NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Wednesday, November 23, 2011

persis bidadari syurga bab 15


BAB 15

Hannan membuka daun pintu,menjenguk ke dalam rumah, mencari mamanya. Rumah yang besar itu terasa sunyinya, kemana mereka semua?

` “Mama! Mama! Mama!” Hannan melaung. Dia naik ke tingkat atas mencari mamanya. Tiba-tiba pintu bilik dikuak, seraut wajah tenang mengukir senyum bersama kain telekong yang masih belum dibuka. Hannan menerpa lalu memeluk dan mencium ibunya.

“Mama maafkan Han, maafkan Han,” Datin Anisah memeluk erat, dia faham dengan gelodak jiwa yang sedang Hannan hadapi.

“Hannan anak mama, tak ada apa yang nak mama maafkan, Hannan tak buat salah apa pun.”

“Tapi, Hannan telah buat mama sedih,” Hannan belum melepaskan pelukannya, kasih ibu mendalam rasanya.

“Han, syukurlah…Han telah sedar.Hidup ini perlu diteruskan,yang pergi tetap pergi.”

“Ya mama, Han sedar, selama ini Han terlalu mengikut perasaan. Han ingin bertaubat, Han ingin kembali kepada ALLAH.”

“Oh…Han, anak mama!” Berderai air mata Datin Anisah kerana terlalu gembira. Anak lelakinya yang telah hilang pedoman hidupnya kerana kesedihan itu ,telah kembali mengenal diri, mengenal siapa Pencipta yang Agong.

“Mama, apa kata kita buat kenduri tahlil untuk Yasmin dan Fedora.”

“Bagus juga, sebaik-baiknya begitulah,bila kita terlalu rindu, kita hubungkan jiwa kita dengan kebajikan untuk mereka.Pasti sedikit sebanyak rindu itu terubat,” bening mata si ibu melihat mata si anak yang sarat dengan penderitaan. Penuh simpati. Dulu Hannan seorang yang periang, ceria dan suka mengusik. Semasa Yasmin hidup, keluarga mereka sangat bahagia. Tapi selepas kemalangan tersebut semuanya turut berubah, kehidupan Hannan dan kebahagiaan keluarganya juga turut kena tempiasnya.

Hannan berubah menjadi pendiam, yang dia tahu hanya menangisi pemergian anak dan isterinya, paling malang dia menyalahkan dirinya di atas peristiwa tersebut. Seolah-olah perkataan qada dan qadar tiada apa-apa makna bagi Hannan. Puas sudah dipujuk oleh abang dan kakaknya,tapi Hannan tetap tenggelam dalam dunianya. Hannan menjadi semakin teruk, sehingga kadang-kala dia sendiri tidak tahu, dimana Hannan tidur, anak itu merayau-rayau entah kemana, hanya doa yang sering mengiringi agar anak itu sentiasa selamat.

Tapi, senja ini, bersaksikan mega yang kemerahan diufuk barat,dengan kekuasaan-Mu ya ALLAH anakku Hannan telah kembali kepangkuan keluarga dengan selamat. Syukur pada-Mu ya Tuhan.

Petang itu, Hannan kembali ke padang rekreasi, tempat dia terjumpa perempuan muda tersebut. Dia ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada perempuan muda yang berhati mulia atas bicaranya yang telah melunakkan hati Hannan yang keras. Bicara yang telah menyedarkan dirinya, bicara yang penuh motivasi,padahal orang yang sedang bercakap itu sendiri belum tahu hujung panggal hidup dan nasibnya. Tetapi yang indahnya perempuan muda itu, penuh semangat dan keyakinan bahawa ALLAH sentiasa bersamanya dan ALLAH akan membantunya serta terlalu pasti ada hikmah yang terkandung disebaliknya.

Sejam Hannan menunggu, dua jam Hannan menanti, tapi perempuan muda itu tak kunjung tiba, tiga jam Hannan berharap agar perempuan itu akan datang. Senja mula beringsut ke malam ,Hannan masih disitu, menunggu dan berharap, selain ingin berterima kasih dia ingin menjemput perempuan muda itu ke majlis tahlil di rumahnya. Dia ingin membina persahabatan dengan orang yang senasib dengannya.

Tapi sayang perempuan muda itu tak juga datang. Kenapa, sakitkah dia? Hannan meninggalkan taman tersebut dengan persoalan yang tak terjawab.

“Nur, makanlah , bubur nasi ni masih panas, kau makanlah sekarang, dah sejuk nanti tak sedap.” Suriani memujuk Nur Asiah makan sambil tangannya meraba suhu di kepala Nur Asiah, panas badan Nur. Kasihan Nur dah tiga hari demam, tak kebah-kebah, di ajak ke klinik tak mahu.

“Nantilah,letak saja kat situ.”

“Nur, kau perlu makan, kalau tak makan, mana ada kuderat ,nanti lambat sembuh. Ha…nak angkat tangan pun tak lalu.”

“Ya, aku tahu, tunggulah sekejap.”

“Berapa banyak sekejaplah, tiap kali aku suruh ,itulah jawapannya. Nah! Nah buka mulut,aku suapkan,” Nur Asiah terpaksa membuka mulut,menelan satu persatu,walaupun semuanya terasa tawar dan kosong, orang demamlah katakan.

“Lepas ni aku bawa pergi ke klinik, kau siap ya?”

“Tak payahlah pergi klinik, nanti baiklah, demam biasa aje.”

“Aku bagi pilihan, kau nak siap sendiri atau aku tukarkan baju seluar kau, dengan yang kecil sekali, lepas tu aku dukung kau sampai ke klinik, mana kau nak?” Nur merenung mata Suriani, memang Suriani tak main-main. Dia boleh buat apa yang dia cakap, sebab badannya besar.

“Yalah aku ikut” kata Nur Asiah sambil mencebik.

“Aik…dah sakit macam tu pun ada hati nak cebik orang?” Suriani ketawa. Nur Asiah geram.

“Nur, kau dah beritahu mak kau pasal masalah kau ni?”

“Belum, aku tak sampai hatilah. Karang mereka semua susah hati kerana aku.”

“Betul tu, tapi macam mana kalau Aiman cari kau sampai kat kampung?”

“Aku rasa Aiman takkan cari aku, buat apa? Diakan benci dengan aku.Lagipun kalau dia cari aku sampai kat kampung, segala rahsia kejahatannya terbongkar.”

“Betul ...betul ...betul ...” Suriani mengangguk.

“Huh…elok sangatlah tu, dah macam Upin Ipin aje aku tengok” Nur mencebik lagi. Suriani ketawa keras. Suriani memang begitu, suka buat lawak, hati Nur Asiah selalu terhibur dengan telatahnya. Betullah kata orang tua. Orang yang ceria dapat membahagiakan orang lain. Mudah-mudahan hati yang sedih dan kecewa berkurangan sedikit.

Suriani membawa Nur Asiah dengan kereta kancilnya, menderu laju macam orang nak berlumba, kecut perut Nur Asiah dibuatnya, tapi Suriani selamba saja.

“Su, kau bawa kereta perlahan sikit boleh tak? Takut aku.”

“Laju ke? Aku rasa biasa saja.”

“Nenek kau, aku ni rasa nak gugur jantung tau, kecut perut aku sampai ke usus. Kau ni bukan lagi bawa kereta, tapi merempit tau tak?”

“Tak best bawa kereta pelahan-lahan, lambat sampai.” Suriani ketawa lagi.

“Banyaklah kau punya best, silap haribulan,kita ni bukan pergi klinik, tapi terbujur kaku kat bilik mayat, biar lambat asal selamat.”

“Baiklah Cik Puan,” Suriani menyengih.

Kereta Kancil Suriani berhenti di hadapan Klinik Safwan. Nur Asiah meminta Suriani menghantarnya ke klinik panel Aiman, nak pergi Hospital Besar Kuala Lumpur ,pasti dia tak lalu nak menunggu giliran, nak bayar sendiri, duitnya bukan sedikit. Apa salahnya guna panel. Jimat dan capat.

“Kau tak takut ke Aiman dapat cari,kalau kau guna panel dia?”

“Kau ni macam nenek aku lah, asyik risau saja, Aiman takkan dapat cari aku,pandailah aku cover line.” Nur Asiah membetulkan tempat duduknya, rasa sejuk menyucuk-nyucuk sampai ke tulang. Nur Asiah membungkus dirinya dengan baju sejuk milik Suriani.

“Eh…nenek kau ada lagi ke?” Nur Asiah memegang kepalanya yang sememangnya berat. Apa punya bengaplah minah ni.

“Su, boleh tak ,kau jangan banyak tanya, aku letih tahu nak jawab. Nenek aku tu dah meninggal, dalam kubur tau tak?” Tak kuasa Nur Asiah melayan kerenah Suriani.

“Habis, yang kau bandingkan aku dengan orang mati buat apa?” Suriani ketawa, Nur Asiah juga nak ketawa, tapi tak mampu.

“Eh…Su, diam boleh tak?”

“Okaylah, aku diam, karang kau juga yang sunyi bila tak dengar suara aku.”

“Tak mengapa, kalau kau diam dapatlah aku rehat.”

Tiba-tiba nama Nur Asiah dipanggil.Nur Asiah tak ingin Suriani menemaninya, takut Doktor Hayati dapat membaca keadaannya, sebab Doktor Hayati ni seorang yang terlampau ramah. Sebelum ini pun Doktor Hayati memang ramah dengan Nur Asiah dan Aiman. Nur Asiah menguak daun pintu, terjenguk kepalanya memerhati di dalam.

“Masuklah Nur, duduk ,apa masalah ni?” Doktor Hayati bertanya ramah.

“Demam.”

“Eh ...mana Encik Aiman?” kan dah tertangkap, Nur Asiah menjadi gabra.

“Abang, out stastion” bantai ajelah.

“Ya ke, itulah rasa pelik pula, bila Nur datang seorang, selalunya ditemani oleh Encik Aiman.” Memang Aiman selalu menemaninya ,bila berjumpa doktor, mungkin Aiman takut doktor terlebih periksa badan Nur dan menemui kesan-kesan penderaan.

“Hmmm …abang tu, sibuk sangat sekarang ni,” berbohong sunat,tak apa kot!

“Biar saya periksa Puan Nur sekarang,” Nur Asiah senyum sambil mengangguk. Manakala doktor Hayati memeriksa suhu,tekanan darah dan jantung.

“Ini demam biasa saja, Tahniah! Puan Nur dah tahu ke Puan Nur mengandung?”

“Ya” Nur Asiah senyum bangga.

“Dah berapa bulan?”

“Dalam 4 bulan lebih,” bangga giler Nur Asiah bila dia disahkan mengandung, tak adalah dicop sebagai perempuan mandul.

“Dah buat kad Pranatal?”

“Kad apa tu?” Teruja Nur Asiah menyoalnya, maklumlah bakal ibu.

“Kad Pranatal tu,ialah kad yang mencatatkan butiran kesihatan ibu dan anak sewaktu membuat pemeriksaan doktor. Ibu mengandung pula wajib membuat pemeriksaan sekali sebulan,tetapi sekiranya sudah hampir tarikh bersalin, ibu hendaklah membuat pemeriksaan sekali seminggu, dan setiap kali bayi dalam kandungan itu bergerak ,akan dihitung. Sekiranya pergerakkan bayi itu tak cukup dalam kadar yang ditetapkan, maka jantungnya amat lemah. Kad Pranatal juga menjadi rujukkan para doktor sekiranya timbul perkara yang berbangkit sekiranya ibu mengalami masalah kesihatan.” Wah… panjang lebar Doktor Hayati memberi penerangan. Tak sia-sia demam ni, ada hikmahnya, dapat ilmu yang tak pernah Nur Asiah ambil tahu selama ini. Nur Asiah mengangguk-angguk tanda faham.

“Jadi, saya buka Kad Pranatal untuk Puan Nur sekarang ya? Alang-alang, sementelah Puan Nur dah datang ni.”

“Boleh juga.”

“Semasa mengandung, Puan Nur kena jaga pemakanan,ambil makanan yang kaya dengan protein,seperti banyakkan minum susu, ikan,kekacang dan lain-lain,kerana protein diperlukan untuk pembentukan tisu baru, manakala vitamin dan zat galian, fungsinya membantu proses kimia yang kompleks dalam badan. Perkembangan bayi terbentuk berdasarkan apa yang ibu makan,terutamanya diawal proses pembentukan bayi.”

“Kalau saya tak lalu makan nasi,tak mengapa ke?”

“Tak jadi masalah, Puan Nur boleh mengambil karbohidrat yang lain seperti roti, kentang dan lain-lain, yang pentingnya ibu mengandung memerlukan 2,500 kalori setiap hari untuk membekalkan tenaga.”

“Doktor, saya kerap mengalami pedih hati,terutamanya pada waktu malam.”

“Oh…itu gejala biasa yang dialami oleh sesetengah ibu mengandung, ianya berpunca dari laluan sejumlah kecil isi perut ke dalam bahagian bawah tiub makanan (atau esophagus), yang memanjang dari mulut hingga ke perut. Ketika hamil kejadian ini berlaku kerana injap yang mengawal pintu masuk perut mengendur dan kerana uterus yang sedang membesar itu menolak perut ke atas.”

“Macam mana nak hilangkannya?”

“Puan Nur boleh cuba, makan hidangan ringan dengan kerap, sediakan susu pada waktu nak tidur, meminumnya jika berlaku pedih hati, dan cuba tidur dengan menggunakan bantal yang tinggi. Tapi saya akan bekalkan ubat anti-acid yang mengandungi magnesium untuk menutup permukaan perut yang berasid.”

“Tak merbahaya kepada kandungan ke ?”

“Puan Nur jangan risau, para doktor amat berhati-hati dalam memberi ubat kepada ibu mengandung, kerana ubat yang disyorkan oleh doktor telah pun mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.”

“Ooo… baru saya tahu.”

“Masih ada loya dan muntah-muntah?”

“Tak adalah pula,” Nur Asiah hairan selama ini dia tak pula terasa nak muntah.

“Baguslah, tak semua orang dapat keistimewaan macam tu. Okaylah ,saya akan bagi vitamin untuk Puan makan sepanjang tempoh mengandung, ianya baik untuk kesihatan dan perkembangan bayi. Kalau Puan ada apa-apa masalah sila datang ke klinik dan berjumpa dengan saya. Ini tarikh susulan Puan untuk pemeriksaan yang akan datang.”

“Terima kasih doktor, Assalamualaikum!”

“Sama-sama, Waalaikumussalam!”

Sebaik saja Nur Asiah melangkah keluar dari bilik Doktor Hayati, Suriani meluru datang menghampirinya.

“Apa hal lama sangat? Aku ingat kau dah pengsan kat dalam,” kalut betul Suriani.

“Biasalah orang mengandung, buat pemeriksaan kandungan.”

“Bahaya tak demam kau?”

“Bahayalah juga, doktor kata, kena banyak berehat, rehat badan,rehat mata dan telinga, jangan asyik dengar orang membebel-bebel saja, nanti sawan boleh naik ke kepala. Lama-lama boleh jadi biul.” Suriani ketawa bila terkena sindiran.

“Demam ada lagi tak?”

` “Dah kebah sikit?”

“Lagi apa doktor cakap?”

“Ya Allah Su, boleh tak kau bagi aku ruang bernafas sekejap, kepo macam polis pencen.”

“Mana ada polis pencen sibuk hal orang, kat kampung aku tu ada polis pencen, tapi asyik sibuk main papan Dam Aji bawah pokok jambu.”

“Dah sah polis pencen tu atuk kau.”

“Ha…atuk,atuk, tak main ya? Karang tersedak arwah atuk aku dalam kubur,” Nur Asiah ketawa , walaupun tak mengekek ,tapi cukup mencuit hati. Dengan Suriani ada saja benda yang nak dibualkannya.

persis bidadari syurga bab 14


BAB 14

Semenjak berada di tempat kerja baru ni, hati Nur semakin tenteram,tiada lagi tidur malamnya yang terganggu, tiada lagi hati yang sentiasa berdebar, tiada lagi ketakutan menghadapi hari esok. Sudah seminggu dia menjadi guru di Tadika Cahaya Cemerlang. Nur seronok bekerja disitu. Di tadika baru itu Nur mendapat kawan baru,semuanya baik dan dapat menerima Nur dengan baik. Nur amat bersyukur dengan apa yang Nur dapat sekarang, walaupun tak mewah, tapi cukuplah untuk menampung hidupnya buat setakat ini. Gajinya sebagai guru tadika cuma RM 900 . Selepas bayar itu dan ini adalah sedikit baki untuk dia simpan. Suriani tak mahu dia membayar sewa rumah tu,tapi Nur rasa tak patutlah pula, sebab gaji Suriani pun bukannya besar,lebih kurang,dia juga guru tadika . Berapalah sangat dia boleh dapat. Tapi Suriani rajin , dia selalu ambil overtime dengan menjadi tenaga kerja untuk taska pula, sebab tu Nur selalu keseorangan pada belah petang dan cara untuk Nur menghilangkan kebosanannya ,dia akan ke padang rekreasi yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Disitu hatinya menjadi lapang dan terhibur.

Nur tercari-cari lelaki yang sering dia lihat. Tak pula kelihatan dimana-mana. Mungkin lelaki misteri itu sakit kot ataupun sedang berada dihospital kerana kemalangan, maklumlah dia berjalan bukanya melihat kiri kanan, bukannya dia peduli dengan orang, menonong saja berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan seperti orang yang tidak waras, memang dia tak waras kut? Tapi kasihan Nur melihatnya, dalam hati Nur tertanya-tanya ,masih ada keluargakah dia atau dia tinggal bersendirian? Bagaimana dia mengurus dirinya? Apa yang dia makan? Berbagai kemungkinan pula jawapan yang berlegar dibenaknya. Nur melilau lagi. Kalau lelaki misteri itu ada , dia ingin menyerahkan sedikit buah tangan sebagai salam perkenalan mereka, entah mengapa hati kecilnya berat melahirkan rasa simpati dan ingin menolong sekiranya mampu. Walaupun Nur Asiah sendiri hidup dalam masalah dan kedukaan, tapi dia beruntung, dia masih boleh berfikir dengan waras, dia masih ingat ALLAH dan dia yakin suatu hari ALLAH pasti akan membantunya.

Nur tersenyum akhirnya ,lelaki misteri yang ditunggu itupun datang bersama frame gambarnya yang tak pernah lekang dari dakapannya , dia duduk di tempatnya semalam,sambil memeluk bingkai gambar yang selalu dia bawa, tapi baju dan seluarnya bukan pakaian semalam,nampak bersih dan baru. Nur merenung bekal makanan yang dia bawa, mahukah lelaki itu menerimanya? Mahukah lelaki itu berinteraksi dengannya? Bolehkah lelaki itu didekatinya? Adakah lelaki itu memerlukan bantuan? Dan bantuan apakah yang boleh dia sumbangkan? Kalut Nur memikirkannya, untuk tidak mempedulikan lelaki itu Nur tidak sampai hati. Bagaikan ada suara yang menyuruhnya membantu lelaki itu. Ah...Nur mengeluh lemah dan buntu.

Tiba-tiba Nur terperasan ada mata yang sedang memerhatikannya, dia menoleh, memang benar lelaki misteri itu sedang melihat ke arahnya. Nur gugup namun dia sempat melemparkan senyuman tapi tak bersambut. Nur cuba memberanikan diri untuk menghampiri lelaki tersebut,perlahan-lahan Nur berjalan ke arahnya. Dengan hati yang sedikit cuak Nur mendekatinya, adakah lelaki misteri itu akan melarikan diri atau menghalaunya.

“Assalamualaikum!” Nur memberanikan diri memberi salam.Nur merenung lelaki misteri itu.Lelaki itu tidak menjawab salam Nur tapi memandang dengan penuh tanda tanya, dia meneliti wajah Nur dari atas sampai bawah, mungkin dalam hatinya berkata , adakah saya kenal awak? Ah… Nur tak kisah itu semua, yang penting sekarang Nur cuba untuk mendekati lelaki misteri tersebut.Kalau ada yang perlu dibantu dia akan membantunya, kerana dia tahu hidup ini perlu saling bantu membantu.

“Boleh saya duduk?” Nur memberanikan diri memulakan bicara, lelaki itu diam sambil merenung wajah Nur tanpa kata, kemudian dia menganggukkan kepala tanda membenarkan Nur duduk. Nur duduk dihujung kerusi panjang dengan berhati-hati.

“Maaf mengganggu, selamat berkenalan, saya Nur Asiah,” Nur membuka bicara perkenalan tanpa menghulurkan tangan. Lelaki itu menatap legat wajah Nur Asiah. Wajah yang putih bercahaya dan dia mula ingat ,inilah perempuan yang memberikan payung untuknya minggu lepas, ketika dia sedang berhiba dalam hujan. Dia tidak tahupun ada orang lain waktu itu,tiba-tiba saja seorang perempuan muda datang memberikan payung untuknya. Mulia sungguh hatinya.

“Saya Hannan,” lelaki itu membalas dan Nur tersenyum, akhirnya dia tahu juga nama lelaki misteri itu.

“Saya ada bawa sedikit makanan, nak rasa?’ Nur Asiah menghulurkan bekas yang berisi makanan. Nur melihat lelaki itu ragu-ragu untuk mengambilnya. Nur menghulur lagi sambil membuka tutup bekas tersebut, semerbak bau wangi keluar dari bekas makanan tersebut,tiba-tiba saja Hannan merasa kecur liurnya, bau wangi makanan tersebut menggamit nostalgia terhadap kenangan bersama bekas isterinya. Dulu isterinya cukup suka memasak makanan seperti ini. Macaroni bakar, suatu makanan kegemarannya.

Hannan meletakkan frame gambar budak perempuan yang selalu dipegangnya disebelahnya lalu memegang bekas makanan yang dihulurkan oleh Nur Asiah. Hannan memasukkan sepotong Macaroni bakar tersebut kedalam mulutnya. Satu keajaiban berlaku, rasanya sama seperti masakan isterinya, Hannan mula makan lagi dan lagi,dia mula suka dan mula rasa bahagia. Kerinduannya seperti terubat. Akhirnya semua makanan tersebut habis, Hannan memakannya dengan penuh selera ,sekian lama dia tidak makan seperti itu, penuh selera dan bersemangat. Selama ini kalau dia makan semata-mata untuk memberi dia tenaga sahaja,keinginan dan seleranya telah lama mati dan hilang sama seperti kehilangan anak dan isterinya dari hidupnya. Nur Asiah melihat dengan senang hati dan rasa bersyukur. Dia bahagia dapat memberi lelaki yang berjambang berserabai itu makan,nampaknya lelaki itu sukakan makanannya atau lelaki itu memang dalam kebuluran? Mungkin juga.

Nur Asiah menoleh ke arah gambar yang berada di sebelah lelaki itu,hatinya terdetik ingin melihat dari dekat gambar tersebut.

“Encik Hannan , boleh saya lihat gambar itu sekejap,” Nur Asiah meminta dan berharap Hannan membenarkannya. Hannan mengangguk tanda setuju dan Nur Asiah senyum gembira. Nur Asiah mengangkat gambar tersebut, alangkah cantik dan comelnya budak perempuan dalam gambar tersebut. Cukup sempurna.Nur Asiah mengusap-ngusap gambar itu terasa seolah-olah sedang menyentuh pipinya.

“Anak saya,” Hannan mula bersuara sambil matanya menghala ke taman permainan.

“Cantiknya…berapa umurnya?” Nur Asiah ghairah untuk mengcungkil rahsia lelaki misteri itu.

“Lima tahun.”

“Kenapa dia tak ikut Encik Hannan ke taman? Kalau tak,boleh saya berkenalan dengannya,manalah tahu nanti anak saya boleh ikut wajah dia.” Nur Asiah ingin membuat lawak, tapi tak jadi. Hannan diam saja.

“Siapa nama dia?”

“Fedora Qistina.”

“Wah…sedapnya nama,sepadan dengan orangnya,” Nur Asiah memuji,tapi tiada respon dari Hannan. Diwajah ada garis-garis duka yang sukar dihilangkan.Walaupun wajah Hannan ditutupi dengan jambang dan misai tetapi kesedihan dan kedukaan itu tetap tergambar pada sinar matanya. Pancaran mata yang tiada lagi keghairahan.

“Sebenarnya Fedora dah tak ada” mendatar saja suara Hannan.

“Dia pergi mana?” teruja Nur Asiah ingin tahu.

“Mereka dah meninggalkan saya.Anak dan isteri saya mati dalam kemalangan lima bulan yang lalu.” Hannan mula membuka cerita dukanya,duka yang sekian lama bersarang dihati,duka yang melumatkan seluruh hati dan perasaannya, yang menjadikan dia hidup terumbang ambing, hidup dengan tidak tenteram dan diburu rasa bersalah serta menyalahkan dirinya sebagai punca kematian anak dan isterinya. Hannan meraup wajahnya beberapa kali seolah-olah sedang melepaskan beban. Nur Asiah memerhati dengan penuh simpati.

“Oh…maafkan saya…kerana telah membuatkan Encik Hannan sedih. Saya tak bermaksud demikian.” Nur Asiah diterpa rasa bersalah kerana telah menyelongkar kisah duka Hannan.

“Tak mengapa…sudah takdir hidup saya begini,” lemah saja bunyi suara Encik Hannan.

“Hidup ini berlari di atas garisan takdir,dan kita tidak mampu berkata tidak,walaupun kita tidak menginginkannya. Sabarlah Encik Hannan, kerana sabar itu sebahagian daripada iman.” Encik Hannan merenung Nur seperti mengejek.

“Apa yang awak tahu tentang sabar? Bukan awak yang menanggungnya. Hidup saya diburu dengan rasa bersalah. Kalaulah saya tak mengajak mereka pergi bercuti waktu itu, tentu keluarga saya masih ada,” keras suara Hannan seakan marah.

“ Jangan menyesali takdir, kerana ia telah tertulis sejak kita belum dilahirkan lagi.Menyesali takdir seperti tidak beriman kepada ALLAH,kerana percaya kepada qada’ dan qadar adalah rukun iman yang keenam.” Sebenarnya Nur Asiah lebih memujuk dirinya sendiri.

“Tapi ALLAH tidak adil pada saya, kenapa ALLAH ambil mereka berdua saja? Kenapa ALLAH tak ambil saya sekali?”

“Encik Hannan, siapa kita hendak bersoal jawab dengan Allah? Allah mencipta kedukaan bersama hikmahnya sekali. Kedukaan dan penderitaan adalah untuk menguji sejauh mana keimanan seseorang.”

“Awak tak akan faham,kerana awak tak pernah rasa kehilangan,” mendatar saja suara Hannan, mukanya didongak ke langit.

“Encik Hannan ,cuba tengok kesan parut di lengan saya, ini semua adalah kesan kezaliman suami terhadap saya. Saya disiksa oleh madu dan suami saya,enam tahun saya menderita dan sekarang, disaat saya telah melarikan diri dari suami, ALLAH telah mengurniakan saya, anak. Saya sendiri tidak tahu untung nasib anak saya pada masa akan datang. Tapi saya tetap pasrah dan redha,kerana saya hamba ALLAH dan kerana saya memiliki cinta ALLAH.” Nur Asiah tak tahu, kenapa ringan saja mulutnya menceritakan kisah hidupnya,walhal mereka baru saja berkenalan. Mungkin Nur Asiah terdorong untuk menyedarkan Hannan, bahawa jangan berburuk sangka terhadap ALLAH.

“Hebatnya penderitaan awak,” redup mata Hannan merenung wajah bersih di hadapannya, tak sangka, perempuan muda yang cantik di hadapannya banyak menanggung penderitaan.

“Encik Hannan, kalau kita rasa diri kita susah, tapi masih ada yang lebih susah,kembalilah kepada ALLAH. ALLAH tempat kita mengadu dan memohon pertolongan. Mengingati ALLAH membuatkan kita tenang dan redha. Ingatlah ,dunia ini hanya pinjaman, segala harta dan anak pinak hanyalah hiasan semata-mata.Yang kekal ialah pahala dari ketaatan kita terhadap ALLAH. Janganlah berhiba dan bersedih hati,kerana kematian itu adalah pasti,cuma mereka pergi dahulu,kerana ALLAH terlalu rindu pada mereka. Bahagian kita juga adalah pasti, cuma tidak tahu bilakah masanya akan tiba. Sementara kita masih hidup, carilah kebaikan untuk dibawa sebagai bekalan,supaya kita bukanlah tergolong dari orang-orang yang rugi.” Lembut mendayu Hannan mendengarnya. Kata-kata Nur Asiah umpama payung di saat dia kepanasan, umpama air disaat dia dahaga, meresap jauh menyentuh lubuk hatinya, seolah-olah suara yang menggerak dia bangun dari mimpinya yang panjang. Hannan menekurkan kepala, tunduk ke bumi, menyesali diri. Betapa selama ini dia terlalu mengikut kata hati, segala nasihat keluarga tak pernah dia endahkan. Lihatlah perempuan muda di sebelahnya, bertahun menderita, tapi masih mampu meneruskan hidupnya , malah masih boleh membantu orang lain. Ah…lemahnya aku! Hannan melepaskan keluhan.

Senja itu mereka berpisah. Nur Asiah melangkah pulang ke rumah sewa Suriani,manakala Hannan beringsut pulang entah ke mana. Biarlah, lain kali Nur Asiah akan bertanya di mana kah rumahnya dan siapakah saudara maranya. Kasihan,lelaki itu masih keliru, dek hatinya yang telah terbakar oleh penderitaan.

Saturday, November 5, 2011

persis bidadari syurga bab 13


BAB 13

Angin senja yang berhembus menderu-deru membelai wajah Nur yang sedang duduk dibangku panjang di bawah pokok tembusu. Memang Nur suka datang ke padang tersebut,menghabiskan masa petangnya dengan melihat kanak-kanak bermain di taman permainan, melihat orang bermain layang-layang dan berjogging.

Semilir angin berhembus nyaman, membawa semerbak wangian bunga tembusu yang sedang berbunga lebat,menyucuk hidung, segar dan nyaman. Ada segugus rindu yang hadir dalam hati bila tercium bauan bunga tembusu,mengimbas kenangan pada masa nan lalu. Rindu pada kampung halaman,pada mak ayah dan adik-adik, serta rindu pada kenangan lama , bercinta dengan Zarif dibawah pokok tembusu di tepi pantai.

Bila saja angin berhembus bunga-bunga tembusu yang berwarna kuning jatuh berguguran di atas kepala bersama wangian cinta yang kian hangat dan mekar .Manakala Zarif akan mengutip bunga-bunga tembusu yang memenuhi tudungnya. Pasti dia akan tersipu-sipu malu bila diperlakukan demikian.

“Nur, bagaimana dengan pelajaran sekarang?”

“Baik , setakat ini tak adalah pula yang Nur tak faham dan tertinggal pelajarannya.”

“Baguslah kalau macam tu,sebab pelajaran tu penting sangat.”

“Nur tahu, dengan pelajaranlah Nur dapat merubah masa depan keluarga Nur. Nur berjanji akan belajar bersungguh-sungguh. Sampai Nur berjaya.” Zarif tersenyum senang, senyuman anak muda itulah yang Nur tidak pernah lupa, yang membuatkan Nur belajar siang dan malam. Nur ingin berjaya seperti Zarif yang mendapat 11 A dalam SPM nya yang lepas dan sekarang Zarif sedang menunggu tawaran JPA untuk buat medic di luar negara.

“Nur, janji dengan Zarif yang Nur akan belajar bersungguh-sungguh dalam PMR nanti, bila dapat keputusan cemerlang Nur bolehlah minta mana-mana sekolah berasrama penuh. Sebab sekolah berasrama lebih baik dan sistematik waktu dan cara belajarnya.”

“Betul tu, kalau kat rumah Nur selalu habiskan masa dengan menolong ayah dan mak menjemur ikan masin. Banyak waktu belajar Nur terbuang disitu, tapi Nur tak kisah,asalkan Nur dapat membantu keluarga, Nur bahagia.” Nur membuang senyumnya ke laut, tak berani dia menatap wajah Zarif, takut hati kian terpaut. Zarif adalah abang angkatnya. Kenapa Zarif ingin mengambil dia sebagai adik angkat pun dia tidak tahu. Pada Nur dia tak layak untuk menjadi adik angkat kepada sesiapa pun, dia sedar siapa dirinya, anak seorang nelayan,yang kehadirannya umpama melukut ditepi gantang. Tapi Zarif tak pernah menganggapnya demikian, malah Zarif selalu membantunya terutama dalam pelajaran.

“Janji ya Nur, Nur akan belajar bersungguh-sungguh, walaupun nanti Zarif dah tak ada kat sini.”

“Baik Tuan Doktor! Nur akan ingat selalu pesanan Tuan Doktor .”

“Oh…dah pandai memperli kita ya,” Zarif cuba memicit hidung Nur, tapi Nur sempat mengelak, tak elok sekiranya ada yang memandang.

“Bila Zarif nak berangkat ke Russia?”

“Lambat lagi, tapi sebelum itu Zarif kena masuk kelas persediaan untuk ke sana buat beberapa bulan. So, tak dapatlah Nur jumpa Zarif lagi. Tapi Nur jangan risau Zarif akan hantar SMS selalu, untuk hilangkan rindu Nur.”

“Eh…siapa yang rindu? Kita ni budak sekolah lagi tau, mana boleh rindu-rindu, nanti periksa tak pas,” Nur mengejek sambil ketawa. Zarif hanya menyengih.

“Satu lagi pesanan Zarif ,jangan main cinta dengan sesiapa tau.”

“Ya Allah, siapalah yang nakkan Nur ni, Zarif jangan risaulah tak ada sesiapa pun yang nakkan Nur ni, gadis yang berlemuih dengan ikan masin. Lagi pun Nur nak buru cita-cita Nur dulu, lepas tu baru boleh fikir pasal cinta.”

“Bagus, belajarlah sehingga cita-cita Nur tercapai. Zarif sentiasa menyokong apa yang Nur lakukan. Hah…buku-buku rujukan dah cukup ke? Kalau tak cukup bagi tahu pada Zarif, boleh Zarif belikan.”

“Dah lebih dari cukup sebenarnya. Banyak sangat buku yang Zarif bagi, sampai tak terbaca . Walau apa pun Nur nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada Zarif kerana telah memberi buku-buku ini pada Nur. Tak terbalas rasanya jasa Zarif.”

“Sudahlah Nur, jangan fikirkan benda-benda seperti itu. Zarif lakukan kerana ALLAH.Tak terlintas pun nak minta balasan.”

“Terima kasih Zarif, untung Zarif di lahirkan dalam keluarga kaya, taklah hidup susah macam Nur ni.”

“Eh…Nur tak baik cakap macam itu, setiap orang ada kelebihannya sendiri .Apa yang penting sekarang Nur belajar bersungguh-sungguh sampai berjaya dan perlu Nur tahu Zarif sayangkan Nur.” Nur menjeling malu bila si jejaka meluahkan kata sayang padanya dan jejaka itu pula bukan calang-calang orang . Jejaka rebutan para pelajar perempuan sekolah mereka.

Daun-daun tembusu pun berguguran bersama wangian bunga tembusu yang semerbak. Sehelai daun kering jatuh ke atas buku yang sedang dibacanya dan lamunan yang panjang pun terputus. Ah...! Hidup ini memang tak seindah impian, tak seperti yang diharapkan. Nur menghela keluhan beratnya ke padang permainan,ramai kanak-kanak yang sedang bermain dan berkejar-kejaran . Alangkah seronoknya mereka, hidup tanpa masalah.Alangkah bertuahnya mereka, riang-ria bersama ibu bapa. Nur menggosok-gosok perutnya yang baru berusia 10 minggu,bermakna masih ada 30 minggu lagi yang dia perlu tunggu. Apakah nasib anaknya nanti dia tidak tahu, hatinya menjadi resah tiba-tiba mengenangkan masa depan mereka yang masih berbalam-balam.

Jenuh Nur merenung kehadapan ,dia mengalihkan pula pandangannya ke kanan, tiba-tiba dia terlihat lelaki tersebut, lelaki yang sering dia lihat bersendirian di padang permainan kanak-kanak, lelaki yang sering membawa gambar budak perempuan bersamanya. Lelaki itu sering bercakap sendirian, kadang-kadang menangis dan ada ketikanya mencium-cium gambar yang dibawanya. Pakaian lelaki tersebut tak kumal, malah bersih, cuma wajahnya sudah dipenuhi dengan jambang liar dan rambut yang panjang. Mungkin lelaki itu masih siuman, tapi agak tertekan dan mengalami penderitaan yang agak hebat. Ah…! Begitulah hidup ini. Kalau kita merasakan hidup kita susah dan sengsara, pasti masih ada orang yang lebih teruk dari kita.Jadi terimalah hidup ini seadanya.

Ralit Nur merenung ke arah lelaki malang itu. Lelaki tersebut mengusap-ngusap gambar yang berbingkai itu. Kemudian dia menciumnya dengan setulus hati. Runtun hati Nur melihatnya, agaknya itu kah kasih seorang bapa yang kehilangan anaknya, kasih dan sayang tak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit. Kasih yang abadi bawa ke mati. Tiba-tiba tanpa disangka lelaki tersebut menoleh ke arah Nur, pandangan mereka bersatu, kemudian Nur menoleh ke arah lain, segan mempamerkan matanya yang berkaca tanda simpati. Mungkin lelaki itu merasa hairan melihat matanya berkaca .Hanya orang yang pernah mengalami penderitaan saja dapat memahami penderitaan orang lain, walaupun tanpa bicara.

Friday, November 4, 2011

persis bidadari syurga bab 11


BAB 11

Nur Asiah telah bernekad, dia harus pergi dari rumah ini. Rumah puaka yang tidak pernah menjanjikan kebahagian untuknya. Rumah yang cantik seumpama sangkar emas.Rumah yang memenjarakan dirinya dengan berbagai penderitaan. Cukuplah selama ini dia menjadi hamba sahaya kepada suami dan madunya, sesabar manusia pun ada juga batasnya. Dia bukan Malaikat untuk terus bersabar dengan segala kekejaman yang dilakukan oleh suaminya. Tuhanku...! Ampunkanlah aku kerana meninggalkan rumah tanpa keizinan suami. Janganlah aku dianggap isteri yang nusuz kerana melarikan diri dari suami. Sesungguhnya aku sedang menyelamatkan diri agar nyawaku tidak terancam.

Dalam kepekatan malam Nur Asiah menjinjing beg pakaiannya, dia hanya mengambil apa yang perlu dan penting saja, dia perlu segera beredar, takut-takut suaminya terjaga dari tidur. Barang-barang pemberian yang pernah dihadiahkan oleh suaminya satupun dia tidak ambil, dia tidak memerlukan itu semua, yang dia mahu ialah ketenangan dan kebahagiaan. Sebentar kemudian teksi berhenti dihadapan rumah dan Nur Asiah bergegas masuk, tanpa menoleh lagi dia meninggalkan rumah itu bersama kepekatan malam yang kian sunyi.

Sebaik saja teksi berhenti di hadapan rumah Suriani, Nur Asiah keluar dari perut teksi dan dia dapati Suriani sedang tercegat menunggunya di muka pintu walaupun malam sudah dini hari. Dia bersyukur Suriani mahu menerimanya untuk menumpang di rumah itu buat sementara waktu.

“Masuklah Nur, kau buatlah macam rumah sendiri. Aku gembira sangat ,akhirnya kau dengar juga cakap dan nasihat aku.”

“Tapi Su, tidakkah nanti aku akan menyusahkan kau?”

“Apa ke susahnya,lagipun selama ini aku hanya duduk sorang aje,hah...! Sekarang aku taklah boring sangat sebab ada kau.”

“Su, aku rasa terharu sangat ,sebab kau sudi terima aku, sedangkan suami aku sendiri tak suka dan benci dengan aku.” Air mata Nur mula menitis di pipi, kelam jiwanya disaat ini mengenangkan nasibnya yang tak pernah kurang dikunjung malang.

“Sudahlah Nur, kat sini kau selamat,laki kau tak dapat cari kau lagi. Bermula saat ini tak ada siapa lagi yang akan mendera kau. Aku akan sentiasa berada disisi kau. Sudahlah , esok aku akan bawa kau jumpa doktor, kita ambil lapuran doktor lepas tu kita pergi balai polis buat report.”

“Eh, tak nak ,aku bukan nak suruh suami aku masuk penjara,” Nur Asiah menggelengkan kepala. Rupanya masih ada secuit kasih untuk suaminya walaupun tanpa cinta.

“La…! Sapa pula nak suruh laki kau masuk penjara, kita buat ni sekadar ikut prosedur biasa, takut nanti ada kes yang berbangkit, bolehlah kita guna report tu sebagai bahan bukti. Kau ni muka dah hancur lebur pun masih nak bela laki kau yang tak berguna tu.”

“Walau seburuk manapun, dia tetap laki aku.”

“Eieeee…geramnya kau ni, terlalu naif,” Suriani menunjukkan rasa geramnya. Manakala Nur menggerakkan bibir untuk senyum pahit walaupun masih terasa peritnya. Malam itu Nur merasakan tidurnya cukup puas dan nyenyak sekali, buat pertama kali nya dia tidak terbangun pada waktu malam, kalau sebelum ini tidurnya sering terganggu,sebab sering berfikir-fikir apakah perkara buruk yang bakal dilakukan oleh suami dan madunya keesokkan hari.Hidupnya penuh dengan ketakutan . Tuhanku..! Terima kasih diatas rahmatmu.

Aiman terjaga dari tidur, rasanya dia kesiangan. Memang semalam dia pulang agak lewat, setelah makan malam dengan Adura mereka bertemu pula dengan kawan, sedar tak sedar dah pukul satu pagi. Mana tak mengantuk dan kesiangan, tapi kenapa pula si Nur ni tak kejut, selalunya dia yang akan ditugaskan untuk mengejutkan mereka dari tidur. His…si Nur ni nak kena lagilah tu, tak tahu serik, selalu saja nak buat aku naik darah. Ini kalau dah bangun lewat, mestilah pergi kerja pun lewat.

Aiman menyelak selimut yang membaluti tubuhnya, dia mula turun dari katil. Suasana pagi yang cukup aman dan damai, tidak kedengaran berbagai bunyi dari arah dapur seperti selalu. Bunyi yang tidak asing dia dengar pada waktu pagi, bunyi kerentung kerentang Nur memasak . Tapi pagi ini terlalu lain rasanya tanpa bunyi bising di dapur. Kenapa si Nur ni tak bangun lagi ke? Dia bergegas ke bilik sebelah untuk mengejutkan Nur. Kalau Nur lewat masuk dapur, jawabnya taklah sempat dia bersarapan pagi, sedangkan dia memang suka bersarapan di rumah. Tapi apa pula yang si Nur tu nak masak? Sedangkan semalam Nur memberitahunya tidak ada benda yang boleh dimasak. Ah…memang salah aku.

Aiman berjalan menuju ke bilik Nur dan menolak daun pintu untuk memastikan Nur ada dibiliknya. Kalau tak ada benda yang nak dimasak sekali pun Nur masih boleh membancuh air milo untuknya dan dia ingin memberitahu Nur petang nanti dia akan singgah di supermarket untuk membeli barang-barang keperluan dapur.

Sebaik saja pintu bilik Nur ternganga, Aiman mendapati bilik itu kosong. Nur tiada disitu, yang ada hanya bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katil. Dia masuk ke dalam dan mengetuk pintu bilik air, tiada pun tanda-tanda yang Nur berada di dalam bilik air. Hatinya mula berteka-teki ,kemana pula si Nur ni, jangan-jangan dia pengsan, sebab semasa dia dan Adura meninggalkan Nur malam tadi, Nur jatuh tersungkur. Entah-entah Nur mati, eh...! Minta jauh, ini dah jadi kes pembunuhan. Ya ALLAH…mana pula minah ni?

Aiman berlari turun ke tingkat bawah terus menuju ke dapur, sepi dan kosong. Tiada Nur disitu. Aiman mencari dibilik air bawah, Nur juga tiada. Hatinya mula marah bercampur cemas. Di kepalanya mula bercambah berbagai soalan kemana minah kampung ni pergi? Siaplah nanti kalau jumpa, memang kena nanti ,tak cukup lagi ke dengan pelempang malam tadi ? Nak main sorok-sorok pula. Ingat aku tak ada kerja lain ke, nak cari dia kesana kemari.Aje yang bahlol.

Aiman naik semula ke tingkat atas , dia perlu sembahyang subuh walau pun subuhnya sudah subuh gajah. Entah mengapa tiba-tiba dia merasakan sesuatu miliknya telah hilang dari genggaman, rasa hilang sepi dan kosong. Sebaik saja Aiman usai solat subuh dia mengejutkan Adura yang masih enak berbungkus dengan selimut. Adura masih menggeliat malas.

“Sayang! Bangun…kita dah lambat ni , cepat bangun!” Dengan separuh mendengus Adura bangun lalu terus menuju ke bilik air.

Aiman ke bilik Nur Asiah untuk mengambil pakaiannya yang selalunya sudah tersedia diatas katil. Bila dia membuka lampu bilik tak ada pun pakaiannya tersedia seperti biasa. Dia melilau-lilau mencari, entah apa yang dia cari. Tiba-tiba dia terpandang sehelai kertas yang terletak di atas meja solek “ Nur pergi, jangan cari Nur. Halalkan makan minum Nur selama ini. Semoga abang berbahagia selalu.” Terduduk Aiman bersama kertas ditangannya. Entah mengapa hatinya bagai diragut keras, dia sendiri tidak dapat menceritakan bagaimana perasaannya dikala ini. Marah ke? Bengang ke? Sedih ke? Kehilangan ke? Dia tidak dapat menyatakannya. Ternyata dia terasa kosong dan hatinya dibawa pergi bersama. Kenapa macam ni? Selalunya dia sentiasa merasa menyampah bila melihat Nur. Walaupun wajah Nur cantik dan punya pekerti yang baik tapi hatinya seakan tertutup untuk memiliki hati Nur.

Kadang-kadang dia merasa geram melihat sikap Nur yang selamba dan buat bodoh bila dimarahi atau dipukul, seolah-olah Nur tak ada perasaan dan merasa sakit. Aiman merasakan Nur selalu mencabar kesabarannya dalam diam. Walaupun Nur tak pernah menjawab dan melawan tapi sikap Nur yang diam membatu seperti patung itulah yang lebih membuatkan Aiman sakit hati.

Aiman masih terpaku diatas katil, dia terasa ingin menangisi kehilangan Nur, tapi untuk apa? Bukankah selama ini dia memang tidak peduli tentang apa yang Nur rasa. Aiman melihat bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katil. Disini lah dia sering meninggalkan Nur sendirian bertemankan bantal-bantal sepi dan sejuk. Dia lebih suka berada dibilik Adura. Adura yang hangat, Adura yang penuh keghairahan , Adura yang sering mendesak dan Adura yang ingin memiliki dirinya secara mutlak dan tidak suka berkongsi.

Aiman sedar dia sering tidak berlaku adil pada Nur, dia bermalam dibilik Nur sekiranya dia memang menginginkan Nur, itupun setelah Adura nyenyak tidur. Memang dia tidak adil. Selama ini pun dia sering membiarkan Adura membuli Nur, Nur yang lemah lembut dan tidak pandai melawan. Nur seperti hamba di dalam rumahnya sendiri.

Aiman membuka almari pakaian. Alangkah terkejutnya dia, Nur memang telah pergi, semua pakaian Nur telah tiada, yang tinggal hanya pakaian yang dia hadiahkan untuk Nur. Dia terasa sedih ditinggalkan, bagaikan anak telah ditinggalkan oleh si ibu. Hilang kosong dan hampa. Dia mengambil baju dan seluar yang tergantung, cukup susah rasanya untuk memadankan pakaian yang hendak dipakai, selama ini Nur yang buat semuanya. Nur yang tentukan apa yang dia akan pakai , dari tie hinggalah ke stoking. Kadang-kadang stoking dia pun Nur yang pakaikan. Adura tidak pernah ambil tahu itu semua sebab pakaian dia pun ,Nur yang basuh dan gosokkan. Kemanakah kau pergi Nur?

“Eh…Siah! Gosokkan baju aku, cepat sikit, kami dah lambat ni!” Tiba-tiba Adura menjerit dari depan pintu bilik Nur. Matanya melilau-lilau mencari kelibat Nur. Aiman dengan muka separuh mendu menghulurkan kertas nota perpisahan dari Nur untuk tatapan Adura.

“Ha...ha…ha…ha…kalah juga akhirnya orang kampung bodoh, hah…baru puas hati aku, tak sedar diri. Ha...ha…” sukanya hati Adura dengan ketiadaan Nur. Aiman melihat wajah isterinya, jauh berbeza dari wajah Nur yang putih bersih penuh keikhlasan.

“Hah…abang ni kenapa pula? Macam ayam berak kapur saja, sedih sangat ke bini pertama abang lari?” Tanpa menunggu reaksi suaminya Adura melenggang meninggalkan bilik Nur.

“Abang!!! Tolong gosok baju saya!” Adura menjerit dari bilik sebelah. Aiman buat tak dengar saja. Hatinya mula merasa keliru dan celaru.

“Abang…cepatlah, saya tak tahu gosok baju!” Adura yang manja memang tidak tahu menggosok baju.

“Gosoklah sendiri, awakkan perempuan.”

“Saya mana pernah gosok baju, selama ini pun saya tak pernah gosok baju,semuanya diuruskan oleh mami dan bibik.”

“Mulai sekarang belajarlah,kerana kita sekarang hanya ada awak dan saya .Awak juga akan mengambil alih segala tugas yang Nur buat selama ini,faham?” Suaranya bernada tegas, rasanya inilah kali pertama dia tidak melayan kerenah Adura.

Adura dengan wajah masam mencuka berjalan sambil menghentak kaki menuju ke biliknya. Ternyata mereka benar-benar lewat hari ini.

BAB 12

Menunggu giliran untuk dipanggil oleh doktor ,membuatkan Nur merasa seram sejuk, rasa macam nak demam pun ada, apa tah lagi dengan bau ubat-ubatan. Suriani masih setia disisi, menemaninya dari pagi tadi. Sanggup Suriani mengambil cuti semata-mata untuk menemaninya berjumpa doktor . Nur Asiah terpaksa akur dengan cadangan Suriani, buat pemeriksaan doktor dan kemudian buat report polis. Kalau ikut fikirannya tak payahlah buat repot-repot polis ni , bukan kes besar pun. Tapi kata Suriani hanya sebagai langkah berjaga-jaga, sebab kalau nak minta fasakh nanti adalah buktinya.

Tiba-tiba namanya dipanggil, Nur Asiah dan Suriani segera masuk dan duduk ditempat yang disediakan. Sejuk kaki dan tangannya ,dada mula berdebar, entah apalah yang akan disoal oleh doktor. Nur Asiah disuruh berbaring diatas katil pesakit. Mula-mula doktor memeriksa tekanan darahnya, kemudian denyutan jantungnya, terpaksa dia menyelak tudung, nasib baik doktor tu perempuan tak adalah rasa malu. Doktor Fatimah memeriksa seluruh muka, tangan ,kaki , perut dan dada. Apabila doktor menekan ditempat yang terkena pukulan tumpul Aiman rasanya cukup sakit dan ngeri. Nur Asiah membiarkan saja. Biarlah doktor lebih tahu apa yang dia buat.

“Kesan lebam ni sakit lagi tak?” Dr Fatimah bertanya sambil merenung wajahnya.

“Tak, itu dah lama, tapi tanda lebamnya susah nak hilang.”

“Bagus juga dia tak hilang ,boleh juga dibuat sebagai bahan bukti, kan doktor?” selamba saja Suriani menyampuk. Sebaik saja Dr Fatimah selesai memeriksa Nur semua sekali termasuk tangan dan kaki , Nur disuruh duduk dikerusi semula. Dr Fatimah mula menulis laporan pada kertas yang berada di hadapannya. Nur memerhati dengan rasa penuh resah.

“Okay Nur Asiah, untuk pengetahuan awak saya telah menulis semua laporan kesihatan mengenai diri awak dan melalui kesan-kesan yang ada pada awak tu terbuktilah awak telah didera oleh suami awak. Dengan sokongan laporan doktor ini awak berhak membuat dakwaan terhadap suami awak . Dan satu lagi Nur Asiah , awak tahu tak, awak sekarang ini sedang mengandung dua bulan?”

“Hah, saya mengandung?” Alangkah terkejutnya Nur Asiah,matanya bulat merenung Dr Fatimah antara percaya dengan tidak . Suriani disebelah menggenggam tangannya tanda terlalu gembira.

“Ya, mengikut ujian urine tadi awak didapati positif mengandung, tahniah!!! Anak yang pertama kan?”

“Ya, doktor . Alhamdulillah!!! Dapat juga merasai menjadi seorang ibu,” wajah Nur Asiah menjadi berseri-seri bila mendengar berita gembira tersebut. Penantiannya selama 6 tahun itu berhasil juga. Dia bukanlah seorang yang mandul seperti dakwaan keluarga suaminya. Terima kasih ya Allah!

“So, dari sekarang awak kena jaga kesihatan, jaga kandungan, jangan lagi buat kerja yang berat-berat , banyakkan berehat dan jaga pemakanan supaya janin tersebut dapat membesar dengan sempurna.” Dr Fatimah menasihati Nur sambil memegang tangan Nur seolah-olah memberi kekuatan padanya.

“Syukurlah kau telah keluar dari rumah neraka tu, kalau tak tentu kau lebih menderita lagi, mana nak urus diri, nak urus suami yang bengkeng dan madu yang jahat macam ahli sihir tu.” Suriani meluahkan rasa tanpa mempedulikan dimana dia berada. Dr Fatimah kelihatan tercengang.

“Kenapa? Apa yang sebenarnya berlaku?” Dr Fatimah bertanya penuh minat. Nur Asiah merenung wajah sahabatnya supaya tidak membuka pekungnya ,tidak mencerca keaiban suami dan madunya.

“Ah, tak ada apa-apa doktor,” Nur Asiah cuba berselindung. Tangan kanannya merayap ke arah Suriani untuk mengutilnya. Dia malu sekiranya kisah peribadinya diketahui orang ,apatah lagi dengan orang yang dia tak kenal.

“Sebenarnya doktor , Nur ni dah lama hidup tersiksa, dia tak ubah seperti hamba di dalam rumahnya sendiri. Suami dan madunya sering membuli Nur. Dah puas saya pujuk supaya dia tinggalkan suaminya ,tapi dia degil. Doktor tengok sendiri kesan-kesan dibadannya, tersayat hati saya melihatnya.”

“Yalah Nur, kenapa awak biarkan mereka mendera awak? Sekarang bukan zaman hamba abdi tau, dah zaman moden pun, awak boleh minta bantuan dari mana-mana pihak pun. Lagi pun kalau awak lari dari suami awak ,untuk menyelamatkan diri awak ,itu tak dikira nusuz.”

“Entahlah doktor,mungkin saya terlalu mementingkan perasaan orang lain sehingga mengorbankan perasaan sendiri. Saya selalu berfikir apa kata ayah dan mak jika mereka tahu saya bertindak melarikan diri dari suami, pasti mereka merasa malu dengan orang kampung. Lagi satu saya tak ada tempat yang hendak dituju. Saya tak nak balik kampung dan menyusahkan orang tua saya,” akhirnya Nur Asiah membuka rahsia hati. Entah mengapa ringan saja mulutnya untuk bercerita ,terasa seperti sedang mengadu pada seorang kakak. Dr Fatimah menggosok-gosok belakangnya , mungkin tanda simpati.

“Macam nilah,awak keluar dari rumah tu sekarang saya boleh tolong carikan tempat untuk awak berlindung buat sementara.”

“Sebenarnya saya sudah nekad, saya dah lari dari rumah tu malam tadi. Sekarang saya tinggal dengan Su.”

“Hah, itu kira sudah bagus,awak telah melakukan tindakan yang bijak. Jangan susah hati, saya akan menolong awak.”

“Terima kasihlah doktor kerana bagi sokongan pada kawan saya ni ,bukan senang dia nak dengar cakap orang, apa lagi meluahkan perasaannya pada orang,” bersungguh-sungguh Suriani menghargainya.

“Sama-sama, dah jadi tanggungjawab saya untuk menolong. Nur masih beruntung kerana masih ada kawan yang mengambil berat tentang masalah Nur, jangan pula Nur risau dan takut, Nur bukan berseorangan.” Nur Asiah mengangguk dan senyum. Terasa sebuah harapan sedang menyinarinya. Tuhanku…! Bantulah aku, permudahkanlah segala urusanku! Berikanlah aku kekuatan, selama ini aku tidak ada kekuatan untuk melakukannya,la hauwala wala quwwata illa billah.Tapi hari ini aku perlu lakukannya demi diri dan anak yang berada dalam kandunganku. Anak ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya agar dia dapat dilahirkan dengan sempurna. Suamiku tidak perlu tahu tentang kehadiran janin kecil yang berada di dalam rahimku kini.

“Nur, lepas ni awak pergi buat lapuran polis ya? Sebagai langkah berjaga-jaga sahaja. Kalau awak nak Biro Bantuan Guaman membantu awak, boleh saya usahakan.”

“Oh, terima kasihlah doktor, setakat ini saya belum memerlukan lagi, saya bukan nak masukkan suami saya ke dalam penjara, saya cuma mahu lari daripadanya sahaja. Kezaliman yang dia lakukan itu biarlah ALLAH saja yang membalasnya,” Nur mengeruhkan wajah. Masya Allah… budak ni terlalu lurus dan berhati mulia. Dr Fatimah meneliti wajah Nur Asiah, wajah yang cantik tapi penuh dengan balam-balam penderitaan,di wajah itu tergambar seribu kesengsaraan. Alangkah kasihannya Nur Asiah!

“Apa rancangan Nur buat masa sekarang?” Dr Fatimah bertanya.

“Entahlah, Nur ingat Nur nak cari kerja dalam masa terdekat ni, tempat kerja yang lama tu dah tak selamat lagi ,sebab suami Nur tahu tempat kerja tu. Dulu Nur ingat nak selamatkan diri sendiri saja, taklah rumit sangat,tapi sekarang kami berdua, mungkin keadaannya tak sebaik yang diharapkan.” Redup wajah Nur menyembunyikan sedih dan resah. Belas hati Dr Fatimah melihatnya.

“Nur, awak kena yakin dengan bantuan ALLAH. Setiap apa yang terjadi telah diatur oleh ALLAH. Awak jangan takut dengan ujian ini. Saya dan kawan awak ni sentiasa berada disamping awak.” Nur mengangkat muka, merenung wajah Dr Fatimah yang baik hati, tiba-tiba Nur rasakan tubir matanya telah penuh dan manik-manik jernih itu pun turun satu persatu membasahi pipi. Dia menjadi hiba dan pilu tiba-tiba, betapa orang yang tak pernah dia kenali dan tidak ada kaitan langsung dengannya boleh melahirkan simpati, sedangkan suaminya yang sudah enam tahun bersama, tidak ada sedikitpun rasa kasihnya pada Nur. Tuhan ku! Sesungguhnya Kau Maha Kaya ,dan air matapun semakin laju menuruni pipi.

“Sudahlah Nur… awak perlu kuat, awak perlu sihat untuk pembesaran bayi yang dikandung. Awak lihat ALLAH itu maha kaya dan pengasih, dia berikan awak bayi disaat awak betul-betul memerlukan pengubat jiwa,supaya awak rasa hidup ini perlu diteruskan untuk anak awak yang bakal lahir. Supaya awak bangun dan berjuang untuk orang yang awak sayangi dan bukan lagi masanya awak menjadi mangsa kekejaman orang lain.”

“Betul cakap doktor tu, kau perlu kuat demi anak yang bakal lahir, kau jangan risau, aku akan sentiasa ada untuk membantu kau.”

“Terima kasih, Su. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat,” Nur mula menyapu sisa-sia air matanya.

“Terima kasih doktor , kalau tak ada apa-apa lagi kami beredar dulu, untuk ke balai polis yang berhampiran,” ucap Suriani sebaik saja memegang tangan Nur untuk mengajaknya beredar.

“Okay, baguslah tu , kalau awak ada apa-apa masalah jangan segan-segan hubungi saya.”

“Baik doktor, saya ingat pesan doktor.Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam!”