BAB 4
MAKAN
malam di rumah Datin Azizah berjalan dengan lancar dan sempurna. Semua tetamu
suka dengan masakannya, sampai menjilat sudu. Tak terkecuali dengan mat poyo tu
yang nampak berselera sekali bila makan. Tak padan hari tu kata aku masak tak
sedap. Kalaulah aku tahu, mamat poyo akan makan malam sekali lebih baik aku
bawa julap. Biar dia tahu, bagaimana rasanya sakit perut memulas-mulas. Baru
padan dengan mukanya.
Makan
sudah, dapat upah pun sudah. Bayaran upahnya bertepatan sekali dengan saranan
nabi, bereskan upah sebelum keringat kering. Tiba masanya untuk dia beredar dan
balik ke rumah. Seperti yang dijanjikan tuan rumah, datangnya berambil
pulangnya berhantar. Hai… macam tuan puterilah pula. Senyum Kasdina Alya
sendiri. Mana tak senyum, masyuknya juga boleh tahan. Datin membayar khidmat
kepakarannya dengan harga yang tinggi. 200
quid, you! banyak tu untuk kerja tak sampai lima jam. Berbaloi betul.
Rasanya, datin bukan saja bayar kerana berpuas hati dengan perkhidmatan,
kemungkinan termasuk kemesraan yang terjalin. Alhamdulillah… kalau ramai yang
nakkan khidmat aku yang macam ni, alamatnya cepatlah aku kaya. Hikhikhik… tak
sabar rasanya nak jadi orang kaya.
“Kak
Jah, Kas balik dulu ya, lain kali kita jumpa lagi.”
“Yalah
Kas, belum puas Kak Jah bermesra dengan Kas, dah nak kena balik. Kas masak tadi
sedap betullah, tak pernah Kak Jah rasa masakan Tom Yam yang sesedap itu.”
“Yalah
tu Kak Jah, saja nak ambil hati Kas.”
“Betul
Kas, semua orang puji masakan Kas,” ujar Kak Jah. Kasdina Alya menyengih, dah
kembanglah tu. Pantang kena puji, Kak Jah pula pantang jumpa, manakala drebar datuk
pantang betul, sebab Gout! Dalam cuaca sejuk macam ni pun boleh kembang, itulah
dia Kasdina yang kembang kuncup sifatnya.
“Kak Jah,
mana Abang Kasim ni, kata nak hantar Kas,” tanya Kasdina yang tak betah lagi
berdiri sambil menunggu Abang Kasim. Cuaca yang sejuk beku begini membuatkan
Kasdina Alya sudah tidak selesa menunggu.
“Kau
tunggulah, kejap lagi adalah tu. Mungkin datuk sedang berpesan apa-apa. Sabar
ajelah.”
“Kas dah
mengantuk ni, cakap dengan Abang Kasim, Kas tunggu dalam kereta. Heh… Abang
Kasim ni, entah-entah dia pergi cucuk biji mata dengan garpu,” rungut Kasdina
Alya.
“Pasal
apa pula dia nak cucuk bijik mata sendiri?”
pelik Kak Jah mendengarnya.
“Dia kan
Kasim Selamat, sebab tu lambat. Asyik duk ucap selamat malam sana, selamat
malam sini. Penyudahnya Kas ni yang tak selamat. Jadi ais batu, keras kat sini.”
“Hahaha…
Kak Jah ingat kenapalah tadi. Kau ni kan, kuat betul loyar buruk. Yalah, nanti
Kak Jah bagi tahu kat Abang Kasim,” ketawa Kak Jah geli hati. Belum sempat mendengar jawapan dari Kak Jah, Kasdina Alya
sudah berlari ke arah kereta. Matanya tak mampu bertahan lagi. Mengantuk
sangat-sangat macam dah tertelan Zopiclone.
Masuk saja
dalam kereta, dengan tidak perlu menunggu lama Kasdina Alya sudahpun selesai
hanyut bersama mimpi indah dan angan-angannya. Wah… senangnya tidur, baru saja
sandarkan kepala, dah lebuh? Mak datuk, tidur nyenyak macam gajah penat, kalau
humban ke laut pun dah tak sedar ni.
Lama Anas
Irfan berada dalam kereta, menunggu minah puteri singa ni tidur, dan diharap
dia akan bangun dengan sendiri. Dah dipanggil-panggilnya nama, tapi minah ni
tak juga jaga. Dikuis-kuisnya badan minah cute
tu dengan penabola, tak berdegis pun. Masih macam tadi, tidur dengan penuh
nyenyak sehingga berdengkur. Letih sangatlah tu… Mana tak letihnya, lepas saja
habis kerja kat restoran, terus dia dijemput ke rumah datin. Dari pagi sampai
ke malam buat kerja, mana tak penat. Kasihan dia.
Anas
Irfan merenung wajah Kasdina Alya yang sedang nyenyak tidur. Cantik wajahnya
ketika tidur, macam tidur seorang bayi. Aman dan mendamaikan bila melihatnya.
Jauh sekali bezanya sewaktu minah ni dalam sedar, wajahnya selalu macam singa
beranak kecil, pantang diusik sikit, mulalah nak mengamuk.
Anas
Irfan cuba mengejutkan Kasdina Alya sekali lagi. Lagi merengkut adalah bila
namanya dipanggil. Ingat orang sedang mendodoikan kamu ke apa? Macam mana nak
buat ni? Takkan nak tunggu kat sini sampai pagi? Cuaca dahlah below freezing point. Boleh mati kesejukan
tau!
Jenuh Anas
Irfan berfikir, mencari akal untuk membangunkan minah The Lion Princess
ni. Memang jenis kuat tidur agaknya. Anas mula menyelongkar laci kereta auntienya, kut-kut ada benda yang boleh
diguna pakai untuk mengejutkan minah ni. Akhirnya Anas Irfan terjumpa sehelai
plastik putih. Timbul satu idea baik punya. Dia meniup plastik tersebut dengan
udara sampai penuh dan buncit, kemudian meletupkannya di hadapan muka Kasdina
Alya.
“Bommm…”
jerit Anas Irfan kuat.
“Tolong,
bom meletop!” jerit Kasdina Alya yang mula terbangun dan masih mamai. Dengan
pantas Kasdina Alya mengangkat tangan dan membuat aksi Ultraman dalam keadaan mata yang masih tertutup. Kuat ketawa Anas
meletus bila melihat gelagat Kasdina yang mamai sehingga memenuhi ruang kereta.
Entah-entah tidur tadi mimpi berlawan dengan raksaksa kut. Bingai punya minah.
Perlahan-lahan Kasdina Alya membuka matanya bila terdengar bunyi bising.
Daripada sepet terus jadi bulat bilamana dia melihat Anas Irfan yang ada
bersamanya, dah tu siap dengan ketawa yang seakan tak mahu berhenti.
“Heh,
kenapa kau ada dalam kereta ni? Kau nak apa-apakan aku ke? Kalau kau sentuh aku,
siap kau. Aku belasah kau nanti!” jerit Kasdina Alya dalam keadaan yang agak
takut. Mulut saja bising, tapi hati kecut.
“Eh minah,
kau ingat aku terliur ke nak usik kau? Dahlah tidur berdengkur macam kerbau,
air liur meleleh, mulut bising. Eeeii… gelilah,” balas Anas Irfan. Kasdina Alya
meraba mulutnya. Yalah, ada kesan air liur. Mak malunya.
“Dah tu,
macam mana kau boleh berada dalam kereta ni? Tadi Abang Kasim yang janji nak
hantar aku. Mana Abang Kasim?” suara Kasdina masih keras. Memang pantang betul
dia jumpa mamat ni. Hangin satu badannya mula menyerap. Dekat rumah datin tadi
jenuh dia mengawal nafsu amarahnya bila Anas Irfan tiba-tiba saja mengejutkan
dia.
“Kau
tanyalah diri kau sendiri. Apa yang kau bubuh dalam Tom Yam kau tu sehingga
abang Kasim sakit perut memulas-mulas, sampai tak boleh nak keluar tandas.”
Anas Irfan membuka cerita.Ternganga Kasdina Alya mendengarnya. Betul ke? Kalau
macam tu habislah tetamu datin sakit perut. Mak tolong! Kasdina Alya diburu
rasa kesal dan bersalah. Macam mana ni? Ya ALLAH kasihannya tetamu-tetamu
datin, pasti datin malu besar kalau kesemua tetamunya mengalami sakit perut dan
cirit-birit.
Dengan
penuh rasa kesal dan bersalah, Kasdina Alya membuka pintu kereta dan melangkah
keluar. Sebelum menutup pintu kereta dia mengucapkan terima kasih kepada musuh
ketatnya walaupun diri tidak mahu menuturkannya, tapi naluri kemanusiaan yang
menyuruhnya. Yalah, orang dah hantar segala, ada ke nak buat bodoh saja.
Menonong saja masuk dalam rumah. Itu tak civilised,
jangan buat malu kaum. Apa punya oranglah!
“Kak Jah,
teruk ke Abang Kasim sakit perut dan cirit-birit?” tanpa sempat memberi salam
Kasdina Alya terus bertanya pada Kak Jah melalui telefon bimbitnya.
“Kasdina
ke ni?” Kak Jah masih tak cam suaranya.
“Yalah
Kak Jah, takkan tak cam suara Kas?”
“Itulah
kau, bercakap tanpa salam, main terjah saja, kalut semacam,” tegur Kak Jah.
“Alah Kak
Jah ni, Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Apa khabar Kak Jah?” Mengekek
Kak Jah ketawa. Ha… baru tahu, nak skema sangat, jawablah biar panjang sedepa
atau siap dengan mukadimah khutbah Jumaat sekali.
“Kau ni
boleh tahan loyar buruknya. Yang Kas kelam kabut ni kenapa?”
“Kak Jah
dah cirit-birit berapa kali? Abang Kasim dah berapa kali? Datin Azizah macam
mana? Datuk Zakaria cirit- birit juga ke?”
“Heh… apa
pasal benda busuk orang yang kau tanya ni?” sergah Kak Jah bila dengar Kasdina
Alya merapu-rapu.
“Yalah,
Kas nak tahu juga, disebabkan makan masakan Kas semua orang cirit-birit,” sedih
saja suara Kasdina. Rasa sedih dan bersalah menghantui diri.
“Siapa
kata kami cirit-birit?” pelik Kak Jah mendengar cerita ni.
“Habis
Abang Kasim tak kena cirit-birit?”
“Taklah,
ada ni hah tengah tolong Kak Jah mengemas.”
“Dah tu,
kenapa dia tak hantar Kas?”
“Anas cakap
biar dia hantar Kas sebab rumah Kas dengan rumah dia tak jauh. Kenapa ada dia
buat apa-apa kat Kas ke?”
“Eisy…
tak adalah, saja nak tahu. Okeylah Kak Jah. Selamat malam.” Kasdina Alya
mengakhiri perbualannya. Huh… mamat poyo ni tak habis-habis cari kes dengan
aku. Nanti kau, ada ubi ada batas, ada hari aku akan balas. Tungguuuu…
No comments:
Post a Comment