BAB 19
Biasanya kalau hari bekerja, Nur Asiah tidak dapat berehat dan berguling-guling di tempat tidur. Semuanya perlu cepat dan teratur untuk sampai ke tadika awal kerana dia tidak suka kelam kabut ,walaupun kelasnya bermula agak lewat, bersedia awal lebih baik dari terkejar-kejar dan tergesa-gesa.
Tapi pagi ini dia tak perlu buat semua itu, dia boleh berehat dan berlama-lama di tilam kerana hari ini,hari minggu, dia ingin merehatkan badannya secukup-cukupnya. Tiba-tiba pintu biliknya di buka.
“Hai...mak buyung, tidur balik ke?”
“Taklah… saja baring-baring, nak manjakan badan, mak aku kata, tak baik tidur selepas subuh, rezeki susah masuk,terutamanya waktu matahari sedang naik segalah.”
“Betullah tu, mak akupun cakap macam tu juga, tapi aku tak pernah ambil peduli,” Suriani ketawa.
“Siapa yang tak kenal kau, mana yang tak boleh ,itu yang kau nak buat kan? Brutallah konon. Hah...pagi ni kau tak meroloh kenapa?” Suriani ketawa lagi, dia tahu, kalau hari minggu, jangan cari dia sebelum pukul 10.00, tidurnya tak boleh diganggu.
“Aku nak ajak,kau shopping.”
“Hah...shopping? Nak…nak…”Nur Asiah teruja, memang dia nak beli barang.
“Amboi,mak buyung ni, bukan main lagi bersemangat.”
“Yalah, aku dah lama nak beli barang baby ni.”
“Dah tu kenapa duduk lagi ,pergilah siap.”
“Wei...supermarket belum bukalah,buat apa pergi awal-awal?”
“Kita keluar awal, kita jalan-jalanlah dulu,jalan-jalan cari breakfast,tak payahlah kita masak pagi ni, ada faham buyung?” Nur Asiah ketawa melihat kepala Suriani yang tergeleng-geleng,dah macam keling botol yang mabuk tody.
“Yalah aku siap, kau tu…kenapa tak bangun lagi, tak tahu nak keluar?” Nur Asiah menghalau Suriani keluar dari biliknya.
“Saja nak tengok kau bersiap, nak tengok perut kau yang bulat tu!”
“Eieeee...jahatnya,dah... keluar!” Nur Asiah menolak Suriani ke pintu. Suriani ketawa mengekek, bukannya bergerak pun badan sepertinya hendak ditolak,macam badak... sia-sia saja.
Wah… semuanya cantik,semuanya comel,rambang mata ibu muda itu memilih pakaian untuk anaknya. Kalau boleh semuanya nak dibeli, nak diborong. Baju yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besar kanak-kanak pun ada. Dah naik mabuk Nur Asiah di buatnya.
“Wei...mak cik, mana satu nak beli ni, aku dah nak muntah ni, kau asyik pusing keliling saja, beli tak juga.”
“Alah sabarlah ,aku dah rambang mata ni, tak tahu nak pilih yang mana.”
“Anak kau lelaki ke perempuan?”
“Manalah aku tahu.”
“Hei..mak cik ,kita hidup zaman modenlah! Orang sekarang boleh tahu anak tu lelaki ke perempuan ,walaupun belum lahir.”
“Macam mana? Tengok perut ke?”
“Hah! Tengok perut, apa maksud kau?” Suriani pula yang tercengang.
“Yalah, mak aku kata, kalau orang mengandung tengoklah perut dia, kalau bulat memanjang ke depan,tandanya anak itu lelaki, kalau perut ibu tu bulat lebar kiri dan kanan, maka anaknya perempuan.
“Boleh percaya ke?”
“Entah! Aku pun tak tahu,mungkin ya dan mungkin juga tidak.”
“Tapi dengan kaedah ultra-sound,kita dapat tahu jantinanya,” pandainya Suriani memberi cadangan, macamlah dia pernah buat.
“Ah...apa pula kena mengena jantina dengan benda yang aku nak beli.”
“Kau ni mangkuk ayunlah, takkan itu pun tak tahu. Kalau anak kau tu girl, kau belilah pakaian dan barang-barang yang berwarna pink. If the baby is a baby boy maa...advisable you buylah everything in blue, because blue colour is suitable for baby boy, ada ngam maa...! Hah...aku cakap orang putih ni ,kau faham ke tak?” kembang hidung Nur Asiah menahan ketawa.
“Oh...really, thanks amoy aa... for your imformation, I don’t know how to choose the right things, tahi kucinglah kau, cakap orang putih konon, mulut makan petai.” Suriani ketawa galak bila ditempelak, lalu dia mencuit pinggang Nur Asiah yang sudah pun ketawa menggulung. Tiba-tiba ketawa Nur Asiah mati, matanya tertumpu ke arah pasangan muda yang sedang memilih barang-barang untuk baby mereka, mungkin mereka juga akan dapat anak sulung sepertinya, nampak mereka begitu teruja dan bahagia, tidak sepertinya, bersendirian menunggu hari bahagia. Alangkah indahnya kalau hidup ini seperti apa yang kita mahu. Pasti kita lebih bahagia. Alangkah bahagianya dia kalau Aiman seorang yang penyayang ,tidak baran dan tidak pembengis, tidaklah dia tercampak menumpang di rumah sewaan Suriani . Nur Asiah merenung ke dalam dirinya, segerombolan duka menyinggahi wajah, Nur Asiah diterpa rasa sayu tiba-tiba.
“Kenapa Nur, kau sedih?” Suriani simpati, matanya juga dilemparkan ke arah pasangan tersebut, dia tahu apa yang tersirat dalam hati sahabat karibnya.
“Sabarlah Nur, ALLAH menguji seseorang dengan cara yang berbeza. Mungkin ini bahagian kau, sabar ya!”
“Ya, aku tahu. Terima kasih kerana mengingatkan aku.”
“Kau jangan risau, aku boleh jadi ayah, sebab badan aku besar, kau jadi maklah sebab kau yang melahirkannya.”
“Eieeee...gelilah Su, kau ingat aku ni apa, main kahwin pondok-pondok macam zaman kecil dulu?” Suriani menyeringai.
“Apa salahnya ,kita sama-sama bela anak tu nanti. Kau jadi mak ,aku jadi ayah,kira lengkaplah sebuah keluarga.” Nur Asiah ketawa kembali , geli hatinya melihat telatah Suriani.
“Nanti tak ke budak tu nanti confuse ,mana satu mak,mana satu ayah, sebab dua-dua pakai tudung dan kenapa ayah orang lain tak pakai tudung, sedangkan ayah dia pakai tudung.Ha...ha...ha...lawak kau ni bukan saja bodoh tapi lawak gila tau tak?” Nur Asiah ketawa mengekek. Suriani, kalau bercakap ikut main keluar dari mulut saja. Suriani juga ketawa.
“Nur, kau ketawa ,dah hilang sedih kau?”
“Ofcourselah aku masih sedih, tapi hidup ini perlu diteruskan,meratap hiba bukanlah jalan penyelesaian.”
“Ha...macam tulah kawan aku, kuat dan tabah. Aku tabik springlah kat kau,” Nur Asiah menyengih. Suriani seorang kawan yang baik.
“Disebabkan kau kawan aku yang paling baik dalam dunia ni, aku akan belanja kau makan. Makanlah apa saja yang kau nak, aku bayar.”
“Wau!!! Kau dapat durian runtuh ke?”teruja Suriani dengan offer dari Nur.
“Tak ade maknanya, kalau nak belanja,tak payah tunggu durian runtuh ke, bangunan runtuh ke,bila-bila pun boleh,” mengekek Suriani ketawa.
“Terima kasih le…aku doakan kau mudah beranak.” Amin… mereka berdua ketawa. Sebaik saja selesai mereka membeli keperluan baby, mereka beredar ke Food Court untuk menjamu selera.
Selesai mereka makan dan bersantai, mereka bercadang untuk pulang. Jam menunjukkan pukul 3.30 petang, bermakna zohor telah tua. Bila mereka hendak melangkah keluar dari bangunan Leisure Mall , hujan tiba-tiba menjadi lebat. Pergerakan terpaksa terhenti, menunggu hujan teduh. Lima minit, sepuluh minit, hujan tak berhenti juga, malah semakin menjadi-jadi. Dua puluh minit berlalu, langit masih galak menangis, tak ada tanda pun mahu berhenti, sedang waktu zohor sudah terlalu tua, sekejap lagi zohor akan pergi, mereka menjadi resah. Haruskah diredah saja hujan yang masih menggila? Atau tunggu teduh dulu. Nur Asiah mengangkat kedua belah tangannya ,lalu berdoa. Suriani melihat kehairanan.
“Apa yang kau buat?” Suriani ingin tahu.
“Rasulullah pernah bersabda,” berdoalah pada waktu mustajab doa, iaitu ; sewaktu pasukan tentera bertempur, sewaktu mendirikan solat dan ketika hujan turun.” Riwayat Abu Dawud. Aku selalu berdoa pada waktu hujan turun sebab kata para ulama, waktu itu Malaikat sedang menurunkan rahmat dan rezeki.”
“Apa yang kau doa?”
“Aku berdoa agar segala permasalahan akan ada jalan keluarnya dan aku juga berdoa agar kau cepat mendapat jodoh dengan lelaki yang baik seperti kau,” Suriani menyeringai tanpa kata. Kemudian dia menoleh ke arah Nur Asiah sambil menganggukkan kepala, sebagai pertanyaan.
“Kalau kau tak kisah, redah saja hujan ni, tak tahu bila dia nak berhenti.”
“Kau tak kisah ke? Tak ke demam budak dalam perut tu?” Nur Asiah ketawa. Soalan Suriani selalunya bodoh giler.
“Jomlah , dapat aku main hujan, dah lama aku tak merasa mandi hujan.”
“All right, aku pun suka, aku kira satu dua tiga, kita lari, tapi kau hati-hati ya, takut jatuh.”
“Yalah nenek,” akhirnya mereka berlari serentak. Ha...tulah padahnya kalau berjalan tak bawa payung, tapi manalah tahu hari nak hujan. Bak kata pepatah: Ku harapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari.Betullah tu…siapa yang dapat meramalkan apa yang akan berlaku.
Sebaik saja pintu kereta dibuka, mereka menerpa masuk menyelamatkan diri. Separuh kuyup mereka berdua, sebab tempat letak kereta jauh sedikit. Termengah-mengah Nur Asiah dibuatnya,barang-barang yang dibeli pun basah,tapi tak kisahlah sebab di luar saja, dalam tak basah.
Suriani menghulurkan tangan kirinya ke belakang, meraba-raba seat belakang.
“Kau cari apa?” Tanya Nur Asiah.
“Aku cari kotak tisu, tadi aku rasa ada kat seat belakang.”
“Biasalah cari dengan tangan ,tak cari dengan mata, bila nak jumpa,” Nur Asiah menolong mencarinya, tapi tak jumpa juga .Eh...peliknya, tadi dia pun nampak ,memang ada kat belakang, mana ye? Nur Asiah membuka laci depan, membelek-belek, tiba-tiba dia terpegang kotak rokok. Berderau darah Nur Asiah kerana terkejut dan tak sangka.
“Su, sejak bila pula kau merokok?” Nur Asiah menunjukkan kotak rokok dengan wajah yang tegang.
“Hah...rokok? Aku hisap rokok? Mana kau jumpa?” Suriani kebingungan.
“Dalam ni, kalau tak pun rokok boyfriend kau.”
“Aku ada boyfriend?” Suriani menunjukkan jari telunjuknya ke hidung, masih kebingungan. Nur Asiah menyelongkar lagi dan dia terjumpa topi, spek mata hitam dan minyak rambut Safi. Suriani melihat dengan penuh tanda tanya, bila masa pula dia beli semua benda-benda ini, bila masa pula dia beli topi, takkan pakai topi dengan tudung, tak pernah dibuat pun. Cermin mata hitam ni, bila pula dia pandai bergaya? Eh...pelik sungguhlah, siapa pula yang menceroboh dan meletakkan barang- barang ni dalam keretanya? Suriani menggaru kepalanya yang bertudung, memang tak gatal pun! Tapi siapa pula yang gatal masuk menceroboh keretanya. Dia pening dan keliru. Tiba-tiba cermin kereta di ketuk beberapa kali, hujan di luar masih renyai- renyai. Suriani berbelah bagi untuk membuka atau tidak, cermin diketuk lagi. Suriani menoleh ke kanan, ada lelaki yang sedang berdiri di luar. Dengan tidak semena-mena pintu kereta dibuka dari luar.
“Kenapa anda berdua berada dalam kereta saya?” lelaki itu bertanya sebaik saja menjengukkan kepalanya ke dalam. Nur Asiah dan Suriani terkesima, mereka ternganga keduanya ,lalu..Mak!!!!!! Mereka menjerit sekuat hati kerana terkejut akibat salah masuk kereta. Dengan pantas mereka berdua keluar dari kereta,tanpa menghiraukan hujan yang masih renyai-renyai bernyanyi. Mereka berdua ketawa gelihati dengan gelagat sendiri. Suriani paling kuat ketawa, sebab dia merasakan kereta itu dia yang punya. Hantu kau Su! Ha...ha...ha...itulah ,ada mata tengok.
Bodoh punya Su, masuk kereta orang,sesedap hati dia saja menerjah harta orang, tak guna punya Su! Buat malu kompeni saja, ceh...Nur Asiah marah dalam hati, tapi dekat luar dia tersenyum-senyum kerana malu pada tuan kereta . Suriani apa lagi ,mukanya bertukar menjadi biru kerana malu, dengan wajah yang tersengih-sengih dia meminta maaf.
“Sorrylah saudara, kami tersalah masuk kereta, tak ada niat nak mencuri pun.”
“Tak mengapa, saya tahu awak tersilap masuk kereta sebab hujankan?” Wah...baiknya budi lelaki ini. Suriani merenung lelaki di hadapannya, bolehlah, taklah buruk sangat, tapi hati budinya yang cantik, sekarang bukan senang nak cari orang lelaki yang baik budi, eh...dah berpunya ke dia, kalau tak, kira line-clear, aku pun solo lagi.
“Su!” Suriani diam saja, tapi matanya legat memandang ke arah lelaki itu, ah...sudah, Su ni dah kena sampuk ke?
“Su!!!” Nur Asiah menjerit, Suriani seakan terpisat-pisat, dah sah…baru bangun dari khayalan. Apa yang dikhayalkannya tadi? Lelaki itu tersenyum melihat gelagat Suriani. Kacak sangatkah aku ,sampai ada wanita yang terpegun? kedua-duanya membalas renungan. Terlopong mulut Nur Asiah melihatnya. Nampaknya kumbang dan bunga sedang tertarik, menarik, kau memang menarik, kau memang da bomb! Dan hujan pun berhenti.
“Wei...wei…hello...! Apahal kau orang ni?” Nur Asiah mengetuk bumbung kereta,kedua-duanya tersedar. Hebatnya penangan cinta, aku yang tertonggok kat sini pun macam tak wujud. Cinta pandang pertama kut, tapi yang paling tepat ialah hikmah hujan dan hikmah tersalah kereta. Suriani tersipu malu, ceh...malu konon!
“Sorrylah kami ceroboh kereta you,malu rasanya.
“Tak mengapa, janganlah awak risau, pasti ada hikmahnya setiap yang berlaku,” wah...baiknya lelaki ni, puji Nur Asiah dalam hati, aku rasa budak ni sesuailah dengan Su, badan pun sama-sama sihat dan bulat, cute pun lebih kurang, baik…nampak gaya budak laki ni pun baik. Adakah ALLAH telah mengabulkan doa aku tadi? Nur Asiah tersenyum sendiri.
Akhirnya suatu perhubungan pun bermula bila Suriani dengan senang hati memberi nombor handsetnya pada lelaki yang bernama Roslan itu, malah dia turut mencari kereta kancil Suriani yang tersalah letak tadi. Sebaik saja kami mengucapkan terima kasih Roslan yang budiman itupun beredar. Senyum Suriani masih lagi melerek ,panjang sampai ke telinga. Suka sangat nampaknya dia, harap-harap jodohnya telah sampai.
Nur Asiah masuk ke dalam kereta dan menarik tali pinggang keledar lalu memasangnya, sebaik saja dia mengangkat kepala, matanya terpandang sesuatu yang dia sendiri tidak mahu percaya . Adura sedang berjalan berpelukan dengan seorang lelaki, tapi bukan dengan suaminya, bukan suami mereka, tapi siapa? Dah sah Adura berlaku curang, sebab hubungannya dengan lelaki itu cukup intim dan mesra sekali. Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku ni? Adakah Aiman sudah tahu? Kasihan Aiman! Dicurangi oleh isteri yang dia sayangi. Abang! Nur Asiah menyebut panggilan untuk Aiman, kolam hatinya penuh dengan rasa simpati dan sedih. Kenapa Adura sanggup mencurangi suaminya, sedangkan Aiman cukup sayang kepadanya, marah pun tak pernah apa lagi menjentiknya. Ah…sifat manusia sememangnya begitu, selalu tak tahu bersyukur.
“Nur, kenapa dengan kau,” Suriani peka terhadap perubahan wajah sahabatnya.
“Itu… kau lihat perempuan yang sedang berpelukan tu!”
“Ah…lantaklah dia, kau apa sibuk? Orang sekarang tak jaga tepi kain orang tau.”
“Masalahnya ,perempuan tu madu aku dan lelaki itu bukan suami kami, Adura sedang curang kepada suami kami,” bulat mata Suriani bila mendengar penerangan dari Nur Asiah.
“Dah tu ,kau nak buat apa?”
“Entahlah, kasihan Aiman, isteri curang di belakang.”
“Nur! Aku nasihatkan kau, biarkanlah dia orang, dulu waktu dia orang bercinta dan curang dengan kau, ada dia orang peduli dengan kau.Tak ada beb! Malah dia orang buat kau macam kain buruk saja. Dahlah jangan baik sangat dengan orang, nanti diri sendiri yang merana,” marah Suriani. Nur Asiah tak terasa pun kalau Suriani marah, sebab dia tahu Suriani selalu ikhlas.
“Jomlah kita balik,” Nur Asiah mengangguk tanda setuju, tapi ingatannya berpusat kepada Aiman, rindunya mula menerjah di kolam hati,walaupun Aiman pembengis tapi banyak juga kebaikan yang diberikan kepadanya, dan yang pasti mereka masih lagi suami-isteri. Sebengis mana pun Aiman , dia masih suami Nur Asiah. Abang, maafkan Nur! Dalam diam hatinya merintih.
NOW SHOWING
OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga.
Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis.
Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima.
Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.
No comments:
Post a Comment