NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, August 17, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 5



                                              BAB 5


          PETANG minggu yang damai. Similir angin bertiup nyaman, membawa bau-bauan dari pohon yang berbunga di sekitar tasik.  Amir bersendirian di Taman Tasik Permaisuri. Tanpa  Pian atau Zaki. Tak ada pak su, Musa ataupun Ripin yang menemaninya. Mereka semua ada hal masing-masing. Macam mana dia boleh tercampak di tepi tasik ni pun dia tak berapa nak ingat, tau-tau saja dia dah bersendirian bersama motor kapcainya. Bersendirian memang membosankan. Lone, lonely, so lonely! Nasib baiklah dia membawa teman sejatinya yang selalu menjadi penawar di kala duka dan menjadi penghibur di kala lara.
          Amir menyelak setiap muka surat majalah Gila-Gila keluaran terbaru yang baru dibelinya, membaca dan kemudian ketawa sendiri. Memang itulah kerjanya bila ada masa lapang ataupun dalam keadaan tertekan. Terbongkok- bongkok Amir menatap majalah Gila-Gila dengan penuh asyik tanpa mempedulikan orang lain yang lalu-lalang dengan aktiviti masing-masing. Bagaikan tenggelam ia di dalam dunia kartun yang penuh humor itu. Sesekali bergema gelaknya.
          Tiba-tiba bahu Amir ditepuk. Terkejutnya bukan main lagi sampai tercampak majalah di tangan. Amir mengutip majalahnya, kemudian mendongak. Kus semangat! Melabuk jantungnya berdegup. Tak sangka pula terjumpa tuan punya kereta katak yang handsome tu. Mana lagi nak lari?
          “Sorrylah buat Amir terkejut.” Ariel menyapa sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Ah… sudah! Macam mana nak bersalam? Tak terfikirlah pula ada orang akan bersalam dengannya. Amir hanya menganggukkan kepala sambil menggaru kepalanya yang tak gatal. Nak buat macam mana ni?
          “Sorang ke?” Amir senyum sambil menunjukkan jari telunjuknya. Simbol satulah agaknya tu. Padan muka! Suka sangat menipu jadi bisu, penyudahnya terpaksa jadi bisu setiap kali jumpa tuan punya kereta katak tu. Manalah tahu asyik nak terjumpa mamat ni aje. Kalaulah tahu asyik nak terkantoi saja, taubat aku tak nak menipu lagi. Betul kata mak, orang menipu ni selalunya hidup tak senang.
          “Mana kawan-kawan yang lain?”  Amir terpaksa menggunakan bahasa isyarat. Jenuh dia bengkok, tegak, ke depan, ke belakang,  ke atas, ke bawah, ke darat, ke baruh tapak tangan dan jari-jemarinya. Entah betul entah tidak. Kadang-kadang dia sendiri naik ketawa mengenangkan bahasa isyarat yang dia buat, entah apa-apa. Kalau orang cacat pendengaran tengok, pasti dia orang pun gelong melihat bahasa isyarat yang dia buat. Mampuih!
          “Boleh saya duduk kat sini?”  Bulat mata Amir bila mendengar permintaan Ariel. Nak buat lagu mana lagi, dah terkantoi macam ni kenalah bagi, karang dikatakan sombong pula. Habislah kekhusyukan dia mentelaah majalah kesayangannya itu. Belum pun Amir mengizinkan, Ariel dah pun duduk di sebelahnya, di atas bangku panjang yang menghadap tasik. Wah romantiknya! Tak ada maknanya.
          “Awak baca apa?” Amir menyengih sambil menghulurkan majalah. Rasa malu pun ada. Dah besar-besar panjang macam ni masih lagi dok baca benda yang tak berfaedah.
          “Oh! Majalah Gila-Gila. Issue terbaru ke! Patutlah saya tengok awak bukan main asyik lagi membaca.” Amir hanya menyengih sambil mengangguk. Nampaknya dah macam burung belatuk saja si Amir ni, kesian… Dalam diam Amir merenung ke arah Ariel yang tumpang tui membaca majalah satira No.1 di Malaysia itu. Hai… dah buat harta nampak? Sesungguhnya lelaki di sebelahnya ini adalah ciptaan ALLAH yang amat sempurna. Tubuh badannya yang tinggi sasa, rupa parasnya yang kacak menawan, dan kulitnya yang putih bersih, cukup memikat hati sesiapa saja yang melihatnya. Poster Boy gitu! Jauh sekali kalau nak dibandingkan dengan dia yang berkulit sawo matang, rupa pula taklah elok mana, tapi manis ada, dan kerjaya pula hari-hari bermain dengan minyak hitam. Ah… nasib badan nak buat macam mana.
          Tapi kenapalah pula jejaka sempurna seperti Ariel ni nak berkawan dengan aku yang tak punya apa-apa ni? I say man… rasa canggunglah pula bila duduk melepak dengan orang handsome ni, macam ada yang tak kena aje! Maklumlah, yang seorang ni nampak  macam sangat hebatnya, dan yang seorang lagi nampak sikit ‘kureng + poyo’. Bak seperti kata perumpamaan Siam kuno, yang dinaqal dari mek sempadan; satu bahan seni yang indah VS satu longgok besi buruk yang boleh direcycle. Ah… apa-apa ajelah. Sebenarnya aku bukan suka sangat bila mamat ni melepak sekali dengan aku. Kalau boleh, biarlah mamat ni buat-buat tak nampak aje aku kat sini tadi, ataupun buat-buat tak kenal, lagi baik. Sepatutnya mereka pun tak perlulah nak beramah mesra, nak ‘ngakai-ngakai’, kerana aku pun bukan ada apa-apa kepentingan pun dengan dia. Aku ni bukanlah rendah diri, inferiority complex ke apa, tapi tengoklah aku ni, hanya berseluar jeans lusuh, t-shirt dan jaket ‘chokia’ serta kasut jazz star saja. Jauh sangat bezanya dengan kenalan baru yang belum aku iktiraf ini, yang cukup segak dengan pakaian sukan Adidas yang mahal dan bergaya. Segan siot!
          Tiba-tiba Amir terdengar bunyi benda jatuh di belakangnya, kemudian diiringi bunyi tangisan. Amir menoleh. Rupa-rupanya ada budak jatuh tertiarap di atas jalan. Tanpa berlengah Amir berlari mendapatkan kanak-kanak tersebut yang sedang menangis kesakitan.
          “Jangan menangis sayang!      Orang cantik dan pandai tak nangis, sikit aje… sabar ya!” Amir membisik perlahan. Kanak-kanak perempuan itu legat melihat wajah orang yang tak dikenalinya, tapi air matanya masih berjurai.
          “Siapa nama adik?”  Amir bertanya kepada anak kecil itu.
          “Alisya.”
          “Berapa umur adik?”
          “3 tahun.” Wah… petahnya dia walaupun dalam sedu, anak sapo ni? Tersenyum Amir mendengarnya.
          “Mana mak?” Anak kecil itu menunjuk dengan tangan comelnya ke arah sebuah keluarga yang sedang berkumpul, picnic mungkin.
          “Jom kita jumpa mak.” Amir mendukung kanak-kanak tersebut, lalu berjalan menuju ke arah kelompok manusia yang dimaksudkan oleh Alisya.
          “Assalamualaikum!” Amir memberi salam tatkala tiba di situ.
          “Waalaikumussalam.”
          “Ini anak akak ke? Saya jumpa dia jatuh tertiarap kat hujung sana tu. Tu hah… lututnya berdarah sikit.”  Seorang perempuan muda lewat 20-an, agak terkejut bila diberitahu tentang keadaan anaknya.
          “Ya ALLAH, akak tak sedar pun dia tak ada. Akak ingatkan dia bersama dengan abang-abang dia kat playground tu… ya ALLAH… terima kasihlah banyak-banyak dik.”
          “Bahaya akak, dia merayap seorang diri. Zaman sekarang ni manusia berhati syaitan ramai, kat mana-mana pun ada, bukan kita kenal! Takut pula saya apa-apa terjadi pada Alisya.”
          “Betul tu dik, akak pun takut, tapi Alisya ni jenis tak tahu takut, terlampau berani, lepas tu pula mudah mesra dengan orang yang tak dikenali. Nasib baik dia  jumpa dengan adik, kalau terjumpa dengan orang jahat, tak ke naya akak. Oh… simpang malaikat 44.”
          “Kalau macam tu akak tak boleh terlepas pandanglah, kena awasi dia selalu.”
          “Ya dik, insya-ALLAH akak akan selalu mengawasinya, sebab akak tahu dia ni jenis yang lasak, hyperactive dan tak dengar kata,”  macam menyindir aku saja. Teringat dia pada mat Bangla yang pernah menyindirnya, adik manis… itu cili pedas memang ada rasa!
          “Biasalah akak, nama pun budak, mana reti diam, saya kecil-kecil dulu pun macam tu jugak. Lasak sangat, tapi kat kampung kuranglah sikit bahayanya.”
          “Eh, lupa nak tanya, adik ni siapa nama?”
          “Saya Amir.” Kakak yang ramah tadi terdiam seketika sambil menilai Amir dari atas sampai ke bawah. Huh… biasalah manusia suka menilai dari luaran, tak boleh salahkan jugak. Amir menjadi serba salah, namun akhlak dan etika bermasyarakat perlu dipertahan.
          “Amir, jomlah joint akak dan anak-anak, akak ada sedikit makanan ni, bolehlah kita berborak-borak.”
          “Tak apalah akak, saya ada kawan  kat sana tu. Saya pergi dulu ya, dah lama kawan saya menunggu.”
          “Oh begitu ke! Terima kasih banyak adik, semoga ALLAH merahmati dan memberkati adik.”
          “Amin akak.” Amir berlalu sambil melambaikan tangannya kepada Alisya dan anak kecil itu membalasnya, ada tusukan rasa bahagia di hati Amir bila melihat senyuman ikhlas dari Alisya.
          Dari jauh Ariel memerhatikan gelagat Amir, suatu titik pertanyaan, one big fat question mark mula tertonggok di kepalanya, siapakah Amir yang sebenarnya? Bila melihat cara Amir berhubungan dengan budak perempuan tadi, seolah-olah kelihatannya dia bertanya, dan anak itu menjawab. Begitu juga semasa dengan perempuan, yang mungkin ibu kepada anak tersebut. Amir tidak menggunakan bahasa isyarat, sebagaimana yang diperlakukan terhadapnya. Ish… pelik betullah budak ni.
          Tapi sikap pelik Amir itulah, yang selama ini membuatkan hatinya tertarik untuk mengenalinya. Kalau selama ini dia dinilai pelik oleh adik-beradiknya, kali ini biar dia pula menilai Amir sebagai mamat pelik. Nak juga merasa menilai. Sesuatu yang menarik tentang Amir ialah dia mudah nampaknya memberi pertolongan dengan ikhlas walaupun pada orang yang dia tidak dikenali. Suatu kehebatan peribadi yang sukar dimiliki remaja masa kini, kerana masyarakat sekarang sudah hilang sifat Itharnya, iaitu sifat mementingkan orang lain berbanding diri sendiri. Sifat Ithar yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya demi untuk memelihara kerukunan hidup bermasyarakat.
          “Kenapa dengan budak tu?” Ariel bertanya sebaik saja Amir melabuhkan punggungnya, duduk di sebelah Ariel. Amir tetap memegang rahsia dirinya dengan tidak menjawab, lalu dikeluarkan buku catitan dan dia menulis sesuatu. Nak lebih-lebih guna bahasa isyarat pun, nanti takut tercucuk hidung. Al-maklumlah, bukan pernah pergi kursus.
          “Biasalah budak nakal, suka merayau-rayau sendiri. Tak tahu takut.” Ariel membaca tulisan Amir yang sememangnya buruk macam cakar ayam.
          “Budak tu macam awak, kan?” Ariel Iskandar memperli sambil ketawa. Saja nak kenakan Amir, manalah tahu kut Amir tak tahan kena sindir maka terkeluarlah segala bahasanya. Tapi Amir tetap cool, dia hanya menyeringai saja tanpa sebarang response.
          “Tak, saya budak baik.” Makin galak Amir menulis, makin seronok Ariel membaca.
          “Tak malu, masuk bakul angkat sendiri.” Ariel mencebik sambil ketawa. Geli hati Amir melihatnya, rasa nak saja ketawa kuat-kuat.
          “Tak apa, bakul plastik ringan saja, lagipun kalau sendiri tak angkat, siapa lagi mau angkat? Sendiri mau ingat!” Laju saja Amir menulis.
          “Kalau tak ada orang nak angkat, biar saya saja yang angkat, kemudian saya humban awak dalam tasik ni, setuju?” Ariel ketawa nakal, manakala Amir tersenyum kambing, boleh tahan juga mamat ni. Amir mencapai kertas lalu melukis lakaran kartun dan menulis sesuatu.
          “Oh… awak pandai melukis,” kuat ketawa Ariel bila melihat lakaran kartun mengenai dirinya yang terjatuh ke dalam tasik bersama bakul yang dijunjung. Puas hati, senyum Amir menggulung di bibir bila dapat mengenakan Ariel, manakala Ariel belum habis ketawanya dengan lawak selamba Amir walaupun tanpa kata-kata. Kalau Charlie Chaplin masih hidup, pasti dia suruh sign kontrak.
          Saat Amir leka melukis lakaran kartun, Ariel mencuri pandang ke arah raut wajah yang empunya lakaran, entah mengapa dia menjadi senang setiap kali menatapnya. Pada pertemuan pertama dahulu pun sudah ada rasa senang bila berhubung dengan Amir, walaupun hanya atas coretan kertas. Mungkin itulah kelebihan Amir, maka tak hairanlah kalau kawan-kawannya sanggup bersekongkol untuk menolongnya.
          Tiba-tiba Amir mengangkat muka. Pandangan mata mereka bertembung seketika. Bening mata Amir melihat anak mata Ariel yang menikam jauh ke dalam anak matanya dan tertusuk ke ulu hati. Suatu arus rasa aneh yang sedang mengalir laju dalam urat sarafnya. Cepat-cepat Amir melarikan pandangan matanya, dan Ariel seakan tersedar dari kesilapannya. Ya ALLAH, takkanlah aku jatuh hati pada jenisku sendiri? Ariel menyoal hatinya yang dalam kekeliruan. Ya ALLAH jauhkan aku dari sifat fahisyah, kekejian!
          Bila senja merangkak tiba mereka pun berpisah mengikut haluan masing-masing. Dalam hati Amir dia berharap tidak akan bertemu lagi dengan lelaki tersebut. Biarlah kenangan indah hari ini berakhir di situ saja, tak perlu ada kesinambungan dalam perhubungan ini. Dia berjanji tidak akan melayani Ariel lagi, walaupun lelaki itu telah berjanji akan datang untuk menemuinya. Yang pastinya berbagai masalah baru akan timbul sekiranya mereka selalu berhubungan, walaupun sebagai seorang teman biasa. Adios!



 Selamat membaca. Lain kali Ummu poskan lagi .  Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

                               

AMIR MINAH MACHO BAB 4




                                             BAB 4


          SEBUAH kereta putih berhenti tepat di hadapan bengkel. Penumpangnya turun sementara pemandunya sedang mencari parkir yang lebih sesuai untuk keretanya. Amir berlari laju ke arah kawan-kawannya, dan memberi arahan kepada mereka supaya bersekongkol dengannya, lalu dia menghilangkan diri. Selalunya paling jauh dia ghaib pun ke restoran mamak di belakang bengkel Encik Halim ni.
          “Boleh saya bantu encik?” Kudin bertanya ramah, memang Kudin seorang yang budiman.
          “Saya Ariel, saya datang nak tengok kereta saya yang kena tunda semalam. Dah siap ke belum?”
          “Oh! Volkswagen putih tu ya? Semalam lagi dah siap. Amir yang repairnya.”
          “Amir mana?” Ariel melilau-lilau ke dalam bengkel. Tak pula nampak, yang ada hanya beberapa orang budak bengkel yang sedang tekun menyiapkan kerja mereka msing-masing.
          “Entahlah nanti saya tanya mereka tu.” Kudin beredar menuju ke  arah Pian dan Zaki, diikuti oleh Ariel.
          “Pian, kau ada nampak Amir?”
          “Amir tak ada. Dia cuti, balik kampung.”
          “Bukankah tadi dia ada?” Bingung Kudin dibuatnya. Memang sah tadi dia nampak Amir. 
          “Bila masa pula dia balik kampung?”
          “Pagi tadi.”  Pian menjawab acuh tak acuh.
          “Siapa yang balik kampung?” tiba-tiba Encik Halim bertanya sebaik saja dia menyertai mereka yang sedang bersembang. Muka Pian jadi biru, di ambang pucat. Zaki mula mencuitnya.
          “Amir, bos. Ni hah… Encik Ariel tuan punya Volkswagen, dia nak jumpa Amir.” Encik Halim menghulurkan tangan dan bersalaman, kemudian dia menatap legat ke wajah lelaki di hadapannya. Hmm… patutlah si Amir tu jadi bisu semalam, terpukau agaknya dengan lelaki ini. Macam Cristiano Ronaldo si Brylcreem Boy tu pun ada aku tengok, bisik hatinya.
          “Mana awak tahu dia balik kampung?”
          “Dia cakap, sebab neneknya sakit.”
          “Nenek belah mana?”  Encik Halim masih tak puas hati.
          “Katanya, belah mak dia.”  Zaki menyampuk, pada hal dia tak tahu pun belah mana-mana. Saja menokok nambah, biar nampak real sikit. Baru macam ia-ia.
          “Motor dia tu macam mana boleh ada kat sini?”
          “Entah, jalan sendiri kut.” Pian menjawab tanpa guna akal. Geli hati Zaki mendengarnya, lalu dihamburkan ketawanya, bertempias juga le sikit.
          “Tak payah nak kelentonglah Pian. Nenek dia yang sakit tu pun dah 5 tahun dah meninggal. Takkanlah aku tak tahu mak aku masih hidup atau dah meninggal,” terlopong Pian bila kena tembak dengan Pistol Angin bosnya, Encik Halim. Terlupalah pula, Encik Halim dengan emak Amir tu adik-beradik. Itulah agaknya side effect kari kepala ikan mamak Basyir! Si Amir tu pun satu, kalau nak gelembong, berpada-padalah, ini tidak… orang yang dah mati jadi pertaruhan. Gila, ape! Susah betul dengan si Amir ni. Bikin kecoh aje.  Pening kepala Ariel melihat cara mereka bersembang, apa masalahnya? Puzzel betul!
          “Pian, pergi cari Amir sekarang!” Encik Halim mengarahkan.
          “Tak tahu nak cari kat mana bos.”  Pian memberi alasan.
          “Tak ada ke mana perginya si Amir tu, pasti ada melepak kat Restoran Basyir kat belakang tu. Cepat! Aku nak tahu mana dia letak bil, orang dah tunggu ni.”
          “Oh, kalau bil kereta Volkswagen tu, Amir dah siapkan, dia cakap bil ada atas meja Encik Halim.” Zaki pula menyampuk.
          “Kau orang berdua ni suka sangat cover line untuk dia. Apa yang kau orang dapat?”
          “Dapat makan free bos.” Pian menjawab, dengan meletakkan sebelah tapak tangan di siring mulutnya seperti qari bertilawah.
          “Hah… kau makanlah lagi, itu dah kira rasuah, tau tak!”
          “Apalah bos ni, macam tu pun kira rasuah ke, itu namanya sedekah,” ujar Pian sinis.
“Banyak kau punya sedekah,” bentak Encik Halim.
“Amir tu baik, tak pula dia mengikut perangai pak sunya yang tangkai jering.”  Wah… bukan main berani lagi si Pian ni. Karang mengamuk Encik Halim baru tahu. Tengok tu dah kering muka Encik Halim menahan malu di hadapan Ariel.
          “Hei… kau ni dah berjangkit dengan perangai si Amir tu, aku baru cakap sepatah, kau dah berpatah-patah. Hah… ikutlah lagi perangai si Amir yang tak semiak tu.” Mereka semua ketawa termasuklah Ariel, walaupun dia tidak berapa mengenali Amir, tapi dari cerita yang dia dengar, mungkin Amir ni sangat istimewa di kalangan mereka.
          “Kalau tak dapat jumpa Amir tak apalah, mungkin lain kali. Saya ni bukan apa, nak ucapkan terima kasih sebab dia dah tolong hantar saya balik ke ofis semalam. Kalau tak ada dia, mungkin saya tak sempat menghadiri mesyuarat penting syarikat.”  Ariel bercerita jujur. Tapi yang peliknya kesemua mereka bermata bulat, macam terkejut sangat.
          “Encik naik motor Amir? Amir boleh hantar encik balik ofis?” Pian rasa macam tak percaya bila mendengarnya.
          “Ya, tapi kenapa awak orang semua macam teruja sangat ni?” Ariel bertanya kehairanan. Pian, Zaki dan Kudin semuanya senyum-senyum penuh bermakna.
          “Bukan apa, saja nak tahu. Laju tak Amir bawa?” Kudin bertanya.
          “Laju, macam kaki rempit. Takut saya dibuatnya. Makin saya peluknya, makin kuat dia pressed minyak. Hei… rasanya bertaubat tak nak naik lagi,” semua mereka ketawa, tak terkecuali Ariel.
          “Encik peluk Amir?”  Pian ni suka sangat bertanya.
          “Yalah, takut jatuh!” Mereka bertiga ketawa lagi. Apa masalah budak-budak kat bengkel ni? Agaknya semuanya pelik-pelik macam Amir juga kut, satu spesis. Encik Halim datang dengan resit di tangan dan diserahkan kepada Ariel. Pembayaran pun berlaku.
          “RM50 ni tolong bagi kat Amir, sebab semalam saya tak sempat nak beri padanya.”
          “Baiklah saya akan sampaikan.”
          “Okeylah saya pergi dulu, kirim salam saya pada Amir, cakap pada dia, terima kasih. Walaupun dia bisu, tapi pandai baiki kereta. Tabik!”
          “Hah… apa, bisu?” budak bertiga tu bertanya serentak, kemudiannya ketawa terbahak-bahak. Dah sah encik yang handsome ni dah kena kelentong dengan Amir. Mereka ketawa lagi. Pelik Ariel melihatnya. Stoned ganja agaknya budak-budak ni, detik hatinya, berprasangka.
          “Dahlah Encik Ariel, usah pedulikan budak-budak tu, dia orang bukannya betul sangat, sama saja dengan perangai si Amir,” ujar Encik Halim sambil beriringan dengan Ariel menuju ke luar bengkel.
          “Kalau ada masalah, datanglah lagi.”
          “Ya, insya-ALLAH…” selepas bersalaman Ariel pun beredar. Tapi mata Encik Halim tetap menghantarkan pandangan ke arah kereta Katak Putih yang sedang merayap menyusur jalan, sedangkan dalam hati tertanya-tanya kenapa Amir menyembunyikan diri?
          Apa yang dah berlaku? Adakah Amir membuat nakal lagi pada customernya. Bukan dia tak kenal Amir tu, tak habis-habis nak mengenakan orang. Bila nak berubah pun tak tahulah. Kadangkala kasihan dia melihat kakaknya yang selalu makan hati dengan perangai Amir yang tak makan saman tu. Sudah jenuh telinga kakaknya berdesing kerana menadah segala umpat keji orang kampung yang sering mengata Amir, tapi Amir tetap macam tu juga, buat bodoh macam lembu pencen. Hiss… manalah dia pergi? Halim merungut sendiri.
          “Pak su!!!” Tiba-tiba dia disergah dari belakang. Kus semangat! Nasib baiklah tak sakit jantung, kalau tak, bergulinglah dia dalam bengkel yang penuh dengan minyak ni.
          “Hiss… budak ni, tak reti-reti nak bagi salam. Buat terkejut pak su saja.”
          “Tu lah… kuat sangat berkhayal, siapa suruh? Tengah merindu seseorang ya?”
          “Rindu kepala hotak kau! Tengah fikir pasal kaulah. Ke mana kau pergi dari tadi? Asyik menghilang saja. Nak jadi Invisible Man ke, eloklah tu!”
          “Mana ada hilang, saya pergi minum kat Restoran Basyir saja, tak ada ke mana-mana pun.”
          “Dah tu kenapa kau suruh budak-budak tu menipu?” Amir ketawa kuat, geli hati sangat. Kawan-kawannya bertiga tu sanggup buat apa saja untuknya, janji belanja soru. Nasib baiklah ada kawan-kawan yang sporting. Kalau tak hanguslah aku.
         
          “Baik kau cakap betul-betul, apa kau dah buat pada budak Ariel tu, sehingga kau takut nak jumpa dia.”
          “Siapa takut?” Amir melenting. Wah… pantang dicabar nampak.
          “Kalau tak takut, kenapa kau lari? Mesti ada benda yang kau dah buat ni.”  Encik Halim masih kurang percaya dengan Amir.
          “Hieee… pak su ni, boringlah main tuduh-tuduh pulak, tak percaya pada anak buah sendiri. Ingat orang apa!”
          “Heh Amir… aku kenal kau bukannya semalam. Dah 23 tahun, tau tak, kau tu membesar di depan aku. Apa yang ada dalam kepala kau pun, aku tahu.”
          “Dah tahu kenapa tanya?” Amir menunjuk muka bosannya. Hah kena sebijik.
          “Sajalah tanya kut kau nak mengaku.” Halim mula menyengih.
          “Nak mengaku apa?” Pening kepala Amir dengan soalan pak sunya yang mengalahkan peguam yang tak dapat lesen.  “Please… tolong jangan tanya macam police, boleh tak!” rungut Amir.                              
          “Kau sukakan budak lelaki tu?” Terdongak kepala Amir kerana terkejut dek terjahan Halim. Amir menarik muka, nampak sangat dia tak suka isu seperti itu dibicarakan.
          “Apalah pak su ni, cakap benda yang merepek-repek, tak masuk akal langsung. Dahlah, saya nak pergi sambung kerja saya yang terbengkalai tadi.” Amir berlalu meninggalkan Halim yang cuba memasang jerangkap samar. Apa punya bapa saudara, main tuduh-tuduh pula, takkan tak kenal siapa aku? Cakap ikut sedap mulut dia saja. Karang aku mengadu pada mak aku, baru tahu. Tapi, nak ke mak aku dengar cakap aku? Selalunya mak aku kurang nak dengar cakap aku, dan aku ni pun dah diserahkan di bawah penguasaan dan jagaan pak su. Mak ni pun satu, ada ke main serah-serah. Macamlah aku ni barang atau parcel Poslaju. Tak cool tau duduk bawah jagaan pak su ni, asyik kena sekat saja. Tak ada maknanya tinggal kat Kuala Lumpur ni, bila nak berjalan pun, pak su ikut belakang. Penyudahnya aku pun dah malas nak keluar ke mana-mana, kalau asyik bersama  dengan pak su. Stress tau tak?
          Kawan perempuan langsung tak ada. Walaupun aku tak sempurna seperti orang lain, tapi aku nak juga berkawan dengan perempuan, at least ada juga feel. Taklah rasa kosong dan tegak aje macam tiang elektrik.
          “Woi! Termenung nampak. Ada masalah ke?” Pian mengejut dari belakang.
          “Kau ni, kan kalau tak sergah orang tak boleh ke. Karang dibuatnya aku latah, habis seluruh badan kau mandi minyak hitam, nak? Ha… jadi orang minyaklah kau,” marah Amir bila dia disergah. Tau pula dia marah, sergah orang takpe.
          “Alah sergah sikit dah temper. Tak cool langsung.”
          “Kalau kau nak cool, kau pergi masuk dalam peti sejuk mamak kat belakang tu. Aku ni, pantang datuk nenek moyang aku kalau kena sergah macam ni. Lain kali bagilah salam, kita orang Islam.”
          “Yalah… Assalamualaikum!”
          “Waalaikumussalam, apa kau nak?”
          “Aik… boleh kau buat tanya pula. Aku datang menuntut janji-janji manis mu tadi. Sekarang aku dan Zaki nak pergi makan tengah hari. Ada faham?”
          “Yalah, nah ambil duit ni, kau belanja Kudin dan Ripin sekali, tapi kau tunggu bengkel sekejap, aku nak solat Zohor.”
          “Amir, kau solat pakai apa?”
          “Pakai pakaian yang bersih dan menutup auratlah bengong, dah tahu tanya pula.”
          “Tak susah ke nak kena tukar pakaian bila setiap kali nak solat?  Tangan pula berminyak-minyak.”
          “Pian, kalau nak seribu daya, kalau tak nak seribu dalih. Tapi kalau kau tak solat maka beribu-ribu lemonlah dosa kau tanggung dan rezeki yang kau dapat pula tak berkat.”
          “Dahlah pergi cepat, jangan nak berceramah pula. Aku dah lapar ni.”
          “Kau tu kira perut kau saja lapar, tapi rohani kau lapar, tak pula kau peduli.” Amir menemplak.
          “Pergi ajelah, lagi lambat kau pergi, lagi lama aku menunggu,” Pian menghalau Amir yang sedang ketawa mengejek. Pening Pian tengok Amir ni. Orangnya kasar dan brutal, tapi solat tak pernah tinggal. Walaupun suka mengenakan orang, tapi hatinya baik. Kadang-kadang Amir berhati malaikat, penuh prihatin dan kasih sayang.

AMIR MINAH MACHO BAB 3






                                                    BAB 3

“KAMAL boleh tolong ambil aku tak?” Dah puas dia menghubungi orang-orang yang agak boleh membantu, tetapi hampa belaka. Semua sedang sibuk dengan tugas masing-masing. Macam mana nak minta bantuan.
“Kau kat mana?”
“Ni hah, Jalan Duta. Kereta aku mogok!” Kedengaran Kamal ketawa dalam talian.
“Itulah nasihat aku kau tak pernah nak dengar. Sorrylah bro… aku sekarang kat Putrajaya. Tak dapet den nak nolongnye.” Kamal ketawa lagi. Sakit hati dan berbulu Ariel mendengarnya. “Kalau dah tak dapat nak tolong, janganlah nak perli-perli pulak. Ingat apa! Itu tak ada timbang rasa namanya. Kau memang nak kena dengan aku!”
“Habis aku ni macam mana?”
Brother, naik cab ajelah. Itu pun nak kena cakap ke?”
“Weh, mamat. Kalau ada, taklah jadi masalah. Tak ade le aku called kamu. Ini sebiji teksi pun tak ada. Apalah…”
“Kalau macam tu minta tolong dengan mekanik yang ada kat situ,  minta suruh dia hantarkan kau balik ofis sekejap. Aku rasa takde hal punya. Habis-habis, dia charge sekali dengan bil repair
“Ya tak ya juga. Bijak kau… terima kasih kerana bagi idea, itu pun kalau budak tu nak. Kalau tak jalan kakilah aku nampaknya.” Ariel mematikan panggilannya dan menghampiri mekanik yang sedang tersandar dalam kereta. Eh… dah buat macam harta bapa dia pula, bukan main sedap lagi lepak dalam kereta aku, siap tutup muka dengan topi lagi.
“Bro!” Ariel memanggil. Diam saja. Ariel memanggil lagi, diam juga. Ini tak boleh jadi. Ariel menyelak topi yang menutup muka Amir. Huh… tidur rupanya. Pelik! Pelik! Tengah hari rembang, dan matahari tengah tegak berdiri atas kepala pun boleh tidur? Mengantuk sangat ke? Ariel ketawa sendirian. Ada juga orang yang lebih pelik dari aku. Sebaik saja Amir mendengar suara orang ketawa dia pun terjaga, kemudian menyengih tanpa suara, maklumlah orang bisu!
“Macam ni bro… kereta saya tu biar kereta tunda bawa ke bengkel awak, dan saya nak minta tolong awak hantarkan saya balik ke pejabat, sebab saya ada mesyuarat penting pukul 3.00 nanti. Boleh tak?” Amir termenung seketika, kesian pula tengok mamat ni. Mak aku kata, tak baik menghampakan harapan orang lain sedangkan dia benar-benar terdesak, takut nanti ALLAH balas kita dengan dihampakan pula oleh orang lain di saat kita amat memerlukan pertolongan. Kira okeylah! Aku tolong ni kerana ALLAH dan kerana teringat pesanan mak aku. Amir mengangguk setuju. Ariel pula menghela nafas lega. Tak sangka mamat bisu ni ada hati dan perasaan. Zaman sekarang ni bukan senang nak dapatkan pertolongan dari orang yang kita tak kenali. Kadangkala orang yang kita kenali pun belum tentu sanggup untuk menolong, apalagi berkorban untuk kita. Semoga ALLAH memberi kebaikan yang banyak untuk si bisu ini.
  Membonceng motor si Amir ni amat menakutkan. Dah sah si Amir ni kaki rempit. Kalau kat selekoh tu memang corner rayap punyalah. Rasa nak tercabut segala jantung,hati dan pedal. Si Amir ni pula makin  kuat Ariel memeluk, semakin laju dipecutnya. Nak bunuh diri ke, apa? Macam mana tahu nama si bisu tu? Hai… tak ada mulut ke? Mestilah kena tanya, kalau tak tanya sampai sudah si bisu tu tak beritahu namanya. Jarang jumpa pomen yang peramah, yang sukarela introduce diri-sendiri,  lebih-lebih lagi yang datang ke negara ni dengan tongkang.
Amir melihat jam di tangannya yang sudah menunjukkan pukul 2.35 petang. Tak tahulah, bro kat belakang ni selamat sampai sebelum pukul 3.00 untuk menghadiri mesyuaratnya. Ingat dekat ke dari Jalan Duta ke Bukit Bintang? Nasib baiklah aku pro pasal jalan-jalan yang kurang traffic jam di KL ni. Kalau tak, asyik sangkut ajelah. Itu pun sebab selalu naik motor bila keluar dengan Pak su Halim yang kedekut tu.
Sebaik saja sampai kat depan pejabat Ariel Iskandar, Amir memberhentikan motornya. Bila Ariel ingin bersalaman dan mengucapkan terima kasih, Amir hanya mengangguk saja, dan tatkala Ariel mengeluarkan note RM50 untuk diberikan pada Amir sebagai hadiah, Amir pantas saja berlalu sambil mengangkat tangan…. pelik sungguh mamat ni. Ariel hanya mengucapkannya dalam hati sambil menghantar pandangan ke arah motor Amir yang laju menderum. Hai… pengalaman pertama jadi passenger orang merempit motor ni, bercampur-baur perasaan, syok pun ada, tapi kecutnya yang lebih.

Hari yang cukup memenatkan bagi Ariel Iskandar. Dia tiba di rumah saat Maghrib sudah tua dan hampir-hampir terbabas. Kalau terlepas waktu Maghrib tadi, alangkah besar dosanya. Ampunkan aku ya ALLAH.
“Ariel, jom makan!” Puan Hasni mengejut Ariel yang terlelap di sofa.
“Tak ada seleralah ibu, penat sangat ni. Ariel nak tidur.”
“Hai, apa yang penat sangat sampai tak ada selera nak makan. Selalunya bukan main suka kalau ibu masak.”
“Ibu masak apa?” Matanya masih dipejam, terlalu berat rasanya untuk membuka kelopak mata.
“Masak lemak ketam,” terus terbuka mata si Ariel bila mendengar lauk kegemarannya.
“Betul ibu yang masak, bukan bibik?” Puan Hasni ketawa, perangai tu tak berubah. Macam kecil-kecil dulu, suka sangat masak lemak ketam.
“Yalah ibu yang masak, kalau tak percaya pergilah rasa!” Ariel Iskandar bangun tanpa perlu dipujuk lagi, menonong saja ke dapur.
“Eleh anak mak, kena ibu kejut baru nak bangun, manja!” Sofia mengejek sambil ketawa mempersendakan abangnya.
“Kenapa dengki?”  
“Taklah pula sampai nak dengki, tapi meluat tengok abang, macam  budak kecil aje. Mengada-ngada. Sofia kejut tak nak bangun, nak tunggu ibu juga yang kejutkan,”  sesedap rasa Sofia mengutuk.
“Memang abang anak mak, kau tu anak siapa? Anak makhluk asing dari planet Marikh?” Giliran Ariel Iskandar pula yang ketawa bila Sofia memanjangkan muncungnya.
“Ibu, tengok abang ni, selalu saja panggil Sofia makhluk asing. Sofia tak suka tau!”
“Oh, ada juga perasaan kau ya Sofia? Abang ingat kau tak ada perasaan. Mulut tu… kalau bercakap bukan main laser lagi. Tak padan dengan anak dara,”  pandai pula Ariel membebel.
“Kalau Sofia mulut laser, abang apa susah?”
“Hah… tengok tu, dahlah mulut laser, kuat melawan pula tu. Sofia, lelaki tak suka perempuan kuat melawan dan bermulut laser. Kalau tak ubah perangai tu, nanti tak kahwin awak, tak ada orang nak, understand!  Ada faham!”
“Habis, abang ingat orang perempuan nak ke lelaki macam abang ni. Anak mak, asyik berkepit dengan mak saja. Kata ustaz sekolah, orang macam abang ni anak yang dibangsakan ‘ummi’. Suka duduk bawah ketiak mak. Tak macho langsung!” geram sungguh Sofia, abangnya mentertawakannya.
“Mata Sofia dah kabur agaknya, abang yang sikit punya handsome mengalahkan Jehan Miskin ni, Sofia kata tak ada perempuan nak? Kasihan adik abang. Nanti esok abang bawa Sofia check mata tu, jangan-jangan mata Sofia dah nak rabun kut?” Puas hati Ariel Iskandar dapat menyakat adik bongsunya yang suka merajuk ni.
“Dah, makan! Jangan nak bertengkar lagi. Kamu berdua ni kalau tak bertekak satu hari tak boleh. Macam anjing dengan kucing. Tak pernah nak aman.” Puan Hasni memarahi anak-anaknya. Dah biasa sangat dia mendengar Ariel menyakat adiknya. Penyudahnya terjadi perang mulut kerana Sofia bukannya tahan kena sakat.
“Benci!” Sofia mula cemberut.
“Abang suka!”  Ariel Iskandar mengejek.
“Balik tadi kenapa Ariel naik teksi?” Puan Hasni bertanya.
“Humm… kereta mogok tengah jalan,” jawab Ariel.
“Ha… ha… ha…. terjadi juga apa yang Sofia kata selama ini, kira masinlah mulut sofia ya?”  Bukan main ketawa lagi Sofia tanpa rasa simpati.
“Hiss… tak baik macam tu, orang ditimpa musibah awak ketawakan.” Puan Hasni menegur Sofia. Anak gadisnya yang seorang ni lain macam sikit, tak seperti kakaknya yang penuh dengan rasa simpati.
“Betullah ibu! Dah berapa kali kita suruh abang tukar kereta, kan? Degil, cakap orang tak mahu dengar. Hah… sekarang rasakanlah bila si katak hodoh tu meragam di tengah jalan. Pasti memalukan?” ketawa Sofia masih bersisa. Ariel juga ketawa mengenangkan keretanya yang sedang tidur di bengkel budak bisu tu. Kata-kata Sofia yang bermulut laser dan ‘entah  ada ke tidak insuran’ tadi, sedikitpun tak terkesan di hatinya. Apa yang ada dalam hatinya ialah esok dia akan menjenguk keretanya. Mungkin dah siap dibaiki. Susahlah bila tak ada kereta ni, macam patah kaki dibuatnya.
“Habis kereta tu kat mana?”
“Mana lagi, masuk hospitallah, tapi mungkin esok siap kut.” Ariel menjawab sambil meneruskan makan.
“Ariel, esok temankan ibu ke kedai kereta.”
“Ibu nak buat apa?”
“ Nak beli kereta.”
“Hai, kereta ibu, kan baru lagi, buat apa nak tukar baru?”  Hairan Ariel dengan orang sekarang, selalu tak puas hati dengan apa yang ada.
“Kereta ibu memang baru, tapi  kereta Ariel yang buruk. Ibu nak belikan kereta untuk Ariel. Ariel pilih saja kereta apa yang Ariel nak. Ibu uruskan.”
“Wau!!! Bestnya. Sofia nak jugak!”
“Awak tu masih belajar, masih muda. Tak sesuai orang muda diberi kemewahan, nanti lain jadinya.” Puan Hasni tahu, kenyataannya itu membuatkan si bongsunya merajuk dan cemberut. Hmm... biasalah tu...
“Tak acilah, ibu tak adil!” 
“Bukan tak adil, tapi belum masanya lagi. Awak tu masih muda, darah panas, nanti over!  Selalunya orang muda suka bertindak ikut perasaan. So, ibu rasa bukan masanya lagi, ibu belikan kereta untuk awak.” Panjang muncung Sofia. Sekira-kira, hidung pinocchio pun boleh beatlah!
“Ibu, tak payahlah beli kereta untuk Ariel. Kereta yang ada tu pun dah okey, cuma sekali-sekala aje dia meragam. Lepas dibaiki, eloklah nanti.”
“Ariel, dah banyak kali ibu dengar kereta awak rosak. Tak kanlah nak guna selama-lamanya kereta yang outdated tu?”
“Tapi Ariel suka kereta tu.”
“Yalah, kalau suka sekalipun, biarlah kereta baru yang tak rosak. Ibu risau tau, kalau main rosak-rosak tengah jalan ni. Kalau Ariel nak, ibu belikan Volkswagen Beetle Convertible ataupun Volkswagen Polo. Buka balut punya, amacam, nak tak?”
“Entahlah, rasanya tak payahlah ibu. Nak buat apa?”
“Ya ALLAH, abang ni, kereta baru tau tak? Bukannya kereta sorong. Kalau Sofia kata abang lembab dan pelik, abang marah. Tapi tengoklah, ibu nak bagi kereta pun abang tak nak. Apa punya olang!”
“Yalah… abang, kan dah ada kereta.”
“Tapi kereta abang tu dah buruk sangat. Kalau jual pun hanya kedai besi buruk saja yang nak ambil, timbang kilo, kira 50 sen sekilo, itu pun dah kira mahal!”  
“Amboi, bukan main sedap lagi awak mengata abang? Pandai sangat le tu.”
“Yalah, abang tu pelik sangat. Ada ke patut, ibu bagi kereta tak nak? His… kalau Sofialah, agaknya tak tidur malam, asyik terkenangkan kereta aje.”
“Awak tu memang… sebab awak ada penyakit!” Bulat mata Sofia bila mendengar kata-kata Ariel. Apa ada kena-mengena kereta dengan penyakit?
“Ke situ pula, tak relevan langsung,” tingkah Sofia.
“Sebenarnya awak tu ada penyakit hati, hubbu dunya, cintakan dunia dan gilakan harta. Penyakit ini amat merbahaya, tak boleh dibiar, kerana ianya sering menular dalam hati manusia lalu merosakkan iman.”
“Hmm… dahlah abang, tak payah nak berceramah. Kalau abang tak nak kereta yang ibu nak belikan tu, jangan banyak bual dan jangan banyak songeh, tak payahlah nak suruh orang lain jadi manusia pelik macam abang tu.”
“Sofia, jaga sikit mulut awak tu.” Puan Hasni memarahi Sofia yang bermulut laser, yang confirmed tak ada insuran itu. Manakala Ariel hanya melihat wajah Sofia sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Sesungguhnya, adik aku yang ini terlalu jauh dari hidayah ALLAH.
“Betul, kan  ibu, abang ni pelik orangnya?”
“Dahlah Sofia, biarkanlah abang dengan pendiriannya.”
“Ibu tak marah?” Ariel bertanya, takut-takut ibu terasa hati, kerana keikhlasan tidak diragui.
“Buat apa ibu nak marah? Tapi kalau Ariel memerlukan pertolongan, beritahu saja ibu.” Ariel Iskandar mengangguk tanda setuju. Bukan tak mahu kereta yang lebih selesa dan selamat, apalagi VW, tapi biarlah dari hasil titik peluh sendiri, barulah bermakna segala harta yang kita perolehi.