NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Saturday, October 25, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 12

                                             BAB 12

        KERETA Myvi putih Sonia mula memasuki bangunan terminal KL Sentral, dan dia meletakkan keretanya di tempat selamat yang telah disediakan oleh pihak KL Sentral di bawah seliaan Metro Parking. Sebaik saja masuk ke dalam kawasan parking tersebut, maka bersedialah jiwa dan raga bahawa tengkuknya akan dipotong oleh bayaran parkir yang melampau.
        “Wah, mahalnya. Sejam pertama RM4, dan RM4 juga untuk jam seterusnya. Cekik darah ke apa?” rungut Amanda tidak puas hati dengan caj bayaran parking di situ.
        “Biasalah KL, macamlah kau tu baru hari ini tiba di KL. Bukan lagi cekik darah, dengan tulang dan segala organ dalaman sekali dicekiknya,” sampuk Sonia sambil ketawa.
        “Maknanya, kalau kita ambil masa satu jam satu minit pun akan jadi lapan ‘hengget’?”
        “Yupp… dan kalau kau letak kereta kat sini berjam-jam, maka berpuluh-puluh henggetlah note merah kau melayang,” terang Sonia sambil melangkah.
        “Hish… tak ada perasaan simpati langsung,” komen Amanda yang masih tak puas hati.
        “Memanglah, mesin autopay tu mana ada perasaan,” ketawa Sonia lagi.
        “Akak ni… maksud saya bukan mesin, tapi manusia yang kontrol harga tulah. Tak boleh ke murahkan sedikit, barulah tak menyusahkan orang.” Wah prihatin juga minah ni ea.
        “Inilah harga yang perlu kita bayar untuk sebuah kemajuan dan pembangunan, nak tak nak telan sajalah,” jawab Sonia.
        “Mana boleh macam tu, penduduk KL ni bukan semuanya berduit. Malah kadangkala, lebih miskin lagi dari orang kampung taw! Kalau dah jalan sikit kena tol, letak kereta sikit dah kena bayar gila-gila, apa yang tinggalnya?” luah Amanda dalam rasa tak puas hati yang tak habis. Hmm… nak pula dia ambil tahu benda-benda macam ni erk. Bagus juga akalnya.
        “Okeylah, apa kata kau ambil calon jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur. Akak akan undi kau.” Sonia ketawa bersahaja dan Amanda juga mengekek. Jauh dan meleret benar isu parkir itu diperbincangkan.
        Sebaik saja memasuki ruang legar KL Sentral, Sonia mencari orang yang ingin ditemui, dah sampai ke belum. Tak nampak batang hidung pun. Janji malam tadi bukan main lagi nak datang awal, padahal bukannya jauh mana stesen LRT dengan rumah dia. Dahi Sonia berkerut. Yang seorang lagi pun macam tak ada aje, ke mana perginya dia hari ini? Tak dengar pun bunyi petikan gitar tongnya. Sonia tercari-cari dua wajah di sebalik manusia yang sedang bergerak ke sana dan ke mari. Hati Sonia mula rasa terkilan. Tujuan datang semata-mata nak cuci mata dan cuci telinga, tapi doktornya pula tak ada. Ah… hampanya.
        “Akak cari siapa ni?” tanya Amanda yang rasa pelik dengan tingkah Sonia.
        “Cari Kak Eja. Janji dengan akak nak jumpa kat sini, tapi tak nampak pun dia,” rungut Sonia.
        “Senang cerita call ajelah, baru tau dia kat mana,” cadang Amanda.
        “Ya tak ya juga, lupa pulak. Berguna juga kamu ni ya Aman,” sempat juga Sonia mengata. Amanda diam aje. Sonia terus mendail nombor Eja.
        “Assalamualaikum, kau kat mana ni?” tanya Sonia kuat, melawan kebisingan segala benda yang berada di situ.
        “Nia sorrylah, aku tak jadi keluar. Perut aku ni sakit ya amat, memulas-mulas sejak dari subuh tadi,” jawab Eja.
        “Habis kenapa kau tak beritahu aku?”
        “Aku dah mesej pagi tadi lagi, kau tak baca ke?” tanya Eja balik.
        “Tak.. aku lupa nak tengok. Tak mengapalah! Kau makan ubat dan rehat cukup-cukup ea. Kalau teruk sangat pergi hospital tau, dan jangan lupa call aku,” pesan Sonia. Talian diputuskan.
        “Macam mana, Kak Eja datang tak?” teruja Amanda bila dengar nama Eja. Suka sangat dia kalau dapat berborak dengan Eja, maklumlah sama-sama kepala tak betul.
        “Tak jadi datang, dia tak sihat,” beritahu Sonia.
        “Oh ruginya. Kalau tak, tentu seronok bertemu dengan Kak Eja. Lama dah saya tak jumpa dia.”
        “Yalah… dia sibuk, studentlah katakan. Bukannya macam kau, free memanjang. Kerja sikit, gaji banyak, cuti banyak,” perli Sonia.
        “Biasalah kak, dah anak bos, dapatlah keistimewaan itu. Bukannya macam ahkak, bapa ada syarikat sendiri, tapi anak jadi cleaner kat tempat orang. Apa ke halnya?” balas Amanda balik sambil ketawa seronok bila dapat menempelak Sonia.
        “Pandai kau kenakan akak balik ya,” cubit Sonia geram.
        Tiba-tiba bunyi petikan gitar berkumandang di celah-celah orang ramai. Sonia mengintai untuk memastikannya. Kemudian dia tersenyum lebar. Hatinya mula diburu kegembiraan.
        “Akak ni kenapa senyum-senyum semacam aje?” tanya Amanda dengan rasa pelik tapi matanya turut menyoroti apa yang Sonia sedang pandang.
        “Diam ajelah. Jangan nak menyibuk,” larang Sonia tanpa menoleh pun ke arah Amanda. Matanya melekat pada lelaki yang sedang menyanyi sambil memetik gitar.
        “Oh, akak tengah syok layan mat busker nyanyi erk. Patutlah nak cuci mata kat sini,” sakat Amanda yang memang mengena.
        “Hish, kau ni merepek aje. Dah dia nyanyi, akak dengarlah, macam orang lain juga,” dalih Sonia.
        “Ya ke, saya tengok muka akak ceria dan suka jer, serta bersemangat nampak.” 
        “Kau nikan, kecoh lebih jer tau! Lebih baik kau dengar brader tu nyanyi.” Diam seketika mulut Amanda, dan telinganya dipanjangkan untuk mendengar bait-bait lagu yang disulami dengan petikan gitar. Sungguh mengasyikkan.
        “Yalah kak, bestlah lagu dia. Pandai pula dia goreng ya, masuk dengan lagu yang dia nyanyi, macam profesional jer. Siapa dia tu?” tanya Amanda yang mula tertarik dengan kehebatan mat busker itu.
        “Entahlah akak pun tak kenal, tapi dia selalu main kat sini bila hari minggu,” cerita Sonia.
        “Oh, kak dah selalulah tengok dia buat persembahan, atau datang sini semata-mata nak tengok dia?” usik Amanda. Sonia berkerut wajah, tidak setuju dengan terjahan Amanda walaupun hakikatnya betul.
        “Kebetulan aje, bila akak keluar dengan Kak Eja, kita orang jumpa kat sini. Itu yang boleh perasan mat busker tu menyanyi,” terang Sonia. Entah Amanda percaya atau tidak, lantak mu lah!
        “Apa pun saya sukalah abang tu nyanyi, bestlah suara dia. Nyanyian dia tu macam meresap ke dalam urat sendi pulak, syoklah!” pandai sekali Amanda membuat gambaran. Sonia ketawa. Ada-ada aje.
        Amanda melangkah ke depan.
        “Hish, nak ke mana tu?” tanya Sonia.
        “Nak gi depan sikit, tak puaslah berdiri kat sini, tak berapa jelas,” jawab Amanda dengan senyum.”
“Amboi… sekali dengar dah jatuh syok, sampai nak duduk depan penyanyi lagi, apa cerita! Huh… dulang paku serpih betul minah ni.” Sonia mengata. Manakala Amanda menyengih, lalu menonong berjalan dan berdiri di hadapan lelaki yang sedang beraksi dengan lagu “Bonda”, killer song M. Nasir itu. Suaranya yang bluesy, dengan seni kata yang menarik, alunan yang indah dan ekspresi wajah dan showmanship yang cukup unik menjadikan lagu tersebut hidup dan menyentuh sampai ke dasar hati. Sedap didengar dan dihayati oleh yang berjiwa nusantara sepertinya.
Lepas satu lagu ke satu lagu Amanda mendengar brader busker itu menyanyi. Baginya stail brader itu sesuatu yang unik, indah dan berseni. Menghiburkan orang, tanpa mempedulikan orang, dan khalayak yang lalu-lalang juga tidak kisah siapa yang sedang melalak. Kalau mereka suka dengar, mereka akan berhenti dan layan seketika. Seandainya telinga mereka merasa perit mendengarnya, mereka akan berlalu bersama sebuah cebikan. Tak mengapa, itu lu punya hal. Si penyanyi akan tetap mengalunkan nyanyiannya, samada orang suka atau tidak, dia tetap akan menyanyi seikhlas hati, tanpa perlu hipokrit sekiranya lagu yang didendangkan tidak sesedap seperti yang dinyanyikan oleh penyanyi asal. Amanda merasa sangat terhibur. Suatu pengalaman baru yang jarang dilakukan oleh anak-anak golongan kaya sepertinya yang suka clubbing.
Sonia yang ‘layan’ dari jauh juga merasa terubat rindunya selama seminggu bila dapat mendengar gemersik suara mat busker yang dia sendiri tidak tahu namanya.
Closing number yang biasa dinyanyikan oleh mat busker itu ialah, “Lat tali lat tali tam plom”. Dengan suara serak-serak basah, sebaik mungkin dia menyanyikan lagu improvised itu. Sonia cukup-cukup tak faham. Walaupun demikian lagu yang telah diubah suai itu sangat catchy untuk didengar walaupun seni katanya agak kelakar. Reggae rythmnya betul-betul rasa tersagat. Sesuatu yang dikira upset, Sonia tak sangka Amanda boleh pula menyanyikan lagu tu sama-sama. Bukan main rock steady, bagus punya sing along, macamlah dia dah kenal lama dengan mat busker tu.

Lat tali lat tali tam plom
Mak Minah balik kampung
Tanam jagung
Kahwin dengan Ah Tong
Beranak dalam tong
Anaknya sotong
Hikhikhik…

“Wah, hebat betulah bro! I like that number. Especially the last part, yang ada gelak-gelak tu, sempoi beb!” puji Amanda sebaik saja penyanyi jalanan itu menyudahkan lagunya.
“Thanxs, I’m Joe.” Joe menghulurkan tangan.
“I’m Amanda,” jawab Amanda. Mereka bersalaman. Wajah Joe nampak berubah dan terkejut. Amanda tersenyum, biasalah tu. Bila dia memperkenalkan nama femininnya, pasti ada yang tak percaya dan merenungnya untuk mencari kepastian. Bukan salah sesiapa kalau ada yang keliru. So, sendiri tanggunglah rasa terkilan itu. Salah sendiri juga, kan!
“Amanda selalu dengar abang busking kat sini ke?” tanya Joe ramah.
First time, tak pernah datang sini pun. Kenapa?” Amanda bertanya balik dengan senyum. Joe menjadi terpukau melihat senyuman Amanda. Dadanya mula bergetar dan berdebar kencang.
“Hebat juga Amanda ya, boleh ingat wording dan tempo lagu Lat tali lat. Macam mana boleh ingat?” Hati Joe lebih kuat berdebar, dia mengharapkan jawapan nanti adalah klu untuknya.
“Ah, kecil-kecil dulu selalu bermain dengan abang, kami nyanyi lagu ni. Seronok kan, waktu kecil?”
“Ya, waktu kecil adalah kenangan yang terindah dalam hidup kita, dan tak akan terpadam sampai bila-bila, seumpama kita mengukir di atas batu.” Joe meluahkan apa yang terbekam di dasar perasaan.
“Wah, hebat. Abang ni macam penyairlah,” puji Amanda meriah.
“Terima kasih Puteri Amanda,” ucap Joe dengan senyuman yang indah. Dalam debar yang menggoncang, ada bahagia yang datang menapak, dan Joe mahu bahagia itu berada lama dengannya. Manakala Amanda mengangkat keningnya berserta senyuman yang lebar bila dipanggil puteri. Hai… nak menyindir pun biarlah bertempat.
“Amanda, boleh tak abang belanja Amanda minum?” tanya Joe. Kalau boleh dia ingin berlama-lamaan dengan gadis ini. Ada sesuatu yang ingin dia cungkil dari gadis ini.
“Boleh, tapi saya bukan berseorangan. I was accompanied. Saya datang dengan kakak.”
“Mana kakak, ajak dia sekali,” pelawa Joe.
“Okey, nanti saya call ya.” Amanda mula menelefon Sonia dan mereka berbual seketika. Kemudian Amanda mengakhirkan perbualannya.
“Macam mana?” Joe ingin tahu.
“Kak Nia ada kat pameran buku kat Level 2. Dia benarkan saya sembang dengan abang. Bila nak balik nanti, saya akan cari dia,” jawab Amanda.
“Jom kita lepak kat McD,” ajak Joe yang mula mengemas barang-barang, termasuklah gitar dan amplifier Peavey portablenya.
“Sebelah ni aje? Ingatkan kat manalah tadi nak belanja saya minum,” rungut Amanda sambil ketawa. Joe senyum saja.
“Lain kali abang belanja di tempat yang lebih sedap dan selesa,” janji Joe. Entah mengapa, ringan aje mulutnya untuk menabur janji. Dia sendiri terkejut dengan perubahan yang berlaku dengan drastik ke atas dirinya, lain macam pula kali ini, selalunya cukup susah untuk beramah-tamah dengan orang yang baru dikenali. Mungkin juga ini disebabkan oleh desakan dalaman yang menjadikan dia begitu.
Dari jauh Sonia memerhatikan Amanda dan Joe yang sedang rancak bersembang sambil makan-makan, seolah-olah mereka sudah lama mengenali. Penuh keriangan dan gelak ketawa. Entah apa yang mereka bualkan. Menyesal pulak dia tak ikut serta, kalau tak dah boleh berkenalan dengan street entertainer pujaannya itu. Ruginya…




No comments:

Post a Comment