Tolong like Fanspage Karya Ummu Wafa. Sajalah jadikan Ummu Wafa lebih glamor
SAKIT Tok Wan Limah makin
menjadi-jadi sejak balik dari klinik tempoh hari. Ubat yng diberi oleh doktor
mungkin tak serasi dengan tok wan. Demam dan batuk selsemanya bertambah kuat.
Kadangkala tok wan kelihatan sukar bernafas. Bila dipujuk untuk dibawa ke
hospital, dia bermati-matian tidak mahu pergi. Katanya, apa-apa pun berlaku,
biarlah dia mati di atas rumah pusaka ini. Ah… susah betul untuk mendepani
krisis penolakan tok wan.
Susah hati Siti Ajira memikirkan
keadaan tok wan. Karang, kalau apa-apa terjadi pada tok wan, dia juga yang
susah, dia juga yang akan
dipertanggungjawabkan. Dia juga yang akan dikutuk dan dimaki hamun oleh
anak-anak tok wan. Ya ALLAH, bantulah aku! Siti Ajira menadah tangan ke langit
dan kemudiannya dia meraup ke muka. Mudah-mudahan ALLAH mendengar doanya.
“Siti, kenapa termenung ni?” Terkejut
Siti Ajira bila mendengar ada orang menyapanya dari belakang. Dia menoleh.
“Oh mak. Bila mak sampai? Tak dengar pun
bunyi motor mak.” Siti Ajira mengangkat muka redupnya. Penyapu lidi yang berada
di tangan diletak di sebelahnya.
“Baru aje, memanglah Siti tak dengar,
kalau fikiran tu melayang jauh,” jawab Salmiah lembut. Dia duduk berhampiran
dengan Siti Ajira. Di atas pangkin di bawah pokok manggis. Perlahan-lahan
Salmiah mengusap wajah anak sulungnya yang kelihatan tidak ceria dan susah
hati. Siti Ajira membiarkan saja, dan dia rasa bahagia bila sekali-sekala dapat
sentuhan dari mak.
“Tok wan macam mana hari ini?” Salmiah
bertanya.
“Macam tulah mak. Masih tetap tak mahu
dibawa ke hospital. Susah betullah tok wan ni,” rungut Siti Ajira.
“Tak apalah, kita pujuk lagi.
Mudah-mudahan kali ini dia mahu,” pujuk Salmiah sambil menepuk-nepuk bahu
anaknya.
“Ni, mak datang sini Pak Sahak tahu ke?”
“Tak, dia tak ada kat rumah. Mak
curi-curilah keluar,” jawab Salmiah tenang. Siti Ajira memandang muka Salmiah
dengan padangan cuak bercampur simpati.
“Karang dia balik tengok mak tak ada.
Jenuhlah mak kena balun nanti.”
“Tak mengapalah Siti, mak dah biasa macam
tu. Dahlah, jom kita naik atas tengok tok wan,” ajak Salmiah untuk mengalih
topik perbincangan.
“Yalah. Tadi tok wan tidur, sebab tu Siti
turun bawah sapu sampah yang dah menimbun,” terang Siti tanpa diminta.
“Kasihan anak mak, mesti Siti penat kan,
jaga tok wan sendirian.”
“Tak mengapa, Siti dah biasa. Cuma Siti
terkilan sangat. Kenapa pak ngah langsung tak nak balik jenguk tengok tok wan.
Siti dah berkali-kali telefon dia, cakap tok wan tak sihat. Tapi sampai
sekarang bayang pun tak nampak,” rungut
Siti Ajira yang berbaur kesal.
“Nak buat macam mana. Orang dah
kaya-raya, mana nak ingat kat emak dia yang dah tua ni. Biarkanlah dia Siti,
mudah-mudahan dia sedar suatu hari nanti.” Salmiah memujuk Siti Ajira dan juga
memujuk hatinya yang turut sama terkilan dengan tindakan adiknya. Sampai hati
Kairol buat emak macam ni.
“Mak, sebenarnya tok wan tu rindu sangat
dengan pak ngah. Kalau tidur asyik sebut nama pak ngah aje. Kasihan Siti tengok
tok wan tu. Siti rasa nak saja pergi Kuala Lumpur tu, dan seret pak ngah balik
dan sujud bawah kaki tok wan.” Marah sekali Siti Ajira bila mengenangkan sikap
tidak bertanggungjawab bapa saudaranya.
“Sabarlah Siti. ALLAH bukan saja menguji
tok wan, tapi ALLAH uji kita sekali.”
“Betul cakap mak tu. Kadangkala Siti
tertanya sendiri. Kenapalah kehidupan Siti tak sama dengan remaja lain. Dari
kecil sampailah ke besar,” luah Siti Ajira.
“Maafkan mak. Ini semua salah mak. Mak
yang tak mampu beri kebahagiaan untuk anak-anak mak. Mak yang lemah
sebenarnya.” Kata-kata Salmiah yang mengandungi rasa bersalah dan kesal yang
teramat sangat.
“Mak, bukan salah mak. Sebenarnya inilah
takdir hidup Siti. Ada ayah, tapi tak bertanggungjawab dan hilang entah ke
mana. Tak apa, Siti redha semua tu.”
“Miah, bila kau sampai?” tegur tok wan
sebaik saja dia membuka mata.
“Baru aje mak. Macam mana mak hari ini?”
“Macam nilah, agaknya aku ni dah nak
mati. Hidup pun dah menyusahkan anak cucu.”
“Hisy tok wan, jangan cakap macam tu.
Siti tak pernah rasa susah pun menjaga tok wan. Siti suka, malah Siti sayang
sangat dengan tok wan.” Siti Ajira mula sedih.
“Apa yang mak merepek ni. Bila masa pula
mak telah menyusahkan Miah?” Salmiah mengusap kepala emaknya yang masih
terbaring.
“Mak minta maaf pada kau Miah.”
“Kenapa pula?” Kerut di dahi Salmiah
berlapis-lapis.
“Sebab mak banyak menyusahkan kau.
Kasihan kau Miah.” Suara tok wan bergetar dan mata tuanya basah.
“Mak, dahlah tu. Ni, mak dah mandi ke
belum?” tanya Salmiah. Tak nak melayan bual emak yang mula merepek-repek.
“Belum. Mak tak nak mandi, mak sejuk,”
adu tok wan.
“Kalau mak sejuk, biar Miah lapkan badan
mak dengan air suam. Lepas tu Miah akan suapkan bubur untuk mak, mak tentu
lapar, kan?”
“Tak apalah biar Siti yang lapkan badan
mak,” bantah tok wan.
“Mak, sementara Miah ada ni, biarlah Miah
yang buat. Kasihan Siti. Biarlah dia berehat,” pujuk Miah. Akhirnya tok wan
termakan juga pujukan Miah dan setuju untuk dilap badannya. Miah melakukan
dengan rasa bahagia dan tanggungjawab. Miah dandan rambut tok wan dan
dipakaikan bedak sehingga wangi seluruh tubuh tok wan.
“Miah maafkan mak,” pinta tok wan
tiba-tiba.
“Dah, kenapa lagi mak ni?”
“Betul, mak minta maaf pada kau.” Mata
tua tok wan bergenang.
“Apa yang buat mak sedih ni.”
“Mak sedih, sebab mak, hidup kau
menderita dan tak pernah bahagia.” Suara tok wan tersekat-sekat, sambil air
mata jernih laju menuruni lurah pipi tuanya.
“Apa yang mak merepek lagu ni?” Susah
hati Miah dengan maknya. Sensitif sangat dia akhir-akhir ni.
“Betul
Miah. Dulu, mak yang paksa kau berkahwin dengan Sahak selepas kau diceraikan
oleh bapa Siti. Mak ingat Sahak boleh bahagiakan kau, rupa-rupanya Sahak
seorang lelaki yang jahat dan tak bertanggungjawab. Mak menyesal sangat Miah.”
“Ya
ALLAH mak, benda tu pun dah lepas, dan berlalu. Lagipun dah nasib dan takdir
saya hidup begini. Bukan salah mak pun. Dahlah tu mak, jangan dikenang lagi.
Mak berehat ya.” Salmiah cuba meredakan emosi sedih tok wan.
“Macam
mana mak tak sedih dan susah hati, si Sahak tak guna tu sesuka hati membantai
kau aje. Sakit hati mak bila dengar kau memanjang kena pukul. Senang cerita kau
minta cerai ajelah dari Sahak tu.” Tok wan mengumpul kekuatannya bercakap dari
hati ke hati dengan Salmiah walaupun tutur katanya tersekat-sekat dan tidak
lancar.
“Mak
dahlah tu, tak payah fikir pasal Miah lagi. Tengok tu, mak tercungap-cungap
bila bercakap. Dah rehat ya. Miah tunggu mak kat sini.” Salmiah menggosok-gosok
badan kurus emaknya.
“Tapi
Miah janji dengan mak, Miah minta cerai ya dari Sahak, sebab mak takut Mia mati
di tangan dia.” Mata tua tok wan menatap wajah Miah yang tak pernah cerah dan
ceria.
“Mak,
janganlah risau. Miah tahulah nanti,” pujuk Miah lagi.
“Miah!!!
Miah!!! Miah!!!” Jeritan di luar rumah mengejutkan mereka tiga beranak. Siti
Ajira yang terlelap di sebelah tilam tok wan tadi terus bingkas bangun akibat
terkejut.
“Mak,
pak Sahak datang,” beritahu Siti Ajira dalam debar.
“Panjang
umur Sahak, baru saja kita berbual pasal dia, dah dia muncul,” sahut tok wan
bersahaja, tapi hatinya tetap risau dan cemas. Apalah yang akan dibuat oleh
Sahak tu pada anaknya.
“Miah,
balik!!!” Sahak menjerit lagi. Dia tahu sangat, isterinya memang ada di sini
walaupun dia masih belum melihat muka Salmiah. Kalau tak, macam mana motosikal
Miah tu boleh ada di sini. Salmiah menjenguk di muka jendela.
“Abang,
mak sakit marilah naik, jenguk mak!” cakap Salmiah lembut seperti biasa.
“Kau
pekak ke? Aku kata balik, baliklah!!!” Sahak menjerit bagaikan orang kerasukan.
Memang kerasukan pun. Salmiah menjeling benci. Macam nilah selalu bila dia
sudah kalah judi. Syaitan judi dalam badannya akan merasuk dan mengamuk.
“Alang-alang
abang dah datang, naiklah sekejap tengok mak.” Salmiah tetap memujuk.
“Eh,
kau ni bangang ke apa? Aku datang sini nak suruh kau balik rumah, bukannya nak
tengok si tua tu,” tengking Sahak. Melengking suaranya memenuhi ruang dan
menyinggah di gegendang telinga tok wan.
“Baliklah
Miah, kalau tak lagi teruk Sahak tu mengamuk,” kata Tok Wan Limah pada Salmiah
yang kelihatan serba salah.
“Tapi
mak.”
“Miah!
Balik sekarang. Kalau tak nahas aku kerjakan kau,” laung Sahak lagi.
“Pergilah
balik, mak tak apa-apa,” suruh tok wan. Salmiah sedih macam nak menangis.
“Mak,
Miah balik dulu. Ada masa nanti, Miah datang lagi. Salmiah benar-benar sedih.
Air mata yang bergenang dari tadi menitik jatuh ke pipi Tok Wan Limah saat dia
mencium wajah tua emaknya.
Salmiah
melangkah dengan hati yang berat. Bila sampai di halaman rumah, Sahak yang
menunggu dengan perasaan bengang itu terus menunjal-nunjal kepala Salmiah
sampai Salmiah tersadung ke hadapan.
“Pak
Sahak, jangan pukul mak!!!” laung Siti Ajira dari muka jendela. Tak tahan hati
dia melihat bapa tirinya memperlakukan emak seperti itu.
“Suka
hati akulah, bini aku.” Sengaja Sahak membakar naluri Siti Ajira yang kian
mendidih. Kalau imannya tak kuat, nak saja rasanya dia terjun dari jendela dan
berlari untuk membelasah bapa tirinya yang kurang ajar dan jahat itu.
“Kalau
jadi apa-apa pada mak aku, kau tahulah nanti.” Amarah Siti Ajira tak mampu dikawal
lagi.
“Kau
nak buat apa?” Sahak ketawa mengejek.
“Aku
report polis, biar kau meringkuk dalam penjara,” jawab Siti Ajira tegas.
“Hahaha…
ada aku kisah. $i@! Pergi mampuslah dengan polis kau tu.” Kuat ketawa Sahak
sambil menghidupkan enjin motosikal buruknya dan kemudiannya berlalu pergi.
Siti Ajira yang masih berdiri di jendela seakan terbakar seluruh badan.
Sakitnya hati pada Sahak hanya ALLAH saja yang tahu. Kau tunggulah suatu hari
nanti Sahak, masanya akan tiba juga. Siti Ajira mengepal-ngepalkan tangannya.
BAB 7
SITI AJIRA
terbongkok-bongkok di halaman rumah dengan seberkas penyapu lidinya. Sudah
banyak daun-daun kering dari pokok manggis dan rambutan jatuh berguguran
memenuhi laman. Rasanya hampir tiga empat hari Siti Ajira tidak turun ke laman
rumah akibat dari kekangan masa. Semuanya adalah gara-gara sakit tok wan yang
makin menjadi sejak akhir-akhir ini. Kusut kepala Siti Ajira bila memikirkan
banyak perkara yang masih perlu dibereskan.
Sebuah motosikal
datang memasuki laman rumah. Berhenti betul-betul di hadapan Siti Ajira. Siti
Ajira mengangkat muka.
“Hisy, kau ni! Kalau
tak buat aku terkejut tak sah, kan?” Marah Siti Ajira pada Gee yang sudah pun
tersengih.
“Assalamualaikum!”
Gee memberi salam penuh santun.
“Waalaikumussalam… Mak cik pun ada sekali?”
“Yalah
Siti. Mak cik mintak Pozie tolong hantarkan mak cik ke sini. Saja nak dengar
khabar tok wan kamu. Apa ceritanya?” tanya Mak Cik Kamilah, emak kepada Gee.
“Eerm…
Macam tulah mak cik. Tak ada perubahan pun.”
“Lagi
teruk dari hari tu ke?”
“Nampaknya
macam tulah,” jawab Siti Ajira sambil meluah beban.
“Habis,
tak bawak hospital?” tanya Mak Cik Kamilah.
“Tok
wan tak hendak, jenuh dah kami pujuk,” adu Siti Ajira.
“Sekarang
dia tengah buat apa?” tanya Mak Cik Kamilah lagi.
“Tadi
lepas Siti suapkan makan, tok wan kata dia nak rehat. Dia rasa penat agaknya,”
cerita Siti Ajira.
“Ya
ke. Mak cik datang ni tak mengganggu dia ke?”
“Taklah…
tok wan suka kalau ada kenalan dia yang datang melawat. Jomlah kita naik,”
pelawa Siti Ajira. Mereka bertiga beriringan naik ke atas rumah dan duduk
berhadapan dengan tok wan yang sedang lena tidur.
“Tok
wan, tok wan, Mak Cik Kamilah datang ni, nak ziarah tok wan,” kejut Siti Ajira
sambil mengusap-ngusap lengan tok wan yang semakin kecut. Tok wan diam, tidak
menyahut.
“Tok
wan, bangunlah! Tengok siapa datang ni.” Siti Ajira mula menggoncang lembut
badan tok wannya. Diam juga. Tidak bergerak dan menguit walau sedikit.
“Tok
wan,” panggil Siti Ajira lagi, tapi kali ini hatinya diserbu rasa gundah. Tok
wan tidak juga bergerak.
“Gee
kenapa dengan tok wan aku ni? Tak nak dia bangun, selalunya tak macam ni.”
Suara Siti Ajira mula menggeletar.
“Cuba
kau pegang pergelangan tangan dan rasa nadinya,” suruh Gee. Siti Ajira mengikut
suruhan kawannya. Manakala Mak Cik Kamilah tak henti-henti memanggil nama tok
wan. Tapi tok wan tetap juga tidur.
“Nadi
ada, macam mana ni?” Siti Ajira mula menggelabah dan menangis.
“Siti
sabar ya, bertenang dulu. Ingat semua ni ujian ALLAH. Okey Pozie, telefon
ambulans sekarang. Kita bawa tok wan ke hospital,” arah Mak Cik Kamilah.
Manakala Siti Ajira sudah mula panik, tapi masih lagi cuba mengejutkan tok wan
yang memangnya sudah tidak sedar. Air mata Siti Ajira laju menuruni pipi.
Hatinya semakin cemas dan takut bila tok wan tidak juga mahu bangun walaupun
terus dikejutkannya beberapa kali.
“Jira,
sabarlah ya. Tok wan pengsan aje tu. Insya-ALLAH sekejap lagi ambulans sampai,”
pujuk Gee. Susah hatinya melihat Ajira yang dilihatnya begitu sedih.
“Gee,
tok wan aku!” adu Siti Ajira bersama air mata yang kian lebat mengalir.
“Ya,
aku tahu. Sabarlah! Semua ni ujian ALLAH. Dah, cepat call emak kau,” arah Gee.
“Ya,
baiklah,” jawab Siti Ajira. Kemudiannya dia berjalan ke hulu ke hilir, persis orang yang kehilangan punca.
“Kau
cari apa Jira?” tanya Gee, pelik melihat tingkah laku sahabatnya yang dah tak
keruan.
“Handfon
aku,” jawab Siti Ajira resah.
“Itu,
yang kat tangan kau tu apa?” beritahu Gee. Siti Ajira melihat handfon di
tangannya dengan pandangan yang berbalam-balam. Air matanya kian laju. Hatinya
makin dicengkam risau dan resah.
“Meh
sini, aku call mak kau,” pinta Gee.
Tak tahan hatinya melihat Ajira yang tengah panik.
“Siti,
sabar nak ya? Mengucap banyak-banyak. Ingat ALLAH,” pujuk Mak Cik Kamilah
sambil menggosok-gosok belakang Siti Ajira.
“Mak
cik, kenapa tok wan saya pengsan ya?” tanya Siti Ajira dalam nada sedih, sambil
air matanya terus mengalir lagi.
“Adalah
sebabnya tu Siti. Nanti insya-ALLAH bila doktor dah periksa, barulah kita semua
tahu apa puncanya,” pujuk Mak Cik Kamilah.
“Erm..
lambatnya ambulans,” rungut Siti Ajira dalam tak sabar.
“Sekejap
lagi sampailah tu. Mak cik pun dah telefon ketua kampung tadi. Tak lama lagi
sampai jugalah dia orang tu kat sini. Siti siap-siaplah dulu apa-apa yang patut
untuk dibawa ke hospital,” suruh Mak Cik Kamilah.
“Baiklah mak cik. Siti pergi kemas barang-barang dulu.” Akur Siti
Ajira.
TIDAK
lama kemudian, kereta ambulans pun tiba di halaman. Jiran-jiran mula berkumpul,
berziarah dan melahirkan rasa simpati. Siti Ajira sudah berhenti menangis, tapi
mata tetap bengkak dan mukanya nampak sembab.
“Sabarlah
Siti ya, kita doa pada ALLAH semoga tok wan cepat sembuh.” Hanya itulah saja
kata-kata pemujuk yang mampu diucapkan oleh Salmiah dalam keadaan sekarang. Dia
sendiri terkejut, terkedu dan cukup tidak sangka dengan berita yang dia dapat.
Macam mana mak boleh pengsan dengan tiba-tiba? Soalan itu yang terus
menikam-nikam benakya dari tadi.
“Mak,
tok wan tak apa-apa, kan?” tanya Siti Ajira untuk menyedapkan hatinya sendiri.
“Hmm..
insya-ALLAH tak ada apa-apa. Tok wan pengsan, mungkin sebab penat ataupun tak
cukup air dalam badan dia kot,” jawab Salmiah mengikut apa yang dia rasa.
“Okey
semua, ambulans dah nak bergerak ni. Ada sesiapa atau waris yang nak naik
sekali bagi menemani pesakit,” tanya petugas.
“Saya!”
Laju saja Salmiah menawarkan diri.
“Baiklah,
jom!” kata nurse yang membuat
pengumuman.
“Siti,
mak nak pesan ni, bila bawa kereta nanti tu elok-elok sikit, berhati-hati.
Jangan nak difikirkan sangat pasal tok wan,” peringat Salmiah. Dia tahu, saat
ini perasaan anaknya sedang kacau dengan kejadian yang tidak disangka ini. Dia
bimbang akan keselamatan anaknya yang mudah terbawa-bawa dengan kesedihan yang
boleh mengalpakan diri.
SUDAH
dua hari tok wan dimasukkan ke ICU. Kata doktor, tok wan telah koma. Puncanya,
jangkitan kuman telah merebak ke bahagian hati dan otak. Meraung Siti Ajira
tatkala mendengar penerangan dari doktor. Menyesal separuh nyawa dia dengan
kebodohannya sendiri.
“Sudahlah
Siti, jangan menangis lagi. Bukan salah Siti. Tok wan yang tak mahu ke
hospital,” pujuk Salmiah buat entah yang keberapa kali. Siti Ajira tetap juga
menangis. Sedih bercampur kesal terus melanda hati.
“Tapi
mak.. kalaulah Siti tak ikut cakap tok wan, pasti tok wan tak jadi macam ni.
Kenapa la Siti ni bodoh sangat?” Siti Ajira tetap juga menyalahkan dirinya
sendiri.
“Sabarlah
nak. Dah ketentuan. Benda dah nak jadi. Nak buat macam mana. Mak tahu, kita
semua serba salah dengan sikap culas dan keras hati tok wan. Dia yang liat
sangat nak ke hospital. Kita boleh buat apa?” terang Salmiah.
“Emak,
sebenarnya kalau nak ikutkan, Siti boleh jer dukung atau cempung tok wan masuk
dalam kereta dan bawa dia ke hospital. Tapi yalah…” Terhenti kata-kata Siti
Ajira di situ. Tak tahu apa yang dia fikirkan.
“Ya, mak tahu.. tapi
tok wan tu juga ada perasaan, kan? Kita tak boleh sewenang-wenang buat dia
seperti haiwan peliharaan yang boleh kita paksa dukung untuk dibawa buat
pemeriksaan. Walaupun niat kita baik, tapi kita kena hormat dan raikan juga
kehendak ‘tak mahu’ dia tu,” terang Salmiah lagi.
“Tapi mak, inilah
jadinya bila kita bertindak di atas dasar kesian. Maksud Siti, buat sesuatu
yang tidak kena pada tempatnya. Takut juga Siti kalau ini merupakan suatu
ketidakadilan buat tok wan.”
“Betul tu Siti, tapi
kita dah buat apa yang termampu oleh kita. Perlu mak ingatkan, semua ini
terjadi atas kehendak ALLAH juga. Janganlah kita menyesalai dengan apa yang
telah berlaku.”
“Mak.. Siti
betul-betul sedihlah mak. Siti takut tak sempat jumpa dengan tok wan lagi.
Doktor pun ada kata peluang untuk tok wan sedar semula sukar diramal, tak ada
jaminan yang dia akan okey dalam masa yang terdekat ini, kerana ia melibatkan
faktor usianya juga,” lirih sendu suara Siti Ajira.
“Siti.. kita doakan
yang terbaik untuk tok wan ya. Kita serah saja pada ALLAH yang menguasai jiwa
kita ini.” Salmiah memeluk anaknya erat. Memberi kekuatan padanya agar dia
dapat menerima takdir yang telah ditentukan ini. Air matanya meleleh perlahan.
Dia tahu apa yang sedang anaknya rasai, kerana dia juga merasai apa yang dia
rasai. Namun hanya pada ALLAH mereka mampu berserah.