BAB 4
Minta,tak,minta,tak,minta,tak.minta. Dah habis kelopak bunga mawar Nur Asiah buat main cabut-cabut daun untuk membuat pilihan. Daun yang terakhir ialah tak. Hiss… ini tak boleh jadi, kalau tak minta ,mana laki aku nak tahu apa yang aku nak. Minta ajelah. Ikan tuba dalam perahu,tak cuba tak tahu.
Nur merenung bunga mawar yang masih banyak di pokoknya…Nak buat lagi ke? Karang hasilnya tak sama. Ah…kerja bodoh, lebih baik solat hajat, minta Allah lembutkan hati suaminya ,hati manusia kan milik Allah, apa-apa pun boleh berlaku.
Semasa Aiman sedang berehat,Nur Asiah datang bersama minuman petangnya,sepiring popia goreng dan secawan kopi panas. Nur Asiah berada di sebelah suaminya,menemani Aiman makan. Nur Asiah memberanikan diri ,membuka mulut.
“Abang ,Nur nak cakap sikit boleh?”
“Cakaplah apa dia?”
“Nur nak sambung belajar,” buntang mata suaminya merenung ke wajah Nur.
“Kenapa nak belajar lagi? Awakkan dah kahwin,” lain benar bunyi suara Aiman. Sikit-sikit nak marah, tak boleh ke hidup kalau tak marah?
“Nur boringlah duduk kat rumah,dah dua tahun kahwin,anak pun tak ada.”
“Banyak lagi benda lain yang boleh menghilangkan boring kamu tu,” Aiman bersuara,tapi dalam diam dia teringat janjinya dengan bapa mertuanya. Dulu,sewaktu dia nak meminang ,dia telah berjanji dengan bapa mertuanya untuk membenarkan Nur Asiah belajar sekiranya Nur Asiah ingin menyambung pelajarannya.
“Bolehlah bang, Nur kan masih muda,banyak benda yang Nur tak tahu, Nur tak nak jadi isteri abang yang bodoh, Nur nak jadi pandai,” Aiman termenung dengan permintaan Nur Asiah.
“Baiklah, tapi kau kena ingat, kau tu isteri orang, jangan nak menggatal di luar sana,” nak terlompat Nur Asiah bila mendengar keizinan dari suaminya,dengan spontan dia memeluk dan mencium Aiman,senyum Nur lebar sampai ke telinga.Aiman kaget seketika,Nur Asiah bertindak di luar kebiasaannya. Apa pun Aiman nampak cahaya ceria berada di wajah Nur Asiah.
“Terima kasih bang,Nur akan ingat pesanan abang,terima kasih banyak-banyak,” Nur Asiah masih belum melepaskan pegangan tangan suaminya. Terlalu teruja Nur Asiah dikala itu sehingga dia sendiri telah kembali pada dirinya sendiri.
Pendaftaran untuk pengajian semesta pertama di SEGI kolej bermula. Aiman membuat pendaftaran untuk Nur Asiah. Separuh hari dia menguruskan segala keperluan pembelajaran Nur Asiah. Yang anehnya dalam setiap borang yang diisi statusnya diisi sebagai penjaga.
“Kenapa abang tak berterus terang saja, yang abang ni suami Nur?”
“Biarlah, abang nak Nur selesa bila bergaul dengan kawan-kawan. Kadang-kadang pandangan masyarakat ini tidak seperti yang kita harapkan. Mereka suka membuat telahan sebelum mendapat kesahihan.”
“Oh…terima kasih abang.”
“Tapi Nur jangan nak ambil peluang pula. Kalau abang dapati Nur buat sesuatu yang tak elok dibelakang abang, Nur tahulah untung nasib Nur,” dalam lembut Aiman mengugut.
“Ya bang, Nur bersumpah dengan nama Allah, Nur akan jaga maruah Nur dan maruah abang, Nur ucapkan beribu-ribu syukur abang benarkan Nur belajar. Nur janji, Nur tak akan sia-siakan peluang yang abang beri,” Nur Asiah mengangkat tangan seperti sedang melafazkan ikrar. Aiman senyum lalu memeluk Nur Asiah, kasihnya kian mewangi. Kerap kali dia menyesal bila dia melakukan kekasaran terhadap Nur Asiah, kadang-kadang bukan dia sengaja pun, tapi syaitan selalu membakar hati supaya melakukan penderaan terhadap Nur, dia selalu kalah dengan pujukan syaitan.
“Nur, abang kena pergi ofis, petang nanti abang jemput Nur.”
“Baik bang,” Nur Asiah bersalam dan mencium tangan suaminya. Tatkala Aiman mula beredar, Nur Asiah melambai-lambaikan tangannya.
Maka bermulalah kehidupan Nur sebagai pelajar,penuh dengan kesibukan. Bila pagi Aiman akan menghantarnya ke kolej dan waktu petang Aiman akan menjemputnya, tapi kalau kelas Nur Asiah habis awal, dia akan meminta izin dari Aiman untuk balik dengan teksi. Nur Asiah seorang yang rajin. Tiap-tiap hari dia akan bangun diawal pagi, mengurus rumahtangganya ,memasak untuk sarapan suami dan mengulangkaji pelajarannya. Nur Asiah rasa puas dan seronok bila dapat menyiapkan semua pekerjaannya.
Wajah Nur Asiah kembali ceria, gerak lakunya lincah dan bersemangat, walaupun kadang-kala marah si Aiman membuatkan Nur Asiah sakit hati, biarlah …bersabarlah…kenangkanlah kebaikkannya. Tidak ada manusia yang sempurna, terimalah dia seadanya.Yang penting ikhlas lah menerimanya dan berdoalah semoga sikap panas baran dia tu dapat dibuang.
Semasa di kolej, Nur Asiah membatasi pergaulannya dengan rakan-rakan sekuliah atau rakan kolej. Biarlah, kalau ada yang mengatakan dia sombong,atau kera sumbang, tak luak pun, yang penting dia tahu jaga diri. Tujuan dia masuk kolej adalah untuk belajar, bukan untuk mencari kawan-kawan atau kenalan, kepercayaan Aiman terhadapnya perlu dijaga dan dihormati sepenuhnya.
Bukan tak ada rakan-rakan ingin berkawan dengannya, apa lagi yang ingin mengenalinya dengan lebih jauh, tapi Nur Asiah tidak mahu, dia melayan mereka seadanya.
Di dalam kelas ,dia akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran, tak ada masa untuk berlonggok dan bergosip. Kalau ada waktu sengkang,dia akan berada di perpustakaan.
Sesuatu yang Nur Asiah tidak sedar, dia diperhatikan. Dia menjadi seada dirinya ,yang tak punya apa-apa keistimewaan , namun begitu ada juga lelaki yang berminat telah menarik minat seseorang untuk mengenali dengan lebih dekat,lebih mesra. Ah … tak ke haru dibuatnya …masalah itu Nur Asiah tolak tepi dan buat bodoh saja, Nur Asiah sedar ,dia telah bersuami, dia perlu menjaga hubungannya dengan mana-mana lelaki ,agar tidak timbul fitnah.
“Eh …Nur Asiah, kenapa duduk kat sini seorang-seorang,” terkejut Nur Asiah bila disapa dari belakang oleh pensyarahnya, Encik Adry. Nur Asiah hanya menyengih kosong. Nur Asiah memang suka bersendirian, lepak dimana-mana sudut sambil meneruskan pembacaannya.
“Oh…Encik Adry, saya memang suka bersendirian.”
“Kenapa Nur tak suka menyertai kawan-kawan?”
“Entahlah, mungkin susah nak klik, sebab usia yang berbeza, mereka semua tu, masih muda dan saya pula dah tua. Sebab tu susah nak jadi geng.”
“Cubalah perlahan-lahan cari kawan yang sesuai. Saya kasihan tengok Nur, kesana-sini berseorangan.”
“Eh, tak mengapapun, dah biasa.” Nur Asiah tak perlu kawan, dan tak perlu sesiapa yang tahu tentang status dirinya.
“Nur dah makan ke belum?” Encik Adry mengubah tajuk.
“Dah,Encik Adry.Nur bawa bekal.”
“Kenapa Nur selalu bawa bekal? Nur tak ada duit ke nak belanja?” Mak oii…ini sudah lebih! Sesedap rasa saja dia bertanya, ingat aku ni sengket sangat ke?
“Bukan macam tu, saya tak suka pergi kafetaria, lagi pun saya tak ada kawan.” Bantai sajalah apa-apa alasan pun.
“Oh, kes senganlah ni, tak apa, kalau Nur segan, biar saya temankan.” Ah …aku dah terjerat,tulah nak cakap tak fikir dulu.
“Tak mengapalah Encik Adry, mungkin lain kali kut, Nur harus pergi ni, kejap lagi saya ada kelas.”
“Okaylah, tapi janji tau, saya belanja Nur makan.” Apa nak cakap? Nur Asiah hanya mengangguk saja untuk melepaskan diri. Ah ...gawat ni!
Jam di dinding telah menunjukkan pukul 7.40 pagi. Nur Asiah rasa dia mungkin kelewatan sedikit. Kelasnya bermula 8.30 pagi. Kalut betul dia menyiapkan itu dan ini. Nur Asiah menyuruh suaminya bersarapan dahulu ,kerana suaminya telah selesai berbaju. Sejak Nur Asiah belajar Aiman terpaksa turun awal ke pejabat,kerana perjalanan mereka sehala.
Nur Asiah cepat-cepat memboloskan diri ke bilik air untuk mandi. Sebaik saja Nur Asiah selesai mandi,tiba-tiba pintu bilik air diketuk kuat dari luar. Macam nak runtuh. Dah sah Aiman sedang mengamuk. Pasal apa pula? Tadi elok saja,tiba-tiba puting beliung pula pak cik ni?
“Nur ,keluar cepat!!!” Aiman melaung sambil mengetuk pintu. Jangan-jangan dia dah tak tahan nak terpush kut? Kalau ya pun sabarlah kejap, karang runtuh pintu ni,kan susah.
“Ada apa bang?”
“Sini kau!” Aiman menarik tangan Nur Asiah yang masih terpinga-pinga.
“Kenapa ni?” Memang suspen giler, dia tahu suaminya sedang marah sebab tingkah laku dan suara suaminya agak kasar. Kut ya pun nak marah, bagi le aku pakai baju dulu. Ini tidak, meluru saja nak menembak, karang terlucut tuala ni dari badan tak ke naya. Eeeei… malu…
“Ini, jantan mana yang SMS . Ini kerja kau ya? Aku bagi kau peluang belajar, kau pergi cari jantan ya?” marah Aiman tanpa usul periksa. Nur Asiah mengambil handsetnya dan membaca mesej“ Nur, jng bwa bekal,nnti sy blnja mkn.” pengirimnya Encik Adry. Mak oii! Mampus aku, bala untuk aku sudah datang. Ya, Allah selamatkanlah hambamu yang tak bersalah ini. Aiman merampas semula handset dari tangan Nur lalu menghempas ke lantai. Berkecai handset murah yang tak bersalah tu, Nur melihatnya dengan rasa sedih dan takut. Berakhirnya riwayat handset 3310(Tiga-tiga sekupang) yang banyak berjasa. Wa…wa…wa…hibanya aku.
“Abang, sabar dulu, biar Nur jelaskan. Sebenarnya Nur tak ada apa-apa hubungan dengan Encik Adry, dia tu pensyarah Nur. Dia selalu nampak Nur makan bekal Nur bersendirian, Nur tak pernah pergi ke kafetaria. Dia ingat Nur tak pergi ke kafetaria tu sebab Nur tak ada kawan dan dia nak temanlah kononnya, tapi memang Nur tak ada kawan pun.”
“Kenapa Nur tak ada kawan?” Nada Aiman masih tinggi,seolah-olah tak percaya cakap Nur Asiah.
“Saja Nur tak nak berkawan, nanti kalau berkawan mesti dia orang nak tahu latar belakang Nur dan siapa diri Nur. Lagi satu Nur takut terpengaruh dengan mereka sebab mereka tu sosial sikit. Nur ni macam kera sumbang dalam kelas,tapi Nur tak kisah, sebab Nur ke sana pun bukan unutk berkawan-kawan , tapi nak belajar.”
“Dah tu, macam mana Si Adry tahu nombor handset Nur?” Buruk betul pak cik ni kalau cemburu, di hatinya selalu ada keraguan.
“Diakan pensyarah Nur, dia tahulah biodata Nur, lagi pun dalam borang kemasukan tu, abang tulis status Nur ,bujang. Jadi tak salahlah kalau dia baik-baik dengan orang bujang,” ha…kena sebijik. Aiman menggaru-garu kepalanya yang tak gatal,memang silap dia, tapi untuk minta maaf, egonya tidak membenarkan.
“Dah, abang tak suka ,si Adry tu baik-baik dengan Nur, jangan layan dia. Kalau tak ,abang berhentikan Nur. Faham tu?” Kecut perut Nur bila dengar perkataan berhenti. Berderau darahnya naik ke muka, ngeri betul….macam mana ni? Dia kenal Aiman, kalau dia cakap dia akan buat.
“Macam nilah bang, biar Nur berterus terang saja dengan dia,yang Nur ni dah bersuami, barulah dia tak kacau Nur, ataupun abang jumpa dia, abang cakap. Hei!…Bro,lu jangan dekat dengan Nur Asiah, itu bini gua, kalau lu ganggu juga,tahulah gua mengajarnya, gua tenyeh muka lu, biar jadi macam cekodok pisang” tersuging senyum di bibir Aiman melihat gelagat Nur yang mengajuk lagak samseng,tak sedar diri tu masih bertuala, sekali tarik saja ,selesai.
“Dahlah Nur, tak payah nak merepek-repek,” marah Aiman sudah habis, tapi saja dia nak lihat gelagat Nur Asiah yang cemas.
“Habis takkanlah disebabkan pensyarah baik dengan Nur, abang nak berhentikan Nur?” Nur Asiah memang tak puas hati,tapi dia takut untuk memberontak.
“Tengoklah macam mana nanti.”
“Abang ,please!!! Kalau tak pun biar Nur saja yang bantai Encik Adry, kalau dia buat baik pada Nur,” hiss…lawak bodohlah pula. Taram sajalah, yang penting laki aku tak berhentikan aku dari terus belajar.
“Dahlah Nur, abang malas nak cakap lagi,” Aiman pura-pura nak melangkah keluar dari bilik tidur mereka . Tiba-tiba Nur Asiah menghalang dengan mendepakan tangannya.
“Abang please! please! Tolonglah, Nur sanggup laku apa saja untuk abang,tapi tolonglah jangan berhentikan Nur,Nur merayu,” sendu saja suara Nur.
“Betul, sanggup lakukan apa saja?” Nur Asiah mengangguk dengan penuh semangat.
“Ya, apa saja yang abang suruh,” bukan main yakin lagi Nur Asiah,dia mula senyum. Hah…masih ada harapan.
“Buka tuala tu,” Aiman menyuruh, Nur Asiah merenung ke arah badannya, bulat mata dan terlopong mulut Nur Asiah bila tersedar yang dia masih bertuala. Seketika kemudian dia menyengih. Matanya di isyaratkan kearah jam. Aiman faham ,lalu dia ketawa melihat telatah Nur. Dia seronok dapat mengenakan Nur,walaupun dia selalu tidak dapat mengawal barannya ,tapi dia amat cintakan Nur dan gelagat Nur yang kelam kabut serta bendul tu amat mencuit hatinya.
“Dahlah abang acah saja,cepatlah siap,nanti lambat pergi kelas, tapi ingat Nur ,Nur dah berhutang dengan abang,” wah…lapang dada Nur, kalau tak lambatlah Nur pergi kelas. Hutang pun,hutanglah. Janji Aiman tak berhentikan dia.
“Terima kasih abang,” Nur Asiah mencium pipi Aiman. Kemudian dia cepat- cepat bersiap untuk pergi ke kelas.
“Nur, nanti abang beli baru handset untuk Nur,” dah menyesallah tu. Nur Asiah menyengih.
“Tak payahlah bang, tak penting pun bagi Nur, kalau Nur nak telefon abang, Nur pakailah telefon public, kalau nak call mak, Nur pinjamlah fon abang, bolehkan?” Nur tak nak handfon lagi,kalau adanya boleh menyebabkan rumahtangga kita huru hara.
Sebaik saja kereta Aiman berhenti betul-betul di hadapan bangunan SEGI kolej. Nur Asiah terburu-buru keluar, kelas akan bermula dalam 5 minit lagi. Sebelum keluar kereta,Nur Asiah bersalam dan mencium tangan suaminya seperti biasa, tapi hari ini Nur Asiah bertindak nakal ,membisikkan sesuatu di telinga suaminya, “ nanti malam bayar hutang,” sebagai ucapan terima kasih .Aiman ketawa, Nur Asiah nakal dan manja, lalu dia menghadiahkan sebuah ciuman di dahi Nur Asiah, penuh sayang dan cinta. Di luar kereta ada sepasang mata yang sedang memandang.
Bila kereta Aiman bergerak perlahan-lahan meninggalkan bangunan SEGI kolej, Nur Asiah melambai-lambaikan tangannya kemudian dia beredar dari tempat itu menuju ke kelas. Sebelum sampai ke kelas, perjalanannya di halang oleh Encik Adry.Nur Asiah terpempan. Apa ke hal pula Encik Adry ni?
“Nur Asiah, tadi tu siapa?”
“Oh…itu suami saya, kenapa ,Encik kenal ke?”
“Apa, suami? Tapi dalam borang tu awak tulis bujang,awak bagi maklumat palsu ya?” Kelabu asap terus muka Adry, sesuatu yang tak disangka.
“Tak, semasa isi borang tu, saya bujang lagi dan sekarang dah kahwin.” Ah…taram sajalah, lagipun apa kena mengena aku kahwin, ke bujang ke,janda ke? Dengan dia, suka hati oranglah. Ini yang aku tak suka ni, bila ada orang sibuk nak tahu hal-hal peribadi aku.
“Oh...melepaslah peluang saya.”
“Peluang apa?” Nur Asiah memang bendul.
“Peluang nak pikat awak.” Nur Asiah ketawa lucu, dalam ramai-ramai pelajar kat kolej ni, aku juga yang nak dipikat,lawak! lawak! Macamlah tak ada perempuan lain yang lebih cantik,lebih bergaya, lebih seksi atau lebih segala-galanya. Encik Adry pula bukan calang-calang orang, kacaknya macam Aaron Aziz ,kalau laki aku tengok dia ,jawabnya cemburu giler, aku rasa,bukan lagi giler tapi maut terus.
“Encik, jangan buat lawak boleh tak? Geli jantung saya” Encik Adry ketawa senang, boleh tahan juga lawak Nur Asiah, sekali tengok macam pendiam. Tapi bila bersembang, mudah mesra. Hatinya kian tertarik.
“Betul , saya telah jatuh hati pada awak,” hah, sudah… macam mana ni? Keruh muka Nur Asiah mencari ayat power untuk mematahkan ayat-ayat cinta dari pensyarahnya. Lain yang diharap, lain pula yang jadi.
“Encik, Encik Adry dah tersalah jatuh, jatuh dalam kandang harimau, silap hari bulan patah tengkuk encik kena baham dek rimau tu,” berkerut dahi Adry,tak faham?...Alah, buat-buat fahamlah.
“Awak ni kan macam-macamlah” Adry ketawa, Nur Asiah menggaru kepala yang bertudung.
“Macam ni, saya nak cakap terang-terang,tanpa berselindung dan menipu. Saya dah kahwin dan suami saya pula kuat cemburu, bukan cemburu biasa, tapi cemburu giler yang boleh bawa maut. Di sebabkan mesej yang Encik Adry hantar pagi tadi, handfon saya dah jadi arwah, hancur berkecai dihempas oleh suami saya. Dan satu lagi kalau dia tahu kita bersembang macam ni bermaksud esok saya akan diberhentikan terus dari kolej, tanpa notis. Encik Adry, tolonglah saya, jadikanlah hubungan kita sebagai hubungan murid dan guru saja ,tak lebih dari itu. Saya datang sini untuk belajar ,nak cari ilmu. Suami saya benarkan saya belajar pun dah seribu syukur,tolonglah saya. Lillahhi ta’alla , saya minta kerjasama dari encik,” eeh …rasa macam baca khutbah jumaatlah pula. Lantaklah janji dia faham.
“Okaylah encik saya dah lewat ni.” Nur Asiah berlalu meninggalkan Adry yang masih terpempan disitu, masih tegak berdiri macam patung, agaknya masih buat pertimbangan ,nak percaya atau tidak. Dari jauh dia menghantar pandangan ke arah Nur Asiah yang sedang terkocoh-kocoh menuju ke kelasnya.
Kalau betullah Nur Asiah tu dah jadi isteri orang, maka dialah orang yang bernasib malang. Di saat dia mula rasa nak jatuh cinta, hatinya jatuh syok pada isteri orang. Selama ini ,tiada seorang gadis pun yang berjaya mengetuk pintu hatinya yang telah tertutup sekian lama,akibat dikecewakan cinta. Agaknya lepas ni pintu hati aku ni, tertutup terus, pakai kunci pagar rumah lagi. Ah…malangnya nasib.
No comments:
Post a Comment