BAB 5
PETANG
minggu yang damai. Similir angin bertiup nyaman, membawa bau-bauan dari pohon
yang berbunga di sekitar tasik. Amir
bersendirian di Taman Tasik Permaisuri. Tanpa Pian atau Zaki. Tak ada pak su, Musa ataupun
Ripin yang menemaninya. Mereka semua ada hal masing-masing. Macam mana dia
boleh tercampak di tepi tasik ni pun dia tak berapa nak ingat, tau-tau saja dia
dah bersendirian bersama motor kapcainya. Bersendirian memang membosankan. Lone, lonely, so lonely! Nasib baiklah
dia membawa teman sejatinya yang selalu menjadi penawar di kala duka dan
menjadi penghibur di kala lara.
Amir
menyelak setiap muka surat majalah Gila-Gila keluaran terbaru yang baru
dibelinya, membaca dan kemudian ketawa sendiri. Memang itulah kerjanya bila ada
masa lapang ataupun dalam keadaan tertekan. Terbongkok- bongkok Amir menatap majalah Gila-Gila dengan penuh asyik tanpa
mempedulikan orang lain yang lalu-lalang dengan aktiviti masing-masing. Bagaikan
tenggelam ia di dalam dunia kartun yang penuh humor itu. Sesekali bergema
gelaknya.
Tiba-tiba
bahu Amir ditepuk. Terkejutnya bukan main lagi sampai tercampak majalah di tangan.
Amir mengutip majalahnya, kemudian mendongak. Kus semangat! Melabuk jantungnya
berdegup. Tak sangka pula terjumpa tuan punya kereta katak yang handsome tu.
Mana lagi nak lari?
“Sorrylah buat Amir terkejut.” Ariel
menyapa sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Ah… sudah! Macam mana nak
bersalam? Tak terfikirlah pula ada orang akan bersalam dengannya. Amir hanya
menganggukkan kepala sambil menggaru kepalanya yang tak gatal. Nak buat macam mana
ni?
“Sorang
ke?” Amir senyum sambil menunjukkan jari telunjuknya. Simbol satulah agaknya
tu. Padan muka! Suka sangat menipu jadi bisu, penyudahnya terpaksa jadi bisu
setiap kali jumpa tuan punya kereta katak tu. Manalah tahu asyik nak terjumpa
mamat ni aje. Kalaulah tahu asyik nak terkantoi saja, taubat aku tak nak menipu
lagi. Betul kata mak, orang menipu ni selalunya hidup tak senang.
“Mana
kawan-kawan yang lain?” Amir terpaksa
menggunakan bahasa isyarat. Jenuh dia bengkok, tegak, ke depan, ke
belakang, ke atas, ke bawah, ke darat,
ke baruh tapak tangan dan jari-jemarinya. Entah betul entah tidak.
Kadang-kadang dia sendiri naik ketawa mengenangkan bahasa isyarat yang dia
buat, entah apa-apa. Kalau orang cacat pendengaran tengok, pasti dia orang pun
gelong melihat bahasa isyarat yang dia buat. Mampuih!
“Boleh
saya duduk kat sini?” Bulat mata Amir
bila mendengar permintaan Ariel. Nak buat lagu mana lagi, dah terkantoi macam
ni kenalah bagi, karang dikatakan sombong pula. Habislah kekhusyukan dia
mentelaah majalah kesayangannya itu. Belum pun Amir mengizinkan, Ariel dah pun
duduk di sebelahnya, di atas bangku panjang yang menghadap tasik. Wah romantiknya!
Tak ada maknanya.
“Awak
baca apa?” Amir menyengih sambil menghulurkan majalah. Rasa malu pun ada. Dah
besar-besar panjang macam ni masih lagi dok baca benda yang tak berfaedah.
“Oh!
Majalah Gila-Gila. Issue terbaru ke!
Patutlah saya tengok awak bukan main asyik lagi membaca.” Amir hanya menyengih
sambil mengangguk. Nampaknya dah macam burung belatuk saja si Amir ni, kesian…
Dalam diam Amir merenung ke arah Ariel yang tumpang tui membaca majalah satira
No.1 di Malaysia itu. Hai… dah buat harta nampak? Sesungguhnya lelaki di
sebelahnya ini adalah ciptaan ALLAH yang amat sempurna. Tubuh badannya yang
tinggi sasa, rupa parasnya yang kacak menawan, dan kulitnya yang putih bersih,
cukup memikat hati sesiapa saja yang melihatnya. Poster Boy gitu! Jauh sekali kalau nak dibandingkan dengan dia yang
berkulit sawo matang, rupa pula taklah elok mana, tapi manis ada, dan kerjaya
pula hari-hari bermain dengan minyak hitam. Ah… nasib badan nak buat macam mana.
Tapi kenapalah pula jejaka sempurna seperti
Ariel ni nak berkawan dengan aku yang tak punya
apa-apa ni? I say man… rasa canggunglah
pula bila duduk melepak dengan orang handsome
ni, macam ada yang tak kena aje! Maklumlah, yang seorang ni nampak macam sangat hebatnya, dan yang seorang lagi nampak
sikit ‘kureng + poyo’. Bak seperti kata perumpamaan Siam kuno, yang dinaqal dari mek sempadan; satu bahan seni
yang indah VS satu longgok besi buruk yang boleh direcycle. Ah… apa-apa ajelah. Sebenarnya aku bukan suka sangat bila
mamat ni melepak sekali dengan aku. Kalau boleh, biarlah mamat ni buat-buat tak
nampak aje aku kat sini tadi, ataupun buat-buat tak kenal, lagi baik. Sepatutnya
mereka pun tak perlulah nak beramah mesra, nak ‘ngakai-ngakai’, kerana aku pun
bukan ada apa-apa kepentingan pun dengan dia. Aku ni bukanlah rendah diri, inferiority complex ke apa, tapi tengoklah aku ni, hanya berseluar jeans
lusuh, t-shirt dan jaket ‘chokia’
serta kasut jazz star saja. Jauh sangat bezanya dengan kenalan baru yang
belum aku iktiraf ini, yang cukup segak dengan pakaian sukan Adidas yang mahal dan bergaya. Segan
siot!
Tiba-tiba
Amir terdengar bunyi benda jatuh di belakangnya, kemudian diiringi bunyi
tangisan. Amir menoleh. Rupa-rupanya ada budak jatuh tertiarap di atas jalan. Tanpa
berlengah Amir berlari mendapatkan kanak-kanak tersebut yang sedang menangis
kesakitan.
“Jangan
menangis sayang! Orang cantik dan
pandai tak nangis, sikit aje… sabar ya!” Amir membisik perlahan. Kanak-kanak
perempuan itu legat melihat wajah orang yang tak dikenalinya, tapi air matanya
masih berjurai.
“Siapa
nama adik?” Amir bertanya kepada anak
kecil itu.
“Alisya.”
“Berapa
umur adik?”
“3
tahun.” Wah… petahnya dia walaupun dalam sedu, anak sapo ni? Tersenyum Amir
mendengarnya.
“Mana
mak?” Anak kecil itu menunjuk dengan tangan comelnya ke arah sebuah keluarga
yang sedang berkumpul, picnic
mungkin.
“Jom
kita jumpa mak.” Amir mendukung kanak-kanak tersebut, lalu berjalan menuju ke
arah kelompok manusia yang dimaksudkan oleh Alisya.
“Assalamualaikum!”
Amir memberi salam tatkala tiba di situ.
“Waalaikumussalam.”
“Ini
anak akak ke? Saya jumpa dia jatuh tertiarap kat hujung sana tu. Tu hah…
lututnya berdarah sikit.” Seorang
perempuan muda lewat 20-an, agak terkejut bila diberitahu tentang keadaan
anaknya.
“Ya
ALLAH, akak tak sedar pun dia tak ada. Akak ingatkan dia bersama dengan
abang-abang dia kat playground tu… ya ALLAH… terima kasihlah
banyak-banyak dik.”
“Bahaya
akak, dia merayap seorang diri. Zaman sekarang ni manusia berhati syaitan ramai,
kat mana-mana pun ada, bukan kita kenal! Takut pula saya apa-apa terjadi pada
Alisya.”
“Betul
tu dik, akak pun takut, tapi Alisya ni jenis tak tahu takut, terlampau berani, lepas
tu pula mudah mesra dengan orang yang tak dikenali. Nasib baik dia jumpa dengan adik, kalau terjumpa dengan
orang jahat, tak ke naya akak. Oh… simpang malaikat 44.”
“Kalau
macam tu akak tak boleh terlepas pandanglah, kena awasi dia selalu.”
“Ya
dik, insya-ALLAH akak akan selalu mengawasinya, sebab akak tahu dia ni jenis yang
lasak, hyperactive dan tak dengar
kata,” macam menyindir aku saja.
Teringat dia pada mat Bangla yang pernah menyindirnya, adik manis… itu cili
pedas memang ada rasa!
“Biasalah
akak, nama pun budak, mana reti diam, saya kecil-kecil dulu pun macam tu jugak.
Lasak sangat, tapi kat kampung kuranglah sikit bahayanya.”
“Eh,
lupa nak tanya, adik ni siapa nama?”
“Saya
Amir.” Kakak yang ramah tadi terdiam seketika sambil menilai Amir dari atas
sampai ke bawah. Huh… biasalah manusia suka menilai dari luaran, tak boleh
salahkan jugak. Amir menjadi serba salah, namun akhlak dan etika bermasyarakat
perlu dipertahan.
“Amir,
jomlah joint akak dan anak-anak, akak
ada sedikit makanan ni, bolehlah kita berborak-borak.”
“Tak
apalah akak, saya ada kawan kat sana tu.
Saya pergi dulu ya, dah lama kawan saya menunggu.”
“Oh
begitu ke! Terima kasih banyak adik, semoga ALLAH merahmati dan memberkati
adik.”
“Amin
akak.” Amir berlalu sambil melambaikan tangannya kepada Alisya dan anak kecil
itu membalasnya, ada tusukan rasa bahagia di hati Amir bila melihat senyuman
ikhlas dari Alisya.
Dari
jauh Ariel memerhatikan gelagat Amir, suatu titik pertanyaan, one big fat question mark mula tertonggok
di kepalanya, siapakah Amir yang sebenarnya? Bila melihat cara Amir berhubungan
dengan budak perempuan tadi, seolah-olah kelihatannya dia bertanya, dan anak
itu menjawab. Begitu juga semasa dengan perempuan, yang mungkin ibu kepada anak
tersebut. Amir tidak menggunakan bahasa isyarat, sebagaimana yang diperlakukan
terhadapnya. Ish… pelik betullah budak ni.
Tapi
sikap pelik Amir itulah, yang selama ini membuatkan hatinya tertarik untuk
mengenalinya. Kalau selama ini dia dinilai pelik oleh adik-beradiknya, kali ini
biar dia pula menilai Amir sebagai mamat pelik. Nak juga merasa menilai. Sesuatu
yang menarik tentang Amir ialah dia mudah nampaknya memberi pertolongan dengan
ikhlas walaupun pada orang yang dia tidak dikenali. Suatu kehebatan peribadi yang
sukar dimiliki remaja masa kini, kerana masyarakat sekarang sudah hilang sifat Itharnya,
iaitu sifat mementingkan orang lain berbanding diri sendiri. Sifat Ithar yang
diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya demi untuk memelihara kerukunan hidup
bermasyarakat.
“Kenapa
dengan budak tu?” Ariel bertanya sebaik saja Amir melabuhkan punggungnya, duduk
di sebelah Ariel. Amir tetap memegang rahsia dirinya dengan tidak menjawab,
lalu dikeluarkan buku catitan dan dia menulis sesuatu. Nak lebih-lebih guna
bahasa isyarat pun, nanti takut tercucuk hidung. Al-maklumlah, bukan pernah
pergi kursus.
“Biasalah
budak nakal, suka merayau-rayau sendiri. Tak tahu takut.” Ariel membaca tulisan
Amir yang sememangnya buruk macam cakar ayam.
“Budak
tu macam awak, kan?” Ariel Iskandar memperli sambil ketawa. Saja nak kenakan
Amir, manalah tahu kut Amir tak tahan kena sindir maka terkeluarlah segala
bahasanya. Tapi Amir tetap cool, dia hanya menyeringai saja tanpa
sebarang response.
“Tak,
saya budak baik.” Makin galak Amir menulis, makin seronok Ariel membaca.
“Tak
malu, masuk bakul angkat sendiri.” Ariel mencebik sambil ketawa. Geli hati Amir
melihatnya, rasa nak saja ketawa kuat-kuat.
“Tak
apa, bakul plastik ringan saja, lagipun kalau sendiri tak angkat, siapa lagi
mau angkat? Sendiri mau ingat!” Laju saja Amir menulis.
“Kalau
tak ada orang nak angkat, biar saya saja yang angkat, kemudian saya humban awak
dalam tasik ni, setuju?” Ariel ketawa nakal, manakala Amir tersenyum kambing,
boleh tahan juga mamat ni. Amir mencapai kertas lalu melukis lakaran kartun dan
menulis sesuatu.
“Oh…
awak pandai melukis,” kuat ketawa Ariel bila melihat lakaran kartun mengenai
dirinya yang terjatuh ke dalam tasik bersama bakul yang dijunjung. Puas hati,
senyum Amir menggulung di bibir bila dapat mengenakan Ariel, manakala Ariel
belum habis ketawanya dengan lawak selamba Amir walaupun tanpa kata-kata. Kalau
Charlie Chaplin masih hidup, pasti
dia suruh sign kontrak.
Saat
Amir leka melukis lakaran kartun, Ariel mencuri pandang ke arah raut wajah yang
empunya lakaran, entah mengapa dia menjadi senang setiap kali menatapnya. Pada
pertemuan pertama dahulu pun sudah ada rasa senang bila berhubung dengan Amir,
walaupun hanya atas coretan kertas. Mungkin itulah kelebihan Amir, maka tak
hairanlah kalau kawan-kawannya sanggup bersekongkol untuk menolongnya.
Tiba-tiba
Amir mengangkat muka. Pandangan mata mereka bertembung seketika. Bening mata
Amir melihat anak mata Ariel yang menikam jauh ke dalam anak matanya dan
tertusuk ke ulu hati. Suatu arus rasa aneh yang sedang mengalir laju dalam urat
sarafnya. Cepat-cepat Amir melarikan pandangan matanya, dan Ariel seakan
tersedar dari kesilapannya. Ya ALLAH, takkanlah aku jatuh hati pada jenisku sendiri?
Ariel menyoal hatinya yang dalam kekeliruan. Ya ALLAH jauhkan aku dari sifat fahisyah, kekejian!
Bila
senja merangkak tiba mereka pun berpisah mengikut haluan masing-masing. Dalam
hati Amir dia berharap tidak akan bertemu lagi dengan lelaki tersebut. Biarlah
kenangan indah hari ini berakhir di situ saja, tak perlu ada kesinambungan
dalam perhubungan ini. Dia berjanji tidak akan melayani Ariel lagi, walaupun
lelaki itu telah berjanji akan datang untuk menemuinya. Yang pastinya berbagai
masalah baru akan timbul sekiranya mereka selalu berhubungan, walaupun sebagai
seorang teman biasa. Adios!
Selamat membaca. Lain kali Ummu poskan lagi . Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin
No comments:
Post a Comment