BAB 3
“Hello! Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam! Mak ke tu? Mak apa khabar sihat ke?”
“Mak sihat,adik-adik pun sihat,cuma ayah kau tu yang tak sihat,dah beberapa hari dia tak turun ke laut, sakit darah tingginya menjadi-jadi pula.”
“Ayah tak pergi ke klinik ke mak?”
“Dah pergi, doktor kata ayah kena banyak berehat,tak boleh kerja penat-penat.”
“Oh! Kasihannya ayah.”
“Nur tak nak balik ke tengok ayah? Ayah selalu sebut nama Nur, mak tahu ayah rindu pada Nur. Nur masih marahkan ayah ke?”
“Eh! Taklah mak, kenapa mak cakap macam tu?”
“Yalah, sejak Nur kahwin, Nur jarang balik kampung. ”
“Mak, maafkan Nur,tak ada niat sebesar kuman pun Nur nak marahkan ayah,Nur sayang ayah dan mak,Nur tak balik tak bermakna Nur telah lupakan mak,keadaan yang memaksa Nur,Nur tak boleh balik ,abang tak izinkan.”
“Kenapa Nur? Nur ada masalah ke?” Hati Mak Esah mula cuak bila dia mendengar esak tangis Nur,hati seorang ibu dapat membaca apa yang terselindung. Adakah Nur tidak bahagia?
“Nur, kalau Nur ada masalah, ceritalah pada mak.”
“Tak ada apalah mak,Nur cuma rindu pada mak saja.”
“Kalau rindu, baliklah,ajak Aiman sekali, dah lama mak tak tengok kau orang.”
“Mak, petang nanti mak pergilah ambil duit kat bank,Nur masukkan sedikit duit untuk mak buat belanja.”
“Baiklah Nur, terima kasih.”
“Mak, tolong doakan kesejahteraan untuk Nur. Kirim salam Nur pada ayah, Insya’Allah bila diizinkan tuhan kita akan bertemu,katakan juga Nur rindu pada ayah dan adik-adik. Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam!” Nur Asiah menangis sebaik saja panggilan dari ibunya ditamatkan. Rindu pada mak dan ayah di kala ini sungguh menggebu,dadanya seakan mahu pecah ,setiap masa dan ketika dia mengingati mereka,terbayang kenangan indah semasa bersama keluarga. Mak,ayah maafkan Nur!
Sebaik saja Aiman membuka pintu,dia dapati Nur Asiah yang sedang termenung jauh dan tidak sedar pun akan kepulangannya. Hatinya merasa panas melihat tingkah Nur Asiah, selalu saja hanyut dalam dunianya sendiri, nak dikata bodoh,tak pula dia bodoh kerana pelajarannya pun baik. SPM dulu Nur Asiah dapat 7A,walaupun dia selalu mengatakan Nur Asiah bodoh,tapi hakikatnya Nur Asiah tidak bodoh. Mungkin dia tidak senang dengan sikap Nur Asiah yang terlalu lemah lembut,terlalu menurut dan tidak mempunyai idea sendiri. Selalu saja macam lembu dicucuk hidung.
Kadang- kala Nur Asiah seperti kayu,tiada perasaan, apa lagi cinta . Ada ketikanya dia merasakan Nur Asiah adalah patung yang dibawa dari kedai permainan. Patung cantik yang tiada hati dan perasaan. Bertahun-tahun dia cuba mencurahkan cinta dan perasaan pada Nur Asiah ,tapi ibarat mencurah air di daun keladi,ataupun mencurah air ke atas pasir ,tidak memberi apa-apa kesan pun. Nur Asiah tetap seperti itu, diam membatu seperti kayu,seperti tunggul atau pun seperti mayat hidup,yang sedang bergerak-gerak di dalam rumahnya. Haru…sungguh haru!!! Aiman ingatkan dalam tempoh beberapa bulan lepas kahwin dia akan berjaya menawan hati isterinya, tapi rupanya tidak, hati Nur Asiah terlalu keras. Dah bermacam-macam benda yang dia buat untukNur Asiah, tapi semuanya tak jalan. Untuk melihat Nur Asiah bergelak ketawa dan bergurau senda adalah sesuatu perkara yang mustahil. Nur Asiah terlalu pasif dalam soal itu,adakah kerana dia masih muda dan tidak berpengalaman? Tak juga, sebab budak-budak sekarang lebih advance dalam bab perhubungan sosial dengan pasangan, tak kiralah dibandar atau dikampung. Nur Asiah tetap Nur Asiah, seolah-olah dia sedang berdendam dengan keadaan ataupun berdendam dengan suaminya.
“Kenapa muka kamu macam tempoyak busuk saja?” Nur Asiah menoleh, rupa-rupanya Aiman telah balik,kenapa dia tak sedar? Tempoyak memanglah busuk sikit tapi sedap dibuat sambal, cicah dengan ulam petai atau ulam raja. Pasti sedap sampai terangkat. Nur melihat muka suaminya. Nak cakap atau tidak, serba salah dibuatnya. Ah! cakap sajalah untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Nur Asiah mula memberanikan diri.
“Abang, tadi mak telefon,katanya ayah sakit,dah banyak hari, boleh tak kita balik kampung untuk menziarahi ayah?”
“Tak boleh.”
“Tapi kenapa bang?” Nur Asiah mengangkat muka,merenung wajah suami.
“Aku sibuk,banyak kerja.” Aiman bertegas, dia ingin melihat mahukah Nur Asiah memujuk dan merayunya.
“Tak apalah kalau abang tak boleh,tapi izinkanlah saya balik kampung sendiri, saya boleh naik bas. Lagi pun saya dah biasa naik bas.”
“Nak cari nahas, nanti apa pula kata mak bapa kau,karang kata aku tak peduli pada kau pula,tak payah balik ” melengking suara Aiman memarahi Nur. Terperanjat Nur seketika, rasanya dia tidak berbuat apa-apa kesalahan pun, cuma minta izin nak balik kampung, takkanlah itu pun nak marah? Nur Asiah mula menarik muka,dia memejamkan mata,setitis demi setitis air matanya mula menuruni pipi. Sampai hati suaminya berkata demikian,tahukah dia perkataan itu telah mencarikkan dan meluluhkan hatinya. Akhirnya Nur membawa diri ke dalam bilik bersama tangisan kesedihan. Mak ! Maafkan Nur kerana tak dapat balik jenguk mak dan ayah. Bukan Nur tak rindu, bukan Nur tak ingat,tapi Nur tak boleh balik. Mak tahu tak? Siang malam Nur rindukan keluarga, tak pernah Nur lupa walau sepincang pun, kalaulah Nur bersayap dah lama Nur terbang pulang.
Aiman menolak daun pintu biliknya perlahan-lahan, dia ingin mengintai isterinya sedang buat apa, masih menangis atau sudah reda. Rupa-rupanya Nur Asiah telah terlena diatas katil bersama air mata yang masih membasahi pipi. Aiman menghampiri Nur yang sedang nyenyak tidur,perlahan-lahan dia membelai rambut Nur, bukan dia tak kasihan sewaktu memarahi Nur Asiah, tapi dia geram sangat, Nur Asiah langsung tak menunjukkan rasa kasihnya pada suami, apa lagi cinta. Yang dia tahu hanya patuh dan takut, seoalah-olah orang gaji yang takutkan majikan. Aiman mahu Nur Asiah jadi dirinya yang sebenar, seorang yang riang gembira, seorang yang cergas dan pantas, yang selalu tersenyum dan ketawa, kerana dia terlalu ingin melihat Nur Asiah ketawa. Dia jatuh cinta dulupun kerana melihat gelak ketawa Nur Asiah. Sungguh cantik waktu itu ,sehingga hati terpanah petir asmara.
Aiman bersandar pada kerusi malas yang terletak di hadapan kedai Wak Seman, dia ingin berehat sambil membaca suratkhabar. Angin pantai yang berhembus cukup mendamaikan. Sudah lama dia tak datang bercuti ke Kampung Kuala Sungai Baru, kerana kesibukan dengan kerja di pejabat. Sekarang dia ingin bercuti dengan tujuan melepaskan segala stress yang bertimbun di atas bahu.
“Dah balik pun budak sekolah,harap-harap Nur lalu kat sini.” Tiba-tiba Wak Seman yang baru keluar dari dalam kedainya bercakap sendirian. Aiman menoleh ke arah bapa saudaranya tanpa membalas cakap, dia meneruskan pembacaannya.
Macam biasa ,balik dari sekolah Nur akan melalui jalan depan kedai runcit Wak Seman, mengayuh basikalnya laju-laju, tak pernah tak laju. Kalau perlahan-lahan tu bukan Nur Asiah namanya.
“Nur, singgah sekejap, ada surat!!!” Wak Seman melaung. Nur menoleh seketika ke arah Wak Seman yang sedang tercegat macam polis trafik di depan kedainya, eh! Ada surat ,pasti dari Zarif …hatinya riang tak terkata. Nur Asiah melihat Wak Seman lagi dengan gembira lalu membalas lambaian Wak Seman. Tanpa Nur Asiah sedar tumpuannya telah hilang, dia lupa untuk membrek basikalnya,basikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu tersungkur di pangkal pokok kelapa.
Dummm… basikal Nur Asiah menyondol pokok kelapa yang telah sekian lama wujud kat situ.
Kaget Wak Seman seketika,tapi akhirnya dia ketawa terbahak-bahak melihat Nur yang terkial-kial untuk bangun. Nur Asiah mula rasa malu dan marah, untuk menutup malunya dia menghempas basikalnya sekali lagi ke pangkal pokok kelapa. Hah… puas hati… buat malu aku saja. Aiman yang sedar akan kekecohan menghentikan bacaannya dan mengintai di balik surat khabar. Alamak budak semalam… detiknya dalam hati. Kemudian dia pura-pura meneruskan bacaannya, tapi dalam diam dia tersenyum melihat Nur Asiah yang sedang melanyak basikalnya.
“Nur! Yang kau marah sangat dengan basikal tu kenapa?” ketawa Wak Seman masih bersisa,Nur Asia menarik muka,masam kelat.
“Kasihan pokok kelapa yang tak bersalah tu, tiap kali kau datang, pada pokok tu lah kau humbankan basikal buruk kau tu.”
“Hah…memang, biar padan muka kuda buruk tu.”
“Hai... nasib baiklah bukan kuda betul, kalau tak,dah lama mati kuda tu dipangkal pokok kelapa aku, dan nasib baiklah pokok kelapa tu tak mengamuk, kalau dijatuhnya sebiji dua kelapa tua tu atas kepala kau, baru padan dengan muka.” Wak Seman ketawa lagi sambil menyakat, dia memang suka menyakat Nur Asiah, setiap kali gadis itu datang ke kedainya untuk membeli barang atau mengambil suratnya, dia pasti akan mengusik Nur Asiah. Kedai Wak Seman memang di jadikan wakil pos oleh orang kampung Kuala Sungai Baru.
“Wak pun satu,lain kali nak panggil orang, bagilah isyarat dulu,dah tahu orang tengah bawa basikal. Kalau tak pun letaklah trafik light pada pokok kelapa tu, senang sikit orang nak berhenti.” Nur Asia tak mahu mengaku kalah, dia sakit hati bila Wak Seman tak henti-henti ketawakannya.
“Aik…wak pula yang kau salahkan.Kau tu yang selalu bawa laju,bawa basikal macam dikejar pelesit, agaknya dah berapa ekor anak ayam dalam kampung ni kau langgar. Kau ingat jalan raya ini untuk merempit ke?” Aiman ketawa di balik surat khabar, dia memang tak bercadang pun untuk menunjukkan mukanya.
“Hah…wak ,bab anak ayam ni sensitif sikit,orang baru langgar seekor aje,itupun sebab Kak Milah lepaskan anak ayam dia merata-rata,bukan salah orang.”
“Kau tu memang, selalu tak mahu mengaku kalah, nah, ini surat kau,” akhirnya Wak Seman menghulurkan surat Nur Asiah, terloncat-loncat Nur Asiah kegembiraan, hilang cemberutnya tadi. Memang dia dah agak surat dari Zarif yang berada di Russia. Kekasih hatilah katakan.
“Surat dari siapa,sampai kamu tersengih-sengih tak henti-henti? Macam kerang busuk aje.”
“Ada le,mana boleh beri tahu wak,wak tu kuat kepo.” Nur Asiah masih mencium surat tersebut, masih teruja.
“Eleh...dari mata airlah tu, macamlah wak tak tahu dari siapa.”
“Bukan mata airlah wak, tapi tali air,wak jangan nak kepo ya? Wak pun ada mata air juga, ingat orang tak tahu, Kak Senah janda tu siapa?” Nur Asiah mula menyakat.Wak Seman terkerising.Memang dia sukakan Senah janda tu, Senah janda tu masih bergetah lagi walaupun dah masuk 40an.
“Apa yang mata air dan Senah janda ni?” Mak Besah menerjah dari belakang. Alamak …kantoi! Nur bukan tak kenal Mak Besah yang kuat cemburu tu, laki dia yang dah tua gayut tu pun cemburu. Sayang sangatlah kat wak tu,bukannya handsome pun Wak Seman tu,kepala dah botak,pendek dan tak bergaya langsung. Mak Besah!!! Mak Besah!!!
“Eh …tak ada apa. Dengar kata kerajaan nak bina tali air sebelah rumah Kak Senah janda tu, tak tahulah jadi ke tidak,” pandainya Nur menipu. Tak sengaja,tapi nak selamatkan keadaan kalau tak lunyailah Wak Seman dikerjakan oleh Mak Besah. Eieeeee…bini kerjakan laki, tak berdosa ke? Macam tu punya isteri pun ada ke?
“Nak buat apa bina tali air? Kat kampung kita ni, bukannya ada sawah padi pun…”
“La…Mak Besah ni, untuk pelancunganlah ,kan negeri Melaka ni pusat pelancungan.”
“Entah, ya,entahkan tidak, kau dengan Wak kau ni sama saja,otak dah gelong, bukan boleh pakai sangat, marah Mak Besah sambil melenggok masuk kedalam kedainya. Akhirnya Wak Seman dan Nur Asiah ketawa geli hati ,begitu juga dengan Aiman yang masih menyorok di balik surat khabarnya.
“Terima kasihlah ,orang balik dulu, karang mak tercari-cari ,manalah anak dara dia yang cantik manis ni menyinggah,” Nur Asiah mengekek sendiri.
“Ikan masin bila kau nak hantar? Dah ramai orang bertanya.”
“Tengoklah nanti, sebenarnya ikan tu dah siap, cuma belum masuk dalam plastik,mungkin esok orang hantar.”
“Kamu ni kan ,tak habis-habis dengan bahasa orang, orang mana? Orang Kuala Lumpur? Ada nama sedap tak nak guna.” Wak Seman mula membebel,Nur Asiah buat tak dengar saja, malas dia melawan cakap dengan wak lagi, kepala otaknya sudah terbayang wajah Zarif yang kacak dan surat cintanya yang indah itu. Nur Asiah mula mengayuh basikal untuk pulang ke rumah.
Sebaik saja Nur Asiah meninggalkan halaman kedai Wak Seman , Aiman yang dari tadi diam tak berkutik mula melipat surat khabarnya.
“Siapa tadi tu pak cik?” Aiman mula ingin tahu tentang gadis yang mula mencuit hatinya.
“Ah…itu Nur Asiah, anak Pak Khalid,rumah dia dekat dengan pantai ,kenapa kamu bertanya?”
“Saja,cantik juga orangnya.”
“Bukan saja cantik Si Nur tu, baik, bertanggungjawab dan penyayang,kenapa kau dah terpikat ke?” Wak Seman mula menyakat anak saudaranya, namun Aiman hanya menyengih tanpa apa-apa ulasan.
Matahari tegak di atas kepala, Nur mengayuh basikalnya laju ke kedai Runcit Wak Seman, dia mahu menyerahkan ikan masin yang diminta oleh Wak Seman. Walaupun panas Nur tak peduli, yang pentingnya kerja mesti selesai sekarang juga, Kata mak tak baik bertangguh, kerja bertangguh ialah kerja orang yang malas, lagipun hantar saja ikan masin ni,pasti Wak Seman akan membayar duitnya. Sebaik saja sampai di kedai, Nur Asiah terus masuk dan terus meletakkan ikan masinnya dikaunter . Wak Seman senyum melihat Nur Asiah datang.
“Assalamualaikum wak, eh…kenapa kedai wak ni gelap semacam saja,tak ada lampu ke?”
“Waalaikumussalam! Lampu apa ke bendanya,kan matahari terang bederang kat luar tu, kau tu memanglah nampak dalam ni gelap sebab kau datang dari tempat yang terang,banyak cahaya dah masuk mata kau.”
“Ya ke? Orang tak tahu pun, mak pun tak pernah cakap.”
“Kau tu memang, apa yang kau tahu? Kira ikan masin aje kan?” Wak Seman mula ketawa.
“Mak oii...! Sedapnya wak mengata orang, kecik hati orang, macam lah orang sekolah tak pandai,nanti wak, kalau orang dapat SPM 10 A , orang tayang kat muka wak tau.” Nur Asiah tak kecil hati pun dengan apa yang wak cakap, dia tahu Wak Seman seorang yang baik, tak ada niat nak mengutukpun.
“Hah…kalau kau tak lulus, wak bagi kau laki, kau nak?” Wak Seman mula menyakat. Melopong mulut Nur Asiah.
“Ah…tak nak orang sembang dengan wak lagi, orang nak baliklah,banyak kerja kat rumah tu,” Nur Asiah pura-pura merajuk. Bukan dia tak tahu, wak tu kuat mengusik,ada-ada saja benda yang nak disakatnya.
“ Alah cakap sikit saja dah merajuk .Nah, duit kamu,kira dulu, cukup ke tidak duit tu.”
Nur Asiah mengira-ngira sambil berjalan .Tiba-tiba kakinya tersadung sesuatu ,badannya tidak dapat diimbang lalu dia terjatuh. Aduh!!! Nur Asiah terus bangkit bila mendengar perkataan itu , matanya bulat kerana terkejut.
“ Kenapa kau Nur?” Tanya Wak Seman kehairanan.
“Orang tersepak benda ,lalu terjatuh,mana orang tahu kerusi tu ada penghuninya.”
“Habis, kau ingat itu apa? Guni beras?” Nur Asiah tersengih-sengih .
“Masa masuk tadi tak nampak pun, bila masa pula ada ek? Black magic ke?”
“Banyaklah kau punya black magic .Nur …Nur, kalau dah rabun tu rabun jugalah.” Wak Seman ketawa . Aiman mula menyelak surat khabarnya dan mula menyengih,sebenarnya bukanlah sakit sangat tadi, badan Nur pun bukannya gemuk, cuma dia terkejut saja.
“Hah….wak inilah orang yang bawa kereta masuk kampung dengan laju, mentang-mentanglah kereta dia besar, dua hari lepas nasib baik tak berlanggar dengan orang, kalau tak orang dah jadi arwah, ataupun terbaring kat katil hospital ,tapi orang jatuh parit ,habis telur yang orang beli tu, bagi balik telur kau!!!” Marah Nur Asiah sebaik saja melihat wajah Aiman. Tak sangka dia terjatuh ke atas pemuda itu. Dia belum puas bergaduh di tempat kejadian hari itu. Tiba-tiba Nur Asiah mendengar mereka ketawa. Mak Besah yang sedang memilih ikan bilis pun ketawa, Nur Asiah hairan.
“Apa yang lucu sangat, sampai ketawa berdekah-dekah?” Nur Asiah mula naik angin bercampur marah terhadap Aiman, hutang semalam belum selesai, berlagak ...masuk kampung bawa kereta laju tak nampak ke jalan tu sempit , nasib baik aku tak cedera.
“Mana tak lucunya kau minta telur Aiman. Kau kata ,bagi balik telur kau!” Makin kuat Wak Seman ketawa, betul ke aku cakap begitu? Nur Asiah mula keliru. Ya kut, aku tersasul. Oh tidak!!! Malunya.
“Eh…bukan ,bukan …tersalah cakap,” malunya Nur Asiah, Tuhan saja yang tahu,ingin dia mengecil menjadi semut ,biar mereka yang berada di kedai itu tidak lagi melihatnya. Dengan sepantas kilat Nur Asiah berlari ke arah basikalnya dan mengayuh laju-laju pulang ke rumah.Dalam hatinya dia tak nak lagi ke kedai Wak Seman selagi malunya belum hilang. Aiman ketawa terbahak-bahak melihat telatah Nur Asiah yang melucukan, tapi dalam hati dia mula menyukai Nur Asiah gadis penjual ikan masin. Tiba-tiba Nur Asiah membalikkan tidurnya,lamunan Aiman pun terputus. Nur Asiah terpisat-pisat melihat suaminya berada disisinya.
“Kenapa abang lapar ke?” Aiman hanya menggelengkan kepala.
“Tidurlah, hari pun dah malam,maafkan abang ya? Abang janji, kalau abang ada kelapangan kita balik kampung ya?” Nur Asiah menatap wajah suaminya ,lalu mengangguk. Harap-harap kali ini suaminya tidak mungkir lagi.
No comments:
Post a Comment