NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Monday, September 15, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 3

BAB 3


        SUASANA di The Mines, Seri Kembangan pada hujung minggu itu cukup meriah dengan pengunjung dari pelbagai lapisan, all walks of life, tidak terkecuali pelancong asing yang hitam dan yang putih. Semuanya datang dengan tujuan yang telah pun tersemat di hati masing-masing. Bagi yang loaded dan banyak duit, mereka datang untuk membeli-belah, makan-makan dan berekreasi. Adapun yang kurang fulus, saja datang untuk suka-suka, window shopping, cuci mata ataupun sekadar menghilangkan rasa bosan duduk di rumah. Especially yang bujang-bujang.
        Namun bagi Sonia, dia datang kerana rindunya yang kian tidak tertanggung, rindu yang sering menggoncang perasaan, rindu yang sering mengganggu lenanya yang kekadang sampai ke subuh. Lalu mahu tidak mahu, dia perlu hadir kembali di sini bagi melewati batas-batas kenangan, agar senak rindu yang sering menekan dada ini bisa berkurangan. Di sini banyak kenangan indah bersama Ain Kaisara dan juga bekas suaminya. Saat di mana mereka pernah dilimpahi dengan kebahagiaan suatu ketika dahulu. Saat di mana dia pernah dihadiahkan bulan dan bintang oleh bekas suaminya. Cukup indah dan cukup manis.
        Hari ini, dia datang lagi ke Kidz Paradise yang terletak di Level 4, tempat dia dan Ain Kaisara pernah bermain-main. Dua tahun lalu umur Ain Kaisara baru mencecah setahun delapan bulan, tapi anak kecil itu sangat cergas dan sangat aktif. Ke hulu ke hilir dia berlari, tak mau diam dan tak reti penat. Semua permainan yang ada di Kidz Paradise ini mahu dicuba, walaupun tak padan dengan usia dan saiznya yang cinonet. Ah, indahnya kenangan!
        “Ain, mama rindu sangat pada Ain,” rintih Sonia sambil tangan kanannya menggosok-gosok kuda plastik yang pernah dinaiki oleh Ain Kaisara dahulu. Kolam matanya sudah lama penuh dengan air jernih, tapi ditahan-tahannya agar tidak tumpah.
        Sonia beralih pula pada slide berwarna pink dan biru, di mana si comel Ain Kaisara pernah bergelongsor dengannya. Ain Kaisara yang ketawa terkekeh-kekeh memanjat tangga lalu menggelongsor laju sampai ke bawah. Terbayang jelas di mata Sonia keletah Ain Kaisara yang ceria dan girang ketika bermain. Ah, rindu ini membelah jiwa. Dalam tak sedar dan tak keruan Sonia melekapkan hidungnya rapat pada slide yang berwarna pink dan biru itu.
        “Wei, sudah-sudahlah tu… Kau jangan nak buat kerja gila. Malu kita nanti,” tegur Eja, teman yang setia menunggu dan menemani ke mana saja Sonia pergi.
        “Aku buat apa?” tanya Sonia separuh pelik bila Eja menegurnya.
        “Yang kau pergi cium papan gelongsor tu buat apa?” marah Eja.
“Macam orang tak betul jer aku tengok,” marahnya lagi.
        “Bila aku cium?” tanya Sonia balik. Eja membulatkan matanya. Dah sah kawannya ni tengah mamai dan sedang berdelusi. Biarlah asalkan dia bahagia. Cakap lebih-lebih pun tak guna.
        “Okeylah! Jom blah. Aku ni dah tak laratlah nak follow kau. Takkan semua permainan bebudak kat sini ni kau nak kena jumpa, and say hey hello I miss you semua,” bedal Eja tanpa perasaan. Rasa geram juga dia dengan Sonia yang terlalu emosional ni. Baginya yang lepas tu biarlah lepas, tak payahlah dok nak ingat-ingat lagi, nanti bertambah kacau fikiran tu.
        Sonia menatap mata Eja dengan legat, mengharapkan simpati darinya.  Dia tahu kawannya ini sedang angin.
        “Kau tak memahami perasaan aku, sebab bukan kau yang mengalaminya,” perlahan saja suara Sonia seolah-olah tenggelam di dalam kerongkong.
Ish… sedih pula Eja mendengarnya.
        “Aku faham perasaan kau, sebab itu aku nak kau bangkit dari kenangan semalam. Yang lepas tu sudah-sudahlah. Kan itu sudah suratan takdir. Janganlah kau nak sia-siakan hidup kau dengan asyik mengenangkan kesedihan yang tak pernah padam tu. Kau kena ingat, hidup ini perlu diteruskan walau apa konsekuensinya. Ujian kehilangan kau tu hanya sedikit saja kalau nak bandingkan dengan penderitaan rakyat Syria ataupun Gaza yang sedang bergolak sekarang ni. Mereka kehilangan tempat untuk bergantung. Ada yang hampir kehilangan ahli keluarga semuanya sekali, terkontang-kanting di tengah-tengah pergolakan yang sedang menggila. Kau bayangkanlah bagaimana anak kecil yang kehilangan ayah, ibu dan adik-beradik, meraung bersendirian tidak tahu hendak ke mana, dengan lapar dan dahaga serta ketakutan yang melampau. Apa perasaan kau? So please Nia, jangan kau nak over sangat okey! Penderitaan kau tu kalau nak dibandingkan dengan mereka, sekelumit pun tak sampai. Ayuh… Come on wake up and be strong Sonia,” belasah Eja cukup-cukup. Biar sahabatnya itu sedar bahawa masih ada insan lain yang lebih malang darinya di muka bumi ALLAH yang penuh pancaroba ini.
        “Kau marah sebab aku beria-ia ajak kau datang sini ke?” tanya Sonia yang mula sedih.
        “Hek eleh… sentaplah pula ‘Mak Cik Bedah’ ni. Tak ada maknanya aku nak marahkan kau. Aku tegur tu supaya kau sedar, jangan hidup dalam bayang-bayang lagi. Sepatutnya kau dah lama cari pengganti bekas laki kau yang senget tu. Cer kau tilik diri kau tu, kau tu masih muda beliawanis, masih cantik, masih bergetah kalau nak dibandingkan dengan aku yang tak seberapa ni. Apa yang kau susah, petik aje jari, sepuluh yang datang berlari,” lancar saja butir-butir yang keluar dari mulut Eja.
        “Aku sedih bila mengenangkan Kaisara,” adu Sonia, minta simpati.
        “Aku tahulah kau sedih. Orang lain pun sedih juga, tapi tak adalah sampai peringkat cium papan gelongsor. Jangan kau buat aksi emosi yang pelik semacam tu lagi, seram aku!” Eja mengecutkan badan.
        “Bila masa pulak aku cium slide? Kau jangan lebih-lebih nak kutuk aku,” muncung Sonia.
        “Tadi tu! Kau bukannya sedar. Sebab tulah aku marah sangat kalau kau emo terbawa-bawa tak tentu pasal. Aku takut banyak lagi perkara pelik yang akan kau buat. Ya ampun... tolong… jangan ler Nia, bawak-bawak ler mengucap.” Akhirnya Eja ketawa melihat muka Sonia yang sudah masam mencuka. Marahlah tu…
        “Yalah, aku janji tak buat lagi dan cuba kawal perasaan aku,” janji Sonia.
        “Okeylah! Jom kita chau dari sini, perut aku pun dah berkeroncong ni.” Eja mula menghayunkan langkah.
        “Eja please… beri aku masa sikit lagi. Tunggulah, sekejap aje lagi,” pinta Sonia dengan muka 10 sen.
        “Kau nak pergi cium benda apa lagi?” marah Eja. Geram betullah aku dengan Sonia ni. Lagi dicakap, lagi menjadi-jadi pulak dia.
        “Aku nak masuk dalam kolam bola tu…” Sonia menunjukkan kolam besar yang dipenuhi dengan bola-bola plastik yang berwarna-warni. Kenangan yang indah juga ada di situ, saat dia bermain baling-baling bola dengan Kaisara. Tanpa menunggu kebenaran dari Eja, Sonia terus berlari dan masuk ke dalam kawasan kolam yang luas berjaring. Masuk saja ke dalam kolam tersebut Sonia terus menjatuhkan dirinya ke atas bola-bola kecil itu, kemudian dia mengaut bola-bola yang beraneka warna itu menutupi seluruh tubuh badannya. Memang saat ini dia betul-betul tenggelam dalam nostalgik bersama ribuan bola, dan dia ingin mencari ketenangan di situ. Sonia memejamkan mata. Perlahan-lahan rindu yang menebal beransur pergi apabila ketenangan datang memujuk hati.
        Tiba-tiba dia terdengar suara anak kecil yang gemersik.
        “Papa papa, cepatlah! Ria nak naik ni,” suara manja si kecil memohon izin.
        “Sabarlah sayang, perlahan-lahan nanti jatuh,” nasihat si ayah yang sentiasa mengawal. Tup! Sonia membuka kelopak matanya. Adakah dia sedang berdelusi lagi.
        “Papa… I want to play on the slide,” suara anak kecil itu meminta lagi. Kali ini kedengaran semakin dekat.
        “Yeah… alright, but be careful honey,” pesan si ayah. Anak kecil itu ketawa riang. Jiwa Sonia sudah tidak tertahan mendengarnya. Sah, itu suara buah hatinya Kaisara. Anak mama sudah kembali!
        “Kaisara anak mama!!!” Sonia bertempik kuat sambil bangkit dari pembaringannya. Persis zombie kampung pisang keluar dari kuburan. Ternyata kelakuan Sonia membuatkan anak-anak yang sedang leka bermain dalam kolam itu terkejut dugong dan menjerit serentak. Sungguh mereka tidak menyangka ada manusia yang bukan sesaiz mereka berbaring di dalam timbunan bola itu bersama mereka. Ada yang menjerit kerana terkejut, dan ada yang ketawa kerana teruja.
        Sonia berdiri bercekak pinggang sambil menoleh sekelilingnya, melilau mencari Kaisara dan bekas suaminya. Tidak pula nampak, dan suara ketawa riang tadi juga hilang dari pancainderanya. Dah sah dia berdelusi lagi. Tiba-tiba matanya terpandang kepada seseorang yang sangat-sangat dikenali. ‘Encik Johari!’ senada hati dan lidahnya menyebut. Di sebelahnya kelihatan budak perempuan comel sedang bermain papan gelongsor bersama kanak-kanak lain. Suara mereka berduakah yang telah menerobos masuk ke dalam gegendang telinganya? Sonia terkeliru.
        Sonia merenung ke arah Encik Johari dan anaknya yang sedang bergelak tawa. Anak kecil itu cukup comel, matanya bulat, kulitnya putih gebu, pipinya tembam licin, dan yang paling Sonia suka ialah rambutnya yang curly hitam lebat, panjang melepasi bahu. Sungguh cantik. Agaknya Kaisara buah hatinya sekarang ini mungkin sudah sebesar itu. Legat Sonia memerhatikan si kecil itu bermain. Pandangan mata Sonia berpindah pula ke arah Encik Johari yang berwajah tenang sambil mengawasi si anak. Dengan tidak semena-mena pandangan mereka bertemu dan bersatu. Encik Johari juga kebetulan sedang tepat merenungnya, mata bertemu mata. Apakah mungkin terbit di minda Encik Johari satu prasangka buruk terhadap tenungannya itu. Mungkinkah Encik Johari merasakan yang dia sedang berniat jahat atau sedang merancang satu penculikan terhadap anaknya? Huh… dah ke situ pula fikirannya jauh melalut. Nyah kau syaitan… ini tidak lain hanyalah bisikan yang senantiasa mengganggu anak adam, auzubillahu minhu. Akhirnya Sonia mengalihkan padangan matanya dan mula beredar dari situ. 
        “Eh, beb! Siapa brader handsome yang kau renung macam nak telan tadi?” tanya Eja sebaik saja mereka berdua beredar.
        “Bos tempat kerja aku,” jawab Sonia malas. Di matanya masih terbayang keletah anak Encik Johari yang sangat cute.
        “Kenapa kau tak tegur, dan kenapa dia juga macam tak kenal kau erk?” Eja masih belum puas hati.
        “Dia memang tak kenal aku pun,” balas Sonia.
        “Hai, peliknya! Biar betul... dah kerja selama enam bulan pun masih tak kenal pekerja sendiri? Apa besar sangat ke syarikat tempat kau kerja tu. Ada beratus-ratus orang ke? Sampai tak kenal!” Eja mencebik. Sonia menjeling. Mulalah ‘munah’ ni nak kepo, mengalahkan buntut ayam telor.
        “Alah, aku hanya cleaner jer kat pejabat tu. Siapa pula yang nak ambil tahu pasal aku? Lagipun dia orang kat pejabat tu tak pernah tengok muka aku, melainkan seorang aje, iaitu Mak Cik Hana yang ‘sewaktu’ dengan aku,” dengan senyum Sonia bercerita.
        “Habis, kau kerja pakai purdah ke?” tanya Eja dengan nada terkejut. Lepas tu dia mengilai sorang-sorang.
        “Hiss, kau ni agak-agaklah sikit. Ada ke macam tu… Akai ada ka! Takkanlah aku nak kerja cuci lantai, cuci tandas, berjubah dan berpurdah bagai. Aku pakai masklah, itu pun tak boleh agak ke?” jeling Sonia. Eja ketawa kuat, entah apa yang digeli hatikannya sangat, aku pun tataw. Lantak dialah…
        “Apa pasal ler pulak yang kau sembunyikan muka kau yang cantik gebu ni?” Eja bukan saja bertanya tapi siap cubit lagi, geram sangat tengok pipi gebu licin milik Sonia. Si Sonia ni walaupun hatinya jarang tenteram, tapi soru tak pernah miss, itu yang gebu semacam tu.
        “Sebenarnya aku tak nak kena ganggu. Ehem! Kau tahu ajelah, mana aje aku pergi ada saja yang nak ngorat. Eeiii… lemas. Rimaslah! Senang cerita kasi tabir sikit muka, sapa pun tak angkat port, selamat dari fitnah,” terang Sonia.
        “Eh, cantik jugak idea kau tu! Erm… tapi Nia, aku tengok kau dengan bos handsome kau tu, macam ada chemistrylah pulak! Macam ada baek punya ‘reaksi kimia’ aku perhati,” dahi Eja berkerut bila bercakap.
        “Dah dah! tak payah kau nak jadi nujum mak belalang kunyit kat sini. Tak usah payah-payah dok berkerut dahi bagai untuk memikirkannya,” larang Sonia sambil melangkah dengan pantas. Malas nak layan cakap Eja yang entah apa-apa.
        “Betullah beb, aku nampak ada karan cinta yang sedang sabung-menyabung bila pandangan kau dan dia bersatu tadi. Hah, untuk mudah kau faham, kau pernah tengok tak arus elektrik pada dawai yang tak bersalut atau pada bola kristal? Alah… macam dalam filem cereka sains fiksyen Amerika yang mengarut tulah. Kau faham tak maksud aku?” Faham ke idak ni! Sungguh-sungguh Eja menceritakan teori entah apa-apanya. Sonia ketawa kuat.
        “Kenapa kau ketawa. Tak percaya ke?” tanya Eja.
        “Percaya… tersangatlah percayanya, cumanya tadi bukan main lagi kau kata aku dah macam orang tak betul. Cium itu cium ini, seram ler apa ler. Baeek, kaw-kaw punya kutuk. Yang kau tu! Sendiri tak sedar. Sebenarnya, kau lagi teruk, lagi tak betul, lebih senget dari aku, hikhikhik… Itulah suka sangat tengok Star Wars,” kutuk Sonia pula. Ketawanya masih belum reda. Eja menyengihkan barisan giginya yang telah dibraced dengan pendakap kawat, tanpa sedikit pun rasa tersinggung.
        “Woii, jom makan! Perut aku dah beberapa kali berkeruk-kerak ni. Lapo tau dak!” ajak Eja.
        “Hish kamu.., kalau pasal makan, tak reti nak menyempat. Ingat kamu sorang aje lapar,” ejek Sonia sambil ketawa. Dia pun geram juga sangat, asyik kena kutuk dari tadi. Pantas saja Eja mencucuk-cucuk pinggang Sonia, menggeletek sampai janda muda itu berlari laju kerana tidak tahan. Hairan orang menengok perangai budak perempuan dua ekor tu. Keduanya apah tak rasa. Selamba kodok aje…
       












CINTA KITA SEMPOI BAB 2


BAB 2

        JOHARI memandu laju Merc putihnya dengan cermat dan penuh hati-hati menyusuri jalan ke Ulu Kelang yang kurang sibuknya kerana ketika ini masih waktu pejabat. Gadis yang tak lekang dengan mask itu duduk tenang dan sopan di sebelahnya sambil melayan pandangan keluar jendela.
        “Awak masih demam lagi?” Johari memulakan bicara.
        “Dah kurang sikit, sebab sebelum keluar pejabat tadi saya dah ambil ubat,” jawab Sonia.
        “Lain kali kalau sakit tak payah datang kerja. Duduk aje kat rumah. Makan ubat dan rehat secukupnya,” pesan bos yang tiba-tiba saja teringin menjadi ramah. Walhal sebelum ini bukan main liat dan susah betul nak berbual dengan orang.
        “Encik ni sama saja macam mak saya tau. Tak habis-habis suruh rehat dan duduk rumah, padahal sakit saya ni bukannya teruk mana pun,” petah saja mulut Sonia menjawab.
        “Betullah tu, kalau dah sakit buat apa nak datang kerja? Penyudahnya… tengoklah sekarang, kerja sekerat hari, kemudian terpaksa balik rumah. Apa ke hal! Bukankah itu menyusahkan badan namanya?” Hati Johari mula tersentuh dengan bual bicara pekerja bawahannya. Terasa gadis ini mempunyai aura yang kuat untuk mengheretnya berbual terus.
        “Itulah sikap orang kita, pantang sakit sikit, mengada aje yang lebih. Melayu yang cepat layu, kalau dalam perjuangan  belum apa-apa, cepat aje nak mengalah.” Lepas bebas saja Sonia bercakap. Tak macam orang demam.
        “Hai, dah lari dari tajuk nampaknya.” Johari menegur, hatinya makin tercuit.
        “Yalah! kat Malaysia ni ramai yang berfikiran seperti mak saya dan encik ni. Itulah hakikatnya. Jenis yang tak tahan diuji dan tak mampu menerima bala kesakitan sebagai rahmat,” selamba badak saja Sonia bercakap.
        “Habis kalau macam tu, kenapa awak balik kalau awak mampu bertahan dengan sakit yang dianggap ujian ni?” Kelancangan pendapat gadis ini membuatkan Johari tertarik untuk mencungkil apa yang ada dalam mindanya.
        “Sebab encik dah arahkan saya balik… jadi kenalah ikut perintah bos. Nanti kalau tak ikut dianggap melawan pulak. Tak naklah macam tu,” beradab Sonia menjawab.
        “Oh, macam tu ke?” Kedua-dua bibir Johari bergerak, tersenyum seketika. ‘Taat betul budak ni,’ kata hatinya.
        “Lagipun orang tua-tua cakap, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Orang memberi, kita menerima.” Sonia ketawa kecil dengan bidalan bahasa yang dimodifiednya.
        “Badan awak masih panas lagi ke?” tanya Johari.
        “Tak adalah panas sangat, rasanya demam saya dah kebah ni. Kenapa, encik nak arahkan saya pergi kerja balik ke?” laju saja Sonia bertanya. Cuak pula rasanya.
        “Kenapa, awak rasa nak pergi kerja semula ke?” Johari berpaling ke arah masked girl di sebelahnya. Gadis itu menggeleng-gelengkan kepala, tanda tidak mahu. Johari tersenyum sendiri. Tahu takut, cakap besar bukan main.
        “Kalau awak dah sihat, boleh temankan saya lunch?” Johari mempelawa sambil menguji.
        “Oh, tak boleh bos! Saya kena balik rumah, saya dah beritahu mak saya yang saya demam kuat. Karang kalau tak sampai dalam waktu yang dijanjikan, mak saya akan risau dan susah hati,” cerita Sonia dengan jujur.
        “Awak call lah balik mak awak tu. Beritahu dia yang awak dah sihat dan lambat balik. Apa susahnya.” Johari menguji lagi.
        “Handfon saya dah tak ada bateri. Lagipun bukan masa yang sesuai untuk saya berjalan sana-sini, sebab ghalibnya habis aje tempoh empat jam nanti, demam saya akan datang balik. Jadi minta maaf banyaklah, saya tak dapat temankan bos. Kalau bos rasa saya dah mengganggu masa makan bos, eloklah bos dropkan saya aje kat sini. Kat area sini dah banyak teksi, saya boleh balik sendiri,” pinta Sonia yang mula rasa bersalah.
        “Takpe takpe, no hal! Saya faham. Kalau macam tu, saya hantar aje ler awak balik. Awak beritahu alamatnya.” Johari bersuara perlahan setelah gagal dengan ujiannya nak ‘menekel’. Tak mengapa, mungkin lain kali, masa masih panjang. The game is just started. Permainan baru nak bermula. Johari masih tersenyum sendiri, terasa ada cahaya kecil yang sedang berkerlip dalam kamar hatinya yang sekian lama sejuk dan gelap.
        GPS canggih, namun Johari meneruskan pemanduannya mengikut arahan Sonia, gadis yang tak pernah menanggalkan penutup hidung dan mulutnya walau di mana dia berada. Hendak ditanya takut pula dicap sebagai penyibuk atau busy body. Hendak dibiarkan saja mask tu melekap kat muka gadis ni rasa tak adillah pula, sebab dia tidak dapat mengenali wajah sebenar masked girl ni. Dengar suaranya dah terasa-rasa sangat nak jatuh hati. Ikutkan hati yang tak sabar ni, hendak aje merentap penutup mukanya laa ni jugak.
        “Stop stop stop…” Suara Sonia yang mengarahkan supaya berhenti telah mengejutkan lamunan Johari. Keretanya dibrek dengan mengejut. Tersengguk keduanya ke hadapan.
        “Awak ni… Lain kali jangan buat macam ni boleh tak. Dah nak nak sampai sangat baru nak beritahu. Nasib baik tak ada kenderaan lain di belakang. Kalau tak habis kereta saya ni kena sondol,” tegur Johari.
        “Sorry bos! Tapi, saya dah cakap tadi… takkan bos tak dengar?”
        “Ya ke? Tak perasan pun,” jawab Johari.
        “Dah sah, ‘kompom’ bos tengah berkhayal,” usik Sonia. Johari senyum kecil, kemudian dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Macam tak percaya pun ada, betul ke alamat rumah budak ni? hatinya tertanya sendiri.
        “Awak tinggal kat sini?” tanya Johari.
        “Ya, kenapa?” angguk Sonia.
        “Dengan siapa?”Johari masih tak percaya.
        “Dengan mak sayalah, kenapa?” pelik pula melihat bos handsome itu berkerut wajahnya.
        “Rumah besar ni?” Johari masih bertanya, memang tak percaya. Cleanernya tinggal di rumah sebesar ini.
        “Yalah, saya tinggal dengan mak saya yang bekerja sebagai orang gaji di rumah ini. Kami tinggal di bilik kecil di belakang rumah tu,” terang Sonia setelah dapat membaca riak kerut di dahi bos yang memang tidak akan percaya dia tinggal di rumah mewah itu. Biasalah… siapa pun susah nak percaya. Cleaner… faham-faham ajelah! Johari kemudiannya mengangguk kecil tanda faham.
        “Terima kasih bos kerana hantar saya,” ucap Sonia.
        “Sama-sama. Awak berehatlah! Nanti pergi klinik, jangan lupa ambil MC ya. Berehat sampai baik,” pesan Johari sambil melihat mata redup Sonia yang cantik.
        “Baiklah bos, terima kasih,” ucap Sonia sekali lagi. Johari tersenyum kembali dan hatinya seakan ditumbuhi rerumput segar selepas hujan bila bersama cik cleaner@ SpongeBabenya. Entah mengapa ya…
       

        Bila kereta Johari sudah jauh bergerak meninggalkan kawasan rumah banglo mewah dua tingkat itu, barulah Sonia melangkah masuk ke dalam rumah.
        “Hai, awal balik?” tegur Zaida yang melenggang datang menyambut anaknya di muka pintu.
        “Demam kuat,” adu Sonia manja sambil membuka mask yang menutupi wajahnya.
        “Itulah degil sangat, kalau cakap mama ni sikit pun tak mahu dengar.” Zaida marah-marah sayang, lalu tangannya di letakkan ke atas dahi Sonia.
        “Eh, kuat demam ni! Dah pergi klinik ke belum?” cemas Zaida.
        “Belum, tapi dah dua kali telan Paracetamol. Kebahnya sekejap aje.” Sonia bercerita menagih simpati.
        “Biasalah orang degil, terima ajelah kifarah ALLAH,” sahut Zaida dengan senyuman mengejek.
        “Ma… Nia ni sakit tau, mama nak kutuk-kutuk pulak.” Sonia merenget manja.
        “Huhu… anak manja yang degil.” Zaida memicit hidung Sonia yang mancung.
        “Mama… sakit tau!” Sonia menjerit lembut.
        “Tadi, pakwe mana yang hantar?” saja Zaida nak tahu cerita, sebaik saja dia terlihat Mercedes putih yang singgah di bahu jalan di hadapan rumahnya, dan Sonia pula bagus punya duduk di seat hadapan.
        “Bukan pakwe lah! Itu bos tempat Nia kerja,” jawab Nia malas. Dah tahu sangat dengan perangai mamanya yang suka mengorek rahsia dan berserkap jarang.
        “Wow berita baik tu! Sesuatu yang menarik untuk didengar dan dibualkan. Cerita bos dengan Miss Cleaner. Handsome betul bos Nia ya? Padan dengan anak mama yang cantik jelita ni.” Zaida meneka sambil menyapu dagu Sonia yang lekuk cantik terbentuk.
        “Hish mama ni! Mulalah nak menyakat dan bergosip tak tentu kira tu. Orang demam ni! Jangan nak mereka-reka. Buat pengetahuan mama, Nia tak ada apa-apa dengan bos Nia tu. Kebetulan saja Nia menumpangnya, sebab terjumpa kat tepi jalan masa menunggu teksi tadi,” cerita Sonia akan hal yang sebenar.
        “Tak apalah… perlahan-lahanlah berkenalan. Take your time. Lama-lama sukalah. Mama berkenan tengok wajahnya yang tenang dan matang tu.”
        “Mama tak payah nak berangan-angan bagai. Encik Johari tu tak kenal pun Nia, dan dia pun tak pernah tengok wajah Nia yang sebenar. Lagipun Nia ni hanya seorang cleaner. Siapa nak tengok, siapa nak pandang?” Sonia mula ketawa melihat mamanya yang mudah sangat mengharap sesuatu yang tidak tahu hujung pangkalnya.
        “Itulah sebabnya mama tak suka sangat Nia berkerja sebagai cleaner tu, kan dah tak pasal-pasal saham anak mama jatuh merudum. Tak payah lagilah Nia buat kerja tu, tak sesuai dengan Nia,” suara Zaida tak pernah setuju kalau jenama kerjaya anaknya itu menyelusup ke telinganya.
            “Alah mama, bukannya Nia nak kerja kat situ sampai ke tua, tiba masanya nanti Nia berhentilah. Banyak kali Nia dah cakap, kan! Janganlah mama fobia dan stres sangat dengan kalimah ‘cleaner’ tu,” pujuk Sonia sambil melentuk manja pada badan mamanya yang masih tegap dan sihat.
        “Mama ni bukannya apa, mama risaukan hidup Nia yang dah tak tentu arah sejak akhir-akhir ni. Dah tak serupa anak mama Nia yang dulu,” rungut Zaida.
        “Biasalah mama, bila masa berubah, mood dan kecenderungan juga turut berubah,” perlahan saja Sonia melafazkan ungkapan itu. Wajah yang cerah tadi teduh semula, dan ingatan mula berlari pada seraut wajah comel milik Ain Kaisara. Hati Sonia merintih dan jiwanya menangis tiba-tiba.
        “Oh maafkan mama, sebenarnya mama tak bermaksud pun untuk mengusik perasaan Nia,” pohon Zaida bersungguh sebaik saja menyedari ada perubahan pada wajah dan suara anak kesayangannya.

        “It’s okay… Nia yang terbawa-bawa dan terkenang-kenang. Mama tak salah apa pun. Nia tahu yang Nia selalu menyusahkan mama.” Sonia memeluk mamanya erat. Membenamkan segala rasa yang dia ada pada bahu ibu tercinta. Untungnya memiliki seorang ibu yang terlalu baik dan penyayang, yang selalu mengambil berat di saat dia di dalam kesusahan dan keperitan.
        “Nia… sama-samalah kita doakan keselamatan dan kebahagiaan Ain. Jangan bersedih lagi ya! Doa seorang ibu tiada hijabnya Nia. Mama yakin bila Ain sudah besar dan dewasa nanti, dia sendiri yang akan datang mencari Nia. Jangan risau, ALLAH itu Maha Adil. So, Nia kena kuatkan semangat. Teruskan hidup seperti biasa,” pujuk Zaida seperti selalu. Lalu dia mencium dahi anaknya dengan penuh kasih sayang. Timbul rasa menyesal dalam hatinya kerana selalu berkata yang bukan-bukan, padahal bukan dia tidak tahu keadaan emosi anaknya sekarang. Sepatutnya dia biarkan saja apa yang Sonia mahu buat, asalkan segala tindakannya tidak menyalahi syariat dan undang-undang.
        Cukuplah pengalaman dua tahun lepas itu menjadi sejarah hitam dalam hidup Sonia dan seluruh ahli keluarganya. Saat bekas menantunya melarikan cucu kesayangannya entah ke mana menjadikan Sonia menjadi sasau dan hampir gila. Menghadapi kemelut perceraian yang tidak diingini dan kehilangan permata hati yang amat berharga dalam hidupnya itu menyambungkan sengsara.
        Seluruh keluarga bersedih dengan peristiwa tersebut, manakala Sonia di peringkat awalnya bagaikan mayat yang  bernyawa. Merintih dan terus merintih.
        ‘Oh TUHAN, angkatlah penderitaan ini dari anakku, dan berikanlah dia kebahagiaan,’ dalam diam Zaida berdoa ke hadrat yang ESA.

















CINTA KITA SEMPOI BAB 1

                                             BAB 1

        SONIA menutup kembali album foto yang sering dibuka dan ditatap. Dalam sehari entah berapa kali dia membuka dan membelek-belek halaman album yang berwarna merah jambu itu. Di situlah segala kenangan dan kerinduannya kemas tersimpan. Bila dia terlalu rindu, dia akan memeluk album gambar itu sambil menciumnya sebagai pengubat rindu. Saat itu dirasakannya seperti sedang memeluk Ain Kaisara, satu-satunya buah hati dan pengarang jantungnya.
        Air mata rindunya meleleh tanpa dipinta. Begitulah lazimnya setiap kali selesai menatap gambar Ain Kaisara yang baru berusia setahun delapan bulan itu. Ke pelusuk mana anak kecil itu dilarikan, dia tidak tahu. Habis sudah segala daya usaha dan ikhtiar dalam mencari anak kesayangannya itu, namun semuanya tidak berhasil.
     “Kaisara sayang, mama selalu berdoa semoga Kaisara bahagia dan selamat walau di mana Kaisara berada,” doa Sonia sambil meletakkan album itu baik-baik di atas meja. Air matanya gugur lagi.
        Pintu bilik Sonia yang renggang ditolak perlahan.
        “Hai, tak pergi kerja lagi. Cuti ke?” tanya Zaida kepada anak perempuannya.
        “Belum mama. Nia cadang nak singgah klinik dulu sebelum ke tempat kerja,” terang Sonia perlahan.
        “Kenapa, demam ke?” Susah hati Zaida mendengarnya.
        “Entah, lain macam aje rasa badan ni,” jawab Nia.
        “Kalau macam tu tak payahlah pergi kerja. Duduk aje kat rumah, rehatkan diri,” tegah Zaida.
        “Tak apalah mama. Insya-ALLAH lepas makan ubat nanti baiklah. Sebenarnya badan Nia ni taklah berapa sangat sakitnya, yang sakit betulnya hati dan jiwa ini,” keluh Sonia sambil menepuk-nepuk dadanya perlahan.
        “Sabarlah Nia! Ini semuanya dugaan ALLAH. Erm… apa pun Nia, serius mama cakap ni, kalau Nia betul tak sihat, tak usahlah pergi kerja hari ini. Kerja Nia tu bukannya hebat mana pun. Kata orang, ibarat melukut di tepi gantang aje. Kalau Nia tak datang, tak ada orang kisahnya.” Zaida memang selalu tak puas hati dengan anaknya yang seorang ni, degilnya mengalahkan apa. Payah betul nak dibawa berunding.
        “Memanglah kerja Nia tak hebat seperti orang lain, tapi kalau Nia tak datang pasti semua orang tak selesa. Pasti ada yang tertanya-tanya. Mereka semua tu memang memerlukan khidmat Nia.” Sonia berkeras dengan alasannya.
        “Suka hati Nialah! Kalau mama cakap ada jer jawabnya. Macamlah dia tu orang penting sangat. Padahal sebelah mata pun orang tak pandang,” cemuh Zaida, geram dengan sikap anaknya.
        “Tak apalah kalau orang tak pandang, yang pentingnya ALLAH sentiasa pandang,” jawab Sonia sambil senyum.
        “Yalah… mama ni kalau bercakap dengan Nia selalu aje kalah, tak pernahnya menang. Maklumlah bercakap dengan orang bijak pandai. Tapi, tindakan tak pula pandai. Cakap aje lebih. Ada kerja yang jauh lebih elok tak nak, kerja cabuk tu juga yang ditaatnya,” belasah Zaida geram.
         Sonia ketawa melihat mamanya yang mula berangin.
“Hai mama, pagi-pagi lagi dah kena angin kus-kus, kenapa?”
“Tak ada kus-kusnya. Kamu tu yang kus-kus. Mama betul-betul peliklah dengan kamu ni. Apa yang kamu nak, apa yang kamu kejar. Apa yang membuatkan kamu taat sangat dengan kerja kamu tu. Banyak sangat ke kamu dapat? Sampai cakap orang sekupang pun kamu tak nak dengar.” Zaida masih belum puas memuntahkan rasa tak puas hatinya. Biasanya beginilah keadaannya kalau bercerita atau bertanyakan sesuatu yang melibatkan kerja atau kerjaya anaknya itu.
        “Please mama, kitakan dah bincang dulu… dan Nia pun dah janji. Takkan tak ingat! Janganlah beria sangat nak kecohnya. Nia cadang kerja kat situ bukannya nak lama. Saja jer nak cari pengalaman. Sekarang ternyata Nia suka dengan kerja Nia tu. Ada apa hal. Apa yang mama susah hati sangat, relaks ler!” Sonia ketawa kecil dalam beralasan, buat menyakinkan mamanya.
        “Yalah, kalau nak cari pengalaman sekali pun, carilah kerja yang selayaknya dengan sijil-sijil yang Nia ada. Bukannya jadi tukang cuci bilik pejabat dan tandas orang, hina tau tak?” makin tinggi nada Zaida. Dadanya sentiasa ketat bila memikirkan perangai anak perempuannya yang lain daripada orang ini. Entahlah… anak ini selalu saja buat dia susah hati. ‘Barangkali ada kemungkinan fikirannya terganggu akibat penderitaan emosi yang dialaminya selama ini,’ kata hati Zaida.
        “Mama tolong dengar please… sekarang ni Nia hanya nak cari kebahagiaan dan ketenangan buat mengubat hati Nia ini. Tak kisahlah cara apa pun, janji hati Nia okey. Mama tau Nia tak berapa okey selama ini, kan! So ma, please try to understand,” rayu Sonia agar mamanya mengerti.
        “Ermm… yalah yalah.., sorry! Mama faham.” Zaida memeluk Sonia kemas. Dia tahu dia dah tersilap dan terlalu terbawa-bawa dengan pandangannya yang sehala. Dia sepatutnya tidak boleh berkeras sangat dengan Nia yang baru saja bangkit dari gaung duka yang sangat dalam itu. Sonia yang baru menyusun semula jadual hidupnya setelah jiwanya hancur. Tapi yang pastinya, ibu mana yang sanggup melihat anak yang ada degree kelas pertama bekerja sebagai cleaner? Itu yang merunsingkannya.
       
        SONIA duduk tersandar di tepi dinding, matanya terpejam rapat. Badan terasa hangat pijar, kepala pula berdenyut tidak mahu berhenti. Paracetamol yang ditelan empat jam lalu sudah hilang powernya, rasa demam seram sejuk mula menyerang kembali. Waktu rehat dan makan tengahari nanti seboleh-bolehnya hendak digunakan untuk merehatkan badannya yang sudah pun terasa sengal-sengal.
        “Panasnya Nia, tak makan ubat ke?” tanya Mak Cik Hana sewaktu meletakkan telapak tangannya ke dahi Sonia.
        “Pagi tadi dah makan mak cik, tapi sekarang demam datang balik,” adu Sonia.
        “Oh, demam tengah nak naiklah ni. Kenalah ambil empat jam sekali,” cadang Mak Cik Hana. Sonia membuka kelopak matanya yang pedih dengan dahi yang berkerut. Betul-betul dia rasa tak sihat ketika ini.
        “Insya-ALLAH mak cik, sekejap lagi Nia makan.”
        “Kenapa tak telan aje sekarang. Nia nak air? Boleh mak cik ambilkan,” tawar Mak Cik Hana ingin membantu.
        “Belum cukup empat jam lagi. Nantilah kalau dah cukup, Nia minta air dari mak cik ya,”  jawab Sonia.
        “Yalah… Nia rehatlah dulu. Mari sini biar mak cik tolong picitkan kepala Nia yang sakit tu.” Mak Cik Hana menarik bahu Sonia, dan kepala Sonia dilentukkan ke atas bahunya. Tangan kasar Mak Cik Hana menari-nari di atas dahi Sonia yang licin.
        “Mak cik,boleh tak Nia baring sekejap? Dah tak tahan pulak rasanya,” pinta Sonia lemah.
        “Boleh! Jom kita pergi ke bilik kita,” jawab Mak Cik Hana yang bingkas bangun memapah Sonia untuk bergerak. Sonia bangun tanpa banyak soal, namun dalam kepalanya sudah terbayang akan bilik yang dimaksudkan oleh Mak Cik Hana. Sebuah bilik kecil seperti stor yang menjadi tempat mereka menyimpan barang-barang keperluan dan peralatan mencuci. Di situlah rutinnya mereka berdua akan melepaskan lelah, melepak atau bercerita itu dan ini setelah selesai dari tugasan harian mereka. Di kamar kecil itu juga, mereka membuka dan makan bekalan mereka bersama.
        Mak Cik Hana memapah Sonia dengan perlahan. Di perjalanan ke bilik utiliti itu, mereka bertembung dengan bos mereka Encik Johari.
        “Kenapa ni mak cik?”
         
                                                                                          
        “Oh, Encik Johari! Nia demam. Panas sangat badannya ni. Sekarang ni saya nak bawa dia berehat, lepas tu nak bagi dia makan ubat,” beritahu Mak Cik Hana.
        “Kenapa dia tak ambil MC?” tanya Johari sambil meneliti wajah budak perempuan yang sedang dipapah oleh Mak Cik Hana. Sebenarnya dia tak pernah nampak wajah sebenar pekerjanya itu, walaupun budak itu telah bekerja selama enam bulan di pejabatnya.
        “Kata dia, tadi demamnya tak adalah teruk sangat, sebab tulah dia datang kerja juga. Tapi, nampak gayanya sekarang ni kuat pulak panas badannya. Saya rasa, memang dia kena ambil cuti ni,” adu Mak Cik Hana.
        “Ya, lepas ini suruh dia isi borang kat HR, lepas tu balik dan jumpa doktor,” arah Johari.
        “Baik encik! Terima kasih encik.” Mak Cik Hana mengucapkan terima kasih sambil menundukkan kepalanya tanda hormat.
        “Ya, sama-sama,” jawab Johari yang kemudiannya beredar dari situ. Manakala kedua tukang cuci itu meneruskan langkah mereka.
       
LAMA Sonia berdiri di siring jalan, menunggu teksi yang tak kunjung jelma. Selalunya taklah sepayah ini untuk mendapatkan teksi di lokasi itu. Tapi hari ini, nampaknya macam sengaja aje para pemandu teksi berpakat hendak menderanya. Masa terdesak nilah sebijik pun tak ada. Kalau tak, berderet-deret, lepas satu satu. Orang berjalan pun dia hon. ‘Aku dah tak larat sangat nak berdiri ni,’ dalam diam Sonia merungut.
        Tiba-tiba sebuah Mercedes-Benz CLA 45 left-hand drive berhenti betul-betul di hadapannya. Terkejut bercampur takut Sonia dibuatnya. Bila cermin kereta diturunkan. Lega pula rasanya, al-maklumlah bos kacak yang datang menyapa.
        “Awak belum balik lagi?” tanya Johari ingin kepastian.
        “Belum, susah sangat nak dapat teksi,” jawab Sonia lemah. Rasa segan dan tak mampu dia nak beramah-tamah dengan bos yang cukup dihormatinya itu.
        “Kalau macam tu, biar saya saja hantar awak balik.” Johari menawarkan diri.
        “Eh, tak apalah bos! Sekejap lagi adalah teksi tu.” Sonia menolak.
        “Jomlah saya hantar. Kasihan tengok awak demam dari tadi. Dah tu berjemur pula tengah panas macam ni. Nanti lagi teruk demam awak tu.” Johari bersimpati.
        “Tak payahlah bos, saya boleh balik sendiri. Insya-ALLAH tak lama lagi adalah teksi tu. Demam saya pun sikit jer.” Sonia menolak dengan sopan. Tak pernah terlintas di hati kecilnya untuk menumpang kereta bos yang mahal dan mewah ini. Itu yang membuatkan dia tak berapa bersedia tu!
        “Cik Sonia… awak tak payah banyak cakap, sekarang lebih baik awak masuk, kawasan ini kereta tak boleh berhenti lama-lama, karang tak pasal-pasal saya kena saman,” ucap Johari yang berbaur arahan dengan muka sejuk yang tak pernah senyum. Serba salah sungguh Sonia dibuatnya. Teragak-agak dia untuk melangkah masuk.
        “Tak ke menyusahkan bos? Rumah saya jauh.” Sonia rasa bersalah seandainya dia betul-betul menjadi penumpang bos itu nanti.
        “Kat mana rumah awak?” serius saja muka Johari.
        “Kat Ulu Kelang,” jawab Sonia lemah. Selemah badannya yang kian dikunyah oleh bisa-bisa demam.
        “Oh, ingatkan kat United Kingdom! Tak adalah jauh mana. Masuklah saya hantar awak.” Johari ingin buat lawak, tapi tak menjadi. Sonia tak ketawa, dia sendiri pun tidak. Bila melihat Sonia yang masih teragak-agak, sekejap tergaru sekejap terundur, Johari dengan rendah dirinya keluar dari keretanya dan terus membuka pintu hadapan sambil mempelawa Sonia masuk. Cukup serba salah Sonia rasakan, ditempek pula dengan rasa malu bercampur segan yang menebal.
        “Bos, biarlah saya duduk kat belakang saja,” perlahan suara Sonia setelah tiada pilihan untuk menolak.
        “Oh, maaf ya! saya bukannya pemandu peribadi awak,” pantas Johari menjawab dengan muka selamba sejuknya. Hatinya terus berkata-kata, ‘banyaak chantek!’ Sonia tersentak dan termalu sendiri.
        “Baiklah,” akhirnya Sonia akur dan mula mengangkat kaki kirinya untuk melangkah masuk ke dalam kereta mewah milik bosnya bersama kepala lutut yang mula menggeletar. Fuhh… sungguh tak tercapai dek akalnya selama ini, naik kereta bersama bos, dan bos pula beria-ia dengan rela hati hendak menghantarnya pulang. Badan yang seram sejuk macam demam kura-kura tadi dah hilang dengan sendirinya. Tiba-tiba saja Sonia rasa sihat dan badannya berpeluh, dah dedor, tanda demamnya sudah kebah. Hai, ajaib juga ya? Sonia tersenyum lebar dan terus lebar. Kenapa demam dah kebah, sebab malu ke, atau sebab teruja dapat naik kereta dengan bos yang ‘encem’? Maklumlah selama ini dia hanya berani intai-intai balik pintu saja bos yang sempoi giler ni. Siapalah dia sis Sonia Abdul Halim untuk menegur sapa atau bertanya khabar dengan ketua syarikat yang penuh dedikasi ini. Tak berani weh!
        Di sepanjang perjalanan Sonia masih tersenyum lebar dan melerek, kemudian menguntum berbunga-bunga. Namun demikian bos tetap tidak tahu dan tidak nampak apa yang berlaku.