BAB 5
Dah berbulan memohon ,baru sekarang dapat ditunaikan ,tak apalah asalkan dapat juga jenguk mak dan ayah serta adik-adik. Tapi dalam hati bagai digeletek ingin tahu,apakah mimpi Aiman mengajak Nur Asiah pulang ke kampung. Sebenarnya apalah jauhnya sangat Kampung Kuala Sungai Baru yang terletak di Melaka tu dengan Kuala Lumpur? Kalau nak balik tiap-tiap minggu pun boleh,tapi apakan daya, Nur Asiah tak berupaya melakukannya. Dapat macam ni pun dah beribu syukur,dapatlah dia melempiaskan rasa rindunya yang menggunung.
Kereta yang dipandu oleh Aiman selaju 120km sejam pun masih terasa perlahan,kalau boleh biar laju lagi,tak sabar rasanya nak menatap dan membelek wajah tua mak,rindu yang sekian lama bersarang ingin dileraikan.
Nur Asiah memandang ke arah suaminya yang sedang tenang memandu,entah kenapa Aiman tiba-tiba saja mengajak dia pulang, rasa macam tak percayalah pula.Agaknya doa dia semasa solat hajat selama ini telah dimakbulkan oleh Allah. Tuhanku! Terima kasih,sesungguhnya hati-hati kami ini adalah milikmu. Nur Asiah meraut muka,segaris senyum menghias bibir.
“Kenapa senyum?” Aiman bertanya, rupa-rupanya tingkah Nur diperhatikan. Nur Asiah senyum lagi.
“Tak ada apa,saja terasa nak senyum.”
“Yalah tu…suka sangatlah tu ,balik negeri dia.” Senyuman Nur Asiah masih berbunga.
“Mestilah, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain,” Nur Asiah mengiakan.
“Abang, terima kasih.”
“Kenapa?”
“Sebab bawa Nur balik kampung, jumpa mak.”
“Hmm…” tanpa apa-apa ulasan, Nur Asiah menunggu ,tapi tiada kata yang keluar dari mulut suaminya,ah…biarlah lelaki memang begitu. Komunikasinya selalu tergantung, bicaranya tak jelas dan maksudnya susah nak sampai.
Sebaik saja kereta menjalar memasuki Kampung Kuala Sungai Baru, hati Nur mula kembang kuncup, detak-degup jantungnya seakan kedengaran di telinga. Wajah Nur mula berubah, kemerahan penuh ceria, dia rasa bahagia saat ini. Pandangan mata Nur tak pernah sehala, dia menoleh ke kiri dan kanan ,melihat jalan-jalan yang penuh kenangan, penuh nostalgia dan penuh kebahagian. Oh…kampungku! Seakan berbisik dia menuturnya.
Dedaun kepala melenggang-lenggok ditiup angin, angin pantai yang menderu bagai menyambut ketibaan Nur Asiah dan suaminya. Semua panorama indah yang berada disekeliling kampungnya belum berubah, masih seperti dulu. Masih ada orang yang sedang memancing di atas batu pemecah pantai,masih ada anak-anak kecil yang bermain di tepi jalan atau pun tepi pantai, masih ada jiran-jirannya yang suka bertenggek di pangkin tatkala hari siang yang terlalu panas. Mereka akan duduk beramai -ramai sambil makan cucur atau cicah mempelam muda atau paling tidak pun bergosip.
Mak Esah dan Pak Khalid berlari dari dapur dan menjenguk keluar jendela sebaik saja mendengar bunyi enjin kereta yang memasuki perkarangan rumah.Senyum Mak Esah sudah sebesar dulang .Pak Khalid mempamerkan wajah gembira untuk anak dan menantu kesayangannya.Menantu yang dicanangnya ke sana sini. Menantu yang amat dibanggakan, maklumlah orang bandar,orang Kuala Lumpur lagi.
Mak Esah berlari turun sampai ke laman, membuka pintu untuk Nur Asiah. Dengan wajah yang gembira, senyuman tidak pernah lekang dari bibir Mak Esah.Gembira kerana anak perempuan seorang yang dirindui sudah berada di depan mata. Nur Asiah menyalami dan mencium tangan Mak Esah,kemudian mencium kedua pipinya lalu tangan Mak Esah merangkul tubuh Nur Asiah. Alangkah kurusnya tubuh Nur! Detik hati Mak Esah, terkejut dia seketika.
“Mengapa kau kurus sangat nak?” Mak Esah bertanya perlahan tatkala Nur Asiah membalas rangkulannya. Nur Asiah tidak menjawab,tapi pelukannya semakin erat dan air matanya deras menuruni pipi. Nur Asiah tidak perlu bercerita, naluri seorang ibu sudah dapat membaca apa yang tersirat di bening mata anaknya dan pelukan kemas Nur telah memberitahu bahawa anak itu sedang menderita. Tuhanku...! Sabarkanlah anakku! Doa Mak Esah dalam hati.
“Hai Nur, takkanlah jumpa kami pun nak nangis?” Pak Khalid menyakat Nur sebaik saja menyalami tangan Nur Asiah.
“Ayah ni, orang gembira sangat mestilah nangis.” Nur Asiah membalas dan senyum diukir biar sedih itu berlari pergi.Nur Asia sedih sebab sudah berbulan-bulan lamanya dia tidak bertemu dengan ibu dan ayahnya, dari ayahnya sakit sampai ayahnya sembuh barulah dia menjenguk muka, anak apakah aku ni? Maafkan aku ayah, aku tak berdaya ! Air mata Nur Asiah kian lebat.
“Sudahlah tu Nur, karang tak pasal-pasal air laut tu jadi pasang bila bercampur dengan airmata kau,” Pak Khalid menyakat, Nur Asiah ketawa kecil,ayah memang begitu suka menyakat. Nur Asiah mencubit lengan ayahnya.
“Bila masa pula ketam ni naik ke darat ya?” Pak Khalid menggosok lengannya,Nur Asiah ketawa lagi,air matanya sudah kering. Mak Esah juga ketawa.
“Ayah ni ,suka,usik Nur.” Nur Asiah bersuara manja,terasa bahagia bila bersama mak dan ayah. Ayah memang garang , tapi dia juga penyayang dan lemah lembut.
“Nur ni manja orangnya, tapi jangan kau manjakan dia sangat,nanti naik lemak.”
“Memang Nur manja,sikit-sikit menangis,” Nur Asiah terkejut dengan ulasan suaminya, dia menoleh ke arah Aiman yang sedang merenungnya. Nur menjadi takut dengan renungan itu, ada ugutan dalam renungan. Puihh!!! Pora chit! Manja konon,dah kau balun aku selalu, mana aku tak menangis,kerbau yang badan besar pun menguak bila kena palu,inikan pula aku yang kurus cekeding, akai ada ke? Amboi! Beraninya menyumpah suami? Memanglah berani kalau dalam hati saja. Tak baik menyumpah suami, apa-apa pun sabar ajelah.
Mak Esah sudah pun menyiapkan makan tengah hari untuk Nur Asiah dan suami,tunggu duduk dan makan saja. Nur melilau-lilau mencari kelibat adik-adiknya, seorang pun tak ada.
“Mak mana dia orang semua? Hari tak sekolahpun takkan tak ada kat rumah?”
“Hmm…bukannya Nur tak tahu Naim dan Liki tu,asal cuti aje lesap.”
“Mereka pergi mana?” Tak sabar Nur nak jumpa adik-adiknya, rindu sangat.
“Dia orang tu kerja, kat chalet tu, Naim ambil upah basuh pinggan, Liki pula jaga tandas awam kat pantai tu,” jawab Mak Esah sambil menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Sedih hati Nur mendengarnya. Kalaulah aku dapat membantu ayah ,pasti adik-adikku yang masih kecil itu tidak perlu bekerja seperti itu,tugas mereka hanyalah belajar,bukannya mencari rezeki ,lagi pun Naim akan mengambil peperiksaan PMR tahun ini dan Liki pula UPSR. Alangkah ruginya kalau mereka tidak berjaya dalam pelajaran. Tuhanku...! Bantulah keluargaku. Nur Asiah menyeka air mata agar tidak tumpah.
“Kenapa Nur?” Mak Esah kehairanan.
“Ah…tak ada apa-apalah mak, jom makan, Nur dah tak sabar ni. Banyaknya lauk mak masak,” Nur Asiah buat-buat teruja,tapi memang dia lapar, apalagi bila nampak lauk asam pedas ikan pari.
“Hmmm…pasti sedap, dah lama Nur teringin nak makan asam pedas ikan pari.”
“Takkan Nur tak tahu masak asam pedas?”
“Tahu, tapi ikan dia tak sedap,tak segar macam kat sini. Mana mak dapat ikan ni?”
“Ayah kau pergi cari kat jeti,bila dapat tahu Nur nak balik, pergilah panggil Aiman dengan ayah tu makan.” Nur Asiah mengia dan terus berlalu keluar.
Sebaik saja mereka berada di hadapan hidangan, Nur Asiah menyudukan lauk untuk Aiman dan mempelawa Aiman makan, kemudian selepas itu barulah dia makan.Mak Esah memerhati gelagat mereka berdua.
“Nur, kenapa awak makan gelojoh sangat? Macam orang tak makan berbulan-bulan?” Mak Esah menegur,Nur Asiah mengangkat muka dan tersedar dirinya diperhati. Aiman merenung ke arah Nur, memang dia perasan Nur makan macam orang mengamuk,ini ambil,itu ambil dan semuanya Nur telan,terutama pokok yang berdaun hijau dicicah benda busuk tu,geli tekak Aiman melihatnya, dan Nur pula macam kambing yang sedang meragut rumput.
“Sedap sangat mak,dah lama tak makan macam ni,ulam raja dan ikan bakar,cicah cincaluk yang diperah asam ,bubuh cili padi serta hirisan bawang merah. Wah…terangkat mak,” Nur tak peduli ,makannya tetap berselera walaupun ditegur.
“Selama ini kat rumah kamu tak ada cincaluk ke?” Mak Esah hairan.
“Tak ada, abang tak suka,busuk katanya,” Aiman berhenti menyuap,lalu menjeling Nur. Hah…jeling-jeling tu,nak marahlah tu, benda macam tu pun nak marah,baran tak bertempat. Dah memang betul awak tak bagi orang makan benda tu.
“Oh…ya ke,” perlahan saja suara Mak Esah,dia mengerti perasaan Nur, patutlah Nur makan macam orang mengamuk. Tapi…kut Nur tengah mengidam kut?
“Nur, jangan-jangan awak tu mengandung tak? Makan berselera semacam aje,” pandai saja Mak Esah nak buat cerita.
“Taklah, ke situ pula mak ni.”
“Tak ada maknanya mak, kalau Nur mengandung, sayalah orang yang paling gembira sekali,” celah Aiman.
Aiman memandang Nur dan Nur mengangkat kepala lalu buat bodoh. Ah…potong stim betul,orang tengah khusyuk makan, dia cakap benda yang merepek-repek pula.
“Yalah,kau orang kan dah dua tahun kahwin,takkan tak ada apa-apa lagi?”
“Allah belum bagi rezeki mak,sabar ajelah,” mudahnya Nur Asiah menjawab,seolah-olah tak kisah walaupun tiada anak. Mak Esah menggelengkan kepala. Eish!!! Tak fahamlah aku dengan budak-budak ni!
Sebelah petang baru adik-adiknya balik dari chalet tempat mereka bekerja,kata Naim ,dia diberi gaji RM 15 sehari dan Liki gajinya RM 10 sehari, memang tak banyak ,tapi bolehlah bagi menampung duit poket sekolah seminggu, kerja pun sabtu dan ahad saja.
“Abang,Nur nak ke pantai sekejap,” Nur meminta izin dari suaminya yang sedang bersantai di atas pangkin dibawah pokok mempelam.Nur bercadang nak bermain-main dengan adik-adiknya,tapi Aiman lambat benar memberi izin ,matanya melihat ke pantai. Naim dan Liki sedang menunggu kakaknya di pantai. Hai...! Lamanya nak beri jawapan,takkanlah dengan adik-adik aku pun nak cemburu? Sewel ke apa? Hoi...! Tak baik ngata laki awak! Nur Asiah buat muka kasihan.
“Yalah, tapi jangan lama ,takkan abang nak duduk sorang-sorang kat sini.”
“Baik abang,terima kasih.” Nur Asiah gembira sangat ,senyumnya lebar di bibir. Sebuah ciuman singgah di pipi Aiman sehingga Aiman terkesima,Nur Asiah tak pernah berbuat demikian selama ini. Tetapi kerana terlalu gembira ,aksi spontan pun terlepas. Sepantas kilat Nur Asiah berlari ke arah Naim dan Liki yang sedang menunggunya. Aiman melihat dari jauh. Nur! Nur! Perangai macam budak-budak,memang betullah Nur ni manja ,tapi Aiman suka dengan kejutan yang NurAsiah berikan. Nur…abang berjanji akan tawan hati dan cintamu!
“Liki,macamana pelajaran kau?” Nur Asiah bertanya.
“Okay ,tak ada masalah, kenapa kak tanya?”
“Kak risaulah dengan pelajaran kamu,sebab masa kamu habis di tempat kerja,” gusar hati Nur.
“Alah kak, kerja hujung minggu saja, dah dekat nak periksa nanti kami berhentilah.”
“Kamu berdua kena belajar sungguh-sungguh,biar berjaya macam Abang Zahid dan jangan jadi orang yang kecundang macam kak ni. Kak rasa macam orang bodoh dan tak berguna saja,bila tak ada pelajaran dan tak dapat bantu keluarga.”
“Kak jangan berfikiran macam tu, kak bukan tak pandai, tapi takdir yang mencorakkan begini. Kami pun tak faham dengan ayah,kenapa dia kahwinkan kak,padahal kak masih muda,” Naim melahirkan simpati.
“Dah nasib kak agaknya,” Nur Asiah meluah bersama keluhan.
“Kak tahu, mak tu bila dia ingat kak, dia pasti menangis.Kata mak dia dapat rasakan kak menderita tinggal kat Kuala Lumpur tu.”
“Hah…mak kata macam tu?” Naim dan Liki mengangguk serentak. MukaNur Asiah jadi kelat.
“Eish...! Mana ada,mak ni pandai aje nak reka cerita,” Nur Asiah meningkah.
“Kalau tak, kenapa badan tu kurus macam lidi saja?” Amboi! Pandainya Naim…Nur Asiah menyengih.
“Kak Nur ni nak jaga badan,biar slim selalu,” Nur memulas telinga Naim. Liki ketawa.
“Kak ingat orang laki ni suka sangat ke dengan perempuan yang kurus macam papan sekeping,tak ada apapun yang nak ditengok,kosong aje, macam landasan kapal terbang, ” bukan main lagi Naim mengata, jaga kau. Sekali lagi Nur nak pulas telinga Naim,tapi cepat-cepat dia lari. Sesuka hati saja mengutuk orang.
“Eh, Naim, kau tu umur baru setahun jagung,dah pandai nak menilai perempuan,” marah Nur bila diejek oleh Naim.Naim ketawa kuat,akhirnya Nur tersenyum juga.
“Betul kak,orang laki suka yang berisi, macam Naim tu, dia sukakan anak Kak Senah janda yang gemuk kembung ,putih gebu tu,” Liki membuka cerita selamba badak saja mengejek Naim.
“Hah… Kak Senah janda?” Terkejut Nur Asiah.
“Kak Senah janda buat apa? Anak dialah,si Ayang tu,” Liki ketawa ,Naim marah lalu dikejarnya Liki, kedua-duanya berkejar-kejaran.
“Kenapa tak ambil saja Kak Senah janda tu, lagi gebu,lagi cantik dari anaknya,” ha...ha...ha...Nur Asiah ketawa kuat.
“Yalah kak, kita tengok Naim bertarung dengan Wak Seman,siapa yang menang,dialah yang dapat memiliki Kak Senah janda,” Liki tak puas lagi mengenakan Naim. Naim cukup marah.
“Woi! Mangkuk,nanti kau!!!” Naim memberi amaran pada Liki.
“Kejarlah kami kalau dapat!!! Kak Senah janda…! Kak Senah janda!” Nur Asiah mengejek sambil ketawa yang mengekek-ngekek sampai senak perut dan air matapun meleleh kerana terlalu kuat ketawa. Sudah lama benar dia tidak merasai ketawa seperti ini,ada kelegaan pada hati yang selalu ketat,secubit derita pun berlalu setelah bahagia mengambil tempatnya.
Naim berlari laju mengejar Nur Asiah,akhirnya dia dapat menangkap ,lalu dicempongnya untuk dihumbankan ke dalam laut,dia tahu kakaknya tak akan lemas,anak laut mana boleh lemas sebab dari kecil lagi dah pandai berenang.
“Woi Naim! Kak tak nak mandilah!!!” Nur Asiah menjerit sambil ketawa.Naim juga ketawa.
“Nah!!! Rasakan!” Nur dihumban dan Naim ketawa puas.
“Kak,agaknya kalau Naim dah tak suka kat si Ayang tu, dia humban Ayang kelaut,” Liki masih menyakat, Naim tak boleh buat apa lagi, dia hanya menyimbah air pada muka Liki.Mereka kini semuanya berada didalam air.
“Mana boleh humban, Ayangkan berat, macam dugong! Ha…ha…ha…” Nur Asiah menjerit sambil ketawa,saja nak sakitkan hati Naim.
“Kalau macam tu,dia heret si Ayang tu, pakai kereta lembu , ha..ha…ha…” Liki tak habis-habis menyakat Naim. Akhirnya Naim juga ketawa sendiri,agaknya terbayang bagaimana dia mengheret si Ayang yang berat tu.
Mereka ketawa lagi dan lagi sambil bermain dalam air.Kenangan indah kembali terpatri.
“Seronok nampak, boleh abang joint?” Nur Asiah terhenti ketawa bila terdengar suara di belakang.Bulat matanya merenung Aiman,mungkin baru dia sedar, dia telah lama meninggalkan Aiman sendirian, janji tadi sekejap saja,tentu suaminya marah.
“Abang sorrylah, Nur lupa,” Nur Asiah mempamer muka bersalah sambil membetulkan tudungnya yang mula senget.
“Yalah, abangkan,mana pernah ada dalam ingatan Nur,” macam jauh hati aje? Aiman merenung Nur yang sudah basah semuanya. Dalam hatinya Nur Asiah tetap cantik walau dalam apa keadaan sekalipun. Aiman cemburu melihat Nur boleh bermesra dan bergelak ketawa dengan adik-adiknya begitu sekali, sedangkan dengan dia, Nur selalu tidak menatap matanya bila bercakap, apa lagi untuk bergurau senda seperti ini,susah sangatkah Nur Asiah nak menerimanya dan meletakkan cintanya dalam hati?
“Eh abang, nak joint kita orang jomlah!” Liki dan Naim menarik tangan Aiman masuk kedalam laut.Mula-mula Nur Asiah merasa kekok bermain bersama suaminya,tapi sejurus kemudian dia berasa seronok dan bahagia bila Aiman mengusik,memegang dan memeluknya.
Kalau boleh dia ingin beritahu laut,bahawa hari ini dia bahagia, dan ingin dia tulis dalam dairi hidupnya seperti hari ini dalam sejarah.
No comments:
Post a Comment