BAB 7
Sebaik saja Nur keluar dari
perut teksi, Nur dapati ibu mertuanya sudah tercegat didepan pagar. Perut Nur
mula mengecut. Kalau boleh dia ingin jadi semut. Puan Jamaliah mencerlun ke
arah menantunya.
“Assalamualaikum ibu, dah lama
ke ibu sampai?”
“Waalaikumusalam, kau ni pergi
mana? Dari semalam aku datang,kau tak ada juga.” Nur Asiah diam sambil membuka
pintu pagar.
“Masuk ibu .”
Puan Jamaliah meloloskan diri ke
dalam rumah, hatinya panas dengan tingkah Nur Asiah. Prasangka bermain di birai
hati.
“Eh! Nur…aku tanya ni,semalam
dan hari ini kau pergi mana? Jenuh aku menunggu. Dahlah handfon tak ada,
menyusahkan aku saja ,kena datang berkali-kali .” Nur Asiah berbelah bagi,nak
cerita ke tak? Kalau beritahu pasti kena marah ,dia tahu sangat perangai mak
mertuanya. Kalau tak jelaskan nanti berangkai-rangkai tuduhan dan tohmahannya.
“Jawablah Nur,kau pergi
menggatal ke? Suami kau pergi kerja,kau buat curang dibelakang.” Dah kata
dah…perempuan tua ni kalau tak berprasangka dengan orang tak sah, mana tidaknya
perangai mak menurun ke anak, bak kata
orang tua-tua, emak borek anak rintik,lebih kuranglah tu.
“Ibu, takkanlah Nur nak buat
macam tu, sebenarnya Nur pergi kolej, Nur dah sambung belajar.” Bulat mata Puan Jamaliah bila mendengar
alasan Nur Asiah.
“Kau belajar lagi Nur, buat apa?
Kau tu dah jadi bini orang,buatlah macam bini orang. Buat apa pergi
tergedik-gedik macam budak sekolah!!!” Marah betul mak mertua aku ni, kenapa?
Bila dah jadi bini orang,dah tak boleh belajar ke? Hei! Orang sekarang dah maju
siapa-siapapun boleh belajar,asalkan mahu ,usia bukan lagi penghalang.Ibu pun
boleh belajar kalau mahu,terutamanya belajar agama. Ibu tu dah tua, adat
katanya kalau tua ,cepatlah gol! Opps! Nur
Asiah berceramah panjang,tapi sayang cuma di dalam hati.
“Ibu, minum dulu,” Nur mempelawa ibu mertuanya minum, kasihan
dia, pasti kering tekak sebab dah berceramah panjang. Puan Jamaliah pun duduk
dan minum. Dahaga ke ?
“Eh…Nur, kau ni patutlah tak
beranak,kau yang tak nak anak ya? Sebab
nak belajar lagi?”
“Tak, bukan macam tu, Nur
belajar ni sebab Nur boring dok rumah. Siapa yang tak nak anak mak,cuma ALLAH
belum izinkan.”
“Ah…pandailah kau beri alasan.
Aku ni dah lama kempunan cucu,ingatkan kau dapat beri aku cucu. Eh, Nur…kalau
kau dah tak boleh nak mengandung,biar saja Aiman kahwin lain.” Bulat mata Nur
menoleh ke arah ibu mertuanya. Ugutan atau arahan? Mak oii…ibu mertua aku ni samalah dengan ibu
mertua Kasim Selamat. Kejam dan tak bertimbang rasa.
“Hah…kau pandang aku kenapa?
Kalau kau nak tahu ,aku dari dulu lagi tak sukakan kau,entah apa yang Aiman
nampak pada kau pun aku tak tahu.”
Perkataan itu umpama belati yang menghiris hati. Nur Asiah tunduk
merenung lantai. Tiada apa yang perlu dipertikaikan, kenapa ibu mertuanya
selalu dingin dengannya sudah ada jawapannya. Patutlah apa yang aku buat
semuanya tak kena.
“Aku datang ni, nak suruh kau
datang rumah aku, sebab malam esok aku ada kenduri. Kau Nur, datang awal
,tolong aku apa yang patut.” Esok!
Alamak…aku periksa,macam mana ni?
“Ya ibu…”
perlahan saja suara Nur, tak berani untuknya berjanji
.Tuhanku...permudahkanlah urusanku!
Sebaik saja ibu mertuanya
pulang, hati Nur Asiah merasa lapang dan lega , tapi seketika saja,selepas itu
hatinya kembali resah dan ketat balik bila mengenangkan esok. Kalau hari lain
tak akan ada masalah, tapi esok,dia akan menghadapi peperiksaan untuk semesta
dua.
Tiba-tiba dia mengorak senyum,
ada telinga dengar, ada mulut cakap, ada mata pandang, ada mulut senyum dan ada
akal guna. Dia akan mempergunakan suaminya untuk melepaskan diri. Nur Asiah
melompat seperti beruk yang terkejut
bila melihat jarum jam yang sudah menunjukkan angka lima, apa tidaknya, sekejap lagi suaminya sampai.
Satu benda pun tak siap lagi. Nur Asiah meluru masuk ke bilik air untuk mandi.
Bila Aiman tiba, Nur Asiah sudah
pun berdiri di muka pintu bersama seberkas senyuman. Ah….hipokrit, tak apalah,
senyuman,kan satu sedekah. Apa salahnya cuba menawan hati suami.Menggoda ke?
Rasanya belum tahu lagi, sebab takut ada angin lintang yang menghalang. Apa pun
harap-harap menjadi.
Aiman jadi pelik, Nur Asiah tak
pernah berdandan secantik ini. Hatinya menjadi bergetar bila melihat senyuman
Nur Asiah. Cantik dan menawan sekali.
Kalaulah Nur Asiah selalu bermanis muka seperti ini ,dia akan rasa cukup
bahagia.
Aiman merehatkan badan dan
tengkuknya ke sofa selepas membuka
stoking dan tienya. Nur Asiah yang semerbak mewangi datang berlenggang
bersama segelas jus oren dan sepinggan karipap ayam yang masih panas. Nur Asiah melihat suaminya mengurut-mengurut
tengkuknya. Penatlah tu. Lalu sebaik saja dia menyerahkan air kepada suaminya
,dia terus mengurut tengkuk Aiman.
“Kenapa rajin sangat ni.”
“Saja,kasihan tengok abang
penat.”
“Ya ke, mesti ada sesuatu. Nur
nak abang ke?” Aiman bercanda sambil
menggoda.
“Eiesh…tak ada maknanya ,” Nur Asiah menjeling. Ya …aku memang
berhajat,tapi macam mana ya, nak sampaikan, laki aku ni baran,salah cakap,
boleh angin satu badan.
“Alah cakap aje, Nur rindukan
abang ya?” Aiman menggoda lagi, dia
sememangnya tidak tahan melihat Nur yang cantik. Nur Asiah hanya tersenyum.
“Abang, kalau Nur cakap, abang
jangan marah ya?”
“Yalah.” Tak puas Aiman merenung wajah Nur yang
cantik, tapi selalunya dia menyorok kecantikannya dibalik wajah yang masam.
“Abang ,tadi ibu datang.” Aiman terkejut, pasti ada yang tak kena. Ibu
selalu begitu.
“Ibu cakap apa?”
“Ibu marah Nur belajar.” Bukan niat nak mengadu, tapi nak cerita saja.
“Ibu memang macam tu, apa yang
Nur buat semua dia tak suka, biarkanlah dia tu,” senangnya Aiman cakap.
“Tapi abang, malam esok ibu ada kenduri, dia suruh Nur pergi
awal,tolong apa yang patut, masalahnya esok Nur ada final exam untuk sem
dua ni, macam mana ni bang?”
“Alah, itu aja
masalahnya,ingatkan besar manalah tadi,” Aiman menarik hidung Nur Asiah yang
mancung.
“Ada lagi.”
“Ada lagi, apa dia?”
“Ibu marah Nur tak ada anak
lagi, ibu suruh abang kahwin lain.” Mak
oii! Bendulnya Nur, itupun nak cakap
pada suami. Besar gelak Aiman, sukalah
tu.
“Aaa…betul juga tu,kahwin dua ,best
juga,mesti gempak,” Aiman mengusik, Nur Asiah membasuh mukanya dengan cuka,
kita tak sukalah macam ni…
“Alah sayang, abang gurau
saja,abang tak akan buat macam tu,abang cintakan Nur seorang saja.”
“Betul?”
“Kalau tak betul Nur nak buat
apa?”
“Kalau tipu,ini hah…padahnya,”
Nur Asiah mencubit-cubit badan Aiman, kemudian dia lari sambil ketawa. Aiman
tak puas hati, dia mengejar Nur Asiah sehingga dapat dan Nur Asiah kini berada
dalam pelukannya. Desahan nafas suami dimuka dan haruman minyak wangi white
musk membuatkan hati Nur Asiah
bergelora.
“Nur, tolong abang boleh tak?”
“Apa?” Nur Asiah bertanya lembut.
“Letakkan cinta abang dalam hati
Nur,” Nur Asiah mengganguk bersama senyuman manisnya. Aiman bahagia , berjaya
juga dia memiliki cinta Nur. Aiman memeluk Nur Asiah erat, rasa kasihnya amat
mendalam. Cinta jangan kau pergi!
Nur Asiah dan Aiman tiba di
rumah banglow dua tingkat itu sebaik saja lepas maghrib, tetamu belum ramai
yang tiba,sebab jadual makannya pukul 8.30 malam,tapi, kawan-kawan Puan
Jamaliah ramai yang sudah tiba, dengan membawa bermacam-macam juadah sebagai
buah tangan. Tapi Nur Asiah melenggang saja.
“Hah…baru datang, menantu tak
guna ni,” itulah balasan salam yang diberikan oleh mertuanya sebaik saja Nur
Asiah mencium tangan Puan Jamaliah. Runtun hati Nur Asiah mendengarnya, apa
lagi diucapkan di hadapan kawan-kawannya. Pilu tak terkata, tapi Nur Asiah
masih mampu mengawal riak wajah. Dia mencubit tangan Aiman.
“Maaflah ibu, sebenarnya Aiman
yang tak benarkan dia datang awal. Sebenarnya petang tadi Nur ada exam,
balik pun dah petang. Tak sempat nak datang awal.”
“Hah…baik sangatlah tu, dah
berlaki ,gatal nak belajar, ha…esok-esok dia menyundal kat kolej ,baru padan
muka kamu,beri muka sangat isteri tu.” Ya ALLAH…bahasa apa ni, kenapa benci
sangat ibu pada aku? Nur Asiah rasa air
matanya ingin gugur, kolam matanya tak mampu menanggung lagi. Malunya tak tahu
nak cakap ,kenapalah dia tak jadi ulat ke,semut ke, saat ini, biar semua orang
tak tahu kewujudannya. Apa lagi kawan-kawan ibu mertuanya yang tersenyum sinis.
“Ibu, kenapa ibu cakap macam tu.
Nur tu isteri Aim, Aim yang izinkan dia belajar, biarlah ,diapun masih
muda.” Terima kasih abang.
“Itulah gatal sangat nak kahwin
dengan budak sekolah.”
“Ibu dahlah ibu, Aim tak nak
gaduh dengan ibu.” Aiman menarik tangan
Nur Asiah untuk berjumpa dengan papanya.
“Assalamualaikum papa,” mereka memberi salam serentak.
“Assalamualaikum papa,” mereka memberi salam serentak.
“Waalaikumussalam.” Tuan Hasan menyambut mesra.
“Kenapa dengan ibu kamu tu?”
“Alah ibu marahkan Nur,lambat
datang untuk tolong dia.”
“Nak tolong apa? Kenduri
katering yang buat, dahlah tu ,dia memang saja suka cari hal dengan kamu.
Sudahlah Nur ,tak payah pedulikan dia. Papa dengar Nur belajar balik?”
“Ya papa, dah masuk semester
dua.”
“Course apa?”
“Diploma Pengurusan Sumber
Manusia.”
“Bagus tu, lepas ni bolehlah
kerja kat pejabat,” Tuan Hasan memberi
sokongan.
“Yalah papa, itupun kalau
dibenarkan,” Nur Asiah menjeling, Aiman
menyengih,faham dengan maksud Nur. Begitu juga Tuan Hasan yang tersenyum ,dia
tahu anak lelakinya itu kuat cemburu.
Tiba-tiba seorang gadis cantik
datang meluru ke arah Nur Asiah.
“Eh…Kak Nur, dah lama ke
sampai?” Luna Liana datang memeluknya.
Adik perempuan Aiman yang akan mengambil peperiksaan SPM tahun ini.
“Baru aje,Luna buat apa tadi?”
“Tengah susun kuih,kawan ibu
bawakan. Jom kita ke dapur.”
“Jom, boleh Kak Nur
tolong,” Nur menawarkan khidmatnya.
Memang dia tak tahu nak buat apa, tercegat macam orang bodoh, takkan nak
berkepit dengan laki saja,nanti apa pula kata orang, apa lagi mak
mertuanya,yang asyik mengintai aje salahnya.
Sebaik saja doa tahlil habis dibaca. Tuan Hasan dan Puan Jamaliah
mempersilakan tetamu makan,Nur Asiah tidak meluru mengambil makanan, dia akan
makan kemudian. Tiba-tiba dia melihat ibu mertuanya memanggil Aiman datang
menghampiri sekumpulan perempuan. Mungkin itu semua kawan ibu, tapi yang
peliknya Aiman diperkenalkan dengan seorang perempuan yang muda. Siapakah perempuan itu? Saudarakah atau
kenalan lama? Yang sakit hatinya, lama pula Aiman bersembang, rancak pula tu,
siap ketawa-ketawa lagi. Ah… bencinya, Nur tak suka. Nur Asiah melihat dari
jauh,tiba-tiba Aiman menoleh ke arah Nur,baru dia sedar Nur Asiah sedang
memerhatikannya. Bila dia menoleh sekali lagi, Nur Asiah telah menghilang.
Cemburukah Nur Asiah!
“Kenapa Nur kat sini?” Aiman yang datang dari belakang menyapa Nur
Asiah yang sedang membasuh pinggan.
“Saja, nak basuh mana yang
patut.”
“Biarkanlah ,ini kerja bibik.”
“Apa salah tolong ,bibik pun banyak kerja.”
“Jomlah kedepan, abang ambilkan
makanan.”
“Tak apalah, Nur tak nak makan lagi,” Nur Asiah
berdalih.
‘”Abang tahu, Nur
cemburukan?” Nur Asiah tidak menjawab.
“Siapa perempuan tu?”
“Anak kawan ibu, calon yang ibu
carikan kut!” Berderau darah Nur
Asiah naik ke muka, walaupun dia tahu Aiman hanya bergurau, tapi ibu mertuanya tak mungkin bergurau.
“Huh…abang sukalah yang mantap
meletup-letup macam tu.” Aiman ketawa kuat,memanglah,perempuan tadi tak pakai
tudung,nampaklah nak meletupnya.
“Tak, abang hanya suka Nur
,walaupun Nur tak meletup,walaupun macam papan sekeping,” Aiman masih ketawa
sambil memeluk Nur dari belakang dan dagunya diletakkan diatas bahu Nur. Dia
cintakan Nur, biarlah sampai bila-bila.
“Hah…kat sini rupanya kamu Aim,
tak habis-habis nak berkepit, macam belangkas, meluat aku tengok.” Mereka
berdua ditembak bertubi-tubi oleh Puan Jamaliah yang datang kedapur mencari
Aiman.
“Kan dah kena…” Nur Asiah
membisik kepada suaminya. Aiman hanya menyengih.
“Jom Aim, ada tetamu yang nak
kenal dengan Aim,” Puan Jamaliah mengajak Aiman,tapi tidak Nur Asiah. Aiman
terpaksa mengikut setelah tangannya ditarik oleh Puan Jamaliah. Ah…sampai bila-bilapun aku tak akan diterima
oleh ibu. Sabarlah wahai hati,kerana sabar itu melegakan.
Nampaknya Puan Jamaliah berusaha
keras untuk menghancurkan rumahtangganya. Sejak mereka berkahwin Puan Jamaliah
tak pernah berkenan dengannya ,ada saja
yang tak kena di matanya. Sesuatu
yang Nur Asiah tak faham ialah ,
walaupun Aiman seorang yang panas baran dan cepat menangankan Nur, dia tidak
suka kalau ibunya mencerca dan memaki hamun Nur, dan dia sanggup berperang
mulut dengan ibunya demi membela Nur.
Ah…kenapalah dari dulu ibu tak halang perkahwinan ini? Kenapa biarkan ianya
terjadi? Kenapa Nur yang menjadi mangsa dalam perkahwinan ini? Oh Tuhan!
Takdir-Mu yang telah terlukis tidak mampu aku memadamnya.