NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Tuesday, June 9, 2015

SENGAL PUNYA MAMAT BAB3

                                      BAB 3

PAGI ini Siti Ajira tidak ke pasar dan berniaga seperti biasa. Cuti mengejut ini dibuat kerana tok wan demam dengan tiba-tiba. Sejak pukul 4.00 subuh lagi tadi tok wan mengerang. Suhu badannya panas, tapi anehnya dia minta diselimutkan dengan Toto. Siti tekad nak membawa tok wan ke klinik untuk mendapatkan rawatan, walaupun dia tahu lazimnya tok wan agak culas untuk dibawa ke sana. Perangai semula jadinya ini mengalahkan bebudak yang fobia dengan jarum dan bau ubat.
“Tak payahlah Siti, tok wan demam sikit aje,” tolak tok wan. Sama macam tadi juga alasan yang diberi.
“Tok wan, kita pergi sekejap aje, lepas tu kita baliklah.” Siti Ajira masih setia memujuk. Jenuh dia memujuk. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dia mencepung tubuh kurus tok wannya itu dan terus dibawa masuk ke dalam kereta.
“Tak payahlah pergi, buang duit aje. Sakitnya pun sikit aje ni,” rungut tok wan.
“Okey, kalau tok wan tak nak klinik swasta, kita pergi aje ke klinik kerajaan, tapi jenuhlah menunggu.”
“Tak yah Siti, tok wan dah sedap badan dah ni, dah tak ada rasa demam lagi.” Pandai saja tok wan beri alasan.
“Tak ada, tak ada. Tok wan kena pergi jugak. Alang-alang Siti pun dah cuti. Lagipun tok wan demam kebah demam kebah dan batuk dah lama dah ni. Sekejap-sekejap aje okeynya. Malam nanti datang ler balik tu. Bahaya tok wan kalau tak check. Kesian  Siti tengok, dan tak tau nak tolong macam mana bila tok wan diserang batuk, nungap dan lelah benar rupanya. Karang kalau terjadi apa-apa pada tok wan, Siti jugak yang susah.”
“Yalah yalah… tapi sekejap aje tau!” Akhirnya tok wan setuju juga, setelah menung dan berfikir sejenak dengan pandangan yang diberikan oleh cucunya. Lapang dada Siti Ajira atas persetujuan neneknya itu.
“Jom! Tak perlu apa siapnya. Pakai aje tudung tu.” Siti Ajira memimpin tok wannya yang berkain batik melangkah masuk ke dalam kereta. Bila tok wan dah kelihatan sedia dan selesa di tempat duduknya, tanpa berlengah berdesup Siti Ajira melarikan Proton Wiranya menuju ke Bandar Tanah Merah.
Proses rawatan bersama doktor tidak mengambil masa lama kerana Siti Aijra membawa tok wannya ke klinik swasta yang berada di pekan tersebut. Biarlah keluar duit sikit, janji tok wannya selesa dan tak bosan menunggu.
“Tok wan macam mana, okey ke?” tanya Siti Ajira sebaik saja memimpin tok wannya keluar dari bilik rawatan.
“Bolehlah! Harap-harap lepas kena cucuk ni, tok wan sihat.” Tok Wan Limah menggantung harap dengan asbab cucuk dia memperolehi kesihatan yang baik.
“Insya-ALLAH tok wan… kita hanya mampu ikhtiar. ALLAH yang tukang sembuh,” sahut Siti Ajira.
“Siti, Siti, tok wan rasa nak pergi pasarlah. Dah lama benar tok wan tak ke sana. Rasa rindu pulak tok wan pada gerai dan kawan-kawan kat pasar tu,” luah Tok Wan Limah. Aik, tiba-tiba bersemangat ler pulak ler tok wan ni. Apa hal. Ubat dah berjalan ler agaknya tu.
“Hmm…tapi tok wan kan, sakit. Boleh ke berjalan ke tempat ramai orang macam tu?” Risau Siti Ajira dengan permintaan tok wannya.
“Boleh… Insya-ALLAH! takyah risau. Kita jalan ler perlahan-lahan. Siti pimpinlah tok wan elok-elok.” Keras betul semangat tok wan. Siti Ajira menggaru kepala. Tadi bukan main lagi ‘cinta’nya nak keluar rumah.
“Tok wan, kita pergi lain kali boleh tak tok wan? Bila tok wan dah betul-betul sihat,” cadang Siti Ajira.
“Kenapa, Siti malu nak pimpin tok wan ke?” Jauh hati tok wan dengan keengganan cucunya itu.
“Tak… bukan macam tu. Kalau setakat pimpin tu tak ada apa masalahnya, malah dukung tok wan pun Siti sanggup. Tapi masalahnya, kesihatan tok wan tu yang membuatkan Siti tak berapa sedap hati. Kan, doktor tadi pun dah suruh rehat. Karang jadi apa-apa, kan susah,” beritahu Siti Ajira dengan muka tak setujunya.
“Yalah, tau… tok wan selalu menyusahkan Siti.” Rajuk Tok Wan Limah.
“Laa, ke situ pulak sudahnya. Orang cakap lain. Okeylah, kalau tok wan nak pergi juga, biar Siti pergi beli kerusi roda kat farmasi depan sana tu. Tok wan tunggu sini.” Tak tahan Siti Ajira melihat kelaku tok wannya yang mudah sangat tersentuh. Selalunya pun macam tulah. Rapuh sangat emosinya sejak kebelakangan ini.
“Jangan lama-lama sangat tau!”
“Ya, tok wan tunggu aje kat dalam kereta. Siti pergi kejap aje. Jangan nak keluar merayap-rayap pulak,” pesan Siti Ajira sungguh-sungguh.
“Baiklah,” jawab Tok Wan Limah.
“Assalamualaikum!” Tiba-tiba saja suara parau memberi salam di belakang Siti Ajira bersama enjin motor plate siam yang dimatikan. Dia menoleh pantas, kemudiannya terbahak kuat sebelum menjawab salam.
“Waalaikumussalam! Apa mimpi kau?” Ketawa Siti Ajira belum tamat.
“Mimpi apa di siang hari?” Gee bertanya hairan.
“Yalah, tiba-tiba aje terkeluar suara jantan kau. Terkejut aku. Ingatkan abang macho soldadu mana yang nak mengorat aku.” Siti Ajira masih ketawa. Gee mula menarik muka. Sentaplah tu. Tak ada keroje lain.
“Tok wan apa khabar?” Gee memaniskan mukanya semula bila dia bertanya khabar dengan tok wan.
“Ha, kau rupanya Pozie, dari mana tadi?” tanya Tok Wan Limah pada kawan baik cucunya sejak kecil yang bernama Mohd Fauzi anak kepada Pak Su Seleme.
“Dari kedai barang-barang pengantin, tok wan.”
“Kenapa, kau dah nak kahwin ke?” tanya tok wan yang lawak bunyinya. Kuat Siti Ajira ketawa.
“Taklah tok wan. Saya datang cari bahan-bahan nak buat gubahan hantaran,” jawab Gee yang tak terasa pun dengan gurauan tok wan.
“Banyak ke dapat tempahannya?” tanya tok wan lagi.
“Bolehlah tahan tok wan. Alhamdulillah… setakat ini berbaloilah jugak. Nak berniaga macam Jira saya tak reti.”
“Baguslah, kau dah ada kerja yang nak dibuat, tapi sayang… kenapalah kau tak jadi lelaki keras macam orang lain. Kalau tak senanglah tok wan kahwinkan aje Siti ni dengan kau. Senang sikit hati tok wan, bila tok wan dah tak ada nanti,” ucap Tok Wan Limah tanpa perasaan belas.
“Eeeii… tok wan. Apa ni? Nak suruh saya kahwin dengan budak debab bambam ni? Tak naklah saya. Biarlah tak kahwin sampai bila-bila pun.” Cepat saja Gee yang perasan lawa itu melatah.
“Eh, cicak kubing telinga lebor, tolong sikit erk! Kau ingat aku teringin ke nak berkahwin dengan kau? Simpang 4 malaikat 44, janganlah ianya terjadi?” Panas telinga Siti Ajira bila disebut debab bambam walaupun hakikatnya itulah dirinya yang sebenar.
“Dah, tak payah nak bergaduh. Tok wan baru cakap sikit aje, korang pulak nak berlebih, apa hal! Sakit telinga tok wan dengar kau orang bertekak, tau!” tegur Tok Wan Limah.
“Tok wan, sebenarnya saya dan Jira ni dah macam adik- beradik. Tok wan pun tau bagaimana rapatnya kami, kan! Boleh berkongsi rahsia dan derita. Kadangkala adik-beradik sendiri pun belum tentu rapat macam kami. Saja-saja aje bikin kecoh sikit. Rileklah tok wan,” balas Pozie.
“Ya, tok wan tau. Tapi kau tu lelaki, dan Siti ni perempuan. Tak elok di pandangan orang, kalau asyik dok berkawan aje sepanjang masa. Kau orang berdua tu dah dewasa. Dah besar panjang pun. Dah boleh jadi emak budak dan bapak budak, reti?”
“Lantaklah tok wan orang nak cakap apa, yang pentingnya kami tau batasan agama.” Pandai Gee berhujah. Siti Ajira senyum aje, takut dia nak mengiyakan hujah sahabatnya itu.
“Eh, Gee. Alang-alang kau dah ada kat sini. Kau tunggu tok wan jap ya, aku nak pergi belikan wheelchair untuk dia kat farmasi depan tu ha,” pinta Siti Ajira yang baru teringat pasal kerusi roda yang ingin dibelinya tadi.
“Yalah! Kau pergilah. Cepat sikit, okey,” arah Gee.
“Tak payahlah Siti. Tok wan rasa dah nak baliklah. Lain kali ajelah kita singgah kat pasar tu.” Tegas sekali arahan tok wan.
“Kenapa tak jadi?”
“Tok wan rasa penatlah, rasa nak berehat.”
“Yalah, kalau itu yang tok wan nak, Siti ikut aje. Jomlah kita balik,” sahut Siti Ajira lega. Memang tak sepatutnya tok wan nak ronda-ronda pasar tempat dia berniaga dulu tu. Terkenang atau rindu macam mana sekali pun, kesihatan perlu diutamakan.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       
                                                                                       











No comments:

Post a Comment