BAB 16
DENGAN pantas Kasdina Alya berjalan
menuju ke Tube Station. Semua orang yang berada di jalanan juga bergerak laju. Masing-masing
nak cepat sampai ke destinasi yang hendak dituju. Mobiliti deras ini juga
adalah fenomena biasa bagi orang Eropah, mungkin juga kerana faktor cuaca.
Dalilnya, kalau ketika summer,
kelihatan gerak populasinya sedikit slow
dan santai. Namun bagi Kasdina, laju, pantas dan seumpamanya, adalah dirinya
sejak budak lagi. Tidak timbul persoalan faktor-faktor lain yang mempengaruhi.
Anak desa, you know! Ingat senang nak
berentap dengan budak-budak jantan kat Caravanserai tu, kalau tak ada speed. Ingat apa? Sekali serentak
customer datang, lebih-lebih lagi waktu lunch-time. Penuh meja. Siapa nak jawab.
Langkah Kasdina Alya maju laju ke depan, tapi
ingatannya mengundur ke belakang, seakan mencabar masa yang tak reti menoleh.
Teringatlah pula pada nasib Abang Lan yang suka berjudi tu. Kasihan dia. Macam
mana nak tolong pun tak reti. Kalau tanya orang tua-tua, jawabnya pergi berubat
le, mana lagi. Cari dukun yang pandai buat air tawar, sembur muka dan jirus
atas kepala dia sikit. Biar lari pelesit yang suka hasut dia tu. Bereh, selesai
masalah. Budak Lan ni nak kata dungu dak juga, sebab dia ni bukan calang-calang
makhluk, pernah masuk University of Newcastle satu ketika. Walaupun
pengajiannya tak habis, drop out,
tapi bukan senang mau masuk beb! A-Level kena baik punya, baru boleh. Nak labelkan
geliga tak boleh juga, sebab memanjang, terang-terangan kena tipu dan dipersendakan
oleh makhluk yang tak berwajah. Siapa lagi kalau bukan kuncu-kuncu Azazil yang
memang suka mengambil kesempatan atas manusia yang jahil dan tak kuat iman. Kalau
kena tipu dengan jurujual tu kira okeylah juga, sebab jurujual memang pandai
bercakap dan putar alam. Hendak pulak puak-puak haprak Gores & Menang.
Alamat, ramailah yang teguris & tak tenang. Akhirnya terkenang-kenang. Apa
nak jadi dengan dia orang ni, tak tahulah? Tapi sebenarnya bukan sedikit
manusia yang kena kelentong dek syaitan durjana ni. Kat Malaysia pun tak kurang
ramai, melambak yang jenis macam ni. Apa yang pelik dan lawaknya ialah bila
orang yang tak lekang dengan kopiah atas kepala pun boleh jadi tahi judi, masya-ALLAH!
Patutlah ustaz-ustaz kat masjid kalau mengajar selalu saja menyindir pasal tabi’at
keji spesies ni. Ingatkan ustaz-ustaz saja nak buat lawak dalam kuliah-kuliah
mereka, rupa-rupanya memang wujud.
Mereka yang kecanduan judi ni ada yang rajin
pergi masjid. Ketayap elok aje atas kepala, tapi dalam poket baju melayu ada tiket
nombor ekor, letak poket atas pulak tu. Waktu sujud, elok aje tiket nombor ekor
kesayangannya menggelusur keluar. Naik dari sujud, aiik.. tak nampak pulak.
Macam biskut pulak, kejap ada kejap tak ada. Macam mana tu? Cekap betul dia
orang ni. Elok, khusyuk aje rupanya. Bila ustaz mengata, makmum pun ketawa
ramai-ramai, pada hal dalam ramai-ramai yang hehe.. huhu.. haha.. tulah
terselitnya pak lebai 4 digit yang dimaksudkan.
Al-kisah, berbalik pasal ketayap, kopiah
dan sewaktu dengannya itu. Ianya adalah suatu kisah benar, kalau tidak
mengalami dan terserempak sendiri dengan situasi itu, tak juga berani Kasdina
Alya nak mengata. Tapi bila dah tengok dengan mata kepala sendiri, ha...
barulah tahu. Dia dan keluarganya selama ini dah bertahun-tahun di‘sesumpahkan’
oleh pak cik jual roti canai yang alim kucing tu. Rasa nak saja pelengkung
kepala pak cik roti canai tu bila dia terserempak dengan pak cik tu dalam
keadaan yang memalukan itu. Bayangkanlah, dia dan keluarganya baru saja habis
sarapan roti canai dan teh tarik kat satu gerai yang memang ramai pengunjung itu.
Sewaktu dalam perjalanan pulang, dia singgah kat kedai runcit yang tidak jauh
dari gerai tersebut untuk mendapatkan sesuatu. Nak jadi cerita, dia ternampak
pak cik roti canai tu masuk beli barang, kemudian pak cik tu keluar dari kedai
dan mula memasukkan kopiahnya ke dalam poket seluar panjangnya. Dengan tak disangka,
pak cik roti canai tu selamba saja berjalan menuju ke kedai Sports Toto di
sebelah kedai runcit tersebut, lalu beratur untuk membeli nombor yang sudah
tersemat di mindanya. Apa maknanya tu? Nampak baik dan alim, tidak bersyukur
dengan roti yang laris, namun masih tamak, lantaran itu terperangkap dengan aktiviti
haram. Nauzubillah min zalik. Lepas
daripada peristiwa itu, Kasdina Alya dan famili mengucapkan sayonara buat
sekian kalinya, tak jejak lagi kaki kat kedai roti canai tu, walaupun roti
canainya sedap dan lembut.
Apa punya jenis pun tak tahulah. Macam tu
pun ada. Apalah nak jadi dengan dunia ni. Mereka merasakan mereka berjaya dalam
hidup, tak bersalah, tak kacau orang, tak menipu orang ramai, kubur
masing-masing dan sebagainya, padahal mereka menipu diri sendiri.
Tiba-tiba bunyi hon kereta kuat membingit.
Kasidina Alya terpempan dan terkejut besar. Badannya segera ditarik dan didakap.
Dada Kasdina Alya berdegup kencang, bagaikan nak luruh jantung. Nasib baik dia
diselamatkan oleh seseorang sebagai asbab, kalau tidak, dia mungkin sudah
menghembuskan nafasnya di sini tanpa sempat mengucap. Macam mana dia boleh
lalai pun dia tidak tahu.Tak ingat pun bila dia mula menyeberangi jalan.
Sedar-sedar aje dia dah nak kena langgar.
“Thank you very much sir.” Kasdina Alya melahirkan ucapan apresiasi dan syukur walaupun mukanya
belum lagi dialih dari dada si penyelamatnya itu. Rasa ngeri dan berdebar masih
lagi terasa. Darah yang memecut laju dalam tubuhnya masih lagi terasa deruan
panasnya. Picu Adrenalin. Betul-betul dia shocked
dengan apa yang berlaku. Longgar kedua kepala lututnya sampai gegar bergigil,
dan berdiri pun dia berasa sudah tidak berdaya. Sesungguhnya, umurnya masih panjang
dan TUHAN telah menghantar seseorang yang berhati mulia untuk menyelamatkannya.
Syukur sangat-sangat... kalaulah terjadi benda yang tak dingini tadi, alamatnya
dia balik kampung nanti bukan lagi duduk di kelas ekonomi, tapi duduk di tempat
spesial di dalam kargo.
“Lain kali berjalan tu tengok pakai mata,
bukannya pakai kepala lutut. Nasib baik tak mati katak!” Kalau tak, naya!
Buntang mata Kasdina Alya bila mendengar suara si penyelamatnya itu. Dia telah
diselamatkan oleh musuh tradisinya, dan dia masih lagi memeluk musuhnya, rapat.
Mak!!! Kasdina Alya menjerit. Sekali lagi kejutan gelombang kedua yang boleh menyebabkan
jantungnya yang berdegup kencang tadi terhenti. Kasdina Alya mendongak ke wajah
Hero Rakyat itu. Memang sahlah Anas Irfan yang telah menjadi super hero, menyelamatkannya.
Ya KARIM... dia mengucap dalam hati. Terkejut dan malu tersimbah di wajahnya. Lalu,
sebaik saja mengucapkan terima kasih yang hampir tak kedengaran Kasdina Alya melangkah
ekspres meninggalkan Anas Irfan yang masih menunggul di situ. Nasib baiklah
esok Monday, Anas Irfan tak kerja, kalau tak manalah dia nak sorok mukanya yang
telah terconteng dengan rasa malu ini. Itulah, suka sangat berangan,
mengalahkan J.K Rowling tenggelam fana mencari idea.
PERISTIWA ngeri siang tadi benar-benar
memberi kesan pada diri Kasdina Alya. Ingatannya pada kejadian tadi, tidak
pernah jauh dari mindanya. Asyik terkenang dan terbayang saja bagaimana sebuah
kereta betul-betul meluru ke arahnya. Kemudian sepantas kilat pula tangan sasa
mencapai dan menariknya ke dalam pelukan. Hiss... kita tak suka tau, kenapa dia
mesti peluk kita? Kenapa mesti Mr. Poyo tu yang telah selamatkan kita? Kita tak
suka dia tau... Kenapa tidak orang lain yang selamatkan kita? Huhuhu... Kita
tak suka, kita malu sangat. Malu tau! Amboi cik akak, pandai pula nak argue dengan takdir ALLAH? Jangan risau,
ALLAH lebih tahu tentang apa yang Dia lakukan, kerana Dialah pengatur yang
terbaik. Mungkin juga ada hikmahnya di sebalik kejadian tersebut.
“Kas!!!” Terkejut babun Kasdina Alya bila
disergah dari belakang oleh Saly. Pinggan pyrex yang ada di tangannya terlepas
dek kerana terkejut. Tak berderai, mujur pyrex!
“Bertuah punya kawan, lain kali bagilah
salam,” marah Kasdina AIya. Saly ketawa.
“Aku dah bagi salam, tapi kau tak jawab,
dan kau tak sedar pun aku masuk. Apa hal?”
“Nasib baik jantung aku ni jenis tak
mudah rosak, ori, baik punya, tak pakai bateri, kalau tak dah lama aku mati
tergolek, kaki ke atas.”
“Alah, kalau jantung kau rosak gantilah
dengan jantung lain,” selamba saja Saly menjawab.
“Kau ingat senang ke nak dapat jantung subtitute, kalau tak ada penderma yang
sudi mendermakan,” tegas Kasdina Alya.
“Senang saja, pergi pasar beli saja
jantung ayam, siap dengan hati dan pedal sekali, kalau tak sesuai, jantung
pisang pun okey, amacam,” ketawa Saly sampai mengekek dengan lawaknya yang tak
berapa nak menjadi.
“Ha, bagus sangatlah tu. Lawak bodoh,”
marah Kasdina Alya yang masih berdiri di sinki untuk membasuh pinggan yang tergendala
sebentar tadi.
“Hey, kenapa marah-marah ni. Apa yang dah
berlaku?”
“Semasa nak balik dari tempat kerja, aku
ni nyaris-nyaris nak kena langgar, tau! Nasib baik ALLAH pelihara lagi
keselamatan aku, kalau tak, kau pun tak jumpa lagi dengan aku. Jantung aku ni
dari tadi berdegup kencang, dek trauma yang belum padam. Alih-alih tadi, bagus
punya kau kejutkan aku lagi. Jantung ni rasa nak tercabut dari badan, tau!” Adrenaline rush lagi.
“Oh! I’m
so sorry darling, buat kau terkejut berganda. Maafkan aku. Habis macam mana
kau boleh terselamat pula? Ada hero yang datang selamatkan ke? Macam dalam filem.”
Kasdina Alya menjeling tajam ke arah Saly a.k.a Salmah.Tepatlah pula soalan
yang ditanyanya. Macam tau-tau pulak.
“Ceritalah Kas, aku tengah excited ni nak dengar cerita kau.
Manalah tahu kut-kut ada hero yang datang menyelamatkan heroinnya, ataupun kau
jadi macam Catwoman, siap tahan kereta yang nak melanggar kau.” Saly mendesak sambil ketawa. Banyak kau punya
Catwoman. Kurang asam gelugor punya kawan, bukan nak tolong simpati, tapi
soalan cepu emas pula yang dia beri. Kasdina Alya termenung dan jauh berfikir.
Karang, kalau aku cerita yang betul, mampus aku kena ejek dan ditertawakan oleh
Saly dan Sarah. Tapi selagi aku tak berkongsi cerita ni dan luahkan apa yang
terbuku di dada ni, tak aman rasanya hidup ini.
“Sebenarnya Mr. Poyo yang telah
selamatkan aku dari menjadi mangsa kemalangan tu.” Puas hati. Biarlah Saly
tahu, tak guna menipu cerita sebenar, buat sesak dada saja.
“Wow, romantik habis. Sarah... Sarah...
Sarah...” Saly menjerit dalam suara teruja, kemudian dia bergegas mencari Sarah
yang sedang berada di dalam biliknya. Dah sah, minah tu mula nak reka aturcara
gosip-menggosip untuk mengenakan dia. Aduhz..! Letihlah dengan minah berdua ni.
Harap-harap kali ini biarlah telinga aku menjadi telinga badak yang pekak badak.
No comments:
Post a Comment