NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Tuesday, January 17, 2012

Persis Bidadari Syurga 21



                                                          BAB   21

        Nur Asiah termenung di pangkin, matanya di buang ke laut lepas, memerhati burung-burung yang terbang riang menuju ke sarang, mentari senja mula mengisut perlahan, jatuh didada laut. Warna merah kekuningan jatuh terbias di dada laut, cantik dan mempersonakan. Dari kecil sampailah ke besar, Nur Asiah memang suka melihat warna  mentari senja yang kemerahan ,penuh ghairah dan cinta serta kerinduan.
        Tapi saat ini ,hatinya tidak merasakan demikian, yang timbul dalam hatinya ialah, kerisauan dan rasa bersalah, apa tidaknya telah berulang kali Mak Esah bertanya tentang Aiman, tapi Nur Asiah hanya berdiam diri saja, terlalu berat mulutnya untuk dibuka, tapi yang sebenarnya dia tidak tahu dari mana nak dimulakan cerita tentang rumahtangga mereka. Hatinya lemas dan resah serta takut. Apakah kata ayahnya kalau sudah mengetahui cerita yang sebenarnya. Ah...kalutnya. Nur Asiah melepaskan keluhan.
        “Jangan mengeluh...mengeluh tidak menyelesaikan masalah, mengeluh juga tanda orang yang berputus asa, sedangkan ALLAH tidak sukakan orang-orang yang berputus asa dari rahmatnya,”  terkejut Nur Asiah bila Suriani menyampuk dari belakang, entah bila Suriani muncul dia tak tahu, tadi perempuan tu sibuk bermain-main dengan adik-adiknya.
        “Kau ni Su, buat terkejutkan aku saja, kau dari mana?”  Suriani menyengih.
        “Keliling kampung, naik basikal dengan  Liki, cantiklah kampung Kuala Sungai Baru ni, tadi kami lepak atas batu pemecah pantai, tengok orang memancing.”
        “Kau naik basikal tu?”  Nur Asiah menunjukkan basikal buruk kepunyaannya, yang telah lama tidak disentuh. Basikal yang banyak kenangan dan sarat dengan nostalgia.
        “Yalah, kenapa?”  hairan Suriani.
        “Tak kasihan ke kat basikal tu, mampu ke dia menampung berat badan kau?”  pecah ketawa Nur Asiah.
        “Kau kalau nak mengata, janganlah depan-depan, kecil hati aku.Yalah aku tahu...aku ni gemuk!”
        “Alah...itupun nak merajuk, piirrah...!” mereka berdua ketawa hingga tak kering gusi. Memang mereka selalu begitu, bertekak dan kemudian ketawa.
        “Kau belum beritahu mak dan ayah kau ke?”
        “Belum, aku takutlah Su.”  
        “Berterus terang ajelah, tak baik kau buat mereka tertanya-tanya. Mereka berhak tahu, walau apa sekalipun, kau tetap anak mereka.”
        “Aku takut ayah aku menyalahkan aku atas kegagalan perkahwinan kami, maklumlah sewaktu kami kahwin dulu, ayah tahu, aku memang tak cintakan Aiman.”
        “Tak mengapa, berterus teranglah ,sekurang-kurangnya kau akan lega, fikiran kau yang sebu tu akan lapang, kau jangan takut ,aku akan berada di sisi kau.”
        “Betul?”
        “Ya, pergilah, berterus terang dengan mereka, semoga ALLAH memberkati kau.”
        “Terima kasih ,aku dengar cakap kau.”

        Nur Asiah melenggang buyung berjalan naik ke rumah, meninggalkan Suriani yang mahu bersantai di pangkin sambil melayan adik-adiknya, Naim dan Liki. Nampaknya budak-budak berdua tu cukup suka pada Suriani. Maklumlah, kadang-kala kepala Suriani tu, tak betul macam kepala Liki dan Naim. Mungkin ada keserasian.
        Di anjung rumah Nur Asiah duduk bersimpuh di tengah-tengah Mak Esah dan Pak Khalid. Dadanya berdebar-debar bagai nak pecah, tapi dikuatkan semangat dan dia membuka mulut.
        “Mak, ayah... maafkan Nur, Nur berdosa pada mak dan ayah.”
        “Kenapa Nur? Mak tak faham...”  Nur Asiah merenung bening kedua mata mak dan ayahnya, terlalu bersalah dia merasakan. Pak Khalid legat merenung wajah Nur Asiah , menanti butir bicara dari Nur.
        “Mak, ayah, sebenarnya Nur dah tak tinggal sebumbung dengan Abang Aiman lagi.”
        “Hah…apa yang dah berlaku Nur?” Bukan main terkejut lagi Pak Khalid dan Mak Esah, kelabu  asap muka mereka, ternganga mulut mereka, bagaikan tak percaya, memang... benar-benar mereka tak percaya.
        “Kenapa Nur?” Mak Esah mendesak lagi, tak tahan menunggu suara Nur yang lambat  sangat keluar dari halkumnya.
        “Panjang ceritanya mak.”
        “Pendekkan saja Nur, mak dah tak tahan lagi ni, hati mak dah lama libang-libu, bila mengenangkan Nur. Mak dapat rasakan sesuatu yang tak kena dengan kehidupan Nur.”
        “Mak kau  ni memang hebat Nur, dia ni mengalahkan wali, khasaf lah katakan, dia boleh tahu apa yang akan berlaku,” Pak Khalid mahu membuat lawak, tapi sayang lawaknya tak laku, bila Mak Esah menjelingnya tajam, jelingan maut Mak Esah bagaikan nak diterkamnya Pak Khalid dan berbau dendam. Pak Khalid melarikan matanya ke arah lain, dia faham apa yang tersirat di hati isterinya. Sebenarnya dia bukan sangat nak buat lawak, tapi dia nak mengendurkan situasi sedih yang terbayang dimuka Nur Asiah. Pak Khalid tahu, dari air wajah Nur Asiah menceritakan penderitaannya.
        “Sebenarnya Abang Aiman dah kahwin satu lagi,” sekali lagi Mak Esah dan Pak  Khalid terkejut, terkejut beruk gitu, tapi beruk pun tak terkejut sangat macam mereka berdua. Muka Mak Esah yang kelabu asap tadi bertukar  menjadi merah pula, eh...boleh main tukar-tukar warna pula. Sekali lagi Pak Khalid dijeling penuh dendam. Memang aku dah cakap. Apa-apa yang terjadi pada Nur, aku akan ganyang orang tua ni dulu, dia yang beria-ria nak bermenantukan orang Bandar tu. Hah...sekarang siap kau Pak Khalid.
        “Macam mana boleh jadi begitu Nur? Bila Aiman kahwin?” Pak Khalid mula menunjukkan rasa marah pada menantunya, sanggup Aiman memperlakukan anaknya sebegitu.
        “Dah lama mak, dah dua tahun, punca Aiman kahwin ialah kerana Nur tidak dapat melahirkan zuriat untuknya, atas desakkan maminya dia bersetuju kahwin, lepas tu dia bawa bininya tinggal dengan kami. Perempuan itu jahat mak, dia buli dan buat Nur macam orang gaji,malah macam sampah. Aiman tak peduli apa yang bini dia buat pada Nur, malah Aiman juga mendera mental dan fizikal Nur. Akhirnya Nur lari dan tinggal dengan Suriani,” bercucuran air mata Nur Asiah, bila menghabiskan cerita sedihnya. Air mata Mak Esah apa lagi, mencurah bagaikan hujan, dia menangis tersedu-sedu, tak sangka anak kesayangannya diperlakukan sedemikian. Air jernih dari pipi tua Pak Khalid juga tak berhenti mengalir, hatinya dipagut rasa sayu dan sedih. Mengapa Aiman tega memperlakukan akan anak perempuan kesayangannya sedemikian rupa, apa salah Nur, takkan kerana Nur lambat mengandung, Nur disiksa sedemikian, bukan salah Nur, bukan kehendak Nur, itu semua kehendak ALLAH. Ya ALLAH...ampunilah aku, kalau tidak aku yang memaksa Nur menerima Aiman, tentu Nur tidak menderita begini.
        “Nur! Maafkan ayah...kerana ayah, Nur menderita. Ayah menyesal Nur, maafkan ayah,” Pak Khalid memeluk Nur, penuh rasa sedih dan menyesal.
        “Ayah , jangan cakap macam tu, Ayah tak bersalah. Ini semua dah takdir hidup Nur.”
        “Tak Nur, ayahlah yang memaksa Nur berkahwin dengan Aiman. Kalau ayah tak paksa Nur, hidup Nur tak jadi begini,” sedih benar Pak Khalid saat ini.
        “Ayah...percayalah! Ini semua, qada dan qadar ALLAH dan Nur tak pernah menyalahkan ayah. Semuanya sudah suratan.” 
        “Memang salah awak, awak yang memaksa Nur berkahwin dulu,cakap saya langsung awak tak pakai! Hah...sekarang inilah balanya,” berapi-rapi marah Mak Esah  pada Pak Khalid, dia masih ingat, Pak Khalidlah puncanya. Semuanya salah Pak Khalid.
        “Mak, jangan hukum  ayah begitu .Nur tak pernah berdendam dengan ayah dan Nur tak pernah salahkan ayah. Nur tahu ini semua kehendak ALLAH.”
        “Terima kasih Nur, kalau tak ,ayah akan menyesal seumur hidup dan kalaulah ayah tahu perangai Aiman begitu, ayah tak akan suruh Nur kahwin dengannya.”
        “Ya…Nur tahu, tak ada ibu bapa yang sanggup melihat kehancuran hidup anaknya, tapi Nur sedar ini semua ujian dari ALLAH untuk Nur,” Nur Asiah bersuara lirih,baginya cukuplah mak dan ayah memahami tentang tindakannya.














Sunday, January 15, 2012

Persis Bidadari Syurga 20

BAB 20 Suriani bagaikan mendengar orang yang sedang menangis, dalam mimpi ke alam nyata? Lalu dia terpisat-pisat bangun dan menenyehkan matanya. Dia melihat jam, baru pukul 10.00 malam,rupanya dia tertidur awal. Kalau kat kampung, mak selalu memarahinya. Kata mak, tidur berebut dengan ayam. Belum apa-apa lagi dah tidur , macam ayam. Ayamkan tidur awal. Bunyi esakkan masih kedengaran, yang pasti itu suara Nur Asiah. Eh...dah sakit ke? Dah nak bersalin ke? Terkocoh-kocoh Suriani berlari dan membuka pintu bilik Nur Asiah. “Nur kau dah sakit ke?” cemasnya Suriani. Nur Asiah hanya menggelengkan kepalanya. “Dah tu kenapa menangis?” “Aku baru habis bercakap dengan mak kat kampung. Aku sedih sangat kerana tak mampu berterus terang mengenai masalah aku ni.” “Kenapa kau tak cakap saja Nur?” “Aku tak sampai hati Su, aku tahu mak dan ayah aku pasti kecewa dengan kegagalan rumahtangga kami dan mereka pasti sedih seandainya mereka tahu Aiman buat aku begini.” “Habis kau tak bagi tahu ,kau mengandung?” “Dah.” “Apa mak kau cakap?” “Dia suka sangat, gembira sangat ,tak sabar nak menimang cucu. Mak suruh aku balik. Katanya semua keluarga aku rindukan aku, terutamanya ayah aku, hari-hari dia sebut nama aku. Aku pun rindu sangat dengan mereka, tapi apakan daya,” tangisan Nur Asiah semakin pecah dan berlagu sayu. “Dahlah Nur, jangan nangis lagi. Aku bab-bab lihat orang nangis ni, memang tak tahan. Karang dengan aku sekali meraung, mak aku kata,aku ni macam Neng Yatimah pelakon zaman dulu,yang suka sangat berendam air mata. Badan besar macam gajah, tapi hati kecik macam nyamuk.” “Aku sedih sangat Su,dah tak tertanggung rasanya derita ini.” “Macam nilah Nur, minggu depan aku temankan kau balik Melaka, jumpa keluarga kau. Kau jangan takut, aku sentiasa ada di sisi kau, apa-apa jadi pun kita hadapi bersama. Dah…jangan nangis lagi.” “Betul Su?”Nur Asiah menyapu lelehan air matanya. “Ya betul, aku akan temankan kau.” “Su, kaulah sahabat aku dunia dan akhirat,” mereka berpelukan. Suriani menahan air matanya yang hampir gugur kerana sebak. “Sekarang aku nak kau tidur, jangan fikir yang bukan-bukan lagi.Esok nak kerja, kau kena banyak berehat, kalau tak perkembangan bayi tak bagus. Kau dah minum susu?” “Ya doktor, terima kasih doktor, selamat malam doktor,” ketawa Suriani dengan sindiran Nur Asiah,sedang Nur Asiah hanya menyengih. Dia bersyukur sangat dipertemukan dengan Suriani, Suriani yang terlalu mengambil berat tentang diri dan kandungannya, sehinggakan kadang-kala menimbulkan rasa lemas dengan pantang larangnya. Entah ya entah tidak, katanya emak dia yang cakap. Kalau tak ikut pasti kena marah, dah rasa duduk dengan nenek tua. Penuh pantang larang dan petua. Nur Asiah tersenyum sendiri sambil menarik selimut bagi menutupi tubuhnya, lalu dia mengucapkan selamat malam pada bulan ,moga tidurnya diulit mimpi yang indah. Seawal pagi selepas saja solat subuh, kedua orang wanita itu telah pun bersiap sedia untuk bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka .Walaupun Melaka dengan Kuala Lumpur bukanlah jauh sangat, tapi si pemandunya tetap tergesa-gesa di awal pagi. “Kenapa kau nak bertolak awal? Kelam kabut aku dibuatnya,” Nur Asiah geram dengan Suriani. “Kan elok berjalan di awal pagi.” “Ya...tapi taklah pagi-pagi buta macam ni, kau pun bukannya ada temujanji dengan sesiapapun.” Suriani gelak terbahak-bahak, lucu sangatlah tu, geram Nur Asiah. “Mak aku kata, kalau nak berjalan biarlah di awal pagi,bertolak sebelum matahari naik, barulah perjalanan lancar, tak baik bertangguh-tangguh.” “Alah...mak kau bukannya ada kat sini, bukannya nampak pukul berapa kita bertolak. Aku ni hah...tak sempat nak melabur pagi ni, sebab kaulah tergesa-gesa sangat.” “Ehmm...perkara kecik aje tu, kat mana-mana pun boleh lepaskan hajat kau tu. Kita singgah kat mana-mana hentian R&R.” “Kalau perut aku ni meragam dalam perjalanan yang tak ada hentian ,macam mana? Siapa nak jawab?” “Kaulah jawab, barang kau punya?” Suriani ketawa mengekek dengan jawapannya dan Nur Asiah juga ketawa bila mendengarnya ,ayat yang sama, macam jawapan Liki pada Naim. Ah...tentu adik-adiknya seronok dengan kepulangannya. Mak, lagilah seronok bila dapat bertemu dengannya, apa lagi bila melihat badannya yang telah mengembang macam belon, perut yang buncit pun sudah nampak dan jalan pun dah terkedek-kedek. Jangan ada yang kata macam itik serati, dahlah...! Suriani memandu tenang,menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan. Diawal pagi tak banyak kereta yang bertali arus,namun Suriani tetap berhati-hati memandu. Nur Asiah di sebelah mula membuka bekalnya yang banyak. Suriani menjeling sambil tersenyum. “Mak oii! Banyaknya bekal kau,macamlah perjalanan ni selama sepuluh jam.” Nur Asiah menyeringai sambil memasukkan kuih Tausar kesukaannya ke dalam mulut. “Aku lapar, pagi-pagi lagi perut aku dah berkeroncong ,lagipun aku dah biasa, bila berjalan mesti bawa bekal,” kuat Suriani mengilai, entah kenapa? Kena sampuk ke apa! “Bila masa pula kau berjalan? Naik kereta adalah.” “Maksud aku,bila aku travellah bendul! Aku selalu makan sebab nak hilangkan mengantuk dalam perjalanan. Aiman selalu marah kalau dia bawa kereta, aku sedap-sedap tidur,” terbit rasa rindu pada Aiman bila nama itu disebut. “Hai...takkan itu pun nak marah?” “Yalah, dia rasa sunyi, bila tak ada orang nak bersembang. Jadi kau tak marah, bila orang sebelah tidur?” “Orang dah nak tidur, biarlah…” tenang saja Suriani menjawab. “Kalau macam tu, bolehlah aku tidur lepas aku makan ni ya!” “Hoi...mak cik, kau nak suruh aku bawa kereta sorang-sorang, at least tunjuklah jalan, aku mana tahu mana nak jalan,nak ikut mana? Ni first time aku datang Melaka tau,karang sesat larat tah mana-mana.Padan muka!” “Huh...dengki betullah kau ni, orang nak tidur pun berdengki. Bukannya susah nak jalan, tengok saja signboard , sampailah nanti.” “Dah jangan tidur!” “Aik…! Tadi kata tak marah? Cepat sangat lupanya.Itulah…banyak sangat makan kepala ikan!” mereka berdua ketawa geli hati. Tiba-tiba handphone Suriani berbunyi, dia menjawab dengan wajah yang ceria sekali, pasti ada cerita disebaliknya. Perbualannya tak lama sebab Suriani memberitahu dia sedang memandu, tapi wajah yang ceria dan senyumnya yang lebar bak upih pinang masih tertera dibibir. “Weh...siapa call?” Nur Asiah nak tahu. “Tak ada siapalah,” senyum Suriani masih berbunga. “Nak cakap ke tak?” Nur Asiah menghulurkan tangannya untuk mencucuk pinggang Suriani. Suriani menjerit kegelian. “Woi...mak cik, aku tengah drive ni, nak mati ke?” “Cakap dulu, kalau tak aku cucuk lagi,” Nur Asiah ketawa mengekek, macam le kelakar sangat melihat Suriani yang kegelian. “Okaylah,aku cakap. Roslan yang telefon, dia nak ajak aku makan.” “Maksud kau dating?” Suriani masih dengan senyumannya yang lebar itu.Selebar Highway Utara Selatan , ditambah pula dengan mukanya yang sedia tembam tu, menganggukkan kepala tanda betul, tak lenguh mulut ke? “Alhamdulillah, aku harap inilah jodoh kau, moga-moga Roslan tu baik dan bertanggungjawab.” “Terima kasihlah kerana menyokong aku, sebenarnya aku tak yakin dengan diri sendiri. Kau tengoklah aku…tak serupa orang ,badan besar, tak cantik, kerjaya tak sebaik mana, siapalah yang nakkan aku.” “Tapi hati kau cantik. ALLAH melihat hati kau, bukan rupa paras kau.Nabi pun ada beritahu. Sebenarnya soal jodoh itu semua kerja ALLAH. Dialah yang telah menetapkan jodoh kita dengan siapa, walaupun kita berusaha mengelaknya atau bersungguh-sungguh menginginkannya. Hidup mati kita ni berada dalam genggaman ALLAH. Jadi kau jangan risau, akan ada jodoh untuk kau.” Perbualan mereka terhenti sebaik saja mereka melihat jalan susur keluar ke Plaza tol Alor Gajah . Suriani menyusuri jalan ke Plaza tersebut, kemudian dia mengikuti saja jalan yang ditunjuk oleh Nur Asiah untuk menuju ke Bandar Masjid Tanah. Dari Masjid Tanah mereka akan memandu kira-kira dalam 15 kilometer lagi untuk sampai ke Kampung Kuala Sungai Baru. Kuala Sungai Baru, aku datang padamu bersama rindu . Kampungku yang sentiasa dalam ingatan. Kampungku yang penuh kenangan . Bila tiba saja di Pantai peranginan Pengkalan Balak perasaan Nur Asiah menjadi lebih teruja, mengalahkan Suriani yang memang tak pernah hidup di tepi laut. Nur Asiah menurunkan tingkap kereta untuk membolehkan deruan ombak kedengaran di telinganya, semilir angin laut dingin menyapa wajahnya. “Wei... nak berhenti ke tidak ni?” Suriani bertanya bila keretanya membelok ke kanan untuk perjalanan seterusnya. “Tak payah berhenti, jalan je terus...” “Tapi , aku nak tengok Pantai Pengkalan Balak ni, kat sini ramai pengunjung, mesti best.” “Su…sepanjang perjalanan kita nanti, kau akan nanpak pantai dan chalet-chalet murah untuk di sewa , kerana di sini adalah tempat pelancungan. Jadi tak payahlah berhenti. Kita tengok saja pemandangan dari dalam kereta.” “Cantiknya kampung kau, aman dan mendamaikan,hilang serabut!” “Tahu tak apa, sebab tulah aku selalu rindukan suasana kampung aku.” “Jauh lagi ke rumah kau?” Suriani dah tak sabar nak melihat rumah Nur Asiah yang berada ditepi pantai seperti yang diceritakannya. “Tak adalah jauh lagi, nanti kau belok kiri, naik jambatan kecil,dari situ kau akan nampak jeti tempat nelayan-nelayan simpan bot dan naikkan tangkapan mereka. Dulu ayah aku pun letak bot kat situ juga.” “Wah...terujanya aku, cuma aku tak tahan dengan bau sikit,” Suriani memicit hidungnya sendiri. “Bau apa?” hairan Nur Asiah. “Entah ...bau busuk masin, macam bau busuk ikan dan wap laut pun ada,” Nur Asiah ketawa. “Betullah tu...bagi orang yang tak biasa dengan udara tepi pantai dan nelayan, dia akan tak tahan baunya,terutama kalau pantai tempat nelayan bawa naik ikan.Tapi bagi kami yang dah biasa, semua tu dah lali.” “Ini ke pekan Kuala Sungai Baru?” Berhati-hati Suriani membawa keretanya, sibuk juga jalannya. “Ya…sekarang kau belok ke kiri, jalan terus dan belok ke kanan.” “Berapa banyak kali nak beloklah?” Tak puas hati nampak… kenapa dah letih ke? “Alah sikit saja lagi...lepas ni , kau akan jumpa Restoran Terapung Ikan Bakar, jalan terus ke depan. Hah...situlah kampung aku. Kau pasti suka punya.” “Kau ni asyik jalan terus, jalan terus , tapi sampai tak juga.” “Sabarlah beb! Takkan larinya ,pantai tu kalau kau kejar . Hah...lagi satu, jalan kat sini, kau jangan bawa laju-laju...sebab jalannya sempit. Karang habis budak-budak yang main tepi jalan kau rembat,” Nur Asiah memberi peringatan yang cukup berguna pada Suriani. “Yalah...apa pasal kampung kau ni jalannya sempit sangat?” “Entah…mana aku tahu, sewaktu mak aku lahirkan aku dulu pun , jalan ni dah sempit,” ketawa Suriani dengan jawapan Nur Asiah.Padan muka, macamlah si Nur tu kerja dengan JKR. “Mana satu, rumah kau?” “Alah depan lagi, jalan terus...” senyum Nur Asiah sedang mekar di bibir.Tergambar dilayar hati wajah mak yang dirindui. “Dari tadi tak habis-habis, jalan terus ,jalan terus, tak juga sampai-sampai. Heh...minah! Apa nama kampung kau sebenarnya?” “Kampung Hilir, di bawah Mukim Kuala Sungai Baru. Hi...tak menyabar langsung, karang dah jumpa laut, tak nak naik-naik ke darat, terus tukar jadi dugong, hi...hi...hi...” Suriani menjelirkan lidahnya, dah kalahlah tu, sampai tak tahu nak cakap apa. “Tak apa, kau katalah aku lagi…sampai nanti siap kau!” “Weh... Stop! Stop! Itu rumah aku, terus masuk ke laman,” berseri-seri wajah Nur Asiah bila disalami angin pantai yang nyaman. Suriani keluar dari keretanya. Meluruskan kakinya yang dah nak krem,membetulkan urat-urat tengkuk dan meregangkan otot-otot yang ketat. “Wah...! Cantiknya kampung kau! Rumah kau pun cantik, walaupun rumah kayu, tapi sesuai dengan panorama di tepi laut. Nur...aku suka kampung kau. Aku nak pergi pantailah!” “Wei! Mak cik...naik dulu, rehat, makan ,tak payah nak teruja sangat. Sekarang ni pun matahari tengah tegak atas kepala, karang tak pasal-pasal tertukar dengan Aci Malaswari. Panas matahari laut ni semacam jelaganya tau tak? Hah...petang karang kau turunlah, nak tengok matahari yang terbenam ke, nak termenung di atas benteng pemecah batu ke, suka hatilah!” Suriani hanya menyengih macam kerang busuk. Kemudian mereka membawa barang-barang naik ke rumah. “Assalamualaikum! Mak...Nur balik ni...Nur Asiah melaung. Kemudian muncul Mak Esah yang masih basah lagi mukanya. Mungkin baru keluar dari bilik air. “Waalaikumussalam! Ya Allah... kau balik nak,” Mak Esah menerpa dan memeluk Nur Asiah dengan perasaan penuh rindu. “Mak, ini kawan Nur, Suriani.” “Apa khabar mak cik?” “Baik…mana Aiman?” Macam ada yang tak kena saja, detik hati Mak Esah. Nur Asiah hanya diam,kemudian mengalihkan persoalan. “Ayah mana mak?” “Entahlah, tadi ada kat bawah,” hati mak Esah digaru rasa curiga, ini mesti ada sesuatu yang tak beres. Biarlah...kalau Nur tak nak bercerita lagi. Mungkin Nur memerlukan masa yang sesuai untuk meluahkan apa yang dia pendam.