NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Thursday, November 29, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 27


     
                                                      BAB 27

          “JOM akak, dah selesai.” Amira mengajak Kak Ifah pulang.
          “Dah selesai? Cepatnya.” Kak Ifah tak percaya.
          “Saya dah biasa dengan Pak Ya, taukeh bengkel tu. Kata Pak Ya dia boleh siapkan dalam tempoh dua tiga hari.”
          “Berapa dia kenakan bayaran?”
          “Asalnya dia minta RM1500… tapi saya minta kurang sampai RM1000 ke bawah, kita tengoklah macam mana dia dapatkan alat ganti tu, dapat yang murah atau yang mahal.”
          “Boleh percaya ke?”
          “Insya-ALLAH. Saya dah kenal lama dengan Pak Ya, setakat ini dia jujur dengan customer.”
          “Tak mahal ke bayaran yang dia nak tu?” gusar Kak Ifah mendengar wang sebanyak itu yang perlu dia cari untuk membayar upah baiki keretanya.
          “Sebenarnya bayaran yang dia bagi tu dah terlalu murah. Kalau nak dibandingkan dengan bayaran yang dikenakan oleh bengkel-bengkel lain di sekitar kawasan ini.”
          “Oh, ya ke, akak tak tahu, tak biasa  mengalami benda-benda macam ni. Macam mana pula dengan tangki air yang pecah tu?”
          “Oooo… Radiator… Insya-ALLAH bila dah selesai buat body kereta tu, saya akan pasangkan Radiator yang baru. Kereta akak tu hanya rosak tangki air aje, yang lain-lain tu.. tak ada pula nampak rosak. Kipas okey, air-cond punya benda-benda tu pun, nampak okey! Bila dah buat nanti, eloklah tu… kerja memasangnya pun tak adalah lama sangat.”
          “Ya ke, akak ucapkan jutaan terima kasih pada Mira, kalau tak jumpa dengan Mira, akak tak tahulah apa jadi dengan akak.”
          “Biasalah tu akak, mak saya selalu berpesan, hidup ini kena selalu tolong-menolong. Sekali kita membantu orang yang berada dalam kesusahan, sepuluh kali ALLAH akan membalas kebaikan untuk kita,” senyum Amira sambil memandu kereta tunda dengan cermat.
          “Kak Ifah, mesti suami akak terkejut bila melihat raksaksa ini tiba depan rumah dan lebih terkejut lagi bila tengok Kak Ifah ada di dalamnya.” 
          “Akak dah called suami dan beritahu apa yang terjadi.”
          “Ooo... suami Kak Ifah marah tak?” Amboi minah ni, nak kepo pula dia.
          “Tak, katanya semua itu adalah dalam perancangan ALLAH, dalam takdir ALLAH, dan kita tak akan mampu mengelaknya bila ALLAH mengatakan jadi, maka jadilah sesuatu perkara itu. Akak bersyukur sangat bila suami akak tidak meletakkan semua kesalahan  di atas bahu akak,” tenang saja Kak Ifah bercerita. Wajahnya yang ketat semasa mula-mula bertemu Amira tadi sudah bertukar menjadi cerah dan dia juga sudah mampu tersenyum bila berbicara. Baguslah, kerana kesabaran itu boleh menjadikan kita tenang dalam menghadapi ujian, dan berserahlah kerana semua urusan berada dalam genggaman dan ilmu ALLAH. Setiap peristiwa yang terjadi itu pasti ada hikmahnya, dan hikmah yang tersembunyi itu akan muncul dengan sendirinya bila sampai waktu. Sabarlah, kerana sabar itu juga sebahagian daripada iman.
          “Marilah masuk rumah akak.” Kak Ifah mempelawa Amira masuk sebaik saja mereka sampai di hadapan rumah Kak Ifah yang berbentuk rumah teres satu tingkat itu.
          “Tak mengapalah akak, lain kali sajalah, sebab raksaksa ni nak dipulangkan pada tuannya. Ini pun dah berkali-kali dia called dok tanya mana raksaksanya. Okeylah akak, kereta akak tu nanti, bila dah siap saya call.”
          “Baiklah, terima kasih banyak-banyak Mira kerana bantu akak.” Kak Ifah beremosi, rupa dan gayanya macam mahu nangis. Mungkin sedikit sebanyak kesan dari suka sangat tengok movie Hindustan!
          “Dahlah tu akak, perkara kecil saja? Okeylah saya chau dulu, nanti kita jumpa lagi.” Amira bersalaman dengan Kak Ifah kemudian Kak Ifah menariknya ke dalam pelukannya, terasa sangat sentuhan kasih sayang dan kemesraannya walaupun baru beberapa jam bertemu. Pelik, tapi benar. Tapi itulah hakikat berkasih sayang kerana ALLAH. Membantu kerana ALLAH dan berkorban kerana ALLAH, kebahagiaan dan kesenangan itu datang sendiri bagai angin yang berhembus lembut, tenang dan mendamaikan.

          “Assalamualaikum!” Mak Milah membuka kata.
          “Waalaikumussalam, mak apa khabar?” riang suara Amira bila maknya menelefon.
          “Mak sihat, kau di sana sihat ke tidak?”
          “Mira sihat mak, kenapa mak telefon Mira?” Amira buat-buat tak faham.
          “Mak nak tanya, pukul berapa kau balik esok?” kecut perut Amira bila Mak Milah mula bertanya. Dah agak dah, soalan inilah yang malas dia nak jawab.
          “Mungkin Mira tak balik kut!”
          “Heh Mira, lusanya pak su kau nak bertunang, takkan kau tak balik?” nada suara Mak Milah dah mula masuk gear satu, kalau salah cakap lagi pasti masuk gear dua. Aduh… Pening betul!
          “Mira sibuklah mak.”
          “Sibuk kepala hotak kau, si Halim tu bos, kau pula kuli. Bila Halim tutup bengkelnya, kau nak sibuk apa ke bendanya lagi?” Ini bukan lagi gear dua, tapi terus gear empat. Amira menggaru kepalanya yang tak gatal.
          “Alah mak, pak su yang nak bertunang, kenapa pula Mira yang kena balik?” Amira membuat muka tak suka, walaupun dalam telefon dia tahu emaknya pasti dapat membayangkan wajahnya tika ini.
          “Hah, jangan nak buat muka tak sudah kamu tu. Mak nak kamu balik ikut pak su sebab kita semua akan pergi ke Perlis untuk sempurnakan acara pertunangan pak su kamu pada hari Ahad,” tegas saja arahan Tuan General Bersara Pinang Sebatang.
          “Mira tak sukalah mak.”
          “Kamu ingat mak tak tahu, kenapa kau tak suka pergi? Yang sebenarnya kau tu tak suka bila kena pakai baju kurung, tunjuk yang kamu tu perempuan. Eh Mira, kau ni bila nak berubah? Buangkan pakaian yang serupa jantan tu? Mak tak peduli, kau kena balik juga. Mak pun dah beritahu Mail suruh dia ikut sekali dalam rombongan peminangan itu nanti.”  Adoi, mati aku!
          “Mak... dah mak, berhenti bercakap. Telinga Mira ni dah meleleh keluar lilinnya bila dengar mak berleter.” Amira ketawa sendiri.
          “Kurang asam punya budak,” marah Mak Milah, tapi Amira masih ketawa sambil memegang telinganya. Dia tahu kalau Mak Milah ada di hadapannya saat ini, sudah pasti telinganya yang cantik ini menjadi mangsa. Adoi, macam mana ni? Dalam banyak-banyak benda yang aku tak suka ialah pakai baju kurung yang menampakkan ciri-ciri keperempuanan aku. Hiss... tak masuk akal langsung, ditambah pula dengan kehadiran Mail bendul tu. Eeeee... bosannya, mana nak lari ni? Benda-benda macam ni buat aku naik fade up ni. Tak cool langsung bila kena tukar pakaian pergi majlis orang bertunang dan ada pula tunang yang bendul mengikut sekali. Adoi, pasti boring giler. Amira ke hulu ke hilir berjalan sambil berfikir mencari idea yang boleh diguna pakai untuk mengelakkan diri dari terjebak dalam majlis pertunangan itu nanti. Tiba-tiba BlackBerrynya berbunyi lagi.
          “Assalamualaikum Mira, Mira sihat?” Aduh! nyamannya hati, bergetar jiwa bila mendengar suara orang yang dirindui.
          “Waalaikumussalam! sihat, Ariel pula macam mana?” Tahu pula Amira bersuara lembut bila bercakap dengan Ariel, plastik betul minah ni, selalunya suara kasar dan kuat macam guruh. Alih-alih sekarang ni pandai pula dia berlatih bercakap dalam keadaan lembut dan sopan. Memang kadang-kadang dia berlatih, sampai letih, untuk berubah.
          “Mira free hari Ahad nanti?”
          “Kenapa?”
          “Kalau Mira free, Ariel nak bawa Mira jumpa keluarga Ariel. Nak kenalkan buah hati Ariel pada mak,” riang hati Ariel bila menyatakan hasratnya, tapi Amira yang mendengarnya bagaikan nak pengsan. Dadanya bagaikan nak pecah. Ariel memang betul-betul serius dalam perhubungannya. Takkanlah cepat benar nak kenalkan dia pada keluarganya. Ah, haru...haru...
          “Ariel, sebenarnya esok Mira balik kampung, sebab pak su nak bertunang. Tak dapatlah Mira ikut Ariel.”
          “Oh ya ke, kalau macam tu tak mengapalah, mungkin lain kali saja Ariel kenalkan Mira pada ibu.”
          “Eloklah tu, buat apa tergesa-gesa, masa masih panjang lagi.” Amira beralasan, sesak nafasnya bila memikirkan hasrat Ariel.
          “Bila dengar pak su Mira bertunang, Ariel pun rasa nak bertunang juga. Buat apa kita tunggu lama-lama. Sayugia yang baik itu disegerakan. Apa kata lepas ni kita pula bertunang?” Ariel menjadi semakin bersemangat, tapi Amira merasakan nafasnya sudah nak tercabut dari badan dan dia terbatuk-batuk tanpa henti. Sungguh haru-biru jadinya.
          “Kenapa Mira batuk?”
          “Entahlah tiba-tiba saja, mungkin ada tertelan benda halus kut.” Amira batuk lagi.
          “Benda apa?”
          “Mungkin nyamuk yang terbang terus masuk mulut Mira tanpa sedar.” Taram sajalah alasannya, logik ke tak logik lain cerita, yang penting terlepas dari soalan maut.
          “Awak ni ada-ada saja, okeylah kita bincang lain kali.” Ariel Iskandar ketawa dengan gelagat Amira walaupun dia tak nampak saat ini, tapi selalunya telatah Amira dapat membuatkan hatinya bahagia. Amira yang telah membuka hati kecilnya untuk mencintai dan dicintai. Amira yang selalu memberi kesegaran dan semangat untuknya berasa ceria. Amira yang telah memberi kekuatan dalam merubah dirinya ke arah menjadi lelaki yang terbaik, kerana lelaki yang baik dapat membimbing wanita yang disayangi ke arah yang hidup yang lebih baik, bererti dan bermakna di sisi ALLAH.





2 comments:

  1. bila la si Amira nak beritahu psl pertunangan dia kt Ariel? :(

    ReplyDelete
  2. as salam....
    puan saya dah baca novel nie.. puan boleh baca review novel ini di blog saya: http://kuazue.blogspot.com/2013/02/amir-minah-macho.html

    harap puan teruskan berkarya ..

    wasalam..

    ReplyDelete