BAB 19
AZLAN datang dengan membawa sejambak gubahan bunga Ros bercampur
bunga-bunga halus Lavendar. Cantik dan wangi. Semua krew cafe Caravenserai melihat
ke arah insan yang membawa bunga itu dengan penuh perasaan tertanya-tanya. Langkahnya
kemas dan cermat, senyumannya manis meleret. Nampak kacak, sasa dan menawan.
Model gitu!
“Apa hal Lan happy semacam aje, jackpot
ke malam tadi?” tanya Danny celupar. Azlan sengih dan krew-krew yang lain senyum.
“His... kau ni, salah ke kalau aku senang hati?”
“Tak adalah salah, tapi siap bawa bunga bagai, ini yang aku rasa pelik ni.”
“Kas ada?” tanya Azlan.
“Ada kat dapurlah. Kenapa, kau bercinta dengan dia ke?” bising saja
mulut lembik Danny. Anas Irfan yang sedang minum di meja depan tersedak bila
mendengarnya. Nasib baik tidak ada siapa yang perasan.
“Bukan urusan kau,” tanpa menjawab Azlan meluru ke dapur.
“Hello dear, Kas apa
khabar pagi ini?” Azlan bertanya kuat dan ceria. Sengaja nak buat orang di luar
dengar.
“I’m fine,” senyum
Kasdina Alya, namun terkebil-kebil biji matanya melihat gaya Azlan yang macam
dah buang tabiat. Betul ke tidak Abang Lan ni, jangan-jangan dah telan dadah, mamat
ni bukannya boleh percaya.
“Abang nak hadiahkan bunga ini kepada tuan puteri yang baik hati.”
Azlan melutut di bawah sambil tangannya menghulur bunga ke arah Kasdina Alya.
Ketawa Kasdina Alya melihat ragam Azlan. Dah sah, kompom mamat ni dah buang
tabiat.
“Wah... romantik giler, ambillah cepat Kas,” arah Danny yang datang
menjenguk. Menyibuk betul mamat mulut lembik tu.
“His... abang ni, buat malu Kas saja. Bangunlah!” arah Kasdina Alya
yang masih ketawa.
“Kas ambil dulu bunga ni, baru abang bangun.”
“Yalah, sekarang cerita dengan Kas, abang mimpi apa malam tadi,
atau abang menang judi lagi?”
“Eh Kas, tak baik buruk sangka pada abang tau. Untuk pengetahuan
Kas, abang tetap dengan perjanjian kita tu, mulai hari itu abang dah taubat dan
tinggalkan kerja najis syaitan tu.”
“Dah tu ini bawa bunga dan coklat segala, kenapa?”
“Sebagai ucapan terima kasih pada Kas yang baik budi. Sebenarnya abang
seronok sangat bila dah tahu mak abang dah berjaya buat pembedahan dan sekarang
berada dalam keadaan sihat dan selamat. Dengan bantuan Kas, mak abang Berjaya diselamatkan.Terima
kasih Kas. Abang tak akan lupakan jasa Kas sampai bila-bila.” Kasdina Alya menghelakan nafasnya. Ha... lega
rasanya. Ingatkan apa tadi. Buat suspen aje.
“Hiss... dahlah tu abang, Kas menolong pun kerana ALLAH. Tapi yang
paling penting abang kekalkan niat hijrah tu, jangan toleh ke belakang lagi dan
kembalilah kepada ALLAH secara sepenuhnya,” nasihat Kasdina Alya.
“Maksud Kas?”
“Sebenarnya untuk menjadi muslim sejati, hendaklah kita mengamalkan
Islam secara menyeluruh, bukan main ambil apa yang kita nak saja. Semua yang
ALLAH larang kena tinggalkan dan semua yang ALLAH suruh mesti kita tunaikan. Barulah
hidup kita penuh dengan keberkatan,” ceramah Kasdina Alya. Azlan mengangguk
setuju.
“Eh, kau orang sembang apa ni?” Danny bertanya.
“Alah sembang biasa-biasa saja. Sembang macam mana nak jadi hamba
ALLAH yang baik. Nak join jomlah,” pelawa Kasdina Alya dengan senyum.
“Lain kali sajalah.” Danny berlalu meninggalkan mereka berdua. Dah Kasdina Alya jangka, itulah jawapan yang akan Danny bagi. Apalah Danny ni, kalau pasal mengumpat nombor satu nak ambil tahu.
“Terima kasih Kas kerana menjadi sahabat abang.”
“Kas bersahabat kerana ALLAH supaya kita dapat bantu- membantu antara satu sama lain. Kas Juga berterima kasih sebab abang sudi dengar nasihat Kas.”
“Orang secantik Kas ni, siapa yang tak sudi dengar apa yang Kas kata.”
“Hiss... abang ni ada-ada aje. Kas ni biasa saja bang, tak ada yang lebihnya. Walau bagaimanapun tahniahlah, sebab abang mampu berubah.”
“Abang ingat, abang kena buat perubahan yang lagi besarlah, tak cukup setakat ini saja.” Azlan mula meluah cita-citanya, bulat mata Kasdina Alya menunggu butir kata dari Azlan. Macam tak percaya aje. Cepat benar nak buat perubahan besar.
“Apa maksud abang?”
“Abang rasa abang nak balik Malaysia, tengok mak, rindu sangat dengan mak abang.”
“Oh macam tu ke, baguslah...” terhenti di situ kata-kata Kasdina Alya. Teringat pula akan dirinya sendiri. Jangan menjadi ‘dulang paku serpih’ mengata orang dia yang lebih. Dia sendiri, sudah empat tahun berlalu, ada dia mahu balik? Nak sebut perkataan balik pun tak pernah, inikan pula nak balik terus, for good. Entahlah!
Bila Azlan berlalu, Kasdina Alya masih duduk terpaku di kerusi, menatap bunga yang wangi dan cantik. Hanya pandangan mata saja di situ, sedang otaknya sudah berlari pulang. Tak payah naik MAS Jumbo segala. Sekelip mata saja dah sampai ke laman rumah. Melihat mak yang tersenyum manis dan ayah yang sudah sedikit uzur, dan adik-adik yang menanti untuk dipeluk, siap minta coklat lagi. Ha… tambah satu lagi anak buah yang comel macam mak yongnya. Alahai… rindunya, rindunya… rindunya… ucapan rindu yang terkeluar dari mulut Kasdina Alya. Rasa nak menangis saja saat ini.
“Alah dapat bunga selonggok, dah mula angau. Tak ubah macam beruk dapat bunga. Elok sangatlah tu, tukang masak bercinta dengan tukang masak.”
Lamunan Kasdina Alya terhenti. Nipis saja kulit telinga ni bila dengar kutukan maut dari mat poyo tu. Rasa nak saja bangun dan terus cekak dia punya leher baju, dan kasi warning, “Lu apa pasal suka sangat cari masalah sama gua”. Lepas tu, dush... dush... dush... tumbuk muka dia, biar pecah bibir lembik yang suka mengeluarkan perkataan yang sering menyakiti hatinya. Ha... barulah puas hati. Tapi masalahnya tak boleh buat macam tu. Aku dah terhutang nyawa dengan mat poyo ni, itu yang susahnya. Aku sekarang ni, sejak terhutang nyawa kat mat poyo ni, dah rasa macam hilang taring, kuku dan bisa. Dah rasa macam orang bodoh saja, bila mat poyo ni mengata atau mengutuk, aku hanya berdiam diri saja. Aduh, sakit jiwa dol... Susahnya bila hidup berhutang nyawa. Terpaksalah menahan sabar, macam menahan lapar sewaktu puasa. Ya ALLAH, sabarkanlah diri ini. Bilalah agaknya hutang nyawa aku nak selesai? Bila dah selesai nanti aku nak balun mat poyo ni cukup-cukup. Biar dia tahu Who I am.
Kasdina Alya tidak menyahut sahutan. Dia hanya bangun, kemudian menjeling tajam ke arah Anas Irfan yang masih tercegat di tempat khas untuk krew melepak. Huh... tengok buntut kuali lagi bagus dari lihat muka kau. Belum pun Kasdina Alya beraksi dengan kuali dan periuk, namanya dipanggil oleh Abang Johan. Macam lipas kudung Kasdina Alya mampir ke depan.
“Ada apa Abang Johan?” tanya Kasdina Alya sebaik saja datang mengadap.
“Tu hah... ada orang nak jumpa kau,” tunjuk Abang Johan.
Ternganga mulut Kasdina Alya. Terjojol matanya membulat. Macam mana mamat haprak ni boleh datang ke mari?
“Pergilah, katanya dia saudara Kas. Takkan tak nak jumpa saudara sendiri,” arah Abang Johan yang tak tahu apa-apa.
“Tak mengapalah, Kas sibuk ni. Banyak kerja kat dapur.” Kasdina Alya mula nak beredar ke dapur. Belum pun dua langkah, namanya dipanggil kuat. Bercupak biji mata pelanggan yang ada dalam cafe Caravanserai memandang ke arahnya. Buat malu saja. Hiss... mamat haprak boleh buat aku gila tahu tak? Apa lagi yang dia nak? Kasdina Alya menyumpah dalam hati.
“Kasdina, bagilah peluang saya bercakap dengan awak.” Rafizi meminta lembut. Mengharapkan simpati Kasdina Alya. Aduz… hero Hindustan sudah mari. Hoi... kau tak ada kerja lain ke selain mengganggu hidup aku? Jerit Kasdina Alya dalam hatinya yang panas membara. Kalau nak diikutkan kepala otak aku yang tak betul ni, nak saja aku ambil kuali leper kat dapur, lepas tu ketuk-ketuk kepala si haprak ni. Biar leper sekali kepala dungunya dan dia serik nak ke sini lagi.
“Kas, please!” si haprak tak tahu malu ni merayu lagi. Muka Kasdina Alya dah merah menyala, menahan marah dan malu. Tapi mulutnya masih terkunci.
“Kas, pergilah sembang, selesaikan apa masalah kau orang. Lagipun tak elok kau orang sembang kat sini. Banyak mata yang memandang,” nasihat Abang Johan. Kasdina Alya menjeling tajam ke arah Abang Johan. Abang Johan buat-buat terkejut, kemudian senyum-senyum. Huh… bukannya nak tolong kita halau mamat haprak dari sini. Suruh lagi adalah. Tak boleh harap punya bos…
Kasdina Alya berjalan keluar dari café diikuti oleh Rafizi. Anas Irfan memandang dengan perasaan berdebar.
“Kas, jom kita jalan-jalan dan lepak kat mana-mana. Senang sikit kita nak sembang,” ajak Rafizi lembut. Kasdina Alya memejam mata rapat, kedua tangannya digenggam kemas, lurus di sisi. Eeii... mamat ni dah lebih, karang kalau hilang sabar aku ni, tak pasal-pasal aku angkat kaki kanan dan tendang perut, sebiji macam aksi Bruce Lee baru kau tahu. Melayang sampai entah mana-mana. Kau nak ke?
“Kasdina, bukalah mata awak. Pandanglah saya. Sebenarnya saya rindu sangat pada awak.” Bukan main lagi Rafizi merayu. Sedang Kasdina Alya sudah berbulu telinganya macam telinga Chimpanzee. Gegendang telinga pula sedang rancak berdengung-dengung. Hai... mamat ni memang nak cari nahas nampaknya.
“Kas, saya minta maaf pasal peristiwa dulu, saya menyesal sangat memutuskan pertunangan kita. Saya masih cintakan Kas, kalau boleh saya nak sambung balik hubungan kita yang terputus dulu,” selamba badak saja mamat ini mengarang ayat-ayat cintanya. Dasar muka tembok, tak tahu malu. Muka Kasdina Alya yang putih bertamah merah membahang.
“Eh, jantan tak guna, lebih baik kau berambus dari sini. Kalau kau nak tahu, di antara makhluk di bumi dan di langit yang aku tak mahu tengok ialah kau. Tak payah kau nak merepek-repek depan aku. Kau ingat aku ni pokok ke? Tak ada perasaan, tak ada maruah? Kau hancur lumatkan maruah aku dan keluarga aku, sehingga aku tak mampu untuk tinggal di tanah kelahiran aku. Puas hati kau?” Kata-kata yang tersimpan dalam hatinya terkeluar juga. “Kas, saya minta maaf sangat. Bukan begitu maksud saya dulu. Lagi
pun saya terpengaruh dengan fitnah orang?” Rafizi memberanikan diri untuk
membela diri.
“Siapa yang nak fitnah aku kalau bukan keluarga kau sendiri?”
“Saya tahu saya salah, sebab tidak selidik dahulu sama ada berita
yang saya dapat itu benar atau tidak. Saya menyesal sangat. Sampai sekarang
penyesalan itu tak pernah berhenti. Kalau Kas nak tahu, orang yang membuat
cerita palsu dulu ialah Mak Long Noraini. Dia mengata Kas macam-macam sehingga
kami sekeluarga termakan dan terpedaya dengan cerita bohongnya,” cerita Rafizi
sejujurnya. Kasdina Alya terkesima, antara percaya dan tidak.
“Eh mangkuk, kau jangan nak melibatkan mak long aku dalam hal ini.
Sebenarnya kau tu yang tak tahu berfikir. Kalau kau tu otaknya bagus dan boleh
pakai kau akan fikir dulu sebelum mendengar kata-kata dari orang lain.
Sepanjang aku berkenalan dengan kau, dan bertunang dengan kau, ada kau dapat
pegang hujung jari aku? Tak ada kan? Tangan aku pun kau tak pernah pegang kan?
Badan aku lagilah kau tak pernah sentuh kan? Sebab duduk dekat dengan kau pun
aku tak pernah. Maknanya kalau dengan orang yang aku cinta pun aku jaga iman
dan maruah aku, inikan pula dengan orang yang tah mana-mana yang kau tuduh. Kaulah
yang buta selama ini. Tak tahu menghargai aku. Alih-alih sekarang kau datang
nak menuntut cinta aku lagi? Mana letak otak kamu? Akai ada ke?” menyinga marah
Kasdina Alya mengalahkan singa baru beranak, yang diusik anak. Puas hatinya
melepas ketulan barah yang tersimpan dalam hatinya selama ini. Kalau nak kira
ini baru sikit, banyak lagi kata-kata kesat yang nak dihamburkan pada jantan
tak tahu malu ni.
“Kas, ampunkan saya, maafkan keluarga saya. Kami semua menyesal
sangat. Kami mencari Kas untuk minta maaf, tapi tak jumpa. Nasib baiklah saya
dihantar kursus kat sini selama enam bulan. Dapat saya jumpa awak. Buat
pengetahuan Kas, saya juga masih solo dan saya tak berniat pun untuk mencari
ganti awak,” sedih saja suara Rafizi, dia tahu kalau begini cara Kasdina Alya
melayannya, agak tipis harapannya untuk menyantum kembali cinta yang terlerai
dulu.
“Eh, lantak kaulah, aku peduli apa. Kalau kau nak tahu, aku pernah
sumpah kau dan keluarga kau agar menyesal seumur hidup kau orang kerana memfitnah
aku, dan kau akan terima balasannya di akhirat.” Kasdina Alya mahu beredar dari
tempat perbincangan. Bukannya jauh mana pun, kira-kira sepuluh langkah saja dari
kaki lima cafe Caravenserai.
“Kas, jangan pergi dulu, saya belum habis. Kas terimalah saya
kembali. Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. Saya masih cintakan awak.
Tolonglah Kas,” rayu Rafizi tanpa malu.
“Banyak cantik muka kau. Pergi kau dari sini dan jangan datang
lagi,” kasar dan keras sekali suara Kasdina Alya. Bukan tak ada yang mendengar
perbualan mereka, tapi tak kisahlah, mat saleh kat sini bukan faham pun butir
perkataan yang mereka bualkan.
“Kas please! Saya merayu pada awak. Berilah satu peluang lagi untuk
saya betulkan kesilapan dulu,” pantas
Rafizi memegang lengan baju Kasdina Alya, dah terdesak sangatlah tu.
“Sudahlah Rafizi. Cinta saya untuk awak dah lama tak ada, kerana
bagi saya awak telah lama mati. Sekarang lepaskan saya,” arah Kasdina Alya
dengan wajah yang tegang.
“Kas, tolonglah! saya masih cintakan awak.” Rafizi seakan ingin
menangis, susahnya merayu cinta pada orang yang telah dilukai. Dia akui semua
yang terjadi adalah salahnya. Tapi berilah peluang sekali lagi.
Tiba-tiba Anas Irfan terpacak di hadapan mereka yang sedang berdrama.
Pucat muka Kasdina Alya, terkejut dan malu.
“Eh, kenapa main pegang-pegang girlfriend orang ni?” kasar
suara Anas Irfan bertanya kepada Rafizi. Lelaki yang dia lihat sewaktu di
Regent’s Mosque tempoh hari. Nampaknya seperti lelaki yang Kasdina Alya
benci.
“Kau siapa? Ganggu urusan aku dengan Kasdina.” Rafizi melawan
balik.
“Buat pengetahuan kau, aku ialah Anas Irfan, boyfriend dia
dan kami sedang merancang untuk bertunang dan berkahwin. Puas hati?” Tegas saja
suara Anas Irfan, macam ia ia, dia tu boyfriend Kasdina Alya. Terkejut
Kasdina Alya mendengarnya.
“Kas, betul ke semua ini.” Rafizi bertanya lemah. Suaranya bergetar
dek kejutan yang tak disangka. Kasdina Alya pula ternganga, pucat dan blur.
Aduh... kusut... kusut...
“Kas, cakap dengan saya, betul ke jantan ni boyfriend awak?”
geram Rafizi melihat Anas Irfan yang senyum-senyum.
“Kalau ya, kenapa? Apa masalah kau? Aku dah tak ada kena-mengena
dengan kau lagi. Sejarah empat tahu lalu dah tak ada, dah masuk muzium pun, dan
tak perlu kau nak kutip puin-puinnya kembali. Aku dah ada hidup aku sendiri dan
aku dah bahagia sekarang. Lebih baik kau pergi dari sini,” suara Kasdina Alya
masih keras dan kasar. Lelaki bengong ni perlu diajar. Alang-alang ada orang
datang nak selamatkan keadaan, lebih baik aku ambil peluang. Tapi kira
berhutanglah pula. Hutang yang dulu pun tak selesai lagi, datang pula ‘bil’
baru. Mak! peningnya Kas... pening... pening...
“Okeylah Kas, saya pergi dulu. Maafkan saya dan keluarga saya dunia
akhirat,” ucap Rafizi lemah dan sedih.
“Tengoklah kalau pintu hati aku terbuka untuk maafkan kau
orang,” sengaja Kasdina Alya bersikap
sombong. Biar dia rasa bagaimana hidup terhina.
“Hiss... sombongnya, sedangkan ALLAH yang Maha Hebat itu pun
ampunkan hambanya yang bertaubat. Kau siapa? Hebat sangat ke?” Woi, woi... sakitnya hati aku dengan bahasa
mat poyo yang penyibuknya. Dahlah datang tanpa diundang, membantu pula tanpa
diminta. Volunteer cinta ke!
“Eh, suka hati akulah nak sombong ke, nak kembung ke, nak melambung ke. Kau apa tahu? Tolong jangan
menyibuk dalam urusan aku boleh?” Tajam mata Kasdina Alya mencerlun ke arah
Anas Irfan. Pandai-pandai saja mengaku boyfriend aku! Dan aku, kalau nak
cari boyfriend atau kekasih, sudah semestinya aku tak akan cari jenis
mat poyo mulut lembik berperisa cili burung ni. Kerja dia asyik mengutuk orang
saja. Perasan bagus. Piirah... cemuh Kasdina Alya dalam hati.
“Kau ni kan, jenis perempuan yang tak tahu berterima kasih. Orang
dah selamatkan dia, dah bantu dia, tapi masih menyombong. Apa punya oranglah.”
Bertambah terbakar hati Kasdina Alya.
“Eh, mamat. Kalau kau nak aku ucap terima kasih pada kau, okey! aku
ucapkan terima kasihlah banyak-banyak-banyak. Cukup? Kalau kau nak aku bayar
hutang nyawa yang kau tolong selamatkan aku tempoh hari, aku akan bayar. Sebut saja
berapa ribu yang kau nak. Janji aku tak ada apa-apa hutang nyawa lagi selepas
ini.”
“Banyak mana duit kau?” ejek Anas Irfan sambil ketawa.
“Kau boleh ambil semua simpanan aku selama empat tahun ni.
Ambillah, yang penting kau dan aku selepas ini saling tidak mengenali,” marah
Kasdina Alya.
“Kau beri dengan tidak ikhlas, aku tak hendak.”
“Ikhlas ke tidak, itu belakang kira, yang pentingnya hutang aku
selesai.” Kasdina Alya bersuara parau. Kelam rasa jiwa, sedih rasa hati.
Kenapalah dalam dunia ni dia bertemu dengan jantan-jantan yang menyakitkan hati
saja? Kolam mata Kasdina Alya terasa panas dan penuh, tapi dia cuba menyeka
agar tidak tumpah.
“Untuk pengetahuan kau, duit aku lagi banyak. Aku bukan nak duit
kau, tapi aku nak benda lain...” Anas Irfan ketawa. Sakit hati Kasdina Alya
melihatnya, tak ubah watak penjahat dalam movie Tamil.
“Habis kau nak apa?” marah Kasdina Alya berapi.
“Tunggu, suatu hari aku akan beritahu kau, macam mana kau perlu membayar
hutang nyawa kau itu...” Anas Irfan membisiknya di telinga. Menggigil kepala
lutut Kasdina Alya bila mendengarnya. Celaka punya jantan! sumpahnya dalam
hati. Kemudian Anas Irfan berlalu dengan ketawa yang menyeramkan hati Kasdina
Alya.
No comments:
Post a Comment