BAB 12
KERETA Myvi putih Sonia mula memasuki bangunan terminal KL
Sentral, dan dia meletakkan keretanya di tempat selamat yang telah disediakan
oleh pihak KL Sentral di bawah seliaan Metro Parking. Sebaik saja masuk ke
dalam kawasan parking tersebut, maka bersedialah
jiwa dan raga bahawa tengkuknya akan dipotong oleh bayaran parkir yang melampau.
“Wah, mahalnya. Sejam pertama RM4, dan RM4 juga untuk jam seterusnya.
Cekik darah ke apa?” rungut Amanda tidak puas hati dengan caj bayaran parking
di situ.
“Biasalah KL, macamlah kau tu baru hari ini tiba di KL. Bukan
lagi cekik darah, dengan tulang dan segala organ dalaman sekali dicekiknya,”
sampuk Sonia sambil ketawa.
“Maknanya, kalau kita ambil masa satu jam satu minit pun akan
jadi lapan ‘hengget’?”
“Yupp… dan kalau kau letak kereta kat sini berjam-jam, maka
berpuluh-puluh henggetlah note merah kau melayang,” terang Sonia sambil
melangkah.
“Hish… tak ada perasaan simpati langsung,” komen Amanda yang
masih tak puas hati.
“Memanglah, mesin autopay tu mana ada perasaan,” ketawa Sonia lagi.
“Akak ni… maksud saya bukan mesin, tapi manusia yang kontrol
harga tulah. Tak boleh ke murahkan sedikit, barulah tak menyusahkan orang.” Wah
prihatin juga minah ni ea.
“Inilah harga yang perlu kita bayar untuk sebuah kemajuan dan
pembangunan, nak tak nak telan sajalah,” jawab Sonia.
“Mana boleh macam tu, penduduk KL ni bukan semuanya berduit.
Malah kadangkala, lebih miskin lagi dari orang kampung taw! Kalau dah jalan
sikit kena tol, letak kereta sikit dah kena bayar gila-gila, apa yang tinggalnya?”
luah Amanda dalam rasa tak puas hati yang tak habis. Hmm… nak pula dia ambil
tahu benda-benda macam ni erk. Bagus juga akalnya.
“Okeylah, apa kata kau ambil calon jawatan Datuk Bandar Kuala
Lumpur. Akak akan undi kau.” Sonia ketawa bersahaja dan Amanda juga mengekek. Jauh
dan meleret benar isu parkir itu diperbincangkan.
Sebaik saja memasuki ruang legar KL Sentral, Sonia mencari
orang yang ingin ditemui, dah sampai ke belum. Tak nampak batang hidung pun.
Janji malam tadi bukan main lagi nak datang awal, padahal bukannya jauh mana
stesen LRT dengan rumah dia. Dahi Sonia berkerut. Yang seorang lagi pun macam tak
ada aje, ke mana perginya dia hari ini? Tak dengar pun bunyi petikan gitar tongnya.
Sonia tercari-cari dua wajah di sebalik manusia yang sedang bergerak ke sana
dan ke mari. Hati Sonia mula rasa terkilan. Tujuan datang semata-mata nak cuci
mata dan cuci telinga, tapi doktornya pula tak ada. Ah… hampanya.
“Akak cari siapa ni?” tanya Amanda yang rasa pelik dengan tingkah
Sonia.
“Cari Kak Eja. Janji dengan akak nak jumpa kat sini, tapi tak
nampak pun dia,” rungut Sonia.
“Senang cerita call ajelah, baru tau dia kat mana,” cadang Amanda.
“Ya tak ya juga, lupa pulak. Berguna juga kamu ni ya Aman,” sempat
juga Sonia mengata. Amanda diam aje. Sonia terus mendail nombor Eja.
“Assalamualaikum, kau kat mana ni?” tanya Sonia kuat, melawan
kebisingan segala benda yang berada di situ.
“Nia sorrylah, aku tak jadi keluar.
Perut aku ni sakit ya amat, memulas-mulas sejak dari subuh tadi,” jawab Eja.
“Habis kenapa kau tak beritahu aku?”
“Aku dah mesej pagi tadi lagi, kau tak baca ke?” tanya Eja
balik.
“Tak.. aku lupa nak tengok. Tak mengapalah! Kau makan ubat
dan rehat cukup-cukup ea. Kalau teruk sangat pergi hospital tau, dan jangan
lupa call aku,” pesan Sonia. Talian
diputuskan.
“Macam mana, Kak Eja datang tak?” teruja Amanda bila dengar
nama Eja. Suka sangat dia kalau dapat berborak dengan Eja, maklumlah sama-sama
kepala tak betul.
“Tak jadi datang, dia tak sihat,” beritahu Sonia.
“Oh ruginya. Kalau tak, tentu seronok bertemu dengan Kak Eja.
Lama dah saya tak jumpa dia.”
“Yalah… dia sibuk, studentlah katakan. Bukannya macam kau, free memanjang. Kerja sikit, gaji
banyak, cuti banyak,” perli Sonia.
“Biasalah kak, dah anak bos, dapatlah keistimewaan itu.
Bukannya macam ahkak, bapa ada syarikat sendiri, tapi anak jadi cleaner kat tempat orang. Apa ke
halnya?” balas Amanda balik sambil ketawa seronok bila dapat menempelak Sonia.
“Pandai kau kenakan akak balik ya,” cubit Sonia geram.
Tiba-tiba bunyi petikan gitar berkumandang di celah-celah
orang ramai. Sonia mengintai untuk memastikannya. Kemudian dia tersenyum lebar.
Hatinya mula diburu kegembiraan.
“Akak ni kenapa senyum-senyum semacam aje?” tanya Amanda
dengan rasa pelik tapi matanya turut menyoroti apa yang Sonia sedang pandang.
“Diam ajelah. Jangan nak menyibuk,” larang Sonia tanpa
menoleh pun ke arah Amanda. Matanya melekat pada lelaki yang sedang menyanyi
sambil memetik gitar.
“Oh, akak tengah syok layan mat busker nyanyi erk. Patutlah
nak cuci mata kat sini,” sakat Amanda yang memang mengena.
“Hish, kau ni merepek aje. Dah dia nyanyi, akak dengarlah,
macam orang lain juga,” dalih Sonia.
“Ya ke, saya tengok muka akak ceria dan suka jer, serta
bersemangat nampak.”
“Kau nikan, kecoh lebih jer tau! Lebih baik kau dengar brader
tu nyanyi.” Diam seketika mulut Amanda, dan telinganya dipanjangkan untuk
mendengar bait-bait lagu yang disulami dengan petikan gitar. Sungguh mengasyikkan.
“Yalah kak, bestlah lagu dia. Pandai pula dia goreng ya,
masuk dengan lagu yang dia nyanyi, macam profesional jer. Siapa dia tu?” tanya
Amanda yang mula tertarik dengan kehebatan mat busker itu.
“Entahlah akak pun tak kenal, tapi dia selalu main kat sini
bila hari minggu,” cerita Sonia.
“Oh, kak dah selalulah tengok dia buat persembahan, atau
datang sini semata-mata nak tengok dia?” usik Amanda. Sonia berkerut wajah,
tidak setuju dengan terjahan Amanda walaupun hakikatnya betul.
“Kebetulan aje, bila akak keluar dengan Kak Eja, kita orang jumpa
kat sini. Itu yang boleh perasan mat busker tu menyanyi,” terang Sonia. Entah
Amanda percaya atau tidak, lantak mu lah!
“Apa pun saya sukalah abang tu nyanyi, bestlah suara dia. Nyanyian
dia tu macam meresap ke dalam urat sendi pulak, syoklah!” pandai sekali Amanda
membuat gambaran. Sonia ketawa. Ada-ada aje.
Amanda melangkah ke depan.
“Hish, nak ke mana tu?” tanya Sonia.
“Nak gi depan sikit, tak puaslah berdiri kat sini, tak berapa
jelas,” jawab Amanda dengan senyum.”
“Amboi… sekali dengar
dah jatuh syok, sampai nak duduk depan penyanyi lagi, apa cerita! Huh… dulang
paku serpih betul minah ni.” Sonia mengata. Manakala Amanda menyengih, lalu
menonong berjalan dan berdiri di hadapan lelaki yang sedang beraksi dengan lagu
“Bonda”, killer song M. Nasir itu. Suaranya yang bluesy, dengan seni kata yang menarik,
alunan yang indah dan ekspresi wajah dan showmanship yang cukup unik menjadikan lagu tersebut hidup dan
menyentuh sampai ke dasar hati. Sedap didengar dan dihayati oleh yang berjiwa nusantara
sepertinya.
Lepas satu lagu ke satu
lagu Amanda mendengar brader busker itu menyanyi. Baginya stail brader itu sesuatu
yang unik, indah dan berseni. Menghiburkan orang, tanpa mempedulikan orang, dan
khalayak yang lalu-lalang juga tidak kisah siapa yang sedang melalak. Kalau
mereka suka dengar, mereka akan berhenti dan layan seketika. Seandainya telinga
mereka merasa perit mendengarnya, mereka akan berlalu bersama sebuah cebikan. Tak
mengapa, itu lu punya hal. Si penyanyi akan tetap mengalunkan nyanyiannya, samada
orang suka atau tidak, dia tetap akan menyanyi seikhlas hati, tanpa perlu
hipokrit sekiranya lagu yang didendangkan tidak sesedap seperti yang dinyanyikan
oleh penyanyi asal. Amanda merasa sangat terhibur. Suatu pengalaman baru yang
jarang dilakukan oleh anak-anak golongan kaya sepertinya yang suka clubbing.
Sonia yang ‘layan’ dari
jauh juga merasa terubat rindunya selama seminggu bila dapat mendengar gemersik
suara mat busker yang dia sendiri tidak tahu namanya.
Closing number yang biasa dinyanyikan oleh
mat busker itu ialah, “Lat tali lat tali tam plom”. Dengan suara serak-serak
basah, sebaik mungkin dia menyanyikan lagu improvised itu. Sonia cukup-cukup tak faham. Walaupun demikian lagu yang
telah diubah suai itu sangat catchy untuk didengar
walaupun seni katanya agak kelakar. Reggae rythmnya betul-betul rasa tersagat.
Sesuatu yang dikira upset, Sonia tak sangka Amanda
boleh pula menyanyikan lagu tu sama-sama. Bukan main rock steady, bagus punya sing along, macamlah dia dah kenal lama
dengan mat busker tu.
Lat tali lat tali tam plom
Mak Minah balik kampung
Tanam jagung
Kahwin dengan Ah Tong
Beranak dalam tong
Anaknya sotong
Hikhikhik…
“Wah, hebat betulah
bro! I like that
number. Especially the last
part, yang ada gelak-gelak
tu, sempoi beb!” puji Amanda sebaik saja penyanyi jalanan itu menyudahkan
lagunya.
“Thanxs, I’m Joe.” Joe menghulurkan tangan.
“I’m Amanda,” jawab Amanda. Mereka bersalaman.
Wajah Joe nampak berubah dan terkejut. Amanda tersenyum, biasalah tu. Bila dia
memperkenalkan nama femininnya, pasti ada yang tak percaya dan merenungnya
untuk mencari kepastian. Bukan salah sesiapa kalau ada yang keliru. So, sendiri tanggunglah rasa
terkilan itu. Salah sendiri juga, kan!
“Amanda selalu dengar
abang busking kat sini ke?” tanya Joe ramah.
“First time, tak pernah datang sini pun.
Kenapa?” Amanda bertanya balik dengan senyum. Joe menjadi terpukau melihat
senyuman Amanda. Dadanya mula bergetar dan berdebar kencang.
“Hebat juga Amanda ya,
boleh ingat wording dan tempo lagu Lat tali lat.
Macam mana boleh ingat?” Hati Joe lebih kuat berdebar, dia mengharapkan jawapan
nanti adalah klu untuknya.
“Ah, kecil-kecil dulu
selalu bermain dengan abang, kami nyanyi lagu ni. Seronok kan, waktu kecil?”
“Ya, waktu kecil adalah
kenangan yang terindah dalam hidup kita, dan tak akan terpadam sampai
bila-bila, seumpama kita mengukir di atas batu.” Joe meluahkan apa yang terbekam
di dasar perasaan.
“Wah, hebat. Abang ni
macam penyairlah,” puji Amanda meriah.
“Terima kasih Puteri
Amanda,” ucap Joe dengan senyuman yang indah. Dalam debar yang menggoncang, ada
bahagia yang datang menapak, dan Joe mahu bahagia itu berada lama dengannya. Manakala
Amanda mengangkat keningnya berserta senyuman yang lebar bila dipanggil puteri.
Hai… nak menyindir pun biarlah bertempat.
“Amanda, boleh tak
abang belanja Amanda minum?” tanya Joe. Kalau boleh dia ingin berlama-lamaan
dengan gadis ini. Ada sesuatu yang ingin dia cungkil dari gadis ini.
“Boleh, tapi saya bukan
berseorangan. I was
accompanied. Saya datang dengan
kakak.”
“Mana kakak, ajak dia
sekali,” pelawa Joe.
“Okey, nanti saya call ya.” Amanda mula menelefon
Sonia dan mereka berbual seketika. Kemudian Amanda mengakhirkan perbualannya.
“Macam mana?” Joe ingin
tahu.
“Kak Nia ada kat
pameran buku kat Level 2. Dia benarkan saya sembang dengan abang. Bila nak
balik nanti, saya akan cari dia,” jawab Amanda.
“Jom kita lepak kat McD,”
ajak Joe yang mula mengemas barang-barang, termasuklah gitar dan amplifier Peavey portablenya.
“Sebelah ni aje? Ingatkan
kat manalah tadi nak belanja saya minum,” rungut Amanda sambil ketawa. Joe
senyum saja.
“Lain kali abang
belanja di tempat yang lebih sedap dan selesa,” janji Joe. Entah mengapa,
ringan aje mulutnya untuk menabur janji. Dia sendiri terkejut dengan perubahan
yang berlaku dengan drastik ke atas dirinya, lain macam pula kali ini,
selalunya cukup susah untuk beramah-tamah dengan orang yang baru dikenali.
Mungkin juga ini disebabkan oleh desakan dalaman yang menjadikan dia begitu.
Dari jauh Sonia
memerhatikan Amanda dan Joe yang sedang rancak bersembang sambil makan-makan,
seolah-olah mereka sudah lama mengenali. Penuh keriangan dan gelak ketawa.
Entah apa yang mereka bualkan. Menyesal pulak dia tak ikut serta, kalau tak dah
boleh berkenalan dengan street
entertainer pujaannya itu.
Ruginya…