NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, October 11, 2013

AWEK ABANG POYO BAB 14





BAB 14

“MAK.” Kasdina Alya terbangun dari lenanya. Terkejut dia seakan ada suara yang memanggil namanya di telinga. Indahnya mimpi tadi kerana dapat bertemu dengan mak. Lakaran syahdu dalam mimpinya di mana mak mengucapkan betapa rindunya pada Kasdina, disusuli dakapan sayang.
“Mak!” Rindu yang telah kian lama berbunga lebat ini, sedikit terubat dengan kehadiran mak, walaupun singkat.
Kasdina Alya berpyjama bangun dari katil lalu menuju ke bilik air. Usai berwuduk dikedinginan malam bersalju, dia menetapkan kaki qiam khusyuk di atas sejadah pemberian emak. Dimulakan dengan solat taubat, kemudian solat tahajud empat rakaat, dua salam, diapit solat hajat dan diakhiri dengan solat witir sebagai pelengkap. Kepada Penciptanya tempat dia bermohon segala kekuatan dan menyerahkan jiwa dan raganya di atas segala permasalahan. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya untuk ALLAH, TUHAN semesta sekelian alam. 

SUASANA pagi yang windy dan foggy, sejuknya seperti biasa tetap menyucuk hingga ke tulang, walau dah berlapis pakai, termasuk jumper tebal. Angin lembutnya mengebas dan menyakitkan telinga. Penglihatan terhalang sedikit, kira-kira 50 atau 60 meter saja benda yang nampak di hadapan. “Leceh betul,” bisik hatinya. Kasdina Alya mempercepatkan langkahnya menuju bus stop di seberang jambatan Salisbury Road, di mana salah seorang rakannya menginap. Dia bercadang nak singgah sekejap di kedai kebab kat Harrow Road, sebab perutnya terasa lapar sangat pagi ni. Double decker No. 36 yang dinaikinya bergerak perlahan, merempuh kabus pagi. Tiada perkhidmatan train ke Harrow Road, direct dari Queens Park. Lapar punya pasal, ke sana juga dia, nak jalan tak larat, walaupun jaraknya taklah jauh mana. Loceng ditekan, Kasdina Alya meluru turun. Laju menyeberangi jalan yang sibuk. Tak sabar untuk mendapatkan Doner Kebab Turki kegemarannya. Take-away bersama sebotol Lucozade orange. Sambil berjalan dia menikmati kebab yang spicy lagi juicy bersama chili jeruk yang sedap itu. Asyik sangat dengan kebabnya, sedar-sedar dah sampai Westbourne Park Underground untuk ke tempat kerjanya. Kalau nak dikira masih terlalu awal untuk dia masuk kerja kerana jam di tangannya baru menunjukkan pukul 9.00 pagi, sedangkan duty timenya pukul 10.00 pagi. Gedebuk-gedebak… tolak masa perjalanan 15 minit, bermakna dia mempunyai lebihan masa yang agak banyak. Nak buat apa datang awal? Sedangkan kerja dibayar mengikut jam. Ah… dalam hidup ini tak perlu nak berkira sangat. Tak perlulah semua benda yang kita buat perlu di calculate. Simpanlah sebahagiannya untuk kebajikan dengan qasad untuk mendapatkan saham akhirat. Sebab Ar-Rahman juga tidak pernah berkira dengan hambanya, hatta yang ingkar. So, janganlah kedekut dengan kudrat yang dibekalkan. Kalau sampai awal, boleh buat kerja awal dan buatlah apa yang patut. Pasti bos sayang!  Senyum Kasdina Alya sendirian.
“Assalamualaikum, good morning Gov!” Kasdina Alya menghulur salam pagi yang penuh ceria kepada majikannya yang sedang menunduk di kaunter sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam CafĂ© Caravanserai. Kepalanya tak pula kelihatan.
“Waalaikumussalam!”  itu saja jawapan bosnya.
“Abang Johan cari apa tu?”
“Suka hati akulah cari apa pun.” Ehh, lain macam saja bunyi Abang Johan ni.
“Kenapa ni abang Johan. Hangin semacam aje bunyi. Kas tanya elok-elok, Abang Johan jawab dengan kasar, kenapa? Malam tadi bergaduh dengan ma’am ke? Tulah Abang Johan, tak pandai jaga hati isteri. Bila isteri merajuk, Abang Johan dah hangin satu badan, alih-alih orang lain yang kena tempiasnya.” Kasdina Alya tertawa sendiri. Dalam kepala otaknya nak saja dia sakat Abang Johan ni macam-macam, sebab Abang Johan ni spesies Abang Rahim juga, jenis simpton TB kronik a.k.a Takut Bini. Kalau dengan orang bengkeng semacam, balik rumah, senyap… macam tikus. Ha… ha… ha… Kasdina Alya menyambung ketawanya.
“Dah gila ke apa? Pagi-pagi buat ketawa.” Anas Irfan mengangkat kepalanya kemudian menyimbah kata-kata yang berperisa Tobasco ke muka Kasdina Alya. Bulat mata Kasdina Alya. Nak kata apa? Huh… memang tak terkata apa-apa. Malunya tak payah nak cakap, tebal mukanya dah macam kulit buntut Rhino. Tanpa menyahut sepatah pun Kasdina Alya melarikan diri ke dapur. Kus semangat… macam mana boleh tersalah orang? Macam mana pula mamat tu boleh datang kerja pada weekdays ni? Ada cuti apa-apa yang aku tak tahu ke? Hiss… buat malu aku aje, Kasdina Alya merungut sendiri.
“Hah! Kas, kenapa yang kau mengomel sorang diri ni?” sergah Abang Johan sebaik saja dia keluar dari loo.
“Opocut! Meletup kau.” Kasdina Alya melatah bila disergah. Ketawa Abang Johan melihat Kasdina Alya melatah.
“Tak sangka Kas ni boleh tahan melatah, kalau abang tahu dah lama abang usik Kas. Enjoy tengok orang melatah ni. Dapat juga hiburan free.”
“Bukan melatahlah, tapi terkejut aje. Sebab dalam kepala Kas ni pun tengah marahkan abang tadi, tau!”
“Apa pasal pagi-pagi buta ni Kas nak marahkan abang pulak?” Pelik Johan dibuatnya, namun dia masih lagi ketawa kecil.
“Kenapa bukan abang yang duduk kat kaunter kat luar tu tadi?”
“Hah, kenapa pula abang kena duduk kat kaunter pagi-pagi ni? Customer pun belum ada, satu benda pun kau belum masak,” tanya Johan yang doubled pelik bila Kasdina Alya mula memuncungkan mulutnya.
“Yalah, kerana abang Kas dapat malu?”
“Heh, kau ni bermimpi ke main wayang? Bila pula abang malukan kau? Tolong sikit. Abang tak faham satu benda pun apa yang kau cakap. Cu citer, apa ke bendanya yang mengganggu fikiran kau sampai pagi-pagi buta dah macam orang tak betul ni.”
“Tadi, masa Kas datang. Kas tegur dan rasa nak beramah-tamah dengan orang yang berada di kaunter tu… Kas ingatkan Abang Johan. Rope-ropenya al-mangkuk si poyo tu. Hiss… malu Kas tau.” Johan ketawa bila mendengar cerita ringkas padat dari Kasdina Alya. Ingatkan besar sangatlah masalahnya.
“Kenapa abang ketawa?” marah Kasdina. Terasa dirinya diejek.   
“Kau ni, kan macam budak kindergartenlah. Asyik gaduh aje. Pantang jumpa, bertekak macam rasis menegakkan benang basah. Eh, kamu nak tau, orang tua-tua kata kalau asyik bergaduh, lama-lama ada jodoh, err… atau jadi jodoh, abang pun tak ingat.”
“Eeeii… tak naklah Kas, tak kuasa I, daripada Kas berjodoh dengan dia, lebih baik Kas pilih Uncle Razak The Sailorman tu. Ada le rupa orang. Cool, baik, romantik lagi,” ketawa Kasdina Alya dengan lucuannya sendiri. Abang Johan okey aje!
“Habis, kau ingat, aku ni nakkan kau? Peelease... Kalau muka setakat macam kau ni melambak kat kampus. Tak sedar diri.” Sebiji mercun bola saiz jumbo telah dilemparkan oleh Anas Irfan ke telinga Kasdina Alya. Ketawa Kasdina Alya terhenti dan dia terkedu buat kali keduanya. Bila masa pula Mamat Poyo bin Alang Cekadak ni masuk dapur pun dia tak tahu. Itulah pesan orang tua-tua buat tak endah. Kalau cakap siang, pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Itu pun tak ingat ke. Inilah padahnya. Kan dah termalu sendiri.
        Tak tahu nak buat apa, Kasdina Alya terus ke loo, tanpa sepatah kata, meninggalkan Abang Johan yang juga masih terkedu dengan kata-kata kesat Anas Irfan. Dia kesal, kalau bukan kerana mulutnya yang tiris, mungkin Kasdina Alya tak akan termalu begini, saja-saja. Kasihan Kasdina!
                                       









AWEK ABANG POYO BAB 13





BAB 13

        HARI yang ditakuti pun tiba dan perkara yang digeruni pun dah berlaku. Kenduri besar tanpa pengantin. Riuh bagi yang suka kepoh, tapi ucapan kasihan bagi mereka yang simpati. Kasdina Alya diam membatu di dalam biliknya bersama Rozita dan Aida, adik perempuannya yang baru berusia lima belas tahun.
        Ramai makhluk yang berhati syaitan datang ke biliknya, sengaja untuk melihat bilik ‘pengantin yang tak jadi’, samada dihiasi cantik atau tidak, supaya bertambah modal untuk berforum. Tapi, ada juga teman-temannya yang datang untuk comfort dan memberi sokongan moral kepadanya agar tabah. Tak kurang juga yang datang untuk menyindir. Kerna spesies Pak Pandir ini masih aktif dalam masyarakat, lantaran dah tak tahu nak pilih hobi lain. Biarlah… mereka tak rasa itu semua, dan berdoalah pada ALLAH semoga kamu dan anak keturunan kamu semua tidak diberi ujian yang memalukan ini.
        “Seronok, kenduri kahwin tanpa laki?” tanya mak long sebaik saja menjenguk ke dalam bilik Kasdina Alya. Menggeletar seluruh tubuh Kasdina Alya menahan sabarnya. Kalau orang lain yang bertanya mungkin dia akan abaikan saja perlian itu, tapi ini mak long, kakak abahnya yang bertanya. Apa motif dan niatnya tu? Air mata Kasdina Alya menitik lagi. Sebunya perasaan ini. TUHANku! Berikan aku kekuatan, sekuat dan seutuh srikandi muslim silam. Aku tidak mahu kalah dengan ujian yang Kau berikan. Tiada daya dan upaya melainkan dengan daya dan upaya-Mu ya ALLAH. Hanya Engkaulah yang aku sembah dan  pada Engkaulah tempat aku mohon pertolongan!
        “Kak yong, sabar ya, pedulikan cakap mak long yang dah tak betul tu,” pujuk Aida sambil mengelap air mata yang meleleh di pipi kakaknya.
        “Betul tu Kas, Mak Long Aini tu dah macam orang putus wayar, entah apalah yang dia dengki sangat dengan kau ni, aku pun tak tahu. Tak habis-habis, dari dulu sampailah sekarang. Tak faham aku,” sampuk Rozita dengan marah.
        “Ita, aku dah tak tahan lagi…” kata-kata Kasdina Alya terputus di situ, tak mampu dia meneruskannya.
        “Bertahan Kas, bertahan… sekurang-kurangnya untuk hari ini saja. Mak dan abah kau kat luar sana, lagi teruk tercalar maruahnya. Sabarlah, esok kau tak akan melihat penduduk Manjoi lagi selama yang kau mahu. Kau boleh mengucapkan sayonara pada mereka, terutama pada yang tak senang dengan kau. Aku akan bawa kau jauh dari sini, sampai tak ada siapa pun yang akan jumpa kau lagi,” janji Rozita serius.
        “Kat mana Kak Ita nak sorokkan kak yong? Biar betul!”
        “Bukan sorok, tapi Kak Ita nak bagi kehidupan baru pada kak yong Aida. Semoga kak yong Aida dapat lupa dan tinggalkan kenangan hitam ini buat selamanya. Kak Ita harap Aida sokong 100% dengan rancangan ini.”
        “Semua ni salah Rafizi, kalau dia tak putuskan tunang dengan kak yong, kami tak akan dapat malu sebegini. Macam- macam  cerita, sana sini. Bila waktu Aida pergi sekolah, semua orang mengata-ngata pasal kak yong, sakit hati Aida dibuatnya. Kalau Aida ada pistol nak saja Aida tembak mereka semua tu. Terutama sekali mak long yang mulut longkang tu,” marah Aida yang menyimpan cita-cita.
        “Amboi… Kau nak jadi pembunuh kerana umpat keji orang? Batalkan saja niat dan angan-angan tu. Tak ada maknanya. Kalau nak jadi pembunuh, lebih baik pergi ke Gaza. Ha… bunuh makhluk pengecut tu dapat pahala.” Rozita menyudahkan taklim jihadnya. Aida ketawa kecil.
        “Ita, mana kau nak bawa aku nanti?”
        “Sebenarnya sepupu mak aku, aku dengar nak sambung buat PhD suami isteri kat UK. Pengajian apa, aku pun tak ingat. Jadi, dia bawa semua tiga orang anaknya yang masih kecil itu bersama. Aku dengar dia tengah cari pembantu rumah. Tugas kau ialah menjaga anak-anak Mak Su Muna aku, itu saja. Tentang gaji dan tugas-tugas lain aku tak tahu, nanti kau bincanglah dengan mereka.” Bulat mata Kasdina. Mak… jauhnya.
        “Bila pergi?” tanya Kasdina dengan wajah yang ceria sedikit.
        “Dalam masa terdekat ni. Mungkin minggu depan kut, sebab sebelum ini dia dah lama tercari-cari siapa yang nak di minta tolong untuk jaga anaknya. Nampaknya TUHAN telah melorongkan kau untuk berhijrah ke England.”  
        “Terima kasih Ita,” ucap Kasdina Alya sambil memeluk sahabat baiknya. Air mata Kasdina Alya berguguran lagi, terharu dan bersyukur dengan laluan yang di rencana oleh ILAHI.

JANGAN kau ucapkan selamat tinggal, pada diriku yang setia. Kalau boleh nak saja Hajah Aminah menyanyikan lagu tersebut sampai habis senikatanya, agar puteri kesayangannya membatalkan niat untuk berhijrah ke negara penjajah itu. Namun hati Kasdina Alya telah nekad, bulat, tetap dan jazam. Dia akan tinggalkan tanahair nan bertuah ini. Kembang kempis hidung Hajah Aminah menahan tangis dan air mata. Dia tidak mahu menangisi perpisahan ini, walaupun hati di dalam sudah menggila.
Melepaskan Kasdina Alya jauh dari matanya adalah sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh fikirannya selama ini. Seandainya perkahwinan Kasdina dan Rafizi tidak hancur begini rupa, paling jauh pun Kasdina bermusafir dan terpisah darinya hanyalah ke negeri bertuah Selangor Darul Ehsan. Tapi sekarang anak gadisnya akan pergi jauh beribu batu bersama puin-puin hatinya yang telah berderai. Ah… sesaknya nafas dan sebunya perasaan! Hajah Aminah merintih sendiri sambil menekan dadanya yang seakan tersumbat.
“Mak, janganlah macam ni. Relakanlah Kas pergi.” Kasdina Alya memeluk Hajah Aminah erat.
“Kas tak akan lupakan mak dan abah?” Mata Hajah Aminah mula berkaca  biarpun sudah diseka.
“Mestilah Kas tak akan lupakan mak, abah dan adik-adik, walaupun di mana Kas berada,” janji Kasdina Alya penuh kepastian.
“Kak yong, jaga diri baik-baik ya. Kat sana nanti dah tak ada lagi orang yang nak bebelkan kak yong. Buat itu dan buat ini,” pesan Aida ikhlas.
“Amboi… pandai pula kau nak menasihati kak yong ya? Baiklah… kak yong dengar nasihat kau tu. Tapi nasihat kak yong untuk Aida ialah belajar bersungguh-sungguh, sampai masuk universiti, tebus segala kekurangan kak yong ni. Kasihan mak, dia seorang guru, tapi anak dia ni, tak pun masuk universiti, malah yang lebih teruknya telah mencalar maruahnya dengan bukan sebenar. Kak yong rasa bersalah sangat pada mak dan abah.” Kasdina Alya tidak dapat menahan sebak. Air matanya gugur satu persatu di pipi, kemudian menjadi laju. Hibanya hati dan perasaannya pun bercelaru.
Kalaulah bukan kerana tragedi hitam itu, mungkin dia tidak akan sanggup untuk meninggalkan keluarganya yang tercinta. Sumpah! Dia pasti tidak akan mampu berpisah dari keluarganya. Tersengguk-sengguk Kasdina Alya menahan tangis, tapi akhirnya berderai juga tangisannya bercampur dengan tangisan ahli keluarganya.
“Kas, bawa bersabar. Kas perlu kuat dan tabah. Jangan risau ALLAH selalu bersama dengan orang yang sabar,” pujuk Haji Amran sambil memeluk Kasdina Alya. Sedaya upaya lelaki ini menahan air jernih tumpah dari birai matanya, namun bila hatinya terlampau sedih dia juga tidak bisa bertahan. Akhirnya, birai mata yang berkaca itu pun pecah juga.
“Abah, maafkan Kas. Kas tak tahu begini kesudahannya nasib Kas. Kalaulah Kas tahu Kas akan menyusahkan mak dan abah, dari kecil lagi Kas minta pada ALLAH agar Kas tidak di lahirkan ke dunia.”
“Hiss… jangan bercakap seperti itu lagi nak. Berdosa tau, seolah-olahnya Kas tidak rela dan redha dengan takdir ALLAH, sedangkan Kas belum tahu lagi apa yang ALLAH sediakan  buat Kas sewaktu di London nanti. Pesan abah, jangan sekali-kali berburuk sangka pada ALLAH, kerana ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hambanya,” amanat terakhir dari seorang ayah kepada anaknya.
“Baiklah abah, Kas akan ingat sampai bila-bila.” Kasdina Alya meleraikan pelukannya. Masa semakin hampir. Hati semakin ketat, perasaan semakin sebu dan air mata bukan lagi rahsia. Lepaslah semahu-mahunya agar tidak menjadi rindu dendam di kala berjauhan.
“Kas, mak nak pesan satu saja. Biarpun di mana Kas berada dan di waktu mana Kas berdiri. Jangan sekali-kali tinggalkan solat lima waktu, kerana itulah tiang agama, tanpa solat yang sempurna kita bukanlah orang yang beragama dan beriman, kerana iman itu dijelmakan dalam perbuatan. Solat adalah ibu segala kebaikan, solatlah tempat pergantungan ibadah-ibadah yang lain. Solatlah juga yang mula-mula sekali dihisab oleh ALLAH di padang Mahsyar nanti. Kalau solat tak lulus. Maka ibadah-ibadah yang lain akan terbatal. Ingat tu kas!” Ya ALLAH, hati seorang ibu yang menginginkan kebaikan di dunia dan di akhirat untuk anaknya. Kasdina terharu, hiba dan sedih mendengarnya. Selepas ini dia tidak akan mendengar kata-kata indah dari mak lagi. Mak!
Kasdina memeluk erat dan kemas, seakan tidak mahu lepas.
“Kas, itu panggilan terakhir penerbangan ke London. Majikan Kas pun dah bersedia untuk berlepas. Jomlah,” ajakan Haji Amran menyedarkan Kasdina Alya.
“Aida, kau jaga mak dan abah, serta Hazim ya? Jangan bagi dia melepak sana sini, belajar betul-betul. Kak yong pergi dulu, nanti kak yong chat dengan kau melalui facebook, okey!”
“Okey kak yong, jaga diri baik-baik.” Aida dan Hazim berpesan.
“Baiklah. Kas pergi dulu. Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam!” serentak mereka yang ditinggalkan menjawab salam bersama rasa sayu yang mengerat tangkai hati. Saat Kasdina perlahan-lahan melepaskan genggaman tangan bonda tersayang, air matanya kian lebat dan kesedihan Hajah Aminah juga kian menjadi-jadi dan tak dapat dibendung lagi. Pilu sehingga tidak terkata, sehingga tiada lagi bahasa jiwa untuk menggambarkan situasi hatinya di kala ini. Hanya TUHAN  saja yang tahu.
Tesedu-sedu Hajah Aminah menangis tatkala Kasdina Alya melambaikan tangannya sewaktu dia menuruni escalator untuk melepasi balai berlepas. Perlahan-lahan gerak langkah Kasdina semakin menjauh sehingga dia tidak lagi dapat melihat batang tubuh anaknya. Walang sungguh hati ibu ditinggalkan oleh anak yang bernasib malang. Entah apa yang akan terjadi pada anaknya di perantauan nanti tiada siapa yang dapat mengadaikannya. Namun ketetapan menyusun dan mengtakdirkan hidup anaknya samada bahagia atau derita, sudah lama dalam ilmu yang ESA. Perintah ALLAH kepada malaikat supaya ditulis ‘syaqiyun au saeedun’ bagi setiap jiwa termeterai selesai saja ruh ditiupkan setelah 120 hari dalam rahim ibu lagi.
“Cik Nah, sudah… sudahlah tu menangis. Dah dapat handbag mahal dan cantik pun masih nak menangis juga?” panggil Haji Amran yang sedang membaca surat khabar, tapi sebenarnya dia ralit memerhatikan isterinya melayan perasaan sedih yang mengusik emosinya.
“Ada apa bang?” Hajah Aminah terbangun dari kenangan silam yang dalam, yang penuh dengan onak dan duri. Rupa-rupanya peristiwa itu sudah empat tahun berlalu, bermakna sudah empat tahun dia tidak dapat memeluk anak gadis kesayangannya. Ah… kenangan yang tak pernah berhenti menggigit perasaannya. Sampai bila-bila pun yang pahit dan hitam itu tidak akan dilupakan.
“Kas, sihatkah dikau, rindunya mak pada Kas,” luah Hajah Aminah dari dasar pelusuk hati yang paling dalam, sambil mengusap kelopak mata yang basah.
                                  






AWEK ABANG POYO BAB 12

                                

BAB 12

PERSIAPAN untuk kenduri hari minggu ini tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa pengantin. Bagaimana mungkin hendak menghentikan kenduri yang telah dirancang berbulan-bulan lamanya, sedangkan kad undangan telah lama dihantar dan telah pun teredar dan bertukar tangan dikalangan saudara-mara sahabat-handai dan jiran-tetangga samada yang jauh mahupun yang dekat.
        Tiada daya dan upaya untuk Hajah Aminah dan Haji Amran menelefon semua jemputan bagi menyatakan kenduri kahwin anaknya telah dibatalkan. Rasanya sungguh mustahil untuk berbuat seperti itu. Biarlah, kenduri ini perlu diteruskan juga walaupun ianya pincang. Lagipun segala keperluan kenduri telah lama dibeli, duit caterer juga sudah sebulan dibayar in advance. Pendek kata semuanya lengkap. Maklumlah kenduri anak sulung, semuanya nak kelihatan sempurna. Tapi bila ALLAH tidak mengizinkan, ianya tidak akan berlaku. Saat ini dia akan redha dan pasrah kerana ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk anak dan keluarganya.
        Kasdina Alya termenung di sofa sambil memerhati beberapa orang jiran yang sedang memasukkan bungkusan kecil kudapan ke dalam beg-beg kertas sebagai ole-ole untuk diberi kepada para jemputan. Kalaulah bukan kerana fitnah durjana itu, pasti dialah orang yang paling gembira hari ini. Dia  akan turut serta menyudahkan kerja-kerja mengisi kudapan ke dalam beg itu. Dia juga yang akan menghias set bilik tidurnya yang baru dibeli. Malah dia yang akan mengarahkan di mana pelamin yang cantik itu harus diletakkan. Tapi sekarang, menjamah itu semua pun dia dah tak sudi lagi. Hatinya hancur sehancurnya seperti kaca yang terhempas ke batu. Ah... pelamin anganku musnah. Kasdina Alya mengeluh lagi.
        “Kas, takkan nak tengok saja benda-benda ni?” Hajah Aminah menegur anaknya. Kasdina Alya tidak menyahut, tapi dia hanya menggelengkan kepala.
        “Tak apalah Cik Nah, kami boleh buat. Biarkanlah Kas tu. Nasib baik dia mahu keluar dari biliknya pun dah syukur,” sahut Mak Cik Asmah yang sedang rancak menyusun beg-beg kertas tadi ke dalam kotak.
        “Betul tu Cik Nah, janganlah diusik lagi. Kasihan dia,” sampuk Mak Cik Aton jiran Hajah Aminah yang paling dekat.
        “Entahlah... saya ni dah tak tahu nak cakap apa dah. Saya serah saja pada ALLAH dengan nasib yang menimpa kami. Apa pun terima kasihlah kerana sudi datang menolong, saya ingat dah tiada siapa lagi yang sudi memandang kami ni,” sayu saja ucapan Hajah Aminah.
“Cik Nah, janganlah bimbang dan bersedih, ingatlah semuanya ujian dari ALLAH. Sebenarnya kami tak percaya dengan cerita-cerita yang disampaikan oleh tukang karut-tukang karut kat kampung ni. Kami kenal siapa Kasdina dan siapa pula keluarganya. Biarlah apa orang nak kata pun, yang penting ALLAH tahu kita di pihak yang benar.” Sejuk hati Hajah Aminah dengan sokongan dari Mak Cik Asmah. Terharu rasanya bila ada yang simpati.
“Cik Nah, ingat satu saja. ALLAH itu Maha Mendengar. ALLAH selalu mendengar dan mengabulkan doa-doa orang yang dizalimi. Suatu hari pasti kita akan tahu, siapakah yang punya angkara bila ALLAH kehendaki,” pujuk Mak Cik Aton pula. Kasdina Alya yang sedang melayan perasaan tadi juga terubat rasa hibanya bila mendengar tazkirah pendek dari kedua jiran rapatnya. Syukurlah! Masih ada orang yang percaya aku ini masih suci. Menitik air mata Kasdina Alya kerana terharu.
Tiba-tiba bunyi bising datang dari arah dapur, seperti orang sedang bertengkar. Hajah Aminah menoleh ke arah Kasdina dengan isyarat mendongak dagu seolah bertanya siapakah yang kecoh bertengkar di dapur. Kasdina Alya hanya mengangkat bahu. Bunyi suara orang bertengkar makin nyata kedengaran. Siapa yang bertengkar? Dalam rumah ini anak-anaknya jarang bergaduh dan bertengkar. Semua anak-anaknya hidup dalam berkasih-sayang. Siapa ya? Untuk memuaskan hatinya Hajah Aminah bingkas bangun lalu menuju ke dapur. Ha… kak long rupanya. Bila dia datang. Tak sedar pun. Kenapa datang tak masuk pintu depan? Sekarang ni siap bertengkar lagi dengan suaminya. Apa masalahnya? Apa halnya?
Hajah Aminah berdiri di ruang dapur bagi mendengar butir perbalahan antara suaminya dan kak long.
“Saya kata tak setuju, tak setujulah. Kak long  tak faham ke?” marah Haji Amran.
“Heh, Amran. Kau tu tengin, kepala udang, aku ni datang nak menyelamatkan maruah kau orang anak-beranak. Kau tak faham lagi ke maksud aku?” jerkah Kak Long Aini.
“Tak payah, biarlah, kalau maruah kami sekeluarga hancur pun tak mengapa, demi untuk kahwinkan Kasdina dengan Azwan saya tak akan benarkan,” tegas Haji Amran. Oh… barulah tahu hujung pangkal ceritanya. Melabuk jatuh jantung Hajah Aminah. Longlai terus lututnya. Lemah sendi tiba-tiba. Kasdina yang tiba-tiba datang terus memeluk maknya agar tidak jatuh terbungkang.
        “Kenapa kau tak suka Azwan? Si Azwan tu dengan rela hatinya nak membantu bapa saudaranya daripada mendapat malu yang lebih besar.”
        “Tak mengapalah kak long, terima kasihlah kerana niat nak membantu. Keputusan saya tetap sama. Saya tak nak terima Azwan sebagai menantu,” sekali lagi Haji Amran bertegas. Lega dada Hajah Aminah. Begitu juga Kasdina Alya.
        “Kau rela kenduri Ahad ini tanpa ada pengantin?  Apa kau nak cakap bila orang bertanya?” desak Kak Long Aini.
        “Saya akan cakap dah tak ada jodoh dari ALLAH. Semuanya berpunca dari mulut jahat orang yang khianat.”        Merah muka Kak Long Aini dengan kenyataan itu.
        “Itu cakap kau. Kau belum tanya lagi pendapat Kasdina. Tentu dia nak berkahwin dengan Azwan. Daripada tak berlaki lebih baik dia berkahwin dengan sepupunya sendiri,” bukan main sedap lagi Kak Long Noraini bercakap. Bukan main yakin dia!
        “Mak long, Kas tak sudi pun jadi isteri Azwan. Lebih baik Kas dihina dan dicerca daripada bersuamikan Azwan,” tegas sekali suara Kasdina.
        “Kenapa? Sebab Azwan tu penagih dadah?” tempik Noraini marah.
        “Ya, takkan mak long tak kenal anak sendiri?”
        “Tapi Azwan boleh berubah selepas kahwin nanti. Bila dia dah berkeluarga, tahulah dia akan tanggungjawabnya. Kas bukannya tak tahu, asalnya Azwan tu budak baik dan bertanggungjawab, tapi kerana terjerumus dengan benda tu dia dah berubah sikit,” intonasi suara Noraini berubah rendah,  tabaqat qarar.
        “Berubah sikit mak long kata? Dah jadi penagih tegar macam tu boleh ke berubah? Entah-entah dia dah pun dijangkiti aids, positif HIV. Mak long tahu tak? Kalau Azwan tu dah dijangkiti aids, haram hukum baginya berkahwin dengan mana-mana perempuan sebab ianya akan memberi mudarat pada orang lain, faham dak?” Wah… daripada lembik layu dan tak bermaya, bukan main segar lagi Kasdina Alya memberikan hujah. Haji Amran menoleh. Hah… inilah anak abah yang sebenarnya. Kembang dada Haji Amran, anaknya masih lagi berfikiran waras walaupun dalam keadaan tertekan.
        “Pandailah kau bercakap. Kalau kau tu baik sangat dan pandai sangat jaga diri, takkanlah sampai bunting tanpa suami, lepas tu siap gugur kandungan lagi.” Berdesing telinga Kasdina Alya mendengarnya. Kalau tidak kerana memikirkan mak long itu ibu saudaranya, dia tidak akan teragak-agak untuk menyingsing lengan baju kurungnya. Biar lebam biji mata mak long. Cakap jangan sebarang cakap, makan jangan sebarang makan. Karang tak pasal-pasal muka mak long makan penumbuk sulung aku ni. Ayam bertelur kat punggung, mak long bertelur kat dahi. Ndak!
        “Memang Kas pandai dan bijak jaga diri, tapi disebabkan orang yang bermulut busuk dan bau limbah longkang macam mak long yang suka menabur fitnah pada orang, itu yang jadi masalah. Mak long tahu tak balasannya kepada orang yang suka buat fitnah ni. Balasannya samalah seperti makan daging busuk saudaranya sendiri yang telah mati. Lepas tu dalam neraka nanti, kerja dia mengerat lidahnya sendiri, tak henti-henti. Mak long nak macam tu?” tinggi suara Kasdina.
        “Ah… sudahlah, jangan nak merepek. Kau ingat, kau bijak. Kau tak tahu siapa lagi bijak. Sebenarnya korang semua belum kenal dengan aku lagi. Urusan kita belum selesai,” ungkapan yang berbau ugutan dari Noraini menyebabkan semua yang berada di situ terkesima. Noraini berlalu dengan hentakan kaki yang kuat seperti gergasi yang kehampaan. Tanda marahnya yang tidak bertepi. Hajah Aminah mengurut dada lega dan Haji Amran terduduk di kerusi, kemudian dia menuang air sejuk ke dalam gelas buat membasahi tekaknya yang dah lama kering, juga buat menyejukkan hatinya yang  dari tadi panas.
        “Apa kena dengan kak long ni?” luah Hajah Aminah tidak puas hati.
        “Entahlah, abang pun tak tahu. Belum lagi selesai satu bala, nak pula ditambah dengan bala yang lain.” Haji Amran menyambung rungutan isteri.
        “Biasalah mak long tu, nak menangguk di air yang keruh. Entah-entah ini semua angkara dia, siapa tahu?” tuduh Kasdina geram.
        “Hiss… jangan menuduh. Berdosa tau! Kalau kita menuduh tanpa bukti, samalah kita seperti perangai mereka yang menuduh Kas tanpa asas itu. So, jangan nak cari pasal, jaga mulut tu, jangan terlepas cakap, jangan celupar sangat,” pesan Hajah Aminah.
        “Tapi mak, peliklah mak long tu, selama ini dia bukan main lagi benci dengan Kas. Apa saja yang Kas buat semuanya tak kena di mata mak long. Tup-tup, nak pula dia bermenantukan Kas yang dituduh dah tak dara lagi. Apa maknanya tu?” keras suara Kasdina Alya yang ditujukan kepada mak longnya.
        “Maaflah menyampuk, tapi ada juga betulnya cakap si Kas ni, Cik Nah. Sebab selama ini pun mulut si Noraini tu boleh tahan jahatnya. Kat dalam kampung ni, anak siapa yang dia tak umpat. Tapi bila kena batang hidung sendiri, tak nak pula dia heboh menjaja cerita tentang anaknya yang sering kena tangkap polis, keluar masuk lokap tu,” celah Mak Cik Asmah yang dari tadi kelihatan pasif dan selesa menjadi pendengar dan penonton bersama beberapa orang yang lain.
        “Apa hal pun, kita berhati-hatilah kerana kita tak tahu apa yang ada dalam hati manusia. Baguslah Kas tadi tidak terpengaruh dengan permainan si Noraini tu. Sebenarnya dialah pelakon, dialah sutradara. Hati-hatilah!” pesan Mak Cik Aton sambil menepuk-nepuk bahu Kasdina Alya.
        “Apa maksud Mak Cik Aton?”
        “Tak ada apa-apa, sekadar berpesan. Manusia ni rambut saja sama hitam, tapi hati lain-lain,”  pesan Mak Cik Aton lagi.
        “Aton, sekarang ni rambut pun dah berbagai warna, dah tak sama lagi,” celah Mak Cik Asmah. Mak Cik Aton ketawa, Hajah Aminah senyum dan Kasdina Alya bersahaja, tanpa perasaan. Fikirannya berlari pada mak long. Apakah betul wanita itu mempunyai agenda? Tapi takkanlah mak saudara sendiri yang mengkhianatinya? Tak mungkin. Sejahat-jahat mak long, dia masih darah daging abah. Hati Kasdina Alya menangkis lintasan jahat yang mula mengisi ruang fikiran.
















AWEK ABANG POYO BAB 11


                                             BAB 11

        APA yang ditakuti oleh Hajah Aminah suami isteri sudah pun menjadi realiti. Dah heboh satu Kampung Manjoi memperkatakan cerita dan gosip Kasdina Alya yang tak jadi kahwin sebab pernah ‘ter’mengandung anak haram dan gugurkan kandungan secara rahsia. Sungguh tragis dan sensasi. Ramai yang memperkatakannya termasuklah penganalisa-penganalisa politik kedai kopi yang perasan bagus. Tidak ketinggalan kacang hantu dan kaki dam yang yang suka ngusik & ngorat anak dara orang. Masing-masing memperlihatkan kreativiti dan kehalusan seni umpatan dan labunan yang membuatkan sesiapa saja mendengarnya rasa tak ndak balik. Dengan bermodalkan secawan kopi anda boleh layan gosip sensasi itu sampai ke petang.
        Samada cerita itu betul atau tidak, ianya belakang kira. Tukang canang cerita yang tak bertauliah seperti Kiah, Bedah, Lebor, sekadar menyenaraikan beberapa nama, berlumba-lumba untuk menyampaikan berita sensasi itu. Seolah-olah cerita yang mereka sampaikan itu boleh bertukar menjadi duit atau ganjaran duniawi tidak pula diketahui. Sebenarnya mereka ini, samada lupa ataupun jahil murakkab, perlu diingatkan bahawa mereka yang suka menabur fitnah ini akan mendapat balasan neraka dengan azab yang tidak terperi sakitnya di akhirat nanti.
        Dalam surah al-Humazah, ALLAH menegaskan kepada sesiapa yang suka menyebarkan cacian dan kekejian maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka. Begitu juga dengan peringatan yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: Bahawa tidak masuk syurga orang yang suka menyebar fitnah. Entahlah, terlampau berani mereka semua itu dengan hukum ALLAH yang menanti.
        “Abang aji, macam mana sudahnya si Kas tu. Sudah tiga hari tak keluar bilik. Makan tidak, hapah pun tidak. Risau saya dibuatnya,” adu Hajah Aminah pada suaminya.
        “Pujuklah lagi. Awakkan maknya, pasti lebih kenal dengan sifatnya. Suruh dia baca Quran banyak-banyak, biar tenang sikit jiwanya.”
        “Dah pujuk pun, macam-macam dah cakap, tapi dia tetap macam tu juga. Kasihan Kas, terpukul sungguh dia dengan fitnah yang di luar dugaan tu.”
        “Sabarlah Nah, benda dah nak jadi, nak buat macam mana? Apa pun kita doalah sama-sama, semoga ALLAH memberi bantuan saat kita betul-betul memerlukan,” pujuk Haji Amran.
        “Tidak berhati perut sungguh mereka yang menyebarkan fitnah ni. Tak terfikirkah mereka akan aib yang terpaksa kita tanggung? Ya ALLAH… apa nak jadi pun tak tahulah. Saya sekarang buntu sangat,” luah Hajah Aminah sedih.
        “Sebab itulah Rasulullah SAW memberitahu, kepada sesiapa yang menyebarkan kata-kata yang memalukan seorang muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh ALLAH pada hari akhirat kelak. Justeru, sebagai motivasi untuk kita sekeluarga, janganlah kita terkesan dengan fitnah yang melanda ini, kerana malu orang yang memfitnah pada hari akhirat nanti, beribu kali ganda lagi berbanding dengan malu yang kita hadapi sekarang. Nah faham maksud abang, kan? Lagipun anak kita tak bersalah dan semuanya adalah fitnah semata-mata. Janganlah risau sangat. Insya-ALLAH suatu hari ALLAH akan tunjuk juga siapakah yang punya angkara,” tenang saja ucapan Haji Amran, tapi benar-benar menusuk jauh ke lubuk hati isterinya yang gundah-gulana.
        Hajah Aminah mengangguk faham, tapi dihelanya nafas yang telah memberati dadanya sekian lama dengan zikir pada ALLAH. Dia sedar kini, dia perlu kuat. Kalau dia lemah, macam mana dia hendak mengembalikan semangat Kasdina yang telah jatuh merudum ke tahap sifar. Kasihan anak gadisnya. Sebelum ini Kasdina gadis yang lincah dan ceria. Seorang yang selalu mengutamakan orang lain, sedia menghulurkan tangan buat golongan dua’fa dan mustad‘afin, jiwanya penuh dengan sifat kasih sayang terutama pada adik-beradik, malah dengan binatang pun dia sanggup berhabis, beli ikan dan sebagainya. Mudah sangat bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan, lebih-lebih lagi dengan fuqara wal masakin. Tapi kenapakah anak yang sebaik dia, diberi ujian yang sebegini hebat? Sehingga Kasdina yang dulunya kuat, tidak mampu bangun dan bertahan lagi. Ya ALLAH, bantulah anakku!
        “Cuba awak panggilkan kawan baiknya datang sini. Suruh kawan dia tu nasihatkan dia, manalah tahu dia nak dengar cakap rakan sebayanya daripada kita,” cadang Haji Amran.
        “Rozita?”
        “Yalah, siapa lagi kawan rapatnya kalau bukan anak Cikgu Alias tu. Dah, cepat telefon, suruh dia datang sekarang.”
        “Baiklah abang aji. Saya telefon sekarang. Tapi sementara tunggu Ita datang, cuba abang aji ketuk pintu biliknya. Kut-kutlah mahu dia keluar makan.”
        “Baiklah saya cuba.”

        TERKEJUT Kasdina Alya bila mendengar suara Rozita memberi salam dan memanggil-manggil namanya dari luar pintu biliknya. Bergegas Kasdina Alya membuka pintu biliknya. Sebaik saja Rozita meloloskan diri, Kasdina Alya terus menerkam, memeluk kemas kawannya dan air matanya pun gugur lagi buat kesekian kali. Rozita juga menangis, melihat keadaan kawannya yang sudah kusut-masai. Kasihan Kasdina, badannya sudah susut, malah di sekeliling matanya kelihatan ada gelung hitam dan nampak cengkung. Lama sekali Kasdina Alya meminjam bahu temannya, buat melepas duka dan lara  di hati.
        “Ita, terima kasih kerana datang,” ucap Kasdina dalam tangis yang kian reda.
        “Ya, sama-sama. Sorrylah, aku baru datang sebab aku tak dapat hubungi kau. Kau tutup handfon kau, ya! Ini pun nasib baik mak kau yang called aku, minta aku datang jenguk kau bila kau langsung tak mahu keluar bilik.”
        “Terima kasih, aku sebenarnya buntu. Sesak dada aku ni bila memikirkan hari kenduri yang tak lama lagi akan tiba.” Kasdina Alya mula bercerita.
        “Ya, aku tahu. Aku faham, tapi janganlah buat sampai mak dan abah kau susah hati dengan keadaan kau. Kasihan mereka,” nasihat Rozita. Kasdina merenung mata teman karibnya kemudian mengangguk tanda setuju.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                               
        “Ita, aku dah tak mampu bertahan lagi. Sana sini orang dok mengata aku. Kasihan mak dan abah aku, tak pasal-pasal dikutuk masyarakat.” Kasdina meluah rasa kesalnya.
        “Baru-baru memanglah macam tu, bila dah lama sikit mereka akan berhentilah, dah penat dan seterusnya lupa. Kan mantan PM kita, Che Det ada mengatakan, Melayu mudah lupa, kau tak ingat?” pujuk Rozita yang bunyinya seakan lawak.
        “Kalau benda baik senang saja mereka lupa, tapi kalau benda aib mereka akan ungkit sampai mati, itu yang aku faham dengan orang kita,” jawab Kasdina.
        “Kau sabarlah, bukankah sabar itu sebahagian dari pada iman?”
        “Aku tahu, tapi dada aku terlalu sesak dan sakit untuk menanggungnya. Hancur lebur hati aku kala ini dan aku ni seakan bernafas dalam lumpur, perit dan cukup terseksa.”
        “Ya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Jadi apa yang boleh aku bantu kau?” Rozita menggenggam erat tangan sahabatnya. Matanya tepat memandang ke arah anak mata Kasdina yang keruh. Tiada lagi sorotan mata yang galak, yang sering bercahaya kalau Kasdina Alya bercakap. Semuanya sudah berubah, bukan lagi Kasdina Alya yang dahulu. Oh, kasihannya sahabatku!
        “Ita, aku rasa, aku nak saja tinggalkan Kampung Manjoi ni. Pergi jauh-jauh ke tempat yang tidak dikenali orang. Biar orang tak tahu samada aku masih hidup atau sudah mati.”  Rozita tergamam dengan luahan rasa Kasdina Alya. Kata-kata yang berbau kekecewaan.
        “Kau nak pergi mana?”
        “Tak kisahlah, asalkan aku tak akan berjumpa lagi dengan penduduk sini. Boleh kau tolong aku? Kaukan banyak saudara- mara yang berada Kuala Lumpur.” Kasdina bersungguh-sungguh untuk pergi dari sini.
        “Bila kau nak pergi?”
        “Kalau boleh sekarang. Aku rasa dah tak tahan walau seminit, tapi aku tahankan juga perasaan ini sebab memikirkan mak dan abah aku.” Kasdina mengelap air matanya yang mula bergenang kembali.
        “Betul tu, jangan ingat kau seorang saja yang rasa sedih, semua adik-beradik dan saudara-mara kau serta aku turut bersedih atas perkara ini. Kau sabarlah banyak-banyak. Aku janji akan tolong kau, mengeluarkan kau dari sini.”                                                                                                                                                                                                                                              
        “Janji ya Ita?”
        “Ya, takkan kau tak percayakan aku. Okey, kalau kau nak keluar dari kampung ni kau mesti dalam keadaan sihat, kuat fizikal dan mental, maklumlah tempat baru, semuanya asing dan susah, jadi kekuatan mesti ada, barulah boleh survive.” Kasdina mengangguk perlahan. Betul juga…
        “Okey, perkara yang pertama kau perlu buat ialah keluar dari bilik ni, dan kita pergi makan untuk dapatkan tenaga dan kesihatan, boleh?”
        “Aku tak ada selera nak makan,” adu Kasdina Alya lemah. Rozita melihat ke atas dan ke bawah susuk tubuh Kasdina  Alya yang benar nampak kurus. Memang gadis ini sudah ketara hilang berat badannya.
        “Aku ada bawa benda yang boleh membuka selera kau. Jom kita keluar, takkan nak makan kat sini.” Rozita memicit hidung mancung Kasdina Alya dan gadis itu menjerit kesakitan sambil melarikan hidungnya supaya tidak menjadi mangsa tangan rakus Rozita.
        “Apa yang kau bawa?” tanya Kasdina Alya bersahaja.
         “Hmm… makanan kegemaran kaulah, ikan pekasam goreng bersama cili dan bawang. Kau suka, kan?” promote Rozita dengan ghairahnya bersama kecuran dan telanan air liur. Kasdina Alya hanya mengangkat kening tanpa komen apa-apa dan tanpa perasaan. Ingatkan bergerak kerongkong, macam aku! Dah sah gadis ini sudah parah perasaannya, sudah lemah jiwanya, sudah tawar hatinya untuk menikmati hidup. Kalau tidak, sebut saja ikan pekasam goreng, especially yang ‘Made in Lenggong’, pasti liurnya sudah kecur walaupun ikan pekasam tersebut masih belum lagi digoreng. Nak-nak lagi kalau pekasam Ikan Loma yang digoreng dengan cili, bawang dan daun karipulai. Perah sikit limau kasturi. Wow! Sedapnya terangkat you, mengalahkan Smoked Salmon, German Smoked Eel atau apa-apa yang sewaktu dengannya.