NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, August 17, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 1


                                            BAB 1         

          JAM loceng yang berada atas meja di tepi katil itu berbunyi nyaring. Tapi pemiliknya tidak pula terkesan dengan bunyi yang membingitkan telinga bagi sesiapa saja yang mendengarnya.  Kenapa tak bangun? Pengsan ke? Jam loceng berwana hijau yang jadi pendamping itu menjerit lagi, persis jeritan perempuan histeria yang kerasukan.
          Satu minit berlalu, jam tersebut masih menjerit tanpa penat. Tapi pemiliknya masih belum ada tanda untuk bangun, malah bertambah enak memeluk bantal. Tidur mati, kalau campak ke sungai pun dia tak sedar.
          “Ariel… bangun! bangun!” Puan Hasni mengejutkan anak bujangnya. Punat jam yang tidak pernah erti jemu berkhimat itu ditekan dan bunyi pun hilang serta-merta. Ariel masih belum sedarkan diri.
          “Hey, bangun! Bangunlah! Solat... Subuh dah nak habis ni.” Puan Hasni menggoncang bahu Ariel beberapa kali. Dalam keadaan separuh sedar Ariel membuka matanya sebelah, melihat ibunya yang tegak berdiri macam pak guard.
          “Kenapa ibu masuk bilik Ariel?” dalam terpisat-pisat Ariel bertanya.
          “Pandai pula Ariel bertanya. Makhluk belaan Ariel yang menjerit tak sudah-sudah ni…membuatkan lubang telinga ibu sakit dari tadi.” 
          “Ibu ni, pagi-pagi dah buat lawak.” Ariel ketawa bersama muka yang masih kusam.
          “Ariellah yang buat lawak. Jam dekat dengan lubang telinga pun tak dengar. Lain kali buatlah lagi. Biar semua orang dalam taman ni terbangun disebabkan jam awak tu!”
          “Baguslah kalau macam tu. Itu tandanya suruh bangun sembahyang Subuh. Kira berdakwahlah ibu.” 
          “Awak ni, kan  kalau ibu bercakap, ada saja jawapannya. Dah… pergi mandi. Nanti terlewat Subuh.”
          “Baiklah ibu, cium sikit.”
          “Dah, pergi mandi! Busuk tu…” Puan Hasni mengelak. Ariel ketawa sambil bergerak menuju ke bilik air.
          Sebaik saja selesai bersiap dengan kemas dan rapi, Ariel turun ke bawah untuk sarapan bersama keluarga.
          “Pukul berapa Ariel tidur malam tadi?”  Puan Hasni membuka mulut sebaik saja Ariel mula mencecahkan punggungnya ke kerusi. Tangan kanannya menghulurkan minuman dan Ariel menyambutnya, penuh cermat.
          “Pukul 3.00 pagi baru tidur,” lemah saja jawapannya.
          “Buat apa sampai 3.00 pagi?”
          “Siapkan proposal syarikat untuk tender baru,” mendatar saja suara Ariel.
          “Itu mesti siapkan kerja orang lagi. Awak ni, kan  tak habis-habis jadi mangsa orang. Asyik buat kerja orang saja,”  marah Puan Hasni.
          “Tak adalah Ibu. Ariel ditugaskan untuk siapkan proposal tersebut.” Ariel menidakkannya. Encik Syaiful mengangkat muka untuk mengetahui cerita sebenar.
          “Ya sangatlah tu.” Puan Hasni masih belum puas hati. Dia geram dengan sikap Ariel yang suka sangat berlembut dengan orang, sehingga dia sering diberi kerja yang berat-berat.
          “Selalu ke macam tu?”  Encik Syaiful menyampuk.
          “Tak adalah ayah. Ibu saja yang bising. Kerja biasalah macam tu, kena tolong-menolong dan kerjasama. Apa yang penting kerjasama…” Sempat juga anak bujangnya melawak, orang tengah serius ni.
          “Baguslah kalau awak tidak dipergunakan oleh orang lain. Ingat kerja untuk mencari pengalaman, bukannya untuk menjadi hamba orang.”  Aduh! dalamnya maksud ayah. Ariel merenung wajah bersih ayah yang tegas itu. Kalau masa kecil dahulu, segaris kumis yang melintang di atas bibir ayah membuatkan dia ketakutan. Apatah lagi kalau dia melakukan kesilapan.
          “Baik ayah.” Ariel meneruskan suapannya. Sindiran ayah tu membuatkan Ariel tak senang hati. Tempoh dua tahun yang diminta dahulu akan tamat dalam masa beberapa bulan lagi. Mengingatkan itu hatinya menjadi seriau.
          “Mana anak dara awak dua orang lagi?”  Encik Syaiful bertanya bila kedua anak gadisnya belum berada di meja makan.
          “Hmm… belum siap lagilah tu.”
          “Saya nak cepat pagi ni. Ada mesyuarat. Kalau mereka lambat, suruh saja Ariel yang hantar.”  Ariel ketawa.
          “Tak nak!!!” Nilna dan Sofia menjerit dari atas tangga sambil berlari turun.
          “Hah, tahu pula turun ya?” Puan Hasni menyakat.
.         “Siapa yang nak naik kereta abang?” Nilna mencebik.
          “Oh…berlagak ya?” Ariel Iskandar menarik tudung Nilna. Gadis itu membulatkan matanya tanda marah.
          “Ya… tak ada siapa pun yang nak naik kereta abang. Kereta pelik dan buruk.” Sofia menambah sambil ketawa.
          “Sesuailah tu, kereta pelik, dan tuannya pun pelik. Jangan suatu hari nanti dapat girlfriend pelik dahle…”  Nilna gadis yang berusia  20 tahun itu mengejek abangnya yang selalu dirasakan pelik. Ariel juga ketawa dengan kerenah adik-adiknya.
          “Ayah, tinggalkan saja minah berdua ni. Biar dia orang rasa naik kereta Volkswagen Ariel.” Ariel menyakat lagi.
          “Kalau Volkswagen Polo tu takpalah juga ayah. Ini kereta buruk yang berusia berpuluh-puluh tahun tu. Rasanya belum sampai kolej dah berhenti tengah jalan.” Bukan main lancang lagi mulut Nilna mongomel.
          “Betul tu, kalau abang ada Volkswagen Beetle Convertible, Sofia akan ikut abang, tapi  setakat Volkswagen Beetle tua tu, kira tak payahlah ya, bang? Buat jatuh saham kami saja.”
          “Amboi…bukan main kau orang hina abang ya? Tak pa. Abang harap kau orang akan dapat suami yang hanya tunggang motor kapcai saja. Sesuai dengan orang berlagak macam kau orang ni.” 
          “Alah…kapcai-kapcai tak mainlah bang. Paling kurang pun kereta macam ibu. Baru sesuai dengan kami yang vogue ni.” Sofia mencelah.
          “Eh…! minah, jodoh, rezeki dan maut, semuanya di tangan ALLAH. Kena ingat semua tu, jangan sampai menidakkan kekuasaan yang Maha Pencipta.”
          “Abang ni, selalu panggil Sofia dengan nama Minah. Tak sukalah. Macam orang kampung, macam orang bodoh saja!” Sofia memberontak sambil menghentakkan kakinya. Ariel Iskandar ketawa puas.
          “Dahlah, jangan nak bertekak. Ayah nak cepat ni. Pak Musa dah lama tunggu.” Encik Syaiful mengerahkan anak-anak gadisnya. Kemudian kedua-duanya melenggang membuntuti Encik Syaiful, tapi sebelum itu sempat lagi Sofia menjelirkan lidahnya kepada Ariel Iskandar, abang kesayangannya. Ariel Iskandar pura-pura mengejar, maka berkeliaranlah adik bongsunya itu melarikan diri sambil ketawa.
          “Heh… dah tua-tua pun masih main kejar-kejar ke?” Puan Hasni memarahi si bujang yang sudahpun menyengih.
          “Ibu, kenapa ibu tak tegur si Sofia tu?”
          “Nak tegur apa?” 
          “Kenapa ibu tak suruh Sofia bertudung macam Nilna?”
          “Dia tak hendak, biar ajelah.”
          “Tak baik ibu. Berdosa tau, membuka aurat.”
          “Alah… dia muda lagi. Biarkanlah dia pakai apa yang dia suka.”
          “Ibu…menutup aurat tu wajib. Sebagai seorang muslim kita wajib mengikut segala perintah ALLAH. Bila kita mengabaikan perkara yang wajib itu, bermakna kita melakukan perkara yang haram.” Ariel Iskandar menatap wajah ibunya dengan penuh makna dan kasih.
          “Alah, ibu nampak ramai orang yang bertudung buat maksiat juga, dan orang yang tak bertudung pula tak semestinya tak bermaruah dan jahat,” geram Puan Hasni dengan Ariel ni. Balik-balik pasal Sofia yang dibualkannya, macamlah Sofia tu jahat sangat.
          “Tanggapan ibu tu salah. Orang yang bertudung, tapi masih buat maksiat juga, itu maknanya dia bertudung bukan kerana ALLAH. Tapi ibu… apa pun, dia terlepas dari dosa mengingkari perintah ALLAH dalam bab bertudung, yang diwajibkan tu. Walau bagaimanapun, dalam hal maksiat, dia tetap tidak akan terlepas dalam dosa maksiatnya. Manakala orang yang tak bertudung dan buat maksiat pula, maka dosanya akan berganda.”
          “Ah…pandailah kamu. Lantaklah si Sofia tu, bukannya kamu yang menanggung dosa dia!” Bulat mata Ariel Iskandar mendengar  kata-kata ibunya. Ariel Iskandar mengucap panjang di dalam hati. Ya ALLAH… Kau ampunkanlah ibuku!
          “Siapa kata kita semua tak terlibat dengan dosa yang dibawa oleh Sofia. Semua orang yang berada di sekelilingnya terlibat, terutama sekali ayah dan ibu, sebab tidak memberi didikan agama yang sempurna untuknya, dan juga untuk kami semua.”
          “Habis kamu menyalahkan ibu dalam soal ini?” marah Puan Hasni.
          “Bukan, Ariel tak salahkan sesiapa. Ariel nak kita sama-sama bawa keluarga kita  ke  arah hidup cara Islam.”
          “Kenapa, selama ini ibu dan ayah sembahyang belum lagi Islam?” Anak ni dah melampau. Sejak akhir-akhir ini beginilah ragamnya. Asyik menegur itu dan ini. Semuanya macam tak kena saja. Ada saja yang tak betul di matanya.
          “Ibu… Islam itu menyeluruh, syumul, holistik, bukan hanya sekadar sembahyang, puasa dan haji sahaja. Untuk mendapat iman dan Islam yang sempurna kita perlu mengikuti apa saja perintah ALLAH, walaupun ianya tidak kita sukai,” penuh hati-hati Ariel Iskandar berbicara. Takut ibu terasa hati, apalagi untuk memperkecilkan kefahaman ibu.
          “Eh…lebih baik Ariel pergi kerja sekarang, nanti jalan jam.” Puan Hasni merubah tajuk perbincangan mereka. Kalau sembang lama-lama, pasti dia akan sakit hati sebab Ariel pandai berhujah, dan dialah yang selalu kalah bila mereka berhujah.
          “Baiklah ibu, Ariel pergi dulu. Ariel minta maaf ya ibu!”  Ariel bersalam dan mencium tangan, kemudian memeluk ibunya erat-erat.
          “Yalah…bawa kereta elok-elok, sebab kereta awak tu bukannya sihat sangat.” Ariel ketawa dengan sindiran ibunya. Dah memang ya pun.
          Puan Hasni menghantar Ariel dengan pandangan mata. Anak itu terlalu baik. Tindakannya tak pernah menyakiti hatinya, cuma semenjak dua menjak ni, cakap-cakap Ariel banyak mencabar kewibawaannya sebagai seorang ibu. Seolah-olah dia tidak pandai mendidik anak.
          Bila kereta Ariel yang menderum kuat itu berlalu dari pandangan mata, Puan Hasni menghela nafasnya yang sekian tadi tersekat. Ah…anaknya yang seorang ni memang pelik. Betul kata adik-adiknya, abang Ariel seorang yang pelik dan tak serupa orang. Dari kecil sampailah ke besar, Ariel selalu saja membuat perkara yang pelik dan tak munasabah. Sekarang tambah lagi satu, anak itu seakan berdakwah pula dengannya, ataupun Ariel sedang menentang arus dalam perhubungan keluarga. Pening !Memang pening, tapi Ariel tidak pernah menyusahkan dirinya. Ariel selalu ada di saat dia memerlukan, tidak seperti anak-anaknya yang lain, yang lebih mementingkan diri sendiri.






No comments:

Post a Comment