BAB 2
AMIR
sibuk mengemas peralatan bengkel yang berselerak. Sambil mengemas mulutnya
becok mengomel itu dan ini. Dua orang pekerja sibuk dengan kereta yang dibaiki.
Masing-masing hendak disiapkan dalam masa yang terdekat. Esok hari minggu,
biasanya Encik Halim akan tutup kedai dan dia tidak akan menyimpan kereta
pelanggan di dalam bengkelnya.
“Mir,
apa hal kau! Datang bulan ke? Asyik membebel saja dari tadi.” Zaki yang sedang
membuat alignment tayar menegurnya. Amir tidak menjawab, tapi
menunjukkan penumbuk ke arah Zaki yang sudah pun tersengih. Bukan dia tak tahu
perangai Amir, pantang diusik melentinglah dia.
Telefon
berbunyi nyaring. Encik Halim menjawab, seketika kemudian menjerit nama Amir.
Amir meluru masuk ke pejabat.
“Apa
hal pak su panggil Amir?”
“Tolong
pergi ke Jalan Duta. Ada kereta rosak tepi jalan.”
“Tak
naklah…panas ni! Pak su ajelah yang pergi.”
“Aik…ini
dah lebih! Siapa bos?”
“Pak
sulah…” Amir buat muka sekupang.
“Dah
tu, nak kena potong gaji kerana melawan?” Encik Halim mula tarik tali.
“Ah…tak
acilah macam ni. Asyik nak potong gaji aje. Orang lain, tak pula. Tu… suruhlah
Zaki atau Pian yang pergi.”
“Kau
tak nampak ke dia orang tu tengah sibuk. Kau pula bukan ada kereta yang nak
dibaiki, asyik dok membebel dari tadi. Naik cair tahi telinga aku mendengarnya.”
“Alah
pak su pilih kasih. Pian tu, tak pernah pun keluar. Asyik kerja dalam bengkel
saja. Orang ni selalu saja yang kena pergi. Ini tak adil!”
“Adil
kepala hotak kau. Tiap kali kau pergi bukankah pak su selalu bagi elaun. Tak
tahu nak bersyukur?” Encik Halim
pura-pura marah pada anak saudaranya yang selalu banyak songeh.
“Ya
ke ?” Amir buat-buat lupa sambil menggaru kepala.
“Dah,
cepat pergi. Dah lama customer menunggu. Buat kerja elok-elok jangan nak
mengamuk tak tentu kira, tak tentu hala. Ingat! Setiap customer adalah duit, fulus… fulus.”
“Ah…
pak su mata duitan!” Amir melaung sambil mengenakan topi keledarnya.
“Lebih
baik jadi mata duitan, dari jadi mata keranjang.” Encik Halim membalasnya
sambil ketawa.
“Pak
su ni sama saja dengan Encik Krabs dalam cerita kartun SpongeBob
SquarePants yang famous tu.
Asyik fikir duit saja. Cuba fikir macam mana nak buat kebajikan pula.” Amir
masih mengomel.
“Weh…pergi
ajelah. Naik bengkak anak telinga aku bila dengar kau membebel. Macam nenek tua.” Pian bersuara.
“Heh…kau
cakap baik-baik sikit. Karang tak pasal-pasal aku repair anak telinga
kau yang bengkak tu. Sedaplah kau cakap, sebab bukan kau yang kena pergi. Dah
naik berkarat muka aku asyik dok repair kereta kat tepi jalan aje.”
“Dah
nasib kau Amir. Kau yang suka cari penyakit, kan?” Pian dan Zaki gelak kuat
dengan maksud yang tersendiri.
“Sudahlah,
malas aku nak layan kau orang berdua, buat sakit hati saja.” Amir melaung
sambil menghidupkan enjin motornya.
“Elok-elok
bawa motor, jangan nak merempit!” Encik Halim menjerit ke arah Amir. Entah
dengar entah tidak, bila kepala sudah disumbat dengan topi keledar. Kemudian
motor Amir mendecit keluar. Encik Halim
menggelengkan kepalanya beberapa kali. Entah nak jadi apa dengan anak buahnya
yang seorang ni, tak serupa orang langsung, dan tak pernah makan saman.
Perangai Amir yang kasar itu agak membimbangkan hatinya.
Amir
berhenti betul-betul depan kereta yang rosak itu. Terkedu dia seketika bila
melihat kereta putih yang tercongok di tepi jalan. Huh… nasib baik tepi jalan,
kalau tengah jalan, lagilah haru.
Amir
menghampiri kereta tersebut, meninjau dan mengintai ke dalam kereta. Tuan punya
kereta tak pula nampak. Tiba-tiba terjengul kepala seorang lelaki yang entah
dari mana. Kus semangat… terasa nak menjerit dan melatah saja kerana terkejut, tapi
minda dan akalnya sempat berfungsi. Mana boleh melatah, nanti tak macholah. Tak cool…kata budak-budak sekarang.
“Assalamualaikum!”
Lelaki tersebut memberi salam. Amir tidak dapat menjawab, kerongkongnya seperti
tersekat. Matanya membulat besar macam orang tertelan biji durian mangko.
Kenapa dengan Amir ni? Kut ya pun terkejut, janganlah sampai macam orang kena pukau. Peliklah…mulut
ternganga sampai tak boleh tutup. Tiba-tiba Amir tersedak dan terbatuk-batuk.
Dah sahlah tu! Ini mesti tertelan chewing gum yang selalu dikunyahnya.
Amir menepuk-nepuk dadanya. Kemudian sebotol air di hulur untuknya. Dengan
rakus Amir mengambil, lalu diteguknya sehingga puas. Ah… lega!
“Sorrylah
buat awak terkejut sampai tercekik. Saya Ariel Iskandar.” Ariel menghulurkan
tangan, tapi Amir mengangkat tangan dan menunjukkan tangannya yang bersarung
itu kotor, maklumlah tangan mekanik, bukan tangan pujangga. Tak perlu
bersalaman, lagipun ini bukannya sesi ramah mesra. Tapi yang peliknya Amir dah
tak boleh nak bercakap, dah jadi macam orang bisu. Perkataan yang keluar dari
mulutnya hanyalah aaaa… sebijik macam orang bisu. Apa sudah jadi ni? Takkan terkejut sampai hilang suara. Rasanya belum
lagi ada dalam World Book of Records. Pasai apa Amir jadi lagu tu?
Ariel
Iskandar tersenyum melihat gelagat mekanik muda yang berada di hadapannya.
Nampak sangat budak ni seorang yang mudah kelam. Manakala Amir pula rasa nak
tumbang serta-merta bila melihat sebaris senyum yang terukir indah di bibir
lelaki tersebut. Cukup indah dan menawan sekali, senyuman itu membuatkan lelaki
kacak di hadapannya itu, bertambah-tambah kacak. Ya ALLAH, aku tak pernah lagi
melihat lelaki yang handsome giler macam ni. Selalunya aku tak pernah
ambil tahu tentang lelaki-lelaki yang selalu berada sekeliling aku. Kalau handsome
sekalipun, hanya mata saja yang mengiktirafnya, tapi tidak sekali-kali pada
hati.
Kali
ini, lain sangat, lain bebeno rasanya, dia mengakui, lelaki tersebut adalah ‘purefect’.
Memang asli punya sempurna. Terpukau seketika
dia melihatnya. Rasa macam dalam mimpi. Atau umpama mimpi dalam mimpi pun ada.
Agaknya perasaan teruja yang seperti inilah, yang telah berlaku pada kalangan
isteri pembesar-pembesar Mesir pada zaman Nabi ALLAH Yusuf a.s. Sewaktu
Zulaikha selaku ibu angkat kepada Nabi ALLAH Yusuf a.s mengajak Yusuf memenuhi
cinta asmaranya yang sudah sekian lama bergelora. Tapi Nabi ALLAH Yusuf menolak
bujukan cinta tersebut dan menjawab;
“Aku berlindung kepada ALLAH (dari perbuatan yang keji itu);
Sesungguhnya TUHANku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; Sesungguhnya orang-orang
yang zalim tidak akan berjaya.”
Bila
hal yang berlaku antara Nabi ALLAH Yusuf a.s tersebar ke seluruh kota Mesir,
Zulaikha menjadi geram dan marah kerana seluruh isteri pembesar Mesir menghina
dan mencacinya. Lalu dia menghimpunkan semua isteri pembesar-pembesar Mesir dan
diberinya sebiji oren dan sebilah pisau. Kemudian disuruhnya Nabi ALLAH Yusuf
a.s menghadirkan diri di hadapan para isteri pembesar tadi.
Sebaik
saja mereka melihat keindahan wajah Nabi ALLAH Yusuf a.s, maka tercengang dan
takjublah semuanya sehingga dalam tidak
sedar mereka telah melukakan tangan mereka sendiri sambil berkata: “Sesungguhnya
jauh ALLAH dari segala kekurangan. Ini bukanlah
manusia, tapi tidak lain, malaikat yang mulia.”
Zulaikha
berkata kepada mereka, inilah orangnya yang kamu cerca dan tempelak aku dahulu.
Bayangkanlah dia berada di hadapanku dari kecil sampai dewasa.
Ariel
memetik jarinya beberapa kali untuk mengejutkan Amir dari lamunannya. Amir mengedipkan
mata seolah dia baru terjaga dari dipukau. Wah… dahsyat sungguh keterujaan ini
sehingga menghilangkan kewarasan. Amir ketawa dalam hati kerana kebodohannya. Seumur
hidupnya dia tidak pernah berkelakuan seperti ini. Amir merenung ke dalam
dirinya, alangkah jauh bezanya antara mereka berdua. Rasa malu menyelinap di lubuk
hatinya dengan tiba-tiba. Segala kekurangan dirinya perlu disembunyikan.
“Aaaa…
aaa… ” Amir berlagak seperti orang bisu. Alang-alang dah bisu tadi, jadilah
orang bisu sekejap. Tentu seronok merasai pengalaman baru, hi… hi… hi…
“Apa?
Saya tak faham.” Ariel mengerutkan dahinya. Kasihan dia bisu rupanya! Ariel
merenung ke arah Amir yang masih bertopi keledar. Amir menundukkan
pandangannya.
Amir
berbahasa isyarat bertanyakan kenapa dengan kereta ni?
“Tak
tahu, enjin mati tiba-tiba.” Ariel
memberitahu dan Amir mengangguk, tanda faham. Ariel mengerutkan dahi tanda
pelik, bukankah kalau orang bisu selalunya pekak. Budak lelaki ni bisu tapi
boleh dengar. Amir sedar dia sedang dinilai oleh sepasang mata yang culas melihatnya
ke atas dan ke bawah. Kenapa pelik sangat ke? Kemudian dia meluru pergi ke depan untuk
membuka boot dan melihat enjin. Seketika itu Amir menjerit kerana
terkejut, tapi masih dalam kawalan, maklumlah orang bisu. Ariel ketawa kuat
melihat telatah Amir yang terkejut bila tiada enjin pun di boot hadapan
kereta. Memanglah mangkuk! Enjin kereta Volkswagen
Beetle ada kat belakang, bukannya macam kereta biasa. Macam tak biasa
pulak. Tahu… tapi lupa, sebab separuh daripada kewarasan aku dah hilang bila
tuan punya kereta yang handsome giler ini, asyik ke hulu ke hilir
mengikuti aku.
Ariel
membuka boot belakang untuk membolehkan Amir melihat dan memeriksa keadaan
enjinnya. Dengan semangat dan kepakaran yang ada, Amir memulakan kerjanya.
Mengusik dan menyentuh mana-mana yang patut, mencabut dan mencucuh semula apa
yang dia tanggalkan. Mengetat mana-mana yang longgar. Buat kata pomen veteran;
rodi sana, rodi sini. Tapi bila start semula enjin, tak juga mahu hidup.
Hiss… kacau betul! Apah tak hei!
Amir
mengeluarkan hanfonnya dari poket seluar overallnya yang berwarna biru
gelap. Kemudian dia membuka sarung tangan yang dipakainya untuk memudahkan dia
menekan butang-butang keypad yang
sudah kelihatan pudar itu.
Dalam
diam Ariel Iskandar memerhati. Tak sangka ya, tangan mekanik ni cantik dan bersih.
Selalunya kalau mekanik tangan pasti hitam kotor dan berminyak. Kadang-kadang
tu tengok pun geli. Tapi mamat mekanik seorang ni lainlah pula, macam tak
sesuai saja jadi mekanik. Buat kerja pun nampak bukan pandai mana. Tengoklah
dari tadi dok kobek itu dan kobek ini, tapi enjin tak juga hidup. Jangan jadi
tikus baiki labu dah… Airel mengeluh dalam hati. Tiba-tiba mamat mekanik yang
bisu itu mengangkat muka dari melihat hanfonnya. Pandangan mereka bertemu.
Ariel naik seriau bulu kakinya. Mamat ni betul ke tak? Lain macam saja aku
tengok.
Ariel
menoleh ke arah lain, memerhati kereta yang sedang bertali arus, sedangkan Amir
sibuk menekan-nekan butang keypad hanfonnya.
“Bos,
kereta tak mahu hidup, camna ni?” Mesej
dikirim dan dia menunggu untuk direply.
“Dah
check motor starter?”
“Dah, semuanya baik, tapi minyak pada kaburator dah melimpah.”
“Kena
cucilah.”
“Tapi
mana cukup alat bos. So camna?”
“Cuba
dulu dengan pijak pedal minyak sepenuhnya, jalankan motor starter. Kalau x
berjaya juga kena bawa bengkel.”
“Yes bos.” Amir menutup hanfonnya dan dimasukkan
ke dalam poket overallnya. Legat
Ariel Iskandar memerhatikan Amir. Apa ke hal mamat ni, siap main mesej-mesej
lagi. Nak repair kereta ke, tak? Aku
dahlah lambat ni, dia main-main pula. Ingat apa!
Amir
melakukan seperti apa yang disuruh oleh pak sunya, tapi malangnya tak berjaya
juga. Dua tiga kali dicuba, namun masih tak berjaya. Dah sah kereta katak ni
nak kena tunda ke bengkel. Amir mengeluarkan hanfonnya sekali lagi. Lalu
menghantar mesej.
“Bos,
si katak ni tak mahu jalan.”
“Katak
mana pulak?” Mesej dibalas.
“Lembab
betullah bos ni, Voklswagen Beetle cabuk!”
“Nantilah
pak su hantar kereta tunda. Yang kau ni apa pasal asyik main mesej saja, cakap
terus, kan senang. Kenapa, kedekut sangat dengan kredit?”
“Dah
bisulah bos.”
“Pasai
apa pula bisu? Tadi elok saja suara.”
“Tak
ada apa-apalah bos.” Amir senyum sendiri dengan lakonannya yang terbaru.
“Eh
bro… sekarang ni awak nak repair
kereta atau nak main mesej-mesej? Saya dah lama kering tepi jalan ni, tau!
Lagipun sekejap lagi saya ada mesyuarat penting.”
Terpanggung
kepala Amir bila mendengar lelaki kacak tadi mula naik angin. Rasa tercabar pun
ada. Kalau tak tahu apa-apa janganlah bising. Amir mengeluarkan buku nota kecil
dan pen yang selalu ada dalam seluarnya, lalu menulis sesuatu dan diserahkan
kepada tuan punya kereta.
“Kereta encik tak boleh dibaiki kat
sini. Tak ada alat, kena bawa bengkel. Kejap lagi kereta tunda sampai,” terkejut
Airel membacanya. Dah main tunda-tunda ni, mesti kes berat.
“Apa
masalahnya?” Ariel bertanya cemas.
“Masalah
kaburator tersumbat. Terpaksa kena bawa ke bengkel, macam mana?” Amir menulis
lagi dan Ariel membacanya. Riak resah mula menyelubungi wajah kacak itu.
Kemudian Ariel mengeluarkan smartphonenya
dan mula bercakap-cakap dengan seseorang sambil berjalan ke hulu ke hilir. Dah
naik juling mata Amir melihatnya dan dah naik mengantuk menunggu keputusannya.
Takkan lama benar berbincang dengan segala kaum kerabatnya. Masaklah aku kalau
macam ni, aku kalau tengah-tengah panas macam ni mulalah mengantuk, mata tak
boleh nak celik. Sengkang dengan bilah mancis pun, tak dimahunya. Jadi sebelum
penyakit pelik aku datang lebih baik buat keputusan, senang aku nak beredar.
Amir menulis sesuatu lalu diserahkan kepada Ariel.
“Bro…
nak bincang masalah negara atau nak repair
kereta?” Nah… ambil sebiji kau, tadi ngata aku. Ariel membaca lalu tersengih
sambil mengangkat tangan tanda menyuruh bersabar, sedangkan dia masih lagi
bercakap-cakap melalui smartphonenya.
No comments:
Post a Comment