BAB
1
DARI cermin tingkap double glazing rumah teres sewanya, Kasdina Alya memerhatikan salji
turun lebat menutupi bumi. Sejuknya tidak terkata. Dengan suhu yang turun ke
paras -7 darjah celcius itu, jangan ada yang bermimpi untuk bertemu sang
suria. Di luar sana semuanya membeku dilitupi ais, sejuknya menusuk hingga
terasa sampai ke tulang hitam. Waktu-waktu begini space heater atau pendiang portable menjadi teman sejati. Bila
mengenangkan kesejukan melampau seperti ini, kerinduan pada tanah air mula hadir
dan terus menggebu. Sedia maklum negaraku yang dicintai, tidak ada hamparan
putih yang mengebaskan kaki dan menyengalkan tulang ini. Negaraku tropikal,
cuacanya panas, nyaman dan terang-benderang. Mudah ke sana ke mari, berselipar
dan berpakaian kain kapas longgar menutup aurat sudah memadai. Adapun, kalau rasa
teringin sangat nak main snowball, mintak ajelah sekepal dua dari nyonya
ais kacang atau mamak cendul, habis cerita.
“Woi, buat apa kau renung salji yang memutih
tu? Lebih baik kau tarik selimut balik.” Saly mengejutkan Kasdina Alya yang
ralit termenung. Bola matanya tampak fokus, seolah-olah membilang emping salji
yang berguguran.
“Aku bukan macam kau, asyik buat tahi
mata saja, sekali-sekala apa salahnya buat aktiviti fikir sikit...” Respons
spontan Kasdina Alya membuatkan Saly ketawa mengekek sendirian.
“Alah, kau ni asyik kerja saja, bila masa
nak rehat, duduklah rumah, temankan kita orang sembang-sembang,” pujuk Saly.
Kasdina Alya menyengih, macamlah pujukannya tu laku sangat.
“Yalah sangat tu, macamlah aku tak tahu,
mula-mula sembang, last sekali aku juga yang kena ke dapur, sediakan
makan untuk kau orang. Hampeh… daripada aku masak tanpa gaji, lebih baik aku
pergi kerja, setidak-tidaknya aku masak ada gaji,” cebik Kasdina Alya pada Saly
yang sudah ketawa.
“Bukan selalu kami makan masakan kau. Kau
pandai masak, sedap pula tu, macam masakan mak aku,” puji Saly ikhlas.
“Kalau kau nak makan masakan aku, kau
singgah saja kat café Caravanserai, Westfield Shopping Centre kat Shepherds
Bush, sana macam-macam aku masak,” pelawa
Kasdina Alya sambil tersenyum.
“Tak nak, sana kena bayar, mahal, jauh
pulak tu!” jawab Saly jujur. Kasdina Alya ketawa, dah agak dah!
“Kedekut, nak makan pun berkira,”
tempelak Kasdina Alya. Saly hanya ketawa.
Pintu bilik dibuka, terjengul kepala Sarah
dengan rambut yang kusut-masai. Mengalahkan orang kalah judi. Menonong saja dia
masuk dan duduk di tepi katil Kasdina Alya.
“Kas, kau ada ubat selsema tak?” tanya
Sarah. Sekejap-sekejap dia mengelap hidungnya yang meleleh.
“Eiee… teruknya kau ni Sarah, sejak bila
kena selsema ni?” Kasdina Alya bertanya.
“Sejak semalam,” jawab Sarah sebaik saja
lepas haachum, bersin.
“Woi, kalau bersin tu, tutuplah mulut
sikit, habis dah kena tempias,” marah Saly. Kasdina dan Sarah ketawa.
“Saja Sarah nak bagi kau jangkit.”
Kasdina Alya menyampuk, kemudian dia melenggang ke dapur.
“Kau tu, saja dengki dengan aku yang
sihat dan segar-bugar ni kan?” marah Saly yang nampak dibuat-buat.
“Yalah aku tengok, kau tu, sihat
memanjang, tak pernah demam macam aku ni.” Sarah menjawab sambil mengelap
hidungnya yang tak henti-henti mengeluarkan cecair. Kalau kena macam ni dua
tiga hari macam mana nak pergi kuliah? Satu lagi, kalau dah meleleh selalu
habislah kering-kontang air dalam badan ni.
“Ada kau ambil supplement?” tanya
Saly. Sarah menggelengkan kepalanya.
“Aku tak suka ubat.”
“Ha… inilah jadinya, kalau anti-bodi tak
kuat dan supplement tak nak ambil. Pantang sejuk sikit, demam, selsema. Lain
kali ambillah supplement supaya badan kau tahan dengan cuaca begini.
Kalau dah kena macam ni nak pula kau cari ubat,” nasihat percuma dari Saly. Itu
pun kalau Sarah nak dengar, kalau tak, dia akan buat bodoh saja. Buat ‘dono’
kata orang Semenanjung.
“Nah, minum air ni...” Kasdina Alya
menghulurkan satu mug air yang masih
panas.
“Apa ni?” Reaksinya
menampakkan penakut betul Sarah dengan ubat.
“Air suam campur madu
dan lemon, baik untuk selsema kau. Janganlah takut, tak ada rasa ubatnya. Minum
sekarang!” arah Kasdina Alya. Akhirnya Sarah meletakkan bibir mug itu di bibirnya dan menghirupnya perlahan-lahan
dengan penuh berhati-hati.
“Boleh baik ke?” tanya
Saly macam tak percaya.
“Insya-ALLAH jika
ALLAH kehendaki, aku dan keluarga aku selalu mengamalkan petua ni bila kami
diserang selsema atau batuk. Madu, kan minuman sunah, jadi berkat mengamalkan
sunah itu membuatkan kita sihat,” terang Kasdina Alya.
“Terima kasih Kas. Kaulah
sahabat aku yang terbaik,” ujar Sarah sambil mengelap hingusnya yang slow
sikit meleleh.
“Habis aku ni apa?”
tanya Saly cemburu.
“Kau ni sahabat aku
yang terbanyak sangat membebel, macam mak nenek!”
“Amboi, tak padan
dengan hidung dah jadi macam badut, ada hati nak mengata aku ya, nanti kau.”
Saly mencucuk-cucuk pinggang Sarah, dan mek Kelantan yang tak tahan geli itu
pun menjerit kuat minta Saly menghentikan perbuatannya.
“Okeylah, aku pergi
dulu.” Kasdina bangun dan mencapai jaket kulit yang berbulu di tengkuk, dan
tudungnya dimasukkan ke dalam jaket kulit berwarna coklat itu. Cantik juga bila
tengok Kasdina Alya dressing macam ni, nampak ranggi dan trendy, maklumlah orang dah lama bermastautin
kat kota London, sedikit sebanyak terpengaruh juga dengan fesyen minah-minah
blonde di sini.
“Kau nak ke mana?”
tanya Sarah kehairanan. Hujung minggu macam ni, orang selalu berada di rumah,
sebab cuaca sejuknya giler-giler. Yang ngamnya waktu-waktu begini berdiang,
layan junk food sambil tengok MTV.
“Alah, kau bukannya
tak tahu si Kasdina ni, tak boleh hidup kalau duit tak masyuk dalam sehari. Dia
bukannya jenis tahu bercuti, asyik nak cari duit saja, biji mata dia pun dah
ada nampak lambang $,” marah Saly.
“Betullah tu, aku
datang ke London ni nak cari duit, so aku carilah duit sungguh-sungguh,
berbeza dengan kau orang, datang London ni nak cari ilmu, jadinya kau orang tak
boleh main-main waktu kat sini, kena belajar betul-betul, barulah berbaloi
tinggalkan keluarga beribu batu, faham?” tanya Kasdina Alya sambil melilit mafla di tengkuknya, kemudian dia
memakai sarung tangan. Untuk berada di jalanan dia perlu membungkus dirinya
serapi mungkin biar tiada hawa dingin yang bisa menembusi kulitnya. Namun
makhluk dingin tetap juga menyelinap.
“Faham Cik Kasdina.
Kalau kerja hujung minggu dapatlah jumpa abang handsome tu. Maklumlah
abang handsome tu hanya kerja hari minggu saja. Tak gitu Sarah?” ejek
Saly sambil tersengih-sengih. Sarah yang hingus meleleh pun mengangguk setuju.
“Siapa?” tanya Kasdina
Alya, buat-buat tak faham.
“Buat-buat tak kenal
nampak?” sahut Saly.
“Mamat poyo tu?
Eiee... pleaselah, tak ada orang lain ke nak gandingkan dengan aku?”
marah Kasdina Alya.
“Habis sapa, Prince Harry? Dia pun poyo
jugak,” tambah Sarah. Kuat Saly ketawa dengan lawak Sarah yang spontan. Tak
padan dengan exhaust meleleh, nak juga menyampuk. Kasdina Alya menjungkitkan
bibirnya, kemudian dia juga ketawa geli hati.
“Prince Harry tu poyo
pun tak apa, dia kaya dan ternama.” Kasdina Alya tak nak mengaku kalah.
“Kau ni tak
habis-habis dengan duit. Kau ingat duit tu segala-galanya ke? Sampai nak
mencari cinta pun kena ukur dengan duit?” tempelak Saly.
“Memanglah duit bukan
segala-galanya, tapi segala-galanya dalam dunia ni memerlukan duit. Kalau kau
nak merebas pun memerlukan duit, tahu tak?” tambah Kasdina Alya.
“Ada ke nak berak pun
kena pakai duit. Sendiri punya, sendiri buanglah,” bantah Sarah. Perbincangan
menjadi hebat bercampur busuk.
“Cuba rumah kau kena
potong airnya sebab tak bayar bil, kau nak istinjak dengan apa? Memanglah boleh
istinjak dengan batu atau tisu, janji kesat, tapi itu untuk kes-kes terpencil,
tempat yang tak ada air. Masalahnya sekarang kau tak ada duit nak sambungkan semula
pengaliran air ke rumah. Amacam? Kau nampak tak duit tu memainkan peranan yang besar dalam
kehidupan?” Amboi… bukan main lagi Kasdina Alya kalau bercerita pasal duit. Duit
juga disabitnya.
“Eh... Kas, kalau kau
nak pergi kerja, pergi ajelah. Tak payah nak berceramah macam orang MLM,” suruh
Saly geram. Kasdina Alya ketawa kemenangan sambil mendepang tangan dan bersedia
untuk keluar.
“Adios Amigos,” ucap
Kasdina Alya tatkala melangkah bersama kuntuman pound di bibir.
“Semoga bertemu dengan
abang handsome dan terpikat dengan adik putih,” doa Sarah.
“Tolonglah Sarah,
jangan cakap macam tu. Kalaulah dibuatnya masin mulut kau tu, alangkah
malangnya aku kerana terpaksa berpacaran dengan mamat yang paling poyo di
dunia.” Kasdina Alya menghentikan langkahnya dan berpaling semula ke arah Sarah
dan Saly yang sudah pun ketawa mengekek.
“Poyo pun tak apa, handsome,”
sakat Sarah.
“Ingat handsome
boleh kenyang ke?” balas Kasdina Alya.
“Eh, dah… pergi
ajelah,” arah Saly. Kasdina Alya pun meninggalkan mereka berdua di dalam bilik.
Dah sah lepas ni mereka berdua tu buat tahi mata lagilah tu.
No comments:
Post a Comment