Selesai makan malam Aiman mula
merenung ke arah Nur Asiah dan membuat isyarat mata padanya. Nur Asiah faham
sebab tadi Aiman telah memberi tahunya,masalahnya dia tak sampai hati untuk
memberitahu mak dan ayah,pasti hati orang tuanya terguris dan terkoyak. Hati
mana tak terguris kalau anak menantu yang balik sekali sekala tak nak tidur di
rumahnya, malah sanggup pula menempah chalet yang terletak di hujung
kampungnya.
Nur Asiah sedih, sedih
sangat,terkilan sangat . Kalau ikut perancangan Nur ,dia ingin tidur bersama maknya,ingin memeluk maknya dan
bersembang-sembang sampai pagi. Itupun setelah dia tidurkan suaminya.
“Abang, kita tidurlah kat
sini,” Nur Asiah memujuk. Aiman
mencerlun.
“Tak nak,abang tak selesa,
banyak nyamuk,” alasan. Nur menjeling marah.
“Nanti apa pula kata mak dan
ayah.” Nur seakan nak menangis.
“Awak tak faham ke, abang kata
tak selesa! Tak selesalah!” Aiman mula
marah, tapi marahnya masih dapat diperlahankan supaya mertuanya tidak dengar.
“Sampai hati abang!” Nur Asiah
terkilan sangat. Memanglah dia tahu bilik ini tak secantik bilik tidur mereka
di KL, tak sebesar bilik di sana,tak sewangi bilik di sana,maklumlah rumah
kampung , bilik air pun ala kadar saja ,tapi tolonglah,untuk dua malam saja.
Janganlah rosakkan hormat ayah pada abang,jangan abang hina ayah dengan
ketidaksudian abang bermalam di rumahnya. Nur Asiah hanya berbicara dalam hati
,dia tahu kalau dia cakap pun tak guna. Aiman tu,ego dan baran,kalau putih
katanya ,tak akan jadi hitam lagi.
“Ayah,mak,” Nur Asiah tak mampu mengeluarkan perkataan sebaik saja
menghadap mak dan ayahnya yang sedang bersantai di anjung rumah.
“Kenapa Nur,” cuak hati Mak Esah melihat wajah Nur Asiah
yang keruh.
“Ayah, maafkan Nur.” Tak sampai
hati Nur Asiah, pasti hati ayahnya terguris.
“Cakaplah Nur,” Mak Esah
mendesak.
“Kami tak tidur kat sini,” Nur Asiah memejamkan matanya, tak sanggup
menatap bening mata ibu yang kehampaan. Sengaja dia menggunakan perkataan
kami,agar tak nampak kesalahan pada suaminya seorang, dia tak mahu maruah
suaminya tercalar dan rasa hormat keluarga pada suaminya terhakis, sebab Nur
tahu,ayahnya terlalu sayangkan menantunya, tapi belum tentu menantunya suka
pada bapa mertuanya. Nur Asiah benar-benar tersepit di tengah-tengah. Inilah
yang dikatakan diluah mati emak, ditelan mati laki. Oh…peribahasa baru ke? Tak
apalah ,lebih kurang samalah tu.
“Habis
,tidur kat mana?” Pak Khalid menyoal
dengan suara yang kendur.
“Kat chalet, hujung sana tu.”
Bila Nur membuka mata,ada manik yang jatuh, Pak Khalid merenung faham.
“Pergilah Nur,tapi pagi esok,
balik sarapan kat sini,” Mak Esah mengizinkan, dia lebih mengenali hati anaknya
dan Pak Khalid mengangguk,dia juga tahu seorang isteri wajib mengikut cakap
suaminya.
“Mak ,maafkan Nur,” Nur Asiah memeluk Mak Esah sebaik saja menuruni
tangga.
Mak Esah menghantar pandangan
ke arah kereta yang sedang bergerak,
hatinya diragut sayu sekali,ingatkan dia
dapat bermanja-manja dengan Nur,minta Nur urutkan badannya ataupun berdua-duaan
sekadar berbual kosong.
“Kasihan Nur!” Mak Esah meluahkan rasa. Pak Khalid merenung
ke arahnya. Dalam hati ada kata yang tak terucap.
“Kenapa awak cakap macam tu?”
“Itulah menantu kesayangan
awak,awak lebih mengenalinya, kan?”
Terpukul Pak Khalid dengan sindiran isterinya, memang benar kata Mak Esah, menilai seseorang bukan dari
kulitnya tapi isinya, seperti kata orang putih don’t
judge the book by it’s cover. Ceh ,wah…pandai pula Mak Esah
berbahasa orang putih.
Bila Nur masuk saja ke dalam
rumah, terdengar bunyi bising dan huru-hara, macam orang tengah bergaduh. Nur
Asiah terus ke dapur.
“Apa hal mak,bising sampai ke
luar rumah?”
“Hah... apa lagi, kalau tak
berebut tandas,” selamba saja Mak Esah menjawab. Nur Asiah ketawa.
“Dah tak ada benda lain ke budak
dua orang nak berebut?”
“Entahlah…mak pun tak faham, macam anjing dengan kucing, asyik nak bercakar saja.”
“Entahlah…mak pun tak faham, macam anjing dengan kucing, asyik nak bercakar saja.”
Dumm!!! Dumm!!! Dumm!!! Ketukan
berbunyi kuat.
“Hoi! Liki, bila lagi kau nak
keluar? Aku dah tak tahan ni,” Naim menekan perutnya,sekejap-sekejap dia
memegang punggungnya.
“Sabar boleh tak? Aku
tengah on the way ni ,kacau daun
betullah kau ni.”
“Banyaklah kau punya on the
way , dari tadi tak selesai juga.
Kau ni berak batu ke kayu?”
“Besi.”
“Besar mana?”
“Besar penumbuk, kau nak ke?”
Liki bertanya dari dalam, Nur Asiah ketawa mendengarnya. Gila betul dia orang
ni.
“Weh...kamu ni ,tengah berak
pun boleh bertengkar ke? Tak senonoh langsung!” Mak Esah menjerkah
anak-anaknya. Liki ketawa dan Naim terkepit-kepit menahan.
“Mak tengok Liki ni ,saja tak
mahu keluar dari tandas,agaknya dia ni hantu tandas, patutlah kerja pun jaga
tandas ,” Naim sudah geram, dia makin tak tahan.
“Liki, keluarlah aku dah tak
tahan ni, karang berterabur kat sini siapa nak tanggung?”
“Kaulah tanggung,itu barang kau!
Lebih baik kau sabar ,aku tengah khusyuk ni, karang kalau aku letupkan lubang
tandas ni, siapa yang susah? Kau….juga susah,” Liki menjawab dari dalam. Nur
Asiah dari tadi ketawa mendengar dia orang bergaduh.
“Liki, lebih baik kau
keluar! Karang ,aku cabut pintu ni ,biar
ternganga!” Mak Esah mula marah. Pintu tandas pun terbuka,Liki
tersengih-sengih. Naim terus menerpa masuk,hajatnya perlu diselesaikan.
“Wah, mak, makin brutal nampak
sejak anak menantu balik,saja nak tunjuk
hebatlah tu,tapikan kalau mak cabut pintu tandas tu,macam mana giliran
mak nak melepas?” Nur Asiah gelak sampai
nak tergolek, Mak Esah pula mencari telinga Liki, dapat saja telinga Liki,dia
memulas sekuat hati macam orang sedang memerah kain untuk di jemur.
Terjengkit-jengkit Liki dibuatnya.
“Kau ni kan kalau tak mengenakan
orang tak sah, hah…rasakan,”geram betul Mak Esah pada Liki.
“Adoi...! Sakitnya mak,putus
karang telinga orang ,siapa yang susah? Mak…jugakan yang susah.”
“Nak menjawab lagi tu, nah…nah…”
baru puas hati Mak Esah. Kadang-kadang sakit hati betul dia dengan perangai
Liki,tak pernah ambil serius dengan semua perkara, asyik nak main saja. Cukup
dengan loyar buruk dan tak makan saman.
“Pulas lagi mak,” Naim yang baru
keluar tanda tersenyum senang. Padan muka!
“Kau pun satu ,tiap kali aku
masuk tandas,kau pun nak masuk tandas, asal aku masuk saja,kau nak masuk. Apa
masalah dengan punggung kau? Dengki? Cemburu?
Dasar buntut tak sekolah,” marah Liki pada Naim, kali ni tak ada
sengih-sengih lagi,mungkin sakit hati sangatlah tu.
“Bodoh, punggung mana ada
sekolah,” Naim membalas sambil ketawa
mengejek.
“Habis kalau kau pergi
sekolah,mana kau letak punggung kau? Ataupun kau cabut punggung kau tu ,sidai
depan pintu?” Nur Asiah ketawa mengekek sampai mengalir air mata , memang budak
dua orang ni gila betul, kalau bergaduh mesti keluar bahasa yang tersimpan
dalam kamus dewan, mesti pelik punya. Nasib baik Aiman lepak kat pangkin depan rumah,taklah dengar
sangat suara dia orang bergaduh,kalau tak malu juga Nur dengan perangai
adik-adiknya.
“Hah…apa punggung-punggung
ni? Tak habis lagi ke kamu bergaduh?
Baik ,nanti aku adukan pada ayah kamu, biar kamu tahu macam mana sedapnya roti
panjang tu, dahlah Nur ,jom pelawa Aiman makan ,usah dilayan budak dua orang
ni, kalau kau layan ,dengan kau-kau pun jadi sewel.” Sepet mata Naim dan
Liki,agaknya sedang mengingati nostalgia roti panjang Pak Khalid,mungkin
sedapnya sampai terangkat. Nur Asiah mengangkat kening dan budak berdua itu
menggelengkan kepala. Ha…tau takut.
“Ayah mana mak?” Nur Asiah
bertanya, saja nak tambahkan kengerian Naim dan Liki.
“Tadi katanya nak ke jeti, nak
cari ikan sembilang,dia suruh mak masak kari ikan sembilang untuk Nur.”
“Ya ke mak? Tak sangka ayah
ingat lagi apa yang Nur suka,” terharu Nur Asiah.
“Yalah Nur,kan anak
ayah,pastilah ayah tahu apa yang Nur suka ,jomlah kita makan,tak payahlah
tunggu ayah,dia tu,mesti lambat sikit
sebab tunggu nelayan balik dari laut.”
Nur Asiah turun ke tanah, menuju
ke pangkin tempat suaminya berehat sambil menghadap laut.
“Abang ,mak panggil makan.”
“Tak hendaklah,abang dah
kenyang,kan tadi abang dah makan.”
“Alah jamahlah sikit,kasihan
mak,dia masak banyak tu.”
“Eh…awak ni tak faham ke? Abang
dah kata kenyang tu,maknanya kenyanglah,” suara
Aiman mula tinggi.
“Kalau abang tak nak makan,abang
minum saja.” Nur Asiah masih belum
berputus asa.
“Kalau kau tak faham, biar aku
cakap dengan kau,sebenarnya kembang tekak aku bila makan dengan kau orang,bau
hanyir,masak pun bukannya sedap.” Terpempan Nur Asiah mendengar kenyataan dari
mulut suaminya, sungguh kurang ajar! Sungguh biadap! Nur Asiah melihat suaminya
halus macam semut, nasib baik dia masih sedar ,lelaki itu
adalah suaminya ,kalau tak dah lunyai lelaki itu dikerjakan, siap tenyeh
muka pada tanah lagi.Marah Nur Asiah menyala dalam hati. Alangkah sombongnya
lelaki yang bernama Aiman.
“Dahlah ,abang nak ke rumah pak
cik,lemaslah!” Siapa lagi pak ciknya, kalau bukan Wak Seman kedai runcit tu.
Aiman menghidupkan kereta lalu meluncur laju. Nur Asiah diam tak berkutik,
kalaulah mak dan ayah mendengar apa yang Aiman cakapkan tadi,alangkah sedih dan
pilunya hati mereka.
“Mana Aiman?” Mak Esah mengintai di belakang Nur Asiah.
“Dia tak nak makan,sebenarnya
dia tu tak biasa sarapan pagi.” Berdosa menipu mak,tapi kalau dia cakap perkara
yang sebenar,pasti hati maknya akan terluka dan keburukan suaminya juga
terserlah.
“Oh ya ke, tapi mak masak banyak nasi lemak ni.”
“Tak apa Nur boleh makan,”sengih
Nur Asiah mengubat hatinya sendiri.
Selepas makan pagi mereka berdua
beranak bersantai di anjung rumah,Naim dan Liki lesap entah ke mana. Kata Mak
Esah budak berdua tu tak kerja hari ini,saja ambil cuti sebab nak meraikan
kakaknya. Tapi tak ada makna dia orang cuti,batang hidung tak juga nampak, nak
baca buku? Jauh sekali. Entahlah apa nak jadi dengan budak dua orang tu, tak
tahulah. Tak macam Abang Zahidnya, belajar pandai sampai ke luar negara,semua
perbelanjaan bawah JPA.
“Mak bila abang habis belajar?”
“Katanya dua tahun lagi,tapi
abang bagi tahu mak habis belajar nanti dia nak kerja dulu,tak terus balik,
kenapa Nur tanya?”
“Nur rindu abanglah mak.”
“Telefonlah.”
“Mahal.”
“Tulis saja surat,” Mak Esah
memberi cadangan.
“Betul juga tu, boleh cerita macam-macam.” Nur Asiah termenung
seketika.
“Daripada Nur dok melangut,
lebih baik Nur urutkan sikit badan mak,sejak akhir-akhir ni mak rasa
sengal-sengal badan aje.”
“Baru saja Nur nak minta mak
urutkan Nur,pinggang dan belakang Nur sakitlah.Kat KL susah nak cari tukang
urut, elok sangatlah tu kita main urut-urut.”
Selesai
saja Nur mengurut maknya,Mak Esah menyuruh Nur Asiah meniarap.
“Apa hal awak ni,muda-muda lagi
dah sakit pinggang?” Mak Esah mula
menyelak baju Nur Asiah.
“Ya ALLAH! Kenapa badan kau ni
Nur? Kesan apa ni?” separuh menjerit Mak Esah,hatinya diragut tanda tanya. Nur Asiah
terperanjat,dia sendiri tidak tahu,belakangnya ada tanda kesan, kalau dia
tahu,sumpah dia tak suruh maknya mengurut.
“Oh…itu agaknya kesan Nur jatuh
tangga hari tu, ini yang Nur rasa sakit pinggang.”
“Nur, awak jangan nak menipu
mak, sebab awak tu bukannya tahu menipu ,ini bukan jatuh tangga,tapi tanda
bekas kena sebat!” Marah Mak Esah, hatinya sedih bukan kepalang,anak perempuan
yang dijaga dari kecil sampai besar,sebiji parut nyamuk pun tak ada.Kini
senang-senang saja orang nak pukul, nak palu. Dia dah agak dah, pasti ada yang
tak kena dengan rumahtangga mereka, patutlah tidurnya sering
terganggu,termimpi-mimpikan Nur.
“Mak, Nur tak apa-apa pun.”
“Ini semua ayah awak punya
pasal. Kalau dia tak paksa awak kahwin dulu,semua ni tak terjadi,” marah Mak
Esah dan air matanya menitik di atas belakang Nur. Patutlah Nur mengadu sakit
belakang. Mak Esah menggelengkan kepalanya, bagaikan tak percaya menantunya
sejahat itu.
“Mak, jangan cerita pada ayah
ya?” Mak Esah mengangguk tapi air
matanya masih turun dengan lebat, dia tahu Nur kini tersepit antara ayah dan
suami, sejahat mana pun Aiman ,lelaki itu masih suami anak perempuannya.
Tiba-tiba Nur terdengar bunyi
enjin kereta di laman rumah,pasti Aiman dah balik. Nur cepat-cepat bangun dan
membetulkan pakaiannya. Mak Esah pula beredar ke dapur,kalau boleh dia tak mahu
tengok lagi muka Aiman, muka saja lawa, tapi perangai macam setan.Dengan muka
lawa dan kereta besar itu lah dia telah memikat hati Pak Khalid,sehingga bila
Wak Seman datang merisik saja terus dia setuju. Hati Mak Esah betul-batul
marah.
“Nur, jom balik!” Arahan dari
Tuan General sudah sampai. Nur terkulat-kulat merenung Aiman, macam tak
percaya saja dengar Aiman ajak dia balik.
“Abang kata nak balik
esok,kenapa tiba-tiba ubah fikiran?” Nur Asiah tak puas hati.
“Aku ada hal,” berlagaknya
Aiman, tak boleh bertolak ansur langsung.
“Tapi Nur tak puas lagi bermalam
kat sini.”
“Aku, kata balik, baliklah,”
tinggi suara Aiman. Pak Khalid yang terjengol di muka pintu bersama ikan
sembilangnya pun terkejut.
“Kenapa nak balik cepat sangat? Ni, ayah baru bawa balik ikan sembilang untuk
Nur, kalau ya pun biar sempat makan tengah hari dulu,” Pak Khalid menghulurkan
plastik ikan sembilang kepada Nur Asiah. Nur Asiah menyambut lalu beredar ke
dapur. Air jernih mula bergenang di tubir mata. Sesungguhnya lelaki itu telah
melondehkan maruah dirinya sendiri, membuka keburukan yang sekian lama Nur
simpan dari pengetahuan mak dan ayahnya.
“Saya ada hal ayah.”
“Ya ke?
Pak Khalid masih berbaik sangka,tapi hatinya terasa sedih,baru semalam
Nur balik, hari ini Nur dah nak pergi,belum pun sempat rindu terlerai,
perpisahan sudah menanti.
Saat perpisahan pun bermula,
sedih hati Nur tidak terkata, melihat duka di wajah bonda,sedang Aiman macam
biasa saja.
“Okeylah ayah, kami balik dulu,”
Aiman bersalaman dengan Pak Khalid.
“Yalah bawa kereta tu
baik-baik.”
“Man, kalau suatu hari Man dah
tak nakkan Nur,lepaskanlah dia. Man hantarlah Nur ke rumah mak, mak akan jaga
Nur,tapi janganlah Man sia-siakan Nur. Berilah kebahagiaan pada dia,kalau dia
bersalah ajarlah dia dengan baik.” Terkejut Aiman dengan kata-kata mak mertuanya,adakah Nur telah mengadu? Celaka
kau! Nanti…kau, memang nak kena ni. Lepaskan Nur? Oh…tidak. Aku cintakan Nur.
Terpusing kepala Pak Khalid mendengar isterinya berkata demikian . Kenapa? Ada
cerita yang dia tak tahu ke?
“Man fahamkan maksud mak?” Mak Esah mula meluat dengan muka tak bersalah
Aiman. Pak Khalid tegak berdiri,
fikirannya berkecamuk, apa maksud si Esah ni?
“Ya mak,” Aiman mengangguk
sambil menjeling ke arah Nur yang masih berpelukan dengan maknya. Tak
habis-habis berpelukan, macamlah nak balik ke luar negara.
“Nur…sabar ya nak, berdoa pada
ALLAH banyak-banyak,minta pertolongan dari-Nya. Mak tahu Nur kuat, sekuatnya
Asiah isteri kepada Firaun laknatullah, dan Asiah adalah diantara wanita
pertama yang masuk kedalam syurga ALLAH bersama Siti Khadijah,isteri Rasulullah
,” Mak Esah memberi samangat. Nur Asiah hanya mengangguk, tiada kata yang mampu
dia luahkan saat ini. Kolam air matanya penuh lagi bersama hatinya yang luluh.
“Ayah,Nur balik dulu,” Pak
Khalid menarik Nur ke dalam pelukannya, memang anaknya terlampau kurus, dia
lagi diterpa rasa bersalah dan berdosa,dulu tubuh Nur tidak begini,benarlah
telahan isterinya selama ini. Nur maafkan ayah! Tapi sayang tak terluah di
bibir, yang keluar hanya manik-manik jernih. Nur Asiah merenung bening mata tua
ayahnya, walaupun tiada kata di antara mereka,tapi Nur faham bahasa hati dan
Nur Asiah pun tidak pernah menyalahkan ayah kerana Nur tahu, ini adalah
takdir-Nya yang telah terukir untuknya ,manakala ayah hanyalah penyebab
berlakunya takdir itu.
Desahan tayar kereta benar-benar
menakok hati orang yang pergi dan ditinggalkan,jauh dan jauh. Hati Nur walang
sekali, dia tak sempat pun bertemu dengan Naim dan Liki. Kenapa Aiman tak boleh
sabar sedikit, apa yang penting sangat nak balik KL, dan-dan tu juga?
Tiba-tiba Aiman memusing
keretanya menuju ke simpang belah kanan. Nak kemana? Ah…dah sah nak singgah kat
kedai Wak Seman lagilah tu,tak habis-habis dengan Wak Seman dia, menyampah aku!
Bila kereta berhenti Nur terpaksa turun juga ,kalau tak ,apa pula kata Mak
Besah dan Wak Seman, dan mereka pun dah jadi keluarganya. Tapi sekali fikir,
geram juga dengan Wak Seman ni, dialah yang menjadi tali barut Aiman dengan
ayahnya Pak Khalid.
“Masuk Nur,” Mak Besah menjemput
Nur masuk.
“Haa… Nur , masuklah…Ya ALLAH,
kenapa kau kurus sangat ni,sudah serupa papan sekeping.” Lagi-lagi papan
sekeping, tak ada benda lain ke nak buat perbandingan. Nur Asiah tak sukalah .
“Wak ni,kan kalau jumpa Nur,
tak ada benda yang wak tak kata,rupa
papanlah,rupa itulah,” Nur Asiah buat-buat marah,pada hal dia tahu hati wak.
“Mana tak kurus pak cik, asyik
rindu orang kat Russia saja,” Nur Asiah tersentak dengan sindiran Aiman.
Langkahnya terhenti , wajahnya pucat tiba-tiba ,mana dia tahu? Sepantas kilat
Nur merenung wak, wak ni memang tak boleh dipercayai, tak amanah langsung! Dulu
kata tak nak buka rahsia ,tengok sekarang, apa yang wak telah buat? Tapi…macam
mana dia nak amanah, Aiman,kan anak saudara dia.
“Ni ha…Nur, surat kau,ada tiga
pucuk semuanya,wak suruh Aiman bawa balik, tapi dia tak nak .Dia kata biar Nur
yang ambil sendiri.” Ya ALLAH…surat dari Zarif rupanya. Zarif yang telah lama
dia tidak hubungi, sejak dia menjadi isteri kepada Aiman. Tapi Zarif tak pernah
berputus asa, Zarif tetap menghubunginya. Patutlah pak cik
tu dah angin satu badan, temperaturenya mengalahkan orang darah tinggi. Tak
sabar-sabar nak balik, ini bermakna cemburu yang tak ada mata tu datang lagi
dan Nur Asiah tak akan tahu nasibnya selepas ini.Suaminya kalau cemburu memang
teruk, kadang-kala kalau ada orang pandang Nur, Nur juga yang kena marah. Orang
macam ni pun ada ke? Hai dah nasib badan . Kenapa bahagia yang datang hanya
sekejap saja , dan menghilang dalam sekelip mata.
No comments:
Post a Comment