NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, August 17, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 4




                                             BAB 4


          SEBUAH kereta putih berhenti tepat di hadapan bengkel. Penumpangnya turun sementara pemandunya sedang mencari parkir yang lebih sesuai untuk keretanya. Amir berlari laju ke arah kawan-kawannya, dan memberi arahan kepada mereka supaya bersekongkol dengannya, lalu dia menghilangkan diri. Selalunya paling jauh dia ghaib pun ke restoran mamak di belakang bengkel Encik Halim ni.
          “Boleh saya bantu encik?” Kudin bertanya ramah, memang Kudin seorang yang budiman.
          “Saya Ariel, saya datang nak tengok kereta saya yang kena tunda semalam. Dah siap ke belum?”
          “Oh! Volkswagen putih tu ya? Semalam lagi dah siap. Amir yang repairnya.”
          “Amir mana?” Ariel melilau-lilau ke dalam bengkel. Tak pula nampak, yang ada hanya beberapa orang budak bengkel yang sedang tekun menyiapkan kerja mereka msing-masing.
          “Entahlah nanti saya tanya mereka tu.” Kudin beredar menuju ke  arah Pian dan Zaki, diikuti oleh Ariel.
          “Pian, kau ada nampak Amir?”
          “Amir tak ada. Dia cuti, balik kampung.”
          “Bukankah tadi dia ada?” Bingung Kudin dibuatnya. Memang sah tadi dia nampak Amir. 
          “Bila masa pula dia balik kampung?”
          “Pagi tadi.”  Pian menjawab acuh tak acuh.
          “Siapa yang balik kampung?” tiba-tiba Encik Halim bertanya sebaik saja dia menyertai mereka yang sedang bersembang. Muka Pian jadi biru, di ambang pucat. Zaki mula mencuitnya.
          “Amir, bos. Ni hah… Encik Ariel tuan punya Volkswagen, dia nak jumpa Amir.” Encik Halim menghulurkan tangan dan bersalaman, kemudian dia menatap legat ke wajah lelaki di hadapannya. Hmm… patutlah si Amir tu jadi bisu semalam, terpukau agaknya dengan lelaki ini. Macam Cristiano Ronaldo si Brylcreem Boy tu pun ada aku tengok, bisik hatinya.
          “Mana awak tahu dia balik kampung?”
          “Dia cakap, sebab neneknya sakit.”
          “Nenek belah mana?”  Encik Halim masih tak puas hati.
          “Katanya, belah mak dia.”  Zaki menyampuk, pada hal dia tak tahu pun belah mana-mana. Saja menokok nambah, biar nampak real sikit. Baru macam ia-ia.
          “Motor dia tu macam mana boleh ada kat sini?”
          “Entah, jalan sendiri kut.” Pian menjawab tanpa guna akal. Geli hati Zaki mendengarnya, lalu dihamburkan ketawanya, bertempias juga le sikit.
          “Tak payah nak kelentonglah Pian. Nenek dia yang sakit tu pun dah 5 tahun dah meninggal. Takkanlah aku tak tahu mak aku masih hidup atau dah meninggal,” terlopong Pian bila kena tembak dengan Pistol Angin bosnya, Encik Halim. Terlupalah pula, Encik Halim dengan emak Amir tu adik-beradik. Itulah agaknya side effect kari kepala ikan mamak Basyir! Si Amir tu pun satu, kalau nak gelembong, berpada-padalah, ini tidak… orang yang dah mati jadi pertaruhan. Gila, ape! Susah betul dengan si Amir ni. Bikin kecoh aje.  Pening kepala Ariel melihat cara mereka bersembang, apa masalahnya? Puzzel betul!
          “Pian, pergi cari Amir sekarang!” Encik Halim mengarahkan.
          “Tak tahu nak cari kat mana bos.”  Pian memberi alasan.
          “Tak ada ke mana perginya si Amir tu, pasti ada melepak kat Restoran Basyir kat belakang tu. Cepat! Aku nak tahu mana dia letak bil, orang dah tunggu ni.”
          “Oh, kalau bil kereta Volkswagen tu, Amir dah siapkan, dia cakap bil ada atas meja Encik Halim.” Zaki pula menyampuk.
          “Kau orang berdua ni suka sangat cover line untuk dia. Apa yang kau orang dapat?”
          “Dapat makan free bos.” Pian menjawab, dengan meletakkan sebelah tapak tangan di siring mulutnya seperti qari bertilawah.
          “Hah… kau makanlah lagi, itu dah kira rasuah, tau tak!”
          “Apalah bos ni, macam tu pun kira rasuah ke, itu namanya sedekah,” ujar Pian sinis.
“Banyak kau punya sedekah,” bentak Encik Halim.
“Amir tu baik, tak pula dia mengikut perangai pak sunya yang tangkai jering.”  Wah… bukan main berani lagi si Pian ni. Karang mengamuk Encik Halim baru tahu. Tengok tu dah kering muka Encik Halim menahan malu di hadapan Ariel.
          “Hei… kau ni dah berjangkit dengan perangai si Amir tu, aku baru cakap sepatah, kau dah berpatah-patah. Hah… ikutlah lagi perangai si Amir yang tak semiak tu.” Mereka semua ketawa termasuklah Ariel, walaupun dia tidak berapa mengenali Amir, tapi dari cerita yang dia dengar, mungkin Amir ni sangat istimewa di kalangan mereka.
          “Kalau tak dapat jumpa Amir tak apalah, mungkin lain kali. Saya ni bukan apa, nak ucapkan terima kasih sebab dia dah tolong hantar saya balik ke ofis semalam. Kalau tak ada dia, mungkin saya tak sempat menghadiri mesyuarat penting syarikat.”  Ariel bercerita jujur. Tapi yang peliknya kesemua mereka bermata bulat, macam terkejut sangat.
          “Encik naik motor Amir? Amir boleh hantar encik balik ofis?” Pian rasa macam tak percaya bila mendengarnya.
          “Ya, tapi kenapa awak orang semua macam teruja sangat ni?” Ariel bertanya kehairanan. Pian, Zaki dan Kudin semuanya senyum-senyum penuh bermakna.
          “Bukan apa, saja nak tahu. Laju tak Amir bawa?” Kudin bertanya.
          “Laju, macam kaki rempit. Takut saya dibuatnya. Makin saya peluknya, makin kuat dia pressed minyak. Hei… rasanya bertaubat tak nak naik lagi,” semua mereka ketawa, tak terkecuali Ariel.
          “Encik peluk Amir?”  Pian ni suka sangat bertanya.
          “Yalah, takut jatuh!” Mereka bertiga ketawa lagi. Apa masalah budak-budak kat bengkel ni? Agaknya semuanya pelik-pelik macam Amir juga kut, satu spesis. Encik Halim datang dengan resit di tangan dan diserahkan kepada Ariel. Pembayaran pun berlaku.
          “RM50 ni tolong bagi kat Amir, sebab semalam saya tak sempat nak beri padanya.”
          “Baiklah saya akan sampaikan.”
          “Okeylah saya pergi dulu, kirim salam saya pada Amir, cakap pada dia, terima kasih. Walaupun dia bisu, tapi pandai baiki kereta. Tabik!”
          “Hah… apa, bisu?” budak bertiga tu bertanya serentak, kemudiannya ketawa terbahak-bahak. Dah sah encik yang handsome ni dah kena kelentong dengan Amir. Mereka ketawa lagi. Pelik Ariel melihatnya. Stoned ganja agaknya budak-budak ni, detik hatinya, berprasangka.
          “Dahlah Encik Ariel, usah pedulikan budak-budak tu, dia orang bukannya betul sangat, sama saja dengan perangai si Amir,” ujar Encik Halim sambil beriringan dengan Ariel menuju ke luar bengkel.
          “Kalau ada masalah, datanglah lagi.”
          “Ya, insya-ALLAH…” selepas bersalaman Ariel pun beredar. Tapi mata Encik Halim tetap menghantarkan pandangan ke arah kereta Katak Putih yang sedang merayap menyusur jalan, sedangkan dalam hati tertanya-tanya kenapa Amir menyembunyikan diri?
          Apa yang dah berlaku? Adakah Amir membuat nakal lagi pada customernya. Bukan dia tak kenal Amir tu, tak habis-habis nak mengenakan orang. Bila nak berubah pun tak tahulah. Kadangkala kasihan dia melihat kakaknya yang selalu makan hati dengan perangai Amir yang tak makan saman tu. Sudah jenuh telinga kakaknya berdesing kerana menadah segala umpat keji orang kampung yang sering mengata Amir, tapi Amir tetap macam tu juga, buat bodoh macam lembu pencen. Hiss… manalah dia pergi? Halim merungut sendiri.
          “Pak su!!!” Tiba-tiba dia disergah dari belakang. Kus semangat! Nasib baiklah tak sakit jantung, kalau tak, bergulinglah dia dalam bengkel yang penuh dengan minyak ni.
          “Hiss… budak ni, tak reti-reti nak bagi salam. Buat terkejut pak su saja.”
          “Tu lah… kuat sangat berkhayal, siapa suruh? Tengah merindu seseorang ya?”
          “Rindu kepala hotak kau! Tengah fikir pasal kaulah. Ke mana kau pergi dari tadi? Asyik menghilang saja. Nak jadi Invisible Man ke, eloklah tu!”
          “Mana ada hilang, saya pergi minum kat Restoran Basyir saja, tak ada ke mana-mana pun.”
          “Dah tu kenapa kau suruh budak-budak tu menipu?” Amir ketawa kuat, geli hati sangat. Kawan-kawannya bertiga tu sanggup buat apa saja untuknya, janji belanja soru. Nasib baiklah ada kawan-kawan yang sporting. Kalau tak hanguslah aku.
         
          “Baik kau cakap betul-betul, apa kau dah buat pada budak Ariel tu, sehingga kau takut nak jumpa dia.”
          “Siapa takut?” Amir melenting. Wah… pantang dicabar nampak.
          “Kalau tak takut, kenapa kau lari? Mesti ada benda yang kau dah buat ni.”  Encik Halim masih kurang percaya dengan Amir.
          “Hieee… pak su ni, boringlah main tuduh-tuduh pulak, tak percaya pada anak buah sendiri. Ingat orang apa!”
          “Heh Amir… aku kenal kau bukannya semalam. Dah 23 tahun, tau tak, kau tu membesar di depan aku. Apa yang ada dalam kepala kau pun, aku tahu.”
          “Dah tahu kenapa tanya?” Amir menunjuk muka bosannya. Hah kena sebijik.
          “Sajalah tanya kut kau nak mengaku.” Halim mula menyengih.
          “Nak mengaku apa?” Pening kepala Amir dengan soalan pak sunya yang mengalahkan peguam yang tak dapat lesen.  “Please… tolong jangan tanya macam police, boleh tak!” rungut Amir.                              
          “Kau sukakan budak lelaki tu?” Terdongak kepala Amir kerana terkejut dek terjahan Halim. Amir menarik muka, nampak sangat dia tak suka isu seperti itu dibicarakan.
          “Apalah pak su ni, cakap benda yang merepek-repek, tak masuk akal langsung. Dahlah, saya nak pergi sambung kerja saya yang terbengkalai tadi.” Amir berlalu meninggalkan Halim yang cuba memasang jerangkap samar. Apa punya bapa saudara, main tuduh-tuduh pula, takkan tak kenal siapa aku? Cakap ikut sedap mulut dia saja. Karang aku mengadu pada mak aku, baru tahu. Tapi, nak ke mak aku dengar cakap aku? Selalunya mak aku kurang nak dengar cakap aku, dan aku ni pun dah diserahkan di bawah penguasaan dan jagaan pak su. Mak ni pun satu, ada ke main serah-serah. Macamlah aku ni barang atau parcel Poslaju. Tak cool tau duduk bawah jagaan pak su ni, asyik kena sekat saja. Tak ada maknanya tinggal kat Kuala Lumpur ni, bila nak berjalan pun, pak su ikut belakang. Penyudahnya aku pun dah malas nak keluar ke mana-mana, kalau asyik bersama  dengan pak su. Stress tau tak?
          Kawan perempuan langsung tak ada. Walaupun aku tak sempurna seperti orang lain, tapi aku nak juga berkawan dengan perempuan, at least ada juga feel. Taklah rasa kosong dan tegak aje macam tiang elektrik.
          “Woi! Termenung nampak. Ada masalah ke?” Pian mengejut dari belakang.
          “Kau ni, kan kalau tak sergah orang tak boleh ke. Karang dibuatnya aku latah, habis seluruh badan kau mandi minyak hitam, nak? Ha… jadi orang minyaklah kau,” marah Amir bila dia disergah. Tau pula dia marah, sergah orang takpe.
          “Alah sergah sikit dah temper. Tak cool langsung.”
          “Kalau kau nak cool, kau pergi masuk dalam peti sejuk mamak kat belakang tu. Aku ni, pantang datuk nenek moyang aku kalau kena sergah macam ni. Lain kali bagilah salam, kita orang Islam.”
          “Yalah… Assalamualaikum!”
          “Waalaikumussalam, apa kau nak?”
          “Aik… boleh kau buat tanya pula. Aku datang menuntut janji-janji manis mu tadi. Sekarang aku dan Zaki nak pergi makan tengah hari. Ada faham?”
          “Yalah, nah ambil duit ni, kau belanja Kudin dan Ripin sekali, tapi kau tunggu bengkel sekejap, aku nak solat Zohor.”
          “Amir, kau solat pakai apa?”
          “Pakai pakaian yang bersih dan menutup auratlah bengong, dah tahu tanya pula.”
          “Tak susah ke nak kena tukar pakaian bila setiap kali nak solat?  Tangan pula berminyak-minyak.”
          “Pian, kalau nak seribu daya, kalau tak nak seribu dalih. Tapi kalau kau tak solat maka beribu-ribu lemonlah dosa kau tanggung dan rezeki yang kau dapat pula tak berkat.”
          “Dahlah pergi cepat, jangan nak berceramah pula. Aku dah lapar ni.”
          “Kau tu kira perut kau saja lapar, tapi rohani kau lapar, tak pula kau peduli.” Amir menemplak.
          “Pergi ajelah, lagi lambat kau pergi, lagi lama aku menunggu,” Pian menghalau Amir yang sedang ketawa mengejek. Pening Pian tengok Amir ni. Orangnya kasar dan brutal, tapi solat tak pernah tinggal. Walaupun suka mengenakan orang, tapi hatinya baik. Kadang-kadang Amir berhati malaikat, penuh prihatin dan kasih sayang.

No comments:

Post a Comment