BAB
26
AMIRA Batrisya meluruskan kaki
panjangnya sebaik saja dia melabuhkan punggungnya di kerusi malas yang terletak
di hadapan bengkel. Hari ini tak banyak kereta yang masuk bengkel, dapatlah dia
berehat seketika. Dua buah kereta yang ada sekarang, biar saja Pian dan Zaki
yang selesaikan.
Hari ini dia nak rehat sekejap, kalau Pian
nak dengki pun dengkilah, dia tak kisah. Kalau Zaki kata dia curi tulang pun
dia tak heran. Bukan saja curi tulang, kalau nak kata dia curi daging batang
pinang pun dia tak nak ambil peduli. Hi... hi... hi... lantaklah siapa nak kata
apa pun. Ada aku kisah?
Amira menutup mukanya dengan surat
khabar. Dia ingin melabuhkan tirai matanya sekejap sementara pak sunya keluar
kerana mencari spare part. Dapat
lelap sepuluh minit pun jadilah. Mengantuk sangat ni. Walaupun hampir-hampir
menutup biji mata tapi sempat lagi dia melayan ingatan terhadap idea spontan yang terbit dari kepala
otaknya yang tak berapa betul. Ha... ha... ha.... Amira tergelak sendiri bila
terkenangkan peristiwa lima bulan lepas. Memang kerja gila, tapi nak buat macam
mana bila mata dah tak boleh nak buka. Layan ajelah...
Semua orang sibuk mencari Amira, kat
mana-mana pun tak ada. Pergi cari kat Restoran Basyir pun tak ada, entah ke
mana minah ni menghilang dengan tiba-tiba saja. Bila sudah puas mencari barulah
Pian teringat nak call Amira. Amira
terjaga bila hanfon yang berada dalam
poket seluarnya menjerit kuat, makin lama, makin kuat. Bingit lubang telinga.
Bila nak terus ambil tak sampai sebab dia sedang berbaring. Penyudahnya dia
terpaksa keluar dari perut kereta untuk menjawab panggilan.
“Heh mangkuk, kau buat apa bawah perut
kereta?” Belum pun sempat dia bangun, Pian dan Zaki datang dekat dengan kereta
dan tercegat macam pak guard dengan
muka marah.
“Aku tertidur, mengantuk sangat.”
Amira menjawab selamba tanpa mempedulikan Pian yang sedang hot dan tanpa rasa bersalah. Kemudian Amira beredar ke pantry untuk membasah tekaknya yang kehausan. Pian mengekornya dari belakang
bersama bebelan yang belum selesai, pok pek, pok pek macam mak nenek marahkan
cucu yang tak henti berderap. Dalam hati Amira menjawab, ada aku kisah?
“Aku cari kau merata-rata, tapi kau
sedap-sedap membuta bawah perut kereta,” marah Pian berapi. Amira hanya buat
bodoh dan muka poyo.
“Kau cari aku siapa suruh?” sambil
meneguk air Amira bertanya ke arah Pian.
“Macam mana aku tak cari, kau
tiba-tiba hilang gitu aje. Aku ni takut kau kena culik, maklumlah sekarang ni
bukannya selamat sangat, tiap-tiap hari ada saja kes orang kena bunuh.”
“Sayang juga kau pada aku ya, Pian?
Terima kasihlah sebab ambil berat.
Tiba-tiba suatu bunyi yang pelik dan
dahsyat datang dan menuju ke arah tempat duduknya, macam bunyi enjin yang nak
meletup atau nak pecah. Tanpa disuruh mata Amira yang sudah tertutup tadi
terbuka luas dan nostalgia tidur di bawah kereta pun terputus. Seluruh urat
sendinya terjaga balik dan dia tidak lagi berpeluang untuk tidur. Makhluk apa
yang datang mengejut lena ku ini?
Bila mata Amira betul-betul bulat, dia
melihat ke hadapan. Alangkah terkejutnya dia bila sebuah kereta Kancil yang
kemek di hadapan sedang berasap. Pemiliknya kelihatan sedang panik. Amira
berlari mendapatkannya.
“Kenapa ni kak?” Amira bertanya.
“Tadi akak kemalangan semasa nak
berhenti kat trafic light”
“Siapa yang langgar?”
“Akaklah yang langgar kereta di
hadapan, nasib baik juga tak ada kereta di belakang, kalau tak teruklah akak.”
Sedihnya Amira melihat wajah kakak pemilik kenderaan ni. Suaranya masih
terketar-ketar, mukanya masih pucat sampai ke bibir dan tangannya juga
terketar-ketar. Mungkin dia masih dalam trauma.
“Okey kak, bawa bertenang, tarik nafas
dan hembus perlahan-lahan. Jom ikut saya kita duduk di bawah tempat yang teduh,
kat sini panaslah.” Amira Batrisya menarik tangan tuan punya Kancil yang kemek
itu. Kemudian disuruhnya kakak tadi duduk di atas kerusi, sementara dia pula
berlari ke dalam mengambil sebotol air mineral
yang sudah sedia ada dalam peti sejuk.
“Nah, akak minum air ni dulu supaya
akak cool sikit, biar hilang gementar
tu.” Amira menghulurkan sebotol air mineral.
Perlahan-lahan wanita itu meneguk air. Raut wajahnya amat tertekan sekali, siapa
pun akan begitu. Bila berlaku saja kemalangan terus saja terpantul
gambaran-gambaran kesusahan yang bakal dilalui, penuh kesulitan dan
menyusahkan.
Ralit Amira memerhatikan wanita dalam
lingkungan awal 30-an itu sibuk membasahkan bibirnya dengan zikir-zikir kepada
ALLAH. Mungkin wanita itu sedang mencari kekuatan dalaman dan ketenangan supaya
dia mampu berfikir dengan jernih.
“Kak, tenang... Akak selamat sekarang.
Jangan terlampau gelabah. Akak cerita pada saya, apa yang boleh saya bantu.”
“Mana akak tak gelabah dik, itulah
satu-satunya kereta akak. Kereta itulah yang membawa kami sekeluarga ke
mana-mana,” serak suara wanita ini.
“Akak panggil saya Mira, akak siapa
nama?”
“Panggil aje Kak Ifah.”
“Akak, kereta akak tu taklah teruk
mana, bila enjin dah sejuk nanti saya akan tengokkan apa yang rosaknya.”
“Akak harap tak banyak yang rosak, kalau
tak macam mana nanti nak bayar.”
“Akak boleh claim insuran, tak payah keluar duit.”
“Masalahnya kereta akak tak ada road tax, tak ada insuran,” jujur Kak
Ifah memberitahu. Ternganga Amira seketika. Biar betul?
“Beraninya akak buat macam tu.” Amira
masih terasa pelik bila seorang perempuan berani bertindak bawa kereta tak ada road tax, sedangkan polis
melambak-lambak di jalanan.
“Berani tak berani pun, itulah
hakikatnya. Akak tak ada duit nak beli insuran, sebab duit gaji akak dihabiskan
untuk belanja perubatan anak akak yang sakit jantung,” lancar saja Kak Ifah
bercerita tanpa diminta.
“Sabar akak, ini semua ujian ALLAH.” Pandai
pula minah ni menasihati orang.
“Ya, akak tahu ALLAH sedang menguji
akak,” suara Kak Ifah yang kendur,
tenggelam dalam halkum yang dalam. Amira melihat perlahan-lahan air mata yang
panas menuruni pipi Kak Ifah, satu- persatu bak mutiara yang keguguran dari
rantai. Hati Amira dihujani rasa simpati, sebak sangat dan cukup terkesan bila
dia merenung wajah sendu Kak Ifah.
“Sabar kak, sabar banyak-banyak, setiap
masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.” Amira memujuk sambil menggosok
belakang Kak Ifah.
“Ya, akak tahu, tapi akak dah terlalu
buntu. Akak tak tahu nak buat apa sekarang.” Kak Ifah cuba memberikan senyum, tapi
hambar.
“Okey, akak relax dan tenang, biar saya yang fikirkan macam mana nak uruskan
kereta akak ni.” Amira bercadang membantu.
“Pian, tolong call Jerangkung, cakap dengan dia, aku nak pinjam towing!” Amira melaung ke arah Pian. Pian
yang tak berapa nak faham dengan arahan,
terpaksalah datang mengadap
Amira.
“Apa hal kau terjerit-jerit macam
Tarzan hilang laki?” sedap saja Pian bertanya tanpa mempedulikan ada orang lain,
selain dari Amira.
“Aku nak minta tolong kau call si Jerangkung, sebab aku nak pinjam
raksaksa dia tu...”
“Kau nak buat apa? Sengal betullah
Pian ni!
“Saja, nak buat main masak-masak... Eh
mamat, nak tunda keretalah ngok! Kau nampak tak kereta Kancil tu? Makhluk kecil
tu nak diheret ke bengkel Pak Ya,” terpaksalah pula Amira membuka syarahannya.
“Kalau macam tu, suruh ajelah Kahar
yang hantarkan.” Pian memberi cadangan.
“Kau ni, kan, mangkuk tingkat ke,
mangkuk pecah, aku tak tahulah... Itu pun tak boleh agak ya? Kalau suruh si
Jerangkung tu yang hantarkan, alamat kena sembelihlah kakak ni. Aku panggil dia
Jerangkung tu… sebab dia suka cekik darah orang.”
“Yalah, yalah, aku tahu... memang
Kahar tu suka kenakan orang.”
“Tahu tak apa, dah, cepat call
dia, suruh budak dia hantar sekarang juga.”
“Kenapa kau tak nak call sendiri?” geram Pian bila kena
arah.
“Aku berbululah bila bercakap dengan
Jerangkung tu, asyik nak mengorat aku saja, naik meremang bulu kaki aku.”
“Hiss... kau ni, harta orang kau nak, tapi
dengan tuannya kau berlagak.” Amira hanya menyengih bila Pian merungut.
Sebaik saja sampai di bengkel Pak ya,
Amira memakir lori tunda di tempat yang strategik supaya tidak menghalangi
kenderaan lain. Kereta Kancil Kak Ifah diletakkan dalam bengkel.
“Assalamualaikum Pak Ya!” Amira
memberi salam.
“Waalaikumussalam, apa hal Amir?” Pak
Ya membalas.
“Pak Ya, nama saya tu tambah “a” kat
belakang.” Amira tersengih-sengih.
“Ha, kenapa dah bertaubat ke?” sedap
saja Pak Ya menerjah.
“Hiss... Pak Ya ni, kalau nak mengutuk
tu biarlah kat belakang, janganlah ngutuk depan-depan, sedih saya dengar.”
Amira ketawa dan Pak Ya juga ketawa.
“Kereta siapa yang kau bawa ni?” Pak
Ya berdiri tegak di hadapan kereta Kancil warna silver yang kemek kat depan.
“Kereta kakak angkat saya tu. Saya nak
Pak Ya repair secepat mungkin, sebab
dia tak ada kereta lain. Pak Ya agak berapa kos keseluruhannya?” Pak Ya berjalan keliling depan kereta, menilai
dan mengagak kos kerosakan dan barang yang harus diganti.
“Pak Ya dah kira semuanya, kira-kira
dalam RM1500.”
“Mak oii... Pak Ya ni nak cekik darah
ke, cekik tulang? Tak kanlah rosak depan macam ni pun Pak Ya nak bantai
mahal-mahal.”
“Mana ada mahalnya, itulah kos
sebenarnya, sebab bumpernya kena
ganti, lampu dua biji, penutup bonet dan termasuk cat sekali.”
“Susahlah Pak Ya, kalau mahal macam
ni, mana kakak angkat saya nak cekau duit?
Nak ganti barang-barang rosak tu lagi.” Amira tak puas hati.
“Nak buat macam mana, dah itu, kos
dia!”
“Pak Ya, kalau setakat RM1500 tu, dekat
kedai Ah Keong depan sana pun saya boleh dapat, tapi saya juga bawa makhluk raksaksa
tu singgah di bengkel Pak Ya sebab nak
bagi bisnes pada orang Melayu, dan biar orang Melayu dapat tolong orang Melayu,
secara tak langsung lepaslah fardhu kifayah antara kita semua. Kalau semuanya
nak harapkan bangsa asing mengurus keperluan kita, apa ke hal? Lepas tu
buta-buta orang kita kena tipu. Mentol signal
yang berharga RM1 pun, dibantainya sampai RM12. Ada ke patut... Mana tak sepet!
Pak Ya, kita orang Islam ni bekerja bukan sekadar nak cari makan, nak isi
perut, tapi yang untungnya kerja kita ni dapat pahala sebab membantu orang-orang
yang berada dalam kesusahan,” panjang lebar khutbah Jumaat yang disampaikan
oleh Amira Batrisya. Mahu tak terkedu Pak Ya mendengarnya. Selalunya budak ni
datang dengan kepala otak gila-gilanya, tapi hari ini lain pula kelakuannya, yalah...
mungkin budak ni betul-betul nak bertaubat. Syukurlah...
“Okeylah... disebabkan kerana kamu,
Pak Ya kurangkan jadi RM1300. Macam mana?”
“Kurangkanlah lagi... kakak angkat
saya tu orang susah, anak dia sakit jantung, banyak duit yang nak dipakai.
Okey, kalau tak macam ni, Pak Ya cari saja barang ganti kat kedai potong, yang
mana boleh ketuk, Pak Ya ketuk. Lepas tu, cat. Mesti kos dia lebih murah, kan?”
Pak Ya merenung wajah Amira Batrisya dalam-dalam, kemudian dia menoleh ke arah
perempuan yang sedang termenung di atas bangku di hujung sana. Mata Pak Ya
tidak berkelip, entah apa yang ada dalam kepala otaknya, perlahan-lahan Pak Ya
melarikan kembali pandangannya pada Amira, gadis cantik yang berwatak lelaki. Sejurus
itu Pak Ya menganggukkan kepalanya. Besar senyuman Amira, sebesar tayar kereta
tunda yang dipinjamnya dari si Jerangkung. Ah... lapangnya.
“Kau ni memang budak yang baik.” Pak
Ya memuji.
“Pak Ya juga seorang lelaki yang baik,
kalau Pak Ya nak, mahu saya pinangkan Pak Ya untuk mak saya yang telah lama
menjanda,” lawak Amira membuatkan Pak Ya ketawa besar. Sebelum ini pun Amira
selalu membuatkan dia ketawa dan tersenyum.
“Okeylah Pak Ya, kalau ada apa-apa, contact saya, tapi kalau boleh siapkan
dalam masa terdekat ni.”
“Baiklah, kau tu bawa kereta tunda tu
elok-elok, sebab kau tu bukannya biasa sangat dengan benda alah tu.” Pak Ya
berpesan, bagaikan seorang bapa berpesan pada anaknya.
“Baiklah ayah.” Amira berseloroh
sambil mengekek dan Pak Ya juga ketawa.