NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Thursday, October 2, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 8


                                            BAB 8









       
DARI tingkat lapan bangunan Kencana Holding, Rohana merenung ke bawah, ke arah jalan raya yang tak pernah putus kenderaannya. Ralit Rohana memerhati kenderaan yang bersimpang-siur dan manusia yang mundar-mandir walaupun nampak kenit di pandangan mata. Tangan yang memegang kain pengelap cermin diam tidak bergerak, terlekap di situ, kerana minda tuan punya badan bukannya berada di hadapan cermin yang hendak dicuci.
        Jauh kenangan berlari lewat 18 tahun berlalu, peristiwa ngeri yang telah meragut keseluruh kehidupannya, sehingga dia hidup keseorangan, sebatang kara dan terasing di bumi nan bertuah ini. Segala-galanya hilang bila dia telah dilanggar oleh sebuah kereta. Kenangan pahit itu menerjah keras kotak ingatannya lalu peristiwa itu terlayar kembali. Saat dia dilanggar oleh sebuah kereta di Jalan Tunku Abdul Rahman, di tangannya memegang bungkusan makanan dan minuman untuk anak-anak yang sedang menanti kelaparan. Waktu dia melambung tinggi sampai ke cermin kereta, mulut dan hatinya hanya menyebut nama ALLAH dan anak-anaknya, selepas itu dia tidak tahu apa-apa lagi.
        “Mak Cik Hana kat sini rupanya, jenuh Nia cari,” sapaan Sonia menyebabkan lamunan Rohana terputus. Sebelum dia menoleh ke arah teman sekerjanya ini, Rohana menyapu dahulu kesan lelehan air mata yang mengalir tadi.
        “Kenapa Nia cari mak cik?” Rohana cuba bertanya seperti biasa, tadi nada suaranya tetap kendur dan lemah.
        “Sajalah nak ajak rehat, nak ajak makan sama-sama,” jawab Sonia.
        “Mak cik belum lapar. Nia makanlah dulu,” suruh Rohana dengan tidak melihat ke arah Sonia seperti biasa.
        “Mak cik ni kenapa, demam ke?” Sonia mula mengesan sesuatu yang tak kena pada rakan sekerjanya.
        “Tak, tak ada apa-apa! Nia makanlah dulu. Nia ambil tupperware nasi goreng yang mak cik sediakan untuk Nia,” arah Rohana sambil beria-ria mencuci cermin yang dah berkilat.
        “Kalau macam tu, kita makan kemudianlah! Nia nak tanya ni, mak cik ada masalah ke? Nia tengok lain macam aje! Apa halnya. Ceritalah pada Nia, kot-kot Nia boleh tolong,” desak Sonia.
        “Tak ada apalah, mak cik penat sikit. Orang dah tua, faham ajelah!”
        “Hish… tak masuk akal langsung jawapan mak cik ni. Penat sampai melelehkan air mata dan sedih bagai tu apa bendanya?” Sonia ketawa kecil, buat memujuk Mak Cik Hana membuka mulut.
         “Mak cik okey, mata ni aje tadi masuk habuk.” Rohana buat-buat menggosok matanya.
        “Mak cik, Nia kenal mak cik bukan hari ini tau! Lebih baik mak cik cakap apa yang mengganggu emosi mak cik sampai jadi lagu ni,” desak Sonia.
        “Tak ada apa-apa. Nia janganlah risau, mak cik okey aje.” Rohana berdegil untuk tidak berkongsi rahsia.
        “Lupa pula nak tanya, semalam mak cik cuti kenapa ya?” Sonia mengalah dan mengubah tajuk bila dia tahu Mak Cik Hana liat sangat tidak mahu berkongsi kesedihannya. Tak mengapalah, mungkin dia belum bersedia.
        “Oh, semalam tu mak cik pergi ke Pejabat Pendaftaran.”
        “Kenapa IC mak cik hilang ke?”
        “Bukan IC yang hilang, tapi anak yang hilang,” laju saja Rohana menjawab tanpa sedar.
        “Hah, anak hilang! Mak cik ada anak ke! Bila hilangnya?” terkejut Sonia mendengar jawapan spontan dari Rohana.
        “Aaa…” tergagap-gagap Rohana hendak menjawab bila dia menyedari yang dia sudah tersasul.
        “Cakaplah mak cik, sekurang-kurangnya Nia tahu bukan Nia sorang saja yang menderita kehilangan anak. Hidup ini terasa kosong dan tidak bermakna bila separuh nyawa kita telah dibawa pergi,” tiba-tiba saja Sonia beremosi, air matanya cepat saja keluar.
        “Ya Nia, sebenarnya mak cik ada dua orang anak, yang sulung lelaki dan yang bongsu perempuan. Peristiwa ini terjadi 18 tahun yang lalu. Selepas kematian suami mak cik, kami anak-beranak mula berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru. Hari pertama kami sampai di KL, hari itulah juga yang telah memisahkan kami semua hingga ke hari ini.” Rohana terhenti bicaranya. Kesedihannya tidak dapat dibendung lagi. Dia menangis pilu, mengenangkan anak-anaknya yang entah di mana.
        “Sabar mak cik, sesungguhnya kita mempunyai nasib yang sama walaupun garapan ceritanya berbeza,” pujuk Sonia yang mengerti erti sebuah kehilangan.
        “Macam mana boleh terpisah?” Tak sabar rasanya nak tahu keseluruhan cerita kisah hidup Mak Cik Hana.
        “Waktu mula-mula mak cik sampai kat KL dulu, mak cik tak tahu nak ke mana, sebab kawan yang janji nak datang ambil mak cik, tak muncul-muncul, jadi terpaksalah kami merempat di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman buat beberapa hari. Pada suatu hari mak cik dilanggar kereta sewaktu pergi membeli makanan untuk anak-anak. Kemalangan yang agak teruk. Kata doktor yang merawat, mak cik koma selama enam bulan. Bila keluar dari hospital mak cik tak tahu ke mana nak dituju dan di mana nak cari anak-anak mak cik.” Rohana menghabiskan cerita dukanya dengan tangisan yang sangat pilu, tangisan rindu seorang ibu yang bernasib malang.
Rohana membiarkan saja air matanya berlari turun dengan deras, tanpa diseka. Biarkan! Dia ingin lepaskan keseksaan ini. Selama ini duka yang menjeruk perasaan ini tidak pernah dia kongsikan dengan sesiapa pun. Dia kunyah dan telan segala perit, duka dan sengsara berulamkan kesabaran dan berzikir pada ALLAH, kemudian dia hadamkan penderitaan itu bersama doa pada ALLAH, semoga anak-anaknya terpelihara dengan baik walau di mana  mereka berada.
Mata Sonia juga basah dek air mata yang mengalir, terasa sedih dan hiba dengan nasib yang menimpa Mak Cik Hana. Sesungguhnya penderitaannya jauh lebih ringan kalau nak dibandingkan dengan kesengsaraan yang dihadapi oleh Mak Cik Hana, keseorangan mengharungi hidup yang perit dan getir ini. Sonia insaf kini. Kalau kita merasakan hidup ini susah, pasti ada orang lain yang lebih susah dari kita. Jadi janganlah terlalu mengikut perasaan. Bertafakurlah, dan teruskanlah kehidupan ini seperti biasa.
“Sonia, bos panggil.” Sonia terkejut bila namanya dipanggil oleh Kak Elin, setiausaha Encik Johari. Perbualan antara Sonia dan Mak Cik Hana terhenti bila Mak Cik Hana berpura-pura mencuci cermin tingkap pejabat yang tak pernah terbuka itu.
“Kenapa bos panggil saya kak?” tanya Sonia perlahan.
“Katanya nak suruh lap kopi yang tumpah atas meja,” jawab Elin.
“Baik kak, saya pergi sekarang.” Dia beredar ke bilik utiliti dahulu sebelum memasuki pejabat bos. Dia perlu menanggal Wellington boots kuningnya dahulu, kemudian buka uniform putih barulah boleh mengadap bos. Jawatan yang Cik Sonia pegang ini agak spesial sedikit dari Mak Cik Hana, sebab dia adalah SpongeBabe merangkap kopi lady di pejabat ini.
        “Masuk…” arahan masuk dari dalam berbunyi sebaik saja Sonia selesai mengetuk pintu bilik bos beberapa kali. Sonia menjengahkan mukanya.
        “Hah, lambat benar awak sampai, awak pergi mana?” tanya Johari pada Sonia yang sudah bersedia dengan kain pengelap meja.
        “Maaf bos, tadi saya salin uniform dulu, lepas tu terus datang sini. Mana meja yang nak dibersihkan itu?” tanya Sonia sebaik saja dia melihat tak ada benda pun yang kotor di atas meja bos.
        “Ini hah!” Johari menunjukkan satu titik besar kesan air kopi yang tumpah di atas meja. Tak adalah besar mana pun. Rasanya sama besar dengan duit 5 sen jer.
        “Hah, ni aje! Mak aii… pemalas betul ya? Benda kotor sekecil ini pun nak suruh saya buat?” serang Sonia geram. Dah lupa dia sedang bercakap dengan siapa. Biasalah tu, kalau dah geram, boleh hilang ingatan sekejap dibuatnya.
        “Hai, dah itu kerja awak, buat ajelah,” selamba saja Johari berkata tanpa melihat wajah Sonia.
        “Yalah, saya tahu ini kerja saya, tapi kasihanlah kat tangan bos.” Sonia sengaja bagi klu yang tak terfikir oleh bosnya.
        “Kenapa pula dengan tangan saya?” berkerut berlipat dahi Johari, cuba untuk faham.
        “Tangan bos tu, tergedik-gedik nak dapatkan pahala lebih untuk menjadi kesaksian di akhirat esok, dia nak bersihkan kekotoron itu, tapi bos tak nak bagi dia dapat pahala,” sindir Sonia pedas. Geram sangat-sangat, benda sebesar itu pun nak panggil aku? Lap ajelah dengan tissue yang tersedia kat atas meja tu. Dasar pemalas, kutuk Sonia dalam hati. Potong stim betul, aku yang tengah asyik bertangis hiba dengan Mak Cik Hana terpaksa pula commercial break iklan tissue, apa cerita!
        “Kenapa berdiri aje kat situ, buatlah kerja!” arahan Johari mengembalikan perasaan dan minda Sonia ke dunia asal.
        “Baik bos.” Sonia melakukan kerjanya, sekelip mata saja kekotoran itu hilang. Sonia berdiam diri dan tegak di hadapan Johari.
        “Dah siap?” tanya Johari tak puas hati.
        “Ya bos,” jawab Sonia.
        “Awak ni pemalas dan bendul ya? Janganlah buat apa yang disuruh saja, banyak lagi benda yang boleh awak bersihkan,” kutuk Johari dengan wajah tanpa perasaan.
        “Semuanya saya dah buat pagi tadi bos, sebelum bos masuk pejabat,” beritahu Sonia dengan bahasa robotnya.
        “Ya ke awak dah bersihkan?”
        “Bos tak caya, cubalah check tengok ada habuk ke tidak,” petah saja Sonia menjawab.
        “Kalau dah tak ada habuk, kenapa awak masih pakai mask. Kenapa tak buka saja mask awak tu?” saja Johari nak kenakan Sonia balik, pandai sangat berkata-kata.
        “Oh, saya ni ada special kes, selsema saya kuat, tak boleh buka, nanti menjangkiti orang lain. Bos, ada apa-apa lagi ke?” Sonia cuba nak melarikan diri.
        “Sebenarnya saya nak tanya. Awak ada bawak bekal nasi goreng ikan bilis lagi tak?” tanpa segan Johari bertanya. Ceh, itu aje ke halnya. Kenapa tak tanya aje terus terang  dari awal? Kan senang… nampak sangat nak guna trick lama.
        “Bos, nak ke? Tak sangka pula bos suka makanan pekerja marhaen macam kami ni.” Sonia keliru, kemudian tergaru-garu. Biar betul bos ni!
        “Ya, saya teringin nak makan, saya rindu sangat nasi goreng tu,” ucap Johari tanpa mempedulikan kerutan di dahi Sonia yang mula berkedut. Sonia tak perlu faham apa-apa, yang penting nasi goreng yang sedap itu ada tersedia untuknya.
        “Hai, bos macam orang mengidam aje, isteri bos tengah mengandung ke?” terjah Sonia. Berani pula dia menyakat bos.
        “Tak kisahlah apa pun, yang penting ada tak nasi goreng hari ini?”
        “Ada tu adalah, tapi saya punya. Tak acilah kalau saya bagi pada bos, saya nak makan apa?” jawab Sonia.
        “Awak makanlah apa pun. Nah, ambil roti Gardenia ni, sungguh enak dimakan begitu saja… sakat Johari. Saya dah tak sabar rasanya nak makan ni. Okey saya bayar, berapa harga nasi goreng tu?”
        “Wah, ini boleh berniaga ni. Bagus juga tu. Macam nilah… Apa kata bos bayar duit pada mak cik cleaner tu untuk masak nasi goreng ikan bilis untuk bos tiap-tiap hari, dapat juga dia duit belanja. Lagipun saya kasihan dengan mak cik tu, hidup dia sebatang kara kat KL ni. Sekurang-kurangnya kita dah tolong ringankan beban dia.” Cadangan Sonia membuatkan Johari terbuka mindanya. Tak terfikir pun selama ini.
        “Betul juga pendapat awak tu,” akui Johari.
        “Lagi satu cadangan saya, kita suruh dia buat nasi lemak dan kuih-muih untuk dijual kepada staf pejabat ni, nanti kita juga yang senang. Tak payah berhabis masa turun ke kafetaria untuk minum pagi. Bahagian minuman bos jangan risau. Saya akan bancuh kopi satu jug penuh, baeek dan kaw-kaw punya. Cakap aje nak kopi apa… Habbatussauda’, tongkat ali, kopi jantan, kopi janda, yang ada ramuan power extra turbo, semua saya boleh pergi cari. Tapi, kalau boleh huloq la sikit. Amacam?” penuh bersemangat Sonia bercakap. Manakala Johari bulat mata merenung gadis di hadapannya, hingga tak berkedip.
        “Hmm… boleh tahan juga idea awak ni ea! Bijak, saya suka,” puji Johari ikhlas, sementara Sonia mengangguk tanda respons bangga. Kalau dia senyum lebih-lebih pun, bos bukannya nampak. Ada ‘tabior’.
        “Bos setuju tak?”
        “Ya! Awak bagi tahu saja mak cik cleaner tu, dia boleh jual kuih kat ofis ni,” kata Johari.
        “Yes, baiknya bos. Sayang bos!” terlepas kata yang tak disedari oleh Sonia sendiri akibat terlalu teruja. Johari yang mendengarnya agak terkejut. Alangkah beraninya gadis ini. Anak sapa ler agaknya. Bila Sonia keluar dan pintu bilik mula tertutup, Johari mula tersenyum sendiri. Hati terasa terhibur dan dada yang ketat terasa longgar. Jiwa yang kering terasa basah. Aneh sungguh, setiap kali bersembang dengan Sonia the SpongeBabe tu, perasaannya akan jadi seperti ini. Siapakah perempuan yang hadir bagai membawa kuasa magis ini?

















No comments:

Post a Comment