NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Tuesday, June 9, 2015

SENGAL PUNYA MAMAT BAB 5

  BAB 5                                                                             

          SAKIT Tok Wan Limah makin menjadi-jadi sejak balik dari klinik tempoh hari. Ubat yang diberi oleh doktor mungkin tak serasi dengan tok wan. Demam dan batuk selsemanya bertambah kuat. Kadangkala tok wan kelihatan sukar bernafas. Bila dipujuk untuk dibawa ke hospital, dia bermati-matian tidak mahu pergi. Katanya, apa-apa pun berlaku, biarlah dia mati di atas rumah pusaka ini. Ah… susah betul untuk mendepani krisis penolakan tok wan.
         Susah hati Siti Ajira memikirkan keadaan tok wan. Karang, kalau apa-apa terjadi pada tok wan, dia juga yang susah, dia  juga yang akan dipertanggungjawabkan. Dia juga yang akan dikutuk dan dimaki hamun oleh anak-anak tok wan. Ya ALLAH, bantulah aku! Siti Ajira menadah tangan ke langit dan kemudiannya dia meraup ke muka. Mudah-mudahan ALLAH mendengar doanya.
       “Siti, kenapa termenung ni?” Terkejut Siti Ajira bila mendengar ada orang menyapanya dari belakang. Dia menoleh.
       “Oh mak. Bila mak sampai? Tak dengar pun bunyi motor mak.” Siti Ajira mengangkat muka redupnya. Penyapu lidi yang berada di tangan diletak di sebelahnya.
       “Baru aje, memanglah Siti tak dengar, kalau fikiran tu melayang jauh,” jawab Salmiah lembut. Dia duduk berhampiran dengan Siti Ajira. Di atas pangkin di bawah pokok manggis. Perlahan-lahan Salmiah mengusap wajah anak sulungnya yang kelihatan tidak ceria dan susah hati. Siti Ajira membiarkan saja, dan dia rasa bahagia bila sekali-sekala dapat sentuhan dari mak.
       “Tok wan macam mana hari ini?” Salmiah bertanya.
       “Macam tulah mak. Masih tetap tak mahu dibawa ke hospital. Susah betullah tok wan ni,” rungut Siti Ajira.
       “Tak apalah, kita pujuk lagi. Mudah-mudahan kali ini dia mahu,” pujuk Salmiah sambil menepuk-nepuk bahu anaknya.
       “Ni, mak datang sini Pak Sahak tahu ke?”
       “Tak, dia tak ada kat rumah. Mak curi-curilah keluar,” jawab Salmiah tenang. Siti Ajira memandang muka Salmiah dengan padangan cuak bercampur simpati.
       “Karang dia balik tengok mak tak ada. Jenuhlah mak kena balun nanti.”
       “Tak mengapalah Siti, mak dah biasa macam tu. Dahlah, jom kita naik atas tengok tok wan,” ajak Salmiah untuk mengalih topik perbincangan.
       “Yalah. Tadi tok wan tidur, sebab tu Siti turun bawah sapu sampah yang dah menimbun,” terang Siti tanpa diminta.
       “Kasihan anak mak, mesti Siti penat kan, jaga tok wan sendirian.”
       “Tak mengapa, Siti dah biasa. Cuma Siti terkilan sangat. Kenapa pak ngah langsung tak nak balik jenguk tengok tok wan. Siti dah berkali-kali telefon dia, cakap tok wan tak sihat. Tapi sampai sekarang  bayang pun tak nampak,” rungut Siti Ajira yang berbaur kesal.
       “Nak buat macam mana. Orang dah kaya-raya, mana nak ingat kat emak dia yang dah tua ni. Biarkanlah dia Siti, mudah-mudahan dia sedar suatu hari nanti.” Salmiah memujuk Siti Ajira dan juga memujuk hatinya yang turut sama terkilan dengan tindakan adiknya. Sampai hati Kairol buat emak macam ni.
       “Mak, sebenarnya tok wan tu rindu sangat dengan pak ngah. Kalau tidur asyik sebut nama pak ngah aje. Kasihan Siti tengok tok wan tu. Siti rasa nak saja pergi Kuala Lumpur tu, dan seret pak ngah balik dan sujud bawah kaki tok wan.” Marah sekali Siti Ajira bila mengenangkan sikap tidak bertanggungjawab bapa saudaranya.
       “Sabarlah Siti. ALLAH bukan saja menguji tok wan, tapi ALLAH uji kita sekali.”
       “Betul cakap mak tu. Kadangkala Siti tertanya sendiri. Kenapalah kehidupan Siti tak sama dengan remaja lain. Dari kecil sampailah ke besar,” luah Siti Ajira.
       “Maafkan mak. Ini semua salah mak. Mak yang tak mampu beri kebahagiaan untuk anak-anak mak. Mak yang lemah sebenarnya.” Kata-kata Salmiah yang mengandungi rasa bersalah dan kesal yang teramat sangat.
       “Mak, bukan salah mak. Sebenarnya inilah takdir hidup Siti. Ada ayah, tapi tak bertanggungjawab dan hilang entah ke mana. Tak apa, Siti redha semua tu.”
       “Miah, bila kau sampai?” tegur tok wan sebaik saja dia membuka mata.
       “Baru aje mak. Macam mana mak hari ini?”
       “Macam nilah, agaknya aku ni dah nak mati. Hidup pun dah menyusahkan anak cucu.”
       “Hisy tok wan, jangan cakap macam tu. Siti tak pernah rasa susah pun menjaga tok wan. Siti suka, malah Siti sayang sangat dengan tok wan.” Siti Ajira mula sedih.
       “Apa yang mak merepek ni. Bila masa pula mak telah menyusahkan Miah?” Salmiah mengusap kepala emaknya yang masih terbaring.
       “Mak minta maaf pada kau Miah.”
       “Kenapa pula?” Kerut di dahi Salmiah berlapis-lapis.
       “Sebab mak banyak menyusahkan kau. Kasihan kau Miah.” Suara tok wan bergetar dan mata tuanya basah.
       “Mak, dahlah tu. Ni, mak dah mandi ke belum?” tanya Salmiah. Tak nak melayan bual emak yang mula merepek-repek.
       “Belum. Mak tak nak mandi, mak sejuk,” adu tok wan.
       “Kalau mak sejuk, biar Miah lapkan badan mak dengan air suam. Lepas tu Miah akan suapkan bubur untuk mak, mak tentu lapar, kan?”
       “Tak apalah biar Siti yang lapkan badan mak,” bantah tok wan.
       “Mak, sementara Miah ada ni, biarlah Miah yang buat. Kasihan Siti. Biarlah dia berehat,” pujuk Miah. Akhirnya tok wan termakan juga pujukan Miah dan setuju untuk dilap badannya. Miah melakukan dengan rasa bahagia dan tanggungjawab. Miah dandan rambut tok wan dan dipakaikan bedak sehingga wangi seluruh tubuh tok wan.
       “Miah maafkan mak,” pinta tok wan tiba-tiba.
       “Dah, kenapa lagi mak ni?”
       “Betul, mak minta maaf pada kau.” Mata tua tok wan bergenang.
       “Apa yang buat mak sedih ni.”
       “Mak sedih, sebab mak, hidup kau menderita dan tak pernah bahagia.” Suara tok wan tersekat-sekat, sambil air mata jernih laju menuruni lurah pipi tuanya.
       “Apa yang mak merepek lagu ni?” Susah hati Miah dengan maknya. Sensitif sangat akhir-akhir ni.
        “Betul Miah. Dulu, mak yang paksa kau berkahwin dengan Sahak selepas kau diceraikan oleh bapa Siti. Mak ingat Sahak boleh bahagiakan kau, rupa-rupanya Sahak seorang lelaki yang jahat dan tak bertanggungjawab. Mak menyesal sangat Miah.”
        “Ya ALLAH mak, benda tu pun dah lepas, dan berlalu. Lagi pun dah nasib dan takdir saya hidup begini. Bukan salah mak pun. Dahlah tu mak, jangan dikenang lagi. Mak berehat ya.” Salmiah cuba meredakan emosi sedih tok wan.
        “Macam mana mak tak sedih dan susah hati, si Sahak tak guna tu sesuka hati membantai kau aje. Sakit hati mak bila dengar kau manjang kena pukul. Senang cerita kau minta cerai sajalah dari Sahak tu.” Tok wan mengumpul kekuatannya bercakap dari hati ke hati dengan Salmiah walaupun tutur katanya tersekat-sekat dan tidak lancar.
        “Mak dahlah tu, tak payah fikir pasal Miah lagi. Tengok tu, mak tercungap-cungap bila bercakap. Dah rehat ya. Miah tunggu mak kat sini.” Salmiah menggosok-gosok badan kurus emaknya.
        “Tapi Miah janji dengan mak, Miah minta cerai ya dari Sahak, sebab mak takut Mia mati di tangan dia.” Mata tua tok wan menatap wajah Miah yang tak pernah cerah dan ceria.
        “Mak, janganlah risau. Miah tahulah nanti,” pujuk Miah lagi.
        “Miah!!! Miah!!! Miah!!!” Jeritan di luar rumah mengejutkan mereka tiga beranak. Siti Ajira yang terlelap di sebelah tilam tok wan tadi terus bingkas bangun akibat terkejut.
        “Mak, pak Sahak datang,” beritahu Siti Ajira dalam debar.
        “Panjang umur Sahak, baru saja kita berbual pasal dia, dah dia muncul,” sahut tok wan bersahaja, tapi hatinya tetap risau dan cemas. Apalah yang akan dibuat oleh Sahak tu pada anaknya.
        “Miah, balik!!!” Sahak menjerit lagi. Dia tahu sangat, isterinya memang ada di sini walaupun dia masih belum melihat muka Salmiah. Kalau tak, macam mana motosikal Miah tu boleh ada di sini. Salmiah menjenguk di muka jendela.
        “Abang, mak sakit marilah naik, jenguk mak!” cakap Salmiah lembut seperti biasa.
        “Kau pekak ke? Aku kata balik, baliklah!!!” Sahak menjerit bagaikan orang kerasukan. Memang kerasukan pun. Salmiah menjeling benci. Macam nilah selalu dia sudah kalah judi. Syaitan judi dalam badannya akan merasuk dan mengamuk.
        “Alang-alang abang dah datang, naiklah sekejap tengok mak.” Salmiah tetap memujuk.
        “Eh, kau ni bangang ke apa? Aku datang sini nak suruh kau balik rumah, bukannya nak tengok si tua tu,” tengking Sahak. Melengking suaranya memenuhi ruang dan menyinggah di gegendang telinga tok wan.
        “Baliklah Miah, kalau tak lagi teruk Sahak tu mengamuk,” kata Tok Wan Limah pada Salmiah yang kelihatan serba salah.
        “Tapi mak.”
        “Miah! Balik sekarang. Kalau tak nahas aku kerjakan kau sekarang,” laung Sahak lagi.
        “Pergilah balik, mak tak apa-apa,” suruh tok wan. Salmiah sedih macam nak menangis.
        “Mak, Miah balik dulu. Ada masa nanti, Miah datang lagi. Salmiah benar-benar sedih. Air mata yang bergenang dari tadi menitik jatuh ke pipi Tok Wan Limah saat dia mencium wajah tua emaknya.
        Salmiah melangkah dengan hati yang berat. Bila sampai di halaman rumah, Sahak yang menunggu dengan perasaan bengang itu terus menunjal-nunjal kepala Salmiah sampai Salmiah tersadung ke hadapan.
        “Pak Sahak, jangan pukul mak!!!” laung Siti Ajira dari muka jendela. Tak tahan hati dia melihat bapa tirinya memperlakukan emak seperti itu.
        “Suka hati akulah, bini aku.” Sengaja Sahak membakar naluri Siti Ajira yang kian mendidih. Kalau imannya tak kuat, nak saja rasanya dia terjun dari jendela dan berlari untuk membelasah bapa tirinya yang kurang ajar dan jahat itu.
        “Kalau jadi apa-apa pada mak aku, kau tahulah nanti.” Amarah Siti Ajira tak mampu dikawal lagi.
        “Kau nak buat apa?” Sahak ketawa mengejek.
        “Aku report polis, biar kau meringkuk dalam penjara,” jawab Siti Ajira tegas.
        “Hahaha… ada aku kisah. $i@! Pergi mampuslah dengan polis kau tu.” Kuat ketawa Sahak sambil menghidupkan enjin motosikal buruknya dan kemudiannya berlalu pergi. Siti Ajira yang masih berdiri di jendela seakan terbakar seluruh badan. Sakitnya hati pada Sahak hanya ALLAH saja yang tahu. Kau tunggulah suatu hari nanti Sahak, masanya akan tiba juga. Siti Ajira mengepal-ngepalkan tangannya.

     















SENGAL PUNYA MAMAT BAB 4

                                        BAB 4

SEMERBAK bau nasi goreng Mak Leha menyerbu masuk ke lubang hidung Farhan tatkala dia melangkah ke ruang dapur. Nasi goreng cili hijau bakar Mak Leha sememangnya menjadi kegemaran Farhan dari dulu.
“Assalamualaikum Mak Leha. Masak apa tu?” sergah Farhan yang datang perlahan-lahan di belakang Mak Leha.
“Opocot, emak kau meletop,” melatah Mak Leha seperti biasa apabila disergah. Farhan ketawa.
        “Bertuah punya budak. Kalau tak mengusik Mak Leha tak boleh ke?”
“Alah… usik sikit aje. Pa’an suka tengok Mak Leha melatah, macam comei jer.” Farhan Ketawa lagi.
“Banyak ler Pa’an punya comei. Pa’an jangan main-main. Karang Mak Leha terover melatah dan terketuk kepala Pa’an dengan seduk ni baru tau. Biol… tak berbini kau nanti, nak?”
“Memang tak nak berbini pun. Perempuan ni semuanya sama saja Mak Leha. Buat menyemak dan pening kepala aje.”
“Ops, tak betul tu Pa’an. Pa’an tak boleh berpandangan prejudis seperti itu. Takkanlah kerana seorang perempuan yang buat jahat dengan Pa’an, habis semua perempuan Pa’an nak hukum. Tak betul tu, mana maunya macam tu Pa’an. Seekor kerbau yang bawa lumpur, habis semuanya terpalit. Lagipun fitrahnya kita ni diciptakan berpasang-pasangan.” Terkeluar lagi ayat-ayat berbisa yang biasa Farhan dengar dari mulut Mak Leha yang memangnya pandai menyusun kata.
“Habis, Mak Leha tu tak ada pun pasangan tak apa pulak?”
“Siapa kata Mak Leha tak ada pasangan? Ada. Pa’an yang tak tau. Cumanya, dia dulu yang pergi meninggalkan Mak Leha. Sebab itulah sampai sekarang Mak Leha tak direzekikan bertemu jodoh dengan sesiapa. Ada ler hikmahnya tu. Insya-ALLAH kami akan bertemu semula nanti di pintu syurga.” Bersungguh Mak Leha menjawab.
“Erm… ya ler tu. Pandai ler Mak Leha. Mana Mak Leha tau. Kitab mana yang Mak Leha baca,” usik Farhan.
“Ustaz yang cakap,” ujar Mak Leha.
“Ustaz mana?” tanya Farhan, seolah memberi tekanan.
“Alah Pa’an… lain kali petang-petang tu rajin-rajin ler sikit tengok program ceramah kat dalam TV tu, ini tidak… Doeremon dan Upin Ipin juga dihadapnya, mengalahkan bebudak. Dah tu pandai pulak nak mempersoalkan cakap orang.” Berfakta dan yakin sekali Mak Leha menjawab. Farhan hanya senyum. Tau malu.
“Yalah yalah… Mak Leha menang.” Saja aje dia cuba menutup isu, supaya tak terus kena bedal dengan Mak Leha. 
“Mama mana Mak Leha?” tanya Farhan, sambil matanya melilau-lilau mencari kelibat mamanya.
“Dah keluar pergi butik ler,” jawab Mak Leha.
“Awalnya pergi. Selalunya 9.30 baru dia keluar.”
“Katanya ada stok baru sampai,” jelas Mak Leha.
“Oh, ya ke?”
“Mila dah pergi kolej?” Farhan bertanya tentang adik perempuannya pula.
“Dah pergi pun dengan kawannya.”
“Eh duduklah sarapan, Mak Leha dah sediakan ni, nanti sejuk pulak Nescafe tu,” suruh Mak leha.
“Baiklah. Terima kasih Mak Leha,” ucap Farhan hormat.
“Ya, sama-sama. Oh ya, tadi Puan ada pesan suruh beritahu Pa’an.”
“Pesan apa?”
“Puan cakap, dia suruh Pa’an balik awal sikit petang ini. Dia hendak Pa’an pakai smart-smart. Kemudian katanya, jangan pulak berselemuih dengan minyak hitam apabila sampai ke rumah nanti.” Mak Leha berjeda sambil melihat ke arah Farhan. Kepalanya ligat memikir, nak ke budak ni ikut cakap mama dia?
“Kenapa Mak Leha?” Farhan menepuk meja, mengejutkan Mak Leha yang telah terdiam seketika.
“Aa, aa… aku nak kawen, kau nak kawen. Kahwin… kahwin. Ish, ish kau ni…” Mak Leha melatah sambil menggaru kepalanya yang bertudung litup.
“Dah, dah! Siapa yang nak kahwin?” Farhan merendahkan suara.
“Sapa lagi, Pa’anlah! Petang nanti mama Pa’an ada jemput Datin Ruby datang minum petang kat sini.”
“Kenapa Mak Leha, kat rumah dia dah tak ada serbuk kopi nak dibancuh ke?” Laju saja Farhan memotong, tahu sangat dia dengan niat mamanya.
“Dak aeh, sajalah Puan ajak Datin Ruby dan anak gadis dia tu mai sini, bolehlah kenal-kenalkan dengan Pa’an. Manalah tahu kot-kot Pa’an berkenan,” cerita Mak Leha telus.
“Hisy Mak Leha, mama ni… tak habis-habis dengan pencarian calon menantunya. Rimaslah saya. Dah tau saya tak nak kahwin, nak juga dipadan-padan,” marah Farhan.
“Uh…tak baik Pa’an cakap lagu tu kat mama Pa’an. Setiap ibu yang melahirkan mestilah nak tengok anak-anaknya berumah tangga, kemudian beranak-pinak dan hidup bahagia. Ha, macam tulah jugak mama Pa’an. Jenuh, berbuih mulut dia suruh Pa’an cari pasangan. Pa’an buat bodoh aje. Dah tu, biar ajelah dia yang cari.” Farhan melihat ke arah Mak Leha yang selalu saja membela majikannya. Apa saja majikannya cakap, semuanya, yes maam! Orait belaka, tak boleh genglah dengan Mak Leha ni.
“Erm… dahlah, saya pergi dulu,” pohon Farhan.
“Karang macam mana, balik awal tak? Jangan lengah-lengah, nanti tak pasal Mak Leha yang kena marah dengan Puan,” temberang Mak Leha. Dah tu ‘baek’ punya, siap buat muka sedih seposen lagi.
“Ha, kenapa pulak Mak Leha yang kena?”
“Nanti mama Pa’an ingat Mak Leha dah lupa nak beritahu.”
“Mama ni pun satu. Apa yang main-main pesan bagai. WhatsApp, kan ada. Hantar aje ler,” rungut Farhan.
“Puan mana ada masa nak main benda alah tu. Dia kan, sentiasa sibuk.” 
“Mak Leha ni asyik ‘nyokong’ mama ni apa hal. Tak guna teknologi untuk kemudahan pun mama betul, apa citer!” tegur Farhan.
“Yalah… dah dia tu majikan Mak Leha. Sendiri mau ingat. Mestilah kena sokong.” Senyum Mak Leha. Farhan buat duck face.
“Assalamualaikum!” Farhan mengucap salam sambil ketawa kecil sebelum beredar.
“Waalaikumussalam! Macam mana?” tanya Mak Leha untuk kepastian.
“Macam mana apanya?” Farhan hilang punca.
Date dengan Datin Ruby dan anaknya lerrr?” Mak Leha menyengih.
“Ya ALLAH, tak habis lagi ke ‘story’nya?”
“Belum, selagi Pa’an tak bagi kata putus,” sahut Mak Leha.
“Tengoklah nanti, tak janji. Kalau ada, ada.” Naik malas Farhan nak melayan cakap Mak Leha lagi.
“Tak baik tau Pa’an, seorang anak mengecilkan hati ibunya. Apalagi mengecewakan perasaannya yang terlalu mengharap. Karang tak cium bau syurga, sebab syurga itu di bawah tapak kaki ibu.” Kata kunci terakhir dari Mak Leha telah menyentuh hati nurani Farhan. Memang, pengorbanan seorang ibu tidak ternilai. Apa salahnya kalau kali ini dia mengalah dengan kehendak mama?
“Yalah, yalah… karang saya balik awal,” jawab Farhan yang selalu kalah kalau berjual beli dengan isu syurga dan neraka.
“Ha, macam tulah anak yang soleh, balasan pastinya syurga. Dah, cepat pergi kerja. Nanti lambat pulak sampainya. Tau aje ler jalan jammed,” suruh Mak Leha dengan senyuman kemenangan.
“Sukalah tu, dapat bodek majikan dia,” kata Farhan sambil berjalan keluar menuju ke garaj. Mak Leha ketawa di muka pintu, melambaikan tangan pada anak majikannya yang payah sangat nak dibuat padan.
FARHAN menuju ke tempat kerjanya dengan perasaan yang tidak ceria dan sedikit terganggu. ‘Karut betullah!’ luahnya perlahan sambil meneruskan perjalanan. Trafik berjalan lancar, dan tidak berapa lama kemudian dia sampai di tempat kerja tepat pada masanya.
Dari pagi hingga ke petang Farhan berada di bengkel yang berkembar dengan kedai aksesori yang juga menjadi miliknya. Tak sedar dia masa begitu cepat berlalu, ditambah pula dengan ramai pulak customer yang datang untuk servis dan repair. Bila dia melontarkan pandangannya dari bawah kereta ke arah jam dinding yang tergantung di sudut bengkel, barulah dia sedar bahawa hari sudah lewat, dan teringat ia akan janjinya pada Mak Leha.
Jarum pendek sudah pun tercacak ke angka lima. Bermakna kalau dia bergegas sekarang pun, sudah pasti dia akan lewat tiba. Farhan segera memanggil pekerjanya untuk menyambung kerjanya yang masih belum beres. Setelah membersihkan tangannya dari minyak hitam, lantas dia masuk ke pejabat, duduk menghadap handfonnya yang berada dia atas meja. Ya ALLAH… mak datuk, melambak-lambak WhatsApp dan SMS yang masuk. Semuanya dari mama dan Mak Leha. Dah tentu sekarang ini mama sedang berbuih marah padanya yang tidak endah dengan janji.
Sebaik saja dia selesai berkemas apa yang patut dan berpesan itu dan ini pada staf-stafnya, Farhan menghidupkan keretanya terus mendesup laju menuju ke rumahnya yang terletak di Damansara Height. Bila tiba di halaman rumah banglo mewah milik keluarganya, Farhan memakir kereta Iswara Aeroback lama di sebelah kereta mewah berjenama BMW. Farhan senyum sendiri. Agaknya kereta mewah ini milik tetamu mamanya yang belum pulang walaupun hari telah senja.
“Assalamualaikum.” Farhan melangkah ke dalam rumah dan memberi salam, kemudiannya mempamerkan senyuman. Tetamu yang ralit menyembang berpaling ke belakang. Melihat si pemberi salam. Buntang anak mata tetamu dengan muka cuak yang tidak disengajakan. Terjegil biji mata tuan rumah. Terkejut dengan perangai anak teruna yang tak senonoh.
“Waalaikumussalam,” perlahan saja jawab Puan Hanina. Suaranya terkelam ke dalam. Malu, sungguh memalukan.
“Maaflah lambat, jalan jammed teruk.” Farhan bercerita walaupun tidak ditanya. Tiga orang perempuan yang berbual tadi, diam tak terkata, seakan-akan terkena renjatan elektrik.
“Ini ke Datin Ruby kawan mama?” tanya Farhan, kemudian dia sengaja menyengih. Mempamerkan serbuk cili yang sengaja dia letakkan di atas gigi. Baru nampak sempoi. Nak saja dia ketawa kuat dan-dan tu juga bila melihat riak muka Datin Ruby dua beranak yang seakan tidak senang melihat ke arahnya.
“Han kenapa balik dalam keadaan macam ni?” tanya Puan Hanina yang cuba mengawal marahnya.
“Kenapa mama? Macamlah mama tak tahu kerja Pa’an. Kerjaya sebagai mekanik macam ni. Berlemuih dengan minyak hitam. Tak gitu datin?” Farhan menyengih lagi. Datin yang melihatnya semakin ngeri dan geli.
“Nina, you kata anak you ada syarikat, buat bisnes sendiri. Tapi yang depan I ni siapa pulak? Kerja kuli aje, you nak tipu I ke?” Datin Ruby meledakkan marah dan bengangnya pada Puan Hanina.
“Jomlah mummy kita balik. Ada ke patut dengan orang macam ni mummy nak jodohkan dengan Liyana. Gelilah!” Anak gadis Datin Ruby yang pakai separuh seksi itu bingkas bangun.
“Tunggulah dulu, kita sembang-sembang dan berkenal-kenalan,” ajak Farhan sambil menyengih lagi. Seronok pula rasanya mengenakan mak datin yang berlagak bagus ni.
“Eh, takkan nak balik. Tunggulah dulu. Sebenarnya Farhan bukan macam ni.” Tahan Puan Hanina dengan rasa bersalah yang amat sangat. Farhan menyengih lagi seperti kerang busuk, dengan buat muka separuh bodohnya.
“Sudahlah Nina, sengaja you nak kenakan I. Kalau I taulah macam ni anak you, tak hingin I datang sini tau. Mak dengan anak sama saja tak guna.” Farhan berhenti menyengih. Matanya mencerlun ke arah datin cap ayam yang bermulut berus dawai. Kasar dan celopar sekali.
“Jom mummy kita blah, buang masa aje.” Anak dara yang kurang sopan itu menarik tangan mummynya, lalu menuju ke pintu  dan melangkah keluar dari rumah tanpa pamitan. Terkedu Puan Hanina dengan tingkah laku calon menantu tak jadinya. Kedua beranak itu berdiri di depan rumah, menghantar tetamunya pulang. ‘Cepatnya berubah tingkah laku. Tadi bukan main sopan senyum simpul bagai, sekarang lain pula jadinya’. Detik hati Puan Hanina yang amat terkilan.
“Kenapa Pa’an jahat sangat, suka memalukan mama ya?” marah Puan Hanina sambil menepuk bahu anak terunanya. Farhan ketawa kuat.
“Kenapa, mama terkilan ke tak dapat berbesan dengan Datin Ruby yang glamor tu?” usik Farhan. Dia masih ketawa. Puan Hanina menjeling dengan hati yang sakit.
“Mama malu pada Datin Ruby tu, awak tu tak senonoh sungguh. Kenapa  pakai baju bengkel?” marah Puan Hanina.
“Tadi, banyak kereta masuk. Staf pula ada yang cuti. Terpaksalah Pa’an buat sendiri,” terang Farhan kenapa dia balik dalam keadaan comot dan kotor serta nampak selekeh.
“Sepatutnya Pa’an bersihkanlah badan tu dulu sebelum balik. Pakailah baju elok-elok macam biasa. Barulah mama ni tidak dituduh sebagai penipu.” Nada suaranya masih tinggi. Masih tak puas hati. Alahai terkilan sangatlah agaknya tak berpeluang bermenantukan anak datuk, datin. Ketawa Farhan belum selesai.
“Alah mama, biar mereka yang tertipu, asalkan jangan kita ditipu oleh mereka yang berwajah plastik tu. Mama nak ke menantu yang sombong dan kurang ajar macam tu?” Terpukul Puan Hanina dengan pertanyaan Farhan.
“Sebenarnya mama tak berapa kenal sangat dengan Datin Ruby tu. Kenal gitu-gitu aje, dan tak sangka pula perangai mereka sebegitu teruk.” Akur Puan Hanina ralat.
“Ha, tengok kerja ALLAH. DIA dah susun semua perkara. Kan, dah terbongkar segala perangai mereka sebenarnya. Lepas ni mama tak payahlah sibuk-sibuk pasal jodoh Pa’an. Kalau ada jodoh dengan sesiapa, maknanya adalah rezeki mama nak bermenantu. Kalau tak ada juga, kira serah saja pada ALLAH.” Peringatan pendek dari Farhan yang sememangnya tadi dia telah membuat seperti yang dirancang. Farhan senyum, puas hati.
“Yalah, tapi Farhan kenalah cari calon menantu untuk mama. Mama dan papa kamu, bukanlah muda lagi. Esok lusa pun boleh dijemput oleh ALLAH,” pesan Puan Hanina.
“Baiklah mama,” sahut Farhan sambil berlalu menuju ke bilik untuk membersihkan badannya.





   
       

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   


SENGAL PUNYA MAMAT BAB3

                                      BAB 3

PAGI ini Siti Ajira tidak ke pasar dan berniaga seperti biasa. Cuti mengejut ini dibuat kerana tok wan demam dengan tiba-tiba. Sejak pukul 4.00 subuh lagi tadi tok wan mengerang. Suhu badannya panas, tapi anehnya dia minta diselimutkan dengan Toto. Siti tekad nak membawa tok wan ke klinik untuk mendapatkan rawatan, walaupun dia tahu lazimnya tok wan agak culas untuk dibawa ke sana. Perangai semula jadinya ini mengalahkan bebudak yang fobia dengan jarum dan bau ubat.
“Tak payahlah Siti, tok wan demam sikit aje,” tolak tok wan. Sama macam tadi juga alasan yang diberi.
“Tok wan, kita pergi sekejap aje, lepas tu kita baliklah.” Siti Ajira masih setia memujuk. Jenuh dia memujuk. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dia mencepung tubuh kurus tok wannya itu dan terus dibawa masuk ke dalam kereta.
“Tak payahlah pergi, buang duit aje. Sakitnya pun sikit aje ni,” rungut tok wan.
“Okey, kalau tok wan tak nak klinik swasta, kita pergi aje ke klinik kerajaan, tapi jenuhlah menunggu.”
“Tak yah Siti, tok wan dah sedap badan dah ni, dah tak ada rasa demam lagi.” Pandai saja tok wan beri alasan.
“Tak ada, tak ada. Tok wan kena pergi jugak. Alang-alang Siti pun dah cuti. Lagipun tok wan demam kebah demam kebah dan batuk dah lama dah ni. Sekejap-sekejap aje okeynya. Malam nanti datang ler balik tu. Bahaya tok wan kalau tak check. Kesian  Siti tengok, dan tak tau nak tolong macam mana bila tok wan diserang batuk, nungap dan lelah benar rupanya. Karang kalau terjadi apa-apa pada tok wan, Siti jugak yang susah.”
“Yalah yalah… tapi sekejap aje tau!” Akhirnya tok wan setuju juga, setelah menung dan berfikir sejenak dengan pandangan yang diberikan oleh cucunya. Lapang dada Siti Ajira atas persetujuan neneknya itu.
“Jom! Tak perlu apa siapnya. Pakai aje tudung tu.” Siti Ajira memimpin tok wannya yang berkain batik melangkah masuk ke dalam kereta. Bila tok wan dah kelihatan sedia dan selesa di tempat duduknya, tanpa berlengah berdesup Siti Ajira melarikan Proton Wiranya menuju ke Bandar Tanah Merah.
Proses rawatan bersama doktor tidak mengambil masa lama kerana Siti Aijra membawa tok wannya ke klinik swasta yang berada di pekan tersebut. Biarlah keluar duit sikit, janji tok wannya selesa dan tak bosan menunggu.
“Tok wan macam mana, okey ke?” tanya Siti Ajira sebaik saja memimpin tok wannya keluar dari bilik rawatan.
“Bolehlah! Harap-harap lepas kena cucuk ni, tok wan sihat.” Tok Wan Limah menggantung harap dengan asbab cucuk dia memperolehi kesihatan yang baik.
“Insya-ALLAH tok wan… kita hanya mampu ikhtiar. ALLAH yang tukang sembuh,” sahut Siti Ajira.
“Siti, Siti, tok wan rasa nak pergi pasarlah. Dah lama benar tok wan tak ke sana. Rasa rindu pulak tok wan pada gerai dan kawan-kawan kat pasar tu,” luah Tok Wan Limah. Aik, tiba-tiba bersemangat ler pulak ler tok wan ni. Apa hal. Ubat dah berjalan ler agaknya tu.
“Hmm…tapi tok wan kan, sakit. Boleh ke berjalan ke tempat ramai orang macam tu?” Risau Siti Ajira dengan permintaan tok wannya.
“Boleh… Insya-ALLAH! takyah risau. Kita jalan ler perlahan-lahan. Siti pimpinlah tok wan elok-elok.” Keras betul semangat tok wan. Siti Ajira menggaru kepala. Tadi bukan main lagi ‘cinta’nya nak keluar rumah.
“Tok wan, kita pergi lain kali boleh tak tok wan? Bila tok wan dah betul-betul sihat,” cadang Siti Ajira.
“Kenapa, Siti malu nak pimpin tok wan ke?” Jauh hati tok wan dengan keengganan cucunya itu.
“Tak… bukan macam tu. Kalau setakat pimpin tu tak ada apa masalahnya, malah dukung tok wan pun Siti sanggup. Tapi masalahnya, kesihatan tok wan tu yang membuatkan Siti tak berapa sedap hati. Kan, doktor tadi pun dah suruh rehat. Karang jadi apa-apa, kan susah,” beritahu Siti Ajira dengan muka tak setujunya.
“Yalah, tau… tok wan selalu menyusahkan Siti.” Rajuk Tok Wan Limah.
“Laa, ke situ pulak sudahnya. Orang cakap lain. Okeylah, kalau tok wan nak pergi juga, biar Siti pergi beli kerusi roda kat farmasi depan sana tu. Tok wan tunggu sini.” Tak tahan Siti Ajira melihat kelaku tok wannya yang mudah sangat tersentuh. Selalunya pun macam tulah. Rapuh sangat emosinya sejak kebelakangan ini.
“Jangan lama-lama sangat tau!”
“Ya, tok wan tunggu aje kat dalam kereta. Siti pergi kejap aje. Jangan nak keluar merayap-rayap pulak,” pesan Siti Ajira sungguh-sungguh.
“Baiklah,” jawab Tok Wan Limah.
“Assalamualaikum!” Tiba-tiba saja suara parau memberi salam di belakang Siti Ajira bersama enjin motor plate siam yang dimatikan. Dia menoleh pantas, kemudiannya terbahak kuat sebelum menjawab salam.
“Waalaikumussalam! Apa mimpi kau?” Ketawa Siti Ajira belum tamat.
“Mimpi apa di siang hari?” Gee bertanya hairan.
“Yalah, tiba-tiba aje terkeluar suara jantan kau. Terkejut aku. Ingatkan abang macho soldadu mana yang nak mengorat aku.” Siti Ajira masih ketawa. Gee mula menarik muka. Sentaplah tu. Tak ada keroje lain.
“Tok wan apa khabar?” Gee memaniskan mukanya semula bila dia bertanya khabar dengan tok wan.
“Ha, kau rupanya Pozie, dari mana tadi?” tanya Tok Wan Limah pada kawan baik cucunya sejak kecil yang bernama Mohd Fauzi anak kepada Pak Su Seleme.
“Dari kedai barang-barang pengantin, tok wan.”
“Kenapa, kau dah nak kahwin ke?” tanya tok wan yang lawak bunyinya. Kuat Siti Ajira ketawa.
“Taklah tok wan. Saya datang cari bahan-bahan nak buat gubahan hantaran,” jawab Gee yang tak terasa pun dengan gurauan tok wan.
“Banyak ke dapat tempahannya?” tanya tok wan lagi.
“Bolehlah tahan tok wan. Alhamdulillah… setakat ini berbaloilah jugak. Nak berniaga macam Jira saya tak reti.”
“Baguslah, kau dah ada kerja yang nak dibuat, tapi sayang… kenapalah kau tak jadi lelaki keras macam orang lain. Kalau tak senanglah tok wan kahwinkan aje Siti ni dengan kau. Senang sikit hati tok wan, bila tok wan dah tak ada nanti,” ucap Tok Wan Limah tanpa perasaan belas.
“Eeeii… tok wan. Apa ni? Nak suruh saya kahwin dengan budak debab bambam ni? Tak naklah saya. Biarlah tak kahwin sampai bila-bila pun.” Cepat saja Gee yang perasan lawa itu melatah.
“Eh, cicak kubing telinga lebor, tolong sikit erk! Kau ingat aku teringin ke nak berkahwin dengan kau? Simpang 4 malaikat 44, janganlah ianya terjadi?” Panas telinga Siti Ajira bila disebut debab bambam walaupun hakikatnya itulah dirinya yang sebenar.
“Dah, tak payah nak bergaduh. Tok wan baru cakap sikit aje, korang pulak nak berlebih, apa hal! Sakit telinga tok wan dengar kau orang bertekak, tau!” tegur Tok Wan Limah.
“Tok wan, sebenarnya saya dan Jira ni dah macam adik- beradik. Tok wan pun tau bagaimana rapatnya kami, kan! Boleh berkongsi rahsia dan derita. Kadangkala adik-beradik sendiri pun belum tentu rapat macam kami. Saja-saja aje bikin kecoh sikit. Rileklah tok wan,” balas Pozie.
“Ya, tok wan tau. Tapi kau tu lelaki, dan Siti ni perempuan. Tak elok di pandangan orang, kalau asyik dok berkawan aje sepanjang masa. Kau orang berdua tu dah dewasa. Dah besar panjang pun. Dah boleh jadi emak budak dan bapak budak, reti?”
“Lantaklah tok wan orang nak cakap apa, yang pentingnya kami tau batasan agama.” Pandai Gee berhujah. Siti Ajira senyum aje, takut dia nak mengiyakan hujah sahabatnya itu.
“Eh, Gee. Alang-alang kau dah ada kat sini. Kau tunggu tok wan jap ya, aku nak pergi belikan wheelchair untuk dia kat farmasi depan tu ha,” pinta Siti Ajira yang baru teringat pasal kerusi roda yang ingin dibelinya tadi.
“Yalah! Kau pergilah. Cepat sikit, okey,” arah Gee.
“Tak payahlah Siti. Tok wan rasa dah nak baliklah. Lain kali ajelah kita singgah kat pasar tu.” Tegas sekali arahan tok wan.
“Kenapa tak jadi?”
“Tok wan rasa penatlah, rasa nak berehat.”
“Yalah, kalau itu yang tok wan nak, Siti ikut aje. Jomlah kita balik,” sahut Siti Ajira lega. Memang tak sepatutnya tok wan nak ronda-ronda pasar tempat dia berniaga dulu tu. Terkenang atau rindu macam mana sekali pun, kesihatan perlu diutamakan.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       
                                                                                       











SENGAL PUNYA MAMAT BAB 2

                                         BAB 2   

KELENTANG-kelentung bunyi sudip berentap dengan kuali gamat memenuhi ruang dapur yang berjelaga. Tukang laganya pula ligat bergerak, berpusing ke kiri dan ke kanan, merencah, merencana, mengawal dan akhirnya terhasillah apa yang dipesan. Beres, pantas hidangan panas ala masakan Thai disiapkan satu per satu. Paprik, daging masak merah, puyuh halia dan lain-lainnya berderet sudah di atas meja, sedia untuk diedarkan.
“Kimi, teh O ais limau satu!” pinta Siti Ajira kuat. Tangannya ligat menyenduk dan mengacau benda yang ada di dalam kuali.
“Siap chef!” Kimi melaung balas.
“Mana… kalau dah siap, cepatlah hantar. Aku dah nak terbakor ni,” arah Siti Ajira.
“Kau ni tak menyempat. Jenis tak reti nak bersabar langsung. Kalau kahwin ni, pasti tok laki lari tau,” kata Kimi sambil meletakkan teh O limau ais yang dipesan.
“Banyaklah kau punya laki. Kau yang terhegeh-hegeh tu kalau aku ketuk dengan senduk ni, langsung kena badi tak mau berbini tau,” balas Siti Ajira sambil ketawa. Samad yang sedang masak di sebelahnya juga turut ketawa.
“Kau ketuk kepala dia buat apa. Lebih baik kau ketuk aje kepala bos kita yang romeo tu. Biar dia terencat, langsung tak ada cita-cita nak kahwin dua,” celah Samad.
“Erm… Cantik jugak idea kau tu. Aku setuju sangat laa. Nanti dia datang kita pakat ketuk sama-sama, ya! Ko tau, tadi punya ler bengap, Si Zahar tu buat tak layan jer dengan apa yang aku cakap. Tak respek, bengang aku jadinya tau,” rungut Siti Ajira.
“Hai, syok mengumpat nampak,” tegur Ali yang baru masuk menghantar slip order.
“Mana tak mengumpat, kalau hati dah bengang,” sahut Siti Ajira.
“Apa yang buat kau bengang sangat?” Sibuk pulak si Ali ni nak tau.
“Ada ke aku nak mintak cuti emergency malam ni, bos Zahar lonjong kau tu buat derk aje tak kasi. Bengkek aku tau, dahlah tok wan aku tak sihat,” beritahu Siti Ajira.
“Memang patut pun Abang Zahar tu tak bagi. Kau tengok ajelah order yang masuk ni. Berderet-deret yong. Kalau kau tak ada, kesian Samad, mau tercabut tangan dia nak menyelesaikan order yang banyak ni,” jelas Ali. Samad menyengih setuju, sambil beraksi menyiapkan menu seterusnya.
“Kenapa ler pulak ramai sangat pelanggan malam ni hah?” rungut Siti Ajira.
“Aleh… macam tak biasa ler pulok. Inikan awal bulan, mestilah berduyun-duyun. Inilah masanya mau kasi nikmati duit yang ada,” jawab Ali, kemudian dia melangkah keluar dari ruang dapur.
“Ya tak ya jugak ya! Lupa pulak aku. Kalau tengah bulan, barulah lengang sikit ya.” Akur Siti Ajira. Dia terus menarikan senduk dan sudipnya kembali setelah berhenti seketika untuk minum teh limau.
“Kuat ke tok wan kau demam?” tanya Samad yang simpati dengan nasib kawan sedapurnya.
“Demam orang tua… macam tulah. Kesian aku dengan tok wan aku tu. Ada anak, tapi anak-anak tak boleh memberikan kebahagiaan. Menyusahkan dia lagi adalah,” rungut Siti Ajira bersama ‘kelentang-kelentung’ senduk dan kuali.
“Hmm… dah nasib dan bahagian dialah tu agaknya. Redha aje ler Jira.” Samad cuba meredakan emosi Siti Ajira. Dia tahu, kalau Siti Ajira bercerita pasal anak-anak tok wannya, pasti angin gadis itu akan bertiup kencang.
“Mungkin juga salah tok wan aku.” Terkeluar rasa ralat dari mulut Siti Ajira.
“Maksud kau?”
“Bukan apa, dulu waktu anak-anaknya sedang membesar, tok wan aku selalu ikut aje kehendak anak-anaknya. Apa saja anak-anaknya nak, semuanya dibelikan. Manjakan sangat, itulah padahnya. Nak marah-marah jauh sekali. Sayang tak kena gaya. Sekarang tengok… dah ‘melemak’ kata orang. Bila tok wan sakit, sorang pun tak nampak muka,” rungut Siti Ajira lagi.
“Takkanlah macam tu sekali?”
“Itulah ceritanya. Nasib baiklah emak aku duduk kat kampung ni jugak. Dapatlah dia nengok-nengokkan tok wan aku tu. Itupun dalam keadaan curi-curi dari pengetahuan laki mala’un dia. Yang ni pun satu hal. Kalau terserempak, habis emak aku dibalunnya,” cerita Siti Ajira.
“Kasihan juga nasib emak dan tok wan kau ni,” kata Samad.
“Macam tulah nasib perempuan. Tak habis-habis dirundung malang,” jawab Siti Ajira.
“Bukan malanglah Jira, tapi wanita-wanita hebat yang diberi kecekalan dan kuat menghadapi ujian,” tutur Samad.
“Apa-apa ajelah… Lebih kuranglah tu Mad.”
“Dah lama ke pak ngah kau tu tak balik kampung?”
“Dah lama jugak. Adalah dalam tiga empat tahun.”
“Mak… lamanya. Apa dibuatnya kat Kolumpur tu?
“Heh, ko tanya buat apa, orang bisnes besar mestilah sibuk 24 jam. Celik aje mata ingat duit. Ingatan pada emak yang dah tua langsung tak ada. Inilah jadinya. Ujian kayalah yang paling nabi takut menimpa umatnya.”
“Ish… ini dah kira si Tanggang milinieum dah ni. Apalah agaknya yang dia fikir ya! Nak jenguk emak sekejap pun tak sempat.” Samad juga tak puas hati.
“Entahlah, aku pun pelik dibuatnya. KL tu bukan jauh mana pun. Lima enam jam sampailah kat kampung kita ni. Luar negara yang beribu batu sana tu boleh pula pergi,” marah Siti Ajira lagi.
“Biasalah Jira. Orang lama-lama kata, kalau nak seribu daya, tak nak seribu dalih.” Cantik dan kena sekali peribahasa yang diungkapkan oleh Samad.
“Betul kata kau Mad. Aku, kalaulah anak-anak aku buat macam tu kat aku. Tau ler aku nak membuatnya. Aku dera dia orang suruh cari kayu api, basuh pinggan mangkuk dan periuk belanga. Macam orang ‘dolu-dolu’ buat. Biar padan muka dia orang. Lantak ler pangkat tinggi dan gaji besor pun.” Semangat Siti Ajira bercakap. Samad mula ketawa.
“Aik! Ada hati ke kau nak kahwin Jira? Selalunya kau tetap dengan prinsip kau yang tak akan berkahwin sampai bila-bila tu.” Samad tetap ketawa. Siti Ajira menyengih, terkenangkan prinsip hidupnya yang dilaungkan selama ini.
“Alah… manalah tau, takdir ALLAH, ‘kot-kot’ kata orang. Tapi kalau ikut rasa dan perasaan aku sekarang dan sebelum ini, kerat 18 pun aku tak nak kahwin. Sebabnya bagi aku lelaki ni semua menyusahkan.”
“Jangan konfiden sangat dengan perasaan kau tu. Kau belum kenal lagi erti cinta, Jira. Entah-entah bila dah jumpa dengan orang yang kau suka. Tak menyempat-nyempat kau nak bernikah. Gelenyar semacam jadinya.”
“Hoi Mad, itu sudah ‘lebeh’! Dah teringin nak pakai spot light kat dahi tu ke? Kalau berhajat, boleh aku ketuk dengan senduk ni. Biar bagus punya benjol?” marah Siti Ajira.
“Hii… kau ni Jira, garang sangatlah! Gurau sikit pun tak boleh. Patutlah tak ada orang nakkan kau.” Samad membakar lagi.
“Ada aku ‘keysah’? Aku pun tak teringin nak berlaki. Orang jantan ni semuanya sama aje. Tak berjenis, dan tak tahu erti tanggungjawab.” Tuduhan melulu Siti Ajira membuatkan Samad hangat hati. Tak habis-habis dengan prejudis.
“Eh, sudahlah Jira. Hadapilah kenyataan. Kau ingat semua orang lelaki kat kampung ni sama dengan perangai bapak tiri kau tu ke?”                                                                                                        
“Lantaklah, yang pentingnya persepsi aku terhadap lelaki tak berubah. Semuanya sama saja, tak boleh diharap,” kata Siti Ajira tanpa menghiraukan perasaan temannya.
“Hoii, kau orang tak habis-habis lagi ke bersembang? Patut ler customer kat luar merungut lambat,” sergah Ali yang datang menghantar pesanan baru.
“Mata kau dah rabun ke, sampai tak nampak kami tengah buat apa?” marah Siti Ajira pada Ali yang suka sangat mencelah cakap orang.
“Memanglah kau tengah memasak, tapi kau buat kerja sambil menyembang. Itu yang melambatkan pergerakan,” hujah Ali.
 “Sedap aje kau bercakap ya! Kau ingat kami ni robot ke apa? Boleh guna gear lima, speed memanjang? Kalau kau nak rasa, mari sini ganti tempat aku. Biar aku pula yang keluar ambil order.” Hangin terus Siti Ajira bila melayan cakap Ali. Tak padan dengan kurus, tau pulak nak cakap banyak. Ali hanya tersengih-sengih kegerunan.
“Dahlah, blah blah, keluar… Taulah kami buat kerja kami,” halau Samad. Kadangkala dia juga geram dengan Ali mulut ‘lembek’ ni. Selalu saja nak bossy dan menyibuk hal orang.
Bila Ali keluar, tangan Siti Ajira terus kembali rancak dengan tarian senduk dan sudipnya hinggalah ke pertengahan malam. Gerai Selera Thai sudah hendak ditutup, dia seperti rakan-rakannya yang lain mula bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Terasa badannya terlalu penat, dan dia perlu mendapatkan rehat yang secukupnya, kerana sebelum subuh dia perlu bangun untuk melakukan rutin hariannya seperti biasa.