BAB 15
KE HULU ke hilir Amira
bila bercakap melalui hanfon ‘kerja’nya. Dari jauh boleh agak Amira dalam
keadaan mood yang tidak baik, macam
angin puting beliung yang sedang bertiup. Jenuh Pian menadah telinganya untuk
mencuri butir perbualan temannya yang sedang naik angin tu, tapi sepatah haram
pun dia tidak dapat menangkap butir perbualan Amira.
“Tak boleh datang sini!”
Amira masih berkeras bila Mail yang dalam talian ingin datang ke tempat
bengkelnya. Nak mampus? Pasti rahsia yang dia simpan selama ini terbongkar
kalau Mail tiba-tiba tertonggok di depan bengkel ini.
“Kenapa tak boleh
datang?” pertanyaan Mail membuatkan Amira rasa nak gila. Benak betullah manusia
bernama Mail ni. Dah cakap pun tak faham-faham.
“Nanti pekerja bengkel
ni tahu yang aku ni dah bertunang,” marah Amira.
“Biarlah mereka tahu,
apa salahnya?”
“Kalau aku ni
tergila-gilakan kau, tak adalah salah. Masalahnya aku ni tak suka kau,
bertunang pun cara paksa dan bila aku cakap pada kau, kau tak reti bahasa.”
“Yalah aku tahu, orang
tak sukakan kita. Kita saja yang tergila-gilakan dia,” lemah saja suara Mail persis
orang merajuk.
“Kalau kau sedar diri
tak apalah.” Kasarnya bahasa Amira.
“Tapi Mira aku nak juga
jumpa kau, aku rindulah Mira, selepas bertunang hari tu kau terus menghilang
tanpa pesan.”
“Hei… mangkuk, apa
lindu-lindu, kau tak faham bahasa ke?” Amira menjerit kuat sehingga
kawan-kawannya yang sedang ralit buat kerja pun menoleh.
“Kau ingat aku tak tahu
tempat kau kerja. Ini Maillah Mira, kalau setakat Kuala Lumpur ni dalam poket
akulah. Lagipun Mak Milah dah bagi alamat bengkel pak su kau.” Mail mengejek
sambil ketawa. Mendidih hati Amira dibuatnya.
“Hei! Benggali, apa kau
nak?” marah Amira sudah sampai ke telinga. Dia bukan peduli pun ada mata yang
sedang melihat dan ada telinga yang sedang menadah.
“Aku nak jumpa kau,
kalau tak dapat jumpa kat bengkel kau kita
jumpa aje kat mana-mana, asalkan
aku dapat melihat dan meluahkan rindu ini, lindu tau… lagipun aku nak sampaikan
kiriman Mak Milah untuk kau.”
“Eeei…apa lindu-lindu?
Makhluk ni tak reti bahasa betullah!” Amira memaki hamun sambil menyepak tong
sampah yang berdiri tegak di tepinya. Tak pasal-pasal tong sampah yang tak berdosa
itu menjadi mangsa. Panas berapi bagai nak hangus satu badan, tapi Mail hanya
ketawa puas dapat membuat Amira marah. Pasti mulut Amira yang munggil comel tu
bergerak-gerak kerana menahan marah.
“Okeylah…” Akhirnya
Amira setuju, tak guna melawan Mail tu, nanti bila balik kampung dia report
kat mak aku, maka lagi tepulah telinga ini kena bubuh. Bila Mail mematikan
talian Amira merengus kuat kerana sakit
hati yang tak tertahan, lalu sekali lagi dia menyepak tong sampah yang sudah
pun terguling akibat sepakan pertama tadi.
Pian yang mencuri
dengar dari tadi mengelekek melihat telatah Mira yang sedang betul-betul marah,
macam gajah turun minyak. Minah tu macam tulah kalau dia marah, asyik nak sepak
benda aje. Dinasihatkan supaya jangan ada sesiapa, samada customer ataupun jurujual berada dekat dengannya ketika itu. Segala
kemalangan dan kerosakan harta benda di atas tanggungan sendiri, pihak bengkel
tidak akan bertanggungjawab. Insya-ALLAH akan diusulkan pada Encik Halim supaya
membuat papan tanda seperti itu, demi menjaga keharmonian dan kerukunan hidup
bermasyarakat, terutamanya mereka yang ada urusan dengan bengkel. Agaknya kalau
berlaki esok-esok, habis laki dia kena sepak terajang. Hi…hi…hi… ketawa Pian
masih belum berhenti.
“Kenapa kawan awak tu?”
Ariel bertanya Pian yang sedang ketawa sendirian sebaik saja dia tiba di
bengkel.
“Entahlah, minah tu
datang bulan kut,” ketawa Pian dengan jawapannya sendiri, tapi Ariel hanya diam,
sedang matanya memerhati pergerakan Amira.
“Hiss, awak ni Pian
ada-ada saja. Okeylah, abang nak jumpa Amira sekejap.” Belum pun sempat Pian
berpesan supaya Ariel berhati-hati sebab angin puting beliung sedang melanda,
lelaki itu telah dahulu berlari laju mendapatkan Amira.
“Hai! Amira.” Ariel
menyapa dari belakang.
“Hoi mak aku…” Amira
melatah kerana terkejut.
“Sorrylah buat
awak terkejut.” Ariel rasa bersalah.
“Ha… tulah datang tak
reti-reti nak bagi salam.” Ariel hanya tersenyum bila kena sebiji dengan Amira.
Biasalah orang tengah angin satu badan, main belasah sajalah bahasanya.
“Kenapa marah-marah ni?
Tak elok orang perempuan marah-marah,” dengan lembut Ariel menasihati Amira.
“Mana tak marah, kalau
si Benggali tu suka buat saya marah.”
“Benggali mana pula
ni?” berkerut dahi Ariel.
“Alah, Benggali yang
called saya tadi.”
“Dia nak apa?”
“Kutip hutanglah, apa
lagi.” Minah ni tak serik-serik nak menipu. Tak serik-serik lagi ke menipu? Bawalah
bertaubat. Tak ingat ke pesan Mak Milah? Jangan suka menipu, nanti hidup tak
berkat dan orang yang suka menipu akan disambar petir. Eeei… takut! Amira
mengerutkan wajah.
“Awak hutang apa dengan
Benggali?” Ariel bertanya sebab rasa pelik dan hairan. Seingatnya, kalau
Benggali cuma ada dua benda yang mereka jual, pertama; lembu atau susu lembu
dan ke-2; roti benggali. Itu aje!
“Hutang karpet, belum
cukup bulan dah minta hutang. Apa ingat kita cop duit ke?” Ish…ish…ish… pandai
betul minah ni berlakon ya?
“Kalau awak nak, saya
boleh tolong selesaikan hutang awak tu,” dengan murah hati Ariel menawarkan
bantuan, takut pula dia mendengarnya. Pasal hutang-hutang ni manusia boleh
membunuh, macam dalam satu kes yang berlaku kat Taman Datuk Harun dulu. Seorang
adik membunuh abangnya hanya kerana hutang yang berjumlah RM50. Logik ke tidak?
Memanglah tak patut dan tak masuk akal, tapi itulah keadaan manusia sekarang.
Seolah-olah nyawa tiada harganya lagi bila ianya melibatkan wang.
“Hiss… tak payah, bukannya
banyak mana pun, saja Benggali tu nak buat kecoh. Dahlah lupakan saja cerita
tak berfaedah tu. Awak datang sini nak baiki katak lagi ke?”
“Tak adalah, saja nak
jenguk awak. Rasa rindu pula bila lama tak jumpa awak,” tanpa selindung Ariel
bersuara. Merah padam muka Amira kerana malu, tapi sempat dia cover line.
“Tak ada maknanya
rindu, bukan boleh buat kenyang pun. Kalau belanja makan, ada juga faedahnya.”
“Kalau macam tu, jomlah
saya belanja awak makan.”
“Okey, no hal punya, pasal makan sentiasa saja
siap sedia, ever ready.” Minah ni memang jenis tak malu betul. Kalau pasal mentakadarah,
cepat saja. Ariel ketawa melihat telatah Amira, kalau tadi bukan main lagi
marahnya, tapi sekarang dah pulih macam biasa. Senangnya memujuk hati Amira,
nampak saja keras dan brutal tapi hatinya lembut macam perempuan lain
juga.
“Mira… cepatlah keluar,
dah lama Mail menunggu ni!” Halim mengetuk pintu bilik Amira bila dia tahu Mail
sudah gelisah dengan penantiannya.
“Kejaplah, yang dia
datang awal tu, siapa suruh?” Amira membalas geram.
“Tak baik buat tetamu
macam tu… ALLAH tak suka,” lembut Halim
memujuk Amira.
“Bila pula pak su
bertukar menjadi ustaz ni?” sindir Amira sebaik saja dia membuka pintu
biliknya.
“Untuk bercakap
benda-benda yang baik ni, tak perlulah tunggu jadi ustaz dulu, sebab semua
perkataan yang menjurus kepada kebaikan akan mendapat pahala.”
“Lain macam saja bunyi
pak su ni?” Amira mengerutkan dahinya. Amira meletakkan tangan kanannya ke dahi
Halim. Tak pula rasa panas, tapi kenapa pak sunya pelik sangat dan semacam aje
ni.
“Hiss… pak su tak
demamlah, masih lagi dalam sedar.”
“Itulah yang peliknya…”
Amira buat muka sekupang. Halim menolak Amira ke ruang tamu tempat Mail
menunggu. Dia tahu anak saudaranya ini cukup liat untuk nak ke mana-mana, kalau
dia tak temankan. Itulah baiknya budak yang bernama Amira ni, dia tak suka
berpeleseran, melepak atau buat sesuatu yang tak tentu hala macam gadis-gadis
lain. Dunianya hanya bengkel dan rumah. Kalau bukan Halim atau kawan-kawan
bengkelnya yang bawa dia keluar, dia akan melepak depan komputer atau terlentang
bersama buku komiknya sepanjang hari.
Terpempan Mail melihat
gaya tunangnya berpakaian. Sungguh luar biasa. Selama ini tak pernah dia
melihat mana-mana gadis yang keluar makan bersama tunangnya akan berpakaian
seperti Amira. Ah… kalut betul si Amira ni… Mail menggelengkan kepalanya. Amira
tersenyum puas.
“Takkan pakai macam
ni?” Akhirnya ketidakpuasan hati Mail terkeluar juga.
“Ha… okey apa? Kenapa
kau cakap macam tu?”
Amira buat bodoh.
Amira buat bodoh.
“Memanglah okey kalau
awak pakai untuk pergi kerja kat bengkel tu… Tapi, untuk keluar makan malam
agak tak sesuailah pakai macam ni,” lembut
saja Mail menegur.
“Ah… banyak cekadak
pula kau. Sekarang ni aku nak tanya kau, kau nak keluar dengan aku ke, atau
dengan pakaian aku?” Bulat mata Amira merenung Mail, manakala Mail ketawa
mendengar soalan Amira. Entah apa punya soalanlah!
“Mestilah dengan awak,”
terpaksa Mail menjawab bila Amira menunggu jawapan darinya.
“Ha… tahu pun kau. Kalau
kau nak keluar makan dengan aku, jangan kisah apa yang aku pakai, sebab aku ni
pakai pakaian yang masih dibuat daripada kain, bukannya pakaian yang dibuat
dari daun atau plastik, faham?” Mak aii… garangnya minah ni, kesian Mail.
“Yalah, jom…” Mail mengalah,
dia kenal sangat perangai Amira ni, kalau putih katanya maka putihlah jadinya,
tak akan jadi hitam punya. Nak menang aje! Ah… susahnya menyintai manusia
kepala batu ni. Apa nak buat bila hati dah cinta, manusia kepala batu itu jugalah
yang dikejarnya. Pelikkan manusia ni?
Bila tiba di restoran,
Mail menarik kerusi untuk Amira duduk, tanpa perasaan Amira duduk juga walaupun
dia tidak suka Mail menunjukkan sikap romantiknya. Mail sedar ada mata di sekeliling
mereka yang sedang memerhati dan menilai. Lantak merekalah nak kata apa pun, mereka
bukannya kenal kami. Sebenarnya bukan salah masyarakat kalau mereka menganggap kami
pasangan gay yang sedang bercinta,
sebab orang sekarang sudah berani dan terang-terangan mengaku gay dan
berkahwin dengan pasangannya, seperti kisah pelajar tajaan Petronas yang
berkahwin dengan pasangan gaynya, ingat tak? Loya tekak, jijik sangat
bila si Melayu yang lupa daratan, dah tak kenal agama serta tak ingat mak bapak
buat perangai. Buat malu bangsa aje.
“Kenapa kau renung
aku?” Minah ni kalau bercakap tak romantik langsung. Mail ketawa bila Amira
marah.
“Kadang-kadang pakaian
kita membuatkan orang di sekeliling kita berprasangka, dan mereka selalu
menilai apa yang mereka nampak.”
“Eh… Mail, kau ingat
aku ni kerja kat Dewan Bahasa dan Pustaka ke? Kalau kau nak cakap tak payah
berbelit-belit, cakap saja straight to the point. Senang aku faham!”
Amira mencerlun ke arah Mail. Tak habis-habis nak tunjuk romantiknya. Ingat aku
suka ke?
“Cuba awak tengok kiri
dan kanan. Ada mata yang sedang melihat kita.” Mail berbisik.
“Lantaklah, dia orang
ada mata, biarlah dia orang tengok… Apa susah!”
“Masalahnya mereka
ingat kita pasangan gay. Sendiri mau ingatlah macam mana awak
berpakaian.” Amira melihat ke dalam dirinya. Dia hanya memakai jeans
biru, t-shrit putih dan jaket hitam
serta topi Nike yang selalu dia pakai. Itu saja, so apa
masalahnya?
“Ha…ha…ha…” kuat Amira
ketawa tanpa mempedulikan orang sekeliling. Pelik Mail jadinya, ingatkan Amira
nak marah bila disebut gay. Ini bukan main geli hati pula nampaknya.
“Kenapa awak ketawa?”
Mail bertanya hairan.
“Sebenarnya aku kasihankan
kau. Aku suruh kau cari perempuan Melayu terakhir kau tak nak, dan aku juga
yang kau kejar. Aku ni akan tetap berpakaian macam ni. Penyudahnya kau dianggap
bercinta dengan kaum sejenis. Nasib le. Hi…hi…hi…geli tapak kaki aku.” Amira
ketawa lagi, macam le lucu sangat.
“Yalah dah nasib saya, mencintai
orang yang keras hati macam awak ni.”
“Hmm… nasib yang kau
cari sendiri, dan kau telah menyusahkan hidup aku. Mail sekarang ni masih ada
masa dan sempat lagi bagi kau untuk tarik diri.”
“Tarik diri apa ke
bendanya. Saya ni asyik duk membilang hari saja, membilang rindu dan menganyam
angan-angan, bilakah kita akan disatukan dengan ikatan yang sah dan suci.” Bersungguh
Mail melafazkan dengan hati yang ikhlas, manakala Amira terus membuat muka
meluat dan benci.
“Dah, jangan cakap
pasal tu lagi, aku tak suka. Sekarang ni hidangan dah sampai, aku nak makan.” Amira
menarik hidangan yang telah terletak di atas meja. Tanpa mempelawa Mail dia
terus menelan apa saja yang ada di atas meja serasa seperti backhoe yang
sedang mengaut tanah. Buruk betul kelakuan kau Amira. Ada aku kisah? Biar Mail
berfikir beratus kali untuk ambil aku jadi isterinya, biar dia tahu segala
keburukan aku, biar dia sendiri yang menarik diri dan seterusnya membatalkan
perkahwinan kami. Mail hanya memerhati gelagat Amira yang sangat berselera dengan
makanannya, macam orang kebulur, tak makan setahun.
“Eh… kenapa kau tak
makan, sayang ni… kau tak habis makan ke?” Amira menarik hidangan kepunyaan
Mail yang tak habis dimakan. Dengan hanya sekali sapu saja semua makanan
safan-safa, licin licau. Mail menggelengkan kepala, manakala Amira menyengihkan
giginya. Kelihatan sisa cili, di taring
tumpulnya. Pasal mencekik memang Amira numero
uno!
Tak percaya, memang tak percaya Mail dibuatnya. Tak sangka badan kurus
macam tu boleh menghabiskan semua makanan yang terhidang. Tersenyum Mail sendiri
dengan gelagat tunangnya itu.
No comments:
Post a Comment