BAB
21
Nur Asiah termenung di pangkin, matanya
di buang ke laut lepas, memerhati burung-burung yang terbang riang menuju ke
sarang, mentari senja mula mengisut perlahan, jatuh didada laut. Warna merah
kekuningan jatuh terbias di dada laut, cantik dan mempersonakan. Dari kecil
sampailah ke besar, Nur Asiah memang suka melihat warna mentari senja yang kemerahan ,penuh ghairah
dan cinta serta kerinduan.
Tapi saat ini ,hatinya tidak merasakan
demikian, yang timbul dalam hatinya ialah, kerisauan dan rasa bersalah, apa
tidaknya telah berulang kali Mak Esah bertanya tentang Aiman, tapi Nur Asiah
hanya berdiam diri saja, terlalu berat mulutnya untuk dibuka, tapi yang
sebenarnya dia tidak tahu dari mana nak dimulakan cerita tentang rumahtangga
mereka. Hatinya lemas dan resah serta takut. Apakah kata ayahnya kalau sudah
mengetahui cerita yang sebenarnya. Ah...kalutnya. Nur Asiah melepaskan keluhan.
“Jangan mengeluh...mengeluh tidak
menyelesaikan masalah, mengeluh juga tanda orang yang berputus asa, sedangkan
ALLAH tidak sukakan orang-orang yang berputus asa dari rahmatnya,” terkejut Nur Asiah bila Suriani menyampuk
dari belakang, entah bila Suriani muncul dia tak tahu, tadi perempuan tu sibuk
bermain-main dengan adik-adiknya.
“Kau ni Su, buat terkejutkan aku saja,
kau dari mana?” Suriani menyengih.
“Keliling kampung, naik basikal
dengan Liki, cantiklah kampung Kuala
Sungai Baru ni, tadi kami lepak atas batu pemecah pantai, tengok orang
memancing.”
“Kau naik basikal tu?” Nur Asiah menunjukkan basikal buruk kepunyaannya,
yang telah lama tidak disentuh. Basikal yang banyak kenangan dan sarat dengan
nostalgia.
“Yalah, kenapa?” hairan Suriani.
“Tak kasihan ke kat basikal tu, mampu ke
dia menampung berat badan kau?” pecah
ketawa Nur Asiah.
“Kau kalau nak mengata, janganlah
depan-depan, kecil hati aku.Yalah aku tahu...aku ni gemuk!”
“Alah...itupun nak merajuk, piirrah...!”
mereka berdua ketawa hingga tak kering gusi. Memang mereka selalu begitu,
bertekak dan kemudian ketawa.
“Kau belum beritahu mak dan ayah kau
ke?”
“Belum, aku takutlah Su.”
“Berterus terang ajelah, tak baik kau
buat mereka tertanya-tanya. Mereka berhak tahu, walau apa sekalipun, kau tetap
anak mereka.”
“Aku takut ayah aku menyalahkan aku atas
kegagalan perkahwinan kami, maklumlah sewaktu kami kahwin dulu, ayah tahu, aku
memang tak cintakan Aiman.”
“Tak mengapa, berterus teranglah
,sekurang-kurangnya kau akan lega, fikiran kau yang sebu tu akan lapang, kau
jangan takut ,aku akan berada di sisi kau.”
“Betul?”
“Ya, pergilah, berterus terang dengan mereka,
semoga ALLAH memberkati kau.”
“Terima kasih ,aku dengar cakap kau.”
Nur Asiah melenggang buyung berjalan
naik ke rumah, meninggalkan Suriani yang mahu bersantai di pangkin sambil
melayan adik-adiknya, Naim dan Liki. Nampaknya budak-budak berdua tu cukup suka
pada Suriani. Maklumlah, kadang-kala kepala Suriani tu, tak betul macam kepala
Liki dan Naim. Mungkin ada keserasian.
Di anjung rumah Nur Asiah duduk bersimpuh
di tengah-tengah Mak Esah dan Pak Khalid. Dadanya berdebar-debar bagai nak
pecah, tapi dikuatkan semangat dan dia membuka mulut.
“Mak, ayah... maafkan Nur, Nur berdosa
pada mak dan ayah.”
“Kenapa Nur? Mak tak faham...” Nur Asiah merenung bening kedua mata mak dan
ayahnya, terlalu bersalah dia merasakan. Pak Khalid legat merenung wajah Nur
Asiah , menanti butir bicara dari Nur.
“Mak, ayah, sebenarnya Nur dah tak
tinggal sebumbung dengan Abang Aiman lagi.”
“Hah…apa yang dah berlaku Nur?” Bukan
main terkejut lagi Pak Khalid dan Mak Esah, kelabu asap muka mereka, ternganga mulut mereka, bagaikan
tak percaya, memang... benar-benar mereka tak percaya.
“Kenapa Nur?” Mak Esah mendesak lagi,
tak tahan menunggu suara Nur yang lambat
sangat keluar dari halkumnya.
“Panjang ceritanya mak.”
“Pendekkan saja Nur, mak dah tak tahan
lagi ni, hati mak dah lama libang-libu, bila mengenangkan Nur. Mak dapat
rasakan sesuatu yang tak kena dengan kehidupan Nur.”
“Mak kau
ni memang hebat Nur, dia ni mengalahkan wali, khasaf lah katakan,
dia boleh tahu apa yang akan berlaku,” Pak Khalid mahu membuat lawak, tapi
sayang lawaknya tak laku, bila Mak Esah menjelingnya tajam, jelingan maut Mak Esah
bagaikan nak diterkamnya Pak Khalid dan berbau dendam. Pak Khalid melarikan
matanya ke arah lain, dia faham apa yang tersirat di hati isterinya. Sebenarnya
dia bukan sangat nak buat lawak, tapi dia nak mengendurkan situasi sedih yang
terbayang dimuka Nur Asiah. Pak Khalid tahu, dari air wajah Nur Asiah
menceritakan penderitaannya.
“Sebenarnya Abang Aiman dah kahwin satu
lagi,” sekali lagi Mak Esah dan Pak Khalid
terkejut, terkejut beruk gitu, tapi beruk pun tak terkejut sangat macam mereka
berdua. Muka Mak Esah yang kelabu asap tadi bertukar menjadi merah pula, eh...boleh main
tukar-tukar warna pula. Sekali lagi Pak Khalid dijeling penuh dendam. Memang
aku dah cakap. Apa-apa yang terjadi pada Nur, aku akan ganyang orang tua ni
dulu, dia yang beria-ria nak bermenantukan orang Bandar tu. Hah...sekarang siap
kau Pak Khalid.
“Macam mana boleh jadi begitu Nur? Bila
Aiman kahwin?” Pak Khalid mula menunjukkan rasa marah pada menantunya, sanggup
Aiman memperlakukan anaknya sebegitu.
“Dah lama mak, dah dua tahun, punca
Aiman kahwin ialah kerana Nur tidak dapat melahirkan zuriat untuknya, atas
desakkan maminya dia bersetuju kahwin, lepas tu dia bawa bininya tinggal dengan
kami. Perempuan itu jahat mak, dia buli dan buat Nur macam orang gaji,malah
macam sampah. Aiman tak peduli apa yang bini dia buat pada Nur, malah Aiman
juga mendera mental dan fizikal Nur. Akhirnya Nur lari dan tinggal dengan
Suriani,” bercucuran air mata Nur Asiah, bila menghabiskan cerita sedihnya. Air
mata Mak Esah apa lagi, mencurah bagaikan hujan, dia menangis tersedu-sedu, tak
sangka anak kesayangannya diperlakukan sedemikian. Air jernih dari pipi tua Pak
Khalid juga tak berhenti mengalir, hatinya dipagut rasa sayu dan sedih. Mengapa
Aiman tega memperlakukan akan anak perempuan kesayangannya sedemikian rupa, apa
salah Nur, takkan kerana Nur lambat mengandung, Nur disiksa sedemikian, bukan
salah Nur, bukan kehendak Nur, itu semua kehendak ALLAH. Ya ALLAH...ampunilah
aku, kalau tidak aku yang memaksa Nur menerima Aiman, tentu Nur tidak menderita
begini.
“Nur! Maafkan ayah...kerana ayah, Nur
menderita. Ayah menyesal Nur, maafkan ayah,” Pak Khalid memeluk Nur, penuh rasa
sedih dan menyesal.
“Ayah , jangan cakap macam tu, Ayah tak
bersalah. Ini semua dah takdir hidup Nur.”
“Tak Nur, ayahlah yang memaksa Nur
berkahwin dengan Aiman. Kalau ayah tak paksa Nur, hidup Nur tak jadi begini,” sedih
benar Pak Khalid saat ini.
“Ayah...percayalah! Ini semua, qada dan qadar
ALLAH dan Nur tak pernah menyalahkan ayah. Semuanya sudah suratan.”
“Memang salah awak, awak yang memaksa
Nur berkahwin dulu,cakap saya langsung awak tak pakai! Hah...sekarang inilah
balanya,” berapi-rapi marah Mak Esah
pada Pak Khalid, dia masih ingat, Pak Khalidlah puncanya. Semuanya salah
Pak Khalid.
“Mak, jangan hukum ayah begitu .Nur tak pernah berdendam dengan
ayah dan Nur tak pernah salahkan ayah. Nur tahu ini semua kehendak ALLAH.”
“Terima kasih Nur, kalau tak ,ayah akan
menyesal seumur hidup dan kalaulah ayah tahu perangai Aiman begitu, ayah tak
akan suruh Nur kahwin dengannya.”
“Ya…Nur tahu, tak ada ibu bapa yang
sanggup melihat kehancuran hidup anaknya, tapi Nur sedar ini semua ujian dari
ALLAH untuk Nur,” Nur Asiah bersuara lirih,baginya cukuplah mak dan ayah
memahami tentang tindakannya.
No comments:
Post a Comment