Hannan kembali ke taman rekreasi tersebut, tapi datangnya bukan dengan membawa frame gambar seperti selalu. Hari ini dia datang dengan wajah baru, rambutnya yang panjang dan kusut masai itu telah di potong kemas dan pendek, jambang dan misai yang tumbuh meliar bak hutan simpanan itu juga sudah di potong.
Hannan yang datang hari ini penuh dengan gaya dan kekacakkan, kalau Nur Asiah melihatpun dia tak akan kenal dan percaya, bahawa dialah lelaki yang persis orang gila,terhuyung- hayang berjalan tanpa arah dan tujuan. Jasa perempuan muda itu padanya bukan sedikit, dia berhutang dengan seluruh kehidupannya yang akan datang, kalau tidak kerana nasihat perempuan muda itu, dia tak akan kembali sempurna begini. Dengan izin Tuhan.
Hannan berdiri, matanya melilau-lilau di kawasan sekeliling, mencari perempuan yang mengandung, tapi wajah perempuan muda yang mengandung itu tak kelihatan pun. Kenapa perempuan muda itu tak datang? Alangkah menyesalnya dia kerana tidak bertanya di mana perempuan muda itu tinggal dan nama perempuan itu pun dia lupa. Akhirnya dia meninggalkan taman rekreasi itu, dengan pencarian yang gagal dan penuh penyesalan kerana hari itu dia tidak bertanya dengan jelas di manakah perempuan itu tinggal.
Kekecewaan jelas terpancar di wajah Hannan sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam rumahnya. Seluruh keluarganya melihat dia berjalan dengan gontai menuju ke sofa.
“Hey…adik kakak yang handsome, dari mana ni? Kak Fatty menegurnya.
“Kemana lagi, kalau tak ke taman rekreasi, mencari kawan baru dia,tapi nampak gayanya tak jumpalah tu,” Datin Anisah membuka cerita.
“Siapa Han?” Cerita baru dari Datin Anisah menarik minat Kak Fatty ,semua mata tertumpu ke arah Hannan untuk mengetahui cerita sebenarnya. Perubahan diri Hannan kini masih lagi menjadi misteri kepada keluarganya. Apakah yang menyebabkan Hannan berubah dan kembali hidup normal.
“Suatu petang, Han ke taman rekreasi, seorang perempuan muda yg sedang mengandung datang menghampiri Han,memberi salam dan menghulurkan satu bekas makanan, agaknya dia melihat Han seperti gelandangan yang sedang kelaparan. Makanan tersebut ialah macaroni bakar, makanan kegemaran Han, dan arwah selalu membuat untuk Han. Sebaik saja, Han makan, rasanya seperti suatu keajaiban berlaku, rasa dan baunya sama seperti yang arwah buat. Han makan sampai habis, kerana lapar dan terlalu rindu pada arwah. Lepas tu perempuan muda itu mengajak bersembang, dalam bersembang dia memberi nasihat.
Antara nasihatnya ialah jangan berburuk sangka dengan ALLAH, banyak kata-katanya menyentuh hati dan membuka pintu kesedaran untuk Han, betapa dia sendiri pun berada dalam masalah, untung nasib dia pun dia tak tahu, kerana dia sedang melarikan diri dari suami yang suka menderanya, redup matanya menceritakan dia sedang menderita. Tapi dia seorang yang kuat dan tabah, dia berusaha menyedarkan Han, katanya kalau Han merasa susah, masih ada lagi orang yang jauh lebih susah. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada,” Hannan menghabiskan ceritanya. Terpegun semua keluarganya mendengar, siapakah perempuan mulia yang bernasib malang itu.
“Han tahu siapa namanya?” Datuk Aziz bertanya dengan minat.
“Itu yang jadi masalahnya, Han tak tahu siapakah nama dan di mana dia tinggal, cuma klu untuk Han cari dia ialah padang rekreasi, harap-harap dia muncul disitu, tapi setakat ni,dia tak datang lagi,” ralat sungguh Hannan tidak bertanya lanjut mengenai diri perempuan itu.
“Cantik tak?” Kak Fatty bertanya nakal sambil tersenyum dengan maksud lain. Hannan membalingkan kusyen ke arah Kak Fatty.
“Cantik, muka dia putih bercahaya,tapi sayang Han tak ingat namanya.”
“Oh…patutlah separuh mamai,” Kak Fatty mengejek. Datin Anisah mencerlun ke arah Kak Fatty. Jangan di usik hati adik yang baru nak sembuh ,manakala Datuk Aziz tersenyum, kalau boleh biarlah rumah ini kembali ceria seperti dulu, penuh kebahagiaan sekeluarga.
“Han jangan berputus asa, Insya’Allah… ketemulah tu nanti,” Datin Anisah memberi harapan.
“Tapi mama, esok Han dah nak berangkat ke Mekah. Lepas umrah Han terus pergi Europe,tak tahu bila nak balik. Han terkilan sangat.”
“Tak apalah Han, masa kat Mekah nanti, Han doa banyak-banyak, biar ada jodoh,dapat Han bertemu lagi dengannya.”
“Tapi Han bukan nak kahwin dengan dia,” pelik saja dengan mamanya berkata demikian.
“Maksud jodoh ini bukan untuk perkahwinan saja, dalam kamus dewan ,bermaksud pasangan hidup,bermaksud pertemuan, boleh juga dimaksudkan lawan atau pasangan dan satu lagi ,bermaksud sesuai, seperti durian jodohnya pulut, nasi lemak dan sambal tumisnya, macam tulah. Mama bermaksud akan ada pertemuan lagi untuk Han dengan perempuan misteri itu.”
“Ambil kau Han! Mama kan bekas guru, satu kau tanya, sepuluh dia jawab” Kak Fatty menemplak Hannan yang sudah tersengih.
“Papa rasa pun ,macam tu juga Han, dengan izin ALLAH,akan adanya pertemuan selepas ini, so, janganlah Han rasa ralat sangat. Di depan Kaabah nanti Han doalah untuk kesejahteraan dan kebahagian perempuan tu.”
“Baiklah papa, walaupun pertemuan itu singkat,tapi ianya memberi kesan yang amat dalam .Han tak dapat lupa,akan cahaya iman diwajahnya yang teserlah dalam tutur katanya,penuh pasrah dan redha, sehingga Han rasa malu dengannya. Kadang-kala Han rasa ,perempuan itu memang dihantar oleh ALLAH untuk membantu dan menyedarkan Han.”
“Betullah tu,sebenarnya, papa dan mama pun turut berhutang dengan perempuan itu,sebab dia telah mengembalikan semula keceriaan keluarga kita yang hilang. Syukur sangat.”
“Kak Fatty rasa,jangan-jangan perempuan itu,bukan manusia. Mungkin juga Malaikat yang berupa manusia, ataupun bunian.”
“Fatty, kalau bercakap tu,boleh tak realistik sikit, macam-macamlah awak ni.” Hannan dan Fatty ketawa bila ditegur, Fatty memang macam tu, suka merepek-repek.
“Budak-budak mana?” Hannan bangun sambil bertanya kakaknya.
“Ada kat luar, main dengan rabbit,” Fatty tahu , Hannan sukakan kanak-kanak. Arwah Fedora dulu sama usia dengan anaknya yang nombor dua. Kasihan Hannan,ALLAH mengambil miliknya dalam sekelip mata.
Petang itu, Nur Asiah kembali beriadah di taman rekreasi. Rindu benar rasanya nak menghirup udara segar, mencium bau wangi bunga tembusu, kadang-kala bau bunga tanjung menusuk hidung, bau rumput yang baru di potong. Ah…segar rasanya, lapang fikiran, berkurung di dalam rumah selama dua minggu, cukup melemaskan. Seminggu dia demam, seminggu jugalah dia tidak ke tadika, buntu fikirannya ,terkurung di dalam rumah, mana tidaknya, dah baik dari demam pun tak boleh keluar rumah. Mak nenek yang kat rumah tu, banyak sangat pantang larangnya,banyak sangat songeh, katanya nanti badan lemahlah, kena rehat banyaklah, tak boleh keluar rumah petang-petanglah, macam-macamlah, pendek kata kalah arwah nenek aku punya pantang larang semasa hayatnya.
Nur Asiah meliau-lilau, mencari seseorang yang dia kenali, tak nampak pun! Kemana agaknya lelaki misteri itu pergi? Kalau dulu ada aje dia kat padang ni, memerhatikan kanak-kanak bermain. Apa pun Nur Asiah mendoakan yang terbaik untuk kawan barunya yang malang itu, malang kerana tidak dapat menilai cinta ALLAH, malang kerana berburuk sangka dengan Penciptanya sendiri. Semoga ALLAH memberi taufik dan hidayah-Nya pada si gelandangan itu.
No comments:
Post a Comment