rasa jiwa Ariel bila Amir tak ada, dan niat di hati untuk meminta maaf tentang peristiwa tempoh hari semasa di One Utama, tidak kesampaian.
Tak mengapalah, tunggu saja Amir balik, mungkin itu yang lebih baik, dan tak perlulah dia ganggu Amir dengan panggilan ataupun SMS. Biarlah Amir tenang semasa kat kampung bersama keluarganya.
  
                        

Amir Minah Macho Bab 8





BAB 8

            ARIEL Iskandar termenung di beranda biliknya sambil memerhati malam yang dihiasi bulan penuh dan juga kerdipan bintang yang bergermalapan. Cukup indah dan berseri, tapi hati Ariel Iskandar sedikit pun tidak tertawan. Fikirannya jauh melayang terbang ke arah peristiwa siang tadi, sesuatu yang sungguh tidak dijangka dan diduga sama sekali.
            Siapa sangka nama Amir ialah Amira Batrisya, sebuah nama yang cukup indah dan amat sesuai sekali dengan orangnya. Satu persoalan yang sedang terapung-apung di dalam otaknya ialah kenapa Amira Batrisya berlagak seperti lelaki dan berperwatakan lelaki, apa sebenarnya yang dia hendak dalam hidupnya, dan kenapa dia tidak bersyukur dilahirkan sebagai seorang perempuan? Ah… macam-macam soalan dalam kepala ni, tapi tiada jawapannya.
            Rasa sakit hati memang menyirap dari siang tadi. Kenapa budak tu sanggup menipu dia. Dahlah berlagak jantan, buat-buat bisu pula. Apa kes! Apa masalahnya, kenapa dia beria sangat menipu aku? Hiss… memang tak puas hati betullah! Tapi, apa pula masalah aku yang sebenarnya? Sibuk sangat tak puas hati tu apa pasal? Lantak dialah nak jadi Amir ke, Amira ke, bukannya ada kena-mengena dengan aku pun. Ariel meredakan perasaannya sendiri. Kenapa dia perlu menyesakkan fikiran dengan benda-benda yang remeh dan tak ada kaitan dengannya? Tapi… Ah! Ingatan terhadap peristiwa siang tadi datang kembali.
            Mungkin Amira ada alasannya tersendiri mengapa dia suka jadi tomboy, tapi alasan tu tak boleh pakai. Sebagai hamba ALLAH kita tak berhak memilih apa yang kita nak. Kita dikehendaki redha dengan segala qada dan qadar ALLAH, tanpa perlu bersoal jawab itu dan ini.
            Penat Ariel duduk di kerusi, dia bangun sambil meninjau kawasan rumah mereka yang nampak jelas dari tingkat atas. Tiba-tiba sebuah kereta putih jenis Honda berhenti di hadapan rumahnya. Pemandunya keluar untuk membuka pintu kereta untuk pasangannya dengan penuh romantik, kemudian pasangan tersebut berpelukan di tepi kereta sebagai ucapan perpisahan.
Mata Ariel Iskandar  membulat dan terjegil dengan tiba-tiba bila dia dapati perempuan yang sedang berpelukan dengan pasangannya itu ialah Sofia. Darah menyirap naik ke muka, rasa marah melonjak sampai ke kepala. Sepantas kilat Ariel berlari turun ke tingkat bawah untuk memarahi pasangan yang sedang memadu kasih asmara di hadapan rumahnya. Sebaik saja Ariel membuka pintu, wajah Sofia terjengul di hadapannya. Sofia melangkah masuk seolah-olah tak ada apa yang berlaku.
“Eh Sofia, apa yang kau buat kat luar tadi?” Ariel terus menyerang. Wajah Sofia berubah dan kelihatan terkejut.
“Buat apa?” Sofia bertanya balik dengan muka tak bersalahnya.
“Kamu ingat abang tak nampak yang kamu sedang berpeluk-pelukan dengan boyfriend kamu?” Ariel mula meninggikan suara.
“Habis, dah tahu kenapa tanya?” Sofia juga meninggikan suara tanda tak puas hati.
“Kamu sedar ke tidak, yang kamu sedang buat maksiat. Heh… kita ni orang Islam, ada peraturan, ada adat, ada maruah. Kamu tak malu ke buat perangai tak senonoh macam tu?” Dada Ariel turun naik turun naik kerana marah. Sofia sekarang betul-betul dah melampau, dah tak ingat dunia dan dah tak takut dosa. Apa nak jadi…
“Kenapa abang sibuk pasal Sofia. Suka hati Sofialah nak buat apa pun.”
“Kurang ajar punya budak!”  Sebijik penampar Jepun singgah di pipi Sofia yang gebu. Terpusing Sofia dek penampar sulung abangnya, dan dia sendiri tidak menyangka abangnya sanggup menjatuhkan tangannya ke pipinya. Sofia meraung keras melepaskan rasa sakit dan marah.
Sebentar kemudian Puan Hasni dan Nilna laju saja turun ke tingkat bawah sebaik saja mendengar suara riuh-rendah di ruang tamu.
“Kenapa ni Ariel, Sofia?” Puan Hasni bertanya cemas bila melihat Sofia menangis.
“Abang tampar Sofia,” adu Sofia bersama tangisan.
“Kenapa Ariel tampar Sofia?” Puan Hasni bertanya dengan suara yang tinggi kerana terkejut, tak pernah seumur hidupnya melihat Ariel menjatuhkan tangan ke badan adik-adiknya.
“Ibu tahu tak Sofia buat apa sebentar tadi? Dia berpeluk-pelukan dengan boyfriendnya di hadapan rumah, tak malu ke? Kalau jiran tengok macam mana?” Ariel menerangkan keadaan, tapi Puan Hasni mendengar dengan tenang tanpa rasa terkejut pun.
“Mana ada jiran nampak, dah malam.”
“Tengoklah, menjawab lagi, bukannya nak ada rasa bersalah.” Ariel masih memarahi Sofia yang berada di sebelah ibunya.
Tiba-tiba Encik Syaiful masuk ke dalam rumah dan berada di tengah-tengah mereka. Semua yang ada berpandangan. Tak sedarpun bila ayahnya balik, tiba-tiba aje terpacak kat dalam rumah.
“Kenapa bising-bising ni?” Encik Syaiful bertanya.
“Ini ha, Ariel tampar si Sofia, apalagi menangislah anak manja awak ni,” Puan Hasni mengadu tanpa melihat ke wajah Ariel.
“Kenapa Ariel, dah nak jadi samseng ke? Sampai pukul adik sendiri,” marah Encik Syaiful tanpa usul periksa.
“Mana tak kena pukul ayah, kalau dah buat salah lepas tu melawan pula.”    Nilna menyampuk bagi pihak abangnya setelah dari tadi dia mendiamkan diri.
“Kau diam, jangan nak menyibuk!” marah Sofia pada Nilna.
“Ariel tampar Sofia kerana dia berpeluk-pelukan dengan boyfriendnya di hadapan pagar rumah. Lepas tu tak pula rasa berdosa atau bersalah.” Ariel bercerita perkara yang sebenar.
“Tak boleh ke kamu tegur saja, janganlah main pukul-pukul.” Encik Syaiful menegur dengan nada yang masih tinggi.
“Ayah ingat, si Sofia ni nak dengar kalau cakap lembut? Pernahkah dia peduli teguran kita selama ini?” Ariel masih mempertahankan pendapatnya.
“Ariel dah tu! Ibu juga tak setuju cara Ariel menegur Sofia. Lain kali cakaplah elok-elok. Dia, kan adik Ariel.” Puan Hasni membuka mulut.
“Ayah, ibu, sebab Sofia ni adik sayalah maka saya bertindak sedemikian. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Benda maksiat ni kalau dibuat ia akan rasa sedap dan seronok, lama-lama lupa TUHAN.”
“Ya, ayah tahu, tapi janganlah guna kekerasan, kau tahu, kan ayah sendiri tak pernah pukul anak-anak ayah.” Encik Syaiful masih tak puas hati dengan tindakan Ariel.
“Hadis Rasulullah SAW ada mengatakan, kalau seseorang itu melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, dengan maksud kuasa yang dia ada, sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah ubah dengan mulutnya, nasihat atau pujukan, sekiranya tidak mampu juga, ubahlah dengan hati, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. Sekarang jelas, kan? Tugas kita semua menegah dari berlakunya kemungkaran dan maksiat. Kalau di hadapan rumah kita ni mereka boleh berpelukan, entah-entah di belakang kita, dah lebih dari itu agaknya.” Ariel meluahkan rasa.
“Ariel, sanggup Ariel tuduh adik sendiri macam tu?” marah Puan Hasni, memang dari awal dia tak puas hati dengan tindakan Ariel.
“Ibu ingat perbuatan zina tu terjadi begitu saja ke? Kalau ibu nak tahu, zina tu terjadi kerana ada mukadimahnya, goda-menggoda, pegang-pegang, kemudian peluk-peluk. Bila dah ghairah, semua jadi lupa. Lupa ALLAH, lupa mak bapak, dan lupa segala-galanya. Sebab itulah ALLAH menyatakan dalam al-Quran, la taqrabu zina -- jangan kamu hampiri zina, maksudnya bukan saja buat zina yang tak boleh, tapi hampirinya pun tak boleh. Faham!” Ariel menyudahkan tazkirah malamnya, semuanya terdiam. Dalam hati, Ariel berharap ahli keluarganya akan faham kenapa dia bertindak demikian.
“Sofia, pergi masuk bilik, lain kali jangan buat lagi.”  Itu saja yang mampu Puan Hasni ucapkan pada anak bongsu kesayangannya. Hati Ariel rasa terkilan dengan sikap ibu dan ayah. Seolah-olah perkara tadi adalah remeh dan tak perlu diperbesarkan, seumpama just look and zip your mouth. Apa yang terbaliknya, seolah-olah Ariel pula yang bersalah kerana bertindak kasar dalam mencegah maksiat. Ariel menggeleng-gelengkan kepalanya. Betul-betul dia tak faham.
Semua beredar ke bilik masing-masing melainkan Ariel yang bercadang untuk mengambil angin di halaman rumah bagi melepaskan rasa kesal dan terkilan terhadap keluarganya.
Di luar rumah angin malam dingin menderu seolah-olah sedang menyejukkan hatinya yang sedang panas dan bengkak. Di dada langit malam, tiada sebutir bintang pun yang berkelip seperti dipermulaan malam, menjadikan malam ini gelap dan suram seperi hatinya di kala ini.
Kenapa Sofia jadi macam itu? Perangainya juga sudah jauh berubah, tak macam Sofia seperti sewaktu kecil-kecil dulu. Dari dulu memang Sofia manja, maklumlah dia anak bongsu, tapi tak pernah kurang ajar dengan orang yang lebih tua darinya, walaupun dia manja tapi masih boleh ditegur.
Alangkah baiknya kalau Sofia masih seperti Nilna, masih sopan bila berpakaian, masih taat pada ALLAH dan kedua ibu bapa, dan masih tahu mana yang halal dan mana yang haram. Nampaknya sekarang ini keimanan seseorang mudah sangat ditelan dan diratah oleh hawa nafsu.
Ya ALLAH, lindungilah diriku dan keluargaku dari api neraka! Itulah doa yang selalu dia baca sebaik saja lepas solat. Semoga ALLAH yang Maha Pemurah dan lagi Maha Penyayang melindungi mereka semua dari azab api neraka. Amin…
Tiba-tiba Ariel teringatkan Amir. Bagi Ariel, sikap Amir yang brutal itu lebih baik kalau nak dibandingkan dengan perangai Sofia yang tak senonoh tu. Amir tak pernah pakai pakaian yang mendedahkan sana-sini. Amir tak bersalam pun dengan lelaki, apa lagi menawarkan diri untuk dipeluk sesuka hati. Baiknya Amir kerana pandai menjaga diri dan maruah walaupun lagaknya seperti lelaki. Kata Pian, Amir selalu menjaga solatnya walau dalam apa jua keadaan pun, berbanding dengan Sofia yang terpaksa dikerah untuk menyembah ALLAH.
Ah… dua wanita yang berbeza ceritanya sedang mengusik hati Ariel, cerita tentang Sofia yang perlu ditarbiah dan ditegur kelakuannya supaya pandai menjaga diri, dan hidup sebagai wanita muslimah. Manakala Amir yang selalu berada dalam hati dan ingatannya, akan diajak budak brutal itu, berubah supaya menjadi Amira Batrisya, seorang wanita Melayu terakhir. Ariel tersenyum sendiri. Ah… Amira Batrisya, indahnya nama… tunggulah bila ada masa dia akan mengunjungi Amira Batrisya.






Amir Minah Macho Bab 7


            

              
BAB 7

            KELUAR dari restoran tersebut mereka bertiga berjalan beriringan sambil bersembang. Orang yang paling rancak bercakap ialah Halim. Ariel banyak mendengar dan ada ketikanya dia menyampuk. Manakala Amir hanya menjadi pendengar setia yang tak bersuara. Walaupun Amir tak suka, tapi dia terpaksa ikut, nanti apa pula kata Ariel, dan dia juga perlu menjaga air muka pak sunya.
            Amir berhenti di hadapan sebuah kedai cenderamata, dia bercadang untuk membeli sesuatu yang menarik untuk dijadikan hadiah buat pak sunya.
            “Amira Batrisya!” Sebuah nama yang terlalu asing bergema di lubang telinganya. Bertahun sudah nama itu tidak digunakan dan tahun terakhir nama itu disebut orang ialah sewaktu dia berada dalam Tingkatan 5 dahulu. Amir menjadi kaget dan tercengang bila seorang perempuan muda memanggil dia dengan nama itu.
            “Amira Batrisya, saya Aida Suraya, ustazah awak masa Tingkatan 5 dulu.”  Aida Suraya terpaksa memperkenalkan diri bila dia dapati tak ada response dari bekas pelajarnya.
            “Takkan awak tak ingat saya?” Aida Suraya menggoncang tangan Amir yang diam terkedu bagaikan patung namun dalam dadanya penuh gelora persoalan yang bersimpang-siur. Kalau aku mengaku Amira, maka terbongkarlah rahsia aku selama ini, tapi kalau aku menidakkannya, ternyata aku adalah seorang pelajar yang tidak mengenang budi terhadap seorang guru yang suatu waktu dulu adalah merangkap kakak angkatku. Tapi bersediakah aku untuk menjatuhkan maruah aku di hadapan Ariel. Ah…  kalutnya!
            Halim menjadi gelisah, dia faham apa yang sedang Amir rasai, kalau boleh dia ingin menyelamatkan maruah anak buahnya daripada terkena malu. Tapi sampai bila penipuan ini harus berlaku? Selama ini pun dia bukan suka dengan sikap Amir yang berlagak menjadi lelaki sedangkan secara biological dan nalurinya Amir tetap seorang perempuan sejati.
            “Awak kenal ke Amir?” Halim bertanya.
            “Masakan saya tak kenal, dia adalah bekas anak murid saya, lagipun dia sentiasa dalam hati saya.”
            “Ustazah, maafkan saya!” Amir bersuara sayu lalu meluru memeluk Aida Suraya. Tak perlu ada penipuan lagi, biarlah dia menjadi dirinya sendiri. Sebuah tangisan pun bersatu dan dilepaskan dalam pelukan yang erat, sebuah pelukan yang diharapkan sejak bertahun lamanya dari orang yang dia sayangi. Ariel yang melihatnya terundur ke belakang, terkedu tanpa suara. Rasa pening tiba-tiba melanda kerana diserbu oleh rasa terkejut. Sebuah kejutan yang tak pernah dia sangka selama ini, dan dia tak pernah terfikir pun apa yang sedang disaksikannya. Kenapa Amir menipunya menjadi orang bisu dan kenapa Amir berlagak menjadi lelaki? Adakah dia sedang dipermainkan? Oh… kepala aku sendat ketika ini, tak mampu lagi untuk berfikir tentang sandiwara jijik ini. Ariel berlalu sebaik saja bersalaman dengan Halim tanpa memberitahu Amir yang sedang sibuk dengan ustazahnya.
            Dalam genang air mata yang masih bersisa di tubir mata, Amir melihat Ariel melangkah pergi dan menjauh. Dia tahu apa yang Ariel rasa tika ini. Pasti rasa marah membuak di dalam hati bila diri ditipu. Biarlah Ariel pergi. Memang itu yang dia inginkan selama ini, agar tidak lagi bertemu dengan lelaki yang bernama Ariel Iskandar. Sebuah nama yang telah menumpahkan satu titik rasa dalam hatinya.
            “Amira, jom kita duduk kat mana-mana, saya nak bersembang panjang dengan awak.” Aida Suraya menarik tangan Amir untuk duduk di sebuah bangku yang ada berdekatan dengan tempat mereka berdiri. Halim juga mengikuti, kerana dia tak ingin terlepas apa-apa cerita menarik tentang Amir yang bertukar menjadi Amira.
            “Ustazah, kenalkan ini pak su saya.”
            “Saya Halim.” Halim memperkenalkan diri sambil menghadiahkan senyuman.
            “Panggil saja saya Aida.” Wanita yang bertudung lingkup itu menjawab ramah.
            “Amira, kenapa tak hubungi saya? Awak tahu, saya cuba menghubungi awak melalui kawan-kawan awak, tapi semuanya tak tahu di mana awak berada. Peristiwa enam tahun dahulu benar-benar menghantui saya.”
            “Alah ustazah, benda dah lepas, tak perlu diingati lagi.”
            “Memanglah perkara dah lepas, tapi kesannya sampai sekarang belum lagi selesai. Tengoklah diri awak sekarang, berpakaian seperti lelaki, dan kalau orang tengok pun orang tak sangka awak ni perempuan.” Amir menyengih bila terkena bedilan tepat Ustazah Aida Suraya.
            “Macam mana ustazah boleh cam saya?”
            “Awak ni macamlah tak kenal saya, kalau saya tengok bayang awak pun saya boleh tahu itu awak.” Aida Suraya melawak dan Amir ketawa.
            “Hmm… siapa boleh lupa dengan si Amir ni?”
            “Amira dah jadi Amir? Eh… awak dah tukar jantina ke?” kuat Halim dan Amir ketawa dengan soalan yang tak masuk akal itu.
            “Bukan jantinalah ustazah, tapi nama saja.”
            “Dah, mulai hari ini jangan panggil Amir lagi. Panggil Amira Batrisya. Ustazah tak suka, lagipun tak baik kita menukar ketetapan yang telah ALLAH sediakan untuk kita.” Hmm… dah terjumpa ustazah ni dapatlah dengar ceramah free. Halim mengangkat ibu jari tanda bagus dan setuju.
            “Nantilah saya fikirkan.” Hiss degilnya budak ni.
            “Tak payah nak fikir-fikirkan lagi, lagipun nama awak cantik, secantik orangnya.”
            “Cantik ke saya ni?” Amira ketawa dengan kata-kata ustazahnya, yang disangkanya lawak.
            “Ya, cuba awak berpakaian seperti perempuan, akan terserlahlah kecantikan awak yang asli.” Aida Suraya memberi keyakinan. Amira ketawa lepas.
            “Ustazah, janganlah buat lawak, geli perut saya.”
            “Apa pula lawaknya. Kalau tak percaya, cuba kita buat makeover, pasti ada yang jatuh hati pada awak,” bersungguh-sungguh Aida Suraya meyakinkannya.
            “Tak payahlah ustazah, saya lebih suka dengan apa yang ada sekarang, simple dan senang.”
            “Yalah… berubah mesti kerana ALLAH dan perubahan yang  berkesan biasanya dilakukan peringkat demi peringkat.” Aida Suraya mengakui kebenarannya, dan Amira seperti yang dia kenal, bukanlah orang yang boleh dipaksa-paksa. Apalagi kalau terlalu drastik.
            “Ha… tahu tak apa.” Amira menyampuk lega. Sekurang-kurangnya ustazah faham perasaannya, dan ustazah Aida masih seperti dahulu selalu menasihatinya dengan penuh hikmah.
            “Amira dah kerja atau masih belajar?”
            “Dah kerja.”
            “Kat mana?”
            “Kerja dengan pak su kat bengkel.”
            “Jadi kerani ke?”
            “Kalau saya cakap pasti ustazah terkejut.”
            “Kenapa? Pelik, Thrill atau luar biasa sangat ke?”
            “Lebih dari itu ustazah. Ni ha… budak yang suka sangat jadi mekanik kereta.” Halim menyampuk
            “Hah… awak jadi mekanik?” terkejut sungguh Aida Suraya. Bulat mata dan ternganga mulutnya. Memang thrill!
            “Ustazah tutup mulut tu, nanti lalat masuk! Janganlah terkejut sangat. Tak ada yang peliknya pun.” Kenakalan Amira membuatkan Aida Suraya juga ketawa.
            “Mana tak pelik, anak gadis kerja macam tu. Itu kerja orang lelaki, kerja budak jantan.”
            “Eloklah tu ustazah nasihatkan dia. Saya ni dah berbuih mulut nasihatkan dia, tapi masuk telinga kiri, keluar telinga kanan, tak pakai langsung. Degilnya mengalahkan batu kerikil.” Amboi… dah pandai mengadu nampak, baru jumpa sekali. Kalau dah jumpa berkali-kali nanti entah apa yang dibincangkannya. Terkerising Amira dengan agendanya yang tersendiri.
            “Ustazah dah berkeluarga ke?”  Lancang betul mulut minah ni.
            “Belum lagi, tak ada orang nak.” Aida Suraya melawak sambil tersenyum simpul.
            “Bukan tak ada orang nak, cuma belum jodoh. Orang cantik macam ustazah ni mustahil tak ada yang terpikat. Kalau macam saya ni lainlah, sebelah mata pun orang tak pandang.” Tersipu-sipulah pula si Aida ni bila dipuji. Halim tersenyum sambil menelan air liurnya perlahan-lahan, mungkin nak menyampuk tapi tertelan kata-kata sendiri. Kenapa ada aura ke?
            “Ustazah, sudi tak kalau saya belanja minum?  Bukan apa, kalau sembang kat dalam restoran dapatlah kita basahkan tekak untuk hilangkan dahaga.” Amboi pak su… gentleman nampak! Amira menatap legat ke wajah pak sunya yang dari tadi kerap tersenyum. Macam tak percaya saja dengar pak su cakap macam tu. Dahaga konon, bukankah tadi dah minum, dah soru? Siap milo ais, gelas besar lagi. Beradap ngelentongnya! Nampak benar gaya orang nak masuk daun, nak ngorat!
            “Oh maaflah Encik Halim, bukan tak sudi. Tapi saya tak boleh lama, saya ada hal. Saya datang ni pun dengan kawan. Mungkin lain kali Encik Halim boleh belanja saya.” Aida Suraya ketawa manja.
            “Ya, mungkin lain kali lebih sesuai.” Halim senyum meleret sampai ke telinga dan dadanya berdetak-detuk. Entah mengapa! Hai… nampaknya kumbang tua dah ada deria bau dan rasa. Baguslah!
            “Amira minta nombor hanfon awak, senang saya nak hubungi awak nanti.”
            “Ustazah, saya lupa bawa hanfon.”
            “Sebut sajalah nombornya, nanti saya buat miss call.”
            “Tak ingat nombor.”
            “Hai, takkan nombor sendiri pun tak ingat?” Aida Suraya memperli, maka tersengih-sengih Amira dibuatnya. Macam kerang busuk.
            “Ha… saya ada idea. Ustazah buat saja miss call ke hanfon pak su, nanti pak su forwardkanlah pada saya, boleh!”
            “Hmm… boleh juga.”  Aida Suraya mengiakannya, maka Halim dengan senang hatinya memberitahu nombor smartphonenya bersama senyuman yang selebar dulang. Nampaknya mereka berdua ni macam ada chemistry saja. Bila bersembang bukan main mesra lagi, baguslah kalau begitu, sudah tiba masanya kedua-duanya membina tiang-tiang masjid, kemudian sama-sama membina atap dan dinding. Alangkah bagusnya kalau perancangan insan selari dengan kehendak Penciptanya.








Amir Minah Macho Bab 6




BAB 6

            “PAK SU, apa mimpi kita datang makan kat sini?” Amir melihat di sekeliling ruang restoran yang agak mewah. Ramai pengunjungnya yang sedang menghadapi dan menikmati hidangan.
            “Kenapa, kena tunggu mimpi dulu ke baru boleh datang makan?” Mengatalah tu… Amir ketawa.
            “Taklah pula macam tu, selalunya pak su tu Encik Krabs si tangkai jering dalam SpongeBob SquarePants, tiba-tiba saja hari ini nak belanja. Ada apa-apa ke pak su?”
            “Hai tak sedar diri betullah kamu ni, selama ni siapa yang dok belanja kamu?”  Kuat Amir ketawa melihat pak sunya naik angin bila dikata dengan gelaran Encik Krabs.
            “Alah kat warung tepi jalan tu biasalah. Maksud saya makan kat tempat mahal macam ni. Dah buang tabiat ke pak su?”
            “Mulut kamu ni laser betul ya. Karang tak pasal-pasal pak su cancel  baru tau. Balik dengan perut kosong, kau nak?”
            “Eh, tak naklah… okey Amir minta maaf, tapi pak su kena cakap, kita makan kat sini ni, sempena apa?”
            “Tak ada apalah, cuma nak raikan harijadi pak su yang 35 tahun saja.”  Amir menatap wajah pak sunya yang kacak itu.
            “Kasihan pak su. Sepatutnya hari istimewa macam ni diraikan  bersama dengan orang-orang tersayang, tapi nak buat macam mana. Anak tak ada, isteri tak ada, girlfriend pun tak ada. Ish…ish…. kasihan sungguh.”
            “Oii… sedap kau mengata pak su, habis kau ada ke?”
            “Saya tak kisah, saya muda lagi. Buat apa nak tergesa-gesa. Sekarang ni masa untuk membina kerjaya.”
            “Kerjaya apa! Kerjaya apa yang kau nak bina kalau setakat kerja sebagai mekanik. Cuba cerita! Pak su nasihatkan kau pergilah cari kerja lain yang lebih sesuai dengan kau, lagipun kau ada Diploma Pengurusan Pejabat. Bolehlah kau kerja kat pejabat, amacam!” Amir hanya menyengih sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
            “Inilah cara pemikiran masyarakat kita, selalu memandang apa yang ada di hadapan, yang menjanjikan bahagia yang tak berkepastian, tapi tak pernah menilai apa yang ada di sebalik apa yang ada di depan mata.”
            “Eh, tak payah nak berfalsafah, pening kepala pak su.”
            “Falsafah apanya! Pak su ingat bagus sangat sijil diploma tu? Setakat buat bungkus goreng pisang bolehlah. Kalau pak su nak tahu, beribu-ribu lagi graduan yang keluar universiti masih dok menganggur, inikan pula setakat diploma. Kalau setakat nak cari makan tak payah susah-susah masuk universiti. Tengok pak su sudahlah… tak masuk universiti pun duit berkepok juga.
            “Yalah sebab pak su usaha gigih dan kerja kuat.”
            “Ha… saya ni nak jadi macam pak sulah. Kerja tak glamor, tapi duitnya yang glamor.”
            “Kau nak kekal jadi mekanik?”  bulat mata Halim bertanya pada anak buah yang seorang ni, rasa tak masuk akal saja. Budak ni memang haru-biru betul.
            “Yalah, kenapa tak boleh pula. Kalau pak su boleh, saya pun boleh.”
            “Aduh pening kepala aku. Apa pak su nak cakap dengan mak kau?” Amir ketawa geli hati melihat pak sunya yang menepuk kepala.
            “Hello… nak makan ke, nak bersembang?” Amir bertanya.
            “Kamu ni kalau pasal makan selalunya tak menyempat. Jomlah!” Mereka berdua beredar melihat juadah yang sememang tersedia di tempatnya.
            “Macam mana nak makan?”
            “Hai takkan pakai kaki kut?”
            “Hiss… pak su ni, orang tahulah, maksudnya macam mana cara nak makan, kena hidang ke atau order ke?”
            “Hai takkan kau tak nampak kat depan tu sebesar talam ada poster mengatakan restoran menyediakan hidangan buffet.”
            “Tak perasan pun.”
            “Itu tandanya kamu tu lapar sangat.” Amir marah bila disindir lalu dia menghempuk bahu pak sunya.
            “Eh, tunggu! Tunggu! Jangan ambil makanan dulu!”  Tiba-tiba Amir melarang Halim mengambil makanan.
            “Kenapa?”
            “Kenapa kat restoran ni ramai sangat orang Cina dan orang Korea? Halal ke tak restoran ni?” Amir mula bertanya cuak bila melihat pekerja-pekerja bangsa asing lebih ramai dari bangsa Melayu.
            “Mestilah halal, kamu tengok tu ramai orang Islam yang makan.”
            “Memanglah mereka tu Islam, tapi belum tentu mereka prihatin dan sensitif terhadap apa yang mereka telan. Nanti sekejap saya nak pergi depan, nak tengok ada logo halal ke tidak.” Sepantas kilat Amir berlari keluar dan selaju angin dia datang kembali mengadap Halim yang sedang menanti.
            “Pak su, jomlah makan tempat lain. Restoran ni tak ada pun tanda halal.”
            “Takkan tak halal, tu ramai orang yang bertudung sedang makan.” Amir senyum sinis sebaik saja mereka beredar dari situ.
            “Itu satu penyakit masyarakat kita, makan main ikut sental saja, rasa nak makan telan saja, tak kira yang halal atau yang haram. Makanan yang haram ni bukan semestinya kita dihidang dengan daging khinzir or babi baru nak kira haram, tapi perkara-perkara yang syubahah dalam makanan itu pun mesti diambil kira juga.”
            “Tapi kita bukanya nak makan benda yang berdaging. Kita nak makan seafood saja, itu pun tak boleh?”
            “Tak boleh pak su, walaupun kita tak makan benda yang berdaging, tapi bahan-bahan perapan, sos, periuk belanga dan sebagainya masih tidak halal. Rasulullah ada bersabda; Setiap daging yang tumbuh dari benda yang haram, maka nerakalah tempat yang paling utama baginya.”
            “Kau ni cerewet macam mak kau juga. Itu tak boleh ini tak boleh,” marah Halim, tapi Amir ketawa.
            “Ha…ha… tak baik mengutuk kakak sendiri,” usik Amir, dan Halim ketawa.
            “Kalau dah perangai kau sebiji macam mak kau, kira nasiblah bila kena kutuk.”
            “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dalam bab boleh tak boleh ni bukan manusia yang menetapkan, tapi ianya ketetapan agama dan kita wajib mengikutinya, bak kata ulama, Ittibaq… ikut! Jangan banyak soal.”
            “Pandai pula kau cakap agama sekarang. Pak su rasa macam sedang bercakap dengan seorang Ilmuan Islam.” Amir ketawa mengekek dengan sindiran pak sunya, ialah cakap agama, tapi dia sendiri dok macam tu juga, tak ada perubahan pun.
            “Itulah pak su, selalu menilai saya melalui luaran. Cuba pak su nilai saya dari aspek dalaman, pasti pak su akan nampak betapa baiknya saya dan betapa indahnya peribadi saya, hi…hi…hi…”
            “Hmmm… yalah tu, berubah tak juga.”
            “Perlahan-lahanlah, sebab kalau berubah mesti kerana ALLAH.”
            “Kita ni nak makan kat mana? Jalan punyalah jauh.” Halim bertanya.
            “Alah, tak ada maknanya jauh, kita ni masih lagi dalam One Utama Shopping Complex. Depan tu ada Restoran Teh Tarik Place. Kita makan mee goreng mamak, lagi sedap dan dah tentu halal. Hari ini kira Amir belanja pak sulah sebab meraikan harijadi bos yang bujang terlajak-lajak ni.” Marah Halim bila diperli dan dia cuba untuk menyekeh kepala Amir tapi Amir sempat mengelak.
            Sampai saja di hadapan Restoran Teh Tarik Place, Amir dapati ramai pengunjung sedang menikmati juadah, maklumlah lunch time . Masing-masing dah lapar. Amir dan Halim masuk ke dalam restoran tersebut, tiba-tiba mereka disapa dengan ramah. Mak!!! Amir menjerit kuat, tapi nasib baik hanya dalam hati. Bukan main terkejut lagi dia bila tiba-tiba saja Ariel berada di depan mata.
            “Assalamualaikum Encik Halim dan Amir. Tak sangka kita jumpa kat sini.”  Mak aii… ramahnya mamat ni. Amir hanya senyum dan mengangguk. Penyakit bisunya segera timbul, nasib baiklah dia ingat yang dia ni bisu. Kalaulah dia terlepas cakap, tak ke naya dibuatnya.
            “Encik Ariel buat apa kat sini?” Halim juga bertanya ramah. Lebar senyuman Halim, entah apa maksudnya.
            “Oh, saya datang shopping sikit. Dah tu rasa lapar pula singgahlah kat sini untuk makan.”
            “Kami pun nak lunch juga.” Halim membuka laluan, tapi lengannya disiku oleh Amir tanda minta beredar dari situ, namun Halim buat bodoh saja. Yalah… mentang-mentang aku dah bisu.
            “Elok sangatlah tu, saya pun tak ada teman. Okey untuk hari ini saya belanja.” Oh suka sangatlah Encik Krabs tu dengar perkataan belanja. Eh… kita pun boleh belanja pak su kita. Marah sangat Amir dengan pak sunya,  tapi dalam hati saja dan dia terpaksa berlagak cool.
            Amir benar-benar tidak selesa dengan keadaan seperti ini. Makanan yang sedap di hadapannya terasa tawar aje, tak mampu untuk dia menyuap ke mulut. Seleranya menjadi mati tiba-tiba, sedangkan tadi perutnya bukan main berkeroncong minta diisi.
            “Kenapa tak makan? Tak sedap ke? Selalunya kau yang suka mee goreng mamak.” Halim bertanya Amir yang sedang menguis mee dalam pinggannya. Amir hanya mengangkat bahu.
            “Apa yang kau cari dalam mee goreng tu? Ada batu permata ke?”
Halim menyindir sambil ketawa dan Ariel juga ketawa. Sakit hati Amir namun dia hanya mampu menoleh ke arah pak sunya saja kerana  kehebatan menjawabnya sudah hilang.
            “Cuba kau tanggalkan topi dan cermin mata hitam kau tu, tak adalah kau nampak mee tu warna hitam legam sampai kau tak berani nak makan.” Halim menarik topi Amir, tapi Amir sempat memukul tangan paksunya. Halim dan Ariel ketawa dengan gelagat spontan Amir. Merah muka Amir, malu bercampur marah, lalu dipanjangkan kakinya dan dihayunkan ke depan. Nah rasakan…  Amir menyepak kaki Halim.
            “Aduh!” Ariel mengadu. Bulat mata Amir. Mak… tersalah sepak. Ketawa Halim bertambah kuat bila muka Amir sudah berwarna kelabu. Tahu malu!
            “Lebih baik kau makan daripada duk menyepak orang. Kau tu kaki bangku, mana reti nak menyepak. Sepak bola pun tak bergerak, inikan pula nak sepak orang.” Ketawa Halim dan Ariel belum habis menyebabkan wajah Amir mula cemberut. Kurang asam punya pak sedara…