NOW SHOWING
OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga.
Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis.
Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima.
Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.
Friday, September 20, 2013
Thursday, September 12, 2013
AWEK ABANG POYO BAB 6
BAB 6
BAU
Nasi Goreng Belacan memenuhi ruang rumah. Aromanya saja sudah cukup menyentap
sukma, yang kadang-kadang menjadi bahan komplen jiran mat saleh mereka.
Masing-masing buat ‘dono’, buat tak faham, malas nak ambil pusing, banyak beno
pantang larangnya. Aduh… menghadapi nasi goreng yang panas bersama secangkir
kopi dalam cuaca dingin begini cukup membahagiakan. Kasdina Alya menghidangkan
Cucur Ikan Bilis dan nasi goreng yang masih berasap di atas meja. Kedua
kawannya sudah sedia di bangku masing-masing sementara menunggu semboyan
dibunyikan.
“Sarah,
pergi panggil Nisa’ dan June. Kita sarapan sama-sama,” arah Kasdina Alya. Sarah
beredar ke bilik adik-adik junior tanpa
sepatah kata. Sebentar kemudian mereka bertiga muncul.
“Kak
Kas cuti ke hari ini?” June bertanya.
“Ya,
sebab tulah akak masak pagi ini, boleh kita breakfast
bersama. Duduk June, Nisa’. Ni yang lawa-lawa pagi ni nak keluar ke?” tanya
Kasdina Alya bila melihat kedua gadis comel tersebut sudah siap berjubah dan
bertudung labuh. Suka dia melihat perwatakan June dan Nisa’ yang lemah lembut
dan sopan santun itu.
“Ya,
sekejap lagi kami nak keluar. Kami nak pergi usrah kat rumah Kak Farah senior kami di Finsbury Park,” terang
Nisa’.
“Oh,
gitu ke? Makanlah kenyang-kenyang. Akak masak banyak ni kalau tak habis
bolehlah bawa nasi goreng dan cucur ni ke rumah kak senior Nisa’ tu. Makan sama-sama kawan pasti seronok,” ujar Kasdina
Alya pada Nisa’ dan June. Kedua gadis
junior itu senyum dan mengangguk.
“Usrah
tu apa?” tanya Saly yang sedang sedap mengunyah.
“Kalau
kau nak tahu kau ikutlah mereka. Pergilah, kau pun bukannya buat apa kat rumah.
Habis tinggi terlentang, tertiarap, akhirnya buat tahi mata.”
“Heh…
apa tahi-tahi ni, aku tengah makan ni, gelilah,” tegur Sarah. Semua yang ada di
meja makan ketawa dengan telatah Sarah. Sebut geli, tapi tangan kanan laju
menyenduk nasi.Tekaknya bukan main lagi sedap menelan.
“Habis
kau tu, tahu apa itu usrah?” tanya Saly. Saja nak kenakan Kasdina Alya.
“Weh…
see the leglah. Aku dulu sekolah agama sampai Tingkatan Tiga, tau! Bab usrah
dan tarbiah ni adalah pengalaman persekolahan aku dulu, ingat orang tak reti.
Cumanya sekarang ni aku abaikan buat sementara waktu sebab sibuk mencari dunia,”
akui Kasdina Alya ikhlas.
“Kalau
kau tahu, terangkan kat aku,” pinta Saly. Kedua gadis comel itu senyum dan
berpandangan ke arah kakak-kakak yang selalu sangat berhujah dan berforum apabila
saja bersemuka. Inilah agaknya di antara bukti yang menunjukkan orang Melayu ni
suka dan pandai berpolitik. Hidup Melayu!
“Usrah
adalah perkataan arab yang bermaksud keluarga.Tapi perkataan usrah itu telah
diguna pakai dengan meluas dan konsepnya juga menjadi menyeluruh. Kalau sebut
saja perkataan usrah dah ramai yang tahu apa aktiviti dan agendanya. Usrah ni
memang maksudnya keluarga, kerana bila berada dalam majlis usrah hati-hati
mereka yang terlibat akan bertaut antara satu sama lain. Mereka berkumpul dan
berbincang tentang agama dan kehidupan serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan
berpesan-pesan dengan kesabaran di antara satu sama lain. Saling mengambil
berat seperti sebuah keluarga,” terang Kasdina Alya.
“Oh,
kalau macam tu, kita ni dah lama berusrahlah, sebab kita semua ni dah hidup
dalam berkasih sayang antara satu sama lain,” sampuk Saly.
“Bukan
macam tu, usrah ni dia ada adab-adabnya. Yang pertama kita berkumpul, bentukkan
satu halaqah atau bulatan, kemudian kita buka majlis dengan membaca ummul kitab atau sab‘ul mathani iaitu al-Fatihah, seterusnya setiap orang mesti baca
dua tiga ayat al-Quran dari mana-mana surah yang dipilih. Kemudian kita adakan
juga tazkirah dan pengisian, selepas itu, kemudian sekali barulah diadakan
perbincangan lain-lain hal, dan akhirnya ditutup majlis tersebut dengan tasbih Kaffarah dan surah al-Asr,” panjang lebar penerangan yang dibuat oleh Nisa’. Nah ambil
kau, semborono saja mengaku dah berusrah, sembahyang subuh pun celum-celam.
Sendiri mau ingat. Tapi elok juga kalau Saly ni diheret menyertai usrah, biar telinga
gajahnya disumbat dengan sedikit peringatan, agar dia sedar di mana-mana dan di
dalam keadaan apa sekalipun kita tetap kena menyembah ALLAH. Ianya taklif bagi
setiap mukallaf. Amrun ta‘abuddi kata
ustaz, kerana kerja-kerja pengabdian ini adalah perintah ALLAH, hatta ketika
sedang terapung di udara sekalipun kita wajib menyembah ALLAH bila tiba
waktunya.
Ternganga
Saly dan Sarah. Kau ingat kau dah buat Master
in Engineering kau dah cukup hebat? Ilmu dunia ni kalau kau pisahkan
dari ALLAH dan akhirat, satu penny
pun tak guna. Hebatnya seseorang itu di sisi ALLAH ialah bilamana dia gunakan
ilmu dunianya untuk mencari akhirat atau lebih tepat lagi mardhatillah--keredhaan ALLAH. Teringat aku dengan kata ustaz aku
lagi, addunya mazratul akhirah--dunia
ini tempat bercucuk tanam untuk akhirat katanya. Faham tu ya! Bukan nak tunjuk
pandai atau nak memandai-mandai. Setidak-tidaknya apa yang aku kata, telinga
aku yang terlebih dulu dengar, tak gitu! Sama juga macam kita cuci baju, kalau
baju tak bersih, tangan confirmed
bersih, tak gitu! Tak gitu lagi… udah, udah!
“Korang nak
ikut aku kejap lagi, tak?” tanya Kasdina Alya sebaik sahaja menghantar pandang
ke muka pintu bila mana Nisa’ dan June melangkah keluar.
“Kau
nak pergi mana?” tanya Saly dan Sarah serentak.
“Winter
Sale kat Oxford Street, ada
benda yang aku duk aimed dari dulu.
Dah ada sale ni, naklah aku beli.”
“Kau
nak beli apa?”
‘ “Handbag,
untuk mak aku. Dah lama aku duk terliur dengan handbag yang cantik tu. Mesti Hajah Aminah binti Abdullah bonda aku
nampak vogue macam mak-mak datin bila
pakai handbag yang aku kirim nanti.” Kasdina
Alya berangan sendiri.
“Bila
nak pergi?” tanya Sarah teruja.
“Sekarang,”
jawab Kasdina sambil mengemas meja makan.
“Takkan
awal sangat. Sejuk-sejuk macam ni takkan nak beratur kat luar Selfridges tu?”
tanya Sarah.
“Kau
ni macam tak tahu pula budaya orang-orang kat sini, bila hari pertama sale mereka sanggup menunggu di muka
pintu untuk mendapat barang-barang yang mereka ingini. Yang lebih ekstrem lagi
ada yang sanggup berkampung, guna tent,
tidur dalam sleeping bag, semata-mata
nak dapat duduk queue depan. Lagipun
kat sini kalau buat sale, talak tipu
maa… potongannya memang boleh dipercayai, bukannya macam sale apek sepet kat Chow Kit atau Petaling Street tu. Kata aje sale tapi harga masih macam biasa. Kalau
betul-betul ada pun dah yang out-fashioned
dan out-dated, tak pun seluar pendek
jalur-jalur seperti sarung bantal yand selalu apek pakai tu, ada le diskaunnya,”
terang Kasdina Alya geram. Sarah dan Saly ketawa geli hati dengan ayat terakhir
Kasdina. Kemudian kedua gadis itu menganggukkan kepala mengiakan segala kata
Kasdina Alya. Mereka maklum, memang pun selalu macam tu, dah lama dah, cakap
saja diskaun sampai 70 peratus. 70 peratus tu after discount jadi balik harga sebelum potongan. Maknanya dia
naikkan harga, and then dia potong sebanyak 70 peratus konon-kononnya.Tak
ke auta namanya tu pak menteri? Mohon terasa.
“Jomlah
bersiap, karang terlambat,” arah Kasdina Alya pada teman-temannya. Anak dara
tiga serangkai itu pun beredar ke bilik masing-masing untuk bersiap. Itulah
adanya, kalau bab usrah dan agama, slow
aje responsnya, tapi kalau berderap shopping,
tak payah bersuruh. Aje yang hantu!
AWEK ABANG POYO BAB 5
BAB 5
PAGI yang
dingin membeku, sejuk yang menyengat hingga ke tulang hitam, dan rasa tidak
selesa dengan cuaca yang melanda tetap terasa, selagi winter time belum
berakhir. Tapi pagi ini salji seakan malu untuk menyimbah bumi. Syukurlah, ada
sedikit ruang keselesaan, namun angin yang bertiup tetap chilly. Mungkin bagi masyarakat pribumi atau yang dah berkurun
menetap di kota muzikal ini tak terasa sangat kesusahannya bila menghadapi
waktu begini, tapi bagi anak perantauan yang berasal dari negara yang panas
lembab, terasalah sangat akan kepayahannya mengharungi saat ini, nak-nak kalau
yang ada asthma seperti seorang kenalan yang berada di Colchester, di timur
laut London itu, seksa sangat nampaknya.
Kasdina
Alya masih melengkor macam ular sawa kenyang di tempat tidur bersama quilt atau gebar tebal biru
kesayangannya. Saly yang bangun awal mula merasa pelik bila melihat Kasdina
Alya masih nyenyak di pembaringan. Kenapa belum bangun? Sakit ke dia?
“Kas,
bangun! Bangun! dah pukul 8.30 pagi. Nanti kau lewat pergi kerja,” gerak Saly.
Kasdina Alya masih membatu.
“Heh, Kas.
Bangunlah! Kau masuk kerja pukul 10.00, kan.” Saly menggoncang-goncang badan
Kasdina Alya.
“Aku
cutilah hari ini.” Kasdina Alya menguak gebar yang menutupi mukanya.
“Kau
cuti, kenapa sakit ke?”
“Taklah
saja nak cuti.” Kasdina menggosok matanya yang belum lagi terbuka luas.
“Betul
kau cuti?” tanya Saly lagi, tak percaya.
“Kenapa
tak boleh ke aku cuti? Atau aku kena minta kelulusan dari Queen Elizabeth
dulu?” Saly mengekek.
“Taklah…
aku rasa pelik bila kau cuti, lainlah kalau kau sakit,” ujar Saly mendatar,
tapi tetap senyum-senyum. Adalah halnya tu.
“Aku ni
saja nak manjakan badan, takkanlah nak torture
dia bekerja tiap-tiap hari. Korang yang study
tak seberapa pun, manjang ponteng kelas. Lagipun malam tadi aku dah masyuk
lebat. So hari ini cutilah.”
“Oh, gitu
ke, aku suka kalau kau cuti.”
“Aku tahu,
tak payah nak bodek. Kejap lagi aku masak nasi goreng belacan,” janji Kasdina.
“Terima
kasih, ini yang buat aku sayang kat kau.”
“Sebelum
berterima kasih kat aku. Kau dah berterima kasih kat ALLAH?”
“Maksud
kau apa?” Hah, tahu kau cuak.
“Tadi kenapa
bila aku kejut sembahyang Subuh kau tak bangun?”
“Sejuklah
nak bangun, lagipun aku mengantuk sangat. Baru saja aku masuk tidur, dah kena
nak bangun Subuh,” baik punya alasan Saly.
“Kau tahu
tak? Di akhirat esok-esok, ALLAH sediakan neraka sejuk yang sesuai untuk orang
malas seperti kau. Kau ingat malaikat tu boleh terima alasan mengantuk kau tu?
Melawan sejuk dan mengantuk itulah mujahadah namanya. Berjuang melawan nafsu.
Memanglah winter ni sejuk, sedap
tarik selimut, Subuh pun lewat pukul 6.00 pagi baru masuk, apa masalah, lainlah
kalau spring atau summer, Subuh lagi awal pukul 1.30 pagi
atau 3.30 pagi dah masuk, tapi kalau kita kuat semangat dan sungguh-sungguh nak
jaga iman dan amal, kita boleh bangun untuk tunaikan solat punya. Apa ada hal!
Lepas tu tidurlah balik. Bukan susah mana pun, pergi party tak pula ngantuk,” bebel Kasdina Alya. Pantang baginya kalau
orang tak sembahyang. Ingat dunia ini bapak kamu punya. Mula dah nak geram ni,
bebelnya bersambung di dalam hati.
“Yalah, aku
tahu. Esok aku tak buat lagi,” janji Saly.
“Tak
payah kau berjanji dengan aku, berjanjilah dengan ALLAH dan dengan diri sendiri.
Taubat, bukan tau buat. Ingat tu! Kita ni kalau ilmu tinggi mana sekalipun tak
guna, kalau tak reti nak taat perintah ALLAH. ALLAH tak pernah pandang pun
golongan yang dunianya aje hebat. Kau sendiri pun pernah dengar kan, kalaulah
dunia ni ada nilai sebelah sayap nyamuk aje pun di sisi ALLAH, nescaya tak
merasa orang-orang kafir yang ramai-ramai tu seteguk air sekalipun dari-Nya.”
“Yalah…
Ustazah Kasdina Alya.”
“Tolong
nasihat sikit dah panggil ustazah. Apalah kau ni! Eh… tapi sedap juga kalau
letak panggilan ustazah kat depan nama aku ni, ya!” Kasdina Alya berkira-kira,
diiringi perasan.
“Ustazah Rock
& Roll bolehlah. Pergilah ambil tauliah kat JAIL(Jabatan Agama Islam London),
jika ada. Pakai jeans, ada hati nak jadi ‘ostajah’ konon,” ejek Saly.
“Biarlah,
aku jadi ustazah kontemporari gitu,” lawak Kasdina. “Tolong sikit mak adik…
pakaian tak masuk, kalau idea dan
pendekatan tu, takpa le kontemporari. Kau ni semua benda nak kau fusionkan, cukuplah dengan resipi-resipi
masakan kau dah le!
Satu
lagi, kalau kau teringin nak jadi ustazah kau kena pakai macam kawan kita Nisa’
dan June tu. Bercakap pun mesti macam mereka, adab mesti mau jaga beb! Bukannya
seperti diri kau sekarang,” tempelak Saly. Kasdina Alya ketawa saja, tak
terasa pun dengan kata-kata perli
temannya.
“Bukan
main lagi kau kutuk aku ya. Aku taruh kau sikit aje, kau taruh aku balik
berjela-jela apa hal, karang tak merasa Nasi Goreng Belacan aku baru tau!” gertak
Kasdina.
“Yalah, sorry osta… oops! ostrich, demi Nasi Goreng Belacan kau yang teramat sedap tu, aku
tarik balik kata-kata aku tadi walaupun ianya adalah kenyataan,” sembah Saly. Kasdina
Alya memukul Saly dengan bantalnya bertubi-tubi.
Tiba-tiba
pintu bilik Kasdina diketuk dan dikuak. Dah sah tak ada orang lain, pasti mek
Kelantan yang sorang ni datang menjelma.
“Adik
putih, tara kerja ka ini ari?” tanya Sarah.
“Tak, dia
cuti.” Saly yang tolong jawabkan.
“Kenapa,
adik putih ada sakit ka?” tanya Sarah lagi ala-ala Bangla Cuci Pinggan gitu.
“Saja,
nak rehat,” jawab Kasdina Alya bersahaja.
“Saya
tau, tadi malam adik putih sudah antar mari sama abang hensem masem. Itu
pasallah ini ari tara kerja, sudah banyak happyla,”
sakat Sarah.
“Ha,
abang handsome hantar kau balik, mana
kau boleh jumpa dia?” Saly bertanya teruja. Kepoh semacam aje mak cik dua orang
ni.
“Dah dia
tu anak buah datin, aku jumpalah kat sana,” bentak Kasdina.
“Itu jam saya
tengok banyak cantik. Wah…very-very romantik
abang hensem antar adik putih,” kata Sarah lagi.
“Woi mek,
kau berhenti cakap macam Bangla boleh tak? Naik sesak dada aku dibuatnya, dan
naik getik telinga aku mendengarnya. Kau dah kemaruk nak jadi bini Bangla ke,
apa?” marah Kasdina Alya. Sarah dan Saly mengekek ketawa.
“Getik tu
apa?” tanya Saly.
“Getik tu
maknanya menyampah, meluat dan makna yang sewaktu dengannya,” terang Kasdina
Alya.
“Oh, aku
ingatkan buah betik,” ucap Saly kelakar, sambil ketawa. Menyahut lagi orang
yang yang teringin nak jadi bini Bangla ni, “Kalau buah betik, ambo nak getek.”
“Ha, mek
apa pulak menate getek tu? tanya Saly dan Kasdina serentak. “Maknanya, erm..
ermm… tak nak aku jawab, korang orang cari sendiri, tadi kata getik segala,
pandai-pandai le korang cari, dalam kamus
Oxford ada kut,” selamba aje mek jawab. Tak jawab idak le… kita sambung
cerita kita balik, where were we? Bangladun!
Okay… set.
“Korang tau
kan, abang Bangla memang handsome
semacam kan, gaya ‘benggaliwood’ gitu,” puji Sarah menyambung cerita yang
terhenti gara-gara istilah getik, buah betik dan getek yang tak masuk bab. Jentik
telinga baru tau!
“Sarah, kat
Malaysia, orang macam kaulah yang selalu kena ayat dengan mat Bangla ni. Bangla
ni memang jenis mulut manis penuh semut, pandai memuji dan pandai ambil hati,
berbekal pula dengan rupa yang macam spesies stan-stan sikit. Sekali kena ayat,
lentok habis segala minah bengong yang ketandusan cinta. Bila dah kahwin, ha…
barulah tahu macam mana cinta itu berfungsi, masa tu baru tak ‘dan’ nak gostan,”
terang Kasdina Alya.
“Biarlah,
kan dah cinta, dapat hidup dengan abang Bangla yang kacak macam Shah Rukh Khan
itu pun jadilah, kira okey apa, yang lain belakang kira.” Sarah ni saja nak
memperhangatkan diskusi pagi yang dingin tu. Bukannya dia tak tahu si Kasdina
ni tak sukakan mat Bangla. Lebih-lebih lagi yang perasan kacak dengan baju
kemeja jalur yang dibutang sampai ke tengkuk itu.
“Aku ni
dah lama rasa pelik dan bengang dengan anak gadis orang kita kat Malaysia.
Apalah sangat yang dipandang pada si Bangla tu, badan dahlah… astaghfirullahaladzim,
sorry to say bau bawang, masa depan
tentunya tak ada, sebab dia orang pun bukannya stabil mana kat negara kita tu.
Silap hari bulan kena cekup, sebab, majoritinya PETAI (Pendatang Tanpa Izin). Educated, tentunya tidak, sebab
kebanyakannya berkerja sebagai buruh kasar dan pekerja Am saja, kalau macam
doktor tu bolehlah sikit. Jadi nak ceritanya, mereka ni betul-betul berbekalkan
rupa semata, terutamanya bahagian hidung dan air liur yang manis bergula. Dah
tak ada sangat ke lelaki Melayu sampai kena bercinta dengan mat Bangla?” marah
Kasdina Alya.
“Kau mana
tahu, sebab kau tak pernah bercinta. Orang bercinta ni sanggup harungi lautan
api tau tak,” ujar Sarah.
“Piiiraah…
tahi kucing punya falsafah. Bila dah kahwin, bawa balik Bangladesh, duduk dalam
rumah yang dibuat dari tanah dan lumpur, nak hidup dan makan pun susah, ha…
masa tu, baru kau tahu betapa bergunanya nasihat orang. Waktu tu tak ada maknanya
Abang Shah Rukh Khan kau tu, hari-hari le duk teriak tangis mengenangkan
keluarga di Malaysia yang hidup aman damai dan bahagia,” tempelak Kasdina Alya.
Sarah dan Saly ketawa keras, Kasdina Alya memang macam tu, terlalu konservatif.
“Okeylah
kau menang, dan Sarah kalah. Korang ingat selain Bangladesh, destinasi mana
lagi yang menjadi kegemaran minah Malaya?” tanya Saly pada Kasdina.
“Lambok! Lambok!”
pantas jawab Kasdina sambil ketawa.
“Lain?”
saja Saly nak kenakan Sarah. Biar dia tahu bukan semua orang minat bangsa asing
ni, walaupun hidung mereka panjang sedepa ataupun lawa macam artis Bollywood.
“Nigeria
kut!” celah Kasdina lagi sambil menjeling Sarah. Tapi Sarah buat muka sekupang,
macam tak ada perasaan. Huh… buang karan saja.
“Okey, perbincangan
ditutup buat sementara waktu untuk rehat dan makan,” celah Saly.
“Yalah
Kas, aku dah lapar ni, jomlah masak,” pinta Sarah.
“Amboi,
bukan main sedap lagi kau suruh aku masak.”
“Yalah
sebab kau adik manis yang baik, adik putih yang cantik. Abang handsome
banyak suka sama you,” tak
habis-habis lagi minah Bangla ni mengusik. Kasdina Alya mencampakkan bantalnya
ke arah Sarah sebelum dia beredar ke bilik air untuk qada hajat.
AWEK ABANG POYO BAB 4
BAB 4
MAKAN
malam di rumah Datin Azizah berjalan dengan lancar dan sempurna. Semua tetamu
suka dengan masakannya, sampai menjilat sudu. Tak terkecuali dengan mat poyo tu
yang nampak berselera sekali bila makan. Tak padan hari tu kata aku masak tak
sedap. Kalaulah aku tahu, mamat poyo akan makan malam sekali lebih baik aku
bawa julap. Biar dia tahu, bagaimana rasanya sakit perut memulas-mulas. Baru
padan dengan mukanya.
Makan
sudah, dapat upah pun sudah. Bayaran upahnya bertepatan sekali dengan saranan
nabi, bereskan upah sebelum keringat kering. Tiba masanya untuk dia beredar dan
balik ke rumah. Seperti yang dijanjikan tuan rumah, datangnya berambil
pulangnya berhantar. Hai… macam tuan puterilah pula. Senyum Kasdina Alya
sendiri. Mana tak senyum, masyuknya juga boleh tahan. Datin membayar khidmat
kepakarannya dengan harga yang tinggi. 200
quid, you! banyak tu untuk kerja tak sampai lima jam. Berbaloi betul.
Rasanya, datin bukan saja bayar kerana berpuas hati dengan perkhidmatan,
kemungkinan termasuk kemesraan yang terjalin. Alhamdulillah… kalau ramai yang
nakkan khidmat aku yang macam ni, alamatnya cepatlah aku kaya. Hikhikhik… tak
sabar rasanya nak jadi orang kaya.
“Kak
Jah, Kas balik dulu ya, lain kali kita jumpa lagi.”
“Yalah
Kas, belum puas Kak Jah bermesra dengan Kas, dah nak kena balik. Kas masak tadi
sedap betullah, tak pernah Kak Jah rasa masakan Tom Yam yang sesedap itu.”
“Yalah
tu Kak Jah, saja nak ambil hati Kas.”
“Betul
Kas, semua orang puji masakan Kas,” ujar Kak Jah. Kasdina Alya menyengih, dah
kembanglah tu. Pantang kena puji, Kak Jah pula pantang jumpa, manakala drebar datuk
pantang betul, sebab Gout! Dalam cuaca sejuk macam ni pun boleh kembang, itulah
dia Kasdina yang kembang kuncup sifatnya.
“Kak Jah,
mana Abang Kasim ni, kata nak hantar Kas,” tanya Kasdina yang tak betah lagi
berdiri sambil menunggu Abang Kasim. Cuaca yang sejuk beku begini membuatkan
Kasdina Alya sudah tidak selesa menunggu.
“Kau
tunggulah, kejap lagi adalah tu. Mungkin datuk sedang berpesan apa-apa. Sabar
ajelah.”
“Kas dah
mengantuk ni, cakap dengan Abang Kasim, Kas tunggu dalam kereta. Heh… Abang
Kasim ni, entah-entah dia pergi cucuk biji mata dengan garpu,” rungut Kasdina
Alya.
“Pasal
apa pula dia nak cucuk bijik mata sendiri?”
pelik Kak Jah mendengarnya.
“Dia kan
Kasim Selamat, sebab tu lambat. Asyik duk ucap selamat malam sana, selamat
malam sini. Penyudahnya Kas ni yang tak selamat. Jadi ais batu, keras kat sini.”
“Hahaha…
Kak Jah ingat kenapalah tadi. Kau ni kan, kuat betul loyar buruk. Yalah, nanti
Kak Jah bagi tahu kat Abang Kasim,” ketawa Kak Jah geli hati. Belum sempat mendengar jawapan dari Kak Jah, Kasdina Alya
sudah berlari ke arah kereta. Matanya tak mampu bertahan lagi. Mengantuk
sangat-sangat macam dah tertelan Zopiclone.
Masuk saja
dalam kereta, dengan tidak perlu menunggu lama Kasdina Alya sudahpun selesai
hanyut bersama mimpi indah dan angan-angannya. Wah… senangnya tidur, baru saja
sandarkan kepala, dah lebuh? Mak datuk, tidur nyenyak macam gajah penat, kalau
humban ke laut pun dah tak sedar ni.
Lama Anas
Irfan berada dalam kereta, menunggu minah puteri singa ni tidur, dan diharap
dia akan bangun dengan sendiri. Dah dipanggil-panggilnya nama, tapi minah ni
tak juga jaga. Dikuis-kuisnya badan minah cute
tu dengan penabola, tak berdegis pun. Masih macam tadi, tidur dengan penuh
nyenyak sehingga berdengkur. Letih sangatlah tu… Mana tak letihnya, lepas saja
habis kerja kat restoran, terus dia dijemput ke rumah datin. Dari pagi sampai
ke malam buat kerja, mana tak penat. Kasihan dia.
Anas
Irfan merenung wajah Kasdina Alya yang sedang nyenyak tidur. Cantik wajahnya
ketika tidur, macam tidur seorang bayi. Aman dan mendamaikan bila melihatnya.
Jauh sekali bezanya sewaktu minah ni dalam sedar, wajahnya selalu macam singa
beranak kecil, pantang diusik sikit, mulalah nak mengamuk.
Anas
Irfan cuba mengejutkan Kasdina Alya sekali lagi. Lagi merengkut adalah bila
namanya dipanggil. Ingat orang sedang mendodoikan kamu ke apa? Macam mana nak
buat ni? Takkan nak tunggu kat sini sampai pagi? Cuaca dahlah below freezing point. Boleh mati kesejukan
tau!
Jenuh Anas
Irfan berfikir, mencari akal untuk membangunkan minah The Lion Princess
ni. Memang jenis kuat tidur agaknya. Anas mula menyelongkar laci kereta auntienya, kut-kut ada benda yang boleh
diguna pakai untuk mengejutkan minah ni. Akhirnya Anas Irfan terjumpa sehelai
plastik putih. Timbul satu idea baik punya. Dia meniup plastik tersebut dengan
udara sampai penuh dan buncit, kemudian meletupkannya di hadapan muka Kasdina
Alya.
“Bommm…”
jerit Anas Irfan kuat.
“Tolong,
bom meletop!” jerit Kasdina Alya yang mula terbangun dan masih mamai. Dengan
pantas Kasdina Alya mengangkat tangan dan membuat aksi Ultraman dalam keadaan mata yang masih tertutup. Kuat ketawa Anas
meletus bila melihat gelagat Kasdina yang mamai sehingga memenuhi ruang kereta.
Entah-entah tidur tadi mimpi berlawan dengan raksaksa kut. Bingai punya minah.
Perlahan-lahan Kasdina Alya membuka matanya bila terdengar bunyi bising.
Daripada sepet terus jadi bulat bilamana dia melihat Anas Irfan yang ada
bersamanya, dah tu siap dengan ketawa yang seakan tak mahu berhenti.
“Heh,
kenapa kau ada dalam kereta ni? Kau nak apa-apakan aku ke? Kalau kau sentuh aku,
siap kau. Aku belasah kau nanti!” jerit Kasdina Alya dalam keadaan yang agak
takut. Mulut saja bising, tapi hati kecut.
“Eh minah,
kau ingat aku terliur ke nak usik kau? Dahlah tidur berdengkur macam kerbau,
air liur meleleh, mulut bising. Eeeii… gelilah,” balas Anas Irfan. Kasdina Alya
meraba mulutnya. Yalah, ada kesan air liur. Mak malunya.
“Dah tu,
macam mana kau boleh berada dalam kereta ni? Tadi Abang Kasim yang janji nak
hantar aku. Mana Abang Kasim?” suara Kasdina masih keras. Memang pantang betul
dia jumpa mamat ni. Hangin satu badannya mula menyerap. Dekat rumah datin tadi
jenuh dia mengawal nafsu amarahnya bila Anas Irfan tiba-tiba saja mengejutkan
dia.
“Kau
tanyalah diri kau sendiri. Apa yang kau bubuh dalam Tom Yam kau tu sehingga
abang Kasim sakit perut memulas-mulas, sampai tak boleh nak keluar tandas.”
Anas Irfan membuka cerita.Ternganga Kasdina Alya mendengarnya. Betul ke? Kalau
macam tu habislah tetamu datin sakit perut. Mak tolong! Kasdina Alya diburu
rasa kesal dan bersalah. Macam mana ni? Ya ALLAH kasihannya tetamu-tetamu
datin, pasti datin malu besar kalau kesemua tetamunya mengalami sakit perut dan
cirit-birit.
Dengan
penuh rasa kesal dan bersalah, Kasdina Alya membuka pintu kereta dan melangkah
keluar. Sebelum menutup pintu kereta dia mengucapkan terima kasih kepada musuh
ketatnya walaupun diri tidak mahu menuturkannya, tapi naluri kemanusiaan yang
menyuruhnya. Yalah, orang dah hantar segala, ada ke nak buat bodoh saja.
Menonong saja masuk dalam rumah. Itu tak civilised,
jangan buat malu kaum. Apa punya oranglah!
“Kak Jah,
teruk ke Abang Kasim sakit perut dan cirit-birit?” tanpa sempat memberi salam
Kasdina Alya terus bertanya pada Kak Jah melalui telefon bimbitnya.
“Kasdina
ke ni?” Kak Jah masih tak cam suaranya.
“Yalah
Kak Jah, takkan tak cam suara Kas?”
“Itulah
kau, bercakap tanpa salam, main terjah saja, kalut semacam,” tegur Kak Jah.
“Alah Kak
Jah ni, Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Apa khabar Kak Jah?” Mengekek
Kak Jah ketawa. Ha… baru tahu, nak skema sangat, jawablah biar panjang sedepa
atau siap dengan mukadimah khutbah Jumaat sekali.
“Kau ni
boleh tahan loyar buruknya. Yang Kas kelam kabut ni kenapa?”
“Kak Jah
dah cirit-birit berapa kali? Abang Kasim dah berapa kali? Datin Azizah macam
mana? Datuk Zakaria cirit- birit juga ke?”
“Heh… apa
pasal benda busuk orang yang kau tanya ni?” sergah Kak Jah bila dengar Kasdina
Alya merapu-rapu.
“Yalah,
Kas nak tahu juga, disebabkan makan masakan Kas semua orang cirit-birit,” sedih
saja suara Kasdina. Rasa sedih dan bersalah menghantui diri.
“Siapa
kata kami cirit-birit?” pelik Kak Jah mendengar cerita ni.
“Habis
Abang Kasim tak kena cirit-birit?”
“Taklah,
ada ni hah tengah tolong Kak Jah mengemas.”
“Dah tu,
kenapa dia tak hantar Kas?”
“Anas cakap
biar dia hantar Kas sebab rumah Kas dengan rumah dia tak jauh. Kenapa ada dia
buat apa-apa kat Kas ke?”
“Eisy…
tak adalah, saja nak tahu. Okeylah Kak Jah. Selamat malam.” Kasdina Alya
mengakhiri perbualannya. Huh… mamat poyo ni tak habis-habis cari kes dengan
aku. Nanti kau, ada ubi ada batas, ada hari aku akan balas. Tungguuuu…
AWEK ABANG POYO BAB 3
BAB 3
“BERCINTA
dengan orang tua, dah tak ada ke lelaki muda kat dunia ni?” sindir Anas Irfan yang
duduk melengu di kaunter cashier sebaik
saja Abang Rahim keluar. Saja dari tadi duduk kat situ, sebab nak menadah
telinga. Kata orang seberang, nak menguping.
“Heh
mamat poyo, suka hati akulah nak bercinta dengan siapa? Kalau aku bercinta
dengan datuk kepada datuk kau, itu pun kau tak perlu ambil kisah. Hal engkau
ada aku kisah. Kau ada? Diri aku, suka hati akulah!” melengking suara Kasdina
Alya. Nasib baik café dah tak ada pelanggan.
“Nampak
sangat kau tu dah desperate. Desperado!” Anas mencebik bibir, mengejek.
“Lantak
akulah, desperate ke, desperado
ke, ‘despairbodo’ ke. Lu apa hal, Lu
apa kes, aku bukannya minta tolong kau pun. Apa kau peduli?” Tajam mata Kasdina
Alya merenung mamat poyo yang berada di hadapannya. Kalau boleh nak saja dia
rebus mamat ni buat sup. Eiee… geramnya!
“Memang
taklah tak ada kena-mengena dengan aku, tapi gelagat kau orang tadi telah
membuatkan mata aku sakit. Lebih kurang macam pencemaran penglihatan gitu. Polluted tau tak?”
“Polluted
kepala hangguk dan kepala hotak kau. Kalau dah kau kata pencemaran, tapi
kenapa kau pandang aku juga?” Sakit hati betullah dengan mamat tiga suku ni.
“Sebab
kau dah tertonggo kat dalam café ni, terpaksalah aku tengok. Takkan aku kena
pejam mata, macam mana nak kerja? Akai ada ke?” Anas Irfan masih belum puas
berhujah.
“Aku
rasa kau ni ada masalah psiko, something wrong somewhere, kalau tak, kau tak akan jadi
macam ni. Lelaki yang normal selalu bersikap matang dalam setiap tindak-tanduk
dan perkataan.” Nah ambil kau, dapat sebijik. Puas hati? Nak sangat.
“Aleh,
macamlah kau tu normal sangat, sikit-sikit jerit, mengalahkan bini Tarzan yang
kehilangan anak,” ketawa Anas Irfan melihat Kasdina Alya yang sudah kehilangan
kata-kata dan terus melarikan dirinya ke dapur. Mak Cik Singa tu memang macam
tu, bila dah nak kalah mula nak lari. Lemah jiwa betul. Tapi yang
hebatnya Mak Cik Singa tu tak pula nak gugurkan air matanya bila kena kutuk dan
kena ejek.Tahan pula dia. Agaknya dia tak ada perasaan kut, sebab tu tak macam
perempuan lain. Ah… buat apa dok fikir pasal dia, kerja dah habis, balik rumah,
tidur lagi bagus.
KASDINA
Alya memasuki ruang dapur untuk memulakan tugasnya sebagai tukang masak yang
dibayar khas di rumah Datuk Zakaria Sulung dan Datin Azizah yang terletak di
kawasan posh, St John’s Wood, Swiss
Cottage, kira-kira 10 minit perjalanan
dari pusat bandar itu. Bukan tak ada tukang masak di rumah besar ini, tapi
untuk malam ini Datuk Zakaria nak hidangan yang berjenis-jenis. Ala-ala gaya
hotel gitu. No problem… beres dol!
Terpegun
Kasdina Alya melihat suasana dapur kontemporari yang moden dan cantik. Segala
kelengkapan memasak ada, ruang dapur yang luas dan bersih. Peti ais yang besar dan
meja dapur yang cantik. Di ruang dapur juga ada diletakkan pokok-pokok berdaun
hijau, tidak ketinggalan pokok Aloe vera, suatu kombinasi yang berpadanan
dengan dinding yang berwarna putih cerah. Wah… cantiknya, pasti Kasdina Alya
dapat memasak dengan penuh ceria dan bahagia.
“Kenapa
Kas?” tegur Datin Azizah, sebaik saja melihat Kasdina Alya seperti sedang
tenggelam dalam dunianya.
“Sorry datin, saya teruja sangat dengan
dapur datin ni, cantik sangat. Pandai datin decorate.
Rasa bahagia bila berada di dapur datin,” puji Kasdina ikhlas.
“Alah,
saya ni buka pandai mana pun, try and
error kata orang, kalau tak suka, ubah balik.” Datin Azizah merendah diri.
“Tapi
saya suka cara datin hias, nampak seni dan mendamaikan, bukan hanya sekadar
dapur. Konsep, juga design, kira-kira ada designer touched dan signature
gitu. Kalaulah saya dapat dapur seperti ini, saya tak akan keluar ke mana-mana.”
Kasdina Alya ketawa sendiri.
“Kas
memang suka memasak?” tanya Datin Azizah.
“Ya
suka. Saya bercita-cita untuk memiliki sebuah café yang cantik dan moden satu
hari nanti, kalau ALLAH izin. Sebagai tempat orang bersantai dan membuat
pertemuan serta tempat orang merasai hidangan lazat yang menjadi trademark saya.” Kasdina Alya ketawa lagi
dengan angan-angannya sendiri. Tak malu, angan-angan Minah Jenin pun nak
beritahu orang.
“Saya
doakan suatu hari Kas akan dapat apa yang Kas
impikan.” Kasdina Alya mengangguk dengan kata-kata
datin. Biarlah ianya jadi kenyataan.
“Untuk
malam ini apa yang datin nak saya sediakan?”
“Saya
nak Kas masak, masakan ala Siam, Tom Yam, Ikan Tiga Rasa, Sotong Goreng Butter,
Ketam Sweet Sour, Kerabu Mangga, dan untuk starter
Kas buat Popia berinti daging atau Bergedil. Manakala untuk dessert Kas buat Sagu Gula Melaka
bersama krim, boleh! Semua bahan-bahan sudah saya beli dari Chinatown Soho dan
sebahagiannya di mini market Thai kat Queensway
petang tadi. Sea bass, squids
dan crabs yang nampak segar tu
datuk beli kat fishmonger Kilburn High Road, minced meat dan lain tu kat kedai Halal Meat &
Poultry Pakistan, juga kat sana, tapi kalau ada apa-apa yang tak cukup beritahu
saja saya,” arah Datin Azizah.
“Datin,
boleh saya tanya?”
“Kenapa
datin tak buat western food?”
“Alah,
western food tu bukan sedap
mana pun kalau nak dibandingkan dengan makanan dan taste kita orang Melayu
yang cukup rasa pedas, manis dan masamnya. Dengan lebih tepat selera kita orang
Nusantara. Saya pun dah lama tak merasa masakan Tom Yam yang kaw-kaw ni. Bila
buat sendiri tak ada pula rasa sedap mana pun, semua yang ada dalam resipi dan
segala arahannya patuh belaka, tapi rasa out, apa yang tak kena
tak tau le,” cerita Datin Azizah sambil ketawa yang bersambut dengan ketawa
Kasdina Alya.
“Okey,
malam saya akan masak special punya untuk datin sekeluarga dan tetamu.
Datin jangan risau, saya janji akan masak hidangan dengan sempurna seperti apa
yang datin kehendaki,” janji Kasdina Alya sungguh-sungguh.
“Terima
kasih Kas, kalau Kas nak minta tolong apa-apa, panggil saja Kak Jah.”
“Ya
datin. Okey. Satu lagi datin, saya nak tahu berapa orang tetamu yang akan hadir,
ramai ke datuk jemput?”
“Sekitar
lapan orang. Kenapa tak cukup bahan ke?” Risau nampaknya datin Azizah.
“Eh,
tak… cuma saja nak tahu supaya senang nak agak untuk masak, plus keluarga
datin yang beberapa orang lagi tu. Perlu juga estimate dan buat sukatan yang
betul agar tidak membazir,” jelas Kasdina jujur.
“Bagus,
ada gaya seorang tukang masak yang mahir,” puji Datin Azizah. Belum apa-apa
lagi dah kembang hidung Kasidna Alya dengan pujian mak datin.
Di
dapur yang cantik dan mewah itu, seorang gadis sedang rancak ‘bersilat bawang’
dengan resipi masakan ciptaannya seperti yang dihajati. Pantasnya dia bekerja
mengalahkan lipas kurang upaya. Zap zip zup, sampai Kak Jah yang sedang
membantu memotong sayur pun terpusing-pusing bola matanya melihat kelincahan Kasdina Alya
beraksi. Agaknya kalau masuk pertandingan Master Chef, pasti dia menang.
Dalam
keadaan sibuk dan rancak itu, tiba-tiba Kasdina Alya berhenti dari meneruskan
tugasannya. Kemudian dia menghampiri Kak Jah yang sedang memotong sayur.
“Kak
Jah, Kas nak tanya sikit boleh?”
“Nak
tanya apa?” Kak Jah bertanya balik.
“Kak Jah,
rumah ni ada hantu tak?”
“Eh… mana
hantu?” Muka Kak Jah dah jadi macam asam kecut. Penakut!
“Eh, Kak
Jah ni, belum apa-apa pun dah takut. Maksud saya tadi, Kak Jah pernah nampak
hantu ke kat rumah ni?” ketawa Kasdina melihat muka Kak Jah yang ketakutan.
Baru dengar perkataan hantu, dah jadi macam tu, kalau terserempak, agaknya
pengsan terus, hihihi…
“Oh, Kak
Jah ingat Kas ada nampak hantu tadi.”
“Laa… tulah
sebabnya saya tanya. Saya nampak kelibat orang yang saya kenali kat sini.
Entah-entah saka belaannya mengikuti saya sampai kat sini. Bila tuan dia tak
dapat mengacau saya, dia suruh saka dia yang ikut saya,” tuduh Kasdina Alya
tanpa asas.
“Kau ni Kas,
percaya yang karut-marut tu, tak baik tau. Janganlah kau sebut pasal saka-maka ni,
takut Kak Jah, meremang bulu tengkuk dibuatnya.”
“Habis
yang saya nampak tadi siapa?”
“Dahlah
tu, kau salah orang tu.”
“Kak Jah,
tetamu dah sampai ke belum?”
“Belum, lambat
lagi, kita masih ada tiga jam sebelum tetamu sampai. Kenapa Kas dah siap semua sekali
ke?” Pelik Kak Jah melihat Kasdina Alya
ni.
“Kalau
tetamu belum sampai, bermakna orang yang saya lihat tadi ialah hantu!” Kasdina
Alya menyakat Kak Jah.
“Hiss…
kau ni, dah, sambung aje kerja yang belum siap tu,” arah Kak Jah. Kasdina Alya
ketawa mengekek melihat rupa Kak Jah yang nampak pucat. Ketawa, ketawa juga,
tapi dalam kepalanya soalan yang bercambah tadi belum lagi terjawab. Siapa yang
dia nampak tadi? Mungkin juga hantu si mamat tu yang mengekorinya sampai ke
mari.
Tangan Kasdina
Alya ralit membasuh sayur-sayuran, kemudian sayur-sayuran tersebut dimasukkan
ke dalam bekas. Kelihatan tangannya bukan main ligat bekerja, tapi kepala otaknya
merewang-rewang entah ke mana, sampai balik ke Malaysia dalam sekelip mata. Itu
untungnya kalau berkhayal, mana-mana pun boleh pergi, percuma aje, senyum
Kasdina Alya sendiri. Dah macam minah senteng nampak?
Kasdina
Alya mengangkat semua sayuran yang dibasuh tadi untuk diletak di atas meja sebelum
dipotong. Dengan sekali pusing saja dia telah mengadap ke arah Kak Jah yang
sedang tercatuk di atas kerusi.
“Mak…
hantu!!!” kuat jeritan Kasdina Alya
kerana terkejut dan terlambung segala benda yang dipegangnya. Mana tak
terkejut beruk, pusing je badan, ada orang kat belakang. Sape suruh datang
diam-diam. Salam tidak, bersuara pun tidak. Tiba-tiba aje berdiri di belakang
orang. Tapi yang buat lagi rasa terkejutnya ialah macam mana mamat poyo tu
boleh berada di hadapannya. Ingatkan tadi jelmaan atau sakanya saja.Tapi
sekarang real punya, tuan punya badan
yang tercegat memerhatikannya tanpa sebarang
audio.
Kak Jah
ketawa mengekek bila melihat Kasdina Alya yang terkejut jiddan itu. Baru padan muka, ada hati nak menyakat orang. Sendiri
penakut mesti mau ingat. Ketawa Kak Jah masih bersisa dan masih lagi bergema di
ruang dapur, mengenangkan gelagat Kasdina Alya yang terkejut sungguh dan mengalami
kejutan yang mengalahkan beruk. Hahaha… lawak juga si Kas ni, ingatkan dia ni
seorang yang pemberani, siap usik kita segala, tapi tengoklah terkejut sikit
saja dah macam nak koma, nasib tak tergolek dog.
“Kenapa
Kas, terdiam terus tanpa suara? Dah terpikat dengan abang handsome ke?” usik Kak Jah yang masih lagi tak habis ketawa. Macamlah
lawak sangat, tapi muka Kasdina Alya sudah merona merah. Malu kerana terkejut sangat
sampai terpelanting habis segala jenis aneka sayuran. Tapi ada satu yang tak
betul dan yang tak kena seperti always.
Kenapa mamat ni diam saja tanpa berkata apa-apa? Mana perginya mulut busuk yang
berbisa tu? Yang selalu diguna untuk menembak orang? Yang terlalu menyakiti
hati orang? Kenapa diam? Nak kontrol macho
kat depan Kak Jah ke? Ceh… hipokrit, pandai pula dia berlakon. Kalau tak, mulut
tu macam bertih, ada saja yang nak dikata dan disakatnya, sampai kan hati ini
selalu saja terbakar. Pelik sungguh… mamat ni ada dua watak yang berbeza ke,
atau memang jenis spesies dua alam?
Tanpa mengucapkan
apa-apa Anas Irfan berlalu dari ruang dapur. Betul ke itu mamat poyo? Lain
macam saja nampak, sikit pun tak nampak poyo. Salah orang kut? Atau pelanduk
dua serupa.
“Kak Jah,
tadi tu siapa?”
“Kenapa
dah terpikat ke?”
“Hiss… Kak
Jah ni, orang tanya sajalah, bukannya berminat pun!”
“Itu
Anas, anak buah datin. Dia selalu datang ke mari. Kenapa Kas kenal ke?”
“Tak
kenal sangat, gitu-gitu aje,” ha… menipulah tu.
“Anas tu
baik budaknya, sopan dan ringan tulang.” Pujian Kak Jah tu membuatkan Kasdina
Alya ternganga. Sungguh tak diduga mamat poyo tu pandai sungguh berlakon dan
menyembunyikan watak sebenarnya. Kasihan Kak Jah dan datin. Hidup-hidup dah
kena kelentong dek mamat poyo tu. Alahai poyo…
Subscribe to:
Posts (Atom)