NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Thursday, November 29, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 25








                                                       BAB 25

          “MIRA... boleh tak cepat sikit. Bersiap mengalahkan ‘pempuan’.” Halim merungut bila dah letih menunggu Amira bersiap.
          “Memanglah Mira ni perempuan, dah lupa?” Amira membalas sebaik saja keluar dari biliknya, malas sungguh rasanya nak keluar hari ini, tapi disebabkan atas desakan pak su, Mira pergi juga. Terlepaslah peluang dia nak membuta sepuas-puasnya hari ini.
          “Apa pula sesak pak su ajak Mira ikut sekali dalam dating pak su dengan awek? Hari tu beria-ia Mira nak ikut tak bagi, sekarang Mira tak nak main paksa-paksa pula.” Halim ketawa mendengar rungutan Amira, kalau boleh dia pun tak nak bawa minah yang banyak cekadak ni, tapi nak buat macam mana, dah itu syarat buah hatinya.
          “Sajalah nak bawa kau cuci mata, kalau tak asyik membuta saja sampai tak kenal dunia.” Walaupun tak berapa ikhlas dengan jawapan yang diberi, tapi kebenaran tu tetap ada. Budak ni kalau dibiarkan tidur, sampai zohor pun belum tentu bangun. Makan entah ke mana, buat kerja rumah entah ke mana. Entahlah... apa nak jadi pun tak tahulah.
          “Mana awek pak su?” tanya Amira sebaik saja melangkah masuk ke bangunan Berjaya Times Square.
          “Sabarlah, nanti kejap pak su call, dah sampai ke belum?” Halim membuat panggilan dan bercakap-cakap seketika, kemudian dia mengangkat tangan dan melambai-lambai kepada seseorang. Dah sampailah tu. Sementara menunggu teman wanita pak su datang, Amira mengambil peluang membalas SMS yang masuk ke dalam in boxnya. Panjang dagu dan menggulung senyumnya bila membaca mesej dari Ariel. Hmm... orang tengah angaulah katakan. Mesej yang tak seberapa pun terasa romantik, benda busuk pun bau wangi. Tiba-tiba telinganya mendengar orang bagi salam dan pak su menjawab, tapi kepala Amira masih belum terangkat sebab tengah lagut memicit biji mata BlackBerrynya. Mana boleh biar kekasih hati menunggu.
          “Amira, sudah-sudahlah tu,” suara perempuan menegur. Macam pernah dengar saja suara tu! Sepantas kilat Amira mengangkat mukanya. Mak!!! Amira menjerit kerana terkejut.
          “Ustazah ke yang bakal jadi mak su saya?” ternganga Amira seketika. Aida Suraya tersenyum manis.
          “Kenapa, awak tak tahu ke?” Aida Suraya terasa pelik, lalu dia melihat ke arah Halim yang sudah sedia tersengih macam kerang busuk.
          “Tak, pak su tak pernah cerita pun, sampai hati pak su.” Amira Batrisya buat-buat merajuk.
          “Saja rahsia sebab awak bertunang pun awak rahsiakan daripada pak su,” bisikan Halim di tepi telinganya membuatkan Amira terkejut terasa seperti nak jatuh. Bila pak su tahu, adakah orang lain juga tahu? Kalut ni... Pucat muka Amira, tapi dia buat-buat menyengih ke arah Halim untuk cover line.
          “Ustazah, tak sangka pula nak jadi mak su saya.” Amira berkata dengan gembira.
          “Mungkin dah jodoh kami kut, bila tengok aje dah masing-masing berkenan.” Aida Suraya malu-malu.
          “Baguslah, dapat juga pak su kahwin, ingatkan dah tak laku... ” Amira mengejek sambil ketawa.
          “Sebenarnya pak su menunggu wanita yang terbaik. Kan Rasulullah ada memberitahu, kalau nak pilih calon isteri carilah wanita yang memenuhi keempat-empat ciri, iaitu agamanya, keturunannya, kecantikannya dan kekayaannya. Pada pak su, Cik Aida kita ni memilik kesemua ciri-ciri tersebut.” Aida Suraya senyum malu saat Halim bercerita penuh semangat. Amira merenung ke arah Aida Suraya, memang betul! Bakal mak sunya ini cantik dan cukup lengkap dengan pakejnya, beruntung pak su. Kemudian dia merenung ke dalam dirinya. Terasa beribu batu jauhnya perbezaan dari bakal mak sunya.
          Aida Suraya berperwatakan lemah lembut, memang dari dulu dia begitu, tapi aku, kasar dan keras mengalahkan Pian dan Zaki. Aida Suraya cantik dan manis dalam tudung labuh yang membaluti tubuhnya, sedang aku berpakaian selekeh macam mat rempit. Muka dan raut wajah Aida Suraya cerah berseri, tenang dan mendamaikan, manakala aku sering kali berwajah kusut dan ketat. Di manakah kecantikan aku? Aku sering mengakui yang aku seorang wanita, tapi ciri-ciri wanita idaman terlalu jauh dari aku. Alangkah malangnya bagi lelaki yang mencintai aku terutamanya Ariel. Tak ada apa pun yang dapat Ariel banggakan dengan diriku. Mungkin juga betul kata Ariel, dia mencintai aku kerana ALLAH, dan ALLAH telah menerbitkan rasa cintanya pada aku tanpa apa-apa kepentingan untuk dirinya. Cuma Ariel mengharap akan ada hikmah yang ALLAH janjikan di sebalik rasa cinta itu. Ah... pening kepala aku!
          “Hai... kenapa termenung?” Aida menegur Amira yang terdiam seketika.
          “Entahlah... rasa pening sekejap, mungkin sebab belum makan apa-apa sejak pagi.”
          “Belum makan lagi? Sekarang dah tengah hari. Kenapa tak makan pagi?” Aida Suraya mengambil berat.
          “Macam mana nak makan pagi, kalau bangun pun dah tengah hari.” Halim menyampuk. Amira menjeling. Ha... nak buka rahsialah tu…
          “Tak sembahyang Subuh?” Aida suraya bertanya lagi dengan nada seperti terkejut.
          “Eh, sembahyanglah. Maksud pak su lepas Subuh sambung tidur balik.” Amira membetulkan keadaan.
          “Baguslah kalau macam tu, walau bagaimanapun sebagai seorang perempuan tak elok berperangai seperti itu, sebab waktu pagi adalah waktu Dhuha ALLAH, iaitu saat ALLAH memberikan rezeki-Nya yang dari langit, dari bumi dan dari mana-mana penjuru.” Aduh! Ustazah ni selalu saja berdakwah walau di mana saja berada. Amira menyengih dengan rasa malu.
          “Eloklah awak nasihatkan dia ni selalu, sebab kalau saya yang nasihat, bukannya dia nak dengar pun.” Amira mencebik Halim yang suka sangat mengadu kat bakal tunangnya. Huh... mengada-ngada. Aida Suraya ketawa melihat telatah  bapa saudara dan anak saudara.
          “Okeylah! Amira lapar, kan. Jom saya belanja Amira makan. Nak makan apa?”
          “Apa-apa aje…” itu saja jawapan Amira.
          “Pak su rasa kat sini belum ada lagi nama makanan apa-apa aje.” Halim menyakat.
          “Hiss... pak su ni saja buat bendul, okeylah kita makan kat KFC nak? Senang cerita.” Amira memberi cadangan.
          “Eh, awak ni tak habis-habis dengan ayam KFC. Setiap kali keluar mesti makan ayam. Pak su ni dah naik kembang tekak bila teringatkan ayam. Kat Malaysia ni banyak lagi makanan lain selain dari ayam. Pak su tengok awak pun dah macam ayam.”
         
          “Tadi tanya Mira nak makan apa?” Amira pura-pura merajuk.
          “Okeylah, saya cadangkan kita makan makanan Itali. Macam mana?” Aida bertanya pendapat.
          “Halal ke?” laju saja Amira bertanya. Aida tersenyum sendiri. Bagus juga si Amira ni, walaupun dia masih tidak menutup aurat, tapi dalam bab makanan dia ambil berat. Maksudnya fitrah untuk menjadi orang yang beriman dan beramal itu ada. Cuma masa keinsafan belum tiba lagi. Insya-ALLAH, jika diizin TUHAN dia akan membantu gadis ini mencari nilai dirinya di sisi ALLAH.
          “Insya-ALLAH halal. Makanan saja Italian, tapi tuan punya dan  chef kat restoran tu semuanya orang Melayu, lagipun logo HALAL yang tertampal di restoran tersebut adalah Sijil Halal Jakim yang sah. So, tak ada keraguan lagi.” Aida Suraya menjelaskan dengan senang hati.
          “Kalau mereka tipu, macam mana?” Amira masih tak puas hati.
          “Merekalah yang akan berdosa. Islam itu tidak memberati hambanya dengan benda-benda yang kita tak nampak, dan kita juga tidak diwajibkan membuat siasatan terperinci, seperti dari mana datangnya ayam, siapa yang membela ayam, apa benda yang dibagi pada ayam dan sebagainya. Cukuplah dengan logo HALAL yang sah dari Jakim sebagai bukti sesebuah restoran itu halal. Kalau was-was juga kita boleh terus layari www.halaljakim.gov.my. Dapatkan status sesebuah restoran tersebut sebelum kita masuk. Puas hati sekarang?” panjang lebar ustazah ni berceramah. Amira tersengih.
          “Saya ni bukannya apa, cuma nak ikut cakap mak saya saja. Mak kata setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah tempat yang sesuai baginya. Eeee... takut saya.”
          “Betul, apa yang mak awak cakapkan, itu adalah hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Baihaqi. Awak seorang anak yang baik kerana masih mengingati pesanan dan nasihat mak awak. Semoga ALLAH memberi taufiq dan hidayat pada awak.” Aida Suraya mengosok-gosok belakang Amira.
          “Cik ustazah, sebenarnya pesanan yang itu saja yang dia ambil berat, tapi pesanan dan nasihat yang lain dia buat dek aje, buat macam tak ada telinga, tak pernah pun dia nak dengar.” Amira mencubit kuat lengan Halim, dan Halim menjerit kesakitan, kemudian mereka bertiga ketawa.
          “Contohnya?” Aida juga ingin menyakat.
          “Tengoklah apa yang dia pakai. Bukannya endah pun apa yang mak dia larang. Kakak saya tu nak sangat anak bongsunya berubah menjadi wanita sejati, pakai baju kurung, pakai tudung macam anak gadis lain, tapi sampai sekarang doanya belum termakbul lagi.”
          “Amira, redha ALLAH terletak di atas redha kedua ibu bapa. Hadith ini memberitahu kita tentang darjat kepatuhan seorang anak yang tidak boleh dipersoalkan lagi. Kalau ibu tidak redha dengan seseorang anak, maka malanglah kehidupan anak itu dunia akhirat, kerana Rasulullah SAW juga ada bersabda, syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu,” tazkirah pendek dari Ustazah Aida menyentuh hati kecilnya yang keras bak batu. Ingatannya terus berlari pada mak di kampung, memang mak menginginkan dia memakai pakaian seorang muslimat, tapi hijab hatinya belum tersingkap. Insya-ALLAH mak… bila tiba masanya aku akan berubah juga.
         
         

   
            

1 comment: