BAB 19
Malam masih muda, angin laut yang menghembus sepoi-sepoi bahasa menyentuh wajah
tenang Maira, rambulan malam yang tergantung di dada langit seakan-akan tersenyum melihat
mereka yang masih berjalan di gigi pantai sambil berbual.
“Maira, saya betul-betul minta maaf pada awak!”
“Kenapa Fan?”
“Atas segala kesilapan saya yang lalu,saya tahu saya selalu menyakiti hati awak,saya betul-
betul menyesal”
“Sudahlah Fan, benda dah berlalu,saya pun dah maafkan awak,lupakanlah” Maira menoleh
memberi senyuman yang ikhlas buat Fansuri. Dia sendiri tak menyangka dia boleh bergelak
ketawa dengan Fansuri yang sangat di benci. Ah,..anehnya dunia ini. Apa pun dia ingin berbaik-
baik dengan Fansuri,buang yang keruh,ambil yang jernih tak ada untungnya kalau hidup saling
bercakaran.
“Awak tak berdendam dengan saya?” Fansuri bertanya seolah masih ragu.
“Kenapa perlu berdendam?, dendam itu umpama racun yang akan melumpuhkan jiwa dan
kita tidak akan dapat hidup aman dan bahagia kerana asyik memikirkan bagaimana untuk
melaksanakan dendam itu, dan saya bukanlah orang yang sedemikian”
“Jadi apa yang saya buat selama ini awak tak marah?” Maira menjeling sambil tersenyum.
“Siapa kata saya tak marah?, memang saya marah,kadang kala saya rasa nak sepak atau karate saja awak biar puas hati, tapi itu semua taklah sampai membawa kepada dendam” “Oh,.......peristiwa sepak pasu bunga dulu sebab nak karate saya lah ya?” Fansuri ketawa sambil mengejek,merah muka Maira nasib baik waktu malam, tak jelas. Tapi akhirnya dia juga ketawa terkenangkan kakinya yang bengkak sampai dua tiga hari,terhinjut-hinjut bila berjalan.
“Habis kaki yang bengkak tu macam mana?” tawa Fsansuri masih bersisa. “Sendiri sepak, sendiri rasa ,sendiri tanggung dan sendiri urutlah” Maira berhenti berjalan, dia mengambil peluang rehat di kerusi di tepi pantai yang di sediakan oleh hotel,dia perlu mewarnakan kenangan indah ini ke dalam memorinya .Esok hari akhir dia di sini, entah bila pula dia akan ke mari,maklumlah hotel bertaraf lima bintang bukan sedikit duit yang kena terbang.
“Maira , bagaimanakah cara nak melupakan kenangan silam yang pahit itu?” Fansuri
menatap wajah yang putih bersih itu,wajah yang penuh cahaya dan wajah yang mendamaikan
bila memandangnya. Maira membuka mata bila mendengar Fansuri berada dekat dengan
kerusinya. Bila pula dia datang, tadi ada kat tepi pantai?.
“Awak bermaksud untuk membuang terus kenangan itu”
“Ya,.....saya dah lama menderita,saya inginkan kehidupan yang baru dan bahagia, tolonglah
saya”
“O.k, sebagai langkah pertama ikut saya ke tepi pantai” Fansuri membuntuti Maira yang
mula mencecahkan kakinya ke gigi pantai tanpa banyak soal.
“Siapa nama ex tunang awak tu?”
“Juliana”
“Baiklah ikut apa yang saya buat, Juliana!!!......saya maafkan awak dunia dan akhirat!!!..
laung kuat-kuat, sekuat hati, keluarkan suara dari dalam perut seolah -olah awak telah
memuntahkan wabak penyakit yang sekian lama bersarang dalam perut awak. Ulang banyak
kali,jerit sekuat hati biar ikan-ikan di dalam laut itu semua terkejut”
“Awak ni betul-betul ke main-main?” Fansuri rasa cuak dan diperbudak-budakan.
“Siapa kata saya main-main?, cepat buat sekarang!” Fansuri menarik nafas dalam-dalam
lalu dilepaskan suara garaunya.
“Juliana!!!.........saya maafkan awak dunia dan akhirat!!!” Fansuri berhenti setelah enam kali
menjerit, nasib baik pantai waktu itu tak ada pengunjung yang berhampiran. Maira membiarkan
Fansuri yang sedang mengawal emosinya,biar dia berfikir dengan jernih, biar dia rasai sendiri
beban itu beransur-ansur berkurangan dan biar kenangan-kenangan silam itu hanyut di pukul
ombak yang bergulung-gulung ke tengah lautan. Akhirnya Fansuri menoleh ke arah Maira
dengan senyuman yang manis dan bertambah menawan, mungkin dia telah merasai nikmat
kelegaan.
“Macam mana?”
“Saya rasa ringan, jiwa saya rasa lapang dan perasaan saya rasa aman dan tenteram, terima
kasih Maira”
“Itulah mukjizat sebuah kemaafan,sebenarnya memberi kemaafan itu akan lebih memberi
manfaat kepada diri kita sendiri daripada orang yang kita maafi. So,...maafkan diri sendiri dan
orang lain”
“Selepas ini apa lagi?”
“Sebenarnya petuanya banyak, tapi saya bagi yang mudah dulu,ambil sekeping kertas dan
tuliskan segala peristiwa sedih yang melukakan hati dan perkara yang didendami itu, kemudian
koyak dan bakar kertas itu hingga menjadi abu. Ini bererti luputlah rasa marah dan dendam
terhadapnya dan kita berada dalan keadaan bersedia untuk memaafkannya serta terimalah
hakikat bahawa setiap insan di dunia ini tak lepas dari melakukan dosa dan kesilapan. Yang
paling tepat ialah kembali kepada Allah kerana Dialah cinta kita yang sebenar”.
“Terima kasih Maira ,awak telah banyak membantu saya”
“Sama-sama, bukankah saling membantu itu suruhan agama”
“Boleh kita menjadi kawan?”
“Tak menjadi masalah kepada saya, sangat-sangat di alukan,kecil tapak tangan,lautan ini
saya tadahkan, tapi tak malukah Fan berkawan dengan orang gaji?” Fansuri tersenyum sumbing,
terkenang kembali kata-katanya dulu. Kemudian dia dan Maira sama-sama ketawa senang.
“Jom kita balik hotel!”
“Kenapa dah penat ke?”
“Tak, dah malam ni ,takut mama cari”
“Tunggulah sekejap lagi,.lagi pun malam belum tua, duduklah dulu , hiburkan diri Fan
dengan muzik yang sedang berkumandang dan berhubunglah dengan alam yang mesra ini serta
renunglah rembulan malam yang sedang tersenyum di dada langit itu. Saya pasti awak tak akan
menemui suasana seperti ini buat kali kedua”
“Pandai awak bermadah ya?”
“Bukan bermadah tapi adalah bahasa hati , bahasa perasaan dan bahasa alam.Jangan lupa
bahasa yang indah boleh melentur hati yang keras. Apa lagi bahasa itu jiwa bangsa”
“O.k , saya ikut cakap awak, sebab awak sekarang adalah mentor saya” Maira ketawa
senang melihat Fansuri mula merebahkan badan di kerusi bersebelahan dengan kerusi Maira.
“Saya lihat Maira bukan main suka dengar muzik,sampai boleh hafal senikata lagu” Maira
terkerising, perlahan-lahan dia menghentikan hentakkan kakinya di pasir, terasa malu tiba-tiba,
walaupun tidak kuat tetapi ketara pergerakan badannya seiring dengan muzik.
“Saya suka muzik,awak”
“Tak berapa sangat, awak suka lagu siapa?,Siti Nurhaliza, Mawi, Amy?” Maira ketawa
sambil menggelengkan kepalanya.
“Itu saja ke artis yang awak kenal?”
“Entah, itu saja yang saya tahu, saya tak pernah ambil tahu pun tentang dunia artis”
kedua-duanya ketawa.
“Habis awak suka siapa?”
“Tu yang tengah nyanyi tu” Maira menunjukkan ke arah corong pembesar suara.
“Lagu apa tu?”
“Itu lagu reggae, penyanyinya Bob Marley , penyanyi ni terkenal di sekitar awal lapan
puluhan,dia yang mencipta konsep lagu reggae dan selepas dia meninggal tidak ada kumpulan
yang dapat menyanyi lagu reggae sebaik Bob Maley,cuma bekas pemain muziknya The Walears
bermain pula dengan Alfa Brondy yang membawa konsep yang sama reggae”
“Dia meninggal sakit apa?”
“Kanser dan dia adalah lagenda,lagunya tetap fresh dan hidup walaupun sudah 30 tahun
lebih”.
“ Macamana awak boleh tahu ini semua?” Fansuri merenung Maira kehairanan
“Alah, zaman dah berubah.Maklumat di hujung jari saja,taip saja Bob Marley lepas tu
layar, semua maklumat boleh dapat . Lagi pun saya ada seorang bapa angkat yang suka sangat
yang suka mengumpul piring hitam yang memiliki semua lagu-lagu Bob Maley dan juga artis-
artis barat yang lain seperti lagu jazz, blus,folk,rock dan lain-lain .Nanti bila-bila senang saya
akan bawa awak jumpa bapa angkat saya “
“Tak menggangu awak ke?”
“Tak adalah, lagi pun bapa angkat saya baik orangnya, awak pasti seronok bila bertemu
dengannya”
Angin malam yang damai itu menyapu wajah Maira yang ceria di bawah neon lampu di
tepi pantai . Ceria dan gembira sekali.
BAB 20
Antara percaya atau tidak,tapi itulah hakikat yang Maira dengar.Maira menjadi resah dan
gelisah, kusyen kereta yang empuk terasa berduri,terkejutnya bukan main lagi ,nasib baik tak ada
makanan dalam mulut, kalau tidak bulat matanya kerana tercekik. Maira cuba menelan air
liur ,terasa pahit dan tekaknya tiba-tiba menjadi kering. Nafasnya menjadi tersekat bila mana
Datin Rosnah menyatakan hasratnya untuk menghantar Maira sampai ke halaman rumah. Aduh!
.......gawat ni!. Kalau mengikut perancangan awal datin akan meninggalkan Maira di stesen bas
Ipoh dan dia akan balik dengan menaiki teksi ataupun bas. Kenapa boleh jadi macam ni?.
“Datin!, saya ingat tak payahlah datin hantar saya sampai ke rumah,ikutlah perancangan
awal,lagi pun saya tak nak menyusahkan datin sekeluarga” takut-takut saaja Maira menuturkan
kata.
“Tak mengapalah Maira, tak ada susahnya, lagi pun rumah awak on the way nak ke Bandarr
Ipohkan?”
“Ya datin, tapi rumah saya rumah kampung,tak sesuai untuk datin ,takut datin tak selesa
nanti”Datin Rosnah merenung mata Maira seakan -akan dapat membaca gelodak hatinya,
sambil tersenyum dia menepuk-nepuk bahu Maira dengan mesra . Maira menjadi semakin gusar,
seboleh-bolehnya dia tidak mahu datin sekeluarga berkunjung ke rumahnya. Berbagai
kemungkinan boleh berlaku, bagai mana dengan mak?.Oh,...........malapetaka apakah yang bakal
berlaku?.
“Kenapa Maira cakap macam tu?tak sudi nak ajak saya ke?”
“Eh, tak adalah datin, bukan tak sudi, tapi takut datin sekeluarga tak selesa, maklumlah
kami ni orang kampung”
“Orang kampung pun orang jugakan” Fansuri mencelah, menyibuk saja mamat ni.Maira
melihat cermin hadapan. Fansuri memandangnya sambil tersenyum.
“Memanglah orang ,ingat apa?” Maira mula membalas tanpa sedar. Oppss….terlepas
cakap,dah terbiasa menjawab.
“Oh,...ingatkan orang bunian”selamba badak saja mamat ni menyakat,lepas tu ketawa.eh,....
geramnya.
“Fan sudah-sudahlah menyakat tu “ Datin Rosnah melarang si bujangnya, dia tahu
muka Maira sudah kelat.
“Ikut mana jalan ke rumah Maira?” Datuk Zaman mencelah,mungkin untuk mengalih topik.
“Ikut simpang ke Batu Gajah nanti bila sampai simpang saya bagi tahu” dada Maira
berdegup kencang,sejuk tangannya membayangkan peristiwa yang bakal berlaku.Tadi dia telah
hantar SMS ke pada Adila adik perempuannya agar masak sedap-sedap dan kemas rumah sebab
majikannya sekeluarga akan singgah ke rumah dan Adila membalas tanggung beres bos!,
“Ya Allah lindungi aku dari perkara-perkara yang tak diingini” jenuh Maira berdoa dalam
hati.
Tepat pukul 12 .45 tengah hari mereka selamat sampai ke kampung halaman Maira, itu
pun mereka singgah sekejap di Titi Gantung beli buah tangan . Sarat tangan datin dan datuk
dengan barang-barang yang dibeli, Maira hanya melihat,tak teringin rasa nak membeli-belah
tatkala hatinya terasa gundah.
Kereta berhenti di halaman rumah, emak Maira dan adik-adiknya tercegat di muka pintu.
Wajah girangnya terpancar di ruang mata, menyambut anak yang disayangi,walaupun hujung
pangkalnya cerita belum diketahui,kenapa anaknya pulang dihantar orang.
Sebaik saja pintu kereta dibuka, Maira keluar dan berlari keluar mendapatkan maknya,
dipeluk dan dicium maknya bertubi-tubi bagaikan melepaskan rindu yang berkurun lamanya.
Lepas satu-satu adiknya dipeluk dan dicium, tanpa disedari tiga pasang mata sedang
memerhatikannya penuh asyik.
“Yong, itu siapa?” Hazim adik bongsunya menggongcang tangannya.
“Oh, ya,..maaf Maira lupa,..” Maira meluru ke arah Datin Rosanah sekeluarga.Ternyata
maknya sudah pun menyalami Datin Rosnah.
“Mak, kenalkan ini Datin Rosnah ,Datuk Zaman dan Fansuri. Mereka ini majikan saya”
mak menunduk hormat ke arah Datuk Zaman dan Fansuri.
“Silalah masuk datuk!. Datin!” mak mengiringi tetamunya masuk ke dalam
rumah,manakala Maira dan adik-adiknya membuntuti mereka.
“Yong, siapa yang handsome gila tu?”
“Takkanlah majikan boleh hantar sampai ke rumah.mesti ada sesuatu ni “ Adila mula
menggiat.
“Betul tak ada apa-apa,mereka singgah saja”
“Tapikan abang tu handsome gila wa cakap lu” Adila belum puas.
“Hiss!,..diamlah nanti dia dengar,karang perasan lebih pula mamat tu” Maira memberi isyarat.
Fansuri tersenyum geli hati, walaupun mereka berbisik tapi butir bicara masih kedengaran.
“Silalah datuk,datin dan encik, jamahlah hidangan yang tak seberapa ni” mak melayani
mesra tetamunya.
“Eh, budak-budak mana?, marilah makan sama”
“ Ada kat dapur tu, sibuk tengah mengemas, biarkanlah mereka. Silakanlah datuk ,datin”
“Banyak lauk cik Idah masak, semuanya nampak menyelerakan” Datin Rosanah mula
menelan air liur, lupa pada diri.
“Ros, kawal semangat awak ye?,” datuk mula berjenaka, tapi itulah hakikatnya. Fansuri
tersenyum ke arah papanya faham sangat dengan telatah mamanya, manakala mak kebingungan
melihat wajah mereka satu persatu.
“Hmm sedapnya masakan cik Idah sama dengan masakan Maira, patutlah Maira
pandai masak rupa-rupanya ada guru yang pakar masak” melambung puji datin ,mak tersenyum
bangga, tapi dalam hati ada tanda tanya, apakah aku silap dengar?
“Datin kalau suka makanlah sikit, jangan makan banyak, orang kata buat syarat saja, lepas
makan nanti minum jus oren pekat dan jambu batu” tiba-tiba Maira mencelah dari belakang
sambil membawa satu jug oren pekat. Maira nampak mak makin kebingungan.
“Cik Idah , sebenarnya saya ni bukannya boleh makan makanan orang sihat , tapi yang tak
boleh itulah yang saya suka, saya ni kena berpantang, banyak penyakit yang saya ada. Kencing manis,darah tinggi dan jantung, tiga serangkailah katakan”
“ Oh,.. barulah saya faham “ kerut di dahi mak mula mengedur.
“Sebenarnya saya lumpuh lama juga.Tiga bulan terlantar di atas katil, pada masa tu tiada
harapan untuk sembuh, tapi nasib baiklah ada Maira”terhenti datin dari meneruskan suapan dan
mak bertambah kebingungan.
“Oh, begitu ceritanya” mak menyampuk, tapi apa pula kena mengena dengan anak
aku?.Kekeliruan itu masih belum berjawab.
“Tambah lagi, datuk , datin!,makanlah jangan segan-segan pula”
“Berselera sungguh saya makan Cik Idah, kalah masakan Maira” datuk mencelah sambil
melihat Maira yang tersengih-sengih di tepi maknya.
“ Memanglah datuk, sifu dengan anak murid mestilah menang sifu” Maira tetap tidak mahu
kalah.
“Hai!,nak menang juga” Fansuri menyampuk, Maira menjeling.
“Tahu tak apa” semuanya ketawa.
Usai solat zohor, mereka bersembang di anjung rumah. Maira mengajak Fansuri me-
ninjau-ninjau pokok buah-buahan yang sedang berbuah lebat di sekeliling rumah. Azman dan
Hazim sudah berada di atas pokok untuk mengambil buah rambutan gading yang masak
menguning . Maira mendongak ke atas pokok. Teruja sekali untuk memanjat.Ah,...tunggulah
tetamu balik nanti, dia berbisik dalam hati. Memang dia suka memanjat pokok, terasa
ada kepuasan bila dapat menawan pokok dan amat seronok bila dapat makan di atas pokok.
“Baik-baik Hazim nanti jatuh!” Fansuri melaung dari bawah, seriau melihat Hazim yang
meniti dahan-dahan kecil dan berjankit dari satu julai-ke satu julai.Maira tersenyum.Ah,.....orang
bandar!.
“Abang!, tak nak panjat sekali ke?, kalau nak panjat bolehlah Kak Maira ajarkan, dia tu
lagi pakar dalam bab panjat-memanjat ni” Fansuri ketawa keras bila Hazim membuka rahsianya.
tiada lagi rahsaia. Muka Maira sudah kelabu asap menahan malu. Kalaulah adiknya berada
di bawah sudah tentu telinga adiknya telah menjadi mangsa. Sabar ajelah. Maira menjeling ke
arah Fansuri yang tak sudah-sudah ketawakannya, Maira mencebik geram.
“Cik Idah, saya bersyukur sangat bila Maira bekerja di rumah saya. Pertemuan ini adalah
rahmat Allah . Betullah kata Maira bila saya tanya kenapa dia sanggup menjadi orang
gaji,sedangkan orang-orang muda sekarang lebih suka bekerja di kilang. Cik Idah tahu ,apa
dia cakap ?” datin berhenti berkata , tiba-tiba matanya terasa panas dan berkaca-kaca. Dada
mak berdebar kencang dan denyutnya bertambah laju. Perasaanya sebu, betapa dia terkejut
dengan apa yang baru di dengar tadi . Maira anak aku bekerja sebagai orang gaji?.soalan itu
bergulung-gulung di kepala.
Wahai anak kenapalah kau merahsiakannya selama ini?, hati mak menjadi hiba tiba-tiba. Mak
juga merasakan matanya di genangi air, dikerdipkan beberapakali agar tidak tumpah.
“Cik Idah, anak Cik Idah sungguh mulia,dia kata Allah memilihnya untuk dihantar kepada
saya, agar saya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dari dulu,saya mengaku Cik Idah,
saya jahil tentang agama, Mairalah yang mengajar saya dengan sabar dan memberi dorongan
bahawa saya boleh sihat dan pulih seperti sediakala”
“Oh, betul ke begitu?, timbul rasa bangga di hati mak,hilang rasa sayu diperlakukan oleh
anak tadi, dia tahu, dia kenal Maira, Maira jarang buat sesuatu yang tidak tepat. Sebab setiap
tindakan yang diambil dia pasti sembahyang istiqharah dahulu. Maira tidak akan membuat
sesuatu yang merugikannya.
“Bertuah Cik Idah memiliki anak sebaik itu” tiba-tiba datuk mencelah yang sejak dari tadi
hanya menjadi pendengar. Mak tersenyum puas.
“Terima kasih datuk ,datin”
“Sama-sama Cik Idah,sebenarnya kami pun tak menganggap dia seperti orang gaji, kami
anggap dia macam anak kami, lagipun kami tak ada anak perempuan”
“Oh,.. terima kasih sekali lagi datuk,datin kerana menjaga anak saya”
“Ya Cik Idah, kami singgah ni pun sebab nak berkenalan dengan keluarga Maira. Kami tahu
anak sebaik itu mesti mendapat pendidikan dan asuhan yang baik dari seoran ibu yang hebat
seperti Cik Idah,sebab bukan senang seseorang itu nak berkorban untuk orang lain”
“ Sebenarnya itulah diri Maira , dia selalu pentingkan orang lain dahulu berbanding dengan
dirinya,dia suka berkorban untuk orang yang disayangi,dulu sewaktu dia belajar saya tak mampu
untuk menanggungnya nasib baik dia dapat biasiswa , legalah saya,tapi saya belas sangat sebab
dia sanggup bekerja pada waktu malam untuk menampung kami anak beranak.
“Dulu dia sekolah kat mana?”
“Universiti Malaya ambil kos bisnes study”
“Dia tak pernah beritahu pun?” terkejut datuk dan datin.Sesuatu di luar dugaan,siapa sangka
gadis yang menjadi tukang masak di rumahnya mempunyai degree. Datuk merenung muka
datin,kasihankan Maira.
“Kalau datin nak tahu Maira tu perahsia orangnya, kalau kita simpan rahsia padanya,biar
pecah di perut jangan pecah di mulut”
“Saya ada tengok resumi dia masa mohon kerja dulu,tak pula dia sertakan ijazahnya”
Datuk Zaman masih terasa pelik dengan tindakan Maira.
“Mungkin ada sebabnya tu” Datin Rosnah menyampuk sambil melemparkan pandangannya
ke arah Maira dan Fansuri yang riang memungut buah rambutan yang di jatuhkan oleh Hazim
dan Azman. Patutlah setiap patah bicaranya adalah bernas dan berilmu pengetahuan.
Masa perpisahan pun tiba, mak membekalkan buah rambutan, langsat dan manggis
kepada keluarga datin. Maira ditinggalkan bersama cutinya selama lima hari.
“Maira kalau boleh esok lusa baliklah K.L boringlah saya bila awak tak ada” Fansuri
seperti berbisik di telinganya.Ah,.....kenapa borring?, sebab dah tak ada orang yang nak dengar
maki hamun lagi?, opss,...jahatnya aku,...orang dah minta maaf pun masih nak terasa lagi.
“Kenapa pula boring?” Maira bertanya juga apa maksudnya.
“Sebab susah nak makan” Fansuri menyengih. Maira ketawa kecil. Besar juga peranan aku ya?,
“Apa susahnya, restorankan banyak?”
“Tak sedap. Tak sama dengan awak masak”
“Ah, mengadalah awak” Maira menjeling ke arah Fansuri yang masih tersengih-sengih
terpana seketika Fansuri dengan jelingan maut itu, bagaikan panahan kilat dan petir yang terus
menyapa hati.
“O.klah bila awak balik K.L nanti, sampai saja bus stand terus saja call saya, nanti saya
jemput, Jangan ambil teksi tau, takut tak selamat” sungguh-sungguh Fansuri berpesan.
Hai!,,......lain macam saja bunyi mamat ni.apa dah jadi?, dulu aku selalu saja ulang alik naik teksi
tak pula kata apa-apa. Maira tetap tersenyum dan mengangguk walaupun dalam hati mengatakan
tidak.
Maira tunduk hormat pada Datuk Zaman dan bersalam dengan Datin Rosnah,dengan
tidak semena-mena Datin Rosnah menarik tangan dan terus memeluknya. Maira juga turut
. memeluk Datin Rosnah sebagai tanda perpisahan sementara. Akhir sekali datin bersalam
dengan mak dan adik-adiknya semua mencium tangan datin dan datuk tanda hormat dan adab
orang melayu. Siapa sangka adik-adiknya mendapat rezeki dan rahmat bila mana Datuk Zaman
menghuluurkan not RM 50 seorang, semuanya senyum lebar sambil mengucapkan terima kasih.
Datuk Zaman membalas sama-sama sambil mengosok-gosok kepala anak-anak yatim itu,terharu
Maira.
“Belajar sungguh-sungguh ya”pesan datuk pada Azman
“Insyaallah datuk”
“Fan bawa kereta baik-baik ya” Maira pula berpesan.
“Insyaallah “ Fansuri menyahut sambil menghadiahkan senyuman yang paling manis untuk Maira.
“Kami balik dulu Maira, Cik Idah “ Datin Rosnah melambaikan tangan.
“Terima kasih kerana sudi datang”
“Kalau diizinkan ,kami mahu datang lagi,seronok kampung ni”
“Kecil tapak tangan , nyiru kami tadahkan datin” datin dan mak sama-sama ketawa. Bila
kereta mula bergerak Maira melambai-lambaikan tangannya.