BAB 5
SAKIT Tok Wan Limah makin menjadi-jadi
sejak balik dari klinik tempoh hari. Ubat yang diberi oleh doktor mungkin tak
serasi dengan tok wan. Demam dan batuk selsemanya bertambah kuat. Kadangkala
tok wan kelihatan sukar bernafas. Bila dipujuk untuk dibawa ke hospital, dia bermati-matian
tidak mahu pergi. Katanya, apa-apa pun berlaku, biarlah dia mati di atas rumah
pusaka ini. Ah… susah betul untuk mendepani krisis penolakan tok wan.
Susah hati Siti Ajira memikirkan
keadaan tok wan. Karang, kalau apa-apa terjadi pada tok wan, dia juga yang
susah, dia juga yang akan dipertanggungjawabkan.
Dia juga yang akan dikutuk dan dimaki hamun oleh anak-anak tok wan. Ya ALLAH,
bantulah aku! Siti Ajira menadah tangan ke langit dan kemudiannya dia meraup ke
muka. Mudah-mudahan ALLAH mendengar doanya.
“Siti, kenapa termenung ni?” Terkejut
Siti Ajira bila mendengar ada orang menyapanya dari belakang. Dia menoleh.
“Oh mak. Bila mak sampai? Tak dengar pun
bunyi motor mak.” Siti Ajira mengangkat muka redupnya. Penyapu lidi yang berada
di tangan diletak di sebelahnya.
“Baru aje, memanglah Siti tak dengar,
kalau fikiran tu melayang jauh,” jawab Salmiah lembut. Dia duduk berhampiran
dengan Siti Ajira. Di atas pangkin di bawah pokok manggis. Perlahan-lahan
Salmiah mengusap wajah anak sulungnya yang kelihatan tidak ceria dan susah
hati. Siti Ajira membiarkan saja, dan dia rasa bahagia bila sekali-sekala dapat
sentuhan dari mak.
“Tok wan macam mana hari ini?” Salmiah
bertanya.
“Macam tulah mak. Masih tetap tak mahu
dibawa ke hospital. Susah betullah tok wan ni,” rungut Siti Ajira.
“Tak apalah, kita pujuk lagi. Mudah-mudahan
kali ini dia mahu,” pujuk Salmiah sambil menepuk-nepuk bahu anaknya.
“Ni, mak datang sini Pak Sahak tahu ke?”
“Tak, dia tak ada kat rumah. Mak
curi-curilah keluar,” jawab Salmiah tenang. Siti Ajira memandang muka Salmiah
dengan padangan cuak bercampur simpati.
“Karang dia balik tengok mak tak ada. Jenuhlah
mak kena balun nanti.”
“Tak mengapalah Siti, mak dah biasa macam
tu. Dahlah, jom kita naik atas tengok tok wan,” ajak Salmiah untuk mengalih topik
perbincangan.
“Yalah. Tadi tok wan tidur, sebab tu Siti
turun bawah sapu sampah yang dah menimbun,” terang Siti tanpa diminta.
“Kasihan anak mak, mesti Siti penat kan,
jaga tok wan sendirian.”
“Tak mengapa, Siti dah biasa. Cuma Siti
terkilan sangat. Kenapa pak ngah langsung tak nak balik jenguk tengok tok wan.
Siti dah berkali-kali telefon dia, cakap tok wan tak sihat. Tapi sampai
sekarang bayang pun tak nampak,” rungut
Siti Ajira yang berbaur kesal.
“Nak buat macam mana. Orang dah kaya-raya,
mana nak ingat kat emak dia yang dah tua ni. Biarkanlah dia Siti, mudah-mudahan
dia sedar suatu hari nanti.” Salmiah memujuk Siti Ajira dan juga memujuk
hatinya yang turut sama terkilan dengan tindakan adiknya. Sampai hati Kairol
buat emak macam ni.
“Mak, sebenarnya tok wan tu rindu sangat
dengan pak ngah. Kalau tidur asyik sebut nama pak ngah aje. Kasihan Siti tengok
tok wan tu. Siti rasa nak saja pergi Kuala Lumpur tu, dan seret pak ngah balik
dan sujud bawah kaki tok wan.” Marah sekali Siti Ajira bila mengenangkan sikap
tidak bertanggungjawab bapa saudaranya.
“Sabarlah Siti. ALLAH bukan saja menguji
tok wan, tapi ALLAH uji kita sekali.”
“Betul cakap mak tu. Kadangkala Siti
tertanya sendiri. Kenapalah kehidupan Siti tak sama dengan remaja lain. Dari
kecil sampailah ke besar,” luah Siti Ajira.
“Maafkan mak. Ini semua salah mak. Mak
yang tak mampu beri kebahagiaan untuk anak-anak mak. Mak yang lemah sebenarnya.”
Kata-kata Salmiah yang mengandungi rasa bersalah dan kesal yang teramat sangat.
“Mak, bukan salah mak. Sebenarnya inilah
takdir hidup Siti. Ada ayah, tapi tak bertanggungjawab dan hilang entah ke mana.
Tak apa, Siti redha semua tu.”
“Miah, bila kau sampai?” tegur tok wan
sebaik saja dia membuka mata.
“Baru aje mak. Macam mana mak hari ini?”
“Macam nilah, agaknya aku ni dah nak
mati. Hidup pun dah menyusahkan anak cucu.”
“Hisy tok wan, jangan cakap macam tu.
Siti tak pernah rasa susah pun menjaga tok wan. Siti suka, malah Siti sayang
sangat dengan tok wan.” Siti Ajira mula sedih.
“Apa yang mak merepek ni. Bila masa pula
mak telah menyusahkan Miah?” Salmiah mengusap kepala emaknya yang masih terbaring.
“Mak minta maaf pada kau Miah.”
“Kenapa pula?” Kerut di dahi Salmiah
berlapis-lapis.
“Sebab mak banyak menyusahkan kau.
Kasihan kau Miah.” Suara tok wan bergetar dan mata tuanya basah.
“Mak, dahlah tu. Ni, mak dah mandi ke
belum?” tanya Salmiah. Tak nak melayan bual emak yang mula merepek-repek.
“Belum. Mak tak nak mandi, mak sejuk,”
adu tok wan.
“Kalau mak sejuk, biar Miah lapkan badan
mak dengan air suam. Lepas tu Miah akan suapkan bubur untuk mak, mak tentu
lapar, kan?”
“Tak apalah biar Siti yang lapkan badan
mak,” bantah tok wan.
“Mak, sementara Miah ada ni, biarlah Miah
yang buat. Kasihan Siti. Biarlah dia berehat,” pujuk Miah. Akhirnya tok wan
termakan juga pujukan Miah dan setuju untuk dilap badannya. Miah melakukan
dengan rasa bahagia dan tanggungjawab. Miah dandan rambut tok wan dan dipakaikan
bedak sehingga wangi seluruh tubuh tok wan.
“Miah maafkan mak,” pinta tok wan
tiba-tiba.
“Dah, kenapa lagi mak ni?”
“Betul, mak minta maaf pada kau.” Mata
tua tok wan bergenang.
“Apa yang buat mak sedih ni.”
“Mak sedih, sebab mak, hidup kau
menderita dan tak pernah bahagia.” Suara tok wan tersekat-sekat, sambil air
mata jernih laju menuruni lurah pipi tuanya.
“Apa yang mak merepek lagu ni?” Susah
hati Miah dengan maknya. Sensitif sangat akhir-akhir ni.
“Betul
Miah. Dulu, mak yang paksa kau berkahwin dengan Sahak selepas kau diceraikan
oleh bapa Siti. Mak ingat Sahak boleh bahagiakan kau, rupa-rupanya Sahak
seorang lelaki yang jahat dan tak bertanggungjawab. Mak menyesal sangat Miah.”
“Ya
ALLAH mak, benda tu pun dah lepas, dan berlalu. Lagi pun dah nasib dan takdir
saya hidup begini. Bukan salah mak pun. Dahlah tu mak, jangan dikenang lagi.
Mak berehat ya.” Salmiah cuba meredakan emosi sedih tok wan.
“Macam
mana mak tak sedih dan susah hati, si Sahak tak guna tu sesuka hati membantai
kau aje. Sakit hati mak bila dengar kau manjang kena pukul. Senang cerita kau
minta cerai sajalah dari Sahak tu.” Tok wan mengumpul kekuatannya bercakap dari
hati ke hati dengan Salmiah walaupun tutur katanya tersekat-sekat dan tidak
lancar.
“Mak
dahlah tu, tak payah fikir pasal Miah lagi. Tengok tu, mak tercungap-cungap
bila bercakap. Dah rehat ya. Miah tunggu mak kat sini.” Salmiah menggosok-gosok
badan kurus emaknya.
“Tapi
Miah janji dengan mak, Miah minta cerai ya dari Sahak, sebab mak takut Mia mati
di tangan dia.” Mata tua tok wan menatap wajah Miah yang tak pernah cerah dan
ceria.
“Mak,
janganlah risau. Miah tahulah nanti,” pujuk Miah lagi.
“Miah!!!
Miah!!! Miah!!!” Jeritan di luar rumah mengejutkan mereka tiga beranak. Siti
Ajira yang terlelap di sebelah tilam tok wan tadi terus bingkas bangun akibat
terkejut.
“Mak,
pak Sahak datang,” beritahu Siti Ajira dalam debar.
“Panjang
umur Sahak, baru saja kita berbual pasal dia, dah dia muncul,” sahut tok wan bersahaja,
tapi hatinya tetap risau dan cemas. Apalah yang akan dibuat oleh Sahak tu pada
anaknya.
“Miah,
balik!!!” Sahak menjerit lagi. Dia tahu sangat, isterinya memang ada di sini
walaupun dia masih belum melihat muka Salmiah. Kalau tak, macam mana motosikal
Miah tu boleh ada di sini. Salmiah menjenguk di muka jendela.
“Abang,
mak sakit marilah naik, jenguk mak!” cakap Salmiah lembut seperti biasa.
“Kau
pekak ke? Aku kata balik, baliklah!!!” Sahak menjerit bagaikan orang kerasukan.
Memang kerasukan pun. Salmiah menjeling benci. Macam nilah selalu dia sudah
kalah judi. Syaitan judi dalam badannya akan merasuk dan mengamuk.
“Alang-alang
abang dah datang, naiklah sekejap tengok mak.” Salmiah tetap memujuk.
“Eh,
kau ni bangang ke apa? Aku datang sini nak suruh kau balik rumah, bukannya nak
tengok si tua tu,” tengking Sahak. Melengking suaranya memenuhi ruang dan
menyinggah di gegendang telinga tok wan.
“Baliklah
Miah, kalau tak lagi teruk Sahak tu mengamuk,” kata Tok Wan Limah pada Salmiah
yang kelihatan serba salah.
“Tapi
mak.”
“Miah!
Balik sekarang. Kalau tak nahas aku kerjakan kau sekarang,” laung Sahak lagi.
“Pergilah
balik, mak tak apa-apa,” suruh tok wan. Salmiah sedih macam nak menangis.
“Mak,
Miah balik dulu. Ada masa nanti, Miah datang lagi. Salmiah benar-benar sedih.
Air mata yang bergenang dari tadi menitik jatuh ke pipi Tok Wan Limah saat dia
mencium wajah tua emaknya.
Salmiah
melangkah dengan hati yang berat. Bila sampai di halaman rumah, Sahak yang
menunggu dengan perasaan bengang itu terus menunjal-nunjal kepala Salmiah
sampai Salmiah tersadung ke hadapan.
“Pak
Sahak, jangan pukul mak!!!” laung Siti Ajira dari muka jendela. Tak tahan hati
dia melihat bapa tirinya memperlakukan emak seperti itu.
“Suka
hati akulah, bini aku.” Sengaja Sahak membakar naluri Siti Ajira yang kian
mendidih. Kalau imannya tak kuat, nak saja rasanya dia terjun dari jendela dan
berlari untuk membelasah bapa tirinya yang kurang ajar dan jahat itu.
“Kalau
jadi apa-apa pada mak aku, kau tahulah nanti.” Amarah Siti Ajira tak mampu
dikawal lagi.
“Kau
nak buat apa?” Sahak ketawa mengejek.
“Aku
report polis, biar kau meringkuk dalam penjara,” jawab Siti Ajira tegas.
“Hahaha…
ada aku kisah. $i@! Pergi mampuslah dengan polis kau tu.” Kuat ketawa Sahak
sambil menghidupkan enjin motosikal buruknya dan kemudiannya berlalu pergi.
Siti Ajira yang masih berdiri di jendela seakan terbakar seluruh badan.
Sakitnya hati pada Sahak hanya ALLAH saja yang tahu. Kau tunggulah suatu hari
nanti Sahak, masanya akan tiba juga. Siti Ajira mengepal-ngepalkan tangannya.
No comments:
Post a Comment