NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Tuesday, June 9, 2015

SENGAL PUNYA MAMAT Bab 1

                                        BAB 1
USAI solat Subuh, Siti Ajira mula melakukan rutin paginya. Dia ligat di dapur untuk menyiapkan sarapan dan makan tengah hari untuk tok wannya. Manakala tok wan seperti biasa masih lagi berdoa, berzikir dan mengaji al-Quran di bilik suluknya sementara menunggu masuk waktu Dhuha. Setelah segalanya selesai, Siti Ajira akan bersiap-siap pula untuk ke pasar bagi melaksanakan tugas hariannya sebagai peniaga sayur.
 “Tok wan, Siti pergi dulu! Lepas ni sarapan tau. Nanti masuk angin perut tu. Lepas tu, jangan lupa makan ubat. Rehat, jangan pandai-pandai nak buat kerja rumah pulak. Tok wan duduk dan rehat di anjung tu, baca perukun tu kalau dah bosan,” pesan Siti Ajira sebaik saja dia menyalami tangan tok wannya.
“Yalah Siti, baik-baik pergi tu. Jangan bawa kereta laju-laju, bahaya,” nasihat Tok Wan Limah pada cucu kesayangannya.
“Baiklah tok wan. Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam,” jawab Tok Wan Limah sambil melepaskan pandangan pada Siti Ajira yang mula melangkah keluar. Siti Ajira perlu cepat sampai ke pasar borong. Kalau tidak susah nak dapat parking. Kereta Wira coklat 1995nya walaupun dah nampak uzur, tapi kena juga diletakkan dengan elok, barulah tidak mengamuk pengguna lain.
Sebaik saja selesai Siti Ajira memborong segala benda yang hendak dijual, dengan pantas dia memunggah barangan yang dibelinya itu ke dalam kereta dan terus laju menuju ke Pasar Besar Tanah Merah, lokasi di mana hari-hari dia bertarung nasib bersama-sama dengan peniaga lain untuk mencari rezeki. Rutinnya bila sudah berada di gerainya, dia akan mengatur dan menyusun barang-barang dagangannya itu sebelum pelanggan terawalnya tiba.
“Wah… cepatnya kau sampai Siti,” tegur peniaga sebelah, bila melihat Siti sudah pun bersiap sedia untuk bermuamalat.
“Biasalah Mak Cik Nah. Saya bukannya ada anak sekolah yang nak diuruskan, sebab tu boleh datang awal,” jawab Siti Ajira dengan senyum.
“Bagus kau ni Siti, muda-muda dah tekun berniaga.”
“Alah… apalah sangat bagusnya Mak Cik Nah, jual sayur dan ulam-ulam jer. Tak ada orang heran pun. Lain ler jual beras macam Mak Cik Nah,” sahut Siti Ajira sambil ketawa.
“Eh, adalah berniaga juga namanya tu, kan! Hah, ikut sunah lagi. Mula-mula memanglah kecil-kecilan dulu, nanti bila kau dah lama, berani mengorak langkah, tak mustahil kau akan berjaya dan boleh jadi lebih maju.” Itulah kata-kata perangsang yang selalu Mak Cik Nah bagi pada Siti Ajira, bila mereka berbicara pasal masa depan dalam perniagaan.
“Yalah tu Mak Cik Nah, mau ke berniaga macam ni boleh jadi kaya-raya?”
“Ish… apa pulak tak maunya. Jangan cakap macam tu Siti, keberkatan dan keluasan tu sentiasa ada kalau kita ikhlas. ALLAH yang meluaskan rezeki kita,” hujah Mak Cik Nah lagi. Siti Ajira hanya menyengih.
“Terima kasihlah Mak Cik Nah. Selalu nasihatkan saya.”
“Sama-sama. Sebenarnya mak cik suka tengok sikap kamu. Baik, rajin, sopan, bertimbang rasa, suka tolong orang dan macam-macam lagilah. Susah nak cari jenis macam kamu sekarang ni. Kalaulah mak cik ada anak lelaki, dah lama mak cik pinang kamu untuk buat menantu,” seloroh Mak Cik Nah lagi.
“Ha, dah ke situ pulok mok cik ni! Ada-ada ajelah mak cik ni.”  
“Betul Siti, untunglah siapa yang dapat bermenantukan kamu, serba-serbi molek,” ulas Mak Cik Nah lagi.
“Hisy, Mak Cik Nah ni, sapelah yang nakkan saya ni, dahlah selekeh, ‘tembum,’ rupa pulak tak ada.” Siti Ajira ketawa. Luculah Mak Cik Nah ni, nak memuji pun biarlah berpada.
“Eh Siti, tok wan kamu apa cerita? Dah lama mak cik tak jumpa dia.”
“Hurm, macam tulah Mak Cik Nah… sakit lututnya mana mahu diubat, dah macam-macam cuba, tak juga mahu sembuh,” cerita Siti Ajira.
“Sabar ajelah Siti, belum bertemulah tu. Semua itu ujian ALLAH.”
“Yalah mak cik, ALLAH selalu menguji saya dengan macam-macam.” Siti Ajira membuang pandangannya ke hadapan. Ada benda yang sedang bermain di fikirannya.
“Itu tandanya ALLAH sayang dan cintakan kau Siti, supaya nanti dalam keadaan apa pun kau tak akan lupakan DIA. Selalu mengadu dan minta tolong dari NYA, insya-ALLAH lapang dada kita.”
“Insya-ALLAH Mak Cik Nah saya tak akan lupa, dan saya tahu ALLAH sentiasa bersama-sama saya,” janji Siti Ajira.
“Lagi satu Siti, orang yang selalu diuji ni biasanya jiwanya keras, semangatnya mantap, kerjanya kuat dan dia tidak hanya berharap dan bergantung pada makhluk semata-mata, malah hubungannya dengan penciptanya juga akrab. Jadi pada pengamatan mak cik kamu ni ada ciri-ciri itu. Mak cik harap kamu nanti benar-benar jadi seorang yang hebat.” Siti Ajira hanya tersenyum. Pandai betul Mak Cik Nah berkata-kata, macam luahan seorang ustazah ler pulok. Itulah lebihnya orang tua-tua kita ni, cukup kaya dengan ilmu. Wajar sangat kita hormati mereka dengan ilmu yang mereka ada.
“Insya-ALLAH… mudah-mudah masin mulut Mak Cik Nah. Eh mak cik, nanti sambung sembang lagi ya! Tu ada orang nak beli sayur,” beritahu Siti Ajira bila ada pelanggan yang datang dan terus memilih-milih tomato di gerainya. Itulah Siti Ajira, peniaga sayur yang paling muda di Pasar Awam Tanah Merah. Seorang gadis yang rajin dan gigih mencari rezeki serta murah dengan senyuman.
“Hi Jira, how are you today?” Sergah satu suara gedik pelik yang amat dikenali, tatkala dia sedang membongkok membersih dan menyusun barang-barang jualannya.
“Ya ALLAH kau Gee, terkejut aku tau tak! Lain kali bagi ler salam,” marah Siti Ajira dengan gelagat sahabat baiknya.
Sowey… aku memang sengaja nak buat kau marah, sebab kalau kau marah muka kau nampak comel, cute gitu,” kata Gee bersama bahasa tubuhnya yang melentuk-liuk. Kemudian ketawa dengan suaranya yang terkepit-kepit.
“Banyak ko punya kiut-miut. Kau nampak taugeh dalam besen tu tak? Karang tak pasal-pasal taugeh tu menghiasi kepala kau yang bergel tu,” usik Siti Ajira.
“Eeeiii… tak suka, tak rela I.” Alah getiklah pulak aku nengok spesies Mat Nah ni. Tak habis-habis nak gediknya.
“Ha… tau takut, kau datang sini buat apa?” tanya Siti Ajira sambil ketawa.
“Apa lagi, aku pergi kedai bungalah nyah oii. Cari barang-barang aku yang dah run out,” jawab Gee.
“Banyak ke tempahan?”
“Mesti ler, inikan dah nak cuti sekolah. Ramailah teruna dara yang nak langsungkan perkahwinan, kan! Alhamdulillah, hingga setakat ini, tak menang tangan aku dibuatnya,” cerita Gee sambil tangan lembutnya menumbuk-numbuk angin tanda lenguh. Siti Ajira ketawa lagi.
“Baguslah kalau macam tu. Nampaknya cepatlah kau kaya,” kata Siti Ajira.
“Kau sindir aku ya?” Muka Gee mula ketat. Terasalah tu. Siti Ajira buat tak peduli sebab ada pelanggan yang datang membeli dan kemudiannya pergi.
“Laa, bila pulak aku menyindirnya? Aku berdoa untuk kau adalah. Dahlah jangan nak sentap, burok nor, menyampah aku tengok muka ketat kau tu.”
“Aku tahulah kau tak suka aku buat kerja-kerja macam ni.” Nada suara Gee mula menurun seolah-olah jauh hati dengan perli sahabatnya itu.
“Aku bukan tak suka kau buat segala kerja gubahan bunga dan hantaran bagai tu. Lantaklah… dah kerja itu yang kau tau buat. Tapi, yang aku tak berkenannya ialah movement spesies lembik melekat  kau tu. Kau faham maksud aku, kan?” tanya Siti Ajira.
“Alah cakap ajelah sotong…” Cemberut Gee makin kuat.
“Ha, tau pun kau, sedar pun kau, tau takpe. Tolong la beb, kalau boleh aku nak kau jadi keras seperti lelaki maskulin, boleh? Tak payah nak tergedik-gedik hidup dalam dunia Mat Nah kau tu,” marah Siti Ajira.
“Dunia Mat Nah. Apa benda tu?” tanya Gee. Tak pernah dia dengar pun istilah tu selama ini.
“Mat Nah tu, mamat plus minah. Macam kaulah! Tersepit dalam kecelaruan identiti. Masa zaman sekolah dulu, tak adalah teruk sangat macam ni. Dah berumur ni pulak lembut semacam aje aku tengok,” belasah Siti Ajira. 
“Alah Jira, dah ditakdirkan aku macam ni, sukakan gubahan, bunga-bungaan dan alat-alat make up. Nak buat macam mana, dah itu kehendak dan rangsangan naluri aku. ‘Lembut’ aku bukannya banyak mana pon, suam-suam kuku jer, itu pun nak kecoh.” Pandai aje Gee menjawab.
“Yalah, sikit tak sikit, jangan sampai suatu hari nanti kau pakai baju kurung siap dengan ber‘gencu’ dah. Andainya suatu hari aku terserempak kau jadi macam tu. Siap kau! Aku pelengkung kau dengan batang kangkung ni.” Ugut Siti Ajira dengan ketawa yang berjela. Gee juga ketawa. Itulah mereka, siap kutuk mengutuk yang kemudiannya ketawa mengekek sama-sama.
“Gee, ko balik ni lalu tak depan rumah emak aku?” tanya Siti Ajira setelah puas ketawa.
“Eh nyah, dah berapa lama ko dok sekampung dengan aku? Kalau aku tak lalu depan rumah emak kau, mana lagi jalan yang aku boleh lalu. Atas udara? Cakap ajelah kau tu nak mengirim barang,” jawab Gee siap dengan gerak tangan tentacles gitu. Menyampah Siti Ajira menengoknya. Sengaja aje dibuatnya, siap dengan ketawa lagi. Memang tak makan nasihat.
“Yalah, sementelah ko lalu, aku nak kirimlah barang sikit. Kau tolong tunggu gerai aku sekejap. Aku nak pergi beli lauk-pauk dan apa-apa yang patut untuk emak aku jap. Belum pun sempat Gee mengata dan membalas cakapnya, Siti Ajira dah lesap. Sebentar kemudian dia datang dengan jari yang penuh bersangkut dengan jabir plastik. Mengalahkan pergi pasar Ramadan.
“Eh Jira, banyaknya… macam mana aku nak bawak ni. Aku datang naik motor aje,” beritahu Gee dengan mulut sotong yang mula dijongketkan.
“Kau tak bawa kereta ke! Kenapa kau tak cakap awal-awal?”
“Kau tu yang tak menyempat. Belum habis lagi aku nak respons, kau dah berdesup. Ngalahkan ‘Suparman’. Tak kuasa aku.
“Alah, kau bawa ajelah. Bukannya banyak mana pun,” suruh Siti Ajira. Gee mencebik, sambil tangan sotongnya meminta.
“Kenapa kau tak hantar sendiri aje lepas niaga nanti? Boleh jumpa dan tengok emak kau sekali.” Sengaja Gee nak dengar kata-kata yang bakal keluar dari mulut temannya.
“Takleh, tok wan aku demam, aku tak nak menyinggah mana-mana. Karang kalau jumpa emak aku lambat pulak jadinya aku sampai rumah,” terang Siti Ajira.
“Betul ke ni… atau kau sememangnya alergik nak menengok muka Pak Sahak kesayangan kau tu?”
“Erm… Itu pun ya. Sejak akhir-akhir ni bengkek dan menyampah betul aku bila menengok mukanya. Rasa nak belasah pun ada. Ikut tak sabor aku, dah lama kena orang tua tu. Biar dia tahu tanggungjawab dalam rumah tangga sikit. Ini tidak… buat sadin aje, merokok tak henti,” kata Siti Ajira geram, penuh emosi.
“Ko ni nyah, aku baru sebut sikit aje pasal Pak Sahak ko tu, tapi statement ko berjela yang keluar. Benci nor kau ngan bapa tiri kau tu ya!” Ketawa Gee.
“Yang kau ni pun satu, yang ko ‘cuit’ aku tu apa hal. Dah tau dia tu musuh aku, lagi mau tanya. Dahlah… lebih baik kau balik sekarang,” suruh Siti Ajira.
“Yalah, aku nak baliklah ni.” Gee mula beredar.
“Balik terus tau! Jangan nak menenggek kat mana-mana pulak. Nanti basi Bubur Butir Nangka kegemaran emak aku tu siapa nak jawab,” pekik Siti Ajira pada Gee yang sedang menuju laluan keluar.
“Yalah, aku taulah! Ini bukan kali pertama,” balas Gee. Senyum Siti Ajira melihat lenggang-lenggok Gee. Entah apalah nak jadi dengan kawannya yang seorang ini.





























No comments:

Post a Comment