NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Thursday, September 12, 2013

AWEK ABANG POYO BAB 6

                                                                         

BAB 6

        BAU Nasi Goreng Belacan memenuhi ruang rumah. Aromanya saja sudah cukup menyentap sukma, yang kadang-kadang menjadi bahan komplen jiran mat saleh mereka. Masing-masing buat ‘dono’, buat tak faham, malas nak ambil pusing, banyak beno pantang larangnya. Aduh… menghadapi nasi goreng yang panas bersama secangkir kopi dalam cuaca dingin begini cukup membahagiakan. Kasdina Alya menghidangkan Cucur Ikan Bilis dan nasi goreng yang masih berasap di atas meja. Kedua kawannya sudah sedia di bangku masing-masing sementara menunggu semboyan dibunyikan.
        “Sarah, pergi panggil Nisa’ dan June. Kita sarapan sama-sama,” arah Kasdina Alya. Sarah beredar ke bilik adik-adik junior tanpa sepatah kata. Sebentar kemudian mereka bertiga muncul.
        “Kak Kas cuti ke hari ini?” June bertanya.
        “Ya, sebab tulah akak masak pagi ini, boleh kita breakfast bersama. Duduk June, Nisa’. Ni yang lawa-lawa pagi ni nak keluar ke?” tanya Kasdina Alya bila melihat kedua gadis comel tersebut sudah siap berjubah dan bertudung labuh. Suka dia melihat perwatakan June dan Nisa’ yang lemah lembut dan sopan santun itu.
        “Ya, sekejap lagi kami nak keluar. Kami nak pergi usrah kat rumah Kak Farah senior kami di Finsbury Park,” terang Nisa’.
        “Oh, gitu ke? Makanlah kenyang-kenyang. Akak masak banyak ni kalau tak habis bolehlah bawa nasi goreng dan cucur ni ke rumah kak senior Nisa’ tu. Makan sama-sama kawan pasti seronok,” ujar Kasdina Alya pada Nisa’ dan June. Kedua gadis junior itu senyum dan mengangguk.
        “Usrah tu apa?” tanya Saly yang sedang sedap mengunyah.
        “Kalau kau nak tahu kau ikutlah mereka. Pergilah, kau pun bukannya buat apa kat rumah. Habis tinggi terlentang, tertiarap, akhirnya buat tahi mata.”
        “Heh… apa tahi-tahi ni, aku tengah makan ni, gelilah,” tegur Sarah. Semua yang ada di meja makan ketawa dengan telatah Sarah. Sebut geli, tapi tangan kanan laju menyenduk nasi.Tekaknya bukan main lagi sedap menelan.
        “Habis kau tu, tahu apa itu usrah?” tanya Saly. Saja nak kenakan Kasdina Alya.
        “Weh… see the leglah. Aku dulu sekolah agama sampai Tingkatan Tiga, tau! Bab usrah dan tarbiah ni adalah pengalaman persekolahan aku dulu, ingat orang tak reti. Cumanya sekarang ni aku abaikan buat sementara waktu sebab sibuk mencari dunia,” akui Kasdina Alya ikhlas.
        “Kalau kau tahu, terangkan kat aku,” pinta Saly. Kedua gadis comel itu senyum dan berpandangan ke arah kakak-kakak yang selalu sangat berhujah dan berforum apabila saja bersemuka. Inilah agaknya di antara bukti yang menunjukkan orang Melayu ni suka dan pandai berpolitik. Hidup Melayu!
        “Usrah adalah perkataan arab yang bermaksud keluarga.Tapi perkataan usrah itu telah diguna pakai dengan meluas dan konsepnya juga menjadi menyeluruh. Kalau sebut saja perkataan usrah dah ramai yang tahu apa aktiviti dan agendanya. Usrah ni memang maksudnya keluarga, kerana bila berada dalam majlis usrah hati-hati mereka yang terlibat akan bertaut antara satu sama lain. Mereka berkumpul dan berbincang tentang agama dan kehidupan serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran di antara satu sama lain. Saling mengambil berat seperti sebuah keluarga,” terang Kasdina Alya.
        “Oh, kalau macam tu, kita ni dah lama berusrahlah, sebab kita semua ni dah hidup dalam berkasih sayang antara satu sama lain,” sampuk Saly.
        “Bukan macam tu, usrah ni dia ada adab-adabnya. Yang pertama kita berkumpul, bentukkan satu halaqah atau bulatan, kemudian kita buka majlis dengan membaca ummul kitab atau sab‘ul mathani iaitu al-Fatihah, seterusnya setiap orang mesti baca dua tiga ayat al-Quran dari mana-mana surah yang dipilih. Kemudian kita adakan juga tazkirah dan pengisian, selepas itu, kemudian sekali barulah diadakan perbincangan lain-lain hal, dan akhirnya ditutup majlis tersebut dengan tasbih Kaffarah dan surah al-Asr,” panjang lebar penerangan yang dibuat oleh Nisa’. Nah ambil kau, semborono saja mengaku dah berusrah, sembahyang subuh pun celum-celam. Sendiri mau ingat. Tapi elok juga kalau Saly ni diheret menyertai usrah, biar telinga gajahnya disumbat dengan sedikit peringatan, agar dia sedar di mana-mana dan di dalam keadaan apa sekalipun kita tetap kena menyembah ALLAH. Ianya taklif bagi setiap mukallaf. Amrun ta‘abuddi kata ustaz, kerana kerja-kerja pengabdian ini adalah perintah ALLAH, hatta ketika sedang terapung di udara sekalipun kita wajib menyembah ALLAH bila tiba waktunya.
        Ternganga Saly dan Sarah. Kau ingat kau dah buat Master in Engineering kau dah cukup hebat? Ilmu dunia ni kalau kau pisahkan dari ALLAH dan akhirat, satu penny pun tak guna. Hebatnya seseorang itu di sisi ALLAH ialah bilamana dia gunakan ilmu dunianya untuk mencari akhirat atau lebih tepat lagi mardhatillah--keredhaan ALLAH. Teringat aku dengan kata ustaz aku lagi, addunya mazratul akhirah--dunia ini tempat bercucuk tanam untuk akhirat katanya. Faham tu ya! Bukan nak tunjuk pandai atau nak memandai-mandai. Setidak-tidaknya apa yang aku kata, telinga aku yang terlebih dulu dengar, tak gitu! Sama juga macam kita cuci baju, kalau baju tak bersih, tangan confirmed bersih, tak gitu! Tak gitu lagi… udah, udah!
“Korang nak ikut aku kejap lagi, tak?” tanya Kasdina Alya sebaik sahaja menghantar pandang ke muka pintu bila mana Nisa’ dan June melangkah keluar.
        “Kau nak pergi mana?” tanya Saly dan Sarah serentak.
        “Winter Sale kat Oxford Street, ada benda yang aku duk aimed dari dulu. Dah ada sale ni, naklah aku beli.”
        “Kau nak beli apa?”
       Handbag, untuk mak aku. Dah lama aku duk terliur dengan handbag yang cantik tu. Mesti Hajah Aminah binti Abdullah bonda aku nampak vogue macam mak-mak datin bila pakai handbag yang aku kirim nanti.” Kasdina Alya berangan sendiri.
        “Bila nak pergi?” tanya Sarah teruja.
        “Sekarang,” jawab Kasdina sambil mengemas meja makan.
        “Takkan awal sangat. Sejuk-sejuk macam ni takkan nak beratur kat luar Selfridges tu?” tanya Sarah.
        “Kau ni macam tak tahu pula budaya orang-orang kat sini, bila hari pertama sale mereka sanggup menunggu di muka pintu untuk mendapat barang-barang yang mereka ingini. Yang lebih ekstrem lagi ada yang sanggup berkampung, guna tent, tidur dalam sleeping bag, semata-mata nak dapat duduk queue depan. Lagipun kat sini kalau buat sale, talak tipu maa… potongannya memang boleh dipercayai, bukannya macam sale apek sepet kat Chow Kit atau Petaling Street tu. Kata aje sale tapi harga masih macam biasa. Kalau betul-betul ada pun dah yang out-fashioned dan out-dated, tak pun seluar pendek jalur-jalur seperti sarung bantal yand selalu apek pakai tu, ada le diskaunnya,” terang Kasdina Alya geram. Sarah dan Saly ketawa geli hati dengan ayat terakhir Kasdina. Kemudian kedua gadis itu menganggukkan kepala mengiakan segala kata Kasdina Alya. Mereka maklum, memang pun selalu macam tu, dah lama dah, cakap saja diskaun sampai 70 peratus. 70 peratus tu after discount jadi balik harga sebelum potongan. Maknanya dia naikkan harga, and then dia potong sebanyak 70 peratus konon-kononnya.Tak ke auta namanya tu pak menteri? Mohon terasa.
        “Jomlah bersiap, karang terlambat,” arah Kasdina Alya pada teman-temannya. Anak dara tiga serangkai itu pun beredar ke bilik masing-masing untuk bersiap. Itulah adanya, kalau bab usrah dan agama, slow aje responsnya, tapi kalau berderap shopping, tak payah bersuruh. Aje yang hantu!











No comments:

Post a Comment