NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, September 2, 2011

Persis Bidadari Syurga 1 dan 2

BAB 1
Nur Asiah masih lagi berdiri di tepi jendela, memerhati malam yang kian larut, sesekali kedengaran cengkerik dan unggas-unggas malam menegurnya. Di dada langit tiada sebutir bintang pun yang berkelip, untuk menemani alam maya saat ini.Tapi deruan ombak tak pernah berhenti menghempas pantai walaupun malam diselubungi kegelapan . Suasana malam cukup sepi,kosong, hitam dan kelam, bagaikan mengerti keadaan hatinya saat ini. Dadanya tepu dan kepalanya bercelaru. Dia mengerling ke arah katilnya yang dihiasi cantik .Tapi di bawah katil pula ada beg pakaiannya yang sudah siap berisi dengan pakaian dan barang keperluannya. Dalam kepalanya, dia akan bertindak bila sudah tengah malam, saat semua orang sedang nyenyak tidur.
Bodoh! Siapalah lelaki yang paling bodoh ni, kalau dah rasa kemaruk sangat nak berbini, pergilah cari orang lain, datang cari aku nak buat apa? Bodoh! bodoh! bodoh sangat, sampai menyusahkan aku! Dalam dunia ni dah tak ada perempuan lain ke? Sampai kena kahwin dengan budak baru lepasan sekolah. Heh! Aku ni baru aje habis SPM, hingus aku pun masih meleleh, nak buat apa? Aku ni bukannya reti apa pun. Masak nasi pun hangit lagi,eh…eh…periuk karan mana boleh hangit. Ah…apa-apa ajelah. Betul! Aku tak nak kahwin, aku nak sekolah lagi. Aku nak masuk U. Siapalah lelaki bodoh dari Marikh yang telah menyusahkan hidup aku ni? Ingat ini zaman Tun Teja ke? Tun Fatimah ke? Muda-muda dah kena kahwin. Ayah pun satu, kolot sangat, entah apa yang dipandangnya makhluk dari Marikh tu, sampai setuju terus untuk kahwinkan aku. Tolong!!! Aku tak nak kahwin. Sayang sekali jeritan Nur Asiah yang melengkin kuat itu tiada siapa yang mendengarnya,kerana suaranya itu tersekat dicelah kerongkong,tak mampu untuk dikeluarkan.
Nur Asiah melepaskan keluhan lemah, jalan di hadapannya hitam dan gelap,bercabang-cabang dan berduri, kalau mengikut kata hati , mahu saja dia melompat jendela ini dan melarikan diri, meninggalkan keluarga dan tinggalkan lauk pauk kenduri yang telah siap dimasak oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Memang nak lari pun, tapi taklah lompat, karang patah kaki, macam mana nak jalan? Sia-sia saja usaha nak melarikan diri , bukan main lagi terjun tingkap , alih-alih setakat dekat pangkin saja yang mampu dia pergi. Ish…tak ada maknanya melarikan diri.
Kalau nak lari kena rancang dengan teliti, baru tak terkantoi, tapi kalau aku lari…aku nak pergi mana? Tak kanlah lari dalam kampung ni juga? Ish…ish...lagilah tak bermakna usaha aku. Nak pergi mana? Alah pergilah mana pun asalkan tak payah kahwin. Tapi kata pepatah, kalau ikut hati, mati dan ikut rasa maka binasa. Ah!!! Nur Asiah melepaskan jeritan yang masih tersekat di anak tekak ,buntunya fikiran. Dia tidak mahu binasa dalam hidupnya lantaran tidak mahu menurut kata kedua orang tua. Dia tidak terlintas pun untuk menjadi anak yang mendurhaka kepada ibu bapa.Tuhanku! Tolonglah hamba-Mu yang tidak berdaya ini.
Esok dia akan dinikahkan dengan pemuda yang menjadi pilihan keluarga. Tak pernah terlintas pun di benaknya dia akan dikahwinkan dalam usia semuda ini. Nur Asiah benci, Nur Asiah sakit hati, lantaran itu dia tidak pernah ambil tahu tentang lelaki tersebut. Selama bertunang sekali pun dia tidak pernah melihat tunangannya ,melihat gambar pun dia tidak sudi, dia cukup terkilan dengan tindakan ayah yang terus saja menerima pinangan lelaki itu , tanpa bertanya kepadanya, tanpa berfikir panjang, macamlah aku ni kemaruk sangat nak kahwin . Arghh!!! Ayah memang kejam, tak bertimbang rasa ,bukan ayah tak tahu aku suka belajar . Bukan ayah tak nampak keputusan percubaan SPM aku dulu, bukan calang-calang tau, 6A . Jadilah…dah layak tu kalau nak masuk U. Ayah tak adil,takkanlah dia terdesak sangat nak kahwinkan aku? Dah kena suap atau kena kelentong agaknya! Eeeee…tak mungkin, ayah aku baik dan tak bodoh, cuma mudah kesian dengan orang.Mustahil dia termakan kelentong dan mudah sangat setuju tanpa berbincang dengan aku. Aku ni seorang saja anak perempuan dia. Itu yang pelik dengan sikap ayah ni, tapi untuk melawan ayah,adalah sesuatu yang tak masuk akal. Ayah cukup garang, kata-katanya tak boleh dilawan. Meningkah cakap ayah bagaikan menadah lava gunung berapi, yang pastinya dia akan membakar diri sendiri . Mak tolong Nur!!! Nur Asiah menjerit dalam hati, ah…tak guna minta tolong mak, sebab mak pun sama dengan ayah. Ya ALLAH… tolonglah aku!!!
Tika ini berbagai rasa yang sedang bergelut di dalam hatinya ,rasa cemas, resah, sedih, marah dan gementar bercampur baur menjadi satu. Fikirannya serabut dan kusut, manakala badannya terlalu letih dan lemah. Sememangnya dia tidak bersedia untuk perkahwinan ini, kahwin paksa, macam orang zaman dulu-dulu.Tapi pada siapa dia harus mengadu? Mak? Dia akan tetap menyokong ayah . Kata-kata ayah tak pernah mak bantah. Ah! Nur Asiah melepaskan keluhan buat kesekian kalinya. Tiba-tiba pintu bilik di buka. Mak Esah menjengukkan kepalanya.
“Eh! Nur, kenapa tak tidur lagi? Dah larut malam ni, tak baik pengantin tidur lewat, nanti masuk angin dan hilang seri wajah.”Nur Asiah hanya menatap wajah Mak Esah tanpa mengucapkan apa-apa, dia tahu Mak Esah dapat membaca riak di wajahnya,tanpa dipaksa air matanya mula meleleh menuruni lurah pipinya yang putih gebu.
“Sudahlah Nur,bawalah bersabar, mungkin ini adalah takdir Nur. Sebenarnya ayah berniat baik, dia inginkan Nur bahagia.”
“Tapi, Nur masih muda, Nur masih nak belajar dan belum puas lagi Nur duduk dengan mak, lagi pun Nur belum dapat membalas jasa mak dan ayah,” dalam suara yang tersekat-sekat Nur meluahkan apa yang dia rasa.
“Tak mengapalah Nur, dengan mengikut cakap ayah tu Nur dah pun membalas jasa kami, mak tahu Nur anak yang baik, Nur tak pernah melawan cakap kami. Mak selalu berdoa agar Nur bahagia.”Mak Esah memeluk Nur Asiah erat, mendamaikan jiwa anak gadisnya yang keresahan.
“Mak, Nur takut.” Nur Asiah semakin memeluk maknya, seperti anak kecil yang sedang ketakutan.
“Biasalah Nur, pengantin baru memang merasa demikian, mak dulu pun takut juga nak jumpa ayah, maklumlah tak kenal. Dahlah, jangan fikir macam-macam lagi, jangan nangis lagi nanti bengkak mata tu, rehatlah! Nur perlukan kesihatan yang baik dan rehat yang secukupnya untuk hari yang bersejarah esok,” Mak Esah menepuk-nepuk bahu anak gadisnya.
Sebaik saja Mak Esah keluar dari biliknya, Nur juga beredar ke bilik air untuk berwudhuk, dia perlu mencari ketenangan dengan sembahyang hajat, dia ingin bermunajat pada ALLAH, berserah pada ALLAH kerana Dialah yang lebih tahu akan untung nasibnya.
Dada Nur Aisah berdegup kencang sebaik saja pengantin lelaki masuk untuk upacara membatalkan air sembahyang. Peluh dingin mula merintik bila mana dia diarahkan mencium tangan suaminya dan suaminya pula menjatuhkan bibir mengucup dahinya yang sudah sejuk pesi, rasa ingin menangis pun ada. Akhirnya dia menjadi isteri walaupun tanpa relanya.
Bila Nur Asiah mengangkat muka pandangan matanya bertembung dengan anak mata suaminya, debaran di dada bertambah kencang . Jantungnya terhenti seketika…dia rasa macam nak koma saja. Cepatlah jatuh pengsan dan koma terus, lagi baik dari berhadapan dengan mamat ni. Kalaulah dia tahu dia akan berkahwin dengan mamat cengkadak ni, lebih baik dia laksanakan rancangan pelarian malam tadi. wa…wa…wa… dah terlambat. Dah jadi laki aku pun. Mak tolong!!! Dalam kepala Nur Asiah sarat dengan pertanyaan. Kenapa mamat ni yang jadi suami aku, dah tak ada orang lain ke dalam dunia ni? Nur Asiah ingin menangis tapi tak pula keluar air mata, manakala peluh dingin membasahi dahi sebab terkejut sangat mengalahkan beruk, rasanya beruk pun tak terkejut seperti dia. Fuhh!!! Terjelupuk Nur Asiah bersama semangatnya yang hilang. Aiman mengangkat dagu Nur Asiah dan memaksa Nur Asiah bertentang mata dengannya .Saat ini barulah dia tahu suaminya seorang yang kacak, kulitnya putih,hidungnya mancung, bibirnya merah, raut wajahnya sempurna dan berkumis. Nampak handsome sangat dengan baju melayu bersamping dan seri pengantin terpancar diwajahnya. Selama ini Nur Asiah hanya tahu,nama bakal suaminya ialah Aiman, tak lebih daripada itu. Nur Asiah tak kisah pun siapa lelaki itu,gemuk pendek ke, botak licin ke ,tinggi lonjong ke, perut buncit ke,Nur Asiah tak nak ambil tahu. Bagi Nur Asiah ,ayah telah menghancurkan seluruh hidupnya ,dirinya, hatinya,cita-cita dan segala impian indahnya bersama Zarif.Sekarang Nur Asiah merasakan dirinya tak ubah seperti mayat yang sedang bergerak. Tak ada hati, tak ada perasaan dan tak ada masa depan.
Patutlah selama ini adik-adiknya sering memuji bakal abang ipar mereka,kata mereka bakal suami Nur kacak sangat, sesuai dengan Nur,sama padan. Benci Nur Asiah mendengarnya, kalau boleh biar Allah pekakkan telinganya,biar Allah butakan matanya dari pada melihat mamat tersebut. Rupa-rupanya, selama ini Wak Seman yang menjadi dalangnya. Bencinya!!! Nur Asiah meraung dalam hati,tak berani pun nak luahkan kat mulut.
“Beruntung Nur dapat suami yang kacak dan kaya, mak berharap dan berdoa Nur akan bahagia selalu,” itulah kata-kata mak semalam. Bahagiakah dia dengan apa yang dia dapat sekarang? Sedangkan suaminya ini bukan lelaki yang dicintai.Bolehkah dia menjadi isteri yang bahagia? Sedang hatinya tidak pada lelaki yang berada di depannya kala ini. Tapi alangkah bahagianya dia kalau Zarif yang menjadi suaminya, Zarif yang dicintai selama ini, tentu dia tidak menderita begini. Zarif maafkan Nur! Nur tak berdaya melawan takdir, Nur tak berkemampuan untuk membantah cakap emak dan ayah. Maafkan Nur dunia akhirat kerana telah mengecewakan Zarif.Nur merintih dalam hati.Ah! menyebut nama Zarif saja, seakan mahu tercekik, bagaikan menusuk belati ke dada sendiri, sakitnya seperti ingin tercabut nyawa dari badan. Nur Asiah merapatkan birai matanya perlahan-lahan ,agar air yang mula bergenang itu tidak berlari jatuh ke pipi.
Bila dia membuka mata, pandangan mata suaminya masih melekat diwajahnya, meneliti setiap inci wajah isteri yang baru dinikahi. Ternyata Nur Asiah lebih cantik berbanding enam bulan yang lalu, sewaktu kali pertama dia melihat Nur Asiah yang terjatuh ke dalam parit. Nur Asiah rasa menyampah bila direnung demikian, akhirnya dia melarikan pandangannya kearah lain. Acara seterusnya ialah bergambar dengan keluarga kedua-dua belah pengantin. Bukan main lebar lagi senyuman Mak Esah bila bersembang dengan keluarga besannya. Kadang kala kedengaran gelak ketawa ayah yang bersahut dengan suara bapa mertuanya, sungguh riang suara Pak Khalid dikala bercerita itu dan ini. Tapi hati aku saat ini ALLAH saja yang tahu. Kalau aku anak yang jahat ,dah lama aku, lompat jendela rumah ni,bukan tinggi mana pun tingkapnya, melarikan diri dari perkahwinan ini. Gila ke apa? Kalau nak lari malam tadi, bukannya sekarang. Cakap aje lebih, buat tak juga!!! Yalah,mana ada orang sekarang kahwin muda? Hingus aku pun masih meleleh lagi,bau badan pun masih hanyir. Dah kena kahwin .Tak patut! Memang tak patut. Apa yang mamat tu sogokkan pada ayah, sehingga ayah setuju mengahwinkan aku,pada hal ayah bukan tak tahu cita-cita aku. Ayah!!! Kenapa buat Nur macam ni? Nur Asiah memekik kuat, tapi sayang, suaranya selalu tersekat di kerongkong.
Oh…Tuhanku! Tabahkanlah aku, kalaulah ini harganya yang perlu aku bayar untuk membahagiakan ayah dan mak, aku rela walaupun hatiku menderita, aku ingin menjadi anak yang solehah, yang sentiasa berbakti kepada orang tuanya. Apalah sangat cinta kepada Zarif kalau nak dibandingkan cinta dan kasih sayang yang telah ayah dan mak curahkan, yang telah banyak berjasa padanya. Kasih ayah sampai bila-bila dan kasih ibu bawa ke syurga. Tentang hati, itu adalah urusan ALLAH. Walaupun dia tidak menyintai suaminya tapi biarlah ALLAH meletakkan rasa hormat dan senang pada suaminya.
Tapi boleh ke aku duduk sebumbung dengan mamat tu? Mampu ke aku menjadi bini dia dalam erti kata yang sebenar. Eeeeiiii…tak nak, tak suka, aku benci!!! Kalaulah boleh dia menjadi halimunan, kan baik, tak payah hidup bersama si cengkadak tu, kan senang? Woi … dosa mengutuk laki! Lantaklah aku bukan suka pun kat dia , tengok kepala lutut aku, menggeletar dari tadi, dah rasa macam kena penyakit Parkinson. Asyik bergoyang saja, apa nak buat ni. Sekejap lagi mesti si mamat tu, masuk untuk tidur. Wa...wa...wa... mana nak lari ni? Nur Asiah kehabisan idea, lalu dia menyelak kain cadar dan masuk ke bawah katil. Wah! Aman, damai…Fuhh!!! Lega rasanya. Badan yang letih dan mata yang mengantuk sebab sejak semalam dia tak lena tidur, maka dengan sekali pejam saja Nur Asiah berada dalam dunia lain, dunia mimpi yang indah tanpa si cengkadak.
Bila Aiman masuk ke bilik untuk tidur, dia tercari-cari Nur Asiah. Dia memang pasti tadinya Nur Asiah berada di dalam bilik sebab kat luar pun Nur Asiah tak ada. Tiba-tiba Aiman tersepak sesuatu. Dia menunduk ke bawah, serentak itu bibir Aiman tersuging, lucu sangat bila nampak kaki cantik yang terkeluar dari bawah katil. Aiman menyelak cadar,lalu nampak isterinya yang sedang nyenyak tidur dengan dengkuran halus yang berbunyi.
Nur Asiah yang sudah betul-betul lena tak sedar pun dirinya dibawa keluar dan diangkat oleh suami, lalu diletakkan di atas katil. Aiman tersenyum lagi tatkala dia melihat Nur Asiah yang sedang mulus tidur,tak ubah seperti bayi. Padan muka aku!!! Kahwin lagi dengan budak sekolah yang tak cukup akal, kan dah susah…sepatutnya malam pertama, adalah malam yang paling indah , tapi dia hanya menghabiskan separuh malamnya dengan merenung wajah cantik isterinya yang keanak-anakkan itu. Aiman tak kisah! Dia bahagia saat ini. Kadang-kadang dia sendiri merasa pelik dengan dirinya. Kalau Nur Asiah tak faham ,kenapa dirinya dipilih menjadi isteri kepada seorang eksekutif, Aiman sendiri pun tak faham ,kenapa dia seorang yang berwibawa, seorang yang educated ,yang berkerjaya hebat,yang menjadi kegilaan perempuan dan yang memiliki segalanya boleh jatuh hati pada budak sekolah. Pelik, dunia ini memang pelik dan gila. Aiman menjadi gila dan angau bila melihat Nur Asiah. Tak sangka dia akan jatuh cinta sebegitu hebat sekali, padahal selama ini dia tak pernah ada hati pada perempuan. Datanglah perempuan yang sebagaimana hebatpun , hatinya tak pernah bergetar, bergoyang ataupun berdentum. Tapi dengan Nur Asiah ni, lain pula rasanya, saat dia melihat Nur Asiah terjatuh ke dalam parit, saat itulah dia mula jatuh hati pada budak perempuan yang agak kerek tu.
Ah…semoga hati Nur Asiah terbuka untuk menerimanya sebagai suami, dia tahu dari jelingan dan muka masam isterinya tadi dia dapat mengagak, Nur Asiah tidak menyukainya ,apa lagi mencintainya. Tak mengapa…dia akan bersabar …untuk merebut cinta Nur Asiah.
BAB 2
Rupa-rupanya hidup berumahtangga ini bukan sentiasa bahagia dan mengembirakan hati Nur Asiah, walaupun perkahwinannya bukanlah atas dasar cinta dan sayang,tapi dia sudah bersedia untuk mencintai dan dicintai, dia sudah redha dengan apa yang ada dihadapannya sekarang. Tapi kenapa bahagia belum muncul juga,setelah dia berkorban segala-galanya,mengorbankan cinta dan perasaan,mengorbankan masa depan dan pelajaran serta mengorbankan kebebasannya.
“Heh… lembab! Takkanlah gosok baju sehelai pun berjam-jam? Aku nak cepat ni. Kau tu bukannya ada kerja lain yang nak dibuat,kenapa tak gosok baju awal-awal? Semua kerja nak kena bersuruh, baru nak buat. Dasar orang kampung,” tersedar Nur Asiah dari lamunan bila tengkingan suaminya mula membingitkan telinga. Tergesa-gesa Nur Asiah menyiapkan kerjanya,mungkin dia terlalu banyak termenung membuatkan kerjanya lambat selesai. Ah! Kalau cepat selesai pun suaminya macam tu juga, masih berpeluang mencari kesalahannya walaupun Nur Asiah telah melakukan kerja-kerjanya sebaik mungkin.
Telinganya sudah sebu dengan sumpah seranah dan maki hamun dari suaminya, kepalanya sudah lali di tunjal-tunjal oleh suami yang seharusnya mengasihi dan menghormati dia sebagai isteri. Pipi gebunya sudah beberapa kali berbirat dengan bekas tapak tangan suaminya ,sedangkan bila malam pipi yang lebam itulah diusap,dibelai dan dicium oleh suaminya. Tak terasa malukah seorang suami memperlakukan isterinya sedemikian.
Hati Nur Asiah telah tawar, hancur dan lebur. Kalau dulu dia berusaha juga memujuk hatinya untuk cuba mencintai Aiman dan membawanya ke dalam mimpi indahnya dan berharap ada bahagia di hujung deritanya. Tapi sekarang tidak lagi, dia sudah jemu dan lelah ,lalu pasrah dengan apa yang ada di hadapannya. Mula-mula kahwin dahulu Aiman tidak seperti ini, dia lebih pengasih sedikit walaupun dia tegas. Percakapannya banyak ke arah merayu dan memujuk sebab sememangnya dia tahu Nur Asiah tidak pernah mencintainya dan perkahwinan mereka atas dasar paksaan.
Awal perkahwinan dahulu Aiman seorang yang romantik dan suka berjenaka,suka memujuk dan suka memuji,apa saja yang Nur Asiah masak semuanya sedap, makan pun banyak. Dia selalu membelikan hadiah dan pakaian yang mahal-mahal untuk Nur. Lama-kelamaan hati Nur Asiah menjadi cair. Pokok mula mengeluarkan kudup dan kudup pula bila-bila masa saja akan mengembang menjadi sekuntum bunga yang wangi dan cantik dek siraman baja ,air dan embun dari suami. Tapi tiba-tiba Aiman mula berubah,menjadi dingin dan pemarah,menjadi kaki pukul dan pembuli. Ah! Mengapa terjadi begini? Apakah selama ini kasihnya tidak ikhlas? Apakah sayangnya hanya pura-pura.Apakah ungkapan indahnya selama ini hanya mainan bibir? Tak terfikir olehnya pekara ini akan berlaku.
“Nur, mana tehnya?” Suaminya menjerit lagi.
“Siap bang,” terkedik-kedik Nur Asiah datang dari dapur. Hatinya kecut, entah apa lagi yang bakal tak kena.Suaminya memang suka marah-marah, nak minta air pun menjerit,tak boleh minta elok-elok ke? Agaknya dulu,laki aku ni ada kena mengena dengan keturunan Tarzan. Nur tersenyum sendiri.
“Hah kenapa senyum-senyum pula?” Sekali lagi Nur Asiah kena tengking. Ya ALLAH…senyum pun tak boleh? Ini zaman apa, zaman Neo Nazi ke?
“Tak ada apa-apa bang,” takkanlah senyum pun kena marah,kena minta izin.
“Hah…itulah kamu,bila aku tanya,tak ada apa-apa, tapi macam orang bodoh saja,” tak pasal-pasal Nur Asiah kena marah. “Bodoh!!!” Nur sudah lali dengan perkataan itu.Hari-hari Nur disumbat dan disumpah dengan perkataan itu ,walaupun hanya lima huruf, tapi maknanya cukup menghiris perasaan. Nur akui dia memang bodoh. Sekolah pun tak sampai diploma, tapi siapakah yang telah menggagalkan impian aku? Siapakah yang telah membodohkan aku? Siapa lagi kalau bukan orang yang sering memanggilnya bodoh. Macamlah dia tu cerdik sangat. Kahwin pun dengan budak sekolah!
Kadang-kala ringan saja mulut Nur untuk menjawab dan melawan balas ,setiap kali perkataan itu dihamburkan. Ada ketikanya Nur rasa ingin saja dia meminta cerai ,dia tak sanggup lagi tinggal sebumbung dengan suaminya yang tak bertimbang rasa itu. Tapi dia berfikir beratus kali,walaupun Nur Asiah tak berapa cerdik ,apa pula kata mak dan ayah, apa pula kata orang-orang kampung yang suka menjaga tepi kain orang, pasti ibubapa diumpat keji, anak kahwin tak sampai setahun dah jadi janda,pasti ada yang tak kena. Yang akan dipandang serong ialah dirinya sendiri. Ah! Lemasnya hidup ini. Nur Asiah mengeluh lemah. Apa boleh buat, redha ajelah, kerana hanya dengan redha saja dapat melegakan perasaan.
Sesak nafas rasanya dengan masalah ini, sesak jiwa dibuatnya ,belum lagi kerenah mak mertua yang sering datang mengacau dalam rumahtangganya, menyuruh itu dan ini, menuduh Nur Asiah tak pandai jaga suami, mengumpat keji makanannya yang tak sedap, mengejek Nur tak pandai bergaya. Ya ALLAH…sesak kepala Nur ni. Dah nak botak rasanya memikirkan masalah ni. Nur Asiah rasa ,nak saja lari dari rumah ni. Pergi jauh-jauh dari sini. Selalu saja rasa nak lari, tapi tak sanggup buat. Macam tin kosong! Tapi tunggulah kalau betul-betul dah sesak dan dah tak tahan nanti.
Kehidupan ini sering begitu,sering terasa tidak adil dan sering diuji dengan perkara yang tak kita sangkakan dan tak juga kita minta. Tapi disitulah nampaknya keadilan Allah, dia menjadikan manusia dari berbagai keadaan dan lapisan, menjadikan dunia ini berwarna-warni dan bermacam-macam serta manusia pula beragam-ragam. Manakala manusia yang paling beragam ialah lakinya, tak habis-habis dengan seribu satu ragam walaupun perkahwinan memasuki tahun ketiga. Masih macam tu, tiada perubahan
Tinggal di dalam rumah besar begini, membuatkan Nur Asiah merasa bosan dan jemu. Boring giler…bayangkan rumah besar, orang tak ada. Bercakap dengan suami pun ,hanya sepatah dua saja., itu pun kalau suami ada di rumah . Kalau dia ke pejabat atau keluar nampak gayanya Nur bercakap dengan tianglah. Anak?...Belum ada rezeki, nampaknya, dah lama kahwin, tapi yang ditunggu tak kunjung tiba. Bukan rezekilah tu… sabar ajelah .Banyakkan berdoa, mungkin suatu hari ada rezeki untuk Nur.
Penyudahnya untuk hilangkan rasa bosan yang membungkus diri, Nur mula menanam pokok bunga di sekitar halaman rumahnya. Rumah yang besar itu menjadi cantik dan berseri dengan kehadiran bunga-bungan yang berwarna-warni.
“Tak habis-habis lagi ke kau dok belek pokok tu?” Aiman keluar memarahi Nur yang sedang menyiram pokok bunga.
“Kenapa abang? Ada apa-apa yang abang perlukan?’ lembut saja suara Nur Asiah.
“Sudah !!! Masuk, aku tak nak kau siram pokok bunga tu lagi.Macam tak ada kerja lain,” tercegat Aiman sambil memarahi Nur yang terkulat-kulat menutup paip air. Sakit hati Nur Asiah, bengkak perasaan Nur Asiah, kalau boleh dia ingin bertanya kenapa? Dan apa salahnya dia memberi perhatian kepada bunga yang ditanamnya. Lagi pun buat apa dia masuk ke dalam rumah? Bukan ada benda pun yang hendak dibuat. Aleh-aleh tercongok saja depan TV. Nak bersembang dengan suami?...Lebih baik tak payah. Kalau salah cakap…dikatanya bodoh. Memang bodoh pun, kalau nak dibandingkan dengan Aiman yang berkerjaya hebat, macam langit dengan bumi, tapi kenapalah orang yang bodoh seperti aku ni yang dicari?... Pelik sungguh, persoalan semasa perkahwinan beberapa tahun yang lalu ,sampai sekarang pun masih belum ketemu jawapannya.
Bagaimana nak ubah sikap kasar suaminya? Entahlah … walaupun dia tak pernah berhenti berdoa, agar suaminya berubah, namun hasilnya belum lagi nampak. Aiman masih ego seperti selalu, masih kasar bila bercakap dan masih suka menunjal-nunjal kepalanya bila ada yang tak kena. Ya ALLAH…aku bermohon, ampunkanlah suamiku dan berikanlah dia taufik dan hidayat-Mu.

No comments:

Post a Comment