NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Tuesday, December 24, 2013

AWEK ABANG POYO BAB 18

                                           BAB 18

       AHAD yang permai, keceriaan menyelubungi residentnya di Brondesbury Road, Queens Park. Kasdina Alya bersama rakan serumahnya yang seramai lima orang itu sedang bersiap-siap untuk menghadiri hari bahagia sahabat mereka. Kesemua anak dara Asia Tenggara itu nampak cantik dan anggun dengan pakaian masing-masing, terutamanya Kasdina Alya yang mengenakan jubah hitam dan tudung gaya masa  kini. Tudung Syria Chiffon Wardah. Cantik sangat. Rasanya, siapa yang melihat pasti terpikat. Maklumlah selama ini selalu saja ke hulu ke hilir dengan jeans dan boot, tapi hari ini berlainan sekali. Cantiknya bagaikan bidadari dan anggunnya bagaikan puteri.       
Kasdina Alya bersama gengnya yang sudah pun ‘comei’ sama-sama menapak ke Queens Park Underground. On the way, sempat jugak mereka singgah kat newsagent yang kebetulan hampir dengan stesen. Beli Sunday Mirror, Snickers chocolate bar, Twix, Ribena dan pisang montel buat lapik perut. Tidak menunggu lama, tren southbound pun sampai. Boarding tren Bakerloo Line, melintasi beberapa stesen dan turun di stesen Baker Street. Keluar dari Baker Street Station, mereka menaiki bas menuju ke Park Road. Perjalanan tidak mengambil masa yang lama, kerana pada awal pagi tak ramai yang turun naik bas, kebetulan Sunday, majoriti masih berdengkur. Sarah kemudian membunyikan bell, apabila sudah kelihatan minaret dan kubah keemasan masjid dari jauh.
Kasdina Alya dan kawan-kawan turun dari bas, kemudian mereka melintas jalan di mana tersergam indah masjid merangkap Islamic Cultural Centre yang juga dipanggil Regent’s Park Mosque atau London Central Mosque itu. Warna kuning keemasan kubahnya sudah cukup membuat hati terpanggil untuk mendekatinya. Terasa megah dan gah dengan kubah bulat yang bercahaya serta tiang menara tinggi yang tegak berdiri. Bangga sangat menjadi penganut Islam yang mampu beriman dan beramal walaupun hidup di tengah-tengah masyarakat yang didominasi bukan Islam. Bangga sangat saat azan berkumandang di ceruk-ceruk yang ada penghuni bukan Islam, yang tak faham sepatah haram pun perkataan arab yang dilaungkan.
Sebaik saja melangkah masuk ke dalam kawasan masjid, mata Kasdina Alya berpusing-pusing melihat panorama dan persekitaran masjid yang luas, tenang dan mendamaikan. Sejuk mata memandang. Di tengah-tengah bangunan masjid atau ICC itu ada kawasan lapang yang tidak berbumbung, khusus untuk memudahkan mana-mana penganjur membuat pameran atau apa-apa saja aktiviti, termasuklah walimatul urus. Kebetulan pula waktu Kasdina Alya dan teman-temannya sampai, ada expo Halal Fest Malaysia yang di kelola oleh Malaysian Trade Commission London. Apa lagi, rasa macam balik kampunglah bila jumpa makanan Melayu dan berkumpul dengan orang-orang Melayu. Aduh... terubat rasa rindu ini.
“Jomlah Kas, cepat sikit. Acara dah nak mula ni.” Sarah menegur Kasdina Alya yang nampak kemaruk barang-barang dari Malaysia.
“Nantilah kejap, masih ada masa lagi kan?”
“Kau ingat, Tok Imam tu nak tunggu kau tiba, baru nak mulakan akad nikah?” Sarah masih tak puas hati.
“Yalah, yalah... kau ni potong stim betullah.” Kasdina Alya buat-buat marah sambil meneruskan perjalanannya menuju ke dewan solat.
“Alah, karang pun boleh tengok, kan?”
“Mana tahu, karang aku tak sempat tengok.” 
“His... kau orang berdua ni diam boleh! Ini masjid, respect sikit,” tegur Saly serius. Kasdina Alya dan Sarah saling berpandangan dan kemudiannya tersenyum.
Sebaik saja sampai di dewan solat, Kasdina Alya dapati Mariam Jamila dan beberapa orang kawannya sudah berada di situ. Mereka yang datang bersalaman antara satu sama lain. Termasuklah dengan beberapa orang dari komuniti Islam British. Mungkin keluarga angkat Mariam Jamila.
Oh Mariam, you look beautiful,” puji Kasdina Alya ikhlas sebaik saja memeluk si pengantin yang berseri-seri. Mariam Jamila tersenyum manis.
“Cheers Kasdina! you look gorgeous, like an angle.”
“Oh yeah? Thanks very much.” Senyum Kasdina Alya sampai ke telinga.
 “Mana pengantin lelaki?” tanya Sarah.
“Belum sampai lagi, katanya dalam perjalanan,” terang Mariam Jamila tenang.
“Akad nikah pukul berapa?” tanya Sarah lagi.
“Dalam jadual pukul 9.00 pagi. Kenapa, awak ada hal ke?”
“Bukan itu maksud saya.” Sarah mula tersengih bila Kasdina Alya menjeling.
“Kiranya kami ni datang awallah ya?” Sarah ketawa sendiri. Mariam Jamila terkebil-kebil memandang, tak faham dengan maksud ketawa Sarah.
“Lain kali, kalau ada jam tangan, pakai, biar senang tengok masa, tak adalah kelam kabut tak tentu arah,” sindir Kasdina Alya. Sarah ketawa mengekek dan teman-teman yang lain senyum.
“You all dah breakfast ke belum?” tanya Mariam Jamila.
“Kami dah makan sedikit, alas perut dalam perjalanan tadi,” jawab June.
“Kasihannya, tentu you all lapar. Tapi lepas akad nikah nanti ada sedikit jamuan untuk teman-teman.”
“Siapa yang masak?” tanya Kasdina Alya.  
“Sebenarnya acara perkahwinan ini dan kendurinya telah diuruskan oleh Islamic Central Center. Kita berikan saja maklumat dan bayaran, semuanya beres,” cerita Mariam Jamila. Kasdina dan teman-teman mengangguk faham.
“Bagus juga kahwin kat sini ya. So simple, tak payah hantaran berdulang-dulang bagai. Tak payah tumbangkan lembu atau kerbau. Buat secara sederhana saja. Taklah nampak nak menunjuk-nunjuk dan riak. Tak adalah pengantin lelaki menanggung hutang bank yang banyak akibat hantaran perkahwinan yang mencecah belasan ribu. Kasihan pengantin lelaki, kalau kekal bahagia tak mengapalah juga, tapi kalau setahun kahwin dah bercerai, amacam? Sungguh tak berbaloi-baloilah.” Nisa’ memberi pandangan tanpa diminta. Bernas betul buah fikirannya, walaupun dia jarang-jarang bersuara. Once berkokok, memang gem! Termenung Kasdina Alya seketika. Memang betul cakap Nisa’, sekarang hantaran kahwin dah cecah belasan ribu. Banyaknya duit nak kena pakai. Kalau tak ada duit, macam mana? Hah... yang tu lah dok buat maksiat zina tak sudah-sudah tu. 
“Hei Kas, kenapa termenung? Ada cadangan nak buat majlis perkahwinan kat sini ke?” Saly menyakat. Kasdina Alya menyengih.
“Banyaklah kau punya majlis kahwin, pasangan pun aku tak ada,”  tukas Kasdina Alya.
“Abang handsome kan ada,”  usik Saly lagi.
“Hiss kau ni, mamat tu tak ada kena-mengena dengan akulah, jangan sebut nama dia boleh tak?” marah Kasdina Alya. Rasanya, pantang betul kalau nama mamat poyo tu disebut-sebut di hadapan dia. Berbulu saja lubang telinga ni.
“Aaleh kau ni, abang handsome dah selamatkan dia pun masih nak menyombong, jual mahal,” cuit Saly lagi.
“Eh, eh... rombongan pengantin lelaki dah sampai. Tu ha...” Sarah menunjuk ke arah rombongan pengantin lelaki yang sedang menapak masuk ke dewan solat dan seterusnya  duduk menghadap pihak pengantin perempuan. Segak sekali pengantin lelaki, bak kata pepatah bagai pinang dibelah dua, sama cantik dan sama padan. Moga berbahagialah kedua mempelai ini dalam rahmat dan lindungan ALLAH.
Tiba-tiba dada Kasdina Alya bergegar kencang, bagaikan gunung berapi yang nak meletuskan laharnya. Dalam situasi stres yang tidak diundang, dirinya kala ini dalam kondisi adrenaline rush. Tangannya terus jadi terketar-ketar dan fikirannya mula bercelaru. Tindakan apakah yang harus dia lakukan. Duduk Kasdina Alya mula tidak senang, kerap merubah posisi, terasa panas dan membara. Kalih ke kanan terasa resah, kalih ke kiri juga lagi parah. Kalau diikutkan hati nak saja dia berlari ke luar masjid saat ini juga.
Tak sangka, dan  sungguh tidak diduga. Kalaulah dia tahu akan bertemu dengan lelaki yang paling dia benci itu di sini, sudah pasti dia tidak akan datang ke mari. Dalam rombongan pengantin lelaki yang seramai lima belas orang itu, terselit pula lelaki tak guna tu. Pandangan matanya tertangkap ke arah Rafizi yang telah lama memandang ke arahnya. Mata bertentangan buat seketika, ombak kebencian membadai kembali. Benci sangat pada Rafizi dan keluarganya kerana peristiwa hitam berduri itu tidak pernah lari dari memorinya.
Sebaik saja upacara akad nikah selesai, Kasdina Alya meminta diri dengan tergesa-gesa. Alasannya hendak ke bathroom. Biarlah, kalau selepas ini Mariam Jamila tertanya-tanya ke mana dia menghilang dan tak sempat merasai lauk kendurinya, atau Sarah dan Saly bermulut bising kerana terpaksa balik berasingan. Apa yang dia tahu, dia tak mampu berada dalam satu majlis dengan lelaki yang dibencinya, nak termuntah rasanya. Kenapalah takdir mempertemukan lagi dia dengan lelaki haprak itu.
“Kas, tunggu!” ada suara yang memanggilnya. Kasdina Alya menoleh. Ya ALLAH, mamat tu mengejarnya dari belakang. Apa lagi, bertambah lajulah hayunan kaki Kasdina Alya, kalau boleh nak saja dia berlari, tapi tak boleh kerana masih dalam masjid.
Keluar saja dari bangunan masjid, Kasdina Alya terus mempercepatkan langkahnya. Tak ingin dia bertemu dengan Rafizi walaupun lelaki itu tak henti-henti memanggil namanya. Kasdina Alya berlari tapi Rafizi sempat mengejarnya. Dah nampak macam cerita Hindustan, saat hero mengejar heroin. Nasib baik tak ada bukit, kalau tidak, jenuh! Bengong, kau kejar aku buat apa? sumpah Kasdina Alya dalam hati, marahnya makin tak bertepi. Tiru Dil To Pagal Hai ke ape, apa kes! Buat malu saja. Bukan tak ada orang yang melihat, maklumlah ada expo di perkarangan masjid. Pasti ada mata yang memandang, tak kira mata yang mengenalinya atau pun tidak.
“Lepaskanlah!!!” marah Kasdina Alya sebaik saja Rafizi dapat  mencengkam lengannya.
“Okey, kalau saya lepas, awak jangan lari,” arah Rafizi.
“Suka hati akulah, kau ni sebenarnya nak apa?”
“Saya nak minta maaf dari awak, kenapa awak lari?” Senangnya mamat ni bercakap.
“Aku tak kenal kau. Kau siapa?”
“Kasdina please! selama ini saya betul-betul menyesal. Saya ke kampung awak, tapi awak dah tak ada.”
“Aku tak kenal kau, lepaskan aku!!!” kasar suara Kasdina Alya menyentak.
“Kas, maafkanlah saya. Saya banyak dosa dengan awak.”
“Lebih baik kau lepaskan aku, kalau tak aku jerit dan tuduh kau nak buat sesuatu yang tak baik pada aku.” Kasdina Alya memberi arahan tanpa melihat seinci pun wajah Rafizi, kalau boleh melihat bayang pun dia tidak sudi.
“Kas, dengar dulu. Saya hanya nak minta maaf dari awak.” Rafizi masih belum berputus asa.
“Satu.. dua.. tiga.. to...” Rafizi melepaskan pegangan lengan Kasdina Alya. Gadis ini memang betul-betul memaksudkannya. Ha... tahu takut. Tanpa membuang masa Kasdina Alya terus berlalu dari situ dan mempercepatkan langkahnya sekali lagi. Dia ingin pulang terus ke rumah dan ingin melupakan peristiwa malang hari ini. Nasibnya malang kerana tidak dapat meraikan hari bahagia Mariam Jamila bersama teman-teman, apalagi untuk menikmati hidangan Nasi Arab, jamuan kenduri Mariam Jamila. Huh... cenangau punya jantan. Buat menyusahkan hidup orang saja. Kenapalah jantan itu muncul lagi di hadapannya dengan hasrat minta maaf segala. Tak perlu hadir untuk minta maaf dan minta ampun, kerana bagi aku, kau telah lama mati.
                                








AWEK ABANG POYO BAB17

BAB 17

        KASDINA berada di dapur rumah terrace sewanya. Sebuah dapur yang bersih dan cantik walaupun kecil, wallpaper dindingnya berwarna beige, bertingkap kaca dan berlangsir corak bunga-bungaan halus English Flowers. Di luar tingkap pula ada pasu-pasu bunga yang berwarna putih dipenuhi dengan pokok Morning Glory yang berbunga lebat, cantik dan mempesona. Manakala di atas kabinet dapur kayu pine ada dua pasu pokok Aloe vera yang tumbuh segar. Di  satu sudut, berkilat lebar Rubber Plant dalam pasu plastik besar yang sedia subur sejak beli dari Woolworths, pasar Portebello dua tahun lalu. Sekali-sekala bayu dari luar menghembus nyaman. Begitulah panorama alam yang baru menukar musim dan suasananya beransur-ansur. Tiada lagi cuaca dingin yang membeku, sebaliknya diganti pula dengan putik-putik bunga yang tidak lama lagi akan menguntum, mewarnai landskap bumi dengan warna-warna keceriaan.
        Dua hidangan utama sudah siap. Iaitu, Laksa Kedah dan Spaghetti bolognaise cita rasa Melayu. Macam mana tu yong? Senang saja, tambahkan sedikit rasa pedas dan manis dalam sos, barulah terangkat rasanya, dek non! Kalau ikut original recipe spaghetti bukannya sedap mana, rasa hambar dan kosong saja, maklumlah puak-puak mat saleh nu bukannya kreatif dalam masakan, harap dressing aje lebih. Tak sama dengan orang Melayu masak yang cukup dengan pedas, manis, masam dan masinnya.
        Ting tong, loceng rumah berbunyi berselang. Kasdina Alya bergegas berlari ke arah pintu. Pasti minah dua orang tu yang balik. Suka sangat tinggalkan kunci.
        Pintu dikuak. Bukan minah berdua yang balik. Tapi...
        “Oh, dah sampai semuanya, masuk ya, sila.” Kasdina Alya mempelawa teman-teman June dan Nisa’ masuk ke dalam rumahnya yang tak seluas mana.
        “Assalamualaikum Kak Kas,” seorang gadis manis memberi salam.
        “Waalaikumussalam, masuk dan duduklah,” mereka semua bersalam-salaman dan memperkenalkan diri masing-masing. Kasdina Alya meneliti semua gadis-gadis manis di hadapannya. Semuanya cantik, sopan dan lemah lembut. Sama macam June dan Nisa’. Sejuk perut melihat mereka yang seramai sepuluh orang ni, termasuk June dan Nisa’. Di celah-celah gadis Melayu itu ada pula terselit seorang anak orang putih yang siap bertudung lingkup dan berjubah. Masya-ALLAH. Cantiknya dia. Persis bidadari syurga. Matanya hijau berkilauan bak permata zamrud, senyuman manisnya penuh keikhlasan dan memikat hati sesiapa saja yang melihatnya. Kasdina Alya hipnotis. Betapa cantiknya kejadian ALLAH. Subhanah!
        “Akak dah siap ke hidangannya?” tanya June curious.
        “Dah, jangan risau, cuma akak tengah masak pencuci mulut.”
        “Sorrylah akak. Kami semua datang awal.” Nisa’ menyampuk.
        “No hal punyalah, Nisa’ dan June boleh mulakan usrah, sementara itu akak siapkan hidangan.”
        “Akak nak Nisa’ bantu ke?”
        “Tak payah, akak boleh buat sendiri. Nisa’ teruskan saja usrah tu.”
        “Terima kasih akak, kerana tolong Nisa’ dan kawan-kawan sampai terpaksa mengorbankan cuti akak.”
        “Tak apalah Nisa’, kitakan hidup bagaikan satu keluarga. Kenalah tolong-menolong. Barulah hidup ini penuh erti.”
        “Sayang Kak Kas.” Nisa’ memeluk Kasdina Alya erat. Terharu Kasdina Alya seketika. Terkenang pada Aida yang sekian lama ditinggalkan. Rindu pun berguguran pada Aida adik perempuannya,  dan juga pada keluarganya yang tercinta.
        Usrah yang dijalankan oleh Nisa’ dan June berlarutan sampai lebih satu jam. Bila santapan mula dihidangkan, semuanya nampak teruja untuk menikmatinya, termasuklah anak mat saleh yang sorang tu, Mariam Jamila, cantik namanya secantik orangnya.
        “Sebelum kita menjamu selera, June nak perkenalkan dulu chef kita yang hebat dan cantik ini. Kak Kasdina Alya, housemate June dan Nisa’. Berkerja sebagai chef di Caravanserai Cafe dan masih available.” Kasdina Alya ketawa dengan lawak June, macamlah yang hadir tu semuanya lelaki. Pandai juga June melawak.
        “Terima kasih Kak Kas, kerana sudi masak untuk kami,” ujar gadis yang bernama Farahdiba.
        “Yalah Kas, hidangan hari ini nampak sedap sangat,” puji gadis yang bernama Zahratul Aini.
        “Belum makan lagi dah tahu sedap?” seloroh Kasdina Alya.
        “Betul Kak Kas, tengok pun dah tahu sedap, tak sabar nak laksa akak ni,” gadis yang lain pula menyampuk.
        “Kalau macam tu, jom kita makan, tak payah berlengah lagi,” pelawa Kasdina Alya. Kesemua gadis-gadis usrah itu menikmati hidangan dengan penuh ceria dan gurau senda, termasuklah Mariam Jamila yang sudah pandai ‘shikit-shikit’ berbahasa Melayu.
        “Mariam, boleh ke awak makan makanan yang pedas ini?” Kasdina bertanya dengan simpati bila melihat gadis itu kerap minum Evian.
        “Saya mahu belajar makan pedas, saya suka ini laksa,” sebijik-sebijik bahasa baku keluar dari mulut Mariam Jamila yang kepedasan. Kasihan dia. Kalaulah Kasdina Alya tahu ada ahli usrah June yang berbangsa Inggeris, taklah Kasdina Alya bubuh cili kering banyak mengikut sukatan biasa. At least tak lah pedas sampai ternganga-nganga anak mat saleh ni. Tapi kira tabik spring jugalah pada Mariam Jamila, sebab mampu menghabiskan semangkuk laksa. Bila habis semua laksa dan spaghetti Melayu, muncul pula pencuci mulut Melayu, kuih badak berendam atau buat kata orang sini, The bathing Rhino. Ya le tu, pandai le kamu.
        “Oh, badak berendam,” ujar Zulaikha bersama titis air mata tumpah di pipi sebaik saja si badak berendam yang lemak manis itu masuk ke dalam mulutnya.
        “Eh Zu! waktu makan benda pedas tadi tak pula mengalir air mata awak. Apa pasal makan kuih yang manis ni boleh meleleh air mata?” pelik pula June melihat keadaan sahabatnya.
        “Sebenarnya saya rindukan mak saya. Badak berendam yang Kak Kas buat ni sama sebijik dengan masakan mak saya. Itu yang emo sikit.”  Zulaikha bercerita.
        “Oh, kasihannya dia. Nah makan banyak sikit, biar terubat rindu awak tu.” Kasdina Alya menambah lagi kuih badak berendam ke dalam mangkuk Zulaikha.
        “Alahai ciannya Zu, anak emaklah katakan.” Hanani mengusik.
        “Inilah salah satu kebaikan kita berusrah. Kita dapat bantu-membantu antara satu dengan yang lain. Berkongsi rasa sedih dan gembira dan tegur-menegur bila ada di antara kita yang terkeluar dari landasan, kerana teras agama kita adalah berpesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kebenaran.” June memberi pandangan. Kasdina Alya mendengar dengan penuh ralit. Betul kata June tu, bila berada di rantau orang, hanya kawan-kawanlah saudara terdekat kita, yang akan datang bila dipanggil, yang akan membantu bila diminta pertolongan, dan yang akan menasihati jika kita tersalah jalan. Keluarga, jauh di tanah air dan mereka tidak akan tahu apa yang berlaku.
        “Mariam Jamila, boleh saya tanya awak?”
        “Ya, silakan Kasdina.”
        “Sudah lama awak embraced Islam?”
        “Belum lama, kira-kira baru enam bulan.”
        “Bagaimana pandangan keluarga awak terhadap Islam? Dan bagaimana pula hubungan awak dengan keluarga?” Mariam Jamila tersenyum manis. Terpukau lagi Kasdina Alya seketika. Maniskah pengalamannya dalam mencari sinar Islam?
        “Ibu saya seorang Protestant, ayah saya Atheist. Mereka berdua tidak mempeduli tentang agama anak-anak mereka. Jadi saya tidak pernah menganut mana-mana agama sejak kecil. Tetapi dalam hati saya selalu mencari sebuah makna dalam hidup. Saya cuba mengenali agama Kristian dan Buddha, tetapi ternyata seakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kedua agama tersebut. Hidup saya tidak tenang, saya mencari dan mencari, sehinggalah saya bertemu dengan rakan-rakan usrah saya kini. Bila June menghadiahkan saya sebuah buku yang bertajuk, Islam--Answering All Your Problems, saat itu hati saya mula tertarik dengan Islam. Dengan tekad saya berkata inilah agama yang saya cari,” cerita Mariam Jamila dengan panjang lebar.
        “So, bila pula awak mengucapkan syahadah?” Kasdina Alya belum puas mendengar kisah penghijrahan gadis yang asalnya bernama Rabecca Smith itu.
        “Sebelum saya mengucapkan syahadah, saya selalu menghadiri seminar-seminar Islamik dan bertemu dengan saudara Muslim yang baru memeluk agama Islam terutamanya yang berketurunan British. Dari situ saya mendapat ilham, ilmu dan kekuatan untuk menyempurnakan pencarian saya. Pada 2nd Ramadhan 1433 Hijriah saya melafazkan syahadah di hadapan Ketua Imam Khalifa Ezzat di London Central Mosque, Regent’s Park. Masa tu Uncle Yusuf Islam pun ada hadir memberi sokongan. Thanks ALLAH.”
        “Oh luv, welcome to the family.” Kasdina Alya menarik Mariam Jamila ke dalam pelukannya. Rasa kasih dan bersaudara sesama Muslim menyerap jauh ke dalam jiwanya. Sesungguhnya Islam itu bersaudara. Tak mengira bangsa dan warna kulit.
        “Macam mana dengan parent awak, mereka tak marah?” Farahdiba mencetuskan soalan yang sama ingin Kasdina Alya tanya. Kilauan mata Mariam Jamila memancar ke arah Farahdiba yang menunggu jawapan.
        “Of courselah marah, walaupun pada asalnya mereka tidak peduli dengan agama anak-anak, tapi bila saya memilih Islam, mereka membantah. Kata mereka Islam adalah agama terroris, savage dan berbagai. Sah sudah mereka Islamophobia, lalu bermulalah episod sukar. Mereka memulaukan saya, tapi saya tetap berbuat baik dan menghormati mereka.” Ada air yang bertakung pada kelopak mata Mariam Jamila, mungkin sedih mengenangkan saat dia dibuang oleh keluarga. Simpati memenuhi ruang dada Kasdina Alya, begitu juga teman-teman usrahnya.
        “Sabarlah, awak tidak berseorangan. Kami semua adalah saudara awak dunia akhirat. Kalau Mariam Jamila ada masalah, jangan malu untuk minta bantuan. Cakap saja, kami sedia membantu,” janji Kasdina Alya. Teman-temannya yang lain juga mengangguk. 
        “I nak beritahu something, sebenarnya saya ingin menjemput Kasdina ke majlis perkahwinan saya nanti,” penuh bercahaya mata Mariam Jamila sebaik saja dia membuka rahsianya.
        “Hah, you nak kahwin! Bila?” teruja Kasdina Alya mendengarnya. Tak sangka gadis cantik ini dah berpunya. Tapi tak mustahillah, orang secantik Mariam Jamila ni mestilah ramai yang tergila-gila.
        “Weekend ni, kat Regent’s Mosque. Nanti Kas dan teman-teman datang ya.”
        “Insya-ALLAH, saya akan datang. Siapa calonnya?”
        “Pelajar Malaysia juga, sama belajar dengan saya,” terang Mariam Jamila dengan senyum lebar dan pandangan mata yang bercahaya.
        “Ya ke, syukur alhamdulillah, senanglah kita nak berhubungan in the future. Tahniah Mariam Jamila. Bila awak datang ke Malaysia nanti, awak pasti suka tinggal di sana,” ujar Kasdina Alya dengan yakin.
        ‘”Saya juga berharap begitu.”
        “Semoga suami awak nanti dapat mengajar awak menjadi muslimah sejati.”
        “Itulah yang saya harapkan, dan sebab itulah saya memilih dia menjadi pasangan hidup, kerana saya tahu dia boleh membimbing saya menjadi muslimah sejati. Terima kasih atas sokongan.”
        “My pleasure, semoga hidup awak diberkati ALLAH, god bless, ” doa Kasdina Alya pada sahabat yang baru dikenali.











AWEK ABANG POYO BAB16


                                    BAB 16

DENGAN pantas Kasdina Alya berjalan menuju ke Tube Station. Semua orang yang berada di jalanan juga bergerak laju. Masing-masing nak cepat sampai ke destinasi yang hendak dituju. Mobiliti deras ini juga adalah fenomena biasa bagi orang Eropah, mungkin juga kerana faktor cuaca. Dalilnya, kalau ketika summer, kelihatan gerak populasinya sedikit slow dan santai. Namun bagi Kasdina, laju, pantas dan seumpamanya, adalah dirinya sejak budak lagi. Tidak timbul persoalan faktor-faktor lain yang mempengaruhi. Anak desa, you know! Ingat senang nak berentap dengan budak-budak jantan kat Caravanserai tu, kalau tak ada speed. Ingat apa? Sekali serentak customer datang, lebih-lebih lagi waktu lunch-time. Penuh meja. Siapa nak jawab.
Langkah Kasdina Alya maju laju ke depan, tapi ingatannya mengundur ke belakang, seakan mencabar masa yang tak reti menoleh. Teringatlah pula pada nasib Abang Lan yang suka berjudi tu. Kasihan dia. Macam mana nak tolong pun tak reti. Kalau tanya orang tua-tua, jawabnya pergi berubat le, mana lagi. Cari dukun yang pandai buat air tawar, sembur muka dan jirus atas kepala dia sikit. Biar lari pelesit yang suka hasut dia tu. Bereh, selesai masalah. Budak Lan ni nak kata dungu dak juga, sebab dia ni bukan calang-calang makhluk, pernah masuk University of Newcastle satu ketika. Walaupun pengajiannya tak habis, drop out, tapi bukan senang mau masuk beb! A-Level kena baik punya, baru boleh. Nak labelkan geliga tak boleh juga, sebab memanjang, terang-terangan kena tipu dan dipersendakan oleh makhluk yang tak berwajah. Siapa lagi kalau bukan kuncu-kuncu Azazil yang memang suka mengambil kesempatan atas manusia yang jahil dan tak kuat iman. Kalau kena tipu dengan jurujual tu kira okeylah juga, sebab jurujual memang pandai bercakap dan putar alam. Hendak pulak puak-puak haprak Gores & Menang. Alamat, ramailah yang teguris & tak tenang. Akhirnya terkenang-kenang. Apa nak jadi dengan dia orang ni, tak tahulah? Tapi sebenarnya bukan sedikit manusia yang kena kelentong dek syaitan durjana ni. Kat Malaysia pun tak kurang ramai, melambak yang jenis macam ni. Apa yang pelik dan lawaknya ialah bila orang yang tak lekang dengan kopiah atas kepala pun boleh jadi tahi judi, masya-ALLAH! Patutlah ustaz-ustaz kat masjid kalau mengajar selalu saja menyindir pasal tabi’at keji spesies ni. Ingatkan ustaz-ustaz saja nak buat lawak dalam kuliah-kuliah mereka, rupa-rupanya memang wujud.
Mereka yang kecanduan judi ni ada yang rajin pergi masjid. Ketayap elok aje atas kepala, tapi dalam poket baju melayu ada tiket nombor ekor, letak poket atas pulak tu. Waktu sujud, elok aje tiket nombor ekor kesayangannya menggelusur keluar. Naik dari sujud, aiik.. tak nampak pulak. Macam biskut pulak, kejap ada kejap tak ada. Macam mana tu? Cekap betul dia orang ni. Elok, khusyuk aje rupanya. Bila ustaz mengata, makmum pun ketawa ramai-ramai, pada hal dalam ramai-ramai yang hehe.. huhu.. haha.. tulah terselitnya pak lebai 4 digit yang dimaksudkan.
Al-kisah, berbalik pasal ketayap, kopiah dan sewaktu dengannya itu. Ianya adalah suatu kisah benar, kalau tidak mengalami dan terserempak sendiri dengan situasi itu, tak juga berani Kasdina Alya nak mengata. Tapi bila dah tengok dengan mata kepala sendiri, ha... barulah tahu. Dia dan keluarganya selama ini dah bertahun-tahun di‘sesumpahkan’ oleh pak cik jual roti canai yang alim kucing tu. Rasa nak saja pelengkung kepala pak cik roti canai tu bila dia terserempak dengan pak cik tu dalam keadaan yang memalukan itu. Bayangkanlah, dia dan keluarganya baru saja habis sarapan roti canai dan teh tarik kat satu gerai yang memang ramai pengunjung itu. Sewaktu dalam perjalanan pulang, dia singgah kat kedai runcit yang tidak jauh dari gerai tersebut untuk mendapatkan sesuatu. Nak jadi cerita, dia ternampak pak cik roti canai tu masuk beli barang, kemudian pak cik tu keluar dari kedai dan mula memasukkan kopiahnya ke dalam poket seluar panjangnya. Dengan tak disangka, pak cik roti canai tu selamba saja berjalan menuju ke kedai Sports Toto di sebelah kedai runcit tersebut, lalu beratur untuk membeli nombor yang sudah tersemat di mindanya. Apa maknanya tu? Nampak baik dan alim, tidak bersyukur dengan roti yang laris, namun masih tamak, lantaran itu terperangkap dengan aktiviti haram. Nauzubillah min zalik. Lepas daripada peristiwa itu, Kasdina Alya dan famili mengucapkan sayonara buat sekian kalinya, tak jejak lagi kaki kat kedai roti canai tu, walaupun roti canainya sedap dan lembut.
Apa punya jenis pun tak tahulah. Macam tu pun ada. Apalah nak jadi dengan dunia ni. Mereka merasakan mereka berjaya dalam hidup, tak bersalah, tak kacau orang, tak menipu orang ramai, kubur masing-masing dan sebagainya, padahal mereka menipu diri sendiri.
Tiba-tiba bunyi hon kereta kuat membingit. Kasidina Alya terpempan dan terkejut besar. Badannya segera ditarik dan didakap. Dada Kasdina Alya berdegup kencang, bagaikan nak luruh jantung. Nasib baik dia diselamatkan oleh seseorang sebagai asbab, kalau tidak, dia mungkin sudah menghembuskan nafasnya di sini tanpa sempat mengucap. Macam mana dia boleh lalai pun dia tidak tahu.Tak ingat pun bila dia mula menyeberangi jalan. Sedar-sedar aje dia dah nak kena langgar.
“Thank you very much sir.” Kasdina Alya melahirkan ucapan apresiasi dan syukur walaupun mukanya belum lagi dialih dari dada si penyelamatnya itu. Rasa ngeri dan berdebar masih lagi terasa. Darah yang memecut laju dalam tubuhnya masih lagi terasa deruan panasnya. Picu Adrenalin. Betul-betul dia shocked dengan apa yang berlaku. Longgar kedua kepala lututnya sampai gegar bergigil, dan berdiri pun dia berasa sudah tidak berdaya. Sesungguhnya, umurnya masih panjang dan TUHAN telah menghantar seseorang yang berhati mulia untuk menyelamatkannya. Syukur sangat-sangat... kalaulah terjadi benda yang tak dingini tadi, alamatnya dia balik kampung nanti bukan lagi duduk di kelas ekonomi, tapi duduk di tempat spesial di dalam kargo.
“Lain kali berjalan tu tengok pakai mata, bukannya pakai kepala lutut. Nasib baik tak mati katak!” Kalau tak, naya! Buntang mata Kasdina Alya bila mendengar suara si penyelamatnya itu. Dia telah diselamatkan oleh musuh tradisinya, dan dia masih lagi memeluk musuhnya, rapat. Mak!!! Kasdina Alya menjerit. Sekali lagi kejutan gelombang kedua yang boleh menyebabkan jantungnya yang berdegup kencang tadi terhenti. Kasdina Alya mendongak ke wajah Hero Rakyat itu. Memang sahlah Anas Irfan yang telah menjadi super hero, menyelamatkannya. Ya KARIM... dia mengucap dalam hati. Terkejut dan malu tersimbah di wajahnya. Lalu, sebaik saja mengucapkan terima kasih yang hampir tak kedengaran Kasdina Alya melangkah ekspres meninggalkan Anas Irfan yang masih menunggul di situ. Nasib baiklah esok Monday, Anas Irfan tak kerja, kalau tak manalah dia nak sorok mukanya yang telah terconteng dengan rasa malu ini. Itulah, suka sangat berangan, mengalahkan J.K Rowling tenggelam fana mencari idea.


PERISTIWA ngeri siang tadi benar-benar memberi kesan pada diri Kasdina Alya. Ingatannya pada kejadian tadi, tidak pernah jauh dari mindanya. Asyik terkenang dan terbayang saja bagaimana sebuah kereta betul-betul meluru ke arahnya. Kemudian sepantas kilat pula tangan sasa mencapai dan menariknya ke dalam pelukan. Hiss... kita tak suka tau, kenapa dia mesti peluk kita? Kenapa mesti Mr. Poyo tu yang telah selamatkan kita? Kita tak suka dia tau... Kenapa tidak orang lain yang selamatkan kita? Huhuhu... Kita tak suka, kita malu sangat. Malu tau! Amboi cik akak, pandai pula nak argue dengan takdir ALLAH? Jangan risau, ALLAH lebih tahu tentang apa yang Dia lakukan, kerana Dialah pengatur yang terbaik. Mungkin juga ada hikmahnya di sebalik kejadian tersebut.   
“Kas!!!” Terkejut babun Kasdina Alya bila disergah dari belakang oleh Saly. Pinggan pyrex yang ada di tangannya terlepas dek kerana terkejut. Tak berderai, mujur pyrex!
“Bertuah punya kawan, lain kali bagilah salam,” marah Kasdina AIya. Saly ketawa.
“Aku dah bagi salam, tapi kau tak jawab, dan kau tak sedar pun aku masuk. Apa hal?”
“Nasib baik jantung aku ni jenis tak mudah rosak, ori, baik punya, tak pakai bateri, kalau tak dah lama aku mati tergolek, kaki ke atas.”
“Alah, kalau jantung kau rosak gantilah dengan jantung lain,” selamba saja Saly menjawab.
“Kau ingat senang ke nak dapat jantung subtitute, kalau tak ada penderma yang sudi mendermakan,” tegas Kasdina Alya.
“Senang saja, pergi pasar beli saja jantung ayam, siap dengan hati dan pedal sekali, kalau tak sesuai, jantung pisang pun okey, amacam,” ketawa Saly sampai mengekek dengan lawaknya yang tak berapa nak menjadi.
“Ha, bagus sangatlah tu. Lawak bodoh,” marah Kasdina Alya yang masih berdiri di sinki untuk membasuh pinggan yang tergendala sebentar tadi.
“Hey, kenapa marah-marah ni. Apa yang dah berlaku?”    
“Semasa nak balik dari tempat kerja, aku ni nyaris-nyaris nak kena langgar, tau! Nasib baik ALLAH pelihara lagi keselamatan aku, kalau tak, kau pun tak jumpa lagi dengan aku. Jantung aku ni dari tadi berdegup kencang, dek trauma yang belum padam. Alih-alih tadi, bagus punya kau kejutkan aku lagi. Jantung ni rasa nak tercabut dari badan, tau!” Adrenaline rush lagi.
“Oh! I’m so sorry darling, buat kau terkejut berganda. Maafkan aku. Habis macam mana kau boleh terselamat pula? Ada hero yang datang selamatkan ke? Macam dalam filem.” Kasdina Alya menjeling tajam ke arah Saly a.k.a Salmah.Tepatlah pula soalan yang ditanyanya. Macam tau-tau pulak.
“Ceritalah Kas, aku tengah excited ni nak dengar cerita kau. Manalah tahu kut-kut ada hero yang datang menyelamatkan heroinnya, ataupun kau jadi macam Catwoman, siap tahan kereta yang nak melanggar kau.”  Saly mendesak sambil ketawa. Banyak kau punya Catwoman. Kurang asam gelugor punya kawan, bukan nak tolong simpati, tapi soalan cepu emas pula yang dia beri. Kasdina Alya termenung dan jauh berfikir. Karang, kalau aku cerita yang betul, mampus aku kena ejek dan ditertawakan oleh Saly dan Sarah. Tapi selagi aku tak berkongsi cerita ni dan luahkan apa yang terbuku di dada ni, tak aman rasanya hidup ini.
“Sebenarnya Mr. Poyo yang telah selamatkan aku dari menjadi mangsa kemalangan tu.” Puas hati. Biarlah Saly tahu, tak guna menipu cerita sebenar, buat sesak dada saja.
“Wow, romantik habis. Sarah... Sarah... Sarah...” Saly menjerit dalam suara teruja, kemudian dia bergegas mencari Sarah yang sedang berada di dalam biliknya. Dah sah, minah tu mula nak reka aturcara gosip-menggosip untuk mengenakan dia. Aduhz..! Letihlah dengan minah berdua ni. Harap-harap kali ini biarlah telinga aku menjadi telinga badak yang pekak badak.






Friday, October 11, 2013

AWEK ABANG POYO BAB 15





BAB 15

        KASDINA Alya meneruskan kerjanya tanpa mempedulikan sesiapa. Targetnya satu saja, habis saja kerja dia perlu beredar dari sini. Rasa malu yang tersimbah di mukanya pagi tadi, belum lagi luntur. Sekejap lagi waktu dutynya akan habis.
 KASDINA Alya memerhati Azlan yang baru melangkah masuk ke ruang dapur. Langkahnya seperti ada yang pincang. Macam orang kalah judi saja. Oppss... terlepas cakap. Tapi perumpamaan itu kena dan tepat pada orangnya. Entahlah Abang Lan ni, bila nak berubah pun tak tahulah... Kasdina Alya merungut dalam hati. Hmm... tadi bercadang tak nak pedulikan sesiapa pun, tapi bila tengok kawan dah macam ayam berak kapur saja, taklah pula sampai hati nak buat bodoh saja. Kena juga ambil tahu tentang masalah kawan.
Azlan memulakan tugas rutinnya, mempersiapkan bahan-bahan yang akan digunakan untuk masakannya, tapi hanya separuh jalan saja. Lelaki itu termenung sambil melayan perasaan.
“Abang Lan, kenapa termenung. Ada masalah ke?” Kasdina Alya mengejutkan Azlan yang sudah hanyut entah ke mana.
“Hiss... Kas ni, buat terkejut abang saja.”
“Mana tak terkejutnya. Jauh saja Kas tengok abang layan perasaan. Ada apa-apa yang boleh Kas tolong ke?”
“Tak adalah Kas, abang biasa saja,” tipu Azlan. Tapi matanya tidak menatap wajah Kasdina Alya.
“Cakaplah Abang Lan, kita nikan macam satu keluarga. Mana yang boleh Kas tolong, Kas akan tolong.”
“Tak ada apalah Kas, abang okey.”
“Okey apa ke bendanya, kalau basuh sayur punyalah lama. Nasib baik benda tu sayur. Kalau orang dah lama mati kesejukan.” Kasdina Alya cuba buat lawak, Azlan hanya nyengih.
“Abang Lan kalah lagi?” terjah Kasdina Alya.
“Bukan itu masalahnya.”
“Ha, dah tu apa bendanya?”
“Adik Abang Lan bagi tahu mak sakit nak buat operation buang rahimnya dan dia memerlukan duit,” bicara Azlan terhenti. Nak tak nak kena juga dia membuka mulut. Kalau tak minah ni akan bertanya itu dan ini. Dia kenal sangat dengan Kasdina Alya ni, pantang nampak orang ada masalah, mulalah dia nak ambil tahu.
“Jadi abang nak balik tengok mak abang? Ha, inilah peluangnya Abang Lan balik jenguk mak abang setelah sekian lama abang tak balik.” Belum apa-apa lagi dah nak bagi ceramah free.
“Tak, abang tak bercadang pun nak balik, cuma nak hantar duit saja. Masalahnya abang tak ada duit sebanyak yang dikehendaki tu.” Azlan tunduk, malunya pada Kasdina Alya bila dia terpaksa terlepas cakap.
        “Berapa yang adik abang minta?”                 
        “Sepuluh ribu,” jawab Azlan teragak-agak. Kasdina Alya membulatkan matanya.
“Takkanlah a couple of grand tak ada dalam tangan abang? Abang kerja lagi lama dari Kas?” terkejut Kasdina Alya mendengarnya.
“Betul tak ada,” akui Azlan jujur bercampur malu.
“Ini semua sebab benda tu?”  tanya Kasdina Alya. Azlan hanya mengangguk.
“Ya ALLAH, inilah yang selalu Kas cakap dan nasihati abang. Benda tu kan najis, haram dan permainan syaitan. Buat apalah Abang Lan dok ikut tabi‘at buruk tu, kayanya tak juga, duit habis begitu saja, tak ke sia-sia namanya tu?” Kasdina Alya mula menibai.
“Abang tahu itu semua salah, tapi abang dah macam… erm… ketagih. Bila ada duit, nak saja  pergi betting, manalah tahu kut-kut jackpot.”
“Berapa banyak kut dah yang abang menang, dan berapa banyak pula duit dah yang abang habis? Sampai gaji abang yang banyak tu pun abang tak dapat nak simpan sikit, apa cerita, dan kalau abang menang sekali pun itu duit haram, bukan boleh mentakadarah,” marah Kasdina Alya.
“Abang menyesal sekarang.”                                                                “Hmm... menyesal sekejap ini saja tak guna. Bila dapat envelop gaji, duty tak habis lagi, dah cabut bergegas ke premis judi seberang jalan,” bidas Kasdina Alya yang sudah masak dengan sikap Azlan yang suka bertaruh. Maklumlah kat negara kapiaq ni senang saja kalau nak berjudi. Takda siapa kisah. Tepuk dada, tanya iman. Premis bettingnya berlambak-lambak, yang nampak familiar di setiap ceruk adalah Ladbrokes dan William HILL. Lebih kurang macam pub jugalah. Bersepah. Tak payah pening kepala nak tengok map. Semuanya dalam jangkauan anda. Mudah faham, macam gerai jual nasi lemak kat Malaysialah! Sebut aje, nak betting apa. Race kuda? Itu biasa le. Malaysia dan Singapore pun bikin. Bola, rugby, tenis, golf, boxing, greyhound atau lumba anjing. Lagi… kerabat raja nak beranak pun jadik! Sebenarnya bukan sedikit orang yang berpenyakit macam Abang Azlan ni. Addictted! Samalah dengan yang minat ‘tonggang’. Pantang ada duit, nak berjudi. Pantang perasan cool, ‘tonggang’. Alangkah bodohnya mereka kerana biarkan diri ditipu oleh shayatin. Itulah ada akai tak mahu guna.
“Okeylah, Kas boleh tolong tapi dengan satu syarat.” 
“Apa dia syaratnya, abang akan ikut.”
“Janji ya, akan ikut apa yang Kas cakap.” Kasdina Alya menjual syarat dan Azlan mengangguk tanda setuju.
“Abang tinggalkan perangai abang yang suka berjudi tu. Boleh?” Termenung Azlan mendengar prasyarat dari Kasdina Alya.
“Tak nak tak apa.”
“Demi mak abang, abang berjanji abang akan berhenti dari berjudi.” 
“Okey, esok abang bawa nombor akaun bank adik abang tu serta alamatnya sekali. Biar Kas yang uruskannya. Lagi satu, cara pembayaran baliknya ialah weekly basis, setuju! Abang dapat gaji terus potong untuk hutang, amacam, boleh?”
“Boleh Kas, abang sanggup apa saja. Asalkan mak abang selamat. Abang menyesal sangat sebab telah lama abai dan hampakan harapan mak abang,” redup wajah Azlan yang betul-betul diresapi penyesalan.
“Baguslah kalau macam tu. Perkara yang pertama sekali yang perlu abang buat ialah bertaubat kepada ALLAH dengan sebenar-benar taubat, taubat nasuha.”
“Apa benda taubat nasuha tu?” Pelik pula Azlan mendengarnya, macam nama orang. Manakala Kasdina Alya mengerutkan dahi kehairanan. Takkanlah benda yang selalu disebut pun tak tahu. Waktu sekolah dulu, tak belajar pelajaran Pendidikan Agama Islam ke bang? Atau ponteng, pergi hisap rokok!
“Kas, kenapa tengok abang macam tu?” Azlan menegur Kasdina Alya yang legat memerhati wajahnya tapi fikirannya ke arah lain.
“Eh, tak ada apalah. Okey berbalik kepada perkara tadi. Taubat nasuha ialah taubat yang sungguh-sungguh kepada ALLAH, dan berjanji pada diri dengan seikhlas hati tidak akan mengulangi lagi perbuatan keji yang terdahulu. Sesungguhnya ALLAH amat suka kepada hambanya yang bertaubat dan menyucikan diri.”
“Macam abang ni, macam mana ya Kas! ALLAH terima ke tidak taubat abang? Sebabnya abang tak pernah sembahyang, abang berjudi, sekali-sekala abang minum juga kencing syaitan Budweiser tu. Yang paling tak patutnya, abang anak yang tak ingat mak bapak, apalagi untuk menyenangkan hati dan mendoakan mereka. Tapi Kas, cuma satu saja yang abang tak buat. Abang tak pernah berzina,” tanpa silu Azlan mengaku. Alang-alang dah ada orang yang sudi berkongsi rahsia dan resah ini, lebih baik dia luahkan segalanya. Kalau gaya hidup carefree yang dianutinya selama di London ni dia selamba saja, takkan pengakuan tak seberapa ini, dia takut nak dedah. Apa barai! Selama ini pun bukan tak terlintas di hatinya untuk berhenti atau kembali kepada jalan yang benar, tapi mungkin kerana tiada sokongan dan inisiatif menyebabkan dia lambat untuk berubah. Biasalah kan, ramainya pun 2x5 macam dia juga.
“Baguslah kalau begitu, sekurang-kurangnya abang tidak menambah lagi satu dosa besar yang tersenarai sebagai al-Kabaair seperti dalam kitab Imam az-Zahabi itu. Semua yang abang sebut tadi adalah dosa-dosa besar. Insya-ALLAH ada masa, Kas akan senaraikan yang lain, supaya boleh dijadikan sempadan. Cara menghapuskannya senang aje bang! Caranya ialah dengan bertaubat nasuha. Pertama, berazam untuk tidak mengulangi maksiat itu lagi. Kedua, menyesal sungguh-sungguh hingga membawa kepada tangisan kalau boleh. Ketiga, bersegera meninggalkan maksiat tersebut, tanpa berlengah kerana ALLAH semata-mata. Dan sekiranya ada melibatkan manusia seperti mengambil hartanya tanpa pengetahuan, atau mengumpat, menzalimi dan lainnya, maka hendaklah ditambah satu lagi syarat taubat itu menjadi empat, dengan menceritakan apa yang berlaku dan memohon maaf serta bersedia memulangkan kembali apa yang dirembat. Sesungguhnya syarat yang melibatkan sesama manusia inilah yang amat payah untuk direalisasikan. Al-maklumlah, mana nak letak muka yang handsome dan comel ni, walaupun perangai macam penyamun tarbus, tak begitu bang. Walau bagaimanapun itulah harga yang perlu dibayar, oleh itu taatlah perintah ALLAH dengan menjauhi segala larangannya. Untuk pengetahuan abang dosa-dosa besar atau kabaair yang dimaksudkan semuanya akan diampun oleh ALLAH, kecuali dosa syirik. Maksudnya kita semua masih berpeluang kembali rujuk kepada-Nya,” penuh semangat Kasdina Alya bercakap, mirip sekali dengan program Tanyalah Ustazah.
“Abang tahu benda yang abang buat itu dosa dan maksiat, namun begitu abang sedar dan selalu kalah dengan bisikan dan godaan syaitan, Kas…”
“Okey, mulai hari ini abang teruskan niat yang murni itu, jangan menoleh ke belakang lagi. Perkara yang baik tak perlu ditangguh. Kita ni disuruh selalu bertaubat, yang belum bertaubat tu bersegeralah melakukan dan mengingatinya setiap masa. Manalah tahu esok lusa kita diambil oleh pemilik yang hakiki. Tup-tup dah jadi arwah. Qalu inna lillahi ilaihi rajiun.”
Tiba-tiba Anas Irfan masuk ke dapur untuk menghantar pinggan mangkuk yang kotor. Kasdina Alya memberhentikan perbualannya. Azlan juga begitu. Tak perlu ada siapa pun yang tahu topik perbualan mereka. Sebarang keaiban perlu disorok, tak perlu diuar-uarkan, dan memang kehendak agama juga begitu. Bila ALLAH menyembunyikan keaiban kita, maka janganlah pula kita membuka pintunya dengan menceritakan keaiban sendiri di khalayak. Apa yang perlu dan penting adalah keaiban itu dijadikan iktibar untuk masa-masa yang mendatang. Nasib baiklah Danny belum datang, kalau tidak susah juga Kasdina Alya boleh bersembang tentang permasalahan yang dihadapi oleh Azlan. Danny itu pula satu hal. Pantang dapat rahsia orang, mulalah dia nak mengeja dan mengejek. Dasar mamat mulut lembik, mulut insuran ‘illek’, lidah tak bertulang.
Dari hujung mata Kasdina Alya dapat mengagak Anas Irfan sedang memerhatikan mereka berdua yang duduk berhadapan di sebuah meja kecil di suatu sudut. Tempat yang selalu krew-krew tukang masak lepak, makan dan minum. Mungkin dia akan merasa pelik bila Kasdina Alya yang sering bermulut becok itu diam menyepi dan Azlan yang suka ‘huha-huha’ pula diam membisu sambil tangannya menongkat dagu. Mungkin juga dalam fikiran Anas Irfan mereka berdua ni sedang mengumpat seseorang. Ah... lantak dialah nak fikir apa pun. Sekupang pun tak ada kena mengena dengan dia.
Sejurus kemudian Anas Irfan beredar dari situ sebaik saja dia habis membasuh tangan. Kasdina Alya menghela nafas lega. Kalau tak dadanya sesak dan sendat saja bila melihat mamat poyo yang perasan outstanding tu.
“Kas, kenapa pak cik tu jeling abang?” Azlan bertanya.
“Pak cik mana?” Kasdina Alya tertoleh-toleh, mencari pak cik yang Azlan maksudkan.
“Alah... pak cik handsome tulah,” terang Azlan. Susah sangat minah ni nak faham.
“Si poyo tu?”
“Yalah, kenapa panggil poyo? Tak sesuailah dengan orangnya,” tegur Azlan.
“Apa pula tak sesuainya. Itulah diri mamat tu yang sebenarnya. Perasan bagus, mentang-mentanglah belajar kat University of London. Dia ingat orang yang tak masuk universiti ni tak ada otak? Suka hati dia saja kalau mengata orang,” luah Kasdina Alya. Dah terover nampak.
“Tak adalah pula dia maksudkan begitu,” celah Azlan. Tak nak menuangkan minyak ke dalam sekam.
“Kenapa abang bela dia pula. Tadi kata mamat poyo tu jeling abang dan kenapa dia nak jeling abang? Tak faham betul aku dengan si poyo tak cukup akal tu.”
“Mungkin jelingan cemburu,” ketawa Azlan. Saja nak menyakat Kasdina Alya.
“Cemburu, pada siapa?”
“Pada abanglah.” Azlan merenung wajah Kasdina Alya yang putih lawa. Cantik orangnya. Mana tak jealous!
“Pasai apa dia nak cemburukan abang. Apa yang abang dah buat?” Nak juga Kasdina Alya tahu tentang mamat poyo ni, sekurang-kurangnya boleh dibuat kepala modal jika bertikam lidah nanti.
“Sebab abang rapat dengan orang yang dia suka,” pancing Azlan. Bulat mata Kasdina Alya, macam tak percaya. Huh... poyo tu kuat cemburu rupa-rupanya.
“Ooo... patutlah dia marahkan abang. Cantik ke budak perempuan tu?” tanya Kasdina Alya.  
“Cantik… baik hati dan suka tolong orang,” ujar Azlan selamba, matanya melihat Kasdina Alya yang sedang mencebik. Lembab betullah minah ni, otak tu tak pickup langsung. Pakai kereta kuda padi ke apa?
“Dahlah Abang Lan. Tak payah abang nak terlibat dengan ‘gilerpren’ dia tu. Karang dikaratenya abang baru tahu. Orang macam dia tu bukannya boleh pakai, hari ni dia sewel, esok dia baik,” larang Kasdina Alya ikhlas. Azlan menepuk dahi, macam tak percaya Kasdina Alya yang bijak bercakap menjadi sebendul dan sekayu ini. Sungguh tak sangka. Nangka jadi cempedak nangka.
“Okeylah Abang Lan, Kas balik dulu. Duty Kas dah habis. Balik rumah layan bantal, lagi siok. Wau nikmat bah!”  Kasdina Alya bangun sambil mengambil barang-barangnya dari dalam locker.
“Kas, terima kasih kerana sudi tolong abang.”
“Sama-sama. Hari ini hari abang, entah esok-esok hari Kas pula, mana tau. Hidup kita ni kan seperti roda, kenalah saling bantu-membantu. Okey, esok jangan lupa bawa apa yang Kas suruh tadi. Janganlah abang terasa bila Kas sendiri yang masukkan duit ke akaun adik abang. Bukan apa, cuma Kas nak menjaga ciri-ciri keselamatan, for safety reason kata orang.”
“Abang faham? Orang yang gila judi macam abang ni, mana boleh tengok duit banyak-banyak. Nanti berpinar mata macam vertigo. Mulalah nak gelek, naik sheikh macam Pak Daud Kilau kita tu. Satu Ringgit… Dua Ringgit… Tigaaaaaa Ringgit… Mudahlah vampire dan jin judi mat saleh pesongkan niat abang.” Azlan ketawa sendiri dan Kasdina Alya menyengih. Baguslah kalau dah faham. Sendiri mau ingat.