BAB 21
SENANG hati Kasdina Alya bila semua hidangan telah siap dan
bersedia untuk dihidangkan bila-bila masa saja. Ruang dapur kontemporari datin
yang cantik ni dah berbau macam kedai kek dan roti. Aroma herba oregano dan thyme semerbak menusuk hidung, menerbitkan rasa lapar dan teruja.
Kasdina Alya dan Kak Jah bertungkus-lumus menyusun dan mengatur
hidangan. Setiap hidangan pula dihias dengan cantik dan menarik. Siapa yang
melihatnya pasti akan terbuka selera dan kecur liurnya untuk merasai, belum
lagi baunya yang meresap masuk ke dalam hidung. Pendek kata gabungan antara
rasa, rupa dan hiasan yang cantik menyebabkan hidangan-hidangan tersebut tak
kalah dengan hidangan dari hotel lima bintang. Perghhh...
Bila tuan rumah dan tetamu sudah bersedia di meja makan, Kasdina
Alya menyuruh Kak Jah menghantar mushroom
soup yang masih panas, sebagai starter.
Kemudian Kasdina Alya menyediakan Grilled Beef Steak with Black Pepper Gravy
bersama baked potatoes yang berperisa cheese, gebu dan keemasan. Look delicious with brilliant garnished and dressing. Thumbs up!
memang A lah Kas. Sebelum hidangan Grilled Beef Steak dipersembahkan, Kak Jah
telah menghantar mangkuk besar salad dengan mustard dressing bersama sebiji Pepperoni
Pizza king size yang masih hangat
dan Mozzarella cheesenya yang masih
bergetah. Kasdina Alya tersenyum bila melihat mata Kak Jah membulat bila
melihat pizza yang masih panas berasap, kemudian nampak Kak Jah menelan air
liurnya beberapa kali. Bau oregano, thyme dan cheese memenuhi ruang dapur
membuatkan Kak Jah betul-betul teruja. Pejam celik-pejam celik mata Kak Jah
dibuatnya, lepas tu jelas kelihatan bahagian kerongkongnya bergerak-gerak
perlahan. Dah sah, telan air liur lagilah tu.
“Sabar Kak Jah, semua yang lebih ni bahagian Kak Jah dan Abang
Kasim. Jangan risau, hidangan tu Kak Jah hantar saja keluar dulu.”
“Itulah Kas, Kak Jah ni dah nak naik gila menahan nafsu, dah tak
sabar rasanya, mengancam betul baunya,” ujar Kak Jah sambil ketawa.
“Amboi Kak Jah, sampai macam tu sekali?” Kasdina Alya menyambung
ketawa.
“Mahunya tak gila, bukan senang nak rasa hidangan tahap lima
bintang ni. Kas tengoklah cheesenya tu, meleleh you,” semangat betul Kak Jah.
“Apa-apalah, lepas ni kita makan. Sekarang kita serve dulu, biar dia orang makan dengan
sempurna.” Ligat saja tangan Kasdina Alya menyiapkan hidangan steak yang
sebanyak tujuh pinggan itu, bermakna tujuh orang yang akan lebur dalam
kenikmatan. Termasuk Muhamat Fuyoo sekali ke tu? Hati Kasdina Alya tertanya
sendiri. Nak tanya Kak Jah takut pula. Yalah... Kak Jah kan, kuat menyakat.
Karang tak pasal-pasal katanya aku rindukan si Poyo yo-yo tu. Tak ke mampuih.
Sebagai hidangan pencuci mulut, Kasdina Alya menyediakan yogurt jelly
dan fruits cocktail. Muah... muah... lembut manis dan berperisa. Kelas dessert you Kas. Sedapnya sampai
terasa-rasa di anak tekak, Kak Jah tak henti-henti memuji masakannya. Bukan
main bertambah lagi Kak Jah makan, macam tak ingat dunia. Memang ahli ahwa’. Kata Kak Jah, dagingnya
lembut sangat, dan segala rempah perapan bersatu dengan daging tersebut
menyebabkan hidangan tersebut terasa sedap, nyaman dan bahagia bila menelannya.
Well marinated katanya, dalam nada
puji bodek. Kasdina Alya ketawa.
“Pandai pula Kak Jah meng‘intepretasi’ makanan ya?” usik Kasdina Alya sambil menjeling ke arah
Abang Kasim yang sibuk dengan garpu dan pisaunya. Sampai berbunyi kelentang-
kelentung. Dah lama dok England pun tak reti-reti. Hai... Abang Kasim, kalau
makan sekali dengan orang putih, pasti Abang Kasim akan dipandang sinis dan
serong, sebab tak ada etika di meja makan. Mamat saleh ni kalau makan, pantang
datuk nenek mereka kalau bunyi sudu dan garpu berlaga atau makan dengan tidak
tutup mulut sampai mengeluarkan bunyi, kerana
semua itu termasuk dalam etiquette
adab makan mereka. Tak macam orang kita, belasah semacam aje. Bila makan
macam-macam bunyi pun ada, terutamanya bila bab menghirup sup. Sruuup...
slurp... Tak apalah, yang mana baik tu kita ikutlah, yang mana buruk tu kita
buang ke tepi, sebab dia orang ni bukan perfect
mana pun. Tak nak ikut takpe, maklumlah masing-masing ada hujah stail mencekik
masing-masing, janji halalan thoyyiban
dan ‘konyang’ jang. Dan yang paling utama ikut sunah.
“Ya ALLAH, Kas. Sedapnya pizza ni, tak pernah Kak Jah makan pizza
sesedap ini,” puji Kak Jah ikhlas.
“Betul tu Kas, abang pun tak pernah rasa steak sesedap ini,” sampuk
Abang Kasim yang makin rancak memotong daging steaknya yang masih ada separuh.
Sedang asyik mereka bertiga menjamu selera, tiba-tiba ada pula suara memberi
salam. Kasdina Alya mengangkat muka, Kak Jah menoleh dan Abang Kasim
mengalihkan tumpuannya dari pinggan steak. Seorang lelaki kacak menghampiri
mereka.
“Oh... Encik Amar, makan?” pelawa Kak Jah ramah.
“Sila... Saya dah kenyang pun. Banyak saya makan tadi, sedap
sangat. Yang ini ke Cik Kasdina, tukang masak import yang hebat.” Amar Akrimi
bertanya terus pada Kasdina Alya. Tersipu-sipu Kasdina Alya dibuatnya.
“Eh, taklah hebat, biasa-biasa saja.” Kasdina Alya merendah diri.
“Saya ingatkan tadi, chefnya dah berumur dan tua,” gurau Amar
Akrimi sambil ketawa yang bersambut dengan ketawa Abang Kasim.
“Rupa-rupanya cantik jelita, jambu! Stylo lagi. Tak gitu?” sampuk
Abang Kasim bagi menyambung kata-kata Amar Akrimi yang masih tersimpan.
“Betul tu Abang Kasim. Pandai awak masak, sedap sangat, saya suka, I like, I enjoyed!” Ikhlas Amar Akrimi mengucapkannya pada Kasdina Alya.
“Terima kasih...”
“Hai, suka pada masakannya saja atau pada orangnya sekali?” usik
Abang Kasim. Amar Akrimi ketawa senang, manakala muka Kasdina Alya bertukar
jadi merah jambu. Pink kaler. Malu...
“Kedua-duanya sekali,” jawab Amar Akrimi yang masih ketawa.
“Hiss… Abang Kasim ni, cakap merepek-repek,” marah Kasdina Alya.
“Alah, abang gurau sikit aje. Tak gitu Amar? Barulah seronok hidup kalau
dapat bergurau senda. Tak adalah asyik stres macam Kak Jah kau ni. Muka dia pun
selalu mencuka. Machem! Ni, yang dia
dapat ketawa bagai sebab dapat makan steak, kalau tak muncung dia panjang aje.”
Abang Kasim menyakat Kak Jah. Amar Akrimi mengangguk sambil ketawa kecil.
“Hah… Abang Kasim jangan nak bedaah,” marah Kak Jah.
“Hai, takkan tak ingat, baru je pagi tadi cemberut,” usik Abang
Kasim lagi.
“Dah Abang Kasim kata Jah masak tak sedap, Jah marahlah.” Amboi Kak
Jah gedik semacam aje bunyinya. Macam gadis belasan merajuk aje. Hahaha… Kasdina
Alya ketawa kuat, geli hati pula dengan gelagat andartu dan si bujang telajak
ni. Apa salahya kalau suka dah sama suka, say I love you, kan indah!
Don’t shy-shy.
Anas Irfan pula yang menapak ke dapur, tapi dengan mukanya yang
serius. Merenung tepat ke wajah Kasdina Alya seperti macam nak makan orang.
Takut Kasdina Alya dibuatnya. Pahal Encik Muhamat Fuyoo ni tengok orang macam
nak kasi warning kita aje? Gue tak ada apa-apa salah pun sama lu. Bikin panas
aje! Pantang betul dia melihat muka mat
poyo ni, potong stim orang nak menyembang saja. Mana tidaknya, dia selalu saja
kena smashed dengan mat poyo ni kalau dia ketawa kuat-kuat. “Elok
sangatlah tu, ketawa macam beruk. Orang perempuan tak elok ketawa macam jantan.
Jaga sikit perangai tu!” Macam nilah selalunya ayat-ayat sakarstik yang mat poyo
selalu gunakan untuk memperlahankan tempo aku bila aku terover sikit
dalam bersembang atau buat bising. Tahu sajalah, bergebang dengan Azlan dan
Danny, ada saja yang menjadi bahan ketawa. Cerita pasal telinga mat saleh jadi
asam keping ranum bila bertengkar pun, ketawa. Pendek kata, buka aje mulut,
baru nak kata aa… silap-silap haribulan boleh jadi bahan kelakor. Seingat aku
cerita mereka yang paling tak kering gusi aku dibuatnya ialah bilamana seorang
badwi Kampung Pisang datang KL. Dia solo ronda-ronda downtown KL. Teringin nak
nengok KLCC, maka dia pun pergi. Ambil LRT dari Pasar Seni. Sampai kat sana,
lama dia mendongak, kagum ia akan ketinggian dan kecantikan twin-towers
tu. Dia pun masuk. Jalan-jalan, naik escalator dan sebagainya. Sampai kat 2nd
floor, dia tengok orang ramai menunggu sesuatu. Dia pun menghampiri. Mak
besarnya oven, katanya dalam hati. Orang ramai pun masuk. Dia tak
berani. Mengucap panjang dia. Berdiri dia kat situ. Tiba-tiba datang seorang
orang putih, gayanya macam Scandinavian,
masa tu tak ada orang lain, dia pun mengisyaratkan dengan tangannya supaya
jangan masuk. Mat saleh tu buat dek aje. Tak lama selepas tu, jeng… jeng…
jeng... pintu pun terbuka. Terkejut beruk dia. Dilihatnya seorang negro
berambut kerinting yang keluar. Bertempik dia, kan aku dah kata jangan masuk.
Padan muka dah terbako. Begitulah adanya, disangkanya lift itu oven
beso. Hihihi…
“Hah Anas, dah makan?” tanya Abang Kasim.
“Sedap, kan Kas masak?” celah Kak Jah.
“Bolehlah,” jawab Anas Poyo, tak ikhlas. Berbulu telinga Kasdina
Alya. Dasar lelaki ego!
“Hai, deria rasa kau dah mati ke? Begini punya sedap, sampai Abang
Kasim kau menjilat ibu jari kaki, kau hanya cakap bolehlah? Mesti ada yang tak
kena dengan deria rasa kau ni.” Kak Jah menggiat.
“Takkan sampai menjilat ibu kaki?” ketawa Amar dengan lawak Kak
Jah.
“Kak Jah kau ni memang macam tu, kalau dia buat perumpamaan memang
gila-gila sikit. Kamus Dewan pun tak
pernah pakai perkataan tu,” luah Abang Kasim. Semua orang ketawa,
termasuk mat poyo, tapi matanya asyik mengawasi pergerakan Kasdina Alya.
“Okeylah, kami keluar dulu.” Amar Akrimi mahu beredar.
“Duduklah dulu, kita sembang-sembang,” pinta Abang Kasim. Kasdina
menatap wajah Kak Jah. Minta bantuan.
“Eloklah tu, kalau Anas dan Amar ada kat depan sini alamatnya tak
berusiklah hidangan Kas tu,” kata Kak Jah.
“Apa pasal pula?” tanya Abang Kasim. Hai… Abang Kasim ni lembab ke
bengong?
“Dia malulah nak menelannya, anak dara ada sopan santunya.
Selendang kena betul elok-elok, jangan nak tersipu-sipu, nyerongin tak tentu
kira. Kalau jalan depan orang tu, bongkok sabut sikit. Huloq tangan ke bawah,
mintak tumpang lalu. Salam dengan orang tua, cium tangan. Banyak le lagi. Itu
pun tak reti. Harap nama aje Kasim Selamat. Buat malu P. Ramlee the legend
aje.
“Tapi Jah tak malu pun, selamba aje menyental depan abang?” Abang Kasim tak puas lagi menyakat Kak Jah.
Saja nak mengenakan Kak Jah yang masih anak dara walaupun sudah berumur empat
puluh dua tahun.
“Eh... Abang Kasim ni, daripada makan steak yang sedap, karang tak
pasal-pasal makan selipar jepun celup sos.
Kalau tak pun makan nasi kanji seminggu, nak?” Ketawa Kasdina Alya dan
Amar Akrimi mendengar gurauan Kak Jah. Anas juga tak terkecuali, huh... tahu
juga mamat poyo ni ketawa ya?
“Kau ni Jah, kasar sangat dengan abang. Karang abang merajuk, siapa
nak tolong kau pergi beli barang?” Dah si bujang terlajak buat-buat merajuk
pula.
“Yalah I’m sorry, tak nak naik lori,” sengih-sengih Kak Jah menuturnya.
“Okeylah,” sambut Abang Kasim. Seronok Kasdina Alya melihat
hubungan mereka berdua, bertekak tapi tak sampai bercakar dan marah-marah. Tak
seperti aku dengan mat poyo ni, pantang jumpa aje, pasti ada yang tak kena. Sebaik
saja teruna-teruna kacak macho itu beredar, mereka bertiga rancak kembali
menyapu apa-apa yang belum licin.
No comments:
Post a Comment