Sinopsis Kisah cinta antara Amira Batrisya dan Ariel Iskandar yang berakhir dengan perpisahan. Cinta suci yang mendapat tentangan dari keluarga Ariel Iskandar. Bagi keluarga Ariel, budak yang bernama Amira Batrisya ini bukanlah calon yang sesuai untuk anaknya yang berjawatan sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat.
Ariel
Iskandar tidak tahu kenapa dia boleh jatuh cinta pada perempuan yang pelik dan
tak serupa orang. Kalau nak dibandingkan dengan perempuan cantik yang berada di
sekelilingnya, ternyata Amira jauh ketinggalan. Bagaikan langit dengan bumi.
Namun cinta itu buta, buta warna dan buta rasa. Perempuan pelik yang tak punya
apa-apa itulah yang menjadi pilihannya, walaupun telah dihalang dan dilarang
oleh keluarga.
Ariel
Iskandar jatuh hati pada Amira kerana Amira bukanlah seorang gadis yang hipokrit
dan mata duitan. Dia menjadi dirinya sendiri, seadanya. Seorang gadis yang
suka melakukan perkara yang orang lain tidak suka, dan tidak gemar
perkara yang selalunya digemari orang. Cara Amira berfikir juga tidak seperti
gadis biasa, malah melakukan perkara yang tak pernah dilakukan oleh seorang
gadis. Itulah gadis pelik yang sering dipanggil Cik Tulip Minyak Hitam.
Amira
Batrisya, nama yang indah dan orangnya juga cantik, tapi sering menyorok
kecantikan di sebalik pakaian selekehnya. Bagi Amira hidup perlu jujur dan
seadanya, yang penting hidup mesti bahagia. Saat kali pertama dia melihat Ariel
Iskandar yang indah paras rupa, hatinya terus tertawan, dan cinta pun mengalir
dalam jiwanya. Siapa sangka hatinya yang kering-kontang terhadap mana-mana
lelaki selama ini, boleh menjadi basah kuyup dengan senyuman Ariel yang semanis
kurma. Siapa sangka lelaki yang selalu memandu Volkswagen putih yang selalu meragam
di tengah jalan itu adalah pemangku CEO. Tapi dia mencintai Ariel bukan kerana
harta dan pangkat yang dimiliki oleh Ariel. Dia mencintai Ariel sebelum dia
tahu siapa Ariel Iskandar yang sebenarnya.
Namun
cinta dan jodoh tidak selalunya seiring dan sejalan. Sebab jodoh adalah kerja
TUHAN. Amira Batrisya terpaksa melupakan Ariel Iskandar kerana dia tidak mahu
kehilangan kasih seorang ibu. Bagi Mak Milah,
Amira mesti berkahwin dengan lelaki pilihannya yang bernama Mail, kalau
tidak hubungan mereka akan terputus. Putus kasih dan putus sayang, yang tinggal
pastinya kebencian.
Takdir
TUHAN tiada siapa yang dapat menduganya. Amira meninggal dunia sewaktu terlibat
dalam kemalangan. Sesal Mak Milah bukan kepalang kerana dia selalu berlaku
tidak adil kepada Amira. Mail meratap sedih, cinta hatinya telah pergi mengadap
ILAHI, dan Ariel juga kecewa gadis pujaan hatinya tiada lagi di sisi.
ALLAH
bekerja dengan penuh rahsia sehingga tiada siapa yang tahu perancangan-Nya.
Ariel bertemu dengan seorang gadis yang berjubah hitam dan berniqab. Dengan
hanya memandang mata saja Ariel terus jatuh hati. Anehnya rasa cinta yang
dihubungkan oleh ALLAH. Manakala gadis berniqab itu jatuh cinta pada Ariel
hanya dengan mendengar kelunakan suara Ariel ketika mengimami solat jemaah di masjid.
Hatinya terpanggil-panggil untuk dicintai. Gemersik suara bacaan al Quran oleh
imam itu ternyiang-nyiang di telinganya, menyababkan Mega Sakinah tidak mampu
duduk, tidak mampu berdiri dan tidak mampu berbaring lagi. Rindu yang melanda
pada orang yang tidak dikenali itu umpama rebut taufan yang melanda. Keras dan
menyiksakan, lalu dia tidak mampu bertahan lagi. Anehnya cinta ini…
Mega
Sakinah, gadis berjubah hitam dan berniqab yang telah jatuh cinta pada suara
Ariel meminta ayahnya meminang Ariel untuk dirinya, walaupun dia tidak
mengenali siapakah gerangan yang empunya suara. Demi janji sebuah jodoh yang
telah disediakan oleh ALLAH, akhirnya mereka berdua bertunang, walaupun
masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain.
Siapakah
Mega Sakinah? Adakah kerana dia memiliki ciri-ciri wanita seperti Amira Batrisya
yang membuatkan Ariel Iskandar terbuka hatinya untuk menerima lamaran dari
Encik Razak, ayah kepada Mega Sakinah? Hanya ALLAH saja yang tahu.
No comments:
Post a Comment