BAB 4
SEMERBAK
bau nasi goreng Mak Leha menyerbu masuk ke lubang hidung Farhan tatkala dia
melangkah ke ruang dapur. Nasi goreng cili hijau bakar Mak Leha sememangnya
menjadi kegemaran Farhan dari dulu.
“Assalamualaikum
Mak Leha. Masak apa tu?” sergah Farhan yang datang perlahan-lahan di belakang
Mak Leha.
“Opocot,
emak kau meletop,” melatah Mak Leha seperti biasa apabila disergah. Farhan
ketawa.
“Bertuah
punya budak. Kalau tak mengusik Mak Leha tak boleh ke?”
“Alah…
usik sikit aje. Pa’an suka tengok Mak Leha melatah, macam comei jer.” Farhan
Ketawa lagi.
“Banyak
ler Pa’an punya comei. Pa’an jangan main-main. Karang Mak Leha terover melatah
dan terketuk kepala Pa’an dengan seduk ni baru tau. Biol… tak berbini kau
nanti, nak?”
“Memang
tak nak berbini pun. Perempuan ni semuanya sama saja Mak Leha. Buat menyemak
dan pening kepala aje.”
“Ops,
tak betul tu Pa’an. Pa’an tak boleh berpandangan prejudis seperti itu.
Takkanlah kerana seorang perempuan yang buat jahat dengan Pa’an, habis semua perempuan
Pa’an nak hukum. Tak betul tu, mana maunya macam tu Pa’an. Seekor kerbau yang
bawa lumpur, habis semuanya terpalit. Lagipun fitrahnya kita ni diciptakan
berpasang-pasangan.” Terkeluar lagi ayat-ayat berbisa yang biasa Farhan dengar
dari mulut Mak Leha yang memangnya pandai menyusun kata.
“Habis,
Mak Leha tu tak ada pun pasangan tak apa pulak?”
“Siapa kata
Mak Leha tak ada pasangan? Ada. Pa’an yang tak tau. Cumanya, dia dulu yang
pergi meninggalkan Mak Leha. Sebab itulah sampai sekarang Mak Leha tak
direzekikan bertemu jodoh dengan sesiapa. Ada ler hikmahnya tu. Insya-ALLAH kami
akan bertemu semula nanti di pintu syurga.” Bersungguh Mak Leha menjawab.
“Erm…
ya ler tu. Pandai ler Mak Leha. Mana Mak Leha tau. Kitab mana yang Mak Leha
baca,” usik Farhan.
“Ustaz
yang cakap,” ujar Mak Leha.
“Ustaz
mana?” tanya Farhan, seolah memberi tekanan.
“Alah
Pa’an… lain kali petang-petang tu rajin-rajin ler sikit tengok program ceramah kat
dalam TV tu, ini tidak… Doeremon dan Upin Ipin juga dihadapnya, mengalahkan
bebudak. Dah tu pandai pulak nak mempersoalkan cakap orang.” Berfakta dan yakin
sekali Mak Leha menjawab. Farhan hanya senyum. Tau malu.
“Yalah
yalah… Mak Leha menang.” Saja aje dia cuba menutup isu, supaya tak terus kena
bedal dengan Mak Leha.
“Mama
mana Mak Leha?” tanya Farhan, sambil matanya melilau-lilau mencari kelibat
mamanya.
“Dah
keluar pergi butik ler,” jawab Mak Leha.
“Awalnya
pergi. Selalunya 9.30 baru dia keluar.”
“Katanya
ada stok baru sampai,” jelas Mak Leha.
“Oh, ya
ke?”
“Mila
dah pergi kolej?” Farhan bertanya tentang adik perempuannya pula.
“Dah
pergi pun dengan kawannya.”
“Eh
duduklah sarapan, Mak Leha dah sediakan ni, nanti sejuk pulak Nescafe tu,”
suruh Mak leha.
“Baiklah.
Terima kasih Mak Leha,” ucap Farhan hormat.
“Ya, sama-sama.
Oh ya, tadi Puan ada pesan suruh beritahu Pa’an.”
“Pesan
apa?”
“Puan
cakap, dia suruh Pa’an balik awal sikit petang ini. Dia hendak Pa’an pakai
smart-smart. Kemudian katanya, jangan pulak berselemuih dengan minyak hitam
apabila sampai ke rumah nanti.” Mak Leha berjeda sambil melihat ke arah Farhan.
Kepalanya ligat memikir, nak ke budak ni ikut cakap mama dia?
“Kenapa
Mak Leha?” Farhan menepuk meja, mengejutkan Mak Leha yang telah terdiam
seketika.
“Aa,
aa… aku nak kawen, kau nak kawen. Kahwin… kahwin. Ish, ish kau ni…” Mak Leha
melatah sambil menggaru kepalanya yang bertudung litup.
“Dah,
dah! Siapa yang nak kahwin?” Farhan merendahkan suara.
“Sapa
lagi, Pa’anlah! Petang nanti mama Pa’an ada jemput Datin Ruby datang minum
petang kat sini.”
“Kenapa
Mak Leha, kat rumah dia dah tak ada serbuk kopi nak dibancuh ke?” Laju saja Farhan
memotong, tahu sangat dia dengan niat mamanya.
“Dak aeh,
sajalah Puan ajak Datin Ruby dan anak gadis dia tu mai sini, bolehlah
kenal-kenalkan dengan Pa’an. Manalah tahu kot-kot Pa’an berkenan,” cerita Mak
Leha telus.
“Hisy Mak
Leha, mama ni… tak habis-habis dengan pencarian calon menantunya. Rimaslah saya.
Dah tau saya tak nak kahwin, nak juga dipadan-padan,” marah Farhan.
“Uh…tak
baik Pa’an cakap lagu tu kat mama Pa’an. Setiap ibu yang melahirkan mestilah
nak tengok anak-anaknya berumah tangga, kemudian beranak-pinak dan hidup
bahagia. Ha, macam tulah jugak mama Pa’an. Jenuh, berbuih mulut dia suruh Pa’an
cari pasangan. Pa’an buat bodoh aje. Dah tu, biar ajelah dia yang cari.” Farhan
melihat ke arah Mak Leha yang selalu saja membela majikannya. Apa saja
majikannya cakap, semuanya, yes maam! Orait belaka, tak boleh genglah dengan
Mak Leha ni.
“Erm… dahlah,
saya pergi dulu,” pohon Farhan.
“Karang
macam mana, balik awal tak? Jangan lengah-lengah, nanti tak pasal Mak Leha yang
kena marah dengan Puan,” temberang Mak Leha. Dah tu ‘baek’ punya, siap buat
muka sedih seposen lagi.
“Ha, kenapa
pulak Mak Leha yang kena?”
“Nanti
mama Pa’an ingat Mak Leha dah lupa nak beritahu.”
“Mama
ni pun satu. Apa yang main-main pesan bagai. WhatsApp, kan ada. Hantar aje ler,”
rungut Farhan.
“Puan mana
ada masa nak main benda alah tu. Dia kan, sentiasa sibuk.”
“Mak
Leha ni asyik ‘nyokong’ mama ni apa hal. Tak guna teknologi untuk kemudahan pun
mama betul, apa citer!” tegur Farhan.
“Yalah…
dah dia tu majikan Mak Leha. Sendiri mau ingat. Mestilah kena sokong.” Senyum
Mak Leha. Farhan buat duck face.
“Assalamualaikum!”
Farhan mengucap salam sambil ketawa kecil sebelum beredar.
“Waalaikumussalam!
Macam mana?” tanya Mak Leha untuk kepastian.
“Macam
mana apanya?” Farhan hilang punca.
“Date dengan Datin Ruby dan anaknya lerrr?”
Mak Leha menyengih.
“Ya
ALLAH, tak habis lagi ke ‘story’nya?”
“Belum,
selagi Pa’an tak bagi kata putus,” sahut Mak Leha.
“Tengoklah
nanti, tak janji. Kalau ada, ada.” Naik malas Farhan nak melayan cakap Mak Leha
lagi.
“Tak
baik tau Pa’an, seorang anak mengecilkan hati ibunya. Apalagi mengecewakan perasaannya
yang terlalu mengharap. Karang tak cium bau syurga, sebab syurga itu di bawah
tapak kaki ibu.” Kata kunci terakhir dari Mak Leha telah menyentuh hati nurani
Farhan. Memang, pengorbanan seorang ibu tidak ternilai. Apa salahnya kalau kali
ini dia mengalah dengan kehendak mama?
“Yalah,
yalah… karang saya balik awal,” jawab Farhan yang selalu kalah kalau berjual
beli dengan isu syurga dan neraka.
“Ha,
macam tulah anak yang soleh, balasan pastinya syurga. Dah, cepat pergi kerja.
Nanti lambat pulak sampainya. Tau aje ler jalan jammed,” suruh Mak Leha dengan senyuman kemenangan.
“Sukalah
tu, dapat bodek majikan dia,” kata Farhan sambil berjalan keluar menuju ke
garaj. Mak Leha ketawa di muka pintu, melambaikan tangan pada anak majikannya
yang payah sangat nak dibuat padan.
FARHAN
menuju ke tempat kerjanya dengan perasaan yang tidak ceria dan sedikit
terganggu. ‘Karut betullah!’ luahnya perlahan sambil meneruskan perjalanan.
Trafik berjalan lancar, dan tidak berapa lama kemudian dia sampai di tempat kerja
tepat pada masanya.
Dari
pagi hingga ke petang Farhan berada di bengkel yang berkembar dengan kedai
aksesori yang juga menjadi miliknya. Tak sedar dia masa begitu cepat berlalu,
ditambah pula dengan ramai pulak customer yang datang untuk servis dan repair.
Bila dia melontarkan pandangannya dari bawah kereta ke arah jam dinding yang
tergantung di sudut bengkel, barulah dia sedar bahawa hari sudah lewat, dan
teringat ia akan janjinya pada Mak Leha.
Jarum
pendek sudah pun tercacak ke angka lima. Bermakna kalau dia bergegas sekarang
pun, sudah pasti dia akan lewat tiba. Farhan segera memanggil pekerjanya untuk
menyambung kerjanya yang masih belum beres. Setelah membersihkan tangannya dari
minyak hitam, lantas dia masuk ke pejabat, duduk menghadap handfonnya yang
berada dia atas meja. Ya ALLAH… mak datuk, melambak-lambak WhatsApp dan SMS
yang masuk. Semuanya dari mama dan Mak Leha. Dah tentu sekarang ini mama sedang
berbuih marah padanya yang tidak endah dengan janji.
Sebaik
saja dia selesai berkemas apa yang patut dan berpesan itu dan ini pada staf-stafnya,
Farhan menghidupkan keretanya terus mendesup laju menuju ke rumahnya yang
terletak di Damansara Height. Bila tiba di halaman rumah banglo mewah milik
keluarganya, Farhan memakir kereta Iswara Aeroback lama di sebelah kereta mewah
berjenama BMW. Farhan senyum sendiri. Agaknya kereta mewah ini milik tetamu mamanya
yang belum pulang walaupun hari telah senja.
“Assalamualaikum.”
Farhan melangkah ke dalam rumah dan memberi salam, kemudiannya mempamerkan
senyuman. Tetamu yang ralit menyembang berpaling ke belakang. Melihat si
pemberi salam. Buntang anak mata tetamu dengan muka cuak yang tidak
disengajakan. Terjegil biji mata tuan rumah. Terkejut dengan perangai anak
teruna yang tak senonoh.
“Waalaikumussalam,”
perlahan saja jawab Puan Hanina. Suaranya terkelam ke dalam. Malu, sungguh
memalukan.
“Maaflah
lambat, jalan jammed teruk.” Farhan
bercerita walaupun tidak ditanya. Tiga orang perempuan yang berbual tadi, diam
tak terkata, seakan-akan terkena renjatan elektrik.
“Ini ke
Datin Ruby kawan mama?” tanya Farhan, kemudian dia sengaja menyengih. Mempamerkan
serbuk cili yang sengaja dia letakkan di atas gigi. Baru nampak sempoi. Nak saja
dia ketawa kuat dan-dan tu juga bila melihat riak muka Datin Ruby dua beranak
yang seakan tidak senang melihat ke arahnya.
“Han
kenapa balik dalam keadaan macam ni?” tanya Puan Hanina yang cuba mengawal
marahnya.
“Kenapa
mama? Macamlah mama tak tahu kerja Pa’an. Kerjaya sebagai mekanik macam ni.
Berlemuih dengan minyak hitam. Tak gitu datin?” Farhan menyengih lagi. Datin yang
melihatnya semakin ngeri dan geli.
“Nina,
you kata anak you ada syarikat, buat bisnes sendiri. Tapi yang depan I ni siapa
pulak? Kerja kuli aje, you nak tipu I ke?” Datin Ruby meledakkan marah dan
bengangnya pada Puan Hanina.
“Jomlah
mummy kita balik. Ada ke patut dengan orang macam ni mummy nak jodohkan dengan
Liyana. Gelilah!” Anak gadis Datin Ruby yang pakai separuh seksi itu bingkas
bangun.
“Tunggulah
dulu, kita sembang-sembang dan berkenal-kenalan,” ajak Farhan sambil menyengih
lagi. Seronok pula rasanya mengenakan mak datin yang berlagak bagus ni.
“Eh,
takkan nak balik. Tunggulah dulu. Sebenarnya Farhan bukan macam ni.” Tahan Puan
Hanina dengan rasa bersalah yang amat sangat. Farhan menyengih lagi seperti
kerang busuk, dengan buat muka separuh bodohnya.
“Sudahlah
Nina, sengaja you nak kenakan I. Kalau I taulah macam ni anak you, tak hingin I
datang sini tau. Mak dengan anak sama saja tak guna.” Farhan berhenti
menyengih. Matanya mencerlun ke arah datin cap ayam yang bermulut berus dawai.
Kasar dan celopar sekali.
“Jom mummy
kita blah, buang masa aje.” Anak dara yang kurang sopan itu menarik tangan mummynya,
lalu menuju ke pintu dan melangkah
keluar dari rumah tanpa pamitan. Terkedu Puan Hanina dengan tingkah laku calon
menantu tak jadinya. Kedua beranak itu berdiri di depan rumah, menghantar
tetamunya pulang. ‘Cepatnya berubah tingkah laku. Tadi bukan main sopan senyum
simpul bagai, sekarang lain pula jadinya’. Detik hati Puan Hanina yang amat
terkilan.
“Kenapa
Pa’an jahat sangat, suka memalukan mama ya?” marah Puan Hanina sambil menepuk
bahu anak terunanya. Farhan ketawa kuat.
“Kenapa,
mama terkilan ke tak dapat berbesan dengan Datin Ruby yang glamor tu?” usik
Farhan. Dia masih ketawa. Puan Hanina menjeling dengan hati yang sakit.
“Mama
malu pada Datin Ruby tu, awak tu tak senonoh sungguh. Kenapa pakai baju bengkel?” marah Puan Hanina.
“Tadi,
banyak kereta masuk. Staf pula ada yang cuti. Terpaksalah Pa’an buat sendiri,”
terang Farhan kenapa dia balik dalam keadaan comot dan kotor serta nampak
selekeh.
“Sepatutnya
Pa’an bersihkanlah badan tu dulu sebelum balik. Pakailah baju elok-elok macam
biasa. Barulah mama ni tidak dituduh sebagai penipu.” Nada suaranya masih tinggi.
Masih tak puas hati. Alahai terkilan sangatlah agaknya tak berpeluang
bermenantukan anak datuk, datin. Ketawa Farhan belum selesai.
“Alah
mama, biar mereka yang tertipu, asalkan jangan kita ditipu oleh mereka yang
berwajah plastik tu. Mama nak ke menantu yang sombong dan kurang ajar macam
tu?” Terpukul Puan Hanina dengan pertanyaan Farhan.
“Sebenarnya
mama tak berapa kenal sangat dengan Datin Ruby tu. Kenal gitu-gitu aje, dan tak
sangka pula perangai mereka sebegitu teruk.” Akur Puan Hanina ralat.
“Ha,
tengok kerja ALLAH. DIA dah susun semua perkara. Kan, dah terbongkar segala
perangai mereka sebenarnya. Lepas ni mama tak payahlah sibuk-sibuk pasal jodoh
Pa’an. Kalau ada jodoh dengan sesiapa, maknanya adalah rezeki mama nak
bermenantu. Kalau tak ada juga, kira serah saja pada ALLAH.” Peringatan pendek
dari Farhan yang sememangnya tadi dia telah membuat seperti yang dirancang.
Farhan senyum, puas hati.
“Yalah,
tapi Farhan kenalah cari calon menantu untuk mama. Mama dan papa kamu, bukanlah
muda lagi. Esok lusa pun boleh dijemput oleh ALLAH,” pesan Puan Hanina.
“Baiklah
mama,” sahut Farhan sambil berlalu menuju ke bilik untuk membersihkan badannya.
salam akak.. sinopsis menarik.. nanti sy beli buku. hehe
ReplyDeleteteruskan berkarya ke arah keagamaan :)