BAB
2
KELENTANG-kelentung
bunyi sudip berentap dengan kuali gamat memenuhi ruang dapur yang berjelaga. Tukang
laganya pula ligat bergerak, berpusing ke kiri dan ke kanan, merencah,
merencana, mengawal dan akhirnya terhasillah apa yang dipesan. Beres, pantas
hidangan panas ala masakan Thai disiapkan satu per satu. Paprik, daging masak
merah, puyuh halia dan lain-lainnya berderet sudah di atas meja, sedia untuk
diedarkan.
“Kimi, teh
O ais limau satu!” pinta Siti Ajira kuat. Tangannya ligat menyenduk dan
mengacau benda yang ada di dalam kuali.
“Siap
chef!” Kimi melaung balas.
“Mana…
kalau dah siap, cepatlah hantar. Aku dah nak terbakor ni,” arah Siti Ajira.
“Kau ni
tak menyempat. Jenis tak reti nak bersabar langsung. Kalau kahwin ni, pasti tok
laki lari tau,” kata Kimi sambil meletakkan teh O limau ais yang dipesan.
“Banyaklah
kau punya laki. Kau yang terhegeh-hegeh tu kalau aku ketuk dengan senduk ni,
langsung kena badi tak mau berbini tau,” balas Siti Ajira sambil ketawa. Samad
yang sedang masak di sebelahnya juga turut ketawa.
“Kau
ketuk kepala dia buat apa. Lebih baik kau ketuk aje kepala bos kita yang romeo
tu. Biar dia terencat, langsung tak ada cita-cita nak kahwin dua,” celah Samad.
“Erm…
Cantik jugak idea kau tu. Aku setuju sangat laa. Nanti dia datang kita pakat
ketuk sama-sama, ya! Ko tau, tadi punya ler bengap, Si Zahar tu buat tak layan
jer dengan apa yang aku cakap. Tak respek, bengang aku jadinya tau,” rungut
Siti Ajira.
“Hai,
syok mengumpat nampak,” tegur Ali yang baru masuk menghantar slip order.
“Mana
tak mengumpat, kalau hati dah bengang,” sahut Siti Ajira.
“Apa
yang buat kau bengang sangat?” Sibuk pulak si Ali ni nak tau.
“Ada ke
aku nak mintak cuti emergency malam ni, bos Zahar lonjong kau tu buat derk aje
tak kasi. Bengkek aku tau, dahlah tok wan aku tak sihat,” beritahu Siti Ajira.
“Memang
patut pun Abang Zahar tu tak bagi. Kau tengok ajelah order yang masuk ni. Berderet-deret
yong. Kalau kau tak ada, kesian Samad, mau tercabut tangan dia nak
menyelesaikan order yang banyak ni,” jelas Ali. Samad menyengih setuju, sambil
beraksi menyiapkan menu seterusnya.
“Kenapa
ler pulak ramai sangat pelanggan malam ni hah?” rungut Siti Ajira.
“Aleh…
macam tak biasa ler pulok. Inikan awal bulan, mestilah berduyun-duyun. Inilah
masanya mau kasi nikmati duit yang ada,” jawab Ali, kemudian dia melangkah
keluar dari ruang dapur.
“Ya tak
ya jugak ya! Lupa pulak aku. Kalau tengah bulan, barulah lengang sikit ya.” Akur
Siti Ajira. Dia terus menarikan senduk dan sudipnya kembali setelah berhenti
seketika untuk minum teh limau.
“Kuat
ke tok wan kau demam?” tanya Samad yang simpati dengan nasib kawan sedapurnya.
“Demam
orang tua… macam tulah. Kesian aku dengan tok wan aku tu. Ada anak, tapi
anak-anak tak boleh memberikan kebahagiaan. Menyusahkan dia lagi adalah,” rungut
Siti Ajira bersama ‘kelentang-kelentung’ senduk dan kuali.
“Hmm… dah
nasib dan bahagian dialah tu agaknya. Redha aje ler Jira.” Samad cuba meredakan
emosi Siti Ajira. Dia tahu, kalau Siti Ajira bercerita pasal anak-anak tok
wannya, pasti angin gadis itu akan bertiup kencang.
“Mungkin
juga salah tok wan aku.” Terkeluar rasa ralat dari mulut Siti Ajira.
“Maksud
kau?”
“Bukan
apa, dulu waktu anak-anaknya sedang membesar, tok wan aku selalu ikut aje
kehendak anak-anaknya. Apa saja anak-anaknya nak, semuanya dibelikan. Manjakan
sangat, itulah padahnya. Nak marah-marah jauh sekali. Sayang tak kena gaya. Sekarang
tengok… dah ‘melemak’ kata orang. Bila tok wan sakit, sorang pun tak nampak
muka,” rungut Siti Ajira lagi.
“Takkanlah
macam tu sekali?”
“Itulah
ceritanya. Nasib baiklah emak aku duduk kat kampung ni jugak. Dapatlah dia nengok-nengokkan
tok wan aku tu. Itupun dalam keadaan curi-curi dari pengetahuan laki mala’un
dia. Yang ni pun satu hal. Kalau terserempak, habis emak aku dibalunnya,”
cerita Siti Ajira.
“Kasihan
juga nasib emak dan tok wan kau ni,” kata Samad.
“Macam
tulah nasib perempuan. Tak habis-habis dirundung malang,” jawab Siti Ajira.
“Bukan
malanglah Jira, tapi wanita-wanita hebat yang diberi kecekalan dan kuat
menghadapi ujian,” tutur Samad.
“Apa-apa
ajelah… Lebih kuranglah tu Mad.”
“Dah
lama ke pak ngah kau tu tak balik kampung?”
“Dah lama
jugak. Adalah dalam tiga empat tahun.”
“Mak…
lamanya. Apa dibuatnya kat Kolumpur tu?
“Heh,
ko tanya buat apa, orang bisnes besar mestilah sibuk 24 jam. Celik aje mata ingat
duit. Ingatan pada emak yang dah tua langsung tak ada. Inilah jadinya. Ujian
kayalah yang paling nabi takut menimpa umatnya.”
“Ish… ini
dah kira si Tanggang milinieum dah ni. Apalah agaknya yang dia fikir ya! Nak
jenguk emak sekejap pun tak sempat.” Samad juga tak puas hati.
“Entahlah,
aku pun pelik dibuatnya. KL tu bukan jauh mana pun. Lima enam jam sampailah kat
kampung kita ni. Luar negara yang beribu batu sana tu boleh pula pergi,” marah
Siti Ajira lagi.
“Biasalah
Jira. Orang lama-lama kata, kalau nak seribu daya, tak nak seribu dalih.” Cantik
dan kena sekali peribahasa yang diungkapkan oleh Samad.
“Betul
kata kau Mad. Aku, kalaulah anak-anak aku buat macam tu kat aku. Tau ler aku
nak membuatnya. Aku dera dia orang suruh cari kayu api, basuh pinggan mangkuk
dan periuk belanga. Macam orang ‘dolu-dolu’ buat. Biar padan muka dia orang.
Lantak ler pangkat tinggi dan gaji besor pun.” Semangat Siti Ajira bercakap.
Samad mula ketawa.
“Aik! Ada
hati ke kau nak kahwin Jira? Selalunya kau tetap dengan prinsip kau yang tak
akan berkahwin sampai bila-bila tu.” Samad tetap ketawa. Siti Ajira menyengih,
terkenangkan prinsip hidupnya yang dilaungkan selama ini.
“Alah… manalah
tau, takdir ALLAH, ‘kot-kot’ kata orang. Tapi kalau ikut rasa dan perasaan aku
sekarang dan sebelum ini, kerat 18 pun aku tak nak kahwin. Sebabnya bagi aku
lelaki ni semua menyusahkan.”
“Jangan
konfiden sangat dengan perasaan kau tu. Kau belum kenal lagi erti cinta, Jira. Entah-entah
bila dah jumpa dengan orang yang kau suka. Tak menyempat-nyempat kau nak bernikah.
Gelenyar semacam jadinya.”
“Hoi
Mad, itu sudah ‘lebeh’! Dah teringin nak pakai spot light kat dahi tu ke? Kalau
berhajat, boleh aku ketuk dengan senduk ni. Biar bagus punya benjol?” marah
Siti Ajira.
“Hii…
kau ni Jira, garang sangatlah! Gurau sikit pun tak boleh. Patutlah tak ada
orang nakkan kau.” Samad membakar lagi.
“Ada
aku ‘keysah’? Aku pun tak teringin nak berlaki. Orang jantan ni semuanya sama aje.
Tak berjenis, dan tak tahu erti tanggungjawab.” Tuduhan melulu Siti Ajira
membuatkan Samad hangat hati. Tak habis-habis dengan prejudis.
“Eh,
sudahlah Jira. Hadapilah kenyataan. Kau ingat semua orang lelaki kat kampung ni
sama dengan perangai bapak tiri kau tu ke?”
“Lantaklah,
yang pentingnya persepsi aku terhadap lelaki tak berubah. Semuanya sama saja, tak
boleh diharap,” kata Siti Ajira tanpa menghiraukan perasaan temannya.
“Hoii,
kau orang tak habis-habis lagi ke bersembang? Patut ler customer kat luar merungut lambat,” sergah Ali yang datang
menghantar pesanan baru.
“Mata
kau dah rabun ke, sampai tak nampak kami tengah buat apa?” marah Siti Ajira
pada Ali yang suka sangat mencelah cakap orang.
“Memanglah
kau tengah memasak, tapi kau buat kerja sambil menyembang. Itu yang melambatkan
pergerakan,” hujah Ali.
“Sedap aje kau bercakap ya! Kau ingat kami ni
robot ke apa? Boleh guna gear lima, speed
memanjang? Kalau kau nak rasa, mari sini ganti tempat aku. Biar aku pula yang
keluar ambil order.” Hangin terus Siti Ajira bila melayan cakap Ali. Tak padan
dengan kurus, tau pulak nak cakap banyak. Ali hanya tersengih-sengih kegerunan.
“Dahlah,
blah blah, keluar… Taulah kami buat kerja kami,” halau Samad. Kadangkala dia juga
geram dengan Ali mulut ‘lembek’ ni. Selalu saja nak bossy dan menyibuk hal orang.
Bila
Ali keluar, tangan Siti Ajira terus kembali rancak dengan tarian senduk dan
sudipnya hinggalah ke pertengahan malam. Gerai Selera Thai sudah hendak ditutup,
dia seperti rakan-rakannya yang lain mula bersiap-siap untuk pulang ke rumah.
Terasa badannya terlalu penat, dan dia perlu mendapatkan rehat yang secukupnya,
kerana sebelum subuh dia perlu bangun untuk melakukan rutin hariannya seperti
biasa.
Selamat membaca. Tajuk ini sementara saja, sebab tak tahu editor suka ke tidak. Selalunya para editor yang tentukan. Kalau dia suka, kekallah dengan tajuk ni, kalau tak kita terima aje ya. Kalau diizinkan ALLAH , buku ni akan keluar hujung tahun 2015, sebab Ummu suka dan pilih hujung tahun.
ReplyDelete