NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Thursday, September 12, 2013

NOVEL BARU UMMU WAFA : AWEK ABANG POYO akan keluar pada November 2013. Terbitan Alaf 21.

                                                     


Sinopsis
KASDINA ALYA seorang gadis yang tidak pernah kenal erti kalah. Dia sentiasa berjuang untuk diri dan keluarganya. Semangat kental yang ada pada Kasdina Alya jarang sekali dimiliki oleh gadis yang sebaya dengannya. Kukuh prinsip pendirian, robust dan tahan lasak fizikal mental bak srikandi pejuang kebebasan.
Beribu kilometer dia berkelana di tengah-tengah kota London, mencari pengalaman dan rezeki. Berbekalkan kemahiran semulajadi yang dimilikinya, dia bekerja di sebuah restoran Melayu sebagai tukang masak yang serba boleh. Versatile dengan citarasa 1Malaysia. Tempat kerja yang seronok, kondusif, majikan yang baik dan rakan-rakan yang memahami, membuatkan dia rasa selesa bekerja di tempat itu. Cuma satu saja yang membuatkan dia selalu sesak dada dan sakit jiwa ialah apabila mamat poyo yang bernama Anas Irfan, yang letih kontrol macho itu datang berkerja. Walaupun mamat poyo tu hanya buat part-time, sabtu dan ahad saja, namun ia sudah cukup menyeksakan jiwanya.
Lima tahun berkelana di kota metropolitan London yang pernah menjadi kota fesyen flower power, peace and love di era 60-an itu, menyebabkan Kasdina Alya menjadi seorang yang gigih, cekal dan bersemangat waja. Jati diri unggul, model tangan yang menghayun buaian yang menggegar mayapada, tabah mengharungi hidup seawal usia 20-an, di kala rakan sebaya sibuk dengan pelajaran. Bagaimana boleh dia tercampak di tengah kota London seorang diri adalah suatu pengalaman suka-duka yang sukar dilupakan. Dia bukan gadis sponsored yang datang untuk menyambung pelajaran ke peringkat degree atau peringkat masters, jauh sekali ke peringkat PhD. Dia adalah gadis biasa yang sekadar lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari KPTM. Tak lebih dan tak kurang. Sijilnya pun tak berapa nak laku, hatta di tanah tumpah darahnya sendiri. Apalagi di tanah Inggeris yang gharib.
Saat Kasdina Alya tengah bersemangat dan seronok mengumpul Pound Sterling untuk diconvertkan ke Ringgit Malaysia, dia dipanggil balik ke Malaysia oleh ibunya Hajah Aminah. Hajah Aminah terpaksa berbuat demikian kerana dia sudah tidak larat lagi menanggung beban masalah keluarga yang tidak putus-putus dilanda badai. Dengan berat hati, Kasdina Alya pulang juga ke tanah air demi kasihnya pada ibu dan keluarga. Duit di mana-mana pun boleh cari, walaupun ketika itu Sterling mengungguli carta Forex, tapi keluarga, itulah yang dia ada.
Sakit Haji Amran semakin menjadi-jadi. Tidak ketentuan, kadangkala dia akan meracau-racau seperti orang kerasukan. Ada ketikanya Haji Amran batuk sampai keluar darah hitam pekat berketul-ketul. Di ketika lain, badannya terasa penat dan seluruh sendinya dikuasai lenguh. Yang anehnya bila dibawa berjumpa doktor, doktor kata Haji Amran tak ada penyakit. Hampir semua kaedah telah dicuba, dah masukkan kamera dalam badan, dah buat CT Scan dan MRI bagai, tapi semua keputusan clear. Haji Amran bebas dari sebarang penyakit. Pelik sungguh Kasdina Alya memikirkannya, kerana kalau tiba waktu sakitnya menyerang, ayahnya akan berguling-guling tidak tahan menahan sakit yang teramat sangat. Hinggakan Kasdina dan emaknya tidak tahu nak berbuat apa, yang mereka tahu hanya menangis melihat penderitaan ayah.
Suatu hari sewaktu membeli-belah di hypermarket Mydin Manjoi, Kasdina Alya terserempak dengan Mak Cik Ana, emak kepada kawan baiknya Rozita, yang juga sedang sibuk membeli-belah. Dalam pertemuan itu Mak Cik Ana menyuruh Kasdina Alya membawa abahnya berubat dengan seorang ustaz kampung yang mahir dalam mengubati penyakit misteri. Mak Cik Ana tahu akan kehandalan ustaz itu melalui jirannya, seorang wanita tua yang pernah menerima rawatan dari ustaz tersebut. Alhamdulillah sehingga sekarang, warga emas yang menggelarkan dirinya Opah Wan tu sihat wal‘afiat. Atas beberapa sebab, hajat untuk membawa Haji Amran ke lokasi perubatan itu tidak kesampaian. Sementelah Haji Amran sendiri pun sudah berkerusi roda, lagilah merumitkan keadaan. Hasrat itu pun terpendam dengan sendirinya.              
Kedatangan sahabat karibnya Rozita, yang sekian lama tidak ditemui bukan saja menghadirkan keceriaan, tetapi membawa pengharapan baru buat ayahanda Kasdina. Datangnya bersama seorang ustaz dari Pusat Rawatan Islam Kuala Lumpur yang juga rakan kepada suaminya. Kebetulan al-fadhil ustaz masih dalam percutian, mungkin ditakdirkan rezeki Haji Amran, ustaz sedia bertandang dan menghulurkan bantuan agar penyakitnya itu dapat dikenal pasti dan seterusnya dirawat mengikut kaedah rawatan Islam. Melihatkan akan keadaannya, Ustaz Habibullah merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Haji Amran. Mengikut firasat dan pengamatannya, apa yang dideritai oleh Haji Amran ini bukanlah penyakit biasa, tapi lebih kepada gangguan mistik atau lebih tepat perbuatan sihir yang dihantar untuk menghancurkan hidup Haji Amran. Setelah dibuat rawatan, dan kemudiannya beberapa susulan lagi selepas itu, barulah keadaan Haji Amran ada menampakkan sedikit perubahan. Walau bagaimanapun, memandangkan sihir yang dihantar itu sudah di tahap kritikal, usaha yang dibuat itu akhirnya menemui kegagalan. Sayang semuanya telah terlambat. Kata Ustaz Habibullah, orang yang menghantar sihir kepada ayahanda Kasdina itu adalah orang yang mereka kenali. Tujuannya adalah untuk membalas dendam. Akhirnya Haji Amran meninggal dunia dengan derita sihirnya.
Hidup Kasdina Alya tidak pernah berhenti dari menanggung masalah keluarga yang datang. Hilang satu berganti yang lain, silih berganti, tiada sunyi dan diam. Negatively, patah tumbuh hilang berganti. Adik bongsu Kasdina Alya yang menjadi penagih dadah sintetik so-called designer drugs, selalu saja memberi masalah kepada keluarga mereka. Begitu juga dengan adik perempuannya yang berkahwin di usia muda, mengalami masalah ketidakstabilan rumahtangga dan telah pun menjadi ibu tunggal. Terasa nak tercabut tengkuk dan kepalanya memikirkan apa yang dialami, hingga dia sendiri tidak sempat berfikir untuk kelangsungan dan kesempurnaan hidup untuk dirinya sendiri. Semoga ada sinar di penghujung khatimah deritanya.                      
Kemuncak kesedihan Kasdina Alya ialah apabila ayah yang dicintai menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan penyakit yang dideritai sejak sekian lama. Satu-satunya adik lelakinya pula, ditangkap oleh pihak berkuasa pada hari yang sama permergian ayahnya mengadap ILAHI kerana kesalahan mencuri motosikal. Kemudian Kasdina sekeluarga dihalau dari rumah mereka sendiri oleh mak longnya selang beberapa hari selepas ayah meninggal dunia. Alasan tak berhati perut mak long, rumah tersebut adalah milik mutlaknya mengikut pengagihan faraid dia sendiri yang kabur. Menurut kata tak rasmi mak saudaranya itu, sebenarnya ayah sekeluarga tidak layak duduk di rumah pusaka tersebut kerana ayah hanyalah anak angkat kepada arwah Haji Dol Mat.
        Dengan berat hati Kasdina Alya sekeluarga berhijrah ke Kuala Lumpur dan mencuba nasib dengan berniaga nasi lemak di tepi jalan sebagai sumber pendapatan. Suatu hari yang hening, tidak disangka-sangka gerai nasi lemaknya dirompak oleh sekumpulan lelaki sewel yang berlagak gangster. Aksi yang mencemaskan, adegan yang tragis serta menyayat hati, dan drama yang cukup menggelikan hati pun terjadi. Rupa-rupanya brader poyo, teman merangkap musuh ketatnya sewaktu di UK dahulu yang menjadi dalang di sebalik kegiatan ‘rompak dan bayar’ tersebut. Hantu punya mamat, selalu saja nak susahkan orang. Kalau tak buat Kasdina Alya sakit hati, macam tak sah hidup Anas Irfan yang sememangnya suka melihat Kasdina Alya tension dan marah-marah.
        Sebenarnya itulah pendekatan dan stail bermain cintanya yang diluahkan dalam karakter ‘gedunggu’ dan perangai pelik yang jarang orang tahan, termasuklah Kasdina sendiri. Anas Irfan sudah lama jatuh hati, jatuh cinta, jatuh meroyan pada Kasdina Alya ini. Tapi disebabkan ego, cemburu, dan salah sangka ‘bodo’nya, dia terlepas peluang untuk mencurahkan rasa cintanya pada Kasdina Alya yang terpaksa pulang ke tanahair secara tergesa atas sebab-sebab tertentu.
        Sesungguhnya jodoh itu adalah rahsia ALLAH yang telah tertulis sejak azali lagi. Kasdina Alya bersetuju menerima Anas Irfan sebagai tunangan bilamana keluarga Anas datang merisik dan terus meminang tanpa memberinya banyak ruang untuk berfikir. Faktor perbincangan secara ad hoc kedua belah keluarga sangat mempengaruhi keputusan, ditambah pula kisah silam Kasdina semasa di England yang tidak diketahui oleh emaknya, turut menyumbang. Mungkin itu sudah jodohnya, walaupun hatinya kadangkala sakit dengan perangai dan perbuatan Anas Irfan yang sememangnya cukup melampau. Dalam diam dan dalam kurang senang, sebenarnya sudah lama nama Anas Irfan tertulis di dinding hatinya, tapi dibiarkan gersang, tidak berjirus dan tidak berbaja, atas alasan soal jodoh biar ALLAH saja yang tentukan, sebab ALLAH lebih mengetahui mana yang terbaik buat hambanya. Episod suka dukanya menuju kegarisan apabila dua tuntutan cinta yang ditagih oleh dua jejaka yang mewarnai hidupnya datang menyerbu serentak, dan akhirnya Kasdina Alya hanya mampu berserah dan beristikharah. Kasdina Alya nekad memilih Anas Irfan untuk menjadi teman hidup sematinya walaupun Zafran adalah lelaki kacak yang tidak kurang hebatnya. Jauh di sudut hati, Kasdina Alya juga sedih bila tidak dapat memenuhi tuntutan cinta rakan kongsinya yang banyak menolong dalam merealisasikan kafe impiannya. Tapi apa boleh buat, tiada istilah paksaan dalam kamus percintaan, kerana hadirnya adalah suatu anugerah yang terindah dari Pemilik cinta yang hakiki.            

      

No comments:

Post a Comment