NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Thursday, November 29, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 26





                                                        BAB 26

          AMIRA Batrisya meluruskan kaki panjangnya sebaik saja dia melabuhkan punggungnya di kerusi malas yang terletak di hadapan bengkel. Hari ini tak banyak kereta yang masuk bengkel, dapatlah dia berehat seketika. Dua buah kereta yang ada sekarang, biar saja Pian dan Zaki yang selesaikan.
          Hari ini dia nak rehat sekejap, kalau Pian nak dengki pun dengkilah, dia tak kisah. Kalau Zaki kata dia curi tulang pun dia tak heran. Bukan saja curi tulang, kalau nak kata dia curi daging batang pinang pun dia tak nak ambil peduli. Hi... hi... hi... lantaklah siapa nak kata apa pun. Ada aku kisah?
          Amira menutup mukanya dengan surat khabar. Dia ingin melabuhkan tirai matanya sekejap sementara pak sunya keluar kerana mencari spare part. Dapat lelap sepuluh minit pun jadilah. Mengantuk sangat ni. Walaupun hampir-hampir menutup biji mata tapi sempat lagi dia melayan ingatan terhadap idea spontan yang terbit dari kepala otaknya yang tak berapa betul. Ha... ha... ha.... Amira tergelak sendiri bila terkenangkan peristiwa lima bulan lepas. Memang kerja gila, tapi nak buat macam mana bila mata dah tak boleh nak buka. Layan ajelah...
          Semua orang sibuk mencari Amira, kat mana-mana pun tak ada. Pergi cari kat Restoran Basyir pun tak ada, entah ke mana minah ni menghilang dengan tiba-tiba saja. Bila sudah puas mencari barulah Pian teringat nak call Amira. Amira terjaga  bila hanfon yang berada dalam poket seluarnya menjerit kuat, makin lama, makin kuat. Bingit lubang telinga. Bila nak terus ambil tak sampai sebab dia sedang berbaring. Penyudahnya dia terpaksa keluar dari perut kereta untuk menjawab panggilan.
          “Heh mangkuk, kau buat apa bawah perut kereta?” Belum pun sempat dia bangun, Pian dan Zaki datang dekat dengan kereta dan tercegat macam pak guard dengan muka marah.
          “Aku tertidur, mengantuk sangat.” Amira menjawab selamba tanpa mempedulikan Pian yang sedang hot dan tanpa rasa bersalah. Kemudian Amira beredar ke pantry untuk membasah tekaknya yang  kehausan. Pian mengekornya dari belakang bersama bebelan yang belum selesai, pok pek, pok pek macam mak nenek marahkan cucu yang tak henti berderap. Dalam hati Amira menjawab, ada aku kisah?
          “Aku cari kau merata-rata, tapi kau sedap-sedap membuta bawah perut kereta,” marah Pian berapi. Amira hanya buat bodoh dan muka poyo.
          “Kau cari aku siapa suruh?” sambil meneguk air Amira bertanya ke arah Pian.
          “Macam mana aku tak cari, kau tiba-tiba hilang gitu aje. Aku ni takut kau kena culik, maklumlah sekarang ni bukannya selamat sangat, tiap-tiap hari ada saja kes orang kena bunuh.”
          “Sayang juga kau pada aku ya, Pian? Terima kasihlah sebab ambil berat.
          Tiba-tiba suatu bunyi yang pelik dan dahsyat datang dan menuju ke arah tempat duduknya, macam bunyi enjin yang nak meletup atau nak pecah. Tanpa disuruh mata Amira yang sudah tertutup tadi terbuka luas dan nostalgia tidur di bawah kereta pun terputus. Seluruh urat sendinya terjaga balik dan dia tidak lagi berpeluang untuk tidur. Makhluk apa yang datang mengejut lena ku ini?
          Bila mata Amira betul-betul bulat, dia melihat ke hadapan. Alangkah terkejutnya dia bila sebuah kereta Kancil yang kemek di hadapan sedang berasap. Pemiliknya kelihatan sedang panik. Amira berlari mendapatkannya.
          “Kenapa ni kak?”  Amira bertanya.
          “Tadi akak kemalangan semasa nak berhenti kat trafic light
          “Siapa yang langgar?”
          “Akaklah yang langgar kereta di hadapan, nasib baik juga tak ada kereta di belakang, kalau tak teruklah akak.” Sedihnya Amira melihat wajah kakak pemilik kenderaan ni. Suaranya masih terketar-ketar, mukanya masih pucat sampai ke bibir dan tangannya juga terketar-ketar. Mungkin dia masih dalam trauma.
          “Okey kak, bawa bertenang, tarik nafas dan hembus perlahan-lahan. Jom ikut saya kita duduk di bawah tempat yang teduh, kat sini panaslah.” Amira Batrisya menarik tangan tuan punya Kancil yang kemek itu. Kemudian disuruhnya kakak tadi duduk di atas kerusi, sementara dia pula berlari ke dalam mengambil sebotol air mineral yang sudah sedia ada dalam peti sejuk.
          “Nah, akak minum air ni dulu supaya akak cool sikit, biar hilang gementar tu.” Amira menghulurkan sebotol air mineral. Perlahan-lahan wanita itu meneguk air. Raut wajahnya amat tertekan sekali, siapa pun akan begitu. Bila berlaku saja kemalangan terus saja terpantul gambaran-gambaran kesusahan yang bakal dilalui, penuh kesulitan dan menyusahkan.
          Ralit Amira memerhatikan wanita dalam lingkungan awal 30-an itu sibuk membasahkan bibirnya dengan zikir-zikir kepada ALLAH. Mungkin wanita itu sedang mencari kekuatan dalaman dan ketenangan supaya dia mampu berfikir dengan jernih.
          “Kak, tenang... Akak selamat sekarang. Jangan terlampau gelabah. Akak cerita pada saya, apa yang boleh saya bantu.”
          “Mana akak tak gelabah dik, itulah satu-satunya kereta akak. Kereta itulah yang membawa kami sekeluarga ke mana-mana,” serak suara wanita ini.
          “Akak panggil saya Mira, akak siapa nama?”
          “Panggil aje Kak Ifah.”
          “Akak, kereta akak tu taklah teruk mana, bila enjin dah sejuk nanti saya akan tengokkan apa yang rosaknya.”
          “Akak harap tak banyak yang rosak, kalau tak macam mana nanti nak bayar.”
          “Akak boleh claim insuran, tak payah keluar duit.”
          “Masalahnya kereta akak tak ada road tax, tak ada insuran,” jujur Kak Ifah memberitahu. Ternganga Amira seketika. Biar betul?
          “Beraninya akak buat macam tu.” Amira masih terasa pelik bila seorang perempuan berani bertindak bawa kereta tak ada road tax, sedangkan polis melambak-lambak di jalanan.
          “Berani tak berani pun, itulah hakikatnya. Akak tak ada duit nak beli insuran, sebab duit gaji akak dihabiskan untuk belanja perubatan anak akak yang sakit jantung,” lancar saja Kak Ifah bercerita tanpa diminta.
          “Sabar akak, ini semua ujian ALLAH.” Pandai pula minah ni menasihati orang.
          “Ya, akak tahu ALLAH sedang menguji akak,”  suara Kak Ifah yang kendur, tenggelam dalam halkum yang dalam. Amira melihat perlahan-lahan air mata yang panas menuruni pipi Kak Ifah, satu- persatu bak mutiara yang keguguran dari rantai. Hati Amira dihujani rasa simpati, sebak sangat dan cukup terkesan bila dia merenung wajah sendu Kak Ifah.
          “Sabar kak, sabar banyak-banyak, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.” Amira memujuk sambil menggosok belakang Kak Ifah.
          “Ya, akak tahu, tapi akak dah terlalu buntu. Akak tak tahu nak buat apa sekarang.” Kak Ifah cuba memberikan senyum, tapi hambar.
          “Okey, akak relax dan tenang, biar saya yang fikirkan macam mana nak uruskan kereta akak ni.” Amira bercadang membantu.
          “Pian, tolong call Jerangkung, cakap dengan dia, aku nak pinjam towing!” Amira melaung ke arah Pian. Pian yang tak berapa nak faham dengan arahan,  terpaksalah  datang mengadap Amira.
          “Apa hal kau terjerit-jerit macam Tarzan hilang laki?” sedap saja Pian bertanya tanpa mempedulikan ada orang lain, selain dari Amira.
          “Aku nak minta tolong kau call si Jerangkung, sebab aku nak pinjam raksaksa dia tu...”
          “Kau nak buat apa? Sengal betullah Pian ni!
          “Saja, nak buat main masak-masak... Eh mamat, nak tunda keretalah ngok! Kau nampak tak kereta Kancil tu? Makhluk kecil tu nak diheret ke bengkel Pak Ya,” terpaksalah pula Amira membuka syarahannya.
          “Kalau macam tu, suruh ajelah Kahar yang hantarkan.” Pian memberi cadangan.
          “Kau ni, kan, mangkuk tingkat ke, mangkuk pecah, aku tak tahulah... Itu pun tak boleh agak ya? Kalau suruh si Jerangkung tu yang hantarkan, alamat kena sembelihlah kakak ni. Aku panggil dia Jerangkung tu… sebab dia suka cekik darah orang.”
          “Yalah, yalah, aku tahu... memang Kahar tu suka kenakan orang.”
          “Tahu tak apa, dah, cepat call dia, suruh budak dia hantar sekarang juga.”
          “Kenapa kau tak nak call sendiri?” geram Pian bila kena arah.
          “Aku berbululah bila bercakap dengan Jerangkung tu, asyik nak mengorat aku saja, naik meremang bulu kaki aku.”
          “Hiss... kau ni, harta orang kau nak, tapi dengan tuannya kau berlagak.” Amira hanya menyengih bila Pian merungut.

          Sebaik saja sampai di bengkel Pak ya, Amira memakir lori tunda di tempat yang strategik supaya tidak menghalangi kenderaan lain. Kereta Kancil Kak Ifah diletakkan dalam bengkel.
          “Assalamualaikum Pak Ya!” Amira memberi salam.
          “Waalaikumussalam, apa hal Amir?” Pak Ya membalas.
          “Pak Ya, nama saya tu tambah “a” kat belakang.” Amira tersengih-sengih.
          “Ha, kenapa dah bertaubat ke?” sedap saja Pak Ya menerjah.
          “Hiss... Pak Ya ni, kalau nak mengutuk tu biarlah kat belakang, janganlah ngutuk depan-depan, sedih saya dengar.” Amira ketawa dan Pak Ya juga ketawa.
          “Kereta siapa yang kau bawa ni?” Pak Ya berdiri tegak di hadapan kereta Kancil warna silver yang kemek kat depan.
          “Kereta kakak angkat saya tu. Saya nak Pak Ya repair secepat mungkin, sebab dia tak ada kereta lain. Pak Ya agak berapa kos keseluruhannya?”  Pak Ya berjalan keliling depan kereta, menilai dan mengagak kos kerosakan dan barang yang harus diganti.
          “Pak Ya dah kira semuanya, kira-kira dalam RM1500.”   
          “Mak oii... Pak Ya ni nak cekik darah ke, cekik tulang? Tak kanlah rosak depan macam ni pun Pak Ya nak bantai mahal-mahal.”
          “Mana ada mahalnya, itulah kos sebenarnya, sebab bumpernya kena ganti, lampu dua biji, penutup bonet dan termasuk cat sekali.”
          “Susahlah Pak Ya, kalau mahal macam ni, mana kakak angkat saya nak cekau duit?  Nak ganti barang-barang rosak tu lagi.” Amira tak puas hati.
          “Nak buat macam mana, dah itu, kos dia!”
          “Pak Ya, kalau setakat RM1500 tu, dekat kedai Ah Keong depan sana pun saya boleh dapat, tapi saya juga bawa makhluk raksaksa tu singgah di bengkel  Pak Ya sebab nak bagi bisnes pada orang Melayu, dan biar orang Melayu dapat tolong orang Melayu, secara tak langsung lepaslah fardhu kifayah antara kita semua. Kalau semuanya nak harapkan bangsa asing mengurus keperluan kita, apa ke hal? Lepas tu buta-buta orang kita kena tipu. Mentol signal yang berharga RM1 pun, dibantainya sampai RM12. Ada ke patut... Mana tak sepet! Pak Ya, kita orang Islam ni bekerja bukan sekadar nak cari makan, nak isi perut, tapi yang untungnya kerja kita ni dapat pahala sebab membantu orang-orang yang berada dalam kesusahan,” panjang lebar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Amira Batrisya. Mahu tak terkedu Pak Ya mendengarnya. Selalunya budak ni datang dengan kepala otak gila-gilanya, tapi hari ini lain pula kelakuannya, yalah... mungkin budak ni betul-betul nak bertaubat. Syukurlah...
          “Okeylah... disebabkan kerana kamu, Pak Ya kurangkan jadi RM1300. Macam mana?”
          “Kurangkanlah lagi... kakak angkat saya tu orang susah, anak dia sakit jantung, banyak duit yang nak dipakai. Okey, kalau tak macam ni, Pak Ya cari saja barang ganti kat kedai potong, yang mana boleh ketuk, Pak Ya ketuk. Lepas tu, cat. Mesti kos dia lebih murah, kan?” Pak Ya merenung wajah Amira Batrisya dalam-dalam, kemudian dia menoleh ke arah perempuan yang sedang termenung di atas bangku di hujung sana. Mata Pak Ya tidak berkelip, entah apa yang ada dalam kepala otaknya, perlahan-lahan Pak Ya melarikan kembali pandangannya pada Amira, gadis cantik yang berwatak lelaki. Sejurus itu Pak Ya menganggukkan kepalanya. Besar senyuman Amira, sebesar tayar kereta tunda yang dipinjamnya dari si Jerangkung. Ah... lapangnya.
          “Kau ni memang budak yang baik.” Pak Ya memuji.
          “Pak Ya juga seorang lelaki yang baik, kalau Pak Ya nak, mahu saya pinangkan Pak Ya untuk mak saya yang telah lama menjanda,” lawak Amira membuatkan Pak Ya ketawa besar. Sebelum ini pun Amira selalu membuatkan dia ketawa dan tersenyum.
          “Okeylah Pak Ya, kalau ada apa-apa, contact saya, tapi kalau boleh siapkan dalam masa terdekat ni.”
          “Baiklah, kau tu bawa kereta tunda tu elok-elok, sebab kau tu bukannya biasa sangat dengan benda alah tu.” Pak Ya berpesan, bagaikan seorang bapa berpesan pada anaknya.
          “Baiklah ayah.” Amira berseloroh sambil mengekek dan Pak Ya juga ketawa.





No comments:

Post a Comment