NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Thursday, October 2, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 9



BAB 9
               







        PERJALANAN dari Ulu Kelang ke Kajang mengambil masa begitu lama untuk sampai. Bosan rasanya memandu keseorangan sampai diri dikuasai oleh perasaan mengantuk. KL-Kajang bukanlah jauh mana. Pada kebiasaannya, walaupun time orang balik pejabat, paling-paling lama pun kurang daripada sejam. Tapi ketika ini disebabkan kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat sedikit sebanyak telah melambat dan membantutkan perjalanannya. Pergerakan teramatlah slow. Seperti selalu orang ramai yang curious, menjadi penonton penuh bersidai di bahu jalan, dan lalu lintas menjadi begitu congested. Kenderaan terpaksa bergerak seperti siput, walaupun ada polis trafik yang mengawal pergerakan trafik di situ.
Semasa Sonia melintasi tempat kejadian kemalangan yang melibatkan kereta berkuasa tinggi, lori kontena dan beberapa kenderaan yang lain itu, sempat juga dia menjeling ke arah kereta yang hancur dan yang remuk teruk. Manakala pemandu dan beberapa orang penumpang kereta kelihatan bergelimpangan di atas jalan raya. Barangkali ada yang sudah meninggal dunia atau mungkin juga ada yang tenat, dibantu segelintir individu prihatin, sambil menunggu kemunculan ambulan. Ada juga yang tersepit. Masya-ALLAH teruknya, ngeri Sonia melihatnya. Ada badan yang tercabut dari kepala, dan bercerai dari kaki dan tangan. First time dia melihat tragedi kecelakaan seperti ini dari dekat. ‘Ya ALLAH, teruknya kemalangan ini,’ detik hatinya.
Sonia terus insaf. Betapa mudahnya ALLAH menghentikan hayat yang dikandung badan. Seperti dalam mafhum firman-Nya, “Bila tibanya saat kematian, tidak akan dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat”. Daripada segar- bugar, hidup yang sihat tiba-tiba saja mati dalam sekelip mata dengan disertakan asbab. Ah… betapa lemah dan fragilenya makhluk dan betapa hebat dan perkasanya sang Pencipta, bisa menghidup dan mematikan mengikut ketentuan aturan sunah-Nya. Tiada seorang pun yang tidak beriman dengan kematian, hatta yang mengaku tiada tuhan. Subhanallah… Bila dah mati, pastinya ada kehidupan lain yang baru bermula, dan bermulalah episod suka-duka yang akan kekal selama-lamanya. Di alam sana, tidak ada lain yang boleh menjamin kebahagiaan hidup seseorang, melainkan amal soleh yang dilakukan semasa hayatnya di dunia. Kiranya tiada bekal yang dibawa bersama, maka celakalah ia selama-lamanya. Barzakh destinasi seterusnya yang menjanjikan samada sekeping taman syurga atau sebuah lubang neraka. Ya ALLAH peliharalah kami semua dari azab neraka. Lamunan keinsafannya terhenti dengan bunyi siren ambulan yang mula memecah keheningan.
Perlahan-lahan Sonia keluar dari keretanya sebaik saja dia selamat sampai ke destinasi yang di tujunya. Debaran di dada yang sedia berdenyut tadi bertambah laju dan keras. Bagaimana nasibnya kali ini dia tidak tahu, samada sama seperti sebelumnya atau sebaliknya. Dalam hati sudah beribu-ribu kali dia berdoa, agar ALLAH membantu dan mempermudahkan segala usahanya.
Dengan rasa takut-takut Sonia menghampiri pagar rumah banglo setingkat yang terletak di Jalan Mawar 1, Taman Seri Kajang. Jari telunjuknya terketar-ketar untuk menekan butang loceng elektrik yang terletak di tiang batu itu. Tapi dengan semangat ingin tahu yang semakin tinggi, Sonia gagahi juga untuk bertemu dengan bekas mak mertuanya. Sonia berdiri betul di hadapan pagar setelah menekan loceng beberapa kali. Nampak sangat tuan rumah tidak mahu keluar, walaupun sudah beberapa kali dia menekan punat loceng itu.
“Assalamualaikum, mak… mak… mak…” Sonia melaung beberapa kali. Saja buat muka tak malu. Dia tahu sangat bekas mak mertuanya memang tak nak bersua muka dengannya. Beberapa kali datang pun, pintu pagar ini tak pernah dibuka. Agaknya memang benci sungguh bekas mak mertua padanya.
“Mak… mak… mak…” Sonia melaung lagi. Diam, tak bersambut. Padahal dalam rumah tu, ada manusia yang menghuninya. Sombong sungguh ya? Dia tahu bekas mak mertuanya ada di dalam rumah, walaupun kereta bekas ayah mertuanya tidak kelihatan di halaman rumah, mungkin Encik Yunus sudah ke rumah isteri nombor duanya.
Tak mengapa, kita tunggu dan lihat. Apa yang bakal terjadi. Hari ini, tak akan sama dengan hari-hari yang lepas. Sekarang ni Sonia sudah kuat, aku sudah boleh berdiri, malah berlari juga. Kau tak akan mampu melemahkan aku lagi. Tunggulah Puan Zahrah, kalau kau mahu berperang, kita isytiharkan perang, hari ini juga. Tapi sekarang aku datang dengan cara baik, aku datang hanya untuk dapatkan penjelasan. Kenapa aku diceraikan oleh anaknya dan kenapa anak aku dilarikan, serta di mana anak aku disembunyikan. Itu saja!
“Mak… bukalah pintu ni, saya hanya nak berbual dengan mak,” pinta Sonia dengan suara sedihnya, tapi masih di bawah kawalan. Dia tidak mahu lemah seperti dahulu lagi. Sebelum ni pun Puan Zahrah tak pernah membuka pintu pagar kalau dia datang untuk bertanya ke mana perginya anak dan suaminya. Penyudahnya dia teresak-esak di hadapan pagar, mengharap belas ihsan bekas mak mertua. Namun mak mertua yang keras hati seperti batu itu sedikit pun tidak pernah ada nilai kemanusiaan. Jahatnya Puan Zahrah ni mengalahkan mak mertua Kassim Selamat dalam “Ibu Mertuaku” yang evergreen tu.
“Okey Puan Zahrah, masa yang aku bagi dah cukup, times up!” Sonia berkata sendirian. Lalu dia beredar ke keretanya dan mengambil Loud Hailer yang sememangnya dia beli khusus untuk acara ini. The game is on! Are you game madam Zahrah—ada bran!
Sonia memulas volume Loud Hailer agar sedap didengar dan jelas bagi orang yang mendengarnya.
“Mak, saya datang dengan baik, saya hanya nak tahu dan bertanya khabar tentang anak saya. Di mana anak saya  sekarang,” kuat bergema suara yang keluar dari Loud Hailer yang sedang dipegang oleh Sonia. Hahaha… aku rasa jiran-jiran Puan Zahrah pasti mendengarnya. Sonia senyum sendiri.  Dah jadi macam kepala demonstrator pula rasanya. Kalah Adam Adli atau Hishamuddin Rais ni. Rasakan! Kalau dia ada rasa malu dengan kejiranannya, lebih baik dia keluar cepat. Banyak lagi yang akan terkeluar dari mulut ni. Sekali buat gila, lebih baik gilos terus. Dah alang-alang, masuk lokap masuk lokap ler!
“Mak… saya tahu mak yang merancang ini semua, sebab mak memang tak pernah sukakan saya. Saya tak kisah pun, saya cuma nak tahu di mana anak saya. Di mana mak sembunyikan anak saya?” kuat sekali Sonia melaung. Memang dah rancang pun nak buat macam ni kalau Puan Zahrah tak nak bertolak ansur. Macam mana kalau Puan Zahrah call polis mengatakan kau ganggu ketenteraman awam? Dan polis datang gari kau? Perasaan dan minda Sonia bermonolog sendiri. Tak kisah, aku boleh minta tolong pihak polis untuk memanggil bekas ibu mertuaku keluar menemui aku. Kalau aku dibawa ke balai polis, aku juga tak kisah, papa boleh menjaminnya dan aku juga ada lesen besar. Lesen dan pemegang kad rawatan psikiatri. Lagi mau lawan ka?
Sonia menggoncang pagar dengan kuat. Walaupun tak adalah sampai tahap boleh meruntuhkan pagar yang setinggi enam kaki itu, tapi sekadar bikin kecoh dan buat bising tu bolehlah. Tiba-tiba pintu pagar elektrik itu bergerak sendiri. Hah… tahu takut. Hati Sonia gelak sakan, tapi mulutnya tak pula nampak terbuka, malah terkunci rapat dengan penuh rasa geram dan amarah. Sonia melangkah masuk tanpa dipelawa. Alang-alang dah jadi samseng, biar sampai sudah walaupun hanya samseng taik minyak.
Sonia mendekati pintu rumah yang terbuka, tapi masih dikunci grillnya. Puan Zahrah memang ada di dalam bersama bibik Indonnya. Anak-anak perempuannya yang dua orang tu, tak pula kelihatan. Mungkin dia orang menetap di kampus atau kolej.
“Apa hal kau menyalak macam anjing pagi-pagi buta depan rumah aku neyh?” peluruh torpedo telah menghujani muka Sonia. Bagus bunya bahasa ex-mak mertua aku.
“Mak, saya hanya nak tanya, mana anak saya, masih hidup atau dah mati?” jawab Sonia dengan beraninya walaupun tak keras.
“Jangan panggil aku mak, aku bukan mak mertua kau lagi.” Eheh… ayat klise ‘jaman-berjaman’ dalam drama TV, tak usah pakailah!
“Okeylah, saya panggil Puan Zahrah. Mana anak saya?”
“Mana aku tahu anak kau. Kau yang tak reti jaga, kau datang tanya kat sini buat apa. Kau ingat ini kaunter cari budak hilang ke apa?”
“Puan Zahrah ni memang jahat tau, spesies mak tiri Bawang Putih Bawang Merah yang bangla suka makan tu tau! Jahat… Heh Puan Bunga, aku nak tanya sekali lagi, mana kau sorok anak aku?” keras suara Sonia yang dah mula bertukar bahasanya.
“Kenapa kau panggil aku Puan Bunga?” marah ex-mak mertua. Somehow, at least nak juga dia tahu apa muslihat musuhnya ini.
“Aku panggil kau bunga sebab Zahrah tu dalam bahasa Arab bermaksud bunga mawar. Kau memang bunga, tapi bunga ros hitam yang busuk dan beracun kepunyaan ahli sihir,” jawab Sonia diiringi dengan ketawa geli hati bila dia menyedari yang dia telah melalut ke zaman 60-an, apatah lagi bila melihat muka Puan Zahrah yang sudah kelat dan hitam. Marah sangatlah tu… tau sakit ‘ati’.
“Kurang ajar kau!!!” jerit Puan Zahrah lagi.
“Kau yang menyebabkan aku kurang ajar. Aku tanya lagi, mana anak aku? Lebih baik kau jawab kalau tidak aku bakar rumah ni. Cepat!!!” jerit Sonia kuat, seolah-olah dia tu hebat sangat.
“Mana aku tahu.” Masih nak berdalih lagi Puan Bunga ni. Lalu Sonia membuka penutup botol molotov cocktail yang berisi petrol di dalamnya. Kemudian dia mengeluarkan lighter yang berada dalam poket jeansnya. Sonia mencurah sedikit minyak petrol ke lantai. Bau minyak petrol yang mula menusuk hidung membuatkan Puan Bunga menggeletar kepala lutut.
“Okey okey okey… aku bagi tahu, tapi jangan apa-apakan rumah aku ni,” terketar-ketar Puan Bunga meminta ihsan. Tau takut!
“Tulis cepat alamatnya, jangan salah. Kalau salah, kau akan terima akibatnya nanti,” tengking Sonia. Terketar-ketar Puan Bunga yang sombong selama ini menulis alamat seperti yang dikehendaki oleh Sonia.
“Nah!” sehelai kertas dihulur dan Sonia menyambutnya.
“Oh, dia orang lari ke Australia. Tak adalah jauh mana. Naik bot laju pun sampai. Kenapa anak kau tak lari ke Antartika aje, kawan dengan penguin? Biar adventureous sikit aku nak cari,” perli Sonia dalam senyuman yang membuatkan hati Puan Bunga berapi terbakar.
“Kau boleh berambus sekarang,” jerit Puan Bunga dengan segala sakit hatinya.
“Okey, aku akan pergi, tapi sebelum itu aku nak tanya, kenapa kau hasut anak kau ceraikan aku?” Memang itu yang Sonia nak tahu dan nak dengar dari mulut jahat bekas mak mertuanya. Apa salahnya selama ini sehingga dikirimkan saja surat cerai melalui pos berdaftar. Kenapa tak boleh bertemu muka dan bersemuka? Kenapa tak boleh berbincang dan maafkan kalau dia telah melakukan kesilapan. Kenapa dia tidak diberi penjelasan di sebalik penceraian yang tidak diingini.
“Sebab kau bukanlah perempuan yang baik. Anak aku menyesal berkahwin dengan kau. Kau telah berlaku curang dengannya,” terjunkit-jungkit mulut Puan Bunga bila melemparkan tuduhan yang tak berasas itu.
“Apa buktinya yang aku telah berlaku curang?” jerit Sonia. Sakit hati sungguh bila dituduh dengan perkara yang sekeji  itu.
“Ini buktinya, kau tengoklah sendiri, samada aku benar atau tidak.” Sekeping gambar dihulurkan kepada Sonia dan Sonia merampasnya dengan rakus.
“Masya-ALLAH… Aman?” Sonia menepuk kepalanya. Entah bila dan di mana gambar Aman sedang memeluknya mesra dirakam. Lupa situasi dan lokasinya di mana, sama ada sebelum kahwin atau selepas perkahwinannya dengan Azroy. Entah…
“Kenapa, dah kantoi?” perli Puan Bunga pedas.
“Bukan aku yang kantoi, tapi seluruh keluarga kau yang dah kantoi dengan dosa kering kerana telah meruntuhkan masjid. Untuk pengetahuan kau, budak dalam gambar ni, namanya Aman. Aku dah anggap dia macam adik aku sendiri. Kalau kau nak jumpa dia sekarang pun boleh. Semoga ALLAH membalas segala perbuatan kau selama ini.” Tanpa salam dan tanpa menunggu jawapan balas dari Puan Bunga, Sonia berlalu meninggalkan perkarangan rumah yang banyak meninggalkan kesan sejarah itu. Jelaslah sekarang, dia ditinggalkan oleh bekas suami hanya kerana sebuah fitnah. Sungguh bacul dan memualkan… Betapa sempitnya akal dan fikiran bekas suaminya sehingga bertindak tanpa usul periksa. Dasar anak jantan yang membesar di bawah ketiak mak. Puiihh… pora cit!
Tak sangka, Amanlah punca keruntuhan rumah tangganya. Tapi Aman tak bersalah, merekalah yang bersalah, menuduh dan menghukum tanpa tahu hujung pangkal.

















No comments:

Post a Comment