BAB 3
“KAMAL boleh tolong ambil aku tak?” Dah
puas dia menghubungi orang-orang yang agak boleh membantu, tetapi hampa belaka.
Semua sedang sibuk dengan tugas masing-masing. Macam mana nak minta bantuan.
“Kau kat mana?”
“Ni hah, Jalan Duta. Kereta aku mogok!” Kedengaran
Kamal ketawa dalam talian.
“Itulah nasihat aku kau tak pernah nak
dengar. Sorrylah bro… aku sekarang
kat Putrajaya. Tak dapet den nak nolongnye.” Kamal ketawa lagi. Sakit hati dan
berbulu Ariel mendengarnya. “Kalau dah tak dapat nak tolong, janganlah nak perli-perli
pulak. Ingat apa! Itu tak ada timbang rasa namanya. Kau memang nak kena dengan
aku!”
“Habis aku ni macam mana?”
“Brother, naik cab ajelah. Itu
pun nak kena cakap ke?”
“Weh, mamat. Kalau ada, taklah jadi
masalah. Tak ade le aku called kamu.
Ini sebiji teksi pun tak ada. Apalah…”
“Kalau macam tu minta tolong dengan mekanik
yang ada kat situ, minta suruh dia hantarkan
kau balik ofis sekejap. Aku rasa takde hal punya. Habis-habis, dia charge sekali dengan bil repair”
“Ya tak ya juga. Bijak kau… terima kasih
kerana bagi idea, itu pun kalau budak tu nak. Kalau tak jalan kakilah
aku nampaknya.” Ariel mematikan panggilannya dan menghampiri mekanik yang
sedang tersandar dalam kereta. Eh… dah buat macam harta bapa dia pula, bukan
main sedap lagi lepak dalam kereta aku, siap tutup muka dengan topi lagi.
“Bro!” Ariel memanggil. Diam saja. Ariel
memanggil lagi, diam juga. Ini tak boleh jadi. Ariel menyelak topi yang menutup
muka Amir. Huh… tidur rupanya. Pelik! Pelik! Tengah hari rembang, dan matahari
tengah tegak berdiri atas kepala pun boleh tidur? Mengantuk sangat ke? Ariel
ketawa sendirian. Ada juga orang yang lebih pelik dari aku. Sebaik saja Amir
mendengar suara orang ketawa dia pun terjaga, kemudian menyengih tanpa suara,
maklumlah orang bisu!
“Macam ni bro… kereta saya tu biar kereta
tunda bawa ke bengkel awak, dan saya nak minta tolong awak hantarkan saya balik
ke pejabat, sebab saya ada mesyuarat penting pukul 3.00 nanti. Boleh tak?” Amir
termenung seketika, kesian pula tengok mamat ni. Mak aku kata, tak baik
menghampakan harapan orang lain sedangkan dia benar-benar terdesak, takut nanti
ALLAH balas kita dengan dihampakan pula oleh orang lain di saat kita amat
memerlukan pertolongan. Kira okeylah! Aku tolong ni kerana ALLAH dan kerana teringat
pesanan mak aku. Amir mengangguk setuju. Ariel pula menghela nafas lega. Tak
sangka mamat bisu ni ada hati dan perasaan. Zaman sekarang ni bukan senang nak
dapatkan pertolongan dari orang yang kita tak kenali. Kadangkala orang yang
kita kenali pun belum tentu sanggup untuk menolong, apalagi berkorban untuk
kita. Semoga ALLAH memberi kebaikan yang banyak untuk si bisu ini.
Membonceng motor si Amir ni amat menakutkan.
Dah sah si Amir ni kaki rempit. Kalau kat selekoh tu memang corner rayap
punyalah. Rasa nak tercabut segala jantung,hati dan pedal. Si Amir ni pula
makin kuat Ariel memeluk, semakin laju
dipecutnya. Nak bunuh diri ke, apa? Macam mana tahu nama si bisu tu? Hai… tak
ada mulut ke? Mestilah kena tanya, kalau tak tanya sampai sudah si bisu tu tak
beritahu namanya. Jarang jumpa pomen yang peramah, yang sukarela introduce diri-sendiri, lebih-lebih lagi yang datang ke negara ni dengan
tongkang.
Amir melihat jam di tangannya yang sudah
menunjukkan pukul 2.35 petang. Tak tahulah, bro kat belakang ni selamat sampai
sebelum pukul 3.00 untuk menghadiri mesyuaratnya. Ingat dekat ke dari Jalan
Duta ke Bukit Bintang? Nasib baiklah aku pro pasal jalan-jalan yang kurang traffic
jam di KL ni. Kalau tak, asyik sangkut ajelah. Itu pun sebab selalu naik motor
bila keluar dengan Pak su Halim yang kedekut tu.
Sebaik saja sampai kat depan pejabat Ariel
Iskandar, Amir memberhentikan motornya. Bila Ariel ingin bersalaman dan
mengucapkan terima kasih, Amir hanya mengangguk saja, dan tatkala Ariel
mengeluarkan note RM50 untuk
diberikan pada Amir sebagai hadiah, Amir pantas saja berlalu sambil mengangkat
tangan…. pelik sungguh mamat ni. Ariel hanya mengucapkannya dalam hati sambil
menghantar pandangan ke arah motor Amir yang laju menderum. Hai… pengalaman
pertama jadi passenger orang merempit
motor ni, bercampur-baur perasaan, syok pun ada, tapi kecutnya yang lebih.
Hari yang cukup memenatkan bagi Ariel Iskandar.
Dia tiba di rumah saat Maghrib sudah tua dan hampir-hampir terbabas. Kalau
terlepas waktu Maghrib tadi, alangkah besar dosanya. Ampunkan aku ya ALLAH.
“Ariel, jom makan!” Puan Hasni mengejut
Ariel yang terlelap di sofa.
“Tak ada seleralah ibu, penat sangat ni.
Ariel nak tidur.”
“Hai, apa yang penat sangat sampai tak ada
selera nak makan. Selalunya bukan main suka kalau ibu masak.”
“Ibu masak apa?” Matanya masih dipejam,
terlalu berat rasanya untuk membuka kelopak mata.
“Masak lemak ketam,” terus terbuka mata si
Ariel bila mendengar lauk kegemarannya.
“Betul ibu yang masak, bukan bibik?” Puan
Hasni ketawa, perangai tu tak berubah. Macam kecil-kecil dulu, suka sangat
masak lemak ketam.
“Yalah ibu yang masak, kalau tak percaya
pergilah rasa!” Ariel Iskandar bangun tanpa perlu dipujuk lagi, menonong saja
ke dapur.
“Eleh anak mak, kena ibu kejut baru nak
bangun, manja!” Sofia mengejek sambil ketawa mempersendakan abangnya.
“Kenapa dengki?”
“Taklah pula sampai nak dengki, tapi meluat
tengok abang, macam budak kecil aje.
Mengada-ngada. Sofia kejut tak nak bangun, nak tunggu ibu juga yang kejutkan,” sesedap rasa Sofia mengutuk.
“Memang abang anak mak, kau tu anak siapa?
Anak makhluk asing dari planet Marikh?” Giliran Ariel Iskandar pula yang ketawa
bila Sofia memanjangkan muncungnya.
“Ibu, tengok abang ni, selalu saja panggil
Sofia makhluk asing. Sofia tak suka tau!”
“Oh, ada juga perasaan kau ya Sofia? Abang
ingat kau tak ada perasaan. Mulut tu… kalau bercakap bukan main laser lagi. Tak padan dengan anak dara,” pandai pula Ariel membebel.
“Kalau Sofia mulut laser, abang apa susah?”
“Hah… tengok tu, dahlah mulut laser, kuat melawan pula tu. Sofia,
lelaki tak suka perempuan kuat melawan dan bermulut laser. Kalau tak ubah perangai tu, nanti tak kahwin awak, tak ada
orang nak, understand! Ada faham!”
“Habis, abang ingat orang perempuan nak ke
lelaki macam abang ni. Anak mak, asyik berkepit dengan mak saja. Kata ustaz
sekolah, orang macam abang ni anak yang dibangsakan ‘ummi’. Suka duduk bawah ketiak mak. Tak macho langsung!” geram sungguh Sofia, abangnya mentertawakannya.
“Mata Sofia dah kabur agaknya, abang yang
sikit punya handsome mengalahkan Jehan Miskin ni, Sofia kata tak ada
perempuan nak? Kasihan adik abang. Nanti esok abang bawa Sofia check mata tu, jangan-jangan mata Sofia
dah nak rabun kut?” Puas hati Ariel Iskandar dapat menyakat adik bongsunya yang
suka merajuk ni.
“Dah, makan! Jangan nak bertengkar lagi. Kamu
berdua ni kalau tak bertekak satu hari tak boleh. Macam anjing dengan kucing.
Tak pernah nak aman.” Puan Hasni memarahi anak-anaknya. Dah biasa sangat dia
mendengar Ariel menyakat adiknya. Penyudahnya terjadi perang mulut kerana Sofia
bukannya tahan kena sakat.
“Benci!” Sofia mula cemberut.
“Abang suka!” Ariel Iskandar mengejek.
“Balik tadi kenapa Ariel naik teksi?” Puan
Hasni bertanya.
“Humm… kereta mogok tengah jalan,” jawab
Ariel.
“Ha… ha… ha…. terjadi juga apa yang Sofia
kata selama ini, kira masinlah mulut sofia ya?”
Bukan main ketawa lagi Sofia tanpa rasa simpati.
“Hiss… tak baik macam tu, orang ditimpa
musibah awak ketawakan.” Puan Hasni menegur Sofia. Anak gadisnya yang seorang
ni lain macam sikit, tak seperti kakaknya yang penuh dengan rasa simpati.
“Betullah ibu! Dah berapa kali kita suruh
abang tukar kereta, kan? Degil, cakap orang tak mahu dengar. Hah… sekarang rasakanlah
bila si katak hodoh tu meragam di tengah jalan. Pasti memalukan?” ketawa Sofia
masih bersisa. Ariel juga ketawa mengenangkan keretanya yang sedang tidur di
bengkel budak bisu tu. Kata-kata Sofia yang bermulut laser dan ‘entah ada ke tidak
insuran’ tadi, sedikitpun tak terkesan di hatinya. Apa yang ada dalam hatinya
ialah esok dia akan menjenguk keretanya. Mungkin dah siap dibaiki. Susahlah
bila tak ada kereta ni, macam patah kaki dibuatnya.
“Habis kereta tu kat mana?”
“Mana lagi, masuk hospitallah, tapi mungkin
esok siap kut.” Ariel menjawab sambil meneruskan makan.
“Ariel, esok temankan ibu ke kedai kereta.”
“Ibu nak buat apa?”
“ Nak beli kereta.”
“Hai, kereta ibu, kan baru lagi, buat apa
nak tukar baru?” Hairan Ariel dengan
orang sekarang, selalu tak puas hati dengan apa yang ada.
“Kereta ibu memang baru, tapi kereta Ariel yang buruk. Ibu nak belikan
kereta untuk Ariel. Ariel pilih saja kereta apa yang Ariel nak. Ibu uruskan.”
“Wau!!! Bestnya. Sofia nak jugak!”
“Awak tu masih belajar, masih muda. Tak sesuai
orang muda diberi kemewahan, nanti lain jadinya.” Puan Hasni tahu, kenyataannya
itu membuatkan si bongsunya merajuk dan cemberut. Hmm... biasalah tu...
“Tak acilah, ibu tak adil!”
“Bukan tak adil, tapi belum masanya lagi.
Awak tu masih muda, darah panas, nanti over! Selalunya orang muda suka bertindak ikut
perasaan. So, ibu rasa bukan masanya
lagi, ibu belikan kereta untuk awak.” Panjang muncung Sofia. Sekira-kira,
hidung pinocchio pun boleh beatlah!
“Ibu, tak payahlah beli kereta untuk Ariel.
Kereta yang ada tu pun dah okey, cuma sekali-sekala aje dia meragam. Lepas
dibaiki, eloklah nanti.”
“Ariel, dah banyak kali ibu dengar kereta
awak rosak. Tak kanlah nak guna selama-lamanya kereta yang outdated tu?”
“Tapi Ariel suka kereta tu.”
“Yalah, kalau suka sekalipun, biarlah
kereta baru yang tak rosak. Ibu risau tau, kalau main rosak-rosak tengah jalan
ni. Kalau Ariel nak, ibu belikan Volkswagen Beetle Convertible ataupun
Volkswagen Polo. Buka balut punya, amacam, nak tak?”
“Entahlah, rasanya tak payahlah ibu. Nak
buat apa?”
“Ya ALLAH, abang ni, kereta baru tau tak?
Bukannya kereta sorong. Kalau Sofia kata abang lembab dan pelik, abang marah.
Tapi tengoklah, ibu nak bagi kereta pun abang tak nak. Apa punya olang!”
“Yalah… abang, kan dah ada kereta.”
“Tapi kereta abang tu dah buruk sangat.
Kalau jual pun hanya kedai besi buruk saja yang nak ambil, timbang kilo, kira 50
sen sekilo, itu pun dah kira mahal!”
“Amboi, bukan main sedap lagi awak mengata
abang? Pandai sangat le tu.”
“Yalah, abang tu pelik sangat. Ada ke patut,
ibu bagi kereta tak nak? His… kalau Sofialah, agaknya tak tidur malam, asyik
terkenangkan kereta aje.”
“Awak tu memang… sebab awak ada penyakit!” Bulat
mata Sofia bila mendengar kata-kata Ariel. Apa ada kena-mengena kereta dengan
penyakit?
“Ke situ pula, tak relevan langsung,”
tingkah Sofia.
“Sebenarnya awak tu ada penyakit hati, hubbu dunya, cintakan dunia dan gilakan harta.
Penyakit ini amat merbahaya, tak boleh dibiar, kerana ianya sering menular
dalam hati manusia lalu merosakkan iman.”
“Hmm… dahlah abang, tak payah nak
berceramah. Kalau abang tak nak kereta yang ibu nak belikan tu, jangan banyak
bual dan jangan banyak songeh, tak payahlah nak suruh orang lain jadi manusia
pelik macam abang tu.”
“Sofia, jaga sikit mulut awak tu.” Puan
Hasni memarahi Sofia yang bermulut laser,
yang confirmed tak ada insuran
itu. Manakala Ariel hanya melihat wajah Sofia sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya. Sesungguhnya, adik aku yang ini terlalu jauh dari hidayah ALLAH.
“Betul, kan
ibu, abang ni pelik orangnya?”
“Dahlah Sofia, biarkanlah abang dengan
pendiriannya.”
“Ibu tak marah?” Ariel bertanya,
takut-takut ibu terasa hati, kerana keikhlasan tidak diragui.
“Buat apa ibu nak marah? Tapi kalau Ariel
memerlukan pertolongan, beritahu saja ibu.” Ariel Iskandar mengangguk tanda
setuju. Bukan tak mahu kereta yang lebih selesa dan selamat, apalagi VW, tapi
biarlah dari hasil titik peluh sendiri, barulah bermakna segala harta yang kita
perolehi.
No comments:
Post a Comment